Isnin, 5 September 2016

Tempat-Tempat Menarik Untuk Dilawati di SE Asia

Bayon, terletak di Kompleks Angkor, Siem Reap, Cambodia.

SE Asia (Asia Tenggara) merupakan kawasan yang meliputi beberapa negara menyimpan banyak sejarah yang perlu dihayati oleh bukan sahaja penduduk SE Asia sendiri, malah oleh semua penduduk dunia. Sehubungan itu dengan bantuan UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization), sebahagian lokasi-lokasi penting ini telah disenaraikan supaya ianya terus dipelihara selain membolehkan orang ramai mengunjunginya.

Walaupun kebanyakan tinggalan ini hanyalah sebahagian daripada lipatan sejarah, ia banyak menyimpan ciri-ciri keunikan kita sendiri yang tinggal di dalam satu kawasan yang sama. Sedikit sebanyak ia mengingatkan hubung kait kita kepada negara-negara jiran. Ramai di antara kita yang mempunyai pertalian jauh atau dekat, manakala banyak pula perkara yang kita lakukan (seperti masakan, pakaian ataupun pertuturan mempunyai persamaan). Maka dengan itu, kawasan-kawasan penting ini perlu dititik beratkan sebagai lawatan kita masyarakat yang tinggal di SE Asia.

Sehingga kini, UNESCO menyenaraikan sekitar 37 kawasan di 9 buah negara sebagai kawasan “World Heritage Sites”, walaupun mungkin banyak lagi kawasan yang disenaraikan di masa-masa akan datang. Melalui penyenaraian ini, ia memudahkan lagi para pelawat untuk melihat sendiri keunikan kawasan-kawasan tersebut. Manakala penduduk tempatan juga mendapat kebaikan daripada kunjungan para pelawat dari luar.

Berikut adalah senarai kawsasan-kawasan tersebut mengikut negara:

Angkor Wat, Siem Reap, Cambodia.

2 Kawasan World Heritage Sites, di Cambodia:
  • Kompleks Angkor, Seam Reap.
  • Temple of Preah Vihear, Preah Vihear.

Kompleks Prambanan di Jawa Tengah, Indonesia.

8 Kawasan World Heritage Sites, di Indonesia:
  • Candi Borobudur, Jawa Tengah.
  • Taman Negara Komodo, Timur Nusa Tenggara.
  • Candi Prambanan, Jawa Tengah.
  • Taman Negara Ujung Kulon, Banten dan Lampung.
  • Kawasan Penempatan Awal Sangiran, Jawa Tengah.
  • Taman Negara Lorentz, Papua.
  • Kawasan Taman Negara Hutan Hujan di Sumatra (3 lokasi), Sumatra.
  • Landskap Kebudayaan di Bali (2 lokasi), Bali

Bandar Luang Prabang, Laos.

2 Kawasan World Heritage Sites, di Laos:
  • Kawasan Perbandaran Luang Prabang,
  • Tinggalan Vat Phou, Champasak

Taman Negara Kinabalu, Malaysia.

4 Kawasan World Heritage Sites, di Malaysia:
  • Taman Negara Mulu, Sarawak
  • Taman Negara Kinabalu, Sabah
  • Bandar Bersejarah, Melaka dan Georgetown
  • Tapak Aerkeologi, Lembah Lenggong

Bandar Purba Pyu, Myanmar.

1 Kawasan World Heritage Sites, di Myanmar:
  • Bandar Purba Pyu, Mandalay

Gereja lama, Church of San Agustín, Paoay, Philippines.

6 Kawasan World Heritage Sites, di Philippines:
  • Gereja-gereja Baroque di Philippines (4 lokasi)
  • Kawasan Terumbu Karang Tubbataha, Palawan
  • Kawasan Tanaman Padi Bukit, Cordilleras.
  • Bandar Bersejarah Vigan, Ilocos Sur.
  • Taman Negara, Sungai Subterranean Puerto-Princesa, Palawan.
  • Kawasan Hidupan Liar Gunung Hamiguitan, Davao Oriental.

Singapore Botanical Garden.

1 Kawasan World Heritage Sites, di Singapore:
  • Singapore Botanic Gardens

Kompleks Kerajaan Lama Sukhotai, Thailand.

5 Kawasan World Heritage Sites, di Thailand:
  • Bandar Bersejarah Ayutthaya.
  • Bandar Bersejarah Sukhothai.
  • Kawasan Hidupan Liar, Thungyai-Huai Kha Khaeng, Uthai Thani.
  • Tapak Arkeologi Ban Chiang, Udon Thani.
  • Kompleks Perhutanan Dong Phayayen-Khao Yai, Saraburi, Nakhon Ratchasima, Nakhon Nayok, Prachinburi, Sa Kaeo dan Buriram.

Kompleks Kerajaan Lama di Hué, Vietnam.

8 Kawasan World Heritage Sites, di Vietnam:
  • Kompleks Monumen Hué, Thừa Thiên–Huế.
  • Ha Long Bay, Quảng Ninh.
  • Bandar Purba Hoi An, Quảng Nam.
  • My Son Sanctuary, Quảng Nam.
  • Taman Negara Phong Nha-Ke Bang, Quảng Bình.
  • Imperial Citadel of Thang Long, Hanoi.
  • Citadel of the Ho Dynasty, Thanh Hóa.
  • Kompleks Pemandangan Trang An, Ninh Binh.

Mungkin anda tidak bekesempatan melawat kesemuanya. Namun dengan lawatan ke tempat-tempat yang disenaraikan di atas sedikit sebanyak memberikan pelajaran mengenai sejarah kita di serata SE Asia. Tidak dinafikan setiap negara dan kawasan mempunyai keunikannya masing-masing, dari keunikan inilah kita dapat lebih memahami antara sesama kita.


Bagi penduduk tempatan di tempat yang disenaraikan pula, lakukanlah yang terbaik untuk memilihara kawasan-kawasan penting ini. Berikan pula kerjasama kepada para pelawat yang datang berkunjung untuk melihat keunikan tempat masing-masing. Bantuan anda merupakan satu usaha yang amat diperlukan selain ia juga mungkin membantu taraf ekonomi anda sendiri.


Free Download



Ahad, 4 September 2016

Keunikan Rekaan Botol Pewangi Moden

Guerlain dengan botol yang direka bersama Arita Porcelain Lab dari Jepun (2016).

Jika sebelum ini kita telah melihat mengenai keunikan botol-botol pewangi yang digunakan oleh orang-orang dahulu, kini kita akan melihat pula keunikan botol-botol pewangi pada abad ke-21. Oleh kerana perkembangan zaman, pengaruh ke atas seni reka botol-botol pewangi adalah bersifat lebih menyeluruh (global) manakala material yang digunakan juga adalah lebih banyak. Ini bermakna, pereka pada sekarang mempunyai lebih ruang untuk menzahirkan ilhamnya.

Apa yang jelas pewangi-pewangi hari ini dihasilkan terutamanya oleh pengiat-pengiat industri fesyen, muzik dan perfileman. Maka ia dipengaruhi kuat oleh latar belakang pengiat-pengiat seni tersebut. Namun begitu ia turut mengandungi pelbagai pengaruh yang lain termasuk sukan, kebudayaan, kemewahan dan seni reka minyak wangi asli seperti mana dahulunya.

Kepesatan industri wangian juga menyebabkan pewangi dihasilkan dengan harga yang lebih murah. Bagi pewangi-pewangi jenis ini, seni reka botol tidaklah menjadi satu keutamaan. Ia samada membangkitkan keinginan untuk mengenali wangian dengan lebih mendalam atau sebaliknya menyebabkan wangian kurang dinilai sepertimana sepatutnya.

Walaupun rekaan pada botol-botol pewangi ini menyebabkan harga pewangi menjadi lebih tinggi. Ia antara lain menggambarkan ketelitian pembuatannya selain mesej yang ingin disampaikan melalui sesuatu keluaran. Terdapat juga pewangi yang disediakan dalam rangkaian penuh (merangkumi pewangi, deodorant, gel mandian, after shave, sabun mandian dan sebagainya). Ia juga mungkin pelengkap kepada koleksi pakaian dan sebagainya. Botol-botol ini juga boleh dijadikan sebahagian koleksi menarik setelah ianya habis digunakan.


Walaupun pewangi-pewangi dengan rekaan unik ini dikaitkan sebagai barangan mewah, ia juga perlu dinilai sebagai satu hasil seni. Kehalusan dalam rekaan pewangi ini sebenarnya perlu diterapkan juga dalam bidang-bidang kerjaya yang lain dimana setiap perkara perlu dilakukan dengan penuh ketelitian, penuh semangat, disertai dengan kreativiti, dihasilkan dengan sebaik mungkin dengan penuh ciri-ciri keaslian tersendiri.

 Rekaan botol dari Marc Jacobs dengan Daisy Dream perfume (2014).

Calvin Klein mempunyai rekaan yang ringkas, namun tetap unik.

Chanel No. 5 antara pewangi yang termahal rekaan Ernest Beaux pada 1921.

Paco Rabanne, 1Million dengan rekaan botol menyerupai jonkong emas.

Rekaan daripada Salvatore Ferragamo, Signorina.

Yves Saint Laurent dengan pewangi  L'Élixir.

Clive Christian No. 1 Imperial Majesty Perfume merupakan pewangi terpaling eksklusif. 




Free Download



Keunikan Seni Reka Botol Pewangi

Rekaan yang diberi nama "fleur de lys" hasil rekaan Baccarat.

Pewangi seperti yang kita ketahui telah digunakan beribu tahun dahulu. Antara kepentingan pewangi kepada manusia, ia bukan sahaja memberikan kita bauan yang lebih enak tetapi turut memberikan kita insprasi kehalusan yang jelas kelihatan pada rekaan bekas atau botol-botolnya.

Sememangnya rekaan botol-botol pewangi dipengaruhi oleh ciri-ciri budaya, geografi dan sebagainya. Namun kaitan pewangi dan seni rekaan ini tiada pada barangan lain walaupun ianya juga berharga. Ia adalah salah satu tanda kepentingan pewangi kepada kekuatan jiwa seseorang, kehalusan penilaian serta keupayaan berimaginasi yang tinggi; atau yang sering dikatakan sebagai pemikiran di luar kotak.

Sehinggga kini botol-botol pewangi masih lagi merupakan seni yang melengkapkan kepada keunikan pewangi itu sendiri. Rekaan pewangi menjadi gagal sekiranya ia tidak ditampilkan dengan botol yang kreatif, yang juga merupakan satu lagi cabaran para pereka pewangi hari ini.

Sebelum kita menyentuh lebih dekat mengenai seni rekaan botol-botol moden, kita akan melihat terlebih dahulu seni reka botol-botol pewangi dahulu kerana ia lebih asli dan sebagai pencetus keunikan seni botol pewangi. 

Rekaan botol berkembar sebagai perenjis bahan pewangi.

Botol pewangi dari China, tanpa tarikh penggunaannya.

Botol yang digunakan untuk menyimpan pewangi digunakan pada zaman Roman.

Botol-botol rekaan dari Timur Tengah.

Botol pewangi Louis XVI, French.

Botol pewangi pada abad ke-17.

Botol yang digunakan pada awal abad ke-19.



Free Download



Jumaat, 2 September 2016

Proses Mengesktrak Minyak Wangi

Minyak essential yang diekstrak dari bahan asli.

Proses mengekstrak bauan daripada bahan-bahan seperti bunga, rempah, kayu-kayuan dan amber merupakan proses yang telah dilakukan sejak berzaman lamanya. Pada asalnya hanya bauan daripada beberapa bahan sahaja yang boleh diekstrak dengan mudah. Proses ini terus diperbaiki sehingga hari ini bagi membolehkan bukan sahaja lebih bahan bauan diperolehi, malah memperbaiki kualiti bauan yang di ekstrak tersebut.

Proses mengekstrak bauan hari ini terdiri daripada beberapa teknik asas yang dikenali sebagai teknik penyulingan, pengekstrakan pelarut, pemerahan (expression) dan juga enfleurage. Teknik-teknik ini digunakan mengikut kesesuaian bahan yang digunakan kerana setiap bahan mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Hasil daripada proses mengekstrak ini didapati dalam bentuk samada sebagai minyak essential, absolutes, concretes atau butters bergantung kepada kandungan lilin di dalam bahan yang diekstrak.

Teknik penyulingan wangian di India.

Menyediakan bahan untuk process pemerahan (sitrus).
Radas penyulingan secara ringkas.

Apa yang menarik, hari ini lebih banyak teknik-teknik baru dapat digunakan berikutan kepesatan teknologi moden. Malah bauan sintetik juga mampu dihasilkan dengan kelebihan tersendiri. Ini membolehkan harga pewangi dihasilkan dengan lebih murah, selain bauan yang lebih sekata ataupun tetap – kerana wangian semulajadi boleh jadi berbeza walaupun dari jenis bunga yang sama.

Teknik penyulingan merupakan teknik yang biasa digunakan untuk mendaptkan bauan daripada bungaan seperti ‘orange blossom’ dan juga ros. Melalui teknik ini bunga-bungaan dipanaskan di dalam dandang dan wap terkondensasi akan dikumpulkan. Bagaimanapun dalam teknik moden proses ini juga menggunakan wap panas selain daripada bunga yang direndam di dalam air. Selain itu dalam teknik penyulingan sendiri terdapat beberapa variasi bagi menghasilkan kualiti wangian yang berbeza atau mengikut bahan yang digunakan.

Expression pula merupakan teknik pemerahan terus daripada bahan sumber wangian. Teknik pemerahan ini mungkin dalam bentuk tekanan atau perahan untuk mengumpulkan essential oils daripada bahan tersebut secara terus. Ia merupakan teknik awal sebelum teknik penyulingan ditemui lagi. Teknik ini sesuai bagi bahan seperti kulit buah-buahan sitrus iaitu oren, limau, lemon dan sebagainya. Bahan-bahan yang digunakan dalam teknik ini mempunyai kandungan essential oils yang tinggi di dalam kulitnya. Ia juga merupakan teknik yang paling mudah dan paling murah bagi menghasilkan sumber wangian.

Process enfleurage menggunakan lelemak.

Teknik pengekstrakan moden.

Bunga ros yang sedia untuk diekstrak.

Proses yang digunakan mengikut bahan.

Enfleurage pula merupakan teknik pengekstrakan yang menggunakan bahan lemak yang tidak berbau untuk memerangkap bauan terutamanya dari bunga-bungaan. Bauan yang terperangkap pada bahan lelemak ini kemudiannya akan dilarutkan dengan alkohol untuk mengasingkannya daripada lemak. Enfleurage merupakan teknik yang dahulunya digunakan apabila teknik penyulingan tidak boleh dilakukan . Namun dalam teknik pengekstrakan moden ia jarang digunakan kerana kosnya yang agak mahal berbanding teknik-teknik yang lebih baik yang ada pada hari ini.


Banyak lagi teknik pengekstrakan wangian dalam dunia moden yang digunakan dalam industri. Namun proses yang disebutkan di atas merupakan teknik asas yang perlu diketahui sebagai asas pembuatan minyak wangi. Pewangi merupakan antara bahan penting yang dapat membantu kita merasa lebih tenang, ceria selain menguatkan lagi semangat diri seseorang. Maka ia adalah satu lagi pengetahuan penting untuk kita kuasai.


Free Download



Arkib Blog