Selasa, 24 Jun 2014

Hidupan Laut Yang Berbisa

box jellyfish
Box jellyfish boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan.

Hidupan laut amat cantik untuk dilihat terutamanya bagi hidupan yang menghuni kawasan terumbu karang. Pengetahuan mengenai hidupan laut berbisa mungkin boleh membantu anda bagi mengelakkan kecederaan semasa menjalankan aktiviti di laut seperti menyelam, snorkeling ataupun berenang. Ini kerana bisa sesetengah hidupan ini amat kuat dan boleh mengakibatkan maut sekiranya tidak mendapat rawatan secepat mungkin.

Bisa hidupan-hidupan ini adalah bertujuan sebagai pertahanan atau digunakan untuk memburu mangsa mereka. Jadi anda tidak digalakkan untuk mengganggu sebarang hidupan laut yang anda temui semasa melakukan aktiviti menyelam ataupun snorkeling. Hidupan berbisa biasanya berwarna terang, namun terdapat juga haiwan berbisa yang menyembunyikan diri mereka daripada dilihat oleh pemangsa ataupun haiwan yang diburunya seperti ikan batu atau ikan pari. Perlu diingat dunia hidupan penuh dengan persaingan dan setiap hidupan cuba untuk mempertahankan diri masing-masing.

Haiwan-haiwan yang tidak boleh bergerak pantas seperti ‘sea anemone’ (buran laut), ‘stinging coral’ (Millepora sp) dan juga mentimun laut juga boleh menyengat pemangsa dan mangsanya. Walaupun tidak semua spesies haiwan ini yang beracun, anda perlu berhati-hati kerana sesetengah racun boleh mengakibatkan kesan sekiranya tidak dibersihkan dengan sempurna sekiranya anda terdedah kepada racun tersebut. Kesemua haiwan dan hidupan ini tidak bergerak aktif, jadi ia tidak akan menyerang anda sebaliknya hanya akan bertindak balas sekiranya anda menyentuhnya.

crown of thorns
Crown-of-thorns mendiami kawasan terumbu karang.

Tapak sulaiman yang dikenali sebagai ‘crown-of-thorns’ kelihatan jauh berbeza daripada tapak sulaiman yang lain ia mempunyai racun yang boleh mengakibatkan kesan racun yang agak serius. Dipenuhi dengan permukaan kulit yang berduri dan warna yang terang ia mudah dikenalpasti. Walaubagaimanapun anda perlu berhati-hati semasa menyelam di kawasan terumbu karang.

Sama seperti tapak sulaiman ‘crown-of-thorns’, landak laut juga amat terkenal sebagai penghuni laut yang berbisa. Mendiami kawasan perairan cetek dan terumbu karang ia mudah dikenalpasti dengan fizikal yang berduri. Adalah lebih baik sekiranya anda tidak menyentuh haiwan ini kerana durinya mudah menusuk dan tertinggal di dalam daging anda. Terdapat spesies yang mempunyai racun yang boleh mengakibatkan kematian. Walaupun landak laut dijadikan sumber makanan di sesetengah tempat, anda tidak seharusnya menyentuhnya tanpa pengawasan daripada mereka yang berpengalaman.

Obor-obor amat merbahaya kerana hampir kesemua obor-obor dilengkapi dengan sengat beracun bagi membolehkan ia memburu makanan. Apa yang lebih membimbangkan adalah ia sukar dilihat di dalam air, kerana memiliki badan yang lutsinar. Di sesetengah kawasan, amaran diberikan pada pengguna pantai bagi memaklumkan apabila tibanya musim obor-obor.

Obor-obor dari jenis ‘box-jellyfish’ (Chironex fleckeri) menyebabkan kematian yang lebih banyak berbanding jerung, buaya dan ikan batu apabila digabungkan. Pendedahan kepada tentacle nya sepanjang 3m boleh mengakibatkan kematian seorang lelaki dewasa. Seekor obor-obor ini memiliki kira-kira 60 tentacle yang panjangnya adalah 5m. Tentacle ini dipenuhi dengan sengat-sengat yang halus. Adalah lebih baik anda tidak mengambil risiko untuk menyelam di kawasan yang dihuni oleh obor-obor ini tanpa mengenakan pakaian perlindungan yang sesuai.

Pufferfish
Ikan buntal mempunyai racun yang merosakkan sistem saraf.

Ikan buntal seperti yang kita sudah sedia maklum adalah amat beracun dan boleh mengakibatkan maut. Ikan yang akan mengembangkan badanya apabila terancam ini mempunyai racun yang sama seperti racun yang dimiliki oleh sotong ‘blue-ringed octopus’. Racun ini bukanlah dihasilkan sendiri oleh ikan buntal melainkan berasal daripada spesies alga yang dimakannya yang mengandungi bacteria Alteromonas sp.. Ini mengakibatkan toxin daripada bakteria ini terkumpul pada hati dan gonad ikan tersebut.

Keadaan yang sama boleh berlaku kepada kebanyakan ikan-ikan yang menghuni terumbu karang di mana toxin daripada sebahagian makanan mereka terkumpul di dalam organ dalaman mereka. Jadi, anda perlu berhati-hati sekiranya ingin memakan sebarang makanan laut tanpa pengawasan orang yang lebih berpengalaman.

cone shell
Siput 'cone' mempunyai tempuling yang pantas dan beracun.

Selain daripada ikan, spesies siput juga turut mempunyai racun yang amat kuat dan boleh mengakibatkan maut seperti yang dimiliki oleh siput kon ‘cone shells’. Siput kon biasanya aktif pada waktu malam dan bagi spesies siput kon ‘Conus geographus’ secara teorinya memiliki racun yang mampu membunuh 700 manusia. 

Walaupun bisanya berbeza di antara spesies anda mungkin tidak mempunyai kepastian tentang perbezaan spesies ini. Sengat siput kon yang mampu bergerak pantas dan membunuh ikan sudah pasti boleh mengakibatkan kecederaan dalam masa yang singkat. Anda adalah dinasihatkan untuk berhati-hati sekiranya perlu melewati kawasan yang dihuni oleh siput ini.

Blue ringed octopus
'Blue ringed octopus' mempunyai racun yang sama seperti ikan buntal.

Bagi spesies sotong juga mempunyai bisa yang berbeza-beza mengikut spesies, tetapi seperti yang diketahui spesies ‘blue-ringed octopus’ adalah amat berbisa dan boleh mengakibatkan maut. Bisa daripada sotong ini boleh melumpuhkan sistem saraf dan mengakibatkan maut. Spesies sotong mempunyai pelbagai kaedah samada untuk memburu dan mengelakkan ia daripada dikesan musuh. Ia mampu bertukar warna, bertukar bentuk dan mengeluarkan dakwat hitam bagi menjauhkan diri daripada pemangsanya.

Lionfish
'Lionfish', cantik namun penuh dengan duri beracun.

Ikan depu juga dipanggil sebagai ‘lion fish’ adalah lebih mudah untuk dikenalpasti kerana mempunyai rupa bentuk yang lebih mudah dikenali. Bergerak dengan lebih aktif untuk memburu, ia dilengkapi dengan duri-duri yang beracun. Jadi sekiranya anda menemui ikan ini pastikan anda tidak cuba untuk menghampiri atau menyentuhnya.

Stonefish
'Stonefish' sukar dilihat apabila bersembunyi di celah-celah batu.

Bagi yang suka berjalan-jalan di kawasan terumbu karang pula haiwan seperti ikan pari dan ikan batu perlu dielakkan. Kedua ikan ini mempunyai kecenderungan untuk bersembunyi di dalam pasir dan sukar dilihat. Jadi anda dinasihatkan tidak berjalan di kawasan terumbu karang tanpa memakai kasut – walaupun sengat ikan pari mungkin masih boleh menembusi kasut (dalam sesetengah kes).

Stingray
Pari atau 'stingray', biasa menyebabkan kematian.

Kedua-dua ikan ini mempunyai reputasi yang tinggi sebagai punca kematian samada mangsa yang kurang berhati-hati mahupun atas serangan yang bertujuan untuk melindungi dirinya. Ikan pari adalah lebih agresif manakala ikan batu pula akan bertindak pantas sekiranya diganggu. Anda perlu berhati-hati sekiranya perlu berhadapan dengan kedua spesies ikan ini – sebagai contoh apabila perlu melepaskan ikan pari yang memakan pancing anda.


Maka itu adalah beberapa spesies hidupan laut yang anda perlu sentiasa berhati-hati tentangnya. Mungkin mereka sendiri tidak bermaksud untuk mencederakan anda. Jadi dengan mengenalinya anda juga dapat mengelakkan kecederaan yang mungkin boleh mengakibatkan kesan yang lebih serius. Adalah diharap semoga kita dapat hidup saling memahami dan menghargai antara sesama hidupan. Bersama-sama kita memelihara keseimbangan alam.

Artikel lain yang berkaitan:



Free Download



Ahad, 22 Jun 2014

Bahan-bahan Yang Digunakan Orang Dahulu Untuk Pakaian

Kapas masak
Kapas dihasilkan daripada buah kapas yang telah masak.

Bahan-bahan yang digunakan oleh orang-orang dahulu dalam kehidupan adalah berasal dari bahan-bahan yang terdapat di sekeliling mereka. Ini termasuklah daripada bahan yang diperolehi dari tumbuh-tumbuhan ataupun haiwan. Mungkin tidak semua menyedari banyak bahan-bahan tersebut tidak lagi digunakan hari ini walaupun masih lagi terdapat banyak bahan tersebut di sekeliling kita.

Antara lain perkara yang baik mengenai bahan-bahan ini adalah ia bersifat mesra alam dan tidak menjejaskan alam seperti bahan-bahan yang direka melalui proses kimia seperti plastik, 'fiberglass', PVC, teflon ataupun bahan-bahan lain yang diubah unsurnya secara kimia. Bahan-bahan ini samada tidak boleh mereput ataupun mengambil masa yang terlalu lama untuk dilupuskan secara semulajadi dalam alam.

Antara bahan-bahan menarik yang didapati daripada alam yang digunakan oleh orang-orang terdahulu antaranya adalah bahan yang digunakan untuk membuat pakaian. Bagi menghasilkan benang untuk ditenun dan dijadikan kain, tumbuh-tumbuhan yang mempunyai serat yang tinggi digunakan. Malah bukan kain sahaja dapat dihasilkan menggunakan serat tumbuh-tumbuhan ini, tapi tali juga dibuat menggunakan bahan-bahan tersebut. Tali merupakan keperluan penting bagi mengikat barangan ataupun layar bagi kegunaan kapal layar yang membolehkan manusia merentasi lautan dan menjelajah kawasan ke serata dunia.

Antara serat tumbuhan yang popular bagi penduduk-penduduk kawasan Asia Tenggara satu masa dahulu adalah serat daripada nanas, kulit pisang, batang bunga raya, kapas dan sabut kelapa. Populariti bahan-bahan ini banyak dipengaruhi oleh faktor geografi sesuatu bahan tersebut. Di bahagian-bahagian lain pula tumbuhan seperti jut, papirus, flax dan hemp (ganja) adalah lebih popular. Namun kesemua bahan ini merupakan bahan penting bagi menghasilkan benang untuk ditenun dan dijadikan pakaian.

Pengasingan benang nanas
Proses pengasingan serat nanas secara tradisional.

Di negara Filipina contohnya penggunaan daun nanas untuk menghasilkan baju yang dipanggil ‘Barong Tagalog’ masih dipertahankan sehingga ke hari ini. Baju yang dihasilkan dengan teknik tenunan menggunakan bahan asli daun nanas dijalankan oleh beberapa syarikat bagi memelihara tradisi penduduk-penduduk negara tersebut. Baju tenunan daripada benang nanas ini masih boleh dibeli secara online terus daripada Filipina.

Di negara-negara seperti Malaysia, India, Sri Lanka dan beberapa negara yang mempunyai tumbuhan kelapa pula. Sabut kelapa merupakan bahan penting untuk menghasilkan tali. Walaupun hari ini bahan ini masih digunakan untuk tujuan lain seperti bahan pertanian atau bahan pengganti span di dalam industri perabot, tali daripada sabut kelapa mempunyai kelebihan sendiri kerana ia tidak menganjal apabila mencapai ketegangan yang tinggi. Ia juga tidak licin seperti tali yang dihasilkan daripada bahan plastik.

Pakaian dari benang nanas
Pakaian dari benang nenas yang dikenali sebagai 'Barong Tagalog'.

Kapas pula merupakan bahan yang lebih sesuai digunakan untuk pembuatan benang dan kain kerana serat daripada kapas mudah dikumpulkan apabila kapas telah mencapai kematangan. Pengasingan serat daripada kapas tidak perlu melalui proses untuk mendapatkan serat seperti daripada bahan-bahan tumbuhan yang lain. Kapas merupakan bahan yang sesuai untuk pakaian kerana ia dapat menyerap peluh dengan berkesan selain dapat menjadi penebat haba untuk membekalkan kehangatan kepada badan. Penggunaan kapas lebih popular di bahagian-bahagian Utara seperti India, Pakistan dan China.

Penggunaan serat tumbuhan juga adalah penting untuk menghasilkan kertas. Kertas membolehkan kerja-kerja merekod bahan dilakukan dan pengembangan institusi pendidikan awal seperti di China. Malah kertas juga turut digunakan sebagai sebahagian daripada bahan binaan dinding bangunan atau rumah. Penggunaan penghasilan kertas menggunakan papirus pula popular di bahagian Timur Tengah yang juga digunakan untuk tujuan merekod terutamanya bagi orang-orang Mesir. Sebelum papirus digunakan bahan lain yang digunakan untuk tujuan merekod adalah kulit binatang seperti kambing ataupun lembu.

Pembuatan tali sabut
Proses membuat tali sabut di Sri Lanka.

Antara penggunaan bahan yang terbaik adalah seperti sutera. Ini kerana bagi penghasilan sutera kaedah yang digunakan memerlukan pelbagai kemahiran. Malah penghasilan sutera turut berkembang dengan teknik pemeliharaan ulat sutera dan pemprosesan bebenang sutera. Penggunaan sutera bermula dari China kemudian berkembang ke bahagian-bahagian lain dunia. Pada peringkat permulaan penghasilan sutera, ia merupakan kaedah penghasilan yang hanya dikuasai oleh Negara China sahaja. Malah sutera juga merupakan kain yang hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan sebagai barangan mewah.

Selain daripada serat-serat yang diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan, bahan untuk membuat pakaian juga diperolehi daripada bulu haiwan peliharan dan juga haiwan liar. Bulu-bulu binatang seperti biri-biri, arnab, llama, yak, unta dan beberapa haiwan lain turut digunakan untuk membuat pakaian bagi orang-orang dahulu. Pendek kata apa sahaja bahan yang terdapat disekeliling mereka dapat dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan. Selain daripada bulu binatang, kulit juga turut digunakan untuk membuat pakaian ataupun peralatan harian seperti kasut, tali pinggang dan beg.


Maka dengan itu, apa yang ingin saya ketengahkan hari ini adalah kepentingan untuk kita memahami bagaimana sumber semulajadi daripada alam telah sekian lama membantu kita manusia membina kehidupan yang lebih baik. Ia masih boleh digunakan hingga ke hari ini. Mungkin oleh kerana perkembangan industri membuatkan bahan-bahan yang dihasilkan daripada bahan bukan semulajadi boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah. Namun begitu kesan yang dihasilkan kepada alam boleh mendatangkan kesan buruk untuk jangka panjang. Adalah dengan ini sedikit sebanyak dapat membuatkan anda melihat tentang fungsi alam sekian lama.


Lain-lain artikel berkaitan:





Free Download



Rabu, 28 Mei 2014

Keunikan Pusingan Hidupan Serangga Rama-rama

Rama-rama dewasa
Rama-rama merupakan serangga yang boleh terbang dan berwarna-warni

Rama-rama amat dikenali di dalam dunia serangga selain lebah. Apa yang berbeza hari ini nyamuk dan lalat adalah jauh lebih mudah dikenali berbanding rama-rama kerana suatu masa dahulu rama-rama mudah dilihat terbang di halaman dari sekuntum bunga ke bunga yang lain. Apa yang ingin saya kongsikan hari ini bukan sekadar kisah menarik rama-rama sahaja malah termasuk juga yang berkaitan serangga-serangga yang lain.

Rama-rama yang kita lihat beterbangan adalah berbeza sekali semasa waktu ia mula-mula lahir dari telurnya. Iaitu sebaik sahaja telurnya dihasilkan oleh ibu rama-rama dan ia akan ditinggalkan pada daun atau ranting pokok-pokok tersebut sehingga menetas. Apabila menetas keluarlah anak rama-rama yang dipanggil ulat beluncas (ulat bulu).

Walaupun terdapat serangga lain yang melalui kitaran hidup sama seperti rama-rama iaitu nyamuk dan lalat. Kesemua serangga ini mempunyai nama yang berbeza bagi setiap peringkat umurnya. Sekiranya anak rama-rama dipanggil beluncas, anak lalat dipanggil berengga dan anak nyamuk pula dikenali sebagai jentik-jentik. Kesemua anak-anak serangga ini kelihatan berbeza sekali daripada ibu/bapa mereka.

Ulat beluncas akan memakan daun dengan banyaknya bagi memastikan ia boleh membesar dengan pantas. Kulitnya yang lembut bagaikan belon yang semakin hari semakin membesar. Ia memakan makanan yang banyak bagi membantunya untuk proses yang selanjutnya iaitu bertukar menjadi dewasa. Namun sebelum ia mencapai tahap dewasa ulat beluncas perlu melalui satu peringkat yang menukarkan ia menjadi seekor rama-rama dewasa.


Kitar hidup rama-rama
Kitar hidup rama-rama dan beberapa serangga yang lain.

Peringkat ini dinamakan kepompong. Semasa berada di dalam kepompong badan beluncas akan bertukar kepada bentuk cecair dan perlahan-lahan membentuk rama-rama dewasa. Oleh sebab itu semasa proses pertukaran ini ia perlu diselaputi oleh lapisan kepompong yang kuat bagi mengelakkan gangguan yang boleh mengakibatkan ia mati.

Apabila masanya sampai rama-rama akan keluar daripada kepompong dengan keadaan sayap dan badannya masih lagi basah. Ia perlu mengeringkannya terlebih dahulu sebelum boleh memulakan penerbangan pertamanya.

Rama-rama akan terbang dari satu bunga ke bunga yang lain. Rama-rama tidak memerlukan makanan daripada madu ini untuk membesar lagi melainkan sebagai pembekal tenaga untuk membolehkan ia terus hidup dan membiak. Seekor rama-rama betina akan menghasilkan sekitar 50,000 biji telur sepanjang usianya!.. Apa. 50,000!.. Ya, ini kerana kebanyakan anak-anaknya mati disebabkan pelbagai faktor selain daripada menjadi makanan kegemaran burung.

Ulat sutera juga merupakan sejenis kupu-kupu (seakan rama-rama) yang menghasilkan kepompongnya daripada lilitan bebenang sutera. Maka di dalamnya ulat beluncas akan perlahan-lahan bertukar menjadi rama-rama. Seperti yang dinyatakan tadi, selain daripada rama-rama terdapat beberapa serangga lain yang mempunyai kitar hidup seperti ini iaitu lalat, nyamuk, kumbang dan angkut-angkut. Kitaran hidup seperti ini dipanggil ‘metamorphosis’ lengkap.


kepompong sutera
Kepompong sutera yang dihasilkan oleh beluncas sutera.

Manakala sekiranya diamati serangga-serangga lain mempunyai kitar hidup yang berbeza. Di mana diperingkat kecil lagi mereka sudah menyerupai induk mereka yang dewasa. Serangga seperti ini adalah lipas, semut, pepatung, belalang dan cengkerik. Mereka perlu melalui proses bersalin kulit beberapa kali sebelum bertukar menjadi dewasa menyerupai induknya.

Bukan serangga sahaja perlu menjalani proses bersalin kulit, malah hidupan lain seperti ketam, udang, ular dan reptilia lain juga menjalani proses bersalin kulit untuk membolehkannya membesar. Jadi anda perlulah lebih peka dengan proses kitaran hidup haiwan-haiwan ini bagi membolehkan anda mengenali mereka pada tahap kehidupan mereka yang berbeza.

Begitulah serba sedikit mengenai keunikan kitaran hidup hidupan-hidupan yang berada di sekeliling kita. Dalam masa yang sama kesemua haiwan ini saling bergantung di antara satu sama lain dalam mengimbangi keseluruhan ekosistem. Sekiranya salah satu daripadanya kurang maka, sudah tentu mereka perlu mencerobohi kawasan manusia sebagai usaha untuk terus hidup!

Sama-sama kita perhatikan. 

Free Download



Memasak Tanpa Menggunakan Api Kaedah Sesuai Untuk Aktiviti Luar

Heater bag
Tindakbalas kimia dalam cecair ini digunakan untuk memanaskan makanan.

Memasak tanpa menggunakan api bukanlah satu perkara baru, malah apa yang penting di dalam proses memasak adalah haba yang cukup untuk memanaskan makanan sehingga betul-betul masak (sesuai untuk dimakan). Terdapat beberapa kaedah memasak tanpa menggunakan api termasuklah menggunakan peralatan elektrik seperti ketuhar gelombang mikro, dapur induksi atau menggunakan dapur solar (solar furnace) dan apa yang ingin saya ketengahkan hari ini iaitu penggunaan cecair (melalui tindakbalas kimia).

Kaedah pemanasan makanan tanpa menggunakan api ini telah digunakan sekian lama oleh tentera Amerika bagi memanaskan makanan MRE (meal, ready-to-eat) mereka. Melalui kaedah ini ia bukan sahaja tidak menghasilkan asap malah tiada api yang boleh menyebabkan kebakaran hutan dan sebagainya. Malah teknik ini semakin mendapat sambutan daripada peminat-peminat aktiviti luar.

marine no flame cooking
Kaedah memasak tanpa api digunakan oleh tentera.

Melalui teknik ini alat pemanas tanpa api cukup untuk memasak makanan yang separuh masak seperti makanan dalam tin atau merebus telur. Suhu yang dicapai oleh alat pemanas cecair ini boleh menjangkau sehingga 90 ~ 104 darjah Celcius dalam masa beberapa saat. Suhu sebegini baik untuk memastikan makanan anda dimasak dengan sempurna – menghapuskan bakteria punca penyakit.

Terdapat beberapa syarikat yang mengeluarkan peralatan pemanas seumpama ini dan dijual dalam beberapa paket untuk satu set. Apabila perlu digunakan ia hanya perlu dicampurkan dengan air di dalam beg yang dikhaskan bagi ia bertindakbalas untuk menghasilkan haba yang diperlukan. Jadi ia merupakan tindakbalas kimia yang menghasilkan haba juga dikenali sebagai tindakbalas ‘exothermic’.

packaging
Paket sebelum dicampurkan dengan air untuk menghasilkan haba.

Kreatif sekali penggunaan yang digunakan oleh syarikat pengeluar barangan tersebut. Prinsip yang digunakan pada produk ini telahpun kita pelajari di sekolah menengah lagi di dalam Sains tingkatan 4. Jadi ramai di antara kita yang mengetahuinya dan kebanyakan kita tidak mengendahkannya.


Semoga dengan itu kita akan terus memerhatikan di manakah pengetahuan yang kita pelajari boleh dipergunakan. Semoga kita dapat mengaplikasikan segala ilmu sebaik yang mungkin.


Free Download



Selasa, 27 Mei 2014

Beberapa Keunikan Dunia Serangga I

Hercules Moth
Hercules moth (kupu-kupu Hercules) mempunyai saiz yang kepak yang besar.

Serangga jarang diberikan tumpuan seperti haiwan-haiwan atau hidupan yang lain. Ini mungkin kerana saiznya yang kecil dan sebahagian daripada serangga amat ditakuti manakala sebahagiannya pula menjadi punca pembawa penyakit.

Namun begitu keunikan hidupan serangga juga banyak memberikan manfaat kepada manusia serta hidupan-hidupan lain. Sejak sekian lama manusia menggunakan madu sebagai manisan asli yang dihasilkan oleh lebah, malah khasiat madu dapat membantu manusia dalam mengubati pelbagai penyakit. Lebah juga membantu proses pendebungaan yang memastikan pokok-pokok dapat menjalankan pendebungaan dan menghasilkan biji benih (buah yang juga menjadi sumber makanan kepada manusia).

Serangga lain seperti ulat sutera membekalkan sutera yang dijadikan bahan utama untuk membuat kain sutera yang merupakan salah satu daripada bahan pakaian mewah bagi manusia. Sutera dapat memberikan kualiti pakaian yang lembut, ringan dan sejuk apabila dipakai. Begitu juga serangga-serangga lain yang banyak membantu manusia untuk mendapat inspirasi dalam mereka bentuk peralatan-peralatan lain berilhamkan daripada keunikan dunia serangga.

Sehubungan itu di sini ingin saya kongsikan beberapa fakta menarik tentang dunia serangga bagi kita mengenali lebih dekat keunikan kumpulan hidupan ini antaranya:

Goliath Beetle
Kumbang Goliath yang mempunyai berat menyamai hamster.

Serangga Terberat:

Serangga terberat adalah kumbang Goliath di mana ia boleh mencapai berat menyamai seekor hamster. Berbanding serangga-serangga yang lain seperti nyamuk dan lalat, berat kumbang Goliath ini mungkin beratus/beribu kali ganda.

Giant stick insect
Kalau tiba-tiba hinggap di tangan semua orang akan terkejut kan!

Serangga Terpanjang:

Ulat Ranting Gergasi Indonesia (Indonesian Giant Stick Insect) merupakan serangga terpanjang dengan ukuran mencapai 33 centimeter. Keunikan serangga ini bukan sahaja kerana saiznya malah apabila berada pada dahan pokok adalah amat sukar untuk memastikan kehadirannya.

Monarch butterfly
Rama-rama Monarch bukan sahaja cantik, tetapi amat terkenal kerana perjalanannya selain beracun.

Perjalanan Terjauh:

Rama-rama Monarch melakukan perjalanan terjauh setiap tahun iaitu dari Canada hingga ke Mexico. Perjalanan tersebut adalah berjarak sekitar 3,500 kilometer. Ia juga merupakan antara serangga yang popular selain daripada ia juga adalah rama-rama yang beracun dan memiliki warna yang garang (berwarna oren pekat).

Pelari Terpantas:

Lipas tropika merupakan terpantas di dalam dunia serangga. Dengan kelajuan melebihi kepantasan 5 kilometer sejam. Ini kerana kebanyakan serangga boleh terbang ataupun melompat. Jadi saiznya yang kecil menjadikan mereka hidupan yang perlahan semasa bergerak. Ini menjadikan lipas tropika sebagai juara dalam bahagian ini.

Serangga Terbesar:

Kupu-kupu Hercules emperor merupakan serangga terbesar kerana mempunyai kepak dengan saiz keseluruhan adalah menyamai saiz pinggan makan malam. Terdapat juga kupu-kupu lain yang bersaiz besar seperti kupu-kupu atlas yang juga agak besar dan terdapat di kawasan tropika.


Itu mungkin beberapa bahagian daripada keunikan dunia serangga yang ingin saya kongsikan pada kali ini. Mungkin dalam artikel yang lain saya akan kongsikan beberapa lagi keunikan kumpulan hidupan yang adakalanya ditakuti ini. Melalui pengenalan ini diharap kita dapat mempelajari serba sedikit keunikan dan mendapat manfaat daripada pengetahuan tersebut.



Free Download



Jumaat, 16 Mei 2014

Keunikan Binatang Peliharaan Labah-labah

red knee tarantula
Red Knee Tarantula bukan sahaja cantik tetapi mempunyai usia yang panjang.

Binatang peliharaan merupakan antara teman paling akrab manusia dan ia merangkumi pelbagai jenis haiwan yang biasanya bersikap manja, rapat, mudah diurus dan setia kepada pemeliharanya. Antara haiwan yang sering menjadi pilihan sebagai haiwan kesayangan adalah kucing, anjing, arnab, burung-burung, kura-kura, spesies reptilian dan ada juga serangga. Bagaimana dengan labah-labah?

Binatang peliharaan dipilih berdasarkan kemampuan mereka untuk hidup bersama manusia. Ini kerana faktor penjagaan merupakan aspek penting dalam memastikan haiwan kesayangan boleh dijaga dengan sempurna. Pemelihara juga perlu menyediakan tempat yang sesuai untuk haiwan kesayangan mereka hidup dengan selesa bagi mengelakkan haiwan tersebut menjadi tertekan (stressed).

Jadi bagaimana dengan mereka yang memilih haiwan eksotik seperti labah-labah sebagai binatang kesayangan mereka? Labah-labah bukanlah pilihan yang paling buruk untuk dijadikan binatang kesayangan, namun bolehkah ianya dijadikan binatang peliharaan?

red knee in hand
Walaupun boleh menggigit ia amat popular sebagai haiwan peliharaan.

Spesies yang sering dijadikan haiwan peliharaan adalah dari jenis tarantula, yang juga dikenali sebagai "Mexican red-knee" tarantula. Selain daripada memiliki fizikal yang cantik, ia juga mudah dijaga dan mempunyai usia yang agak panjang. Ya, ada di antara pemelihara yang merasa teramat sedih apabila kematian haiwan kesayangan mereka - jadi usia yang panjang adalah satu kriteria penting sebagai binatang kesayangan.

"Mexican red-knee tarantula" atau juga dikenali sebagai Brachypelma smithi berasal dari kawasan pergunungan di Mexico, terutamanya di bahagian Sierra Madre Occidental dan Sierra Madre del Sur. Saiznya yang agak besar, memiliki ciri-ciri yang menarik serta usia yang agak panjang, menjadikan ia pilihan ramai untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Brachypelma smithi mempunyai fizikal yang cantik kerana, ia mempunyai bulu yang lebat disamping warna oren pada sekmen kakinya yang menyerlahkan lagi keunikan labah-labah ini. Warna dasarnya yang hitam menyerlahkan membangkitkan warna oren garang tersebut, disamping bulu-bulu di serata badannya manjadikan labah-labah ini sangat unik.




Saiz labah-labah red-knee tarantula ini boleh mencapai sehingga 4 inci (10 cm) dan panjang keseluruhan kaki adalah 6 inci (15 cm). Manakala beratnya mencapai sehingga 15 gram. Kedua-dua labah-labah jantan dan betina mempunyai ciri-ciri warna yang hampir sama hanya yang membezakannya adalah labah-labah jantan bersaiz lebih kecil disamping memiliki kaki yang agak panjang berbanding betina.

Dari segi usia pula labah-labah ini mempunyai usia yang agak panjang sehingga 30 tahun bagi yang betina, tetapi hanya 5 tahun sahaja bagi labah-labah jantan. Jadi semestinya labah-labah betina merupakan pilihan utama para peminat haiwan ini. Namun ia juga merupakan antara punca yang menyebabkan labah-labah ini semakin terancam di habitat asal mereka.

Labah-labah red-knee tinggal di dalam lubang yang sederhana dalam, di mana di dalam lubang tersebut membolehkan labah-labah bersembunyi dan adakalanya bersalin kulit dengan selamat. Labah-labah perlu bersalin kulit untuk membolehkan ianya terus membesar – sama juga seperti spesies serangga yang lain, malah kebanyakan reptilia juga melalui proses ini bagi tujuan pembesaran.

Lubang yang menjadi tempat persembunyian labah-labah ini mungkin juga menjadi tempat di mana labah-labah menunggu mangsa mereka yang melintasi kawasan tersebut. Mangsa yang berjaya ditangkap akan dibawa masuk ke dalam lubang bagi membolehkan labah-labah menikmati makanan tersebut. Tahukah anda bagaimana labah-labah makan? (mungkin ia kerja rumah para pembaca untuk mengungkapnya).

red knee full
Jumlah red knee semakin berkurangan di habitat asalnya.

Walaubagaimanapun spesies ini semakin berkurangan di habitat asal mereka, oleh kerana kegiatan memburunya untuk penjualan kepada pasaran gelap. Saiz mereka didapati semakin mengecil kerana tiada lagi labah-labah dewasa yang dilihat seperti mana dahulunya. Selain daripada diburu, adakalanya ia juga dibunuh oleh penduduk tempatan kerana takut akan labah-labah ini. Ya, mungkin bagi sesetengah orang ia merupakan haiwan yang menakutkan. Jadi ia mungkin dibunuh menggunakan racun serangga, menggunakan minyak tanah yang dicurah ke dalam sarang mereka atau pembunuhan labah-labah yang sedang melakukan penghijrahan. Itu juga amat menyedihkan.


Itu sahaja serba sedikit mengenai haiwan unik red-knee tarantula yang sememangnya menarik. Adalah diharap sekiranya haiwan ini menakutkan anda, ada baiknya sekiranya anda menjauhkan diri anda daripada habitat mereka. Sekiranya terpaksa, gunakan kayu panjang untuk mengalihkan perhatian mereka ke tempat yang lain. Ia adalah haiwan yang comel, dan mungkin mempunyai fungsi tersendiri di dalam alam yang kita sendiri tidak fahami.



Free Download



Arkib Blog