Jumaat, 13 Mei 2016

Memasak ‘Steak’ Lebih Mudah Dengan Sous Vide

Steak yang dimasak menggunakan kaedah sous-vide kelihatan lebih segar.

Steak merupakan antara makanan yang rumit untuk disediakan memandangkan adalah sukar untuk mengukur masa yang sesuai untuk penyediaannya. Apatah lagi sekiranya ianya jarang disediakan oleh anda. Hasil yang diperolehi mungkin terlebih masak di bahagian luar, namun dalamnya yang masih mentah, selain itu juga steak yang dimasak menggunaakan kaedah biasa adalah lebih kering.

Kaedah memasak ‘sous-vide’, berasal dari Perancis yang bermaksud “di bawah vakum”. Ia bukanlah kaedah baru dan selain digunakan untuk memasak ‘steak’, ia juga boleh digunakan untuk menyediakan hidangan-hidangan lain. Apakah istimewanya kaedah masakan ini?

Memasak dengan kaedah ini, bahan masakan perlu dimasukkan ke dalam beg plastik yang telah di vakum kan. Ia kemudiannya dimasak di dalam air dengan suhu yang perlahan antara 55 ke 60 °C (131 ke 140 °F) untuk suatu tempoh yang cukup untuk bahan makanan tersebut masak sepenuhnya sehingga ke dalam. Bagi penyediaan ‘steak’, proses berikutnya adalah memanggangnya semula – untuk menjadikan bahagian luarnya lebih garing. Hasilnya, sangat menakjubkan.

Hasil masakan untuk jenis makanan yang berbeza.

Steak yang dimasak secara sous-vide.

Steak yang dimasak dengan kaedah biasa.

Kaedah masakan ini dikatakan bermula lebih awal dengan kaedah pertama diperkenalkan oleh Sir Benjamin Thompson (Count Rumford) pada tahun 1799 yang menggunakan udara panas sebagai medium pengalihan haba kepada makanan. Ia kemudiannya ditemui semula oleh jurutera Amerika dan Perancis pada pertengahan 1960-an sebagai kaedah pengawetan dalam industri makanan. Kaedah ini kemudiannya digunakan oleh Georges Pralus pada tahun 1974 untuk ‘Restaurant Troisgros’ di Roanne, France. Melalui kaedah ini, sejenis makanan yang dikenali sebagai ‘foie gras’, yang dihasilkan kelihatan lebih menarik, selain teksturnya juga lebih baik. Ini kemudiannya diikuti pula oleh beberapa tokoh lagi di dalam bidang masakan dan juga kajian sains.

Apa yang menarik melalui kaedah ini, bahan yang ingin dimasak akan disimpan di dalam bekas plastik dalam keadaan vakum. Keadaan ini membolehkan haba dialirkan dengan lebih baik kepada bahan makanan yang ingin dimasak tanpa mengeluarkan bahan yang terkandung di dalam bahan yang dimasak. Bahan yang dimasak juga tidak akan hangus walaupun ia dimasak dalam tempoh yang lama - ini kerana, ia tidak akan melebihi suhu air yang digunakan seperti yang dinyatakan di atas.

Pelbagai peralatan masakan sous-vide.

Peralatan sous-vide industri.

Kaedah ini adalah antara kaedah yang digunakan oleh chef-chef terkenal seperti; Heston Blumenthal, Paul Bocuse, Michael Carlson, Thomas Keller, Grant Achatz, Ferran Adrià, Joël Robuchon, Philippe Rochat, Alessandro Stratta, Charlie Trotter, Michael Mina, Joan Roca dan ramai lagi. Amtrak juga menggunakan kaedah ini untuk hidangan yang dihidangkan di dalam keretapinya termasuk Acela Express.

Hari ini peralatan memasak teknik ‘sous-vide’ banyak dihasilkan untuk memudahkan orang ramai menghasilkan makanan mereka menggunakan kaedah ini. Apa yang penting adalah kefahaman bagaimana teknik ini berfungsi kerana terdapat banyak sekali variasi peralatan memasak ‘sous-vide’ dihasilkan samada berbentuk ‘slow cooker’, ataupun sebagai alat pemanas sahaja. Dibantu pula dengan teknologi elektronik dan komputer peralatan ini turut dilengkapi dengan pelbagai fungsi tambahan.

Walaupun ia merupakan kaedah baik dalam masakan, namun bagi mereka yang ingin menyediakan makanan dengan teknik ini perlulah berhati-hati untuk tujuan keselamatan dalam memastikan bahan makanan selamat daripada organisma seperti bakteria dan sebagainya. Bagi mereka yang mempunyai masalah imuniti atau ibu-ibu yang mengandung perlu menyediakan makanan mereka dengan teknik ini dengan lebih behati-hati (kerana suhu yang digunakan adalah lebih rendah).

Tujuan kita kali ini adalah untuk melihat bagaimana sesetengah kaedah memasak perlu dilakukan dengan kaedah yang berbeza disamping mengenali peralatan-peralatan memasak moden yang dilengkapi dengan keistimewaan tertentu. Anda tentu tertanya bagaimana ‘steak’ yang tebal boleh dimasak dengan sempurna disamping mengekalkan teksturnya - melainkan ianya disediakan menggunakan teknik yang berbeza.



Free Download



Khamis, 12 Mei 2016

Benang dan Pakaian Daripada Serat Teratai

Kain daripada serat teratai hanya dihasilkan di beberapa kawasan.

Artikel mengenai teratai sebelumnya tidak menerangkan dengan lebih lanjut mengenai penghasilan pakaian melalui serat teratai. Malah ia juga kurang diketahui, kerana sebelum ini jarang diketengahkan penggunaan serat teratai sebagai penghasilan pakaian, kerana proses yang rumit selain kurang efisyen. Sebaliknya ianya digunakan untuk menghasilkan pakaian untuk para sami dan kegunaan di kuil-kuil sahaja. Jadi secara tidak langsung kain yang dihasilkan daripada serat teratai turut dianggap suci.

Penggunaan serat teratai untuk penghasilan pakaian hanya terkenal di beberapa tempat antaranya di Myanmar dan di Cambodia. Di Cambodia penghasilan pakaian daripada serat teratai mula dikomersilkan – jadi bagi yang berminat bolehlah mendapatkan pakaian daripada serat teratai daripada negara tersebut. Terdapat juga laman web pihak ketiga yang memasarkan produk serat teratai yang dihasilkan di Myanmar.

Antara barangan dihasilkan daripada serat teratai.

Benang teratai kelihatan agak kasar, namun ianya lembut.

Proses penghasilan pakaian bermula dengan menghasilkan benang daripada batang daun teratai yang biasanya dilakukan antara bulan Jun ke November, kerana pada waktu ini teratai mempunyai batang daun yang lebih panjang. Batang-batang daun teratai ini akan diambil dan diasingkan untuk tujuan mengasingkan fiber-nya bagi tujuan penghasilan benang.

Batang daun teratai ini mempunyai sisi yang agak tajam, maka ia perlu dikikis untuk mengelakkan kecederaan. Batang yang diambil pula perlu digunakan dalam tempoh 3 hari untuk memudahkan kerja-kerja menghasilkan benang. Lima batang teratai ini akan digabungkan sekali semasa proses mengeluarkan serat teratai untuk membentuk benang yang cukup tebal; ini sama sahaja seperti proses penghasilan benang daripada sutera. Pisau digunakan untuk menghasilkan luka pada batang teratai dan ia kemudiannya ditarik untuk mengeluarkan serat teratai.

Serat ini kemudiannya akan diletakkan di atas kepingan papan yang lembab dan digulung dengan tangan untuk membentuk benang. Proses yang sama dilakukan berterusan dengan menyambung hujung benang yang awal dengan yang berikutnya. Proses ini akan menghasilkan benang teratai yang panjang dan digulung sebelum digunakan untuk proses tenunan.


Serat teratai ditarik daripada batang daun teratai.
Kerja-kerja tenunan untuk menghasilkan kain.

Proses asas penghasilan pakaian daripada benang teratai adalah lebih sukar dan perlahan. Sekitar 120,000 batang daun teratai digunakan untuk menghasilkan satu pakaian lengkap. Oleh kerana kesukaran menghasilkannya, maka ia dihadiahkan kepada golongan ketua kuil atau sami-sami sahaja. Ia merupakan hasil ketekunan wanita Myanmar ratusan tahun dahulu yang tinggal di sekitar tasik yang ditumbuhi oleh tumbuhan istimewa ini dan memberikan gelaran “Kyar Chi” bagi kain daripada pokok teratai.

Hari ini benang daripada teratai digabungkan dengan sutera biasa untuk menghasilkan aneka motif supaya ia mempunyai lebih banyak pilihan. Selain itu, dengan cara ini juga ia dapat menjimatkan penggunaan benang teratai untuk menghasilkan barangan dengan harga yang lebih berpatutan.


Walaupun kini ada yang menghasilkannya secara komersial, namun penghasilan fabrik dari serat teratai ini masih lagi ditahap permulaan. Tidak banyak teknologi yang digunakan dalam penghasilannya dan tidak semua orang mengetahui akan keunikan pakaian daripada teratai.






Free Download



Rabu, 11 Mei 2016

Teratai Keajaipan Dari Tanah Berlumpur

Mengapakah teratai dianggap sebagai bunga suci oleh sesetengah masyarakat?

Teratai (Nelumbo nucifera) mempunyai pelbagai nama kerana ia merupakan antara tumbuhan yang penting oleh kebanyakan masyarakat di mana ia didapati tumbuh. Ia juga diberi nama Indian lotus, sacred lotus, bean of India, selain pelbagai nama lagi mengikut kawasan terutama di Asia dan Amerika Selatan. Oleh kerana faedah tumbuhan ini, ia malah dianggap sebagai bunga ‘suci’ memandangkan kegunaannya yang penting.

Bunga teratai buka sekadar digunakan pada bahagian bunganya sahaja, malah bahagian dari bunga sehinggalah kepada akarnya boleh dijadikan sebagai sumber makanan kepada manusia. Selain sebagai sumber makanan, sudah tentu bahagian-bahagian tertentu pokok teratai juga turut digunakan untuk kegunaan-kegunaan lain. Maka tidak hairanlah sekiranya ia dianggap sebagai tumbuhan penting oleh kebanyakan masyarakat yang mengenalinya.

Bunga teratai selain dimakan juga digunakan dalam upacara tertentu.

Kantung biji teratai juga digunakan sebagai hiasan.

Bahagian- bahagian teratai ini banyak digunakan oleh masyarakat seperti Korea yang menggunakan bahagian bunga dan daun sebagai tisane (teh herba). Yeonkkotcha (연꽃차) disediakan menggunakan kelopak bunga teratai putih yang telah kering, manakala yeonipcha (연잎차) pula disediakan menggunakan daun teratai yang masih muda. Di Vietnam pula, batang teratai muda digunakan sebagai bahan penyediaan salad. Salah satu bahagian yang penting pada teratai adalah akar (rhizom) yang dipanggil ǒu () di dalam Bahasa Cina, thambou oleh Manipuri, kamal kakri dalam Hindi, renkon (レンコン, 蓮根) dalam Bahasa Jepun, yeongeun (연근) dalam Bahasa Korea, boleh digunakan untuk pelbagai jenis masakan dan dalam penyediaan herba perubatan tradisional. Teratai juga boleh digunakan sebagai bahan untuk membuat pakaian.

Walaupun bahagian-bahagian teratai boleh dimakan mentah kebanyakannya, adalah digalakkan supaya ianya dimasak terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang parasit, terutama bagi bahagian akarnya yang kebiasaannya terendam di dalam lumpur.

Selain daripada digunakan dalam bentuk segar, akar teratai juga boleh disediakan dalam bentuk jeruk menggunakan cuka beras, gula dan cili/bawang putih. Teksturnya yang rangup dan dengan rasa yang sedikit sengit amat sesuai digunakan dalam masakan Asia seperti salad, atau digabungkan bersama udang, minyak bijan atau daun ketumbar. Malah setiap masyarakat mempunyai kaedah tersendiri dalam menyediakan akar teratai.

Sup akar teratai antara makanan terkenal.

Petani akar teratai di China.

Selain daripada bahagian-bahagian yang disebutkan tadi, biji teratai juga merupakan satu lagi sumber makanan yang penting dan digemari. Bijinya juga dinikmati dengan pelbagai cara samada di keringkan atau dijadikan bertih seperti ‘popcorn’ (phool makhana) atau direbus dan dijadikan pes. Ia juga kerap dinikmati sebagai minuman dicampurkan bersama longan atau lai chi kang. Biji teratai digunakan dalam pelbagai kuih muih dan antaranya adalah kuih bulan (mooncakes), daifuku dan puding tepung beras.

Disebalik ciri-ciri kehidupannya yang mudah, teratai merupakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat pemakanan antaranya adalah vitamin C, potassium, thiamin, riboflavin, vitamin B6, phosphorus, copper, juga manganese dan serat. Jadi teratai boleh dikatakan antara tumbuhan yang mempunyai zat pemakanan yang cukup baik berbanding dengan sayur-sayuran yang lain.


Jadi sekarang tahulah kita mengapa bunga teratai dianggap sebagai tumbuhan suci dalam budaya sesetengah masyarakat yang menghargai jasanya dalam membekalkan sumber makanan yang berkhasiat. Walaupun ianya tumbuh di dalam tanah berlumpur, bunganya tetap kelihatan cantik dan berwarna penuh ceria selain membekalkan hidupan-hidupan lain pelbagai kebaikan. Jadilah seperti teratai.


Free Download



Selasa, 10 Mei 2016

Bolehkah Kita Menghasilkan Haiwan Yang Mampu Menjalankan Proses Fotosintesis Melalui Kejuruteraan Genetik?

Golden jellyfish merupakan antara hidupan yang mampu melakukan fotosintesis.

Proses fotosintesis yang dilakukan oleh tumbuh-tumbuhan adalah disebabkan terdapatnya kloroplast (chloroplasts) di dalam sel nya. Namun untuk membolehkan sel haiwan juga mengandungi kloroplast melalui proses kejuruteraan genetik merupakan satu perkara yang sukar.

Ini kerana kebolehan ini bukanlah dikawal oleh satu gene tertentu di dalam DNA tumbuh-tumbuhan. Ia merupakan satu adaptasi hidupan untuk satu jangkamasa yang panjang iaitu kira-kira 1.5 billion tahun dahulu, apabila bakteria yang membentuk ikatan secara simbiosis dengan organisma lain dan menghasilkan keunikan untuk menghasilkan makanan (gula) daripada pancaran matahari.

Kloroplast di dalam sel di bawah mikroskop.

Lintah hijau yang mampu menyerap kloroplast untuk melakukan fotosintesis.

Walaupun terdapat beberapa hidupan yang menunjukkan ciri-ciri kebolehan untuk melakukan fotosintesis seperti lintah hijau, obor-obor (golden jellyfish), kerang gergasi, batu karang dan beberapa hidupan unik yang lain, kesemuanya adalah melalui proses yang diperolehi secara semulajadi (evolusi) hidupan-hidupan ini sendiri.

Pada tahun 2010, pengkaji di Harvard cuba memasukkan bakteria fotosintesis ke dalam telur ikan “zebrafish”. Walaupun bakteria tersebut masih hidup selepas ikan itu menetas, namun ia tidak membesar ataupun membiak dan ia tidak menghasilkan gula yang banyak.

Kerang gergasi juga merupakan antara hidupan yang mampu melakukan fotosintesis.

Batu karang, merupakan hidupan yang melakukan fotosintesis.

Proses fotosintesis bagaimanapun hanya akan menghasilkan gula dan tumbuhan pula boleh menghasilkan molekul bio-kimia lain yang diperlukannya. Ini berbeza dengan haiwan yang memerlukan nutrient tambahan daripada makanannya. Jadi proses fotosintesis tidak dapat menggantikan keperluan untuk haiwan-haiwan mencari sumber makanan.


Free Download



Berapa Panjangkah Usus Haiwan Terbesar di Dunia?

Paus biru (blue whale) merupakan hidupan terbesar sehingga ke hari ini.

Usus merupakan organ terpenting bagi sistem penghadaman. Ia merupakan satu organ yang panjang bagi membolehkan hidupan menyerap khasiat daripada makanan yang dimakan. Panjang usus sesuatu hidupan bergantung kepada pemakanan mereka. Jadi untuk mengetahui panjang usus haiwan terbesar mari kita lihat sedikit mengenai fakta di bawah.

Untuk mendapat gambaran panjang usus hidupan terbesar iaitu paus biru, sebaliknya ikan ‘sperm whale’, digunakan sebagai perbandingan. Ini kerana kebanyakan spesis paus seperti sperm whale dan juga ikan dolphin panjang usus mereka boleh dikira melalui: (panjang badan 0.762) X 17.02. Jadi panjangnya adalah sekitar 150 meter, manakala untuk spesis ikan paus blue whale pula panjang ususnya boleh mencecah sehingga 220 meter.

Sperm whale juga merupakan antara ikan paus bersaiz besar.

Sperm whale yang terdampar di pantai.

Walaupun panjang usus tersebut kelihatan amat panjang, namun ianya hanyalah sekitar tujuh atau lapan kali ganda daripada panjangnya sahaja. Jauh berbeza dengan haiwan seperti lembu yang mempunyai kepanjangan usus sehingga 20 kali ganda daripada panjang badannya – iaitu 40 meter bagi lembu yang mempunyai panjang badan 2 meter.


Kedudukan usus kecil (small intestine) pada lembu.

Usus lembu sebenar.


Free Download



Arkib Blog