Selasa, 30 Ogos 2016

Kaktus-Kaktus Yang Menarik

Salah satu bunga kaktus yang amat cantik.

Lanjutan daripada artikel kaktus sebelumnya hari ini kita akan melihat beberapa lagi kaktus yang amat menarik untuk kita kenali. Namun hari ini kita tidak akan bercerita pangjang melainkan mengenalinya dari rupa bentuknya sahaja. Kaktus walaupun tidak berdaun (cuma sedikit sahaja kaktus yang mempunyai daun), ia tetap mempunyai bunga dan buah yang ada di antaranya boleh dimakan.

Apa yang menarik bagi kaktus hiasan adalah bukan sahaja bunga kaktus tersebut yang cantik, malah keseluruhan pokok kaktus tersebut adalah begitu unik sekali. Kebanyakan kaktus ini bukan berasal dari kawasan sekitar tropika maka namanya agak sukar ditentukan. Anda perlu mencarinya sekiranya ingin mengenalinya dengan lebih lanjut.


Kaktus dengan bunga yang amat menarik.

Salah satu jenis kaktus berdaun.

Bentuk kaktus yang amat unik.

Tidak sangka bunganya amat cantik sekali.

Kaktus batu, namun bunganya amat cantik.


Bentuk kaktus dan bunga yang unik.

Duri dan bunga kaktus yang menarik.

Kaktus dengan bunga merah terang.

Kaktus dengan pelbagai jenis daun yang menarik.



Free Download



Isnin, 29 Ogos 2016

Kumpulan Tumbuhan Unik Kaktus

Pokok kaktus mempunyai fungsi penting dan merupakan tumbuhan unik.

Bagi kita yang tinggal di kawasan tropika pokok kaktus mungkin agak asing kerana ianya biasa tumbuh di kawasan-kawasan kering. Walaupun sebahagiannya boleh di tanam di sini, namun kaktus merupakan satu kumpulan tumbuhan yang amat besar dan mempunyai kepelbagaian seperti juga kumpulan tumbuh-tumbuhan yang lain.

Tumbuhan kaktus merupakan kumpulan tumbuhan di dalam family Cactaceae, iaitu kumpulan yang mengandungi 127 genus (genera) dan terdiri daripada lebih kurang 1,750 spesies yang dikenal pasti. Ia mempunyai pelbagai saiz dan bentuk dengan taburan yang agak luas, namun kebiasaannya di kawasan bertanah kering (dengan kadar taburan hujan yang rendah). Namun begitu sesetengah keluarga kaktus amat unik dan menjadi tanaman yang membekalkan buah-buahan yang sedap untuk dimanakan.

Antara gambar pokok kaktus yang menakjubkan.

Bunga daripada Ariocarpus kotschoubeyanus.

Kaktus merupakan sumber makanan penting di gurun.

Seperti juga tumbuh-tumbuhan lain, pokok kaktus menjalankan proses fotosintesis untuk menghasilkan makanannya. Apa yang berbeza adalah ia dilengkapi dengan duri-duri yang keluar dari batangnya melalui titik-titik yang dikenali sebagai “areola”. Duri-duri pada kaktus juga berbeza mengikut jenis (dan ia merupakan salah satu ciri-ciri penting dalam mengenali sesuatu spesis kaktus).

Walaupun duri-duri kaktus menyediakan perlindungan kepada pokok kaktus, namun ia juga mempunyai pelbagai tujuan lain. Salah satunya adalah untuk mengurangkan terik matahari terus mengenai batangnya. Duri-duri yang banyak ini menyediakan sedikit perlindungan daripada panas matahari. Malah bagi kaktus spesis “cholla”, durinya bertindak sebagai biji benih yang akan melekat pada haiwan yang mengenainya dan jatuh di tempat baru yang mungkin sesuai untuknya tumbuh dengan lebih subur.

Namun begitu pokok kaktus juga merupakan tumbuhan yang penting kepada haiwan dan manusia. Bagi haiwan-haiwan seperti kura-kura padang pasir, kaktus merupakan sumber makanan yang boleh membekalkan tenaga dan air. Manakala haiwan-haiwan lain pula turut menjadikan kaktus sebagai tempat untuk membina sarang. Pada masa yang sama, manusia juga menjadikan kaktus sebagai sumber air apabila perlu. Manakala sesetengah spesies kaktus mengeluarkan buah yang boleh dimakan. Antara buah kaktus yang paling terkenal adalah “dragon fruit”. Malah bagi “dragon fruit”, ini keseluruhan pokoknya juga boleh digunakan untuk menyediakan makanan bagi manusia.

Cholla cactus mempunyai duri yang mudah melekat.

Bunga kaktus saguaro (Carnegiea gigantea)

Antara kaktus yang dijadikan hiasan.

Sebahagian lagi kaktus yang dijadikan hiasan.

Antara perkara menarik mengenai kaktus adalah; kaktus yang terbesar adalah dari spesis Pachycereus pringlei, yang pernah direkodkan mencapai ketinggian sehingga 19.2 m (63 ft), manakala spesis yang terkecil pula adalah  Blossfeldia liliputiana, dengan saiz diameter hanya  1 cm (0.4 in) apabila dewasa. Manakala spesis kaktus yang besar seperti  “saguaro” (Carnegiea gigantea) dikatakan berupaya untuk menyerap air sehingga 200 U.S. gallon (760 liter) pada musim hujan.


Menyedari keunikan kaktus ini, banyak pusat-pusat tanaman kaktus dibuka selain ianya turut mendapat perhatian penting daripada taman-taman botani utama di dunia. Selain diketengahkan sebagai tumbuhan hiasan, banyak lagi potensi kaktus yang cuba diketengahkan. Sememangnya kaktus merupakan tumbuhan yang masih kurang diterokai lagi fungsinya. Maka mengenali dan mempelajari tumbuhan ini dengan lebih lanjut adalah sesuatu yang penting.

Ladang dragon fruit di Vietnam.

Buah dragon fruit yang enak.

Buah kaktus Indian fig dijual di pasar.


Free Download



Bagaimana Kertas Mencorak Budaya Jepun

Origami merupakan budaya Jepun yang popular menggunakan kertas.

Walaupun kertas mula dicipta di China sekitar 105 A.D. oleh Cai Lun, penghasilan kertas merebak dengan cepat ke bahagian-bahagian lain terutamanya Jepun dan Korea. Ia seterusnya mencorakkan budaya hidup masyarakat setempat terutamanya masyarakat Jepun yang mempunyai pelbagai keunikan budaya menggunakan kertas.
Jepun mempunyai kertasnya sendiri yang dikenali sebagai washi (和紙), yang bermaksud waJepun’ dan shikertas’. Kertas washi dihasilkan daripada serat kulit kayu gampi, tumbuhan mitsumata  (Edgeworthia chrysantha), atau  kozo (paper mulberry). Ia juga adakalanya dihasilkan menggunakan buluh, hemp, padi ataupun gandum. Kertas ini dihasilkan menggunakan tangan secara tradisional oleh keluarga-keluarga di Jepun menjelang 1800’s. Pada masa tersebut terdapat sekitar 100,000 keluarga yang menghasilkan kertas menggunakan tangan ini. Ia bagaimanapun semakin berkurangan apabila persaingan dari negara-negara lain semakin meningkat berikutan penggunaan mesin-mesin moden.

Sugiharagami (杉原紙), sejenis kertas "washi".

Edgeworthia chrysantha atau mitsumata.
Penghasilan washi secara tradisional dilakukan menjelang musim sejuk bagi memastikan air digunakan adalah sejuk untuk mengelakkan bakteria yang boleh menyebabkan pereputan serat yang digunakan. Ia juga membantu untuk menghasilkan kertas yang lebih bermutu. Selain itu ia juga memberikan para petani pendapatan tambahan ketika musim sejuk.
Proses penghasilan washi bermula dengan batang-batang (kozo, gampi atau mitsumata) yang dicantas dan direndam. Kulitnya akan diasingkan sebelum kulit dalamnya pula dikeluarkan untuk dibersihkan dan diketuk dan ditegangkan.
Serat yang yang telah diketuk ini kemudiannya dimasukkan ke dalam bahan cecair  yang dicampurkan tororo-aoi (akar bunga raya yang ditapai) untuk menambahkan kelikatan yang kemudiannya membentuk pes.

Pes ini kemudiannya akan diratakan di atas jejaring buluh untuk membentuk kertas. Kertas-kertas kemudiannya akan diasingkan sebelum ianya dikeringkan di atas kayu di bawah matahari atau di dalam bangunan menggunakan pemanas.
Washi mempunyai banyak kelebihan tersendiri memandangkan ia dihasilkan secara tradisional membolehkan ia menghasilkan kertas yang lebih tahan lasak untuk kegunaan-kegunaan yang tidak boleh digunakan untuk kertas biasa. Teksturnya juga memberikan kertas washi penampilan tersendiri dan amat sesuai digunakan sebagai kad ucapan atau buku catatan peribadi. Kertas-kertas washi juga merupakan kertas yang kurang berasid dan tahan untuk tempoh yang lebih lama. Malah terdapat kertas washi yang masih bertahan setelah 1,000 tahun dihasilkan.

Ukiyo-e, merupakan seni blok cetakan.

Sajak "waka", oleh Ōshikōchi Mitsune di atas kertas suminagashi.
Kegunaan kertas washi boleh dilihat dalam kebanyakan hasil kerja tangan masyarakat Jepun selain hanya digunakan untuk tujuan penulisan dan cetakan. Walaupun Jepun terkenal dengan seni lipatan kertas yang dikenali sebagai origami, penggunaan washi meliputi lebih dari itu antaranya termasuk; chiyogami, ikebana, katazome, patung kertas, jahitan, shibori, shodo, sumi-e, suminagashi, ukiyo-e, washi eggs dan chigirie. Malah ia turut digunakan dalam banyak perkara lain seperti untuk membuat pakaian, masakan, perabut, barangan dan digunakan juga di dalam perayaan-perayaan khas. Tidak lupa juga kertas digunakan untuk membuat dinding bilik yang ringan.

Begitu sekali kertas dimanfaatkan di Jepun. Apa yang menarik, kertas-kertas washi yang dihasilkan amat menarik dengan penuh kesenian. Walaupun ia tidak dapat menandingi harga murah kertas-kertas yang dihasilkan menggunakan mesin moden, kertas washi tidak dapat diganti dengan kertas biasa. Semoga kita mencontohi kegigihan masyarakat Jepun dalam memperkayakan budaya mereka dengan keunikan budaya kita masing-masing. 

Free Download



Ahad, 28 Ogos 2016

Bagaimanakah Kertas Mula Dicipta?

"Paper wasp" menggunakan cebisan kayu membentuk kertas membina sarangnya.

Kertas merupakan salah satu rekaan penting yang menjadikan perkembangan ilmu pengetahuan manusia berkembang dengan lebih pesat. Walaupun kertas digunakan untuk pelbagai tujuan, kegunaan kertas untuk tujuan penulisan, merekod, dan menyimpan maklumat merupakan antara kegunaan penting kertas. Walaupun kertas digunakan manusia, namun ianya adalah rekaan alam yang telah digunakan oleh serangga sejak jutaan tahun dahulu.

Serangga tersebut dikenali sebagai “paper wasps” atau juga dikenali sebagai angkut-angkut. Serangga ini terdapat hampir di seluruh dunia dengan jumlah spesis sehingga lebih kurang 1,100 spesis kesemuanya. Namun kesemua serangga ini membina sarangnya menggunakan kertas yang dihasilkan menggunakan serat daripada batang pokok atau tumbuh-tumbuhan yang kemudiannya dicampurkan dengan air liurnya untuk membentuk sarangnya.


Cai Lun yang menemukan kaedah pembuatan kertas.

Keunikan sarang serangga ini diperhatikan oleh seorang pegawai Kerajaan China yang dikenali sebagai Cai Lun (Traditional Chinese: 蔡倫). Cai Lun dikatakan mendapat ilham mecipta kertas melalui pemerhatiannya terhadap serangga angkut-angkut yang membina sarangnya menggunakan serat daripada kayu pada sekitar 105 A.D.. Walaupun proses penghasilan kertas terus diperbaiki namun proses asalnya dikekalkan iaitu melalui pengumpulan lapisan serat tumbuhan yang terampai di dalam air menggunakan tapisan untuk mengasingkan air sebelum ianya dikeringkan. Melalui penemuan Cai ini, beliau dikenali sebagai salah seorang tokoh penting dengan pelbagai penganugerahan.


Buku sebelum kertas dihasilkan.

Wasp mengumpulkan serat-serat kayu.

Proses penghasilkan kertas secara tradisional.

Teknik penghasilan kertas ini terus berkembang ke kawasan-kawasan lain dari China ke Timur Tengah dan seterusnya ke bahagian Eropah. Perkembangan kertas di Barat adalah melalui Baghdad dan ianya dikelai sebagai bagdatikos. Memandangkan kertas merupakan bahan penting, industri berkaitan kertas terus diperkembangkan samada dari segi bahan yang digunakan, mahupun proses penghasilannya sendiri. Malah teknologi kitar semula kertas juga turut diperkenalkan semenjak 1774 lagi oleh seorang juri German iaitu Justus Claproth.

Walaupun kertas kebiasaannya digunakan sebagai bahan catatan atau untuk cetakan, ia turut digunakan untuk pelbagai bahan lain seperti bungkusan, kotak, binaan dinding rumah, sebagai bahan kraftangan, bekas makanan, tisu dan banyak lagi.

Sarang wasp yang dijaga oleh kumpulan kecil wasp.

Salah satu "paper wasp" daripada ribuan spesis.

Penggunaan kertas bagaimanapun cuba dikurangkan kerana ia memerlukan penggunaan pokok-pokok dan tumbuhan lain sebagai sumber serat (cellulose) di mana permintaan kertas terus bertambah setiap tahun. Hari ini dengan kepesatan teknologi digital, keperluan kertas dapat dikurangkan, namun masih diperlukan. Dari segi pencemaran kertas pula, ianya tidaklah membawa kesan seburuk pencemaran plastik, namun begitu sekiranya tidak dikawal ia juga boleh membawa kesan yang negatif.


Apapun kertas merupakan salah satu kebaikan yang kita perolehi hasil daripada pengamatan yang dilakukan kepada alam. Bagi serangga “paper wasp” sendiri  kertas telah digunakan selama berjuta-juta tahun untuk tujuan membina sarangnya. Semoga dengan itu kita akan sentiasa lebih peka untuk melihat bagaimana alam memanfaatkan sumber-sumber yang terdapat di dalam alam itu sendiri, namun pada masa yang sama tidak merosakkannya.







Free Download



Arkib Blog