Penapis air merupakan antara keperluan rumah yang menjadi semakin penting dalam menyediakan bekalan air minuman bersih. Oleh kerana bekalan air mengandungi pelbagai bahan kimia merbahaya kesan daripada punca bekalan air yang tercemar dan juga saluran perpaipan yang mengandungi mendapan setelah lama digunakan. Perlukah kita melabur sejumlah wang yang besar untuk sistem penapis air ini, dan yang manakah baik untuk kita?
Terdapat pelbagai penapis air di pasaran, dan sebahagiannya dijual dengan harga yang amat tinggi. Persoalannya, apakah fungsi penapis air tesebut? Apakah bahan yang akan ditapis? Bagaimanakah ia bekerja? Apakah tujuan penapisan air tersebut dilakukan?
Keperluan kita mungkin berbeza antara pengguna individu, restaurant, industri, pusat kesihatan, makmal dan sebagainya. Jadi kualiti air yang diperlukan juga berbeza-beza. Adapun bagi pengguna domestik, apa yang diperlukan hanyalah kualiti air minuman yang bersih daripada sebarang mikro-organisma punca penyakit, pencemaran bahan kimia dan mendakan.
Bahan pencemaran seperti mikro-organisma boleh memasuki punca air semasa proses pemindahan air dari pusat rawatan ke rumah. Manakala bahan kimia biasanya berasal daripaa punca air itu sendiri, sedangkan mendakan berpunca daripada sistem saluran paip yang telah lama digunakan dan juga punca bekalan.
Sistem Penapisan
Sistem penapisan biasanya berfungsi pada dua tahap (minima) iaitu tapisan kasar dan tapisan halus (juga anti-bakteria). Tapsisan kasar menapis mendakan di dalam air bagi partikel-partikel kasar yang menjadikan sumber air keruh. Tapisan air kedua pula membersihkannya lagi dan membunuh organisma-merbahaya yang terdapat di dalam air – yang boleh menyebabkan punca penyakit. Apa yang dibimbangkan sebenarnya adalah bahan pencemaran daripada bahan kimia terlarut dan juga yang ditambah seperti klorin.
Bagi punca air yang bersih seperti daripada kawasan pergunungan dan sungai yang bersih, pencemaran bahan kimia adalah jarang berlaku. Bahan-bahan kimia ini kebiasaannya berasal daripada kawasan pertanian yang menggunakan racun rumpai, racun serangga dan bahan-bahan kimia yang lain untuk tujuan pertanian. Begitu juga bagi punca air yang melewati kawasan perindustrian yang menggunakan lebih banyak bahan kimia dalam aktiviti hariannya.
Sistem Penapisan Air di Pasaran
Sistem penapisan air di pasaran adakalanya keterlaluan dengan penapisan berlebihan. Di sini berlakunya pembaziran seperti dalam sistem penapisan reverse osmosis. Penapisan bukan sahaja mengambil masa yang lama, malah kebanyakan air adalah dibuang. Ia juga turut menapis bahan mineral yang terkandung di dalam air sebaliknya masih lagi mengandungi bahan Volatile Organic Chemicals (VOCs) seperti racun rumpai, racun serangga, dan bahan-bahan kimia yang lain sekiranya ia terkandung di dalam air.
Manakala sistem yang lebih murah seperti blok penapis karbon pula adalah lebih mudah digunakan kerana ia memenuhi keperluan pengguna. Ia adalah lebih pantas, menapis kebanyakan bahan yang tidak diperlukan. Selain itu penapis jenis ini juga boleh digunakan untuk tempoh yang lebih lama.
Terdapat juga sistem penyulingan yang lebih baik dalam menyah bahan terampai dan juga mikro-organisma. Namun pada masa yang sama masih lagi mengandungi Volatile Organic Chemicals (VOCs) kerana bahan-bahan seperti ini masih lagi akan meruap semasa proses penyulingan dilakukan.
Manakah Sistem Penapis Yang Baik?
Jawapannya adalah bergantung kepada keperluan anda. Apa yang penting adalah anda mengetahui apakah yang anda perlukan daripda sistem tapisan yang akan dipasang. Sekiranya untuk digunakan sebagai sumber minuman, makan air tersebut perlulah ditapis dengan baik dan mampu menyingkirkan kebanyakan bahan terampai, bahan kimia merbahaya dan juga mikro-organisma punca penyakit.
Namun sekiranya bekalan air tersebut digunakan untuk mencuci dan menyiram pokok di halaman, ia mungkin hanya ditapis sekadar mengelakkan daripada mengandungi kotoran bahan mendakan atau tidak perlu ditapis langsung.
Air minuman perlu menyihatkan. |
Memasak air minuman langkah keselamatan yang paling baik. |
Manakala bagi memastikan sumber air minuman anda selamat, langkah terbaik adalah memastikan air minuman anda sentiasa dimasak – memasak air bukan sahaja membunuh mikro-organisma, tetapi juga menyingkirkan bahan merbahaya seperti klorin. Simpanlah air minuman anda yang telah ditapis di dalam bekas besar bagi membolehkan bahan yang tidak sepatutnya mendak dan masaklah sebelum ianya digunakan untuk minuman. Pastikan punca bekalan air minuman anda selamat dalam mencegah masalah kesihatan yang lebih serius.