Bunga hibrid (hybrid) mempunyai ciri-ciri dari kedua pokok induk. |
Pernahkah anda melihat bunga-bunga yang cantik yang tidak pernah anda lihat sebelumnya? Seperti mana yang kita lihat hari ini, bunga-bungaan dari pelbagai jenis mempunya warna-warna baru yang lebih menarik, bentuk bunga, saiz dan warnanya adalah jauh berbeza daripada mana yang kita lihat satu masa dahulu. Bunga-bungaan ini sebenarnya adalah dihasilkan melalui proses pembiakan silang atau juga dikenali sebagai “hybrid” untuk menghasilkan anak benih baru yang mempunyai ciri-ciri dari kedua-dua tumbuhan induknya.
Walaupun pembiakan silang boleh membawa kebaikan-kebaikan lain seperti tahan penyakit, tahan cuaca, pokok yang lebih subur, menghasilkan buah/bunga yang lebih banyak dan sebagainya; dalam artikel kali ini kita hanya akan menjurus kepada penghasilan bunga yang lebih menarik. Iaitu dalam usaha mempelajari bagaimana menghasilkan bunga baru dengan ciri-ciri yang lebih unik. Sebagai contoh yang paling mudah untuk kita lihat dengan jelas adalah bunga ros (rose) dimana hari ini pelbagai jenis bunga ros dapat dilihat di pasaran samada untuk ditanam atau dijual sebagai hadiah.
*Sila tonton video di bawah untuk memudahkan pemahaman anda mengenai proses yang perlu dilakukan.
Contoh hasil kacukan yang luar biasa. |
Semua jenis tumbuhan boleh menggunakan kaedah ini. |
Pemilihan Induk Pokok
Pemilihan induk pokok adalah langkah utama dalam menghasilkan bungaan kacukan. Ia bukan sahaja menentukan bakal anak benih yang akan dihasilkan dari segi warna bungaannya, malah termasuk ciri-ciri lain seperti saiz pokok, ketahanan penyakit dan lain-lain lagi. Jadi pokok induk yang dipilih perlulah pokok yang betul-betul sihat dan menghasilkan bungaan yang cantik. Walaupun pokok-pokok yang dipilih ini mempunyai ciri-ciri warna yang berbeza, ia tidak semestinya menghasilkan benih bunga seperti yang anda jangkakan (sebagai contoh; merah + kuning = jingga). Malah anak benih yang dihasilkan melalui kaedah ini mempunyai ciri-ciri tersendiri bagi setiap anak benih yang dihasilkan nanti.
Sebaiknya anda mempunyai lebih dari dua jenis pokok induk yang menghasilkan bungga yang banyak pula untuk memastikan anda boleh membuat lebih banyak kacukan benihnya nanti. Ini kerana, proses kacukan memakan masa yang lama iaitu daripada bunga menjadi buah dan sehingga biji benihnya masak dan sedia untuk ditanam. Jumlah bunga yang banyak membolehkan anda membuat lebih banyak kacukan dan juga meningkatkan peluang anda menghasilkan benih bungaan baru yang berjaya dengan banyak dalam tempoh yang lebih singkat.
Bahagian-bahagian penting tumbuhan yang perlu anda kenali. |
Penyediaan Pokok Untuk Kacukan
Apabila anda telah memilih pokok-pokok yang sesuai untuk dikacukkan, tibalah saatnya memilih bunga-bunga yang sesuai untuk dijadikan tempat pemindahan debungan dari bunga yang berasal dari pokok yang lain. Beberapa langkah penting berikut perlu diikut dengan teliti bagi memastikan hasil kacukan yang baik.
Pemilihan bunga perlu dilakukan pada bunga yang hampir kembang, bukan yang telah kembang, kerana ia mungkin telah didebungakan. Pilihlah beberapa kuntum bunga dari pokok bunga yang akan diambil debunganya sahaja untuk dipindahkan ke pokok bunga kedua yang akan menghasilkan biji benih hasil kacukan nanti. Kedua-dua bunga ini perlu berada dalam peringkat yang sama; iaitu hampir mekar, tetapi masih tertutup.
Proses Pendebungaan
Proses pendebungaan dilakukan dengan mengumpulkan debunga dari pokok pertama. Buangkan kelopak bunga yang menutupi bahagian dalam bunga yang mengandungi stamen (mengandungi debunga) dan juga pistil (mengandungi stigma).
Debunga-debunga yang kebiasaannya berwarna kuning dari bunga-bunga ini akan diasingkan ke dalam bekas dan disimpan dengan baik. Manakala pokok bunga yang akan menerima pemindahan ini pula akan disediakan. Anda boleh memberi tanda/melabel bunga yang akan dikacukkan pada batang bunga atau pokok tersebut. Sama juga, kelopak bunga tersebut perlu dibuang bagi mendedahkan bahagian dalam bunga. Tapi pada bunga ini pula anda perlu membuang bahagian stamen yang ada bagi mengelakkan debunga dari bunga ini sendiri yang akan mendebungakannya. Bunga yang telah dibuang kelopak dan bahagian stamennya ini perlu dibiarkan sehingga 8 jam sehingga ia bersedia untuk didebungakan.
Setelah 8 jam, proses pemindahan bolehlah dilakukan dengan memindahkan debunga yang dihasilkan dari pokok pertama tadi kepada bunga yang telah disediakan. Anda boleh menggunakan jari sahaja untuk memindahkan debunga dari bekas kepada stigma bunga yang telah disediakan. Proses yang sama dilakukan sekali lagi ke atas bunga setelah tempoh 24 jam bagi meningkatkan tahap kejayaan proses kacukan anda.
Penhasilan Buah dan Biji Benih
Bunga yang berjaya didebungakan akan menghasilkan putik buah dalam masa beberapa minggu. Manakala ia akan memakan masa beberapa bulan pula untuk matang. Anda perlu menunggu buah-buah ini sehingga matang untuk mendapatkan biji hasil daripada kacukan anda tadi. Dari biji inilah pokok-pokok hasil kacukan anda dihasilkan. Semailah seperti biasa dan anda akan hanya melihat hasilnya apabila ia menghasilkan bunganya nanti.
Bunga dengan warna yang amat menarik. |
Ciri-ciri baru membuka pasaran baru penjual bunga. |
Selain warna, bentuk dan bau juga menjadi lebih unik. |
Proses menghasilkan bungaan hybrid ini bukanlah sukar, namun ia mengambil masa yang lama dan kesabaran yang tinggi. Pada masa yang sama anda boleh mempelajari pelbagai perkara penting mengenai tanaman dan pertanian. Ini kerana penghasilan tanaman pertanian juga menggunakan kaedah ini untuk menghasilkan jenis tanaman yang baru. Malah kaedah ini telahpun digunakan oleh para petani sejak ratusan atau ribuan tahun dahulu, untuk menghasilkan hasil tanaman yang lebih baik. Fikir-fikirkan, renung-renungkan betapa mudahnya kaedah ini dan kita tidak pernah mempraktikkannya.