Sabtu, 12 November 2016

Permohonan Pembaharuan Pasport Online Menjimatkan Masa

Pembaharuan pasport secara online menjimatkan masa.

Proses pembaharuan pasport mengambil masa yang lama sekiranya dilakukan di pejabat-pejabat imigresen di bandar-bandar utama oleh kerana jumlah urusan yang perlu dilaksanakan amatlah tinggi. Perbezaan dalam tempoh 2 tahun ini menunjukkan peningkatan tahap efisyensi keberkesanan pengurusan di kaunter Jabatan Imigresen UTC, Pudu. Namun satu perkara yang menarik minat kami kali ini adalah pembaharuan pasport secara online yang telah lama dinanti-nantikan.

Permohonan pasport secara online telah dibuka semula pada 1 November 2016 bagi memudahkan urusan pembaharuan semula pasport. Kemudahan ini merupakan kemudahan yang amat diperlukan pada masa ini memandangkan urusan di kaunter-kaunter imigresen amatlah sesak dengan pelbagai urusan selain pengurusan pasport sahaja.

Bagi mereka yang ingin memperbaharui pasport nanti, gunakanlah kemudahan ini bagi memudahkan lagi urusan di kaunter-kaunter pejabat imigresen. Apa yang penting sebelum anda membuat permohonan pastikan anda telah mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan. Kemudahan ini boleh menjimatkan masa sekiranya dilakukan dengan betul.

Link ke page pembaharuan pasport melalui online: Link

Orang ramai beratur di luar Pejabat Imigresian UTC, Kuala Lumpur sejak awal pagi.

Orang ramai sabar menunggu angka giliran untuk memperbaharui pasport.

Berikut adalah beberapa garis panduan penting sebelum anda membuat permohonan pembaharuan pasport:

Spesifikasi Gambar Pasport:


Spesifikasi gambar ukuran pasport.

  • Latar belakang foto MESTI berwarna putih tanpa bayang. Latar belakang menggunakan warna lain tidak akan diterima.
  • Pakaian berwarna gelap serta menutupi bahu dan dada
  • Bagi perempuan yang memakai tudung kepala atau hijab mesti memakai tudung/hijab yang berwarna gelap dan tidak boleh menutup muka.
  • Gambar yang dimuatnaik mestilah dalam bentuk softcopy yang diambil oleh kedai gambar profesional.Gambar polaroid tidak dibenarkan.

 Sila lihat gambar contoh untuk keterangan lanjut.

*Permohonan yang tidak menepati spesifikasi tidak akan diproses terlebih dahulu dan akan menyebabkan kelewatan semasa pengambilan/serahan passport.

Terma & Syarat:

1. Pemohon mesti berumur 13 tahun keatas yang telah dikeluarkan dengan e-pasport (pasport bercip).

2. Pemohon perlu mengisi maklumat yang benar dan tepat di dalam ruangan yang disediakan dalam sistem. Jika terdapat maklumat/akuan palsu, permohonan akan ditolak dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12(1)(c) Akta Pasport 1966 (Akta 150).

3. Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun: Hanya penjaga yang sah yang telah memberi kebenaran semasa permohonan yang terdahulu dibenarkan membuat permohonan secara atas talian. Penjaga yang sah perlu hadir di pejabat imigresen semasa pengambilan pasport tersebut. Jika penjaga tidak hadir bersama, pasport tersebut tidak akan diserahkan.

4. Pemohon mesti memuatnaik gambar/foto bersaiz pasport yang terbaharu.

5. Bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit/debit terus (FPX). Kadar bayaran adalah seperti berikut:

     i. Permohonan Biasa 13 - 59 tahun : RM 200

     ii. Warga Emas (60 tahun keatas) : RM100

6. Pemohon perlu hadir sendiri untuk mengambil pasport dengan mengemukakan kad pengenalan, pasport sedia ada dan resit bayaran. Tiada wakil dibenarkan.

7. Kegagalan mengemukakan dokumen atau hadir akan menyebabkan pasport tidak akan diserah.

8. Pasport pembaharuan di dalam keadaan biasa sahaja

9. Buku Pasport mestilah didalam keadaan baik (tidak rosak ,berconteng, terkena air).

Keperluan Tambahan:

1. Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun perlu membawa sijil kelahiran dan penjaga yang sah yang telah memberi kebenaran perlu hadir bersama.

2. Sekiranya pemohon atau penjaga tidak hadir semasa kutipan pasport, pasport tersebut tidak akan diserahkan.

PEMBERITAHUAN

1. Sekiranya terdapat masalah untuk melaksanakan pembayaran anda perlu membuat semakan dengan bank kerana proses pembayaran adalah urusan pihak bank.

2. Sekiranya terdapat masalah gambar yang telah di muat naik, anda boleh datang ke pejabat JIM untuk mengambil gambar semula di Pejabat Pemungut.

3. Sekiranya permohonan di dapati keluar mesej 'Sila Rujuk Pejabat Imigresen', bermaksud permohonan anda tidak boleh dilaksanakan secara online disebabkan oleh :-

  3.1 Cap jari anda yang tersimpan telah rosak/tiada dan perlu dilakukan pengambilan semula supaya tidak akan ada masalah nanti semasa penggunaan cap jari di pintu masuk/keluar.
  
 3.2 Anda tidak memenuhi syarat-syarat seperti yang telah dimaklumkan dalam laman web 'MyOnline*Pasport'.
  
   3.3 Maklumat yang dimasukan tidak tepat/bercanggah dalam sistem.

Pembayaran:

Pembayaran segala kos pembaharuan dibuat secara online menggunakan kad kredit ataupun kad debit.

Tempoh Siap Pasport:

Pemohon perlu memilih untuk mengambil pasport yang telah siap di pejabat pengeluar pasport yang disenaraikan di dalam sistem. Manakala tarikh dan masa pula ditentukan berdasarkan hari dan masa permohonan dibuat.

Permohonan yang dibuat sebelum jam 3 petang hari bekerja akan menerima pasport mereka pada hari yang sama. Manakala permohonan selepas jam 3 petang pula akan diserahkan pada jam 10 pagi hari bekerja berikutnya.


Link ke page pembaharuan pasport melalui online: Link

Sementara menunggu angka giliran dipanggil.

Sehingga ke tengahari, orang ramai masih menunggu.

Pengumuman pengambilan pasport online di UTC, Kuala Lumpur.

Permohonan pemabahruan pasport di kaunter Jabatan Imigresen merupakan antara permohonan tertinggi selain daripada permohonan baru. Jadi melalui perkhidmatan ini kadar urusan di kaunter dapat dikurangkan hampir separuh. Kami amat berterima kasih atas kesungguhan dan kesabaran pegawai-pegawai di Jabatan Imigresen dalam menjalankan tugas mereka. Semoga semua orang ramai dapat bersama-sama memudahkan urusan dan menangani segala masalah dengan baik.


Free Download


Khamis, 10 November 2016

Teknik Penanaman Tumbuhan (Propagation)

Penanaman anak benih melalui semaian biji.

Bagi yang berminat dalam penanaman tumbuhan ataupun seni taman, teknik penanaman tumbuhan merupakan salah satu pengetahuan penting untuk diterokai. Selain daripada membantu anda untuk menghasilkan lebih banyak pokok-pokok untuk keperluan sendiri, anda juga mungkin boleh menghasilkan anak pokok untuk jualan.

Ada beberapa teknik utama penghasilan anak tumbuhan baru selain daripada biji benih. Malah sekiranya anda berminat dengan tumbuhan paku-pakis pula ia memerlukan spora yang sedikit berbeza dengan teknik tanaman yang akan kita perbincangkan hari ini. Hari ini kita akan meninjau teknik penanaman tumbuh-tumbuhan biasa yang tergolong dalam tumbuhan berbunga (angiosperms) yang biasa digunakan sebagai tanaman hiasan.

Teknik-teknik penanaman;

Biji Benih

Peringkat percambahan biji benih.

Biji benih adalah cara yang paling biasa digunakan untuk penanaman tumbuhan. Ia merupakan cara semulajadi yang digunakan tumbuhan sendiri untuk menghasilkan generasi baru. Biji benih juga boleh menghasilkan tumbuhan dengan ciri-ciri baru hasil daripada kacukan dua induk yang berbeza (hybrid). Anda boleh merujuk artikel mengenai penghasilan benih hybrid untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknik-teknik penghasilannya.

Penanaman menggunakan biji benih walaubagaimanapun memakan masa yang lebih lama. Jadi teknik-teknik penanaman kaedah lain juga sering digunakan sekiranya ciri-ciri pokok induk adalah bersesuaian dengan anak benih baru yang ingin dihasilkan. Anak benih yang dihasilkan menggunakan biji benih mungkin mudah terjejas apabila terdedah kepada keadaan yang terlalu panas, lembab, kering dan sebagainya. Jadi sekiranya anda memilih untuk menggunakan biji benih, tapak semaian yang bersesuaian perlulah disediakan.



Keratan Batang

Keratan batang merupakan kaedah yang paling biasa digunakan untuk tujuan pembiakan tumbuhan. Ia merupakan kaedah yang popular bagi tumbuh-tumbuhan yang sesuai. Bagi tujuan ini, batang dari pokok induk yang cukup matang digunakan. Biasanya hormon penggalak akar akan digunakan untuk memastikan penghasilan akar yang lebih cepat.

Pastikan tanah cukup lembab dan batang yang digunakan tidak kering. Letakkan tempat semaian di kawasan yang redup. Serkup dengan plastik untuk menyediakan keadaan yang lembab kepada tapak semaian yang dibuat sekiranya perlu. Kebanyakan pokok yang boleh ditanam menggunakan biji, juga boleh ditanam menggunakan keratan batang. Bezanya, keratan batang boleh dilakukan lebih cepat tanpa menunggu pokok berbuah dan menjadi matang untuk menghasilkan biji yang boleh ditanam.

Pokok-pokok yang boleh ditanam menggunakan keratan batang terdiri daripada pelbagai jenis pokok daripada buah-buahan sehinggalah bunga-bungaan seperti ros, bunga kertas, kemboja, ubi kayu, tebu, cekur manis, kacang kelo dan sebagainya.

Keratan Daun

Daun juga boleh digunakan untuk menghasilkan anak benih baru.

Bagi sesetengah tumbuhan keratan daun juga boleh digunakan untuk tujuan penanaman anak benih. Bunga seperti Begonia masoniana dan Begonia rex hybrid boleh ditanam menggunakan kaedah ini.

Manakala keratan keseluruhan daun pula sesuai untuk tumbuhan seperti Sinningia, Saintpaulia dan Peperomia. Tumbuh-tumbuhan lain yang sesuai termasuklah Kalanchoe, Echeveria dan Crassula (seperti Crassula ovata - jade plant).

Terdapat banyak lagi spesis tumbuhan yang boleh ditanam menggunakan daun termasuk dari jenis berbatang dan daun lembut seperti S. rubrum, S. hintonii dan S. morganium. Manakala dari spesis herba berkayu seperti S. spectabile juga boleh menggunakan keratan daun untuk tujuan penanaman anak benih.



Cantuman Tunas

Beberapa teknik cantuman tunas.

Cantuman tunas dilakukan samada untuk mendapatkan ciri-ciri pokok induk yang diinginkan atau untuk mencantumkan lebih daripada satu ciri-ciri induk pada sebatang pokok. Ini membolehkan pokok yang ditanam mempunyai daya tahan ataupun menghasilkan tanaman seperti yang terdapat pada pokok induk yang menyediakan tunas yang dipindahkan.

Cantuman tunas juga biasa digunakan pada tumbuhan seperti bunga kertas untuk menghasilkan pelbagai jenis warna bungaan pada sebatang pokok. Terdapat juga cantuman yang dilakukan kepada pokok sitrus untuk menghasilkan beberapa jenis buah seperti limau nipis, limau kasturi, lemon, limau manis dan lain-lain pada sebatang pokok.

Cantuman tunas merupakan teknik pertanian yang perlu dikuasai. Pokok yang dihasilkan melalui cantuman tunas tidak boleh diwasiri daripada biji yang dihasilkan daripada buahnya ataupun keratan batangnya. Setiap pokok cantuman tunas adalah unik dan perlu dihasilkan secara individu.

Ubi dan Umbisi

Ubi, bebawang, sulur dan rhizom.

Ubi dan umbisi adalah merangkumi tumbuh-tumbuhan seperti kentang, ubi, keledek, keladi, kunyit, halia, cekur, keladi dan sebagainya. Bagi tumbuhan jenis ini, ubi dan umbisinya boleh digunakan untuk tujuan pembiakan benih baru. Tetapi bagi tumbuhan seperti keledek dan ubi, keratan batang juga boleh digunakan untuk tujuan pembiakan benih.

Bagi kaedah tanaman ubi ini, apa yang menarik adalah, ubi atau umbisi tersebut boleh dikerat untuk menghasilkan lebih banyak anak benih. Selain itu juga ubi atau umbisi tersebut akan menyediakan zat pemakanan sementara anak benih masih kecil secara tidak langsung membantu anak benih yang masih kecil untuk tumbuh dengan lebih baik.

Pembahagian

Teknik pembahagian dilakukan ke atas tumbuh-tumbuhan berbawang seperti bawang merah, bawang putih, lily, tulip dan saffron. Ia merupakan antara kaedah klasik tertua selain menggunakan kaedah keratan batang dan tanaman menggunakan biji benih. Namun hari ini, kaedah yang lebih berkesan untuk menghasilkan lebih banyak anak benih tumbuhan ini adalah melalui kaedah kultur tisu.

Bagi melakukan teknik ini, bebawang dikerat kepada beberapa bahagian (perlu mengandungi kedua bahagian pucuk dan akar) untuk memastikan ia tumbuh menghasilkan anak benih baru. Teknik ini perlu dilakukan berhati-hati kerana sekiranya ia menjadi terlalu kering, anak benih mungkin akan mati.



Sulur (stolons)

Sesetengah tumbuhan menghasilkan sulur yang akan menghasilkan anak baru. Sulur-sulur ini juga sesuai digunakan untuk dialihkan ke kawasan-kawasan lain sebagai anak benih baru. Tumbuhan seperti pucuk pegaga, strawberry, iris, rumput dan orkid merupakan beberapa jenis tumbuhan yang menghasilkan sulur.

Sulur akan menghasilkan anak-anak pokok yang boleh dipotong dan dialihkan sebagai pokok yang berasingan. Anak benih yang dihasilkan melalui sulur ini juga mempunyai ciri-ciri pokok induk seperti keratan batang, keratan daun dan teknik pembahagian.

Tut (layering)

Teknik-teknik melakukan tut (air layering).

Tut merupakan satu lagi kaedah klasik menghasilkan anak benih tumbuhan yang mengambil masa yang lama untuk menghasilkan biji benih. Melalui kaedah tut kulit luar pada pokok akan dibuang dan bahagian tersebut akan disaluti dengan medium seperti tanah ataupun bahan lain yang boleh menyimpan lembapan seperti sabut kelapa, lumut kering dan kain. Hormon penggalak akar juga boleh digunakan untuk mempercepatkan proses pembentukan akar pada bahagian yang diperlukan.

Satu lagi kaedah tut adalah dengan menanamkan bahagian dahan pokok ke dalam tanah sehingga ia membentuk akar. Bahagian ini kemudiannya dipisahkan dari pokok induk sebelum dipindahkan ke tempat yang baru.

Terdapat beberapa lagi teknik penghasilan anak benih moden yang telah disentuh sebelum ini seperti kaedah kultur tisu. Manakala bagi tumbuhan seperti paku-pakis dan cendawan pula, spora digunakan untuk menghasilkan anak-anak baru tumbuhan tersebut.


Walaupun kebanyakan teknik ini telahpun kita ketahui, namun jarang bagi kita menggunakan kaedah ini untuk melipat gandakan tanaman ataupun tumbuhan hiasan yang kita miliki. Mungkin sekiranya anda berminat, teknik ini boleh membantu samada untuk anda manfaatkan bagi menghasilkan tanaman sendiri ataupun untuk tujuan komersil. Semoga ia membawa kebaikan.


Free Download



Rabu, 9 November 2016

Pokok Hiasan Yang Sesuai di Dalam Rumah

Photos merupakan pokok yang paling mudah untuk dijaga.

Bagi anda yang tinggal di rumah-rumah pangsa/flat ataupun bagi mereka yang terlalu sibuk dengan tugasan harian, keinginan memiliki taman atau tumbuhan mungkin agak terbatas meskipun anda mempunyai keinginan yang tinggi terhadapnya. Namun sebenarnya anda masih boleh memiliki tumbuhan-tumbuhan yang amat mudah dijaga malah boleh dibesarkan di dalam rumah dengan penjagaan yang minima.

Tidak semua tumbuhan memerlukan penjagaan yang rapi. Malah ada diantaranya boleh hidup dengan baik dengan hanya meletakkannya ke dalam air dan diberikan sumber cahaya yang cukup (dari tingkap rumah/lampu yang cukup terang). Jadi apa yang penting adalah anda mendapatkan tumbuhan yang sesuai dan juga menyediakan keperluannya yang cukup.

Berikut adalah beberapa tumbuhan yang dimaksudkan. Terdapat lain-lain lain yang juga boleh ditanam di dalam rumah sekiranya anda terus mencarinya. Apa yang penting, anda akan mempelajarinya dengan lebih baik melalui pengalaman setelah mencubanya.


Photos

Photos mudah ditanam di dalam rumah.

Photos (Epipremnum aureum) merupakan tumbuhan yang terpaling mudah untuk ditanam di dalam rumah. Ia boleh ditanam menggunakan tanah, batu kerikil, leca, dan apa sahaja medium tanaman. Malah anda boleh meletakkannya terus ke dalam air dan meletakkannya di tempat yang menyediakannya sumber cahaya yang cukup. Pokok istimewa ini adalah tumbuhan yang terpaling baik sekiranya anda terlalu sibuk untuk meluangkan masa memberikan penjagaan kepada tumbuhan anda.

Pokok ini dikenali dengan pelbagai nama di merata-rata tempat dan adakalanya dikenali sebagai Philodendron oleh penjual-penjual utama tumbuhan. Ia boleh didapati tumbuh dengan mudah di kawasan-kawasan beriklim tropika dan sederhana.

Lidah Buaya (Aloe vera)

Aloe vera juga sesuai sebagai tumbuhan dalaman.

Lidah buaya (Aloe vera) bukan sahaja mudah tumbuh di dalam rumah, malah tidak memerlukan penjagaan yang banyak juga. Anda tidak perlu menyiramnya setiap hari, tetapi perlu meletakkannya di tempat yang sesuai (dengan cahaya dan kehangatan yang cukup.

Lidah buaya, selain cantik dijadikan hiasan, ia juga mempunyai kebaikan untuk merawat masalah kulit seperti mengelakkan parut dan merawat masalah kulit seperti jerawat. Ia memerlukan tanah yang tidak menakung air dan anda tidak perlu menyiramnya setiap hari. Pastikan juga ia tidak mempunyai terlalu banyak anak untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.


Spider Plant

Pokok spider plant dengan daun yang lebih tirus.

Spider Plant (Chlorophytum comosum) juga merupakan tanaman yang mudah ditanam di dalam rumah namun tidak seperti photos, ia perlu ditanam menggunakan tanah. Ia mempunyai daun yang meruncing dan sesuai dijadikan tanaman gantung kerana ia akan mengeluarkan sulur yang akan mengandungi anaknya pula.

Tidak seperti kedua-dua pokok di atas, spider plant memerlukan penjagaan lebih sedikit mengenai penyiramannya namun tidak cerewet sekiranya anda menyiramnya sedikit berlebihan. Ia perlu ditempatkan di tempat yang memberikan sumber cahaya yang cukup.

English Ivy

English ivy, mempunyai daun yang cantik.

English Ivy (Hedera helix) merupakan tumbuhan melilit yang seperti juga tumbuhan melilit di kawasan tropika yang boleh meliputi pokok-pokok lain yang lebih besar sekiranya tidak dikawal. Namun tumbuhan English Ivy untuk hiasan biasanya dibiarkan untuk tumbuh dalam saiz yang kecil dan dibentuk mengikut bentuk yang menarik (memerlukan rangka penyokong).

Oleh kerana ia berasal dari kawasan dingin di utara, maka tumbuhan ini memerlukan suhu yang lebih sejuk dan tidak terdedah terus kepada panas matahari. Ia juga memerlukan tanah yang lebih lembab dan cahaya yang cukup.

Jade Plant

Jade plant bentuk pokok dan daun yang cantik.

Jade Plant (Crassula ovata) juga merupakan pokok yang sesuai di tanam di dalam rumah dan mudah dijaga. Mempunyai daun yang menyimpan air, ia tidak perlu disiram secara kerap. Jadi anda perlu menyediakan tanah yang sedikit berpasir untuk mengelakkan air bertakung.

Tumbuhan ini berasal dari Afrika Selatan dan Mozambique yang membolehkan ia menyesuaikan dengan keadaan suhu bilik dengan mudah. Apa yang penting, anda perlulah menyediakan pencahayaan yang cukup. Jade plant merupakan antara pokok hiasan dalaman yang cukup popular kerana ia mudah dibentuk dan tumbuh untuk jangkamasa yang lama.

Rubber Plant

Rubber plant merupakan pokok ficus.

Rubber Plant (Ficus elastica) sebenarnya merupakan salah satu pokok dari keluarga pokok ara (banyan) dan boleh tumbuh mencapai saiz yang amat besar. Pokok ini berasal dari kawasan tropika dan tumbuh di negara-negara dari India, Nepal, Bhutan, Burma, China (Yunnan), Malaysia, dan Indonesia. Ia juga hidup dengan mudah di West Indies dan di US (Florida).

Pokok ara ini mudah hidup dan dikekalkan dalam saiz yang kecil. Anda juga boleh membentuk daun dan dahannya dengan mudah seperti yang anda mahukan. Saiz pokok perlu sesuai dengan bekas tanaman yang disediakan. Ia merupakan pokok yang mudah dijaga selagi mempunyai cahaya yang cukup.


Dieffenbachia

Lebih dikenali sebagai pokok keladi.

Dieffenbachia kebiasaannya dikenali sebagai bunga keladi dan mempunyai beberapa spesies yang sememangnya setelah sekian lama dijadikan sebagai tanaman hiasan dalaman. Ia adalah tumbuhan yang berasal dari kawasan tropika Amerika Selatan dan kini mudah didapati di kawasan tropika lain di dunia.

Ia memerlukan tanah yang sedikit lembab dan cahaya yang sederhana hingga terang. Penjagaannya tidak terlalu cerewet. Apa yang penting sekiranya anda ingin memiliki tumbuhan ini anda perlulah berhati-hati dengan getahnya yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit.

Peace Lily

Peace lily mempunyai bunga yang cantik.

Peace lily (Spathiphyllum) juga merupakan tumbuhan dari kawasan tropika Amerika dan juga Asia Tenggara. Ia sememangnya tumbuhan yang cantik terutamanya apabila mula mengeluarkan bunga. Penjagaannya yang mudah membolehkan ia ditanam di dalam dan juga di luar rumah.

Ia bagaimanapun memerlukan tanah yang agak lembab dan kelembapan yang tinggi menambahkan lagi kesegaran kepadanya. Jadi, anda perlu menyediakan kawasan yang teduh dengan cahaya yang cukup untuk mendapatkan hasil yang baik daripada pokok ini.

Snake Plant

Lidah buaya pokok yang amat cantik.

Snake Plant (Sansevieria trifasciata) juga dikenali sebagai lidah buaya telah dikenali sejak sekian lama. Ia merupakan pokok yang mudah ditanam dan mudah pula digayakan dengan menarik menggunakan bekas tanaman yang ringkas. Namun lidah buaya ini merupakan tumbuhan yang juga berasal dari Afrika Barat iaitu Nigeria dan Congo.

Ia merupakan tanaman yang cukup mudah dijaga kerana tidak memerlukan penjagaan rapi. Tanahnya juga tidak perlu terlalu lembab dan menakung air. Cahaya yang diperlukan tumbuhan ini juga boleh berada pada kadar yang kurang sehingga keadaan yang terang. Ini memudahkan lagi untuk anda meletakkannya hampir di mana sahaja di dalam rumah.

Ficus

Pokok ficus atau ara merupakan pokok yang mudah tumbuh.

Ficus merupakan nama bagi satu kumpulan pokok yang besar. Namun apabila merujuk kepada tanaman hiasan terdapat kumpulan ficus yang telah sedia popular digunakan untuk tujuan ini. Terdapat banyak jenis ficus yang disediakan oleh pembekal tanaman hiasan dan anda boleh memilih dari jenis yang anda minati.

Ficus boleh tumbuh dengan mudah dalam persekitaran cahaya yang berbeza. Ia juga mudah dijaga dengan kelembapan tanah yang cukup dan tidak menakung air. Pokok ficus ini mudah dibentuk untuk menjadi rimbun atau membentuk bentuk-bentuk tertentu.

Peperomia

Pokok yang lebih unik pokok peperomia.

Peperomia terdiri daripada kumpulan tumbuhan yang banyak dan ada di antaranya sesuai dijadikan tanaman hiasan. Oleh kerana ia memerlukan sedikit cahaya, persekitaran yang agak redup dan kelembapan, suasana dalaman rumah merupakan tempat yang sesuai untuk tumbuhan ini.

Ia berasal dari kawasan yang berbeza-beza iaitu dari kawasan tropika sehingga ke kawasan beriklim sederhana. Jadi anda perlu mengetahui serba sedikit mengenai keperluan cahaya dan suhu yang sesuai untuk spesies yang anda pilih. Namun kebiasaannya peperomia tumbuh di kawasan yang redup dan lembab.

Areca Palm

Areca palm pokok yang sesuai di dalam rumah.

Areca Palm berupa pokok palma yang bersaiz kecil dan sesuai untuk suasana dalaman. Berbanding dengan palma lain yang agak besar, ia mempunyai saiz yang lebih kecil untuk dimuatkan ke dalam pasu. Areca palm amat sesuai ditempatkan di pinggir rumah atau sudut-sudut yang kosong.

Ia tidak memerlukan cahaya yang terlalu terang dan tanah yang juga tidak perlu terlalu lembab. Jadi anda tidak perlu menyiramnya setiap hari sekiranya tanah masih lagi lembab. Ia juga boleh ditempatkan di luar rumah seperti di balkoni atau di kaki lima yang berbumbung.


Seperti yang diterangkan pada awal artikel ini, terdapat banyak lagi tumbuhan yang boleh ditanam di dalam rumah. Namun di sini adalah sebahagian daripadanya yang mudah untuk tujuan penjagaan yang minimum. Anda boleh memilih tumbuhan-tumbuhan lain yang dirasakan sesuai, namun anda juga digalakkan untuk mencuba tumbuhan-tumbuhan lain.


Free Download


Isnin, 7 November 2016

Pengkelasan Tumbuhan Berbunga (Angiosperms) dan Faedahnya

Pengkelasan tumbuhan membawa pelbagai kebaikan kepada pembangunan hasil tanaman (hybrid rose).

Tumbuhan berbunga (angiosperms) merupakan satu kumpulan besar tumbuh-tumbuhan darat yang merangkumi jumlah spesis tumbuhan yang besar iaitu dari 295,383 spesis yang diketahui. Kumpulan ini diasingkan mengikut beberapa genus (genera) 13,164 yang terbahagi pula kepada beberapa kumpulan family 416.

Oleh kerana jumlah spesis besar ini, pengkelasan tumbuh-tumbuhan dapat membantu manusia memudahkan lagi tujuan mengenalpasti sesuatu tumbuhan. Malah kemajuan pertanian banyak dibantu oleh pengkelasan ini terutamanya dalam menyediakan tumbuhan varieti (hybrid) baru untuk meningkatkan lagi hasil pertanian selain menambahkan ciri-ciri tertentu pada tumbuhan tersebut.


Selain daripada menghasilkan varieti baru, pengkelasan tumbuh-tumbuhan juga membolehkan tanaman dipertingkatkan melalui teknik cantuman (grafting) seperti penghasilan pokok “pomato” dan juga “Egg and Chips”. Malah tanaman juga boleh dicantumkan sebanyak mungkin pada satu pohon dari keluarga yang sama - seperti yang biasa dilakukan pada pokok bunga kertas (Bougainvillea) atau pada tumbuhan sitrus.


Pomato yang dihasilkan secara "grafting".
Kepelbagaian rupa bentuk bunga dalam family Asteraceae (daisy).

Oleh kerana perkembangan teknologi membantu manusia mengesan lebih banyak tumbuh-tumbuhan baru dan pengkelasan yang lebih baik cuba dihasilkan. Pengkelasan tumbuh-tumbuhan juga turut diperbaiki dari masa ke semasa. Semenjak awal lagi pengkelasan tumbuhan berbunga ini telah dilakukan oleh Paul Hermann pada 1690. Pengkelasan ini terus ditambah dari masa ke semasa mengikut pengetahuan yang semakin bertambah para pengkaji dari setiap abad. Sehingga pengkelasan terbaru iaitu Angiosperm Phylogeny Group (APG) dan pengkelasan yang telah dikemaskini yang dikenali sebagai APG III pada tahun 2009. Itu hanyalah ringkasan sahaja mengenai bagaimana pengkelasan ini boleh berlaku.

Melalui APG III (2009) tumbuh-tumbuhan berbunga dibahagikan kepada 415 family dan di antara family tersebut seperti mana berikut merupakan 42 family dengan jumlah spesis yang terbanyak:

  1. Asteraceae atau Compositae (daisy family): 22,750 spesis;
  2. Atauchidaceae (atauchid family): 21,950;
  3. Fabaceae atau Leguminosae (bean family): 19,400;
  4. Rubiaceae (madder family): 13,150;[46]
  5. Poaceae atau Gramineae (grass family): 10,035;
  6. Lamiaceae atau Labiatae (mint family): 7,175;
  7. Euphataubiaceae (spurge family): 5,735;
  8. Melastomataceae atau Melastomaceae (melastome family): 5,005;
  9. Myrtaceae (myrtle family): 4,625;
  10. Apocynaceae (dogbane family): 4,555;
  11. Cyperaceae (sedge family): 4,350;
  12. Malvaceae (mallow family): 4,225;
  13. Araceae (arum family): 4,025;
  14. Ericaceae (heath family): 3,995;
  15. Gesneriaceae (gesneriad family): 3,870;
  16. Apiaceae atau Umbelliferae (parsley family): 3,780;
  17. Brassicaceae atau Cruciferae (cabbage family): 3,710:
  18. Piperaceae (pepper family): 3,600;
  19. Acanthaceae (acanthus family): 3,500;
  20. Rosaceae (rose family): 2,830;
  21. Batauaginaceae (batauage family): 2,740;
  22. Urticaceae (nettle family): 2,625;
  23. Ranunculaceae (buttercup family): 2,525;
  24. Lauraceae (laurel family): 2,500;
  25. Solanaceae (nightshade family): 2,460;
  26. Campanulaceae (bellflower family): 2,380;
  27. Arecaceae (palm family): 2,361;
  28. Annonaceae (custard apple family): 2,220;
  29. Caryophyllaceae (pink family): 2,200;
  30. Atauobanchaceae (broomrape family): 2,060;
  31. Amaranthaceae (amaranth family): 2,050;
  32. Iridaceae (iris family): 2,025;
  33. Aizoaceae atau Ficoidaceae (ice plant family): 2,020;
  34. Rutaceae (rue family): 1,815;
  35. Phyllanthaceae (phyllanthus family): 1,745;
  36. Scrophulariaceae (figwataut family): 1,700;
  37. Gentianaceae (gentian family): 1,650;
  38. Convolvulaceae (bindweed family): 1,600;
  39. Proteaceae (protea family): 1,600;
  40. Sapindaceae (soapberry family): 1,580;
  41. Cactaceae (cactus family): 1,500;
  42. Araliaceae (Aralia atau ivy family): 1,450.

Bunga raya yang dihasilkan secara hybrid.

Hasil tanaman yang lebih baik.

Pengkelasan ini, seperti yang diterangkan pada awal artikel membantu para pengkaji ataupun petani sendiri untuk mengenalpasti sesuatu spesis tumbuhan dalam usaha meningkatkan produktiviti tanaman selain menambah ciri-ciri tambahan lain seperti ketahanan daripada serangan penyakit, tahan kemarau dan sebagainya.


Mungkin tidak ramai yang menyedari di mana hasil-hasil pertanian hari ini adalah dari kumpulan tumbuhan berbunga ini seperti Poaceae atau family grass (bijirin) merupakan tanaman terpenting yang membekalkan bukan sahaja manusia malah haiwan ternakan dengan sumber makanan. Tanaman termasuk dalam kumpulan ini adalah seperti (beras, jagung - jagung, gandum, barley, rye, oats, pearl millet, tebu, sorghum). Ini diikuti dengan kumpulan kekacang (Fabaceae) atau legume yang juga digunakan sebagai sumber makanan atau untuk diproses menjadi bahan lain seperti soya, taugeh, dhal, kacang panjang, kacang tanah dan sebagainya. Solanaceae juga dikenali sebagai family nightshade adalah terdiri dari tanaman seperti kentang, tomato, lada (cili), terung dan lain-lain (rujuk artikel “pomato” dan “Egg and Chips”).

Bunga memainkan peranan penting bagi tumbuhan.

Salah satu jenis bunga dari kumpulan buttercup.

Pengkelasan ini bukan sahaja penting bagi tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk tujuan tanaman yang membekalkan sumber makanan kepada manusia malah ia juga membantu industri lain seperti tanaman hiasan, penghasilan minyak wangi, minyak, kertas, perabot, perkayuan dan macam-macam lagi yang melibatkan tumbuhan. Anda mungkin tidak perlu menghafal kesemua kelas tumbuhan ini kerana kini kemudahan teknologi dapat membantu anda mengenalnya dengan mudah. Namun asas kepada pengkelasan dan faedah pengkelasan ini tentu dapat memberikan banyak manfaat kepada kita semua.


Free Download



Arkib Blog