Selasa, 6 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Chả Cá

Chả Cá disediakan di restoran Chả Cá Lã Vọng

Chả Cá merupakan satu lagi hidangan yang amat popular di Utara Vietnam terutamanya di bandar Hanoi. Resepi popular ini masih lagi dihidangkan di mana ianya mula diperkenalkan lebih dari 100 tahun yang lalu iaitu Chả Cá Lã Vọng. Hari ini ia turut dihidangkan oleh banyak restoran lain memandangkan ia merupakan antara hidangan yang menjadi buruan ramai para pelancong ke  Hanoi.

Chả Cá merupakan resepi masakan ikan yang ringkas namun bagi Chả Cá Lã Vọng, ia mempunyai rahsia tersendiri dalam memilih ikan-ikan yang sesuai untuk digunakan bagi resipi ini. Ikan ini akan diperap bersama kunyit sebelum hidangan kepada pelanggan. Ia akan digoreng bersama daun-daun herba seperti dill, daun bawang, daun sup selain dihidangkan bersama kacang goreng dan juga mee beras.

Keseluruhan bahan-bahan yang diperlukan untuk hidangan istimewa ini.

Ikan digoreng bersama-sama rempah herba yang disertakan.

Dalam resepi asalnya, ikan yang digunakan untuk resepi ini adalah dari jenis haruan (cá lóc), namun ikan-ikan lain juga boleh digunakan; terutamanya yang mempunyai isi yang pejal dan kurang hanyir merupakan jenis ikan yang sesuai untuk resepi ini. Ikan yang digunakan juga kebiasaannya adalah dari jenis ikan air tawar.

Ia merupakan resepi yang amat mudah. Namun begitu, sekali anda mencubanya, anda tentu akan merasa betapa istimewanya resepi ringkas menggunakan hanya beberapa jenis bahan ini. Jadi sebab itulah, restoran seperti Chả Cá Lã Vọng, tidak dikunjungi oleh penduduk tempatan kerana ia mengenakan harga yang agak tinggi. Namun begitu bagi para pelancong, ia merupakan pengalaman istimewa kerana ia merupakan di mana resepi ini bermula. Chả Cá Lã Vọng hanya menghidangkan satu resepi sahaja, dan masih lagi mengekalkan sebahagian besar kedai asalnya yang penuh bersejarah.


Restoran ini telah berusia lebih 100 tahun.

Ruang dalam tempat di mana hidangan disediakan.

Restoran yang hanya menyediakan satu hidangan sahaja.

Semasa melawat Hanoi pada tahun 2016, MyRokan sempat mencuba Chả Cá di restoran asalnya Chả Cá Lã Vọng. Ia bukan sahaja merupakan antara makanan yang terpaling lazat dinikmati di Hanoi, malah merupakan antara pengalaman manis yang amat dinanti-nantikan di sepanjang lawatan tersebut.



Free Download



Makanan Terkenal Vietnam: Pho

Pho makanan yang berasal dari bahagian Utara VIetnam.

Vietnam mempunyai pelbagai pilihan makanan yang unik seperti juga negara-negara SE Asia yang lain. Apa yang menarik, geography Vietnam yang memanjang dari Selatan ke Utara memberikan Vietnam banyak perbezaan dari segi budaya, cuaca, cara hidup dan hidangan bagi kedua-dua kawasan yang terletak jauh di antara keduanya.

Oh, makanan utama yang akan kita bincangkan hari ini adalah Pho, yang merupakan makanan yang paling popular di Vietnam. Makanan ini sememangnya sinonim dengan negara ini baik di bahagian Selatan mahupun di Utara. Pho adalah makanan yang ringkas, namun boleh disediakan dengan pelbagai cara dan ianya menjadi antara makanan Vietnam yang turut popular di luar Vietnam sendiri.

Pho menjadi hidangan istimewa di pinggir jalan di Hanoi.

Jadi tidak susah sekiranya anda ingin mencuba hidangan Pho kerana ia dihidangkan hampir di mana sahaja daripada restoran hinggalah ke gerai-gerai kecil di tepian jalan. Di bahagian Utara ia dikenali sebagai (pho bac) manakala di bahagian ia dikenali di Selatan sebagai (pho nam) dengan sedikit perbezaan daripada jenis bahan yang digunakan untuk menyediakan supnya. Walaubagaimanapun makanan ini dikatakan dibawa daripada bahagian Utara Vietnam.

Pho terus berevolusi dengan penghijrahan rakyat Vietnam ke serata bahagian dunia berikut kekacauan, peperangan, perpindahan kerana pekerjaan dan sebagainya membawa bersama keunikan Pho yang digabungkan bersama bahan-bahan masakan di kawasan baru yang didiami oleh Rakyat Vietnam. Inilah yang menjadikan Pho satu hidangan yang luas dan mempunyai pelbagai jenis untuk dicuba.

Pho dengan isi daging dan pilihan sayuran tambahan.

Antara sayuran sesuai untuk dimakan bersama pho.

Secara kasarnya Pho terbahagi kepada 2 jenis utama iaitu pho bo (pho daging) dan juga pho ga (pho ayam), dimana pho bo mempunyai variasi yang lebih mengikut bahagian daging pada lembu yang digunakan. Jadi pho bo disediakan bersama bahagian daging seperti;
  • bò chín (daging salai masak),
  • bò tái (daging mentah),
  • nạm (pinggul),
  • vè dòn (pinggul rangup),
  • gầu (dada berlemak),
  • gân (tendon),
  • sách (usus/perut) dan
  • bò viên (bebola daging dengan tendon).


Pho dengan kuah merah yang menggunakan rempah berbeza.

Pho yang menggunakan sup yang lebih terang dengan daging dan sayur.

Selain daripada memilih isi daging yang digunakan bersama pho anda, anda juga boleh memilih pelbagai jenis ragam pho yang disediakan mengikut standard penyediaan pho oleh restoran-restoran serata vietnam seperti;
  • Nước trong (kuah sup tanpa lemak; kuah asas pho),
  • Nước béo (kuah sup berlemak atau extra lemak),
  • Tái sống (daging mentah),
  • Ít bánh (kurang mee, "banh" dirujuk sebagai "banh pho" yang bermaksuk mee untuk pho),
  • Nhiều bánh (lebih mee),
  • Ít thịt (kurang daging)
  • Nước béo hành trần (sup berlemak dengan sirap bawang bersama),
  • Giá chín (bersama taugeh celur),
  • Không hành (tanpa bawang),
  • Không hành ngò (tanpa bawang/daun ketumbar),
  • Không hành tây (tanpa bawang),
  • Hành giầm giấm (sirap bawang di sisi)

Restauran franchise Pho24 yang mempunyai banyak cawangan. 

Restauran phostreet dari Singapura satu lagi hasil ilham dari pho.



Dengan mengenali akan kepelbagaian pho ini, maka tahulah anda betapa pentingnya pho sebagai makanan harian kepada penduduk Vietnam. Walaupun terdapat pelbagai lagi hidangan istimewa Vietnam, namun pho merupakan antara makanan terpenting untuk dicuba apabila anda mempunyai peluang untuk mencubanya.



Free Download



Isnin, 5 Jun 2017

AirAsia Terbaik Asia, Terbaik Dunia

AirAsia mengubah industri pengangkutan udara menjadi lebih mudah.

Asia bukan sahaja terdiri daripada pelbagai negara-negara kecil, malah setiap negara ini terdiri daripada pelbagai etnik, dengan pelbagai gaya hidup yang unik. Antara bahagian yang paling menarik untuk dilawati adalah di sekitar SE Asia yang terdiri daripada 11 buah negara iaitu Brunei, Cambodia, East Timor, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Philippines, Singapore, Thailand dan Vietnam.

Semenjak sekian lama negara-negara ini menyimpan keunikan mereka dan jarang sekali dapat dilawati oleh penduduk setempat sehinggalah munculnya syarikat penerbangan tambang murah AirAsia yang merubah segalanya. Melalui kemudahan sistem penerbangan ini, perhubungan antara penduduk SE Asia menjadi semakin rapat dan membolehkan mereka mempelajari keunikan cara hidup masing-masing. Saban hari syarikat penerbangan AirAsia muncul sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik di dunia dan terus mengekalkan gelaran ini. Tahniah!

Kakitangan AirAsia yang cekap sedia bertugas.

Antara destinasi penerbangan AirAsia dan kumpulan AirAsia.

Penerbangan Yang Mudah dan Cepat

Semenjak memulakan operasinya 16 November 1996, AirAsia terus memperbaiki sistem operasinya mengikut peredaran masa dan keperluan pengguna. Inilah yang membolehkan ia terus memberikan perkhidmatan yang memudahkan bagi semua. Kesemua urusan boleh dilakukan sendiri oleh pengguna tanpa memerlukan agen, orang tengah ataupun mana-mana kaunter syarikat penerbangan tersebut. Kemudahan sistem atas talian (online) digunakan sepenuhnya bagi memudahkan lagi segala urusan ini.

Pengguna boleh menempah tiket mengikut keperluan mereka sendiri seperti keperluan bagasi, makanan dan minuman dan juga pilihan tempat duduk. Pengguna boleh memilih keperluan ini sekiranya perlu dengan menambah sedikit bayaran tambahan. Tiket yang telah dibeli masih boleh diubah sehinggalah pengguna berpuas hati. Para pengguna juga boleh membuat cetakan “boarding pass” sendiri sekiranya telah berpuas hati dengan tempahan tersebut. Ini membolehkan pengguna terus masuk ke balai perlepasan di lapangan terbang pada hari berlepas.


Sistem pengangkutan yang memudahkan pengguna.

Hub pengangkutan yang lengkap dan teratur.

Perkhidmatan Tambahan

Perkhidmatan tambahan seperti AirAsia Go memudahkan lagi bagi pengguna yang memerlukan perkhidmatan untuk tempahan hotel, pengangkutan dan pakej-pakej lawatan di destinasi-destinasi yang bakal dikunjungi. Antara perkara menarik mengenai hotel-hotel yang ditawarkan oleh AirAsia Go adalah rata-ratanya memuaskan. Ini tidak sama seperti hotel yang ditawarkan oleh laman tempahan hotel yang lain, di mana ada kalanya hotel yang ditawarkan tidak menyamai dengan gambar yang dipaparkan.

Tempahan dengan AirAsia Go juga biasanya memberikan anda pilihan tambang percuma apabila tempahan dilakukan bersama hotel. Ini merupakan satu lagi ciri istimewa AirAsia Go bagi mereka yang hanya melawat untuk melihat-lihat sesuatu kawasan tersebut dan pengguna tidak memerlukan pilihan tempat tinggal yang mewah.

Bantuan Sokongan

Applikasi telefon memudahkan lagi segala urusan.

Kemudahan yang disediakan bukanlah bermakna AirAsia tidak memberikan perkhidmatan sokongan seperti bantuan bagi para pengguna yang memerlukan bantuan. Malah setiap pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi AirAsia dengan beberapa cara termasuk telefon, Online Chat, email dan berhubung terus melalui kaunter-kaunter perkhidmatan yang disediakan.

Para pengguna juga boleh menggunakan apps yang disediakan mengikut sistem operasi masing-masing seperi Android ataupun AppleiOS. Kesemua kemudahan ini disediakan bagi memudahkan lagi segala urusan bagi pengguna dan juga bagi AirAsia sendiri dan ianya ternyata dapat menjimatkan banyak masa serta melancarkan lagi perjalanan.

Pilihan Penerbangan

Perkhidmatan AirAsia juga menyediakan pilihan penerbangan yang banyak ke serata SE Asia, Asia, Timur Tengah dan destinasi lain termasuk Australia, New Zealand dan Hawaii. Melalui pilihan pelbagai destinasi ini, para pengguna dapat memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh AirAsia untuk tujuan lawatan ke pelbagai destinasi dan mempelajari pelbagai perkara baru.

Bagi mendapatkan destinasi penerbangan yang lebih tepat pengguna bolehlah membuat tinjauan melalui laman web AirAsia sendiri untuk mengetahui destinasi-destinasi terbaru (dengan pertambahan destinasi yang sentiasa ditambah). Selain itu juga pengguna boleh menggunakan penerbangan sambungan daripada kumpulan anak-anak syarikat AirAsia dari serata negara SE Asia untuk pengalaman penerbangan yang lebih unik.


Walaupun terdapat pelbagai syarikat penerbangan yang disediakan di luar sana, setakat ini kesemua penerbangan yang dilakukan oleh MyRokan masih menggunakan perkhidmatan disediakan oleh AirAsia memandangkan kemudahan seperti yang disediakan di atas. Harga tiket yang ditawarkan juga adalah jauh lebih murah di samping perkhidmatan AirAsia Go yang memudahkan lagi untuk urusan penginapan. Kongsi-kongsikan pengalaman anda bersama syarikat penerbangan kegemaran anda.



Free Download



Sistem Penerbangan Murah Terbaik Di Asia

Syarikat penerbangan tambang murah merupakan satu pengangkutan penting.

Perkembangan industri penerbangan murah di Asia banyak membantu meningkatkan industri pelancongan di rantau ini. Malah industri ini sangat berjaya di Asia Tenggara dengan beberapa syarikat penerbangan penerbangan murah terbaik dunia adalah dari negara-negara di Asia Tenggara. Ia bukan sahaja membantu para pelancong tetapi juga bagi ramai penduduk tempatan untuk sama-sama menikmati kemudahan pengangkutan yang suatu masa dahulu hanya boleh digunakan oleh golongan tertentu sahaja.


10. Skymark Airlines

Skymark Airlines merupakan syarikat penerbangan yang beroperasi di Haneda Airport di Ōta, Tokyo, Japan dan memulakan operasinya pada 19 September 1998. Ia merupakan syarikat penerbangan kos murah bebas pertama di Jepun dan hampir mengalami bankrup. Walaubagaimanapun setelah melakukan penstrukturan semula syarikat ini masih mampu bertahan dan muncul sebagai antara 10 penerbangan terbaik di Rantau Asia.



9. Nok Air

Syarikat penerbangan murah yang dari Thailand yang semakin meningkat naik, memulakan operasinya pada 23 July 2004 melalui Don Mueang International Airport ke dentinasi-destinasi tempatan di Thailand. Penerbangan antarabangsa pertamanya adalah bermula pada 31 May 2007 dengan penerbangan harian ke Bangalore, India. Nok Air bersama-sama Scoot Airlines daripada Singapore membentuk NokScoot yang beroperasi bagi destinasi-destinasi di luar Thailand.



8. Tiger Airways

Tiger Airways pula adalah syarikat yang berasal dari Singapore dan mula ditubuhkan pada 12 December 2003. Ia ditubuhkan sebagai sebuah syarikat penerbangan bebas dan hanya mula disenaraikan di Bursa Saham Singapore di bawah nama Tiger Airways Holdings pada tahun 2010. Pada tahun 2014 penerbangan Tigerair ditambah lagi ke beberapa destinasi tambahan termasuk Xi'an, China dan Male, Maldives. Tiger Airways dan Scoot adalah sebahagian daripada Singapore Airlines yang memiliki saham terbesar syarikat-syarikat tersebut dengan pentadbiran melalui anak syarikatnya Budget Aviation Holdings.

Website  : www.tigerair.com


7. SpiceJet

SpiceJet merupakan syarikat penerbangan yang ditubuhkan di India pada 23 May 2005 dan beroperasi  melalui hub utamanya di Indira Gandhi International Airport (Delhi). Beroperasi untuk destinasi-destinasi tempatan dan beberapa destinasi antarabangsa. SpiceJet membuat rombakan besar dengan membuat potongan harga sehingga 50% kepada kebanyakan destinasinya pada musim panas 2014 untuk terus bersaing dengan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah yang lain. Selain kini menjadi antara syarikat penerbangan tambang murah yang berpotensi, SpiceJet terus berdaya saing dengan memberi sekali jaminan voucher 1,000 rupee untuk kelewatan penerbangan. SpiceJet merupakan antara syarikat penerbangan terbang murah yang menunjukkan peningkatan yang baik.

Website : spiceJet.com


6. Peach

Peach Aviation merupakan antara syarikat penerbangan murah yang masih baru dari Jepun yang hanya ditubuhkan pada 10 February 2011. Ia merupakan antara syarikat penerbangan harga murah yang menempa nama dengan cepat. Kini Peach turut terbang ke destinasi-destinasi antarabangsa seperi Korea, Hong Kong, China, Taiwan dan Thailand selain destinasi dalam negeri. Destinasi ini akan terus ditambah ke destinasi-destinasi Asia yang lain. Peach juga turut menawarkan banyak perkhidmatan tambahan bagi memenuhi keperluan para penggunanya.

Website: flypeach.com


5. Scoot

Scoot merupakan satu lagi syarikat penerbangan tambang murah yang ditubuhkan di Singapore pada tahun 2011 dan memulakan operasi pada 4 June 2012. Scoot dan juga Tigerair adalah merupakan sebahagian daripada Singapore Airlines yang juga merupakan pemegang saham syarikat-syarikat tersebut. Penerbangan Scoot menumpukan kepada penerbangan jarak jauh dengan destinasi-destinasi seperti di China dan beberapa destinasi sekitar Asia yang lain. Penerbangan Scoot juga termasuk Australia dan Greece. Saiz pesawat-pesawat yang digunakan Scoot juga adalah lebih besar iaitu Boeing 787–8 dan Boeing 787–9. Terdapat banyak kemudahan tambahan bagi para penumpang Scoot selain daripada kelebihan memilih kerusi dengan ruang kaki yang lebih besar.

Website :  flyscoot.com


4. Jetstar Asia

Jetstar Asia telah memulakan operasi sejak tahun 2004 lagi dengan pusat operasinya terletak di Singapore Changi Airport. Ia bukan sahaja merupakan sebahagian daripada Jetstar Airways malah merupakan subsidiari daripada syarikat penerbangan Australia iaitu Qantas. Destinasi-destinasi SE Asianya terdiri daripada Myanmar, Cambodia, Malaysia, Philippines, Thailand dan Vietnam. Manakala destinasi lain termasuklah Japan, Taiwan dan Hong Kong. Ia juga menyediakan penerbangan tambahan bagi syarikat-syarikat Jetstar yang lain seperti Jetstar di New Zealand, Jetstar Pacific dan Jetstar Japan dengan destinasi-destinasi penerbangan yang lebih banyak.

Website: jetstar.com


3. Indigo

Indigo merupakan syarikat penerbangan murah dari India yang mula beroperasi pada tahun 2006 dan menjadi antara syarikat penerbangan tambang murah di Asia. Sehingga kini Indigo memiliki 135 buah kapal terbang dan 458 lagi telahpun ditempah untuk operasinya akan datang. Operasinya tertumpu di kebanyakan destinasi di dalam negeri dan turut melibatkan destinasi luar seperti Thailand, Qatar, UAE, Iran, Singapore dan Nepal. Indigo bakal menambah banyak lagi destinasinya untuk masa-masa akan datang dan mungkin meningkatkan lagi prestasinya sebagai penerbangan tambang rendah yang terbaik!

Website : www.goindigo.in


2. AirAsia X

AirAsia X merupakan sebahagian daripada syarikat penerbangan tambang murah terkenal di dunia iaitu AirAsia dan mula ditubuhkan pada 2007. Ia menumpukan kepada penerbangan jarak jauh seperti termasuk China, Jepun, Korea, Taiwan, Australia, Iran, Australia, New Zealand, Hawaii dan banyak lagi destinasi yang akan terus ditambah. AirAsia kini beroperasi dengan sejumlah 30 buah kapal terbang dan 78 lagi akan mula beroperasi pada tahun 2018. AirAsia X turut mempunyai rangkaian-rangkaian lain iaitu Indonesia AirAsia X dan juga Thai AirAsia X.

Website : www.airasia.com


1. AirAsia

AirAsia bukan sahaja merupakan antara syarikat penerbangan termurah yang awal di dalam senarai ini, malah ia juga muncul sebagai syarikat tambang murah terbaik dunia untuk 8 tahun berturut-turut sehingga tahun 2016. Ia bukan sahaja terus berkembang malah, terus memperbaiki tahap perkhidmatannya bagi memenuhi keperluan para pengguna. Walaupun terdapat pelbagai syarikat penerbangan tambang murah di rantai ini, AirAsia merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan yang terpaling murah dan mudah untuk digunakan. Memulakan operasi semenjak tahun 16 November 1996 kini AirAsia turut mempunyai rangkaian AirAsia di beberapa negara jiran yang turut menambahkan lagi jaringan penerbangan AirAsia. Ia bukan sahaja menyediakan perkhidmatan pengangkutan malah meningkatkan lagi ekonomi serantau dengan lebih drastik. Bilangan kapal terbang AirAsia adalah 76 buah dan 365 buah lagi masih di dalam tempahan.

Website : www.airasia.com


Berikut dengan penyenaraian ini maka kita dapat melihat banyak lagi pilihan pengangkutan udara tambang murah yang terdapat di Asia khususnya SE Asia. Walaupun mungkin kita mempunyai syarikat penerbangan pilihan masing-masing, namun maklumat ini mungkin membantu kita dalam melihat pilihan yang turut disediakan. Mungkin ada di antara kita yang ingin mencuba penerbangan yang lain untuk pengalaman ataupun destinasi yang tidak ditawarkan syarikat penerbangan pilihan anda.


Free Download



Arkib Blog