Bus Hop On, Hop Off dengan warna-warna yang menarik. |
Kuala Lumpur merupakan bandaraya utama bagi Malaysia dan lawatan ke
tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur adalah sukar untuk dilakukan dalam tempoh
yang singkat, namun kali ini kita akan meninjau cara bagaimana untuk
membolehkan anda melihat tempat-tempat menarik ini dalam tempoh 24 ~ 48 jam
menggunakan perkhidmatan bas Hop On, Hop Off di Kuala Lumpur.
Walaupun tempoh yang dinyatakan di atas tidak membenarkan anda untuk
membuat pemerhatian terperinci untuk setiap tarikan yang disinggahi oleh bas Hop
On, Hop Off ini, namun ia sedikit sebanyak memberikan anda kesempatan untuk
melihat kesemua tempat-tempat menarik tersebut dalam tempoh yang dinyatakan.
Anda boleh meluangkan masa mengikut keperluan anda di tempat-tempat lawatan utama
sekiranya perlu.
Jadi apa yang anda perlu lakukan adalah mengenal pasti lokasi-lokasi menarik
yang disinggahi di sepanjang laluan Hop On, Hop Off ini selain merancang masa
yang diperlukan untuk anda membuat tinjauan di tempat-tempat tersebut. Anda
boleh menempah tiket antara 24 jam atau 48 jam mengikut perancangan anda.
Lokasi-lokasi yang disinggahi disertakan bersama dengan peta lawatan dan anda
perlulah merujuk peta ini dengan teliti.
Bas merentasi laluan-laluan di Kuala Lumpur. |
Kebaikan Menggunakan Hop On, Hop Off
Walaupun anda boleh melawati ke semua lokasi menarik di Kuala Lumpur tanpa
menggunakan perkhidmatan Hop On, Hop Off, anda perlu meluangkan masa yang agak
lama untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan ke lokasi-lokasi tersebut
berbanding satu laluan menggunakan perkhidmatan ini. Harga tiketnya pula jauh
lebih murah sekiranya dibandingkan dengan apabila anda perlu menggunakan
perkhidmatan teksi untuk lokasi-lokasi tertentu. Anda juga dijamin menemui
lokasi yang dicari berbanding sekiranya anda mencarinya sendiri menggunakan
perkhidmatan pengangkutan yang lain.
Perjalanan menggunakan Hop On, Hop Off juga adalah lebih selesa kerana ia
dilengkapi dengan bahagian bumbung terbuka dan bahagian yang
dilengkapi dengan penghawa dingin. Anda boleh membuat pilihan mengikut
keperluan lawatan anda. Selain itu juga anda dapat bersama-sama menyertai
kumpulan pelancong-pelancong lain dari pelbagai bangsa dari serata dunia yang
ingin sama-sama melawati tempat-tempat menarik tersebut.
Ruangan terbuka untuk pemandangan menyeluruh. |
Ruangan dalam yang nyaman dan selesa. |
Bagaimana Mendapatkan Tiket Bus?
Tiket bus boleh dadapati dari bas sendiri, agensi pelancongan, hotel-hotel
utama, selain menghubungi talian infoline di: 1800-88-5546. Anda juga boleh
membuat tempahan tiket secara online di www.myhoponhopoff.com
selain mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai perkhidmatan mereka.
Peta laluan dan lokasi persinggahan. (tekan untuk download peta). |
Antara lokasi yang disinggahi. |
Apa yang paling penting, anda perlulah bersedia dengan perancangan anda
untuk lokasi-lokasi yang ingin anda singgahi dan tempoh masa yang akan
diluangkan di lokasi-lokasi tersebut nanti. Melalui penggunaan bas Hop On, Hop
Off ini anda tidaklah perlu bimbang bagaimana untuk sampai ke lokasi lawatan,
sebaliknya menumpukan apakah yang akan anda perhatikan di setiap lokasi yang
bakal dilawati.