Terdapat banyak pilihan peralatan memasak, yang manakah lebih penting? |
Berpindah ke rumah baharu memang satu perkara yang amat mengujakan. Antara persediaan penting termasuklah persiapan kelengkapan dapur yang mencukupi bagi memastikan tuan rumah dapat menyediakan hidangan yang mencukupi semasa dilawati tetamu, samada daripada kalangan ahli keluarga ataupun rakan dan taulan.
Peralatan dapur yang betul dan baik bukan sahaja dapat memenuhi keperluan penyediaan makanan, malah ia juga dapat mempercepatkan proses memasak. Walaupun terdapat pelbagai peralatan dapur yang penting untuk kita ketahui, kali ini kita hanya akan meninjau mengenai periuk/kuali. Periuk yang sesuai bukan sahaja memastikan masakan anda lebih enak, malah mempercepatkan masa memasak, juga memudahkan proses membersihkan semula periuk tersebut setelah digunakan.
Ya, periuk! Samada anda bersetuju ataupun tidak, pastikan anda berkongsi sedikit sebanyak pengetahuan anda mengenai periuk kegemaran anda di bahagian komen.
Oleh kerana terdapat pelbagai jenis periuk, kita akan berikan kepentingan kepada jenis-jenis periuk yang asas bagi memastikan ia sebagai komponen penting di dapur, terutamanya bagi mereka yang baru berpindah ataupun baru memulakan alam rumahtangga.
Periuk Nasi (Rice Cooker)
Periuk nasi elektrik, menggantikan kaedah memasak nasi menggunakan periuk biasa. |
Bagi mereka yang menjadikan nasi sebagai makanan utama seperti penduduk Malaysia khususnya, periuk nasi memang menjadi peralatan dapur utama yang perlu dimiliki. Bagi periuk nasi elektrik misalnya, apa yang penting adalah saiz yang diperlukan. Bagi mereka yang tinggal dalam rumah dengan ahli keluarga yang kecil, periuk yang kecil juga adalah memadai. Namun periuk yang bersaiz lebih besar, perlu disediakan bagi menyediakan masakan yang lebih banyak sekiranya anda ingin menyediakan hidangan yang lebih besar apabila perlu.
Walaupun memasak nasi dengan periuk elektrik adalah mudah. Kemahiran memasak nasi menggunakan periuk biasa adalah dikira sebagai kemahiran asas. Jadi pastikan ada mahir dalam kedua-dua kaedah memasak ini. Apa yang penting, periuk nasi elektrik memudahkan proses memasak, kerana anda tidak perlu memberikan perhatian yang banyak dalam proses memasak nasi.
Periuk Stok (Stock Pot)
Periuk stok digunakan untuk pelbagai fungsi. |
Periuk stok mudah dikenali dengan rupa fizikalnya yang tinggi dan kebiasaannya berpenutup. Periuk stok ini dapat menampung jumlah isi yang lebih banyak, sesuai untuk penyediaan masakan seperti sup dan masakan berkuah. Ia juga sesuai untuk merebus - dalam erti kata lain, banyak kegunaannya dalam menyediakan masakan yang kebiasaannya dimasak oleh orang-orang Malaysia/ SE Asia.
Penutup periuk ini juga dapat memerangkap haba bagi memastikan makanan dipanaskan dengan lebih baik - dan mengelakkan kehilangan cecair yang banyak. Oleh kerana kapasiti yang lebih besar, masakan yang dimasak di dalam periuk stok ini dapat menyimpan haba yang lebih banyak. Dari segi keperluan pula, ia merupakan satu persediaan penting yang pastinya diperlukan di rumah.
Kuali Tidak Melekat (non stick pan).
Dengan kuali ini anda tidak memerlukan minyak untuk masakan ringkas. |
Ada beberapa sebab mengapa peralatan tidak melekat merupakan peralatan penting di dapur. Antara sebab terpenting adalah kerana ia mempercepatkan lagi proses memasak dan membersih. Bagi anda yang sibuk, ini merupakan faktor yang paling penting bagi memastikan kerja-kerja memasak tidak mengganggu urusan-urusan yang lain.
Penggunaan peralatan tidak melekat juga dapat mengelakkan anda menggunakan minyak yang banyak (atau tidak menggunakan minyak). Ini menjimatkan kos masakan, kerana selain ianya lebih sihat pada masa yang sama ia juga mudah dibersihkan. Sebab itulah mengapa peralatan ini amat berguna kepada anda - walaupun anda seorang yang sibuk.
Ia biasanya didatangkan di dalam bentuk kuali tidak melekat yang bertangkai. Di mana anda boleh memegang tangkainya semasa proses masakan - ini bagi membolehkan bahan masakan dikawal dengan lebih pantas apabila menggunakan api yang agak besar. Oleh kerana kuali ini telah lama berada di pasaran, harganya adalah jauh lebih murah hari ini.
Permukaan tidak melekat dihasilkan menggunakan lapisan polytetrafluoroethylene (PTFE) atau lebih dikenali sebagai Teflon. Namun begitu, kini terdapat juga lapisan tidak melekat yang dihasilkan menggunakan aluminum terionized, seramik, silikon dan enameled cast iron. Walaupun bukan semua masakan perlu disediakan menggunakan periuk/kuali jenis ini, setidaknya ia penting untuk jenis-jenis masakan ringkas seperti 'stir fry' atau menggoreng telur.
Periuk Sos (Sauce Pan)
Sesekali anda pasti memerlukan periuk kecil yang mudah digunakan. |
Periuk sos mudah dikenali dengan bentuknya seperti juga periuk stok, namun saiznya jauh lebih kecil. Walaupun kebiasaannya ia bertangkai, namun ia juga mempunyai fungsi yang sama sekiranya tidak bertangkai. Saiznya yang kecil memudahkan anda memasak saiz masakan yang kecil seperti memanaskan makanan, memasak telur, menyediakan sos/kuah atau menyediakan makanan seperti ramen.
Periuk sos ini lebih mudah digunakan sekiranya bertangkai (kerana semasa menyediakan sos, adakalanya anda perlu mengacau adunan bagi mengelakkan ianya hangus). Melalui tangkai ini, periuk dapat dipegang dan menambahkan kestabilan bagi mengelakkan kandungannya tertumpah. Manakala penutup pula dapat mengelakkan isi yang dimasak daripada tersejat dengan pantas.
Periuk Tekanan (Pressure Cooker)
Periuk yang amat berguna apabila masa masakan perlu dipendekkan. |
Periuk tekanan adalah jauh lebih mahal berbanding periuk-periuk yang lain. Namun, disebabkan ianya dapat menjimatkan masa masakan, maka tidak hairanlah dengan harganya yang berbaloi. Periuk tekanan berfungsi dengan memerangkap tekanan menyebabkan suhu menjadi lebih tinggi - yang menyingkatkan masa masakan. Oleh kerana suhu yang dicapai lebih tinggi - periuk tekanan juga digunakan untuk proses pensterilan (menyah kuman daripada peralatan makmal).
Periuk tekanan mempunyai injap pengawal tekanan yang boleh dikawal bagi memastikan ia bersesuaian dengan jenis masakan yang disediakan. Injap keselamatan yang disediakan juga dapat memastikan tekanan periuk berada pada paras yang selamat. Oleh kerana suhu periuk yang lebih tinggi berbanding biasa, masakan yang sesuai untuk disediakan menggunakan periuk jenis ini adalah masakan yang memerlukan tempoh masakan yang lama, dan tidak sesuai untuk jenis masakan yang cepat masak seperti sayuran dan buah.
Hari ini, periuk tekanan juga didatangkan dengan menggunakan tenaga elektrik yang memudahkan, tapi jauh lebih mahal berbanding periuk tekanan biasa. Namun sekurang-kurangnya anda mempunyai pilihan sekiranya anda mampu. Periuk tekanan amat penting sekiranya anda ingin menyediakan makanan yang sepatutnya memerlukan masa masakan yang lama dalam tempoh yang lebih singkat. Ini kerana, masa sahaja tidak sepatutnya dijadikan alasan apabila kita mempunyai pilihan untuk memilih kaedah yang lebih sesuai.
Maka dengan itu, ini adalah ringkasan sahaja mengenai peralatan memasak di dapur sekiranya anda baru berpindah. Terdapat banyak lagi peralatan memasak lain yang boleh dikongsikan kegunaannya di masa-masa akan datang. Maka dengan itu teruskan bersama blog kami dari semasa ke semasa. Semoga, perkongsiaan kali ini memberikan manfaat.