Jumaat, 28 Oktober 2016

Membuat Lilin Dengan Haruman Anda Sendiri

Lilin beraroma boleh dihasilkan sendiri.

Lilin dengan haruman merupakan antara barangan yang menjadi kegemaran ramai. Cahaya lilin memberikan efek yang menenangkan dan ditambah lagi dengan bau haruman yang memberikan kesan sampingan yang positif kepada seseorang. Lilin-lilin yang direka dengan bentuk yang istimewa adakalanya menjadi koleksi kepada para peminatnya selain untuk dibakar sebagai sumber cahaya.

Hari ini kita akan melihat kaedah membuat lilin sebagai satu hobi yang sekiranya di usahakan dengan serius boleh menjadikan ia satu perniagaan yang menguntungkan. Lilin yang disediakan dengan rapi bukan sahaja sesuai dijadikan bahan koleksi, malah mungkin boleh membekalkan rawatan terapi sekiranya disediakan dengan haruman yang sesuai untuk mengubah mod seseorang.

Bahan-bahan Utama Membuat Lilin

Persediaan rapi memudahkan kerja-kerja penyediaan.

Lilin-lilin seperti ini boleh dihasilkan sendiri.

Lilin disediakan dengan bahan utama iaitu lilin (wax atau parafin) yang boleh didapati daripada sumber semulajadi (daripada minyak sayuran) atau daripada petroleum (parafin wax). Lilin daripada bahan tumbuh-tumbuhan ini semakin popular memandangkan ia mudah digunakan untuk membuat dan bercampur dengan haruman dengan baik.

Bekas takungan lilin seperti gelas kaca atau mangkuk digunakan untuk membuat lilin di dalam bekas. Ini membolehkan lilin dibakar keseluruhannya tanpa cairan lilin yang menitis. Faktor ini dopengaruhi oleh bahan lilin yang digunakan selain daripada saiz sumbu dan saiz lilin itu sendiri.

Sumbu biasanya diperbuat daripada bahan seperti benang kapas dengan saiz yang sesuai mengikut saiz lilin yang disediakan. Sumbu yang sesuai membolehkan lilin terbakar dengan sempurna selain mengelakkan sumbu terbakar terlalu cepat.

Bahan pewarna dan pewangi adalah bahan tambahan yang menjadikan lilin lebih menarik. Warna menambahkan lagi keunikan lilin apabila ianya dilihat walaupun sebelum dibakar. Manakala bauan pula memberikan efek tambahan yang mungkin mempunyai kaedah perawatan kepada mereka yang berada disekitarnya.

Lilin yang dihasilkan dengan haruman frangipani.

Palm wax yang dalam bentuk asal.

Teknik Penyediaan Lilin

  • Lilin dicairkan menggunakan suhu yang perlahan (pencair lilin sekiranya ada). Tidak kira sekiranya anda menggunakan lilin daripada minyak sayuran ataupun parafin. Namun bahan lilin daripada minyak sayuran adalah jauh lebih baik kerana ia sesuai digunakan untuk lilin dengan fungsi aromaterapi.
  • Bekas-bekas yang digunakan untuk takungan lilin perlu dipanaskan bagi mengelakkan lilin membeku dengan pantas. Ia perlu dipanaskan di dalam ketuhar untuk beberapa minit. Bekas-bekas ini dikeluarkan apabila lilin telah cair dan sedia untuk dituangkan ke dalamnnya.
  • Lilin yang telah cair bolehlah ditambah dengan bahan pewarna (yang sesuai) dan juga ditambahkan dengan pewangi (pilihlah bahan pewangi yang sesuai untuk faedah-faedah tertentu). Proses ini perlu dilakukan dengan pantas kerana ia akan menurunkan suhu lilin.
  • Sediakan sumbu lilin yang diletak dengan kemas di dalam bekas takungan. Letakkan sumbu secara menegak dengan menyokong sumbu di atas bekas menggunakan penyokong yang sesuai.
  • Tuangkan lilin ke dalam bekas dengan perlahan dan biarkan ia menyejuk secara perlahan-lahan.

Sumbu perlu dipastikan lurus di tengah-tengah bekas takungan.
Lilin yang telah siap dihasilkan oleh bythebaybotanicals.com

*Sila rujuk video yang disetakan untuk pemahaman yang lebih jelas.


Panduan yang disediakan di atas adalah sebagai panduan umum sahaja kerana anda akan menemui pelbagai kaedah yang lebih sesuai setelah mencubanya sendiri. Malah, terdapat banyak kaedah penyediaan lilin yang dilakukan oleh pembuat-pembuat lilin. Apa yang penting anda perlu mendapatkan campuran bahan yang sesuai untuk menghasilkan lilin yang yang boleh memberikan bauan seperti yang anda kehendaki apabila dibakar nanti. Cubalah mengikut kreativiti anda sendiri.





Free Download



Isnin, 24 Oktober 2016

Kenali Spesis Tumbuh Tumbuhan Menarik Pokok Angin “Airplant”

Beberapa jenis daripada pokok angin yang biasa didapati.

Airplant sejenis kumpulan tumbuh-tumbuhan yang amat menarik yang juga dikenali sebagai genus Tilandsia. Ia mengandungi lebih daripada 650 spesis tumbuhan yang malar hijau, berusia agak lama dan menghasilkan bunga. Anda mungkin pernah melihat sebahagian daripada tumbuh-tumbuhan pokok angin (airplant) ini kerana ia sangat popular sebagai tumbuhan hiasan yang amat menarik.

Tumbuhan-tumbuhan airplant ini amat mudah dijaga kerana ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Malah bagi cuaca seperti di kawasan tropika, pokok ini akan terus hidup dengan sendirinya hanya melalui lembapan yang terkandung di dalam udara; ia merupakan salah satu sebab mengapa gelarannya adalah ‘pokok angin’. Pokok angin kebanyakannya berasal dari kawasan benua Amerika Tengah, Amerika Selatan, Selatan Amerika dan kawasan West Indies. Ia didapati tumbuh meliputi kawasan-kawasan termasuk hutan tropika, pergunungan, gurun, permukaan berbatu, kawasan berpaya Lousiana dan pelbagai keadaan lagi.

Walaupun kebanyakan Tillandsia merupakan tumbuhan ‘epefit’ (epiphytes) iaitu tumbuhan yang tidak memerlukan tanah sebaliknya menumpang di atas pokok lain namun sebahagian lagi merupakan ‘pokok angin’ (aerophytes) yang tidak mempunyai akar sebaliknya hanya menyerap nutrient daripada udara. Terdapat banyak jenis tumbuhan ‘pokok angin’ dan bagi spesis yang berdaun nipis kebiasaannya tumbuh di kawasan yang lebih lembab berbanding bagi spesis yang berdaun tebal dimana ia kebiasaannya tumbuh di kawasan yang lebih kering.


Pokok angin di habitat asal.

Pokok angin dari jenis Spanish Moss.

Pandangan dekat pokok angin dengan daun yang menyerap lembapan.

Oleh kerana ia tidak memerlukan tanah dan membesar pada kadar yang amat perlahan, penggunaannya sebagai hiasan amatlah sesuai. Pokok-pokok angin ini mudah digunakan sebagai hiasan mahupun digunakan sebagai tumbuhan bagi terrarium.  Apa yang penting bagi tumbuhan ini adalah pengaliran udara yang baik. Pastikan juga udara tersebut adalah lembab atau anda bolehlah membuat semburan air bagi mengekalkan lembapan padanya bergantung kepada keadaan cuaca.

Walaupun tumbuhan angin tahan cuaca panas, ini tidak bermakna ia boleh didedahkan terus kepada cahaya matahari. Jadi pastikan anda menempatkan ia di tempat yang terdapat banyak cahaya tetapi terlindung daripada cahaya matahari. Pokok angin amat mudah digunakan sebagai hiasan kerana ia boleh dipadankan dengan pelbagai bekas, malah anda juga boleh terus meletakkannya di mana sahaja yang diperlukan seperti di atas batu, kayu, kaca dan sebagainya.


Pokok angin yang sesuai di kawasan terang - T. cyanea.

Satu lagi pokok angin untuk kawasan terang - T. lindenii. 
Pokok angin hanya perlu diletakkan di tempat yang sesuai.

Terdapat banyak jenis pokok angin dan beberapa di antaranya amat popular sebagai hiasan dan mudah didapati di kedai-kedai hiasan atau penjual benih bungaan. Pokok angin amat sesuai sebagai hiasan bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk memiliki tanaman biasa yang banyak memerlukan perhatian. Jadi, anda boleh mencari pokok-pokok angin yang sesuai dengan selera anda untuk digunakan sebagi hiasan untuk menghiasi ruang-ruang tertentu di dalam rumah samada ruang tamu, bilik tidur, bilik mandi dapur dan sebagainya.



Pokok angin dengan hiasan yang cantik.

Penggunaan bekas kaca menyerlahkan keunikan.

Cengkerang siput merupakan satu lagi kreativiti dengan pokok angin.

Terrarium terbuka sesuai dengan pokok angin.



Free Download




Ahad, 23 Oktober 2016

Bagaimana Menghasilkan Bunga Hybrid Yang Menarik?

Bunga hibrid (hybrid) mempunyai ciri-ciri dari kedua pokok induk.

Pernahkah anda melihat bunga-bunga yang cantik yang tidak pernah anda lihat sebelumnya? Seperti mana yang kita lihat hari ini, bunga-bungaan dari pelbagai jenis mempunya warna-warna baru yang lebih menarik, bentuk bunga, saiz dan warnanya adalah jauh berbeza daripada mana yang kita lihat satu masa dahulu. Bunga-bungaan ini sebenarnya adalah dihasilkan melalui proses pembiakan silang atau juga dikenali sebagai “hybrid” untuk menghasilkan anak benih baru yang mempunyai ciri-ciri dari kedua-dua tumbuhan induknya.

Walaupun pembiakan silang boleh membawa kebaikan-kebaikan lain seperti tahan penyakit, tahan cuaca, pokok yang lebih subur, menghasilkan buah/bunga yang lebih banyak dan sebagainya; dalam artikel kali ini kita hanya akan menjurus kepada penghasilan bunga yang lebih menarik. Iaitu dalam usaha mempelajari bagaimana menghasilkan bunga baru dengan ciri-ciri yang lebih unik. Sebagai contoh yang paling mudah untuk kita lihat dengan jelas adalah bunga ros (rose) dimana hari ini pelbagai jenis bunga ros dapat dilihat di pasaran samada untuk ditanam atau dijual sebagai hadiah.

*Sila tonton video di bawah untuk memudahkan pemahaman anda mengenai proses yang perlu dilakukan.

Contoh hasil kacukan yang luar biasa.

Semua jenis tumbuhan boleh menggunakan kaedah ini.

Pemilihan Induk Pokok

Pemilihan induk pokok adalah langkah utama dalam menghasilkan bungaan kacukan. Ia bukan sahaja menentukan bakal anak benih yang akan dihasilkan dari segi warna bungaannya, malah termasuk ciri-ciri lain seperti saiz pokok, ketahanan penyakit dan lain-lain lagi. Jadi pokok induk yang dipilih perlulah pokok yang betul-betul sihat dan menghasilkan bungaan yang cantik. Walaupun pokok-pokok yang dipilih ini mempunyai ciri-ciri warna yang berbeza, ia tidak semestinya menghasilkan benih bunga seperti yang anda jangkakan (sebagai contoh; merah + kuning = jingga). Malah anak benih yang dihasilkan melalui kaedah ini mempunyai ciri-ciri tersendiri bagi setiap anak benih yang dihasilkan nanti.

Sebaiknya anda mempunyai lebih dari dua jenis pokok induk yang menghasilkan bungga yang banyak pula untuk memastikan anda boleh membuat lebih banyak kacukan benihnya nanti. Ini kerana, proses kacukan memakan masa yang lama iaitu daripada bunga menjadi buah dan sehingga biji benihnya masak dan sedia untuk ditanam. Jumlah bunga yang banyak membolehkan anda membuat lebih banyak kacukan dan juga meningkatkan peluang anda menghasilkan benih bungaan baru yang berjaya dengan banyak dalam tempoh yang lebih singkat.

Bahagian-bahagian penting tumbuhan yang perlu anda kenali.

Penyediaan Pokok Untuk Kacukan

Apabila anda telah memilih pokok-pokok yang sesuai untuk dikacukkan, tibalah saatnya memilih bunga-bunga yang sesuai untuk dijadikan tempat pemindahan debungan dari bunga yang berasal dari pokok yang lain. Beberapa langkah penting berikut perlu diikut dengan teliti bagi memastikan hasil kacukan yang baik.

Pemilihan bunga perlu dilakukan pada bunga yang hampir kembang, bukan yang telah kembang, kerana ia mungkin telah didebungakan. Pilihlah beberapa kuntum bunga dari pokok bunga yang akan diambil debunganya sahaja untuk dipindahkan ke pokok bunga kedua yang akan menghasilkan biji benih hasil kacukan nanti.  Kedua-dua bunga ini perlu berada dalam peringkat yang sama; iaitu hampir mekar, tetapi masih tertutup.

Proses Pendebungaan

Proses pendebungaan dilakukan dengan mengumpulkan debunga dari pokok pertama. Buangkan kelopak bunga yang menutupi bahagian dalam bunga yang mengandungi stamen (mengandungi debunga) dan juga pistil (mengandungi stigma).

Debunga-debunga yang kebiasaannya berwarna kuning dari bunga-bunga ini akan diasingkan ke dalam bekas dan disimpan dengan baik. Manakala pokok bunga yang akan menerima pemindahan ini pula akan disediakan. Anda boleh memberi tanda/melabel bunga yang akan dikacukkan pada batang bunga atau pokok tersebut. Sama juga, kelopak bunga tersebut perlu dibuang bagi mendedahkan bahagian dalam bunga. Tapi pada bunga ini pula anda perlu membuang bahagian stamen yang ada bagi mengelakkan debunga dari bunga ini sendiri yang akan mendebungakannya. Bunga yang telah dibuang kelopak dan bahagian stamennya ini perlu dibiarkan sehingga 8 jam sehingga ia bersedia untuk didebungakan.

Setelah 8 jam, proses pemindahan bolehlah dilakukan dengan memindahkan debunga yang dihasilkan dari pokok pertama tadi kepada bunga yang telah disediakan. Anda boleh menggunakan jari sahaja untuk memindahkan debunga dari bekas kepada stigma bunga yang telah disediakan. Proses yang sama dilakukan sekali lagi ke atas bunga setelah tempoh 24 jam bagi meningkatkan tahap kejayaan proses kacukan anda.

Penhasilan Buah dan Biji Benih

Bunga yang berjaya didebungakan akan menghasilkan putik buah dalam masa beberapa minggu. Manakala ia akan memakan masa beberapa bulan pula untuk matang. Anda perlu menunggu buah-buah ini sehingga matang untuk mendapatkan biji hasil daripada kacukan anda tadi. Dari biji inilah pokok-pokok hasil kacukan anda dihasilkan. Semailah seperti biasa dan anda akan hanya melihat hasilnya apabila ia menghasilkan bunganya nanti.

Bunga dengan warna yang amat menarik.

Ciri-ciri baru membuka pasaran baru penjual bunga.

Selain warna, bentuk dan bau juga menjadi lebih unik.


Proses menghasilkan bungaan hybrid ini bukanlah sukar, namun ia mengambil masa yang lama dan kesabaran yang tinggi. Pada masa yang sama anda boleh mempelajari pelbagai perkara penting mengenai tanaman dan pertanian. Ini kerana penghasilan tanaman pertanian juga menggunakan kaedah ini untuk menghasilkan jenis tanaman yang baru. Malah kaedah ini telahpun digunakan oleh para petani sejak ratusan atau ribuan tahun dahulu, untuk menghasilkan hasil tanaman yang lebih baik. Fikir-fikirkan, renung-renungkan betapa mudahnya kaedah ini dan kita tidak pernah mempraktikkannya. 






Free Download




Ahad, 16 Oktober 2016

Membuat Terrarium Anda Sendiri

Antara bahan-bahan membuat terrarium.

Seperti di dalam artikel sebelum ini mengenai terrarium, anda mungkin berminat untuk menghasilkan terrarium anda sendiri. Selain sebagai barangan hiasan, terrrarium juga boleh menjadi bahan pendidikan untuk anak-anak dan keluarga. Jadi memiliki terrarium merupakan antara perkara yang mendatangkan manfaat.

Cara terbaik utuk memiliki terrarium adalah dengan membeli terrarium yang telah siap. Ini kerana ia telahpun memiliki tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalamnya dan sedia digunakan sebagai hiasan dan bahan pendidikan di rumah. Namun begitu ia mungkin agak mahal. Manakala membuar terrarium anda sendiri mungkin memberikan anda sedikit cabaran, namun ia merupakan antiviti menarik yang menambahkan lagi pengalaman anda dalam menghasilkannya. Aktiviti ini bertambah menarik sekiranya dilakukan bersama-sama dengan keluarga.

Bahan yang diperlukan untuk membina terrarium adalah mengikut kesesuaian jenis terrarium yang ingin dihasilkan.
Terrarium yang amat kreatif.

Jenis terrarium terbuka dan tumbuhan yang sesuai untuk ditanam di dalamnya.

Bagi menghasilkan terrarium, perkara utama yang anda perlu fikirkan adalah mengenai saiz dan tempat di mana terrarium tersebut bakal diletakkan. Ini kerana ia mempengaruhi kesesuaian tumbuhan yang boleh ditanam di dalam terrarium tersebut. Terrarium sebaiknya diletakkan di tempat yang tidak terlalu panas namun mendapat cahaya yang cukup. Pada masa yang sama, jenis tumbuhan menentukan samada anda memerlukan terrarium yang tertutup sepenuhnya atau terrarium jenis terbuka.

Sediakanlah bahan-bahan yang diperlukan begi memudahkan proses penyediaan dengan lebih lancar. Antara bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

  • Tumbuh-tumbuhan sesuai untuk terrarium anda
  • Bekas terrarium, samada terbuka ataupun tertutup
  • Batu kirikil
  • Medium tanaman (boleh menggunakan serat kelapa, tanah, habuk kayu dan sebagainya)
  • Jaring halus bukan daripada bahan logam.
  • Lumut sebagai hiasan tambahan.
  • Penyepit dan kayu - untuk memindah tumbuhan ke dalam terrarium anda.

*adalah sebaiknya bahan digunakan disterile dengan baik untuk mengelakkan jangkitan pada tanaman anda (lihat artikel kultur tisu untuk mengetahui keedah mensterile bahan).

Contoh lapisan bahan yang digunakan dalam terrrarium.

Langkah Penyediaan:

1) Batu kerikil diletakkan di bahagian bawah terrarium, ia bertujuan sebagai bahagian penyimpananan air bagi terrarium ini dan mengelakkan medium menakung air terlalu banyak.

2) Lapisan jaringan dipotong supaya menutupi bahagian atas batu kerikil dan diletakkan dengan kemas. Ini bagi memisahkan antara medium tanaman dan baru kerikil.

Jaring diletakkan di atas lapisan batu kerikil denga kemas.

3) Medium tanaman yang telah disediakan (yang terdiri daripada serat kelapa, tanah, habuk kayu dan sebagainya) diletakkan di bahagian atas jaringan tadi dan menutupnya dengan kemas. Medium tanaman mungkin berlu direndamkan di dalam air bagi membolehkan ianya berkeadaan lembab untuk membolehkan pokok ditanam di atasnya.

4) Anak-anak pokok yang telah dipilih bolehlah dikeluarkan daripada bekasnya dan disediakan untuk pemindahan ke dalam terrarium anda. Sebelum itu anda perlu membuat perancangan yang rapi, supaya hasil susunan adalah seperti yang diharapkan.

5) Akhir sekali ianya bolehlah dihiaskan dengan tutupan lumut, batu-batu dan juga hiasan-hiasan yang lain sesuai dengan kreativiti anda.

6) Siram terrarium anda dengan air yang mencukupi dan tutup (sekiranya ianya adalah terrarium tertutup), sebelum diletakkan di tempat yang sesuai.

*Semasa proses dijalankan, anda mungkin perlu menggunakan penyepit, kayu panjang, gunting, pisau, kertas surat khabar, bekas plastik dan sebagainya. Jadi pastikan barangan ini juga anda sediakan untuk memudahkan kerja-kerja penyediaan terrarium anda.

Anda boleh menghasilkan pelbagai jenis terrarium mengikut kreativiti anda sendiri.
Terrarium adalah salah satu cara mempelajari mengenai tumbuhan dengan lebih dekat.

Anda mungkin perlu membuat beberapa terrarium sebelum berjaya menghasilkan suatu hasil yang betul-betul memuaskan. Jadi janganlah cepat berpuas hati dengan hasil anda, sebaliknya teruslah menghasilkan terrarium-terrarium yang baru dan berbeza-beza. 



Free Download




Arkib Blog