Isnin, 23 Mei 2016

Kepentingan Iodine Kepada Kesihatan

Makanan-makanan kaya dengan iodine.

Iodine merupakan salah satu nutrient yang diperlukan badan bagi memastikan fungsi badan berlaku dengan sempurna. Walaupun ianya lebih dikenali penting bagi kelenjar Thyroid bagi menghasilkan hormon thyroxine. Kekurangan iodine boleh mengakibatkan pembengkakan thyroid yang dikenali sebagai goiter dan jumlah iodine yang berlebihan juga boleh mengakibatkan kesan yang sama.

Iodine boleh dibekalkan daripada pengambilan makanan secara semulajadi dengan mudah, namun sekiranya anda hanya mengambil makanan yang sama tanpa kandungan iodine yang mencukupi, maka anda mungkin akan mengalami kekurangan iodine. Pengambilan iodine yang dicadangkan oleh RDA adalah sekitar 150 mcg/hari. Mengikut umur pula bagi  1 – 8 tahun adalah 90 mcg/hari, bagi 9 – 13 tahun pula adalah 120 mcg/hari. Bagi mereka yang mengandung dan menyusukan bayi pengambilan iodine boleh ditingkatkan sehingga 290 mcg/hari.

Kepentingan Iodine

Walaupun kekurangan iodine boleh menyebabkan goiter, namun ia bukanlah satu-satunya kesan kekurangannya. Ia boleh mengakibatkan beberapa akibat lagi yang amat penting kepada manusia yang sihat antaranya adalah kelesuan, tidak bertenaga, sistem imune yang lemah, metabolisma rendah, autism, pertambahan berat badan dan gangguan mental seperti tekanan dan keresahan.

Jadi antara lain iodine memainkan peranan penting kepada sistem metabolisma badan termasuk  dalam mengawal penyahtoksid dari badan melalui proses perpeluhan, selain pertumbuhan badan yang lebih baik. Maka kekurangan iodine di dalam badan seharusnya dapat dikesan lebih awal sekiranya anda mengetahui kesan-kesan ini sebelum goiter terbentuk.


Iodine terdapat dengan banyak pada rumpai laut.

Sumber Makanan Kaya Dengan Iodine

Walaupun makanan tambahan (supliment) iodine boleh didapati dari farmasi, seperti biasa pengambilan secara semulajadi adalah jauh lebih baik dan selamat. Iodine juga boleh didapati dengan mudah kerana kepentingannya dalam kesihatan. Jadi anda perlulah mendapatkan sumber ini dengan kaedah semulajadi terlebih dahulu sebelum, mengambilnya secara tambahan.

Antara sumber iodine yang terbaik adalah;
  • Rumpai laut kering ; ¼ oz: membekalkan 4500 mcg (melebihi 100% keperluan harian)
  • Ikan kod; 3 oz: membekalkan 99 mcg (66%  daripada keperluan harian)
  • Yogurt; 1 cawan: membekalkan 87 mcg (58% daripada keperluan harian)
  • Dada ayam belanda; 3 oz: membekalkan 34 mcg (23% daripada keperluan harian)
  • Navy beans; ½ cawan membekalkan 32 mcg (21% daripada keperluan harian)
  • Tuna; 3 oz: membekalkan 17 mcg (11% daripada keperluan harian)
  • Telur; sebiji telur: membekalkan 60 mcg (8.6% daripada keperluan harian)
  • Kentang bakar; saiz sederhana: membekalkan 60 mcg (40% daripada keperluan harian)
  • Strawberries; 1 cawan: membekalkan 13 mcg (8.6% daripada keperluan harian)
  • Cranberries; 1 oz: membekalkan 90mcg (60% daripada keperluan harian)

Makanan laut merupakan sumer iodine yang baik.

Malah iodine boleh didapati daripada sumber-sumber mudah terutamanya daripada makanan laut (termasuk garam), sayur-sayuran dan buah-buahan. Oleh kerana iodine boleh didapati dengan mudah, bagaimakah kita boleh mengalami kekurangan iodine?

Kekurangan iodine boleh berpunca daripada beberapa sebab antaranya;
  • Pengambilan bromine yang terdapat di dalam makanan yang dibakar, bahan plastik, minuman ringan, ubatan, racun serangga dan lain-lain lagi. Pengambilan bromine akan menggantikan iodine dan ini akan mendedahkan anda kepada risiko kanser daripada payu dara, thyroid, ovari dan prostate.
  • Kurang mengambil makanan yang kaya dengan iodine termasuk garam ter-ion, telur, ikan dan rumpai laut.
  • Tanah yang digunakan untuk tanaman mengandungi kurang iodine.
  • Air minuman yang mengandungi fluoride.
  • Makanan yang tercemar dengan pencemaran seperti minyak roket (perchlorate).

Iodine sebagai supplement.

Goiter adalah kesan kekurangan atau berlebihan iodine di dalam badan.
Iodine juga digunakan untuk mengelakkan jangkitan kuman.

Walaupun anda tidak terdedah kepada kesemua faktor di atas, kebanyakan kita sentiasa tertedah kepada penggunaan bekas plastik, makanan yang diproses, minuman ringan dan kandungan klorin di dalam air minuman dan sebagainya. Sekiranya anda mengalami kesan-kesan kekurangan iodine, anda hendaklah mengambil langkah menambahnya dalam diet anda untuk mengelakkan gejala kekurangan yang serius. Selain itu amalkan juga gaya hidup sihat dengan pengambilan makanan berkhasiat dan aktiviti riadah.


Pemakanan yang sihat adalah dari sumber secara umumnya mudah didapati. Perubahan gaya hidup menyebabkan banyak perkara-perkara ini kurang diambil (tidak diamalkan lagi). Seperti yang kita ketahui mencegah adalah jauh lebih baik dari mengubati, jadi pastikan anda lakukan terbaik untuk kesihatan anda sebelum terlambat. Pastikan ianya semulajadi.


Free Download



Ahad, 22 Mei 2016

Tahukah Anda Mengenai Makanan Eksotik Foie Gras

'Foie gras' disediakan dalam pelbagai bentuk.

Foie gras merupakan makanan Perancis yang bermaksud “hati gemuk”, yang pada asalnya merupakan antara makanan mewah. Ia dihasilkan daripada hati itik ataupun angsa yang diternak secara khas bagi menghasilkan saiz hati yang jauh lebih besar melalui teknik makan secara paksa yang dipanggil “gavage”. Makanan ini adakalanya menimbulkan kontroversi kerana ia adalah bertentangan dengan sifat peri kemanusiaan. Hari ini ia bukan sahaja dihasilkan di Perancis, malah beberapa lagi negara yang lain.

Foie gras merupakan teknik yang dihasilkan sejak 2500 BC di Egypt melalui teknik yang sama iaitu dengan memberi makanan kepada itik-itik untuk menghasilkan saiz hati yang lebih besar. Hati yang dihasilkan dengan cara ini mempunyai tekstur yang lebih kaya, lemak dan lembut berbanding dengan hati itik atau angsa biasa. Hari ini ia lebih dikenali sebagai makanan Perancis, malah turut dihasilkan di beberapa negara lain di serata Eropah, United States dan China.

Proses 'gavage' di Egypt, 2500 BC.  

Teknik yang berasal dari Egypt ini dicatatkan di dalam catatan Greek yang mendapati orang-orang Egypt yang menggemukkan ternakan mereka terdiri daripada angsa dan lembu. Kejadian ini dicatatkan semasa lawatan raja Spartan, Agesilaus yang melawati Egypt sekitar 361 BC, yang mendapati para petani di Egypt menggemukkan ternakan mereka.

Namun perkembangan penggunaan foie gras sebagai makanan di Eropah hanya berkembang sehingga era pemerintahan Roman yang dikenali sebagai ‘iecur ficatum’; iecur bermaksud hati dan ficatum berasal dari perkataan ficus yang berasal dari Latin bermaksud fig. Malah Raja Elagabalus sendiri menjadikan foie gras sebagai makanan anjingnya sepanjang 4 tahun pemerintahannya. Di Rome, kaedah menggemukkan angsa dilakukan dengan memberikannya makanan daripada fig kering.

Setelah kejatuhan Empire Roman, penggunaan foie gras dilupakan sementara di Eropah. Pengetahuan mengenai penggunaannya mungkin disimpan oleh petani-petani Gillac sebelum ia kembali terkenal semula beberapa abad kemudian. Ada juga kisah yang menyatakan bahawa rahsia makanan foie gras ini diwarisi oleh orang-orang Jews, samada semasa pemerintahan Roman di Judea ataupun sedari awal lagi daripada orang-orang Egypt sendiri. Tradisi ini kemudiaannya dibawa bersama ketika mereka berhijrah ke Utara dan ke serata Eropah.

Perbezaan saiz hati 'foie gras' dan hati normal.

Walaupun makanan ini penuh dengan kontroversi, terutamanya berkaitan bagaimana itik atau angsa itu dibesarkan, makanan ini terus dihasilkan sehingga ke hari ini. Penghasilan utamanya masih lagi dikuasai oleh Perancis diikuti dengan Hungary, Bulgaria, United State, Canada, China dan lain-lain. Pegnhasilan di Perancis sahaja menghasilkan kira-kira 18,750 tan, atau bersamaan dengan 78.5% daripada penghasilan foie gras di seluruh dunia.

Penghasilan itik-itik atau angsa foie gras perlu melalui 3 peringkat utama sebelum ia melalui proses makan secara paksa iaitu;
  • Tahap pertama yang akan bermula dari hari 1 ke 28. Dimana itik akan dibesarkan di dalam kandang besar dan akan diberikan makanan biasa dari jerami (straw).
  • Tahap kedua pula adalah daripada hari ke 28 sehingga ke hari 63 itik-itik akan dilepaskan ke luar untuk memakan rumput bagi menambahkan keceriaan. Makanan tambahan turut diberikan pada masa-masa tertentu. Peringkat ini adalah untuk melatih saluran pemakanan (esophagus) itik dan menguatkannya.
  • Tahap ketiga iaitu tahap pra-penggemukan bermula dari hari ke 63 ke 90. Itik-itik akan dibawa semula kedalam kurungan dan diberikan makanan dari jenis berkanji tinggi. Ia akan dberikan secara berperingkat-peringkat daripada masa-masa tertentu dan kemudiannya dipertingkatkan.


Tempoh Makanan Paksa

Tempoh ini yang dipanggil gavage atau ‘finition d'engraissement’ (completion of fattening), merupakan proses makanan paksa yang berlaku dalam tempoh 12 ke 15 hari bagi itik dan 15 ke 18 hari bagi angsa. Pemakanan ini akan dilakukan sebanyak 2 kali sehari bagi itik manaka angsa pula diberi makan sehingga 3 kali sehari. Semasa tempoh ini itik-itik atau angsa akan dikurung secara individu atau di dalam kurungan berkuantiti kecil.

Jumlah makanan yang diberikan adalah pada kadar yang melebihi dari jumlah makanan yang mampu dimakan oleh itik atau angsa secara semulajadi. Biasanya salur akan digunakan untuk menyalurkan makanan masuk ke dalam saluran pemakanan itik atau angsa. Dalam pengamalan penternakan moden, proses ini adalah lebih terkawal dan setiap proses dilakukan mengikut sukatan masa dan jumlah makanan yang diberikan juga mengikut perkiraan tertentu. Ia mungking bermula denga berat makanan yang diberikan adalah sekitar 250 grams (9 oz) sehinggalah ke 1,000 grams (35 oz) makanan kering secara berperingkat.  Makanan ini biasanya dikisar dan digaulkan terdiri daripada 53% makanan kering dan 47% air.

Proses 'gavage' menggunakan mesin.

Proses 'gavage' secara klasik.

Bentuk-bentuk Foie Gras

Foie gras secara kasarnya terdapat di dalam 3 bentuk utama iaitu;
  • foie gras entier (foie gras penuh) terdiri dari keseluruhan satu atau dua cuping hati;  ia mungkin dalam bentuk dimasak (cuit), separuh masak (mi-cuit), atau segar (frais).
  • foie gras, disediakan menggunakan beberapa hati foie gras.
  • bloc de foie gras, hati yang telah dimasak, dan block adalah terdiri daripada 98% atau lebih foie gras; sekiranya ia dipanggil “avec morceaux” (dengan bahagian), ia sekurang-kurangnya mengandungi 50% foie gras dari angsa dan 30% dari itik.


Foie gras kebiasaannya dimasak pada suhu yang perlahan (seperti Sous vide) dan disediakan dalam bentuk kepingan atau pâté, namun ia juga boleh disediakan dalam bentuk-bentuk yang lain. Foie gras disediakan dalam pelbagai bentuk dari foie gras segar mahupun dimasak dan dihigangkan bersama dengan makanan-makanan yang lain.

Hirisan 'foie gras'.

Hidangan 'foie gras' dengan 'radish' dan epal hijau.

Foie gras diharamkan di beberapa tempat di dunia, namum masih boleh didapati di kebanyakan negara-negara Eropah dan sangat kuat di Perancis sebagai sebahagian daripada makanan tradisi. Ia masih lagi menjadi makanan penting yang mendapat tempat istimewa di Perancis. Anda boleh mencari sendiri beberapa jenis makanan yang dihasilkan dengan foie gras.


Ia mungkin bukan makanan pilihan semua. Seperti juga makanan-makanan lain di dunia yang hanya menjadi tradisi di bahagian-bahagian dunia tertentu. Tujuan kita hanyalah untuk mengetahui tentang bagaimana ia dihasilkan. Adapun memakannya pula adalah terpulang kepada individu itu sendiri.


Free Download



Sabtu, 21 Mei 2016

Mengenal Lebih Dekat Kulit Kayu Manis – Cinnamon

Kayu manis dan serbuk kayu manis.

Kulit kayu manis atau lebih dikenali sebagai Cinnamon dihasilkan daripada beberapa spesies pokok dari genus Cinnamomum sebagai bahan perasa makanan juga sebagai bahan bau-bauan. Namun begitu terdapat perbezaan diantara kulit-kulit kayu manis ini dan Cinnamomum verum adalah dianggap sebagai kulit kayu manis asli berbanding yang lain-lainnya yang dikenali sebagai “cassia”.

Kulit kayu manis telah lama dianggap sebagai salah satu rempah terpenting bagi pedagang-pedagang Arab ke Eropah. Bagi mengawal kepentingan perdagangan ini, lokasi asal untuk mendapatkan sumber kayu manis dirahasiakan oleh pedagang-pedagang tersebut. Kisah aneh juga diceritakan mengenai kulit kayu manis yang kononnya digunakan oleh burung raksasa (Phoenix) yang membina sarangnya daripada pokok kayu manis dan cassia. Beberapa kisah lain juga turut diceritakan bagi menerangkan betapa sukarnya untuk mendapatkan sumber kulit kayu manis ini.

Namun begitu pada asalnya terdapat beberapa sumber kulit kayu manis terpenting;
  • True cinnamon, iaitu kulit daripada C. Verum (atau juga dikenali sebagai C. Zeylanicum) dari Sri Lanka yang menjadi pembekal terpenting kulit kayu manis.
  • Malabathrum atau malabathrum (atau tamālapattram yang bermaksud “daun pokok-gelap”) terdiri daripada beberapa spesies termasuk C. Tamala daripada Utara India.
  • Serichatum, C. Cassia daripada Seres, iaitu China.
  • Cassia, iaitu kulit daripada pokok Cinnamomum iners daripada Arabia dan Ethiopia.

Perbezaan jenis kayu manis.

Kulit kayu manis telah digunakan seawal 2000 BC sebagai antara bahan yang diimport ke Egypt dari China. Oleh kerana kesukaran menemukannya ianya adalah sebagai bahan hadiah kepada golongan diraja sahaja selain digunakan untuk persembahan kepada tuhan di kuil-kuil mereka. Kisah ini direkodkan bagaimana kayu manis (cinnamon) dan cassia digunakan sebagai hadiah kepada kuil seperti Apollo di Miletus.

Berbeza dimana pokok-pokok kulit kayu manis ini tumbuh subur seperti di Sri Lanka, Bangladesh, pesisir pantai Malabar di India dan Burma, kayu manis adalah tanaman biasa yang diusahakan secara kecil-kecilan atau tumbuh meliar tanpa perhatian. Malah hari ini kulit kayu manis turut didapati di Sumatra dan Malaysia sendiri. Bagi memudahkan anda mengenali pokok kayu manis ini, anda bolehlah berkunjung ke Taman Rimba Alam di Putrajaya sebelum membolehkan anda mengenalnya dengan mudah. Sekiranya anda berkunjung ke Padang, Sumatra pula, anda akan dapat melihat kulit kayu manis dijemur di pinggir-pinggir jalan.

Cinnamon pretzels.

Cinnamon twists.

Bermulanya dengan penemuan Ceylon (Sri Lanka) oleh Portuguese, penghasilan dan pengeluaran kulit kayu manis mula berubah yang selama ini dihasilkan oleh orang-orang Sinhalese. Portuguese turut membina kubunya di Ceylon pada tahun 1518 bagi mempertahankan monopoli kulit kayu manis mereka selama lebih dari seratus tahun yang kemudiannya jatuh semula ketangan orang-orang Sinhalese.

Berikutan dengan monopoli yang dikuasai oleh Portugese dan kemudiannya Belanda (Dutch) melalui Dutch East India Company di sekitar Sri Lanka dan India, Spanish pula menghantar pasukan penjelajahnya ke New Spain (Mexico) selain turut menemui Philippines. Mereka juga menemui kulit kayu manis yang tumbuh di Pulau Mindanao berhampiran Rajahnate, Butuan. Walaupun ianya daripada spesies yang berbeza iaitu Cinnamomum mindanaense, namun ianya masih mempunyai kualiti yang baik seperti juga yang ditemui di Sri Lanka. Kulit kayu manis digunakan untuk memberikan rasa manis pada coklat yang ditemui dari Aztecs. Sumber ini kemudiannya menjadi persaingan bagi kulit kayu manis yang dihasilkan dari Sri Lanka.

Kegunaan Kayu Manis

Kayu manis mempunyai pelbagai kegunaan.

Minyak daripada kayu manis.

Walaupun kayu manis secara umumnya digunakan di dalam pelbagai jenis masakan untuk memberikan bukan sahaja bau, malah rasa yang lebih enak, ia mempunyai pelbagai lagi kegunaan kepada manusia. Selain digunakan sebagai bahan bauan, ia juga digunakan untuk membantu mengatasi masalah kesihatan selain digunakan sebagai bahan hiasan (cantik dan harum).

Bagi tujuan bauan anda boleh menggunakan botol semburan yang diisi dengan air dan minyak essential daripada kayu manis. Semburan campuran ini dapat menghilangkan bauan yang tidak menyenangkan (busuk).

Bagi menyediakan minyak rawatan pula anda bolehlah mencampurkan ½ cawan minyak badam atau minyak bijan, ½ sudu teh kulit kayu manis yang dikisar halus dan ½ sudu teh ekstrak vanilla asli ke dalam bekas yang bersih. Campuran ini perlu digoncang dengan perlahan sebelum digunakan. Ia sesuai untuk melakukan urutan ataupun sebagai minyak mandian.

Bahan catechins yang terkandung di dalam kulit kayu manis juga dapat mengurangkan gejala mual (muntah-muntah). Caranya adalah dengan menyediakan teh daripada kulit kayu manis. Satu sudu teh kulit kayu manis di dalam segelas cawan air selama 10 minit. Tapis air ini dan minum. Bagaimanapun anda tidak digalakkan meminum teh kayu manis ini sekiranya anda mengandung.

Pokok kayu manis di Taman Rimba Alam, Putrajaya.

Kulit kayu manis juga boleh digunakan sebagai penggalak otak dalam mempertingkatkan keupayaan fungsi kognitif selain keupayaan mengingat. Bagi mendapatkan kelebihan ini, minyak essential kulit kayu manis digunakan dengan mencium bauan nya ataupun anda bolehlah meminum teh kayu manis bagi tujuan meningkatkan keupayaan otak anda.

Antara kegunaan penting kulit kayu manis yang lain adalah dalam merawat ‘Athlete’s foot’ atau jangkitan kulat.  Caranya adalah dengan merendamkan kaki yang dijangkiti ke dalam teh daripada kulit kayu manis. Ini boleh disediakan dengan cara memasak air dengan beberapa batang kulit kayu manis. Prosedur ini perlulah dilakukan setiap malam sehingga kulat tersebut hilang.


Terdapat pelbagai lagi kegunaan lain kulit kayu manis selain daripada tujuan masakan dan anda boleh mendapatkannya dengan mudah melalui internet. Apa yang disenaraikan di sini adalah sebahagian kecil sahaja dan bagaimana mengenalinya secara ringkas. Ia merupakan satu tumbuhan yang menakjubkan. Jadi sekiranya anda berpeluang, ambillah sedikit masa untuk mengenali pokok ini dengan lebih dekat.


Free Download



Khamis, 19 Mei 2016

Ikan Pelaga Cantik Tetapi Garang

Antara hybrid ikan pelaga siam (Betta splendens).

Ikan pelaga terdiri daripada beberapa spesies ikan-ikan air tawar bersaiz kecil yang cantik dan terkenal. Antara yang paling cantik dalam spesies ini adalah ikan pelaga siam “Siamese fighting fish” (Betta splendens), ikan mengkaring (Betta imbellis) dan ikan sempilai (Trichopsis vittata). Adapun ikan pelaga siam berasal daripada lembangan Sungai Mekong termasuk negara-negara seperti Thailand (Siam), Laos, Cambodia dan Vietnam. Namanya “ikan pelaga” adalah bersempena tabiatnya yang suka berlaga.

Keunikan ikan laga ini suatu masa dahulu amat popular kerana ia digunakan sebagai satu acara perlawanan ikan, sama juga seperti acara sabung ayam. Malah setiap pemilik ikan laga mempunyai kaedah tersendiri bagi memastikan ikan laga mereka berada pada tahap terbaik untuk memenangi perlawanan. Ini kerana sifatnya yang suka menyendiri dan bersifat ‘territorial’ yang akan mempertahankan kawasannya dari dimasuki oleh ikan-ikan yang lain.

Ikan sempilai jantan.

Ikan sempilai betina.

Antara kawasan menjadi habitat ikan sempilai.

Walaupun bersifat agresif, ikan pelaga siam mempunyai warna yang amat terang dan cantik. Ia menjadi buruan peminat ikan untuk memeliharanya. Cuma ia tidak boleh diletakkan di dalam satu bekas bersama-sama ikan lain kerana sifat agresif tersebut. Malah ikan-ikan pelaga ini turut menyerang ikan-ikan pelaga berlainan jantina sebelum tiba musim mengawan.

Ikan-ikan Betta, adalah sebahagian daripada keluarga ikan Gourami (seperti ikan kaloi) yang juga popular sebagai ikan hiasan akuarium. Ikan-ikan ini bersaiz sekitar 6.5 cm (2.6 in) panjang. Pada spesies-spesies liar, ikan pelaga mempunyai warna yang lebih pudar antara hijau, coklat dan kelabu dengan sirip-sirip yang lebih pendek. Hanya ikan-ikan yang dibiak untuk tujuan ikan hiasan sahaja yang mempunyai warna yang lebih terang serta ekor yang besar dan sirip yang lebih panjang.

Walaupun membela ikan pelaga adalah agak mudah kerana ia tidak memerlukan bekas yang besar, namun anda perlu memastikan air yang digunakan adalah bebas klorin. Hanya bagi pemakanan ikan ini, ia hanya memilih makanan yang bersaiz kecil (sebesar mulutnya sahaja). Pellet kecil adalah sesuai selain hidupan-hidupan kecil seperti jentik-jentik, zooplankton, crustaceans dan serangga-serangga kecil.

Ikan-ikan pelaga siam yang dikacukkan.

Selain warna, bentuk ekor dan sirip juga penting.

Ikan pelaga siam dengan warna coklat.

Ikan-ikan pelaga hari ini, yang dijual untuk tujuan peliharaan adalah hasil daripada kacukan berlainan spesies ikan-ikan pelaga yang menghasilkan pelbagai warna yang menarik. Ikan-ikan dari spesies berbeza seperti B. Splendens, B. imbellis, B. mahachaiensis, dan B. Smaragdina menghasilkan banyak lagi hybrid-hybrid baru. Seperti yang dilihat hari ini ikan-ikan pelaga siam terdiri daripada pelbagai warna yang tidak dilihat pada ikan-ikan lain. Selain warna, para pembiak ikan pelaga siam juga turut cuba menghasilkan ikan-ikan yang mempunyai sirip dan ekor yang lebih besar.

Walaupun ikan-ikan pelaga masih lagi mendapat tempat di kalangan peminat ikan hiasan. Namun ikan pelaga asal di habitatnya mengalami ancaman kepupusan. Aktiviti pertanian, penerokaan hutan dan juga empangan menyebabkan jumlah ikan-ikan ini semakin berkurangan. Penurunan ini bukanlah khusus untuk ikan-ikan pelaga sahaja, malah untuk ikan-ikan yang lain juga. Sekiranya alam sekitar tidak lagi sesuai untuk didiami oleh hidupan lain, adakah ianya sesuai untuk didiami manusia?



Free Download



Rabu, 18 Mei 2016

Kamera Resolusi Untra-high Google Mengambil Gambar Secara Terperinci

Google Art Camera membuat rakaman terperinci hasil seni penting.

Telah banyak kamera beresolusi tinggi yang dihasilkan kebelakangan ini, namun apa bezanya kamera resolusi tinggi yang dihasilkan oleh Google Cultural Institute (GCI) yang dikenali sebagai “Art Camera”. Projek yang telah berjalan selama 5 tahun yang dikenali sebagai “Art Project” ini bermula sejak 2011 lagi dan digunakan untuk misi yang amat penting iaitu menyimpan gambar-gambar terperinci hasil-hasil lukisan penting dari seluruh dunia.

Gambar-gambar yang diambil adalah bersaz sehingga Gigapixel dan dimuatkan ke dalam laman web Google Cultural Institute (GCI). Gambar yang kaya dengan pixel ini membolehkan pemerhati membuat tinjauan terperinci daripada gambar pada saiz asal sehinggalah pada pembesaran imej bagi melihat lebih dekat kesan-kesan halus berus lukisan pelukis tersebut. Apa yang lebih baik, melalui kaedah ini juga kesan terperinci yang boleh diperhatikan adalah sehingga ke tahap kesan-kesan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Membuat rakaman hasil karya seni.

Pandangan sisi Google Art Camera.

Ia boleh dikendalikan dengan lebih mudah.

Bagi mendapatkan kualiti sebegini ianya memerlukan peralatan yang mahal dan hanya boleh dilakukan oleh mereka-mereka yang benar-benar berpengalaman. Jadi kerja-kerja mengumpul maklumat penting hasil seni ini akan menjadi satu kerja yang menelan kos yang amat tinggi. Maka Google memutuskan untuk membina satu kamera yang mempunyai fungsi khusus untuk kerja-kerja ini bagi memudahkan tujuan tersebut.

Menggunakan Art Camera kerja-kerja merakamkan imej terperinci hasil seni bersaiz gigapixel dapat dilkakukan pada jangka masa yang lebih singkat daripada biasa selain mudah dibawa bagi kerja-kerja tersebut dijalankan di muzium-muzium di serata dunia. Ia juga direka supaya dapat melakukan kerja-kerja tersebut dengan lebih efektif menggunakan sistem robotik yang membolehkan kamera membuat rakaman setiap inci hasil seni tersebut. Ia turut dilengkapi dengan teknologi laser dan sonar bagi membantu mendapatkan fokus yang tepat untuk setiap gosokan berus.

Melalui teknik ini, pemeriksaan terperinci pada lukisan (hasil seni) dapat dilakukan tanpa memindahkannya atau mendedahkannya kepada risiko kerosakan. Apabila kerja-kerja mengambil gambar terperinci ini selesai, ribuan imej-imej dari Art Camera tersebut akan digabungkan (stitched) menjadi satu imej yang sempurna.

Rakaman sekata untuk setiap inci lukisan.

Ciri-ciri halus lukisan dapat diperhatikan dengan jelas.

Google sehingga kini telah mengeluarkan 1000 hasil pertama gambar dengan kualiti resolusi ultra ini yang dihasilkan menggunakan kamera tersebut. Gambar-gambar tersebut adalah termasuk hasil karya oleh Pissarro, Signac, Rembrandt, Van Gogh dan Monet. Selain itu Google juga akan membekalkan kamera-kamera tersebut ke institusi-institusi di seluruh dunia bagi membolehkan kerja-kerja mendokumentasi karya seni dapat dilakukan.


*Art Project adalah merupakan salah satu daripada hasil Google Cultural Institute (GCI), yang membolehkan pengguna membuat tinjauan daripada muzium dan arkib secara online. Terdapat banyak lagi hasil-hasil kerja yang dihasilkan oleh CGI dalam memperkayakan hasil budaya dan seni dari seluruh dunia. Menarik!


Free Download



Arkib Blog