Isnin, 6 Jun 2016

Kisah Mengenai Gula-Gula Getah (Chewing Gum)

Belon yang menjadi tarikan gula-gula getah.

Gula-gula getah mempunyai kisah yang menarik kerana ia merupakan salah satu bahan kunyahan moden yang diilhamkan berdasarkan bahan kunyahan berusia ribuan tahun dahulu. Ini kerana setiap masyarakat dunia mempunyai bahan kunyahan mereka tersendiri termasuklah kita penduduk di bahagian Asia Tenggara ini.

Antara bahan kunyahan yang tertua diketahui antaranya adalah pada zaman Neolithic sekitar 5,000 tahun dahulu dengan bahan kunyahan yang diperbuat daripada tar kulit pokok birch yang ditemui di Kierikki, Finland. Masyarakat Aztecs pula menggunakan getah dari pokok chicle (ciku) yang juga merupakan ‘chewing gum’ asli selain menggunakannya sebagai bahan pelekat. Namun bahan kunyahan turut dikesan di Ancient Greece yang diperolehi daripada pokok mastic. Di Asia pula pengamalan kunyahan boleh dilihat daripada tabiat mengunyah daun sireh, manakala mengunyah tembakau merupakan tabiat yang baru – kerana tembakau sendiri berasal dari negara-negara dari benua Amerika.

Masyarakat American Indians di Amerika Utara pula mengunyah resin yang dihasilkan oleh pokok spruce. Chewing gum komersil pertama dihasilkan menggunakan bahan ini oleh John B. Curtis pada tahun 1848, yang dijual dengan nama ‘The State of Maine Pure Spruce Gum’. Ia bagaimanapun diatasi dengan chewing gum yang dihasilkan menggunakan parafin wax.


Getah pokok ciku (sapodilla) merupakan bahan kunyahan bagi orang Aztecs.

Mengumpul getah dari pokok sapodilla/chicle.

Iklan untuk gula-gula getah pertama.

Chewing gum dihasilkan menggunakan getah ciku (chicle) dihasilkan pada tahun 1860 oleh John Colgan, di Louisville yang juga merupakan seorang pharmacist dari Kentucky. Chewing gum yang dihasilkan mempunyai perisa gula beraroma yang didapati dari pokok balsam (Myroxylon) dengan membentuk bilahan kecil chewing gum yang dikenali sebagai “Taffy Tolu”. Calgan merupakan pengeluar pertama yang menerajui pengeluaran chewing gum menggunakan getah dari pokok Manilkara chicle (ciku) yang berasal daripada tumbuhan tropika.

Namun chewing gum yang menggunakan getah ciku (Manilkara zapota) apabila ianya diperkenalkan oleh bekas presiden Mexico, General Santa Anna kepada ahli perniagaan New York yang bernama Thomas Adams. Walaupun pada mulanya ia diharap dapat menggantikan bahan getah (rubber), namun Thomas Adams menggunakannya untuk menghasilkan ‘chewing gum’ yang mempunyai bahan perisa pada tahun 1871. Getah daripada pokok sapodilla (Manilkara zapota) perlu dituai dengan tenaga manusia dengan membuat gelangan torehan yang ada kalanya sehigga mencapai 50 kaki tinggi. Ia merupakan satu proses yang perlahan sedangkan sapodilla (ciku) sendiri merupakan buah yang mempunyai kebaikan yang lebih baik berbanding getah yang dihasilkannya.

Penggunaan getah sapodilla ini kemudiannya digantikan dengan penggunaan gula-gula getah menggunakan bahan sintetik seperti butadiene. Ia merupakan bahan-bahan polymer yang mempunyai kebolehan untuk membentuk gelembung yang lebih besar.

Gula-gula getah (chewing gum) dikaitkan dengan kesihatan gigi dan mulut kerana ia meransang pengeluaran air liur. Ini kerana gula-gula getah moden dihasilkan tanpa menggunakan gula yang boleh membantu pembiakan bakteria seperti Streptococcus mutans, sebaliknya menggunakan Xylitol. Selain Xylitol bahan pemanis lain yang digunakan adalah daripada maltitol, aspartame dan acesulfam yang juga tidak menyebabkan masalah pereputan gigi.

Penghasilan air liur daripada tabiat mengunyah gula-gula getah boleh memberi manfaat kepada sistem penghadaman. Pada masa yang sama juga ia mendatangkan kesan buruk kepada sistem penghadaman dengan meransang perut untuk menghasilkan asid dan pankreas untuk menghasilkan enzim penghadaman pada masa yang tidak diperlukan. Ini boleh mendatangkan kesan yang tidak baik seperti perut berangin dan juga cirit-birit.

Terdapat banyak kajian dilakukan mengenai kesan positif dan juga negatif mengenai tabiat mengunyah gula-gula getah. Namun begitu sukar dibuktikan kesahihannya kerana ia mungkin boleh dihasilkan daripada tabiat mengunyah bahan-bahan lain. Ini kerana gula-gula getah hari ini dihasilkan daripada bahan-bahan sintetik yang boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan manusia.


Pembuangan gula-gula getah di atas laluan.

Antara perkara buruk disebabkan gula-gula getah.

Pada tahun 1998 seorang kanak-kanak berusia 4 tahun dilaporkan mengalami masalah sembelit yang disebabkan oleh tabiat menelan gula-gula getah. Manakala dalam kes berlainan seorang kanak-kanak lagi tertelan gula-gula getah bersama 4  keping syiling yang mengakibatkan ianya tersangkut pada esophagus kanak-kanak tersebut. Jadi penggunaan gula-gula getah perlu dilakukan dengan berhati-hati, terutamanya bagi kanak-kanak.

Antara kesan gula-gula getah yang paling ketara bagaimanapun adalah berkaitan kebersihan dan masalah pembuangan gula-gula getah. Ia biasa dibuang dengan cara yang tidak sepatutnya dan menimbulkan masalah kebersihan. Gula-gula getah sukar dibersihkan kerana ianya seperti plastik yang tidak mereput. Kerajaan Singapura mengharamkan penggunaan gula-gula getah pada tahun 1992. Namun pada tahun 2002 ia membenarkan gula-gula getah tanpa gula dijual di farmasi atas nasihat doktor.

Jadi apakah yang menarik mengenai gula-gula getah? Setelah mengetahui mengenai perkara-perkara di atas anda boleh membuat penilaian samada ingin menggunakan gula-gula getah ataupun tidak. Ia bagaimanapun menerangkan mengenai tabiat kita mengunyah sesuatu telah terbentuk sejak dahulu lagi. Namun dalam pada masa yang sama, ia juga memperingatkan saya kepada buah ciku (Manilkara zapota) yang telah lama tidak saya nikmati.


Free Download



Sabtu, 4 Jun 2016

Penyaman Udara (Sistem Penyejukkan) Menggunakan Magnet

Demonstrasi sistem penyejukkan magnet oleh GE.

Sistem penyejukkan samada untuk penyaman udara ataupun peti sejuk menggunakan tenaga yang cukup banyak dan menjadi antara fokus utama dalam usaha penjimatan tenaga. Namun untuk menggantikan teknologi penyejukkan sedia ada bukanlah mudah kerana untuk memindahkan haba memerlukan tenaga yang cukup tinggi.

Teknologi biasa yang menggunakan cecair penyejuk dengan menukarkannya kepada gas (menggunakan gas panas dari luar) dan kemudiannya memampatkan dan menyejukkannya untuk menukarkannya semula kepada cecair. Walaupun ia berjaya menyejukkan ruangan dalaman rumah anda, ia pada masa yang sama pula memanaskan udara di luar rumah.

Ini berbeza dengan kaedah penyejukkan magnet yang tidak menggunakan teknik mampatan. Ia sebaliknya menggunakan magnet namun masih memerlukan agen penyejuk untuk menyejukkan udara disekelilingnya. Teknik penyejukkan menggunakan magnet ini dicapai melalui proses yang dikenali sebagai ‘magnetocaloric effect’. Namun kaedah mampu menghasilkan sistem yang lebih senyap, selamat, lebih kecil, lebih efisyen dan mesra alam.


Konsep sistem penyejukkan magnet.

Antara rekaan untuk membentuk sistem penyejukkan magnet.

Sistem yang dihasilkan oleh badan yang lain pula.

Bahan-bahan magnetik menghasilkan haba apabila terdedah kepada medan magnet dan menyejuk apabila dialihkan daripadanya. Fenomena ini mulanya diketengahkan oleh seorang ahli fizik German Emil Warburg pada tahun 1881. Perubahan suhu ini bagaimanapun adalah terlalu kecil untuk digunakan dalam aplikasi-aplikasi lain. Ia bagaimanapun mendapat perhatian saintis-saintis lain untuk menjadikannya sebagai asas untuk membina kaedah penyejukkan bagi menggantikan teknik sedia ada. Melalui pembangunan teknologi bahan dengan membangunkan bahan ‘magnetocaloric metal’ yang boleh menghasilkan ‘magnetocaloric effect’ yang lebih besar pada suhu bilik.

Ia mengambil masa yang agak panjang untuk membolehkan teknik penyejukkan magnetik menjadi kenyataan. Namun begitu beberapa badan tertentu telahpun mula menyatakan kejayaan mereka dalam menghasilkan sistem penyejukkan melalui kaedah ini antaranya adalah General Electric, GE. Melalui kaedah ini, ia dikatakan dapat menghasilkan sistem penyejukkan dengan 20 – 30%  lebih efisyen berbanding teknologi penyejukkan yang digunakan sekarang.

GE menghasilkan peti sejuk pertamanya pada tahun 1927 – dan teknologi ini tidak banyak berubah sejak 100 tahun ianya diperkenalkan. Mungkinkah kaedah penyejukkan magnetik juga akan dapat bertahan untuk 100 tahun yang akan datang pula?


Sudah tiba masanya teknologi penyejukkan diberikan nafas baru. Ia bukan sahaja demi kemajuan teknologi itu sendiri malah untuk memanfaatkan lagi penggunaan tenaga. Melalui perubahan ini nanti, ia mungkin akan mengubah banyak lagi teknologi yang menggunakan sistem penyejukkan dan mungkin juga akan mencetuskan pembaharuan teknologi untuk peralatan-peralatan yang lain juga.








Free Download



Jumaat, 3 Jun 2016

Permainan-Permainan Menarik Minat Anak Anda Kepada Sains

Minat kanak-kanak mudah diransang dengan peralatan yang betul.

Sepertimana kita ketahui permainan dan kanak-kanak bagaikan tidak dapat dipisahkan. Walaupun adakalanya permainan menjadikan kanak-kanak leka dan terlupa kepada pelajaran mereka, permainan juga bole melakukan sebaliknya. Walaupun tajuk kita merujuk kepada minat kepada sains, ia juga boleh merujuk kepada sebarang minat yang memberikan hasil yang lebih positif kepada anak-anak anda.

Mengapa Permainan Melekakan?

Kebanyakan permainan direka bertujuan untuk mengisi masa lapang selain menguji keupayaan mental mahupun fizikal seseorang. Namun sekiranya ia tidak dilakukan dengan betul (tanpa memenuhi objektif permainan), inilah yang menyebabkan permainan tersebut hanya melekakan dan tidak mendatangkan faedah yang positif (melainkan sekadar mengisi masa lapang).

Bagi memastikan permainan dapat merangsang daya pemikiran anak-anak anda  apa yang anda perlu lakukan adalah mengenali sesuatu permainan tersebut  sebelum memberikannya kepada anak anda. Ini tidak bemakna, ianya adalah permainan pilihan anda (anda hanya mengenali permainan kegemaran mereka dan bagaimanakah ianya boleh mendatangkan kesan positif kepada mereka).

Anda juga digalakkan bermain bersama dengan mereka bagi membincangkan objektif permainan supaya mereka memahaminya dengan lebih baik. Ia boleh dilakukan tanpa menghilangkan keseronokan bermain. Malah, ia akan menjadikan permainan lebih efektif dalam mencapai kualiti permainan terbaik. Adakalanya anda boleh bersama-sama mencari objektif permainan ini dengan mereka – dan ini memberikan mereka peluang meluahkan pendapat.

Pemantauan ibubapa memastikan permainan memberikan impak yang labih berkesan.

Berikut adalah beberapa contoh permainan dan bagaimana anda boleh menjadikan ianya lebih baik.

Lego – Lego merupakan permainan senibina (construction) yang adakalanya menguji kreativiti dan kesabaran. Ia mengajar anak anda untuk membuat perancangan, menyusun setiap blok Lego menjadi sebagaimana pelan yang cuba dihasilkan. Bincangkan pelan tersebut dan berilah peluang anak anda mencubanya sebelum memberikan pertolongan untuk membina satu-satu rekabentuk.

Kanta Pembesar – Ia merupakan permainan yang paling ringkas, namun boleh memberikan impak yang sangat besar. Ini kerana pada kanta pembesar mempunyai ciri-ciri tersendiri yang perlu diterangkan dengan baik (berkenaan sains dan optik). Namun begitu penjelasan ini boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat. Terangkan bagaimana cahaya dibengkokkan oleh kanta pembesar yang membolehkan objek kelihatan lebih besar. Anda juga perlu menjelaskan bahaya kanta pembesar yang boleh mengakibatkan kebakaran. Ia juga mempunyai kaitan dengan beberapa peralatan yang lain seperti mikroskop dan teleskop.

Globe dapat memberikan gambaran kedudukan geografi sesuatu kawasan.

Globe – Mungkin bukan merupakan sebuah permainan. Namun globe dapat menerangkan kedudukan geografi sesuatu tempat di bumi. Ia juga memberikan gambaran awal kepada anak anda mengenai perbezaan kawasan-kawasan di muka bumi. Pemahaman ini akan berkembang mengikut masa, namun globe merupakan pencetus keinginan kembara di peringkat awal.

Satu lagi permainan yang memerlukan kreativiti dan kemahiran.

Play Doh (clay) – Satu lagi permainan yang membangkitkan kreativiti mereka sesuatu pada anak anda. Ia juga melatih mereka menggunakan kemahiran tangan mereka dalam membentuk play-doh menjadi sepertimana yang diinginkan. Mulakan dengan membentuk objek-objek yang mudah sehingga kemahiran membentuk objek yang lebih kompleks tercapai. Anda boleh menarik minat mereka dengan membina karektor kegemaran mereka, objek-objek yang dilihat daripada alam mahupun kenderaan dan bangunan.

Mewarna melatih daya fokus dan ketekunan.

Buku Mewarna – Juga merupakan aktiviti yang melatih kemahiran melihat dan menyalin (meniru) semula ke dalam buku mewarna. Adakalanya ia juga boleh ditambah dengan sedikit kreativiti dan imaginasi anak-anak anda sendiri. Ia juga melatih kemahiran anak-anak anda menggunakan jari dan tangan mereka untuk menghasilkan sesuatu – iaitu salah satu ciri yang penting bagi menghasilkan kerja-kerja kreatif seperti melukis, mengukir, menjahit, menyulam, menganyam dan bermacam-macam lagi.

Chess melatih kanak-kanak mengatur strategi.

Catur (Chess) – Permainan catur memerlukan kemahiran berfikir yang lebih kompleks. Namun ia merupakan permainan strategi yang amat baik dimulakan pada usia yang muda. Permainan chess dapat melatih seseorang untuk membuat kiraan beberapa langkah dan membuat andaian gerakan lawan. Ini merupakan satu proses yang memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi.

Permainan magnet mengungkap pelbagai keajaiban dunia sains.

Magnet – Magnet merupakan satu lagi permainan yang penting untuk anak anda. Mengenali magnet sebagai pengenalan kepada bahan yang digunakan dalam kebanyakan peralatan di dalam rumah anda. Magnet juga mempunyai hubungan rapat dengan elektromagnet dan tenaga elektrik. Jadi permainan magnet antara permainan terpenting dalam memberikan pengenalan kepada bagaimana elektrik dihasilkan.

Peralatan muzik berfungsi melalui getaran gelombang bunyi.

Peralatan Muzik – Walaupun ianya adalah peralatan muzik mainan, anda boleh menekankan mengenai bagaimana perbezaan gelombang bunyi (frekuensi) menghasilkan bunyi yang berbeza-beza. Ia juga membawa kepada perbezaan bunyi mengikut peralatan yang dimainkan. Ini boleh menerangkan lagi bagaimana daya pendengaran manusia berbeza daripada daya pendengaran sesetengah hidupan yang lain. Muzik juga merupakan salah satu cabang seni yang memperkembangkan kreativiti.


Kebanyakan permainan direka untuk meransang daya pemikiran atau direka berdasarkan sesuatu prinsip ilmu yang perlu difahami. Anak-anak anda mungkin tidak mampu menghuraikannya sendiri. Maka bantuan anda boleh membantu mereka dalam mendapatkan manfaat yang optimum hasil daripada permainan tersebut. Sekiranya anda tidak memahaminya, usahakanlah mencari jawapan kerana anda juga belum terlambat untuk belajar.



Free Download



Mengenali Siput Dengan Lebih Dekat

Siput, banyak lagi yang perlu kita ketahui.

Siput sejenis haiwan yang bergerak perlahan dan tidak mempunyai kaki dan mempunyai cengkerang. Siput terdiri daripada sekumpulan hidupan yang besar merangkumi siput darat, siput air tawar dan juga siput air masin. Kumpulan ini menjadi lebih besar sekiranya ianya merangkumi kumpulan besarnya yang dikenali sebagai Gastropoda iaitu salah satu daripada kumpulan di dalam kumpulan Moluska (molluscs). Walaupun siput adakalanya dianggap sebagai haiwan perosak, namun siput juga mempunyai banyak kepentingan kepada kehidupan manusia.

Siput merupakan antara sumber makanan penting kepada manusia sejak zaman dahulu lagi daripada tinggalan yang ditemui di gua-gua. Siput sungai dan sebahagian lagi siput paya bakau dan juga siput laut menjadi sebahagian sumber makanan manusia sehingga ke hari ini. Selain daripada menjadi sumber makanan, siput juga adakalanya menjadi sebagai matawang dan sebagai barang perhiasan.

Terdapat pelbagai jenis siput yang tidak kita kenali.

Giant African Snail, siput darat terbesar.

Syrinx aruanus, siput yang paling besar.

Walaupun kebiasaannya hanya siput-siput air yang menjadi makanan, siput-siput darat juga turut menjadi sumber makanan di beberapa negara lain. Makanan berasaskan siput ini paling terkenal di Perancis dan antara hidangan terkenal adalah Escargot à la Bourguignonne. Malah siput-siput untuk tujuan makanan ini adalah diternak bagi memastikan ianya dapat membesar dengan baik selain mengelakkan siput daripada tercemar (dengan bahan makanan beracun ataupun jangkitan). Selain dari Perancis, siput darat juga terkenal sebagai hidangan di Philippines, Morocco, Nigeria, Algeria, Cameroon, Italy, Portugal, Greece, Bulgaria, Belgium, Vietnam, Laos, Cambodia, Cyprus, Ghana, Malta, Nepal, Barat Daya China, Timur Laut India di Manipur, Tripura dan beberapa bahagian di United States. Siput darat juga menjadi hidangan di beberapa bahagian di Indonesia samada digoreng sebagai satay atau masakan yang dikenali sebagai sate kakul.

Selain daripada sebagai makanan, siput juga berguna di dalam penghasilan krim penjagaan kulit. Siput dari jenis Cornu aspersum menghasilkan cecair yang mempunyai nilai perubatan dalam merawat beberapa masalah kulit seperti kedutan, parut, kulit kering dan juga acne. Ini kerana cecair yang dihasilkan oleh siput ini mengandungi aktiviti anti-oksidan seperti Superoxide dismutase dan Glutathione S-transferase (GSTs). Krim daripada siput ini semakin mendapat perhatian di beberapa bahagian dunia samada di Barat (US) mahupun Timur (Korea).

Terdapat banyak spesis siput dan di Australia sahaja terdapat sekitar 3,000 jenis siput darat dan jumlah ini tentu lebih besar sekiranya digabungakan dengan jenis-jenis siput dari kawasan lain. Selain makanan siput juga turut dijadikan sebagai haiwan kesayangan seperti Giant African Snail. Manakala siput cowrie pula terkenal dijadikan sebagai matawang dan juga sebagai sebahagian bahan hiasan kerana mempunyai kulit yang cantik dan berkilat.

Rawatan kecantikan menggunakan siput.

Masakan Perancis daripada siput.

Makanan siput dari Asia.

Namun disebalik pergerakan siput yang perlahan, sejenis siput yang dikenali sebagai siput ‘cone’ adalah sangat beracun dan mampu membunuh manusia melalui sengatnya. Dari kumpulan siput cone sahaja terdapat lebih daripada 600 spesis yang terdapat di sekitar kawasan Barat Indo-Pacific, dan beberapa spesis lagi di sekitar Afrika Selatan, Medditerranean dan juga Selatan California.

Manakala siput terbesar pula adalah Syrinx aruanus atau lebih dikenali sebagai Australian trumpet atau false trumpet yang merupakan sejenis siput laut yang mampu menjangkau saiz sehingga 91 cm panjang dan berat sehingga 18 kilogram. Walaupun ia terkenal kerana saiznya yang besar, sifat sebenar siput ini masih lagi kurang difahami kerana kurang penyelidikan dilakukan ke atasnya.

Walaupun siput merupakan haiwan perosak, namun banyak lagi perkara yang masih kurang difahami mengenainya. Siput yang dikenali oleh kita adalah terlalu sedikit berbanding jumlahnya yang terlalu banyak. Maka banyak lagi kebaikan siput yang masih belum kita terokai dan tidak sepatutnya kita abaikan. Semoga dengan ini kita akan mempunyai pandangan berbeza terhadap hidupan unik ini dan mengelakkan ianya mengalami kepupusan.



Free Download



Rabu, 1 Jun 2016

Fenomena Sains Menarik Di Dalam Bebola Plasma

Bebola plasma menghasilkan plasma pelbagai warna.

Mungkin ramai yang masih mengingati bebola plasma yang sangat popular beberapa tahun kebelakangan dahulu yang mempamerkan fenomena indah aliran plasma berwarna warni dari pusat bebola tersebut ke dinding bebola kaca yang melindunginya. Disebalik keindahan aliran plasma ini, tersimpan kaedah yang membolehkan ianya dilihat berbanding kebiasaannya plasma tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Plasma merupakan salah satu keadaan unsur daripada pepejal, cecair dan gas. Plasma merupakan gas panas ter-ion yang mengandungi kuantiti ion ber-cas positif dan elektron ber-cas negatif pada jumlah yang sama. Plasma boleh dihasilkan melalui pemanasan gas atau menggunakan medan magnet yang kuat, dilakukan menggunakan laser ataupun penjana gelombang  mikro. Proses ini akan mengurang atau meningkatkan jumlah elektron mewujudkan zarah-zarah bercas positif ataupun negatif yang dipanggil ion, ia akan diikuti oleh penceraian ikatan molekul, sekiranya ada.

Plasma salah satu bentuk unsur yang jarang diberi penekanan.

Bebola plasma lebih popular sebagai hiasan.

Bebola plasma atau juga dipanggil sebagai ‘plasma ball’,‘plasma globe’, ‘plasma lamp’, ‘plasma dome’ atau ‘plasma sphere’ merupakan bebola kaca lutsinar yang diisi dengan campuran beberapa gas nadir (noble gasses) dengan elektrod bervoltan tinggi di tengah-tengahnya. Jaluran plasma akan mengunjur dari elektrod ke dinding kaca apabila elektrik dialirkan menghasilkan warna-warna yang menarik.

Bebola plasma yang pertama adalah dihasilkan oleh pereka terkenal Nikola Tesla semasa melakukan eksperimen untuk arus elektrik pada frekuensi tinggi di dalam tube kaca vakum pada tahun 1894. Tesla menggunakan lampu dari jenis ‘incandescent’ yang berbentuk bulat di mana di tengah-tengahnya pula diletakkan satu elemen pengalir yang dialirkan dengan voltan tinggi dihasilkan daripada ‘Tesla coil’, yang kemudiannya menghasilkan jejalur discas.

Bebola plasma moden dihasilkan semula oleh Bill Parker menggunakan campuran gas-gas yang tidak dapat digunakan pada masa Nikola Tesla. Gas-gas yang digunakan termasuklah xenon, krypton dan neon termasuk beberapa gas yang lain. Malah bebola plasma turut menggunakan bekas yang pelbagai bentuk selain turut dilengkapi dengan litar elektronik bagi menghasilkan cahaya dengan pelbagai warna dan ragam pergerakan plasma yang lebih kompleks.

Matahari juga terdiri daripada plasma.

Kilat juga merupakan plasma.

Aurora satu lagi bentuk plasma.

Bebola plasma menggunakan voltan tinggi dan menghasilkan aliran plasma bercas; ianya selamat tetapi anda perlulah berhati-hati. Walaupun ianya jarang berlaku, kejutan elektrik yang rendah mungkin boleh berlaku. Gelombang radio yang digunakan oleh bebola plasma juga boleh mengganggu peralatan-peralatan elektronik yang lain seperti komputer, telefon bimbit dan lain-lain. Malah sesetengahnya mungkin boleh memberi kesan yang lebih kuat berbanding yang lain.


Namun begitu bebola plasma merupakan sebuah instrument penting di dalam pendidikan (fizik) dalam mengenal satu lagi bentuk unsur yang jarang diberikan penekanan sebelum ini. Adalah dengan pengenalan ini, ianya sedikit sebanyak akan menambah minat anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai plasma dan bagaimana ianya boleh mendatangkan manfaat kepada kehidupan manusia.

Jaluran plasma pada bebola plasma.


Free Download



Arkib Blog