Menanam menggunakan air memudahkan bagi mereka yang mempunyai ruang yang terhad atau tiada kawasan yang sesuai untuk menanam menggunakan tanah. |
Anda ingin memiliki tanaman dan adakalanya keadaan tidak mengizinkan kerana tiada tanah, atau kediaman yang tidak membenarkan anda untuk meletakkan pasu (seperti tinggal di apartment atau dalam bilik bersaiz kecil). Jangan biarkan minat anda berkubur, sebaliknya ada cara lain untuk anda memiliki tanaman seperti yang anda impikan. Apa yang penting adalah mengetahui bagaimana memilih jenis tanaman dan kaedah tanaman mudah seperti tanaman yang hanya menggunakan air. Walaupun ada kaedah lain tanaman yang tidak menggunakan tanah, namun hari ini kita meninjau spesifik untuk tanaman yang menggunakan air sahaja.
Tanaman menggunakan air sahaja merupakan tanaman yang paling mudah untuk ditanam kerana anda hanya memerlukan bekas yang boleh menampung air dan tanaman yang ingin ditanam. Apa yang berbeza sesetengah tumbuhan memerlukan cahaya yang lebih berbanding yang lainnya. Jadi dengan memilih tumbuhan yang betul, tumbuhan anda pasti akan tumbuh dengan baik dan anda dapat memiliki tanaman hiasan anda sendiri.
Seperti juga tumbuhan-tumbuhan lain, ia juga memerlukan nutrient tertentu seperti juga tumbuhan yang ditanam di atas tanah. Apa yang berbeza, tanaman yang ditanam di dalam air, bersaiz kecil dan memerlukan nutrient pada kadar yang rendah. Masalah ini juga boleh diatasi dengan menggantikan air yang digunakan selalu (selang beberapa hari). Bagi memastikan nutrient diperbaharui di dalam air atau menambah sedikit baja tanaman ke dalam air. Oleh sebab itu, untuk tanaman di dalam air, air suling tidak sesuai digunakan. Sebaliknya air sungai atau air paip adalah lebih baik.
Dengan penjagaan yang betul, tanaman boleh mencapai saiz yang memberangsangkan. |
Tumbuhan photos, adalah yang paling mudah menggunakan kaedah tanaman ini. |
Selain itu juga anda perlu mengawasi beberapa perkara seperti pembiakan nyamuk di dalam bekas tanaman anda. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, anda bolehlah menukar air tanaman sekurang-kurangya seminggu sekali atau menambahkan batu kerikil (batu hiasan), bagi mengelakkan ruang daripada nyamuk membiak di dalam nya. Bagi yang menggunakan bekas yang lutsinar juga boleh mengalami masalah pertumbuhan alga. Anda samada boleh menggunakan bekas yang lebih gelap atau membersihkan bekas tanaman selalu.
Itu adalah perkara-perkara asas yang anda perlu berikan perhatian sekiranya ingin memiliki tanaman air yang sihat dan bertahan lama. Seterusnya bolehlah kita lihat pula, beberapa jenis-jenis tanaman yang sesuai ditanam di dalam air untuk anda cuba.
Tanaman Herba:
- Daun Kesum
- Pudina
- Ketumbar
- Selasih
- Serai
- Lemon Balm
- Oregano
- Rosemary
- Sage
- Stevia
- Lavender
Tanaman herba sebegini memudahkan, apabila anda hanya memerlukan sejumlah kecil herba tersebut. |
Tumbuhan Hiasan
- Photos
- Chinese Evergreen
- English Ivy
- Peace Lily
- Kumpulan Philodendron
- Spider Plant
- Wandering Jew
- Purple Heart Plant
- Coleus Plant
- Lucky Bamboo
Untuk tanaman bawang merah dan bawang putih, anda hanya memastikan bahagian bawah bawang sahaja yang ditenggelami air. |
Tumbuhan Sayuran
- Lettuce (salad)
- Kobis
- Saderi
- Daun bawang
- Leek
- Sawi / Bok Choi
- Kangkung
*Sebahagian tumbuhan ini memerlukan kaedah yang sedikit berbeza mengikut kesesuaian. Penambahan baja cecair juga perlu apabila pokok mencapai saiz yang lebih besar. Sentiasa perhatikan keadaan pokok bagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik.
*Akar pokok boleh dipotong sebahagiannya apabila terlalu panjang atau banyak.
Aktiviti menanam tumbuhan merupakan langkah permulaan pengenalan mengenai pengenalan kepada alam bagi anak anda. |
Tanaman-tanaman yang sesuai untuk tanaman dalam air adalah biasa dari jenis tumbuhan herba yang bersaiz kecil. Anda juga perlu mengekalkan saiznya supaya tidak mencapai terlalu besar yang memerlukan nutrient yang lebih banyak (keadaan ini memerlukan baja tambahan seperti dalam proses tanaman hydroponics). Bagi tumbuhan berkayu pula, ia hanya boleh tumbuh pada peringkat percambahan sahaja, seterusnya ia perlu dipindahkan ke atas tanah untuk proses pertumbuhan yang lebih baik.
Selain itu untuk menggalakkan penyerapan air pula, pastikan hujung batang tanaman yang ingin ditanamn dipotong dengan baik dan condong untuk meningkatkan kadar penyerapan air. Pastikan juga tanaman yang ditanam terdapat mata tunas untuk pertumbuhan akar di dalam air dan sebahagian lagi di atas air untuk pertumbuhan pucuk baru. Sebahagian tumbuhan memerlukan cahaya yang cukup, namun tidak terdedah terus kepada cahaya matahari.
Tumbuhan hiasan seperti anthurium ini amat sesuai menggunakan kaedah tanaman menggunakan air. |
Dengan jenis tanaman yang betul, anda masih boleh memiliki tumbuhan-tumbuhan yang pelbagai. |
Kaedah penanaman menggunakan air merupakan kaedah yang palin mudah untuk dicuba oleh semua. Anda boleh bermula dengan tanaman yang paling mudah iaitu lebihan sayuran yang digunakan untuk memasak. Untuk tanaman hiasan pula tumbuhan ‘photos’ adalah yang terpaling mudah untuk dikendalikan kerana memerlukan penjagaan yang paling minima.
Semoga dengan ini akan memberikan anda satu lagi maklumat berguna mengenai tanaman mudah samada di rumah ataupun di pejabat. Bagi yang mempunyai sebarang maklumat tambahan, bolehlah dikongsikan di ruangan komen untuk manfaat bersama.
Rujukan:
1) gardeningknowhow.com : Herbs That Root In Water – How To Grow Herb Plants In Water
2) thepracticalplanter.com : 29 Plants That Grow in Water Only (Without a Hydroponic System)
3) gardeningchannel.com : 17 Herbs You Can Grow In Water