Makanan kering mudah disimpan dan tahan lebih lama. |
Sekiranya anda biasa terpaksa membuang bahan makanan yang tidak sempat dimasak atau dimakan, tajuk ini merupakan topik penting memandangkan ia antara masalah yang paling selalu berlaku pada saya sendiri. Oleh kerana masa yang terhad, bekalan makanan seperti sayur-sayuran dan daging perlu dibeli hanya sekali dalam seminggu. Antara bahan-bahan ini tidak semuanya boleh disimpan sehingga ianya sempat dimasak dan adakalanya terpaksa dibuang tanpa sempat digunakan. Bagaimanakah masalah ini boleh dielakkan?
Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan bagi memanjangkan tempoh penyimpanan makanan. Bagi makanan seperti daging, tentu anda tidak mempunyai masalah sekiranya mempunyai peti sejuk di rumah. Selagi bekalan daging dapat dibekukan, ianya dapat bertahan untuk tempoh yang lama. Makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai tempoh penyimpanan yang lebih pendek iaitu untuk beberapa hari sahaja. Jadi, sayur-sayuran dan buah-buahan perlu menjalani proses yang berbeza kerana ianya tidak boleh dibekukan seperti daging. Antara proses yang biasa digunakan bagi sayuran adalah dengan menjeruk atau pengeringan. Kedua proses ini biasa digunakan dalam teknik pemprosesan makanan seperti yang dapat kita lihat iaitu, sayuran jeruk dan juga makanan-makanan kering.
Walaupun makanan kering yang diproses boleh dibeli di pasaraya, namun ada diantara bahan yang kita perlukan tidak dijual di dalam bentuk kering. Makanan kering di pasaraya melalui proses pengeringan secara industri (samada melalui kaedah mesin ataupun pengeringan melalui jemuran di bawah cahaya matahari). Namun bagi kita yang membeli makanan dalam jumlah yang sedikit kedua-dua kaedah ini adalah tidak efisyen. Jadi adakah kaedah yang boleh kita gunakan untuk melakukan proses pengeringan di rumah?
Pengeringan dengan cahaya matahari boleh dilakukan pada skala yang lebih besar. |
Pengeringan buah apricot di bawah cahaya matahari. |
Sebenarnya proses pengeringan makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan boleh dilakukan dengan menggunakan ketuhar. Namun mesin khas yang direka untuk proses pengeringan makanan di rumah dipanggil dehydrator adalah jauh lebih mudah digunakan, kerana ia direka khas untuk tujuan ini. Proses pengeringan yang baik perlu menggunakan suhu yang rendah untuk tempoh masa yang panjang bagi memastikan lembapan dapat dikeluarkan daripada makanan tanpa merosakkan nya. Makanan yang dikeringkan boleh disimpan sehingga setahun (bergantung kepada jenis makanan) apabila disimpan dengan baik. Manakala untuk menggunakannya pula, anda hanya perlu merendamkan ianya semula ke dalam air. Dengan menyahkan lembapan daripada makanan pertumbuhan bakteria dapat dihentikan dan sel-sel pada makanan juga berhenti daripada menjadi rosak.
Bilakah anda memerlukan proses ini?
Sekiranya anda mengalami masalah tidak sempat menghabiskan bekalan makanan samada, daging, sayuran dan buah-buahan (secara umumnya), malah terpaksa membuangnya kerana ia menjadi rosak, maka proses ini mungkin berguna untuk anda. Selain itu juga, ia mungkin berlaku apabila tibanya musim buah-buahan atau sayuran, dimana berlaku lambakan kuantiti bekalan yang berlebihan. Maka lebihan makanan ini bolehlah dikeringkan untuk disimpan bagi kegunaan masa hadapan.
Makanan yang dikeringkan bukan sahaja mudah disimpan, malah ia juga lebih mudah untuk diselenggarakan. Sekiranya anda perlu menghantar makanan kering kepada saudara-mara yang jauh, makanan kering bukan sahaja lebih ringan, malah ia mudah dipaket untuk penghantaran. Ia juga sesuai untuk dijual sekiranya anda mempunyai jumlah yang banyak.
Selain sayuran dan buah-buahan, ikan dan daging juga boleh dikeringkan untuk memanjangkan tempoh penyimpanan. |
Bagaimanakah proses pengeringan ini dilakukan?
Proses pengeringan sama sahaja seperti proses menyahkan air dan lembapan dari makanan. Menggunakan mesin khas (dehydrator), suhu yang digunakan adalah lebih rendah berbanding ketuhar, mampu mengelakkan makanan daripada rosak - sebaliknya hanya lembapan dikeluarkan daripada makanan. Proses ini mengambil masa antara 8 - 12 jam (namun ia lebih pantas berbanding teknik jemuran matahari yang boleh mengambil masa beberapa hari bergantung kepada keadaan cuaca). Jumlah makanan yang boleh dikeringkan adalah bergantung kepada saiz mesin yang digunakan. Bagi kegunaan domestik, mesin yang kecil adalah memadai.
Proses pengeringan melalui beberapa peringkat bagi memastikan hasil yang betul-betul baik. Berikut adalah langkah-langkah untuk proses pengeringan makanan:
- Pemilihan bahan makanan, iaitu dengan memastikan bahan yang ingin dikeringkan berada dalam kualiti yang baik - makanan yang rosak tidak akan memberikan hasil yang memuaskan. Pastikan tiada kesan calar atau lebam-lebam pada bahan makanan.
- Makanan perlu dibersihkan dan dipotong-potong dengan ketebalan yang sekata bagi memastikan proses pengeringan yang sama rata.
- Bagi makanan yang mudah teroksida seperti epal, pear dan lain-lain, rendamlah di dalam air bersama-sama jus limau atau ascorbic acid sekiranya perlu. Proses ini dapat memastikan warna buah-buahan tersebut dapat dikekalkan sebelum, semasa dan selepas proses pengeringan.
- Bagi sayur-sayuran pula, ianya perlu dicelur untuk mematikan ezim yang boleh menyebabkan warna makan bertukar. Sayuran-sayuran tersebut termasuklah broccoli, bunga kobis, saderi, lobak merah, jagung, peas, kentang, sawi, daun bawang dan lain-lain.
- Anda juga boleh menambahkan garam, gula atau rempah untuk menambahkan rasa sebelum proses pengeringan.
- Sediakan bahan yang telah dipotong di atas dulang yang disediakan. Elakkan makanan yang berlapis, kerana ia boleh melambatkan proses pengeringan.
- Hidupkan mesin dehydrator sebaik sahaja kesemua makanan yang ingin dikeringkan telah dimasukkan ke dalam mesin. Semak buku panduan manual untuk mengetahui aturan dan penggunaan mesin yang betul, kebiasaannya proses pengeringan mengambil masa antara 8 -12 jam.
- Periksa makanan yang dikeringkan dari semasa ke semasa. Anda boleh mengeluarkannya dari mesin dan memotongnya - untuk memeriksa samada masih terdapat lembapan pada bahan makanan. Sekiranya ia masih lembab, proses pengeringan perlu diteruskan - atau makanan tersebut dikeringkan sekali lagi di dalam mesin.
- Setelah selesai, pastikan makanan benar-benar sejuk terlebih dahulu antara 30 - 60 minit sebelum ia boleh disimpan di dalam bekas.
- Bagi buah-buahan yang dikeringkan, ia perlu diletakkan di dalam bekas yang tidak terlalu padat. Goncang bekas sehari sekali selama 10 hari bagi memastikan lembapan dapat disebarkan ke serata bekas. Sekiranya terdapat kondensasi di dalam bekas, maka ia perlu dikeringkan lagi di dalam mesin. (Proses ini penting bagi buah-buahan).
- Makanan yang telah sempurna dikeringkan dan disimpan di dalam bekas, perlu diletakkan di tempat yang sejuk dan gelap sehingga ia sedia untuk digunakan.
*Proses pengeringan akan menjadi lebih lancar apabila anda telah melakukannya beberapa kali. Ini kerana terdapat perbezaan bagi bahan-bahan yang dikeringkan dan perkara-perkara lain seperti ketebalan makanan, susunatur dan jumlah makanan yang boleh dikeringkan dalam satu-satu masa.
Makanan yang akan dikeringkan disusun dengan baik bagi memastikan proses pengeringan berjalan dengan lancar. |
Apakah makanan yang dikeringkan menyihatkan?
Khasiat pemakanan makanan yang dikeringkan dapat dikekalkan selagi ianya dilakukan dengan betul. Proses pengeringan dilakukan pada suhu yang rendah dan hanya lembapan yang dikeluarkan daripada makanan. Sekiranya ianya dilakukan dengan betul, ia dapat mengekalkan warna dan rasa makanan tersebut untuk tempoh penyimpanan yang lebih lama. Tidak seperti proses pengawetan makanan yang lain di mana tambahan bahan-bahan lain diperlukan seperti garam, gula atau bahan pengawet yang berlebihan yang mengubah komposisi kimia bahan makanan.
Adakah proses pengeringan ini menggunakan tenaga yang banyak?
Proses pengeringan menggunakan mesin pengeringan yang baik, menggunakan tenaga yang rendah walaupun ia mengambil masa yang lama. Ini kerana suhu yang diperlukan adalah jauh lebih rendah dan isipadu ruangan pengeringan yang kecil. Kos yang digunakan untuk proses ini adalah lebih rendah berbanding jumlah makanan yang perlu dibuang dan anda perlu membelinya semula berulang kali. Malah anda mungkin boleh berkongsi makanan ini dengan orang lain (saudara mara dan jiran-jiran). Penggunaan tenaga ini dikawal oleh thermostat yang memastikan pemanasan yang sekata disepanjang proses pengeringan.
Antara makanan kering yang boleh dibeli dari pasaraya. |
Dulang pengering bertingkat, meningkatkan jumlah makanan yang boleh dikeringkan dalam satu masa. |
Walaupun proses pengeringan menggunakan mesin ini amat mudah dilakukan di rumah, anda perlu melakukan beberapa proses penyediaan bahan, sebelum ianya boleh dikeringkan. Selain itu juga ia memerlukan tenaga elektrik untuk proses pengeringan (namun kebaikannya di sini, anda boleh melakukannya dalam sebarang keadaan cuaca). Proses pengeringan memakan masa yang agak panjang (namun ia lebih pendek berbanding dengan proses pengeringan menggunakan cahaya matahari). Selain itu juga pastikan anda menggunakan mesin yang mempunyai pengawal masa (timer) bagi mengelakkan proses pengeringan yang terlebih - seseparuh mesin pengering tidak mempunyai pengawal masa.
Semoga ia dapat membantu anda menjimatkan perbelanjaan untuk tempoh jangka panjang, selain mengelakkan pembaziran pembuangan makanan yang tidak digunakan. Mungkin makanan yang dikeringkan tadi bukan sahaja bermanfaat untuk kegunaan akan datang, ia juga mungkin boleh dikongsikan untuk mereka-mereka yang memerlukan atau dijual semula. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau tambahan perkara yang tertinggal, kongsi-kongsikan di ruangan komen untuk manfaat bersama.
Rujukan:
1) The Spruce Eats: How To Dry Fruits and Vegetables With a Dehydrator.
2) The Spruce Eats: Blanching Vegetables Before Drying Them.
3) Dehydrator review: How much does it cost to dehydrate food?
4) Dehydrator review: Food Dehydrator Comparison Table.
5) Wikipedia: List of dried foods.
6) YouTube: Drying Food - The Basics