Salah satu pemandangan di Taman Botani Putrajaya. |
Taman Botani, Putrajaya bukanlah lokasi lawatan baru dan sememangnya telah diketahui umum. Penampilannya di dalam MyRokan kali ini adalah untuk meninjau sejauh mana pencapaian taman ini semenjak sekian lama ianya dibuka dan kesesuaiannya untuk lawatan yang mendatangkan manfaat kepada para pengunjung.
Taman ini merupakan antara taman terkenal antara banyak lagi taman-taman lain yang terdapat di sekitar Putrajaya dengan bertemakan tanaman (botani) tumbuh-tumbuhan. Setelah sekian lama dibuka kepada orang ramai, banyak perubahan yang berlaku di sini terutamanya saiz tumbuh-tumbuhan yang telahpun mencapai peringkat yang lebih dewasa berbanding sewaktu ianya baru dibuka dahulu. Walaupun terdapat tumbuh-tumbuhan yang juga boleh di dapati di taman-taman lain seperti “Taman Rimba Alam”, kehadirannya di sini adalah sebagai pelengkap yang memudahkan lagi para pengunjung mengenali tumbuhan tersebut ke taman ini.
Keseluruhan taman ini adalah amat luas iaitu sekitar 230 ekar atau 93 hektar yang dibangunkan secara berperingkat dalam 3 fasa. Ia juga dibahagikan kepada bahagian-bahagian tertentu mengikut tema tumbuhan yang ditanam bagi memudahkan proses mengenal pasti tumbuhan dan penjagaan nya. Ini kerana setiap spesies tumbuhan mempunyai keadaan kesesuaian penanaman yang berbeza bagi memastikan ianya hidup dengan subur.
Bunga Semarak Api yang diperhatikan daripada Titian Kanopi. |
Bunga pokok hutan dari jarak dekat di atas Titian Kanopi. |
Antara perkara yang paling menarik dapat diperhatikan di sini adalah penggunaan ‘label’ yang lebih baik bagi setiap tumbuhan di dalam taman ini. Ia merupakan satu perkara yang paling penting bagi para pengunjung dalam usaha untuk mengenal pasti tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sini. Keadaan ini memudahkan para pengunjung untuk mencari maklumat lebih lanjut mengenai sesuatu spesies sekiranya perlu.
Lawatan ke sini sebaiknya dimulakan di ‘Pusat Interpretif Pelawat’, yang merupakan nadi taman ini yang akan menyediakan maklumat kepada para pengunjung. Selain daripada itu, ia juga merupakan tempat di mana, para pengunjung dapat menggunakan kemudahan-kemudahan lain seperti sewaan basikal, tram, kedai cenderamata, tandas dan lain-lain kemudahan pengunjung. Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan benih tumbuh-tumbuhan juga boleh berurusan melalui pusat ini.
Terdapat beberapa maklumat penting yang disediakan di sini sebagai asas kepada ilmu botani seperti mengumpul dan mengenal spesies tumbuh-tumbuhan. Ia merupakan perkara asas yang perlu diketahui oleh para peminat botani. Terdapat beberapa spesimen herbarium yang dipaparkan kepada pengunjung (namun ia tidak menyediakan koleksi herbarium Malaysia seperi yang di harapkan). Ia juga tidak menyediakan maklumat lengkap proses pengawetan spesismen tumbuhan sebaliknya hanya menunjukkan antara bahan yang digunakan. Satu perkara yang mungkin kekurangan di sana, namun amat penting untuk dikongsikan kepada para pengunjung.
Rumpun buluh berhampiran Pusat Interpretif Pelawat. |
Bahan yang digunakan untuk proses pengawetan spesimen tumbuhan. |
Antara spesimen yang diawet mengikut kesesuaian bahan. |
Lawatan ringkas kami ke sana menyaksikan potensi taman yang amat baik, namun kualiti penyelenggaraan yang semakin menurun. Keadaan pusat pentadbiran yang semakin suram memberikan suasana kurang ceria dan tidak menarik untuk didekati walaupun ia mempunyai prasarana antara yang terbaik di negara ini.
Keadaan taman pula secara kasarnya terpelihara dengan baik. Walaupun terdapat pokok-pokok yang perlu diganti atau diberikan penjagaan yang lebih rapi (seperti di taman paku-pakis – dimana beberapa spesies kemungkinan telah mati dan perlu diganti). Para pengunjung juga mungkin berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sesuatu jenis tumbuhan yang mereka saksikan di sini, maka adalah lebih baik sekiranya disediakan sebuah pusat sumber maklumat yang lengkap untuk para pengunjung berbentuk perpustakaan ataupun pengkalan data digital yang mudah diakses oleh pengunjung.
Antara anak benih pokok yang boleh dibeli. |
Pokok "Berlian", antara pokok yang terdapat di sini. |
Setiap pokok di label dengan baik untuk memudahkan proses mengenal pasti oleh pelawat. |
Sudah pasti kami akan mengunjungi semula taman botani ini untuk melihat secara lebih mendalam mengenainya dalam waktu terdekat. Adalah diharap pihak pengurusan taman dan kakitangan dapat meningkatkan usaha mereka dalam memberikan yang terbaik kepada para pengunjung - walaupun ianya merupakan satu cabaran yang sukar untuk dipenuhi. Namun taman ini dilihat mempunyai potensi yang amat baik dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan tumbuh-tumbuhan sebagai sumber yang boleh membantu meningkatkan tahap ekonomi.