Rabu, 9 November 2016

Pokok Hiasan Yang Sesuai di Dalam Rumah

Photos merupakan pokok yang paling mudah untuk dijaga.

Bagi anda yang tinggal di rumah-rumah pangsa/flat ataupun bagi mereka yang terlalu sibuk dengan tugasan harian, keinginan memiliki taman atau tumbuhan mungkin agak terbatas meskipun anda mempunyai keinginan yang tinggi terhadapnya. Namun sebenarnya anda masih boleh memiliki tumbuhan-tumbuhan yang amat mudah dijaga malah boleh dibesarkan di dalam rumah dengan penjagaan yang minima.

Tidak semua tumbuhan memerlukan penjagaan yang rapi. Malah ada diantaranya boleh hidup dengan baik dengan hanya meletakkannya ke dalam air dan diberikan sumber cahaya yang cukup (dari tingkap rumah/lampu yang cukup terang). Jadi apa yang penting adalah anda mendapatkan tumbuhan yang sesuai dan juga menyediakan keperluannya yang cukup.

Berikut adalah beberapa tumbuhan yang dimaksudkan. Terdapat lain-lain lain yang juga boleh ditanam di dalam rumah sekiranya anda terus mencarinya. Apa yang penting, anda akan mempelajarinya dengan lebih baik melalui pengalaman setelah mencubanya.


Photos

Photos mudah ditanam di dalam rumah.

Photos (Epipremnum aureum) merupakan tumbuhan yang terpaling mudah untuk ditanam di dalam rumah. Ia boleh ditanam menggunakan tanah, batu kerikil, leca, dan apa sahaja medium tanaman. Malah anda boleh meletakkannya terus ke dalam air dan meletakkannya di tempat yang menyediakannya sumber cahaya yang cukup. Pokok istimewa ini adalah tumbuhan yang terpaling baik sekiranya anda terlalu sibuk untuk meluangkan masa memberikan penjagaan kepada tumbuhan anda.

Pokok ini dikenali dengan pelbagai nama di merata-rata tempat dan adakalanya dikenali sebagai Philodendron oleh penjual-penjual utama tumbuhan. Ia boleh didapati tumbuh dengan mudah di kawasan-kawasan beriklim tropika dan sederhana.

Lidah Buaya (Aloe vera)

Aloe vera juga sesuai sebagai tumbuhan dalaman.

Lidah buaya (Aloe vera) bukan sahaja mudah tumbuh di dalam rumah, malah tidak memerlukan penjagaan yang banyak juga. Anda tidak perlu menyiramnya setiap hari, tetapi perlu meletakkannya di tempat yang sesuai (dengan cahaya dan kehangatan yang cukup.

Lidah buaya, selain cantik dijadikan hiasan, ia juga mempunyai kebaikan untuk merawat masalah kulit seperti mengelakkan parut dan merawat masalah kulit seperti jerawat. Ia memerlukan tanah yang tidak menakung air dan anda tidak perlu menyiramnya setiap hari. Pastikan juga ia tidak mempunyai terlalu banyak anak untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.


Spider Plant

Pokok spider plant dengan daun yang lebih tirus.

Spider Plant (Chlorophytum comosum) juga merupakan tanaman yang mudah ditanam di dalam rumah namun tidak seperti photos, ia perlu ditanam menggunakan tanah. Ia mempunyai daun yang meruncing dan sesuai dijadikan tanaman gantung kerana ia akan mengeluarkan sulur yang akan mengandungi anaknya pula.

Tidak seperti kedua-dua pokok di atas, spider plant memerlukan penjagaan lebih sedikit mengenai penyiramannya namun tidak cerewet sekiranya anda menyiramnya sedikit berlebihan. Ia perlu ditempatkan di tempat yang memberikan sumber cahaya yang cukup.

English Ivy

English ivy, mempunyai daun yang cantik.

English Ivy (Hedera helix) merupakan tumbuhan melilit yang seperti juga tumbuhan melilit di kawasan tropika yang boleh meliputi pokok-pokok lain yang lebih besar sekiranya tidak dikawal. Namun tumbuhan English Ivy untuk hiasan biasanya dibiarkan untuk tumbuh dalam saiz yang kecil dan dibentuk mengikut bentuk yang menarik (memerlukan rangka penyokong).

Oleh kerana ia berasal dari kawasan dingin di utara, maka tumbuhan ini memerlukan suhu yang lebih sejuk dan tidak terdedah terus kepada panas matahari. Ia juga memerlukan tanah yang lebih lembab dan cahaya yang cukup.

Jade Plant

Jade plant bentuk pokok dan daun yang cantik.

Jade Plant (Crassula ovata) juga merupakan pokok yang sesuai di tanam di dalam rumah dan mudah dijaga. Mempunyai daun yang menyimpan air, ia tidak perlu disiram secara kerap. Jadi anda perlu menyediakan tanah yang sedikit berpasir untuk mengelakkan air bertakung.

Tumbuhan ini berasal dari Afrika Selatan dan Mozambique yang membolehkan ia menyesuaikan dengan keadaan suhu bilik dengan mudah. Apa yang penting, anda perlulah menyediakan pencahayaan yang cukup. Jade plant merupakan antara pokok hiasan dalaman yang cukup popular kerana ia mudah dibentuk dan tumbuh untuk jangkamasa yang lama.

Rubber Plant

Rubber plant merupakan pokok ficus.

Rubber Plant (Ficus elastica) sebenarnya merupakan salah satu pokok dari keluarga pokok ara (banyan) dan boleh tumbuh mencapai saiz yang amat besar. Pokok ini berasal dari kawasan tropika dan tumbuh di negara-negara dari India, Nepal, Bhutan, Burma, China (Yunnan), Malaysia, dan Indonesia. Ia juga hidup dengan mudah di West Indies dan di US (Florida).

Pokok ara ini mudah hidup dan dikekalkan dalam saiz yang kecil. Anda juga boleh membentuk daun dan dahannya dengan mudah seperti yang anda mahukan. Saiz pokok perlu sesuai dengan bekas tanaman yang disediakan. Ia merupakan pokok yang mudah dijaga selagi mempunyai cahaya yang cukup.


Dieffenbachia

Lebih dikenali sebagai pokok keladi.

Dieffenbachia kebiasaannya dikenali sebagai bunga keladi dan mempunyai beberapa spesies yang sememangnya setelah sekian lama dijadikan sebagai tanaman hiasan dalaman. Ia adalah tumbuhan yang berasal dari kawasan tropika Amerika Selatan dan kini mudah didapati di kawasan tropika lain di dunia.

Ia memerlukan tanah yang sedikit lembab dan cahaya yang sederhana hingga terang. Penjagaannya tidak terlalu cerewet. Apa yang penting sekiranya anda ingin memiliki tumbuhan ini anda perlulah berhati-hati dengan getahnya yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit.

Peace Lily

Peace lily mempunyai bunga yang cantik.

Peace lily (Spathiphyllum) juga merupakan tumbuhan dari kawasan tropika Amerika dan juga Asia Tenggara. Ia sememangnya tumbuhan yang cantik terutamanya apabila mula mengeluarkan bunga. Penjagaannya yang mudah membolehkan ia ditanam di dalam dan juga di luar rumah.

Ia bagaimanapun memerlukan tanah yang agak lembab dan kelembapan yang tinggi menambahkan lagi kesegaran kepadanya. Jadi, anda perlu menyediakan kawasan yang teduh dengan cahaya yang cukup untuk mendapatkan hasil yang baik daripada pokok ini.

Snake Plant

Lidah buaya pokok yang amat cantik.

Snake Plant (Sansevieria trifasciata) juga dikenali sebagai lidah buaya telah dikenali sejak sekian lama. Ia merupakan pokok yang mudah ditanam dan mudah pula digayakan dengan menarik menggunakan bekas tanaman yang ringkas. Namun lidah buaya ini merupakan tumbuhan yang juga berasal dari Afrika Barat iaitu Nigeria dan Congo.

Ia merupakan tanaman yang cukup mudah dijaga kerana tidak memerlukan penjagaan rapi. Tanahnya juga tidak perlu terlalu lembab dan menakung air. Cahaya yang diperlukan tumbuhan ini juga boleh berada pada kadar yang kurang sehingga keadaan yang terang. Ini memudahkan lagi untuk anda meletakkannya hampir di mana sahaja di dalam rumah.

Ficus

Pokok ficus atau ara merupakan pokok yang mudah tumbuh.

Ficus merupakan nama bagi satu kumpulan pokok yang besar. Namun apabila merujuk kepada tanaman hiasan terdapat kumpulan ficus yang telah sedia popular digunakan untuk tujuan ini. Terdapat banyak jenis ficus yang disediakan oleh pembekal tanaman hiasan dan anda boleh memilih dari jenis yang anda minati.

Ficus boleh tumbuh dengan mudah dalam persekitaran cahaya yang berbeza. Ia juga mudah dijaga dengan kelembapan tanah yang cukup dan tidak menakung air. Pokok ficus ini mudah dibentuk untuk menjadi rimbun atau membentuk bentuk-bentuk tertentu.

Peperomia

Pokok yang lebih unik pokok peperomia.

Peperomia terdiri daripada kumpulan tumbuhan yang banyak dan ada di antaranya sesuai dijadikan tanaman hiasan. Oleh kerana ia memerlukan sedikit cahaya, persekitaran yang agak redup dan kelembapan, suasana dalaman rumah merupakan tempat yang sesuai untuk tumbuhan ini.

Ia berasal dari kawasan yang berbeza-beza iaitu dari kawasan tropika sehingga ke kawasan beriklim sederhana. Jadi anda perlu mengetahui serba sedikit mengenai keperluan cahaya dan suhu yang sesuai untuk spesies yang anda pilih. Namun kebiasaannya peperomia tumbuh di kawasan yang redup dan lembab.

Areca Palm

Areca palm pokok yang sesuai di dalam rumah.

Areca Palm berupa pokok palma yang bersaiz kecil dan sesuai untuk suasana dalaman. Berbanding dengan palma lain yang agak besar, ia mempunyai saiz yang lebih kecil untuk dimuatkan ke dalam pasu. Areca palm amat sesuai ditempatkan di pinggir rumah atau sudut-sudut yang kosong.

Ia tidak memerlukan cahaya yang terlalu terang dan tanah yang juga tidak perlu terlalu lembab. Jadi anda tidak perlu menyiramnya setiap hari sekiranya tanah masih lagi lembab. Ia juga boleh ditempatkan di luar rumah seperti di balkoni atau di kaki lima yang berbumbung.


Seperti yang diterangkan pada awal artikel ini, terdapat banyak lagi tumbuhan yang boleh ditanam di dalam rumah. Namun di sini adalah sebahagian daripadanya yang mudah untuk tujuan penjagaan yang minimum. Anda boleh memilih tumbuhan-tumbuhan lain yang dirasakan sesuai, namun anda juga digalakkan untuk mencuba tumbuhan-tumbuhan lain.


Free Download


Isnin, 7 November 2016

Pengkelasan Tumbuhan Berbunga (Angiosperms) dan Faedahnya

Pengkelasan tumbuhan membawa pelbagai kebaikan kepada pembangunan hasil tanaman (hybrid rose).

Tumbuhan berbunga (angiosperms) merupakan satu kumpulan besar tumbuh-tumbuhan darat yang merangkumi jumlah spesis tumbuhan yang besar iaitu dari 295,383 spesis yang diketahui. Kumpulan ini diasingkan mengikut beberapa genus (genera) 13,164 yang terbahagi pula kepada beberapa kumpulan family 416.

Oleh kerana jumlah spesis besar ini, pengkelasan tumbuh-tumbuhan dapat membantu manusia memudahkan lagi tujuan mengenalpasti sesuatu tumbuhan. Malah kemajuan pertanian banyak dibantu oleh pengkelasan ini terutamanya dalam menyediakan tumbuhan varieti (hybrid) baru untuk meningkatkan lagi hasil pertanian selain menambahkan ciri-ciri tertentu pada tumbuhan tersebut.


Selain daripada menghasilkan varieti baru, pengkelasan tumbuh-tumbuhan juga membolehkan tanaman dipertingkatkan melalui teknik cantuman (grafting) seperti penghasilan pokok “pomato” dan juga “Egg and Chips”. Malah tanaman juga boleh dicantumkan sebanyak mungkin pada satu pohon dari keluarga yang sama - seperti yang biasa dilakukan pada pokok bunga kertas (Bougainvillea) atau pada tumbuhan sitrus.


Pomato yang dihasilkan secara "grafting".
Kepelbagaian rupa bentuk bunga dalam family Asteraceae (daisy).

Oleh kerana perkembangan teknologi membantu manusia mengesan lebih banyak tumbuh-tumbuhan baru dan pengkelasan yang lebih baik cuba dihasilkan. Pengkelasan tumbuh-tumbuhan juga turut diperbaiki dari masa ke semasa. Semenjak awal lagi pengkelasan tumbuhan berbunga ini telah dilakukan oleh Paul Hermann pada 1690. Pengkelasan ini terus ditambah dari masa ke semasa mengikut pengetahuan yang semakin bertambah para pengkaji dari setiap abad. Sehingga pengkelasan terbaru iaitu Angiosperm Phylogeny Group (APG) dan pengkelasan yang telah dikemaskini yang dikenali sebagai APG III pada tahun 2009. Itu hanyalah ringkasan sahaja mengenai bagaimana pengkelasan ini boleh berlaku.

Melalui APG III (2009) tumbuh-tumbuhan berbunga dibahagikan kepada 415 family dan di antara family tersebut seperti mana berikut merupakan 42 family dengan jumlah spesis yang terbanyak:

  1. Asteraceae atau Compositae (daisy family): 22,750 spesis;
  2. Atauchidaceae (atauchid family): 21,950;
  3. Fabaceae atau Leguminosae (bean family): 19,400;
  4. Rubiaceae (madder family): 13,150;[46]
  5. Poaceae atau Gramineae (grass family): 10,035;
  6. Lamiaceae atau Labiatae (mint family): 7,175;
  7. Euphataubiaceae (spurge family): 5,735;
  8. Melastomataceae atau Melastomaceae (melastome family): 5,005;
  9. Myrtaceae (myrtle family): 4,625;
  10. Apocynaceae (dogbane family): 4,555;
  11. Cyperaceae (sedge family): 4,350;
  12. Malvaceae (mallow family): 4,225;
  13. Araceae (arum family): 4,025;
  14. Ericaceae (heath family): 3,995;
  15. Gesneriaceae (gesneriad family): 3,870;
  16. Apiaceae atau Umbelliferae (parsley family): 3,780;
  17. Brassicaceae atau Cruciferae (cabbage family): 3,710:
  18. Piperaceae (pepper family): 3,600;
  19. Acanthaceae (acanthus family): 3,500;
  20. Rosaceae (rose family): 2,830;
  21. Batauaginaceae (batauage family): 2,740;
  22. Urticaceae (nettle family): 2,625;
  23. Ranunculaceae (buttercup family): 2,525;
  24. Lauraceae (laurel family): 2,500;
  25. Solanaceae (nightshade family): 2,460;
  26. Campanulaceae (bellflower family): 2,380;
  27. Arecaceae (palm family): 2,361;
  28. Annonaceae (custard apple family): 2,220;
  29. Caryophyllaceae (pink family): 2,200;
  30. Atauobanchaceae (broomrape family): 2,060;
  31. Amaranthaceae (amaranth family): 2,050;
  32. Iridaceae (iris family): 2,025;
  33. Aizoaceae atau Ficoidaceae (ice plant family): 2,020;
  34. Rutaceae (rue family): 1,815;
  35. Phyllanthaceae (phyllanthus family): 1,745;
  36. Scrophulariaceae (figwataut family): 1,700;
  37. Gentianaceae (gentian family): 1,650;
  38. Convolvulaceae (bindweed family): 1,600;
  39. Proteaceae (protea family): 1,600;
  40. Sapindaceae (soapberry family): 1,580;
  41. Cactaceae (cactus family): 1,500;
  42. Araliaceae (Aralia atau ivy family): 1,450.

Bunga raya yang dihasilkan secara hybrid.

Hasil tanaman yang lebih baik.

Pengkelasan ini, seperti yang diterangkan pada awal artikel membantu para pengkaji ataupun petani sendiri untuk mengenalpasti sesuatu spesis tumbuhan dalam usaha meningkatkan produktiviti tanaman selain menambah ciri-ciri tambahan lain seperti ketahanan daripada serangan penyakit, tahan kemarau dan sebagainya.


Mungkin tidak ramai yang menyedari di mana hasil-hasil pertanian hari ini adalah dari kumpulan tumbuhan berbunga ini seperti Poaceae atau family grass (bijirin) merupakan tanaman terpenting yang membekalkan bukan sahaja manusia malah haiwan ternakan dengan sumber makanan. Tanaman termasuk dalam kumpulan ini adalah seperti (beras, jagung - jagung, gandum, barley, rye, oats, pearl millet, tebu, sorghum). Ini diikuti dengan kumpulan kekacang (Fabaceae) atau legume yang juga digunakan sebagai sumber makanan atau untuk diproses menjadi bahan lain seperti soya, taugeh, dhal, kacang panjang, kacang tanah dan sebagainya. Solanaceae juga dikenali sebagai family nightshade adalah terdiri dari tanaman seperti kentang, tomato, lada (cili), terung dan lain-lain (rujuk artikel “pomato” dan “Egg and Chips”).

Bunga memainkan peranan penting bagi tumbuhan.

Salah satu jenis bunga dari kumpulan buttercup.

Pengkelasan ini bukan sahaja penting bagi tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk tujuan tanaman yang membekalkan sumber makanan kepada manusia malah ia juga membantu industri lain seperti tanaman hiasan, penghasilan minyak wangi, minyak, kertas, perabot, perkayuan dan macam-macam lagi yang melibatkan tumbuhan. Anda mungkin tidak perlu menghafal kesemua kelas tumbuhan ini kerana kini kemudahan teknologi dapat membantu anda mengenalnya dengan mudah. Namun asas kepada pengkelasan dan faedah pengkelasan ini tentu dapat memberikan banyak manfaat kepada kita semua.


Free Download



Ahad, 6 November 2016

Hiasan Orkid Yang Amat Menarik dan Kreatif

Bunga orkid dari pelbagai warna, untuk hiasan dalaman.

Orkid seperti yang diketahui merupakan tumbuhan berbunga terdiri dari pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan. Terdapat kira-kira 28,000 spesis orkid yang terbahagi kepada 763 genus (genera) yang juga dikenali sebagai Orchidaceae.

Kebanyakan orkid tumbuh secara menumpang pada pohon lain atau di atas batu. Namun ada juga orkid yang tumbuh secara terus di atas tanah. Walaupun tumbuhan orkid menghasilkan bunga, hanya sebahagiannya sahaja yang menghasilkan bau. Namun antara orkid yang paling popular dengan bauan yang digunakan dalam banyak penghasilan bahan industri adalah vanilla.

Bunga orkid sentiasa mendapat perhatian berikutan industri penanaman orkid juga semakin popular. Hari ini, lebih banyak varieti orkid dihasilkan secara hybrid seperti juga bunga ros dan bunga-bungaan lain. Sehubungan itu ciri-ciri orkid yang dihasilkan hari ini lebih sesuai sebagai tanaman hiasan untuk luaran mahupun di dalam rumah.

Bersesuaian dengan tajuk kali ini, apa yang ingin dilihat adalah bagaimana bunga orkid digunakan dengan kreatif untuk tujuan hiasan ini. Ini kerana, bunga yang berasal dari hutan ini kini menjadi hiasan yang amat cantik sesuai dengan kehidupan manusia yang tinggal di dalam suasana yang serba moden.

Kreativiti pengolahan untuk tanaman orkid ini mengubah sama sekali bunga orkid yang dahulunya hanya ditanam diluar rumah di dalam pasu tanah liat, kini ia ditampilkan dengan cara yang jauh bergaya. Pendekatan ini bukan sahaja memberi pembaharuan kepada para peminat bunga-bungaan orkid, malah juga penanam orkid komersil untuk menghasilkan lebih banyak hybrid baru dengan pelbagai keunikan-keunikan lain.

Bekas tanaman daripada kayu dengan susunan bunga yang menarik.

Ringkas dan amat menarik.

Bekas kaca menambahkan kecantikan orkid.

Bekas tanaman daripada jaring dan pasu kecil.

Cahaya yang menyerlahkan kecantikan bunga orkid.

Hiasan meja yang amat cantik.

Ringkas dan menyerlah.

Melengkapkan lagi hiasan di hadapan cermin.


Free Download


App Berguna Untuk Tujuan Pelancongan

Perjalanan memerlukan perancangan yang rapi.

Bagi yang suka melancong dan melawat ke tempat-tempat baru, panduan dan maklumat yang lengkap dapat membantu perjalanan yang lebih mudah. Namun pada zaman ini peralatan elektronik seperti telefon bimbit, tablet dan komputer dapat membantu memudahkan lagi kesemua keperluan ini. Jadi kali ini kita melihat applikasi telefon bimbit yang penting bagi memudahkan lagi segala urusan untuk para pengembara moden. Berikut adalah beberapa aplikasi penting (link download untuk Android).

TripIt


Menyimpan segala maklumat perjalanan anda termasuk jadual program untuk satu-satu perjalanan. Maklumat ini boleh dikongsikan ke dalam email dengan mudah sekiranya anda perlu berkongsi maklumat dengan lain-lain ahli rombongan. Maklumat ini juga boleh ditambah ke dalam kalendar.

Aplikasi TripIt didatangkan dalam dua versi iaitu percuma dan berbayar. Perisian berbayar iaitu Tripit Pro menyediakan lebih banyak maklumat berguna seperti perubahan jadual penerbangan, sebarang kelewatan serta penerbangan gantian. TripIt Pro berbentuk langganan iaitu $49 setahun. TripIt amat berguna bagi mereka yang melakukan penerbangan yang kerap.


Airbnb


Airbnb pula memberikan anda kemudahan untuk membuat tempahan penginapan berbentuk sewaan terus kepada pemilik premis seperti apartment, kondo, rumah, bangalow dan sebagainya. Ia menyediakan penginapan yang lebih murah berbanding hotel di lebih 34,000 bandar.

Anda boleh berhubung terus dengan pemilik premis mengenai harga yang dipersetujui dan untuk mendapatkan pelbagai maklumat tambahan melalui app secara terus. Ia sesuai bagi mereka yang memilih untuk mendapatkan perkhidmatan penginapan yang lebih murah berbanding hotel atau perkhidmatan penginapan tertentu yang tidak disediakan oleh hotel. Airbnb adalah disediakan secara percuma.


LiveTrekker


App ini pula membantu anda membuat catatan perjalanan anda di atas peta dengan mudah. Catatan ini boleh ditambah dengan gambar, video, rakaman suara dan juga text. Perjalanan anda akan ditanda menggunakan GPS dan ditandakan terus ke atas peta. Maklumat ini kemudiannya boleh disimpan di dalam cloud untuk tujuan rujukan ataupun perkongsian.

Bagi mereka yang berminat untuk membuat catatan perjalanan yang lebih lengkap LiveTrekker merupakan app yang dapat memberikan kemudahan lengkap dengan jauh lebih mudah. LiveTrekker adalah disediakan secara percuma.


Skyscanner


Skyscanner merupakan app yang membolehkan anda menyemak harga penerbangan ke destinasi-destinasi tertentu denga lebih mudah. Ia menyemak semua penerbangan yang ada daripada pelbagai syarikat penerbangan. Selain penerbangan, ia juga boleh digunakan untuk menyemak dan membuat tempahan untuk hotel dan kereta sewa.

Anda boleh memilih sebarang lokasi untuk tarikh-tarikh tertentu dan Skyscanner akan menyenaraikan penerbangan yang ada mengikut harga terendah. Anda kemudiannya perlu melengkapkan tempahan dengan syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Skyscanner amat mudah digunakan dan anda boleh menggunakannya untuk sekadar menyemak harga untuk angan-angan anda mengenai percutian impian anda. Ia juga merupakan app yang disediakan secara percuma.


LoungeBuddy


Bagi mereka yang selalu melakukan penerbangan pula mungkin memerlukan aplikasi ini iaitu LougeBuddy bagi mengetahui tempat-tempat berehat yang tersedia di lapangan-lapangan terbang yang disinggahi.

LoungeBuddy bukan sahaja membantu anda mencari lounge-lounge ini, malah membantu anda mendapatkan lounge yang sesuai dengan perbelanjaan anda juga. Ini juga merupakan satu perkara penting, kerana terdapat pelbagai peringkat lounge mengikut kemampuan masing-masing.

Lounge bukan sahaja menyediakan tempat untuk anda berehat sementara menunggu penerbangan, malah menyediakan banyak kemudahan lain yang mungkin anda perlukan samada untuk tujuan perniagaan ataupun peribadi. Ia adalah aplikasi yang disediakan secara percuma.


XE currency


Satu lagi aplikasi yang penting sebelum melawati sesuatu negara yang lain adalah untuk mengetahui kadar tukaran wang asing. Antara app yang mudah digunakan adalah XE Currency kerana ia menyediakan maklumat yang cukup mengenai kadar tukaran wang asing.

Walaupun aplikasi ini dikemaskini setiap minit, ia juga boleh digunakan secara offline menggunakan data yang telah disimpan. Namun ia merupakan aplikasi tukaran mata wang yang amat praktikal bagi mereka yang melakukan perjalanan kerap ke negara-negara lain. Aplikasi XE Currency ini juga disediakan secara percuma.


Evaneos Travel


Evaneos Travel merupakan aplikasi maklumat mengenai destinasi pelancongan diseluruh dunia yang dikemaskini oleh pengguna-pengguna internet yang lain. Maklumat yang disediakan ditulis oleh mereka yang telah sampai sendiri ke destinasi tersebut dan berkongsi pelbagai tips mengenai perkara-perkara yang boleh dilakukan, perlu dielakkan, waktu lawatan yang sesuai dan sebagainya.

Selain berguna bagi mereka yang ingin melawat ke sesuatu tempat, ia juga menyediakan maklumat tambahan bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sesuatu destinasi. Evaneos Travel merupakan aplikasi percuma tanpa iklan.


Duolingo


Duolingo merupakan aplikasi pembelajaran bahasa yang amat mudah untuk digunakan. Kaedah yang digunakan adalah sama seperti yang digunakan oleh Rosetta Stone.

Aplikasi ini akan menyediakan beberapa siri pendidikan bahasa mudah dalam melatih kemahiran sesuatu bahasa mengikut pilihan anda. Selain daripada mengenal maksud sesuatu perkataan, anda juga dilatih untuk memahami ayat-ayat ringkas yang biasa digunakan untuk pertuturan.

Sekiranya anda ingin mempelajari bahasa sesuatu tempat yang bakal anda kunjungi, Duolingo merupakan app yang sesuai untuk tujuan tersebut. Ia juga disediakan secara percuma.


Google Maps


Kemudahan peralatan elektronik membolehkan peta dilihat terus melalui perkakasan seperti telefon bimbit, tablet dan laptop dengan lebih baik berbanding peta yang dicetak di atas kertas. Google Maps merupakan antara aplikasi penting yang menyediakan kemudahan peta untuk seluruh dunia.

Selain menyediakan peta, Google Maps turut menyediakan maklumat-maklumat tambahan seperti hotel-hotel, restauran, kedai-kedai, dentinasi pelancongan dan pelbagai maklumat penting kepada para pelawat.

Walaupun anda memerlukan data untuk penggunaan yang lebih optimum, Google Maps juga membolehkan anda menyimpan data untuk peta-peta bagi kawasan yang anda perlukan. Jadi, Google Maps adalah antara keperluan setiap kali anda memerlukan peta rujukan. Ia adalah aplikasi yang disediakan percuma.


Hipmunk


Hipmunk berfungsi dengan kaedah yang agak berbeza daripada aplikasi baisa yang lain dalam mencari harga penerbangan, hotel dan sebagainya. Sebaliknya ia bertujuan untuk mencari penerbangan yang paling baik pada harga yang paling rendah.

Ianya dipanggil Agony yang merupakan kobinasi harga, jumlah henti dan masa menunggu. Penerbangan yang dikira rendah dalam Agony akan disenaraikan di atas dan tinggi akan berada di bahagian bawah. Menggunakan aplikasi ini anda dapat melihat dengan lebih mudah mengenai penerbangan yang lebih murah dengan waktu yang lebih pendek.

Ia merupakan satu lagi aplikasi yang agak penting kepada mereka yang selalu melakukan penerbangan ke negara-negara lain. Ia juga merupakan aplikasi yang disediakan secara percuma.


Senarai kesemua applikasi di atas:


*anda boleh cuba mencari aplikasi di atas dengan nama yang sama di App Store sekiranya menggunakan iOS.


Terdapat banyak lagi app yang digunakan untuk membantu anda sebelum dan semasa melakukan lawatan ke satu-satu tempat. Penggunaan aplikasi adalah jauh lebih mudah berbanding kaedah biasa kerana ianya boleh dicapai dengan mudah melalui satu peralatan sahaja untuk pelbagai tujuan. Jadi gunakan kemudahan yang disediakan bagi menjimatkan masa, perbelanjaan, ruang, tenaga dan sebagainya untuk membantu perjalanan anda.




Free Download


Arkib Blog