Ahad, 17 April 2016

Keunikan Alam Semulajadi di Ha Long Bay, Hanoi, Vietnam

Bentuk muka bumi Ha Long Bay yang unik menerima jutaan pengunjung.

Ha Long Bay (Vietnam: Vịnh Hạ Long) adakalanya juga dipanggil Halong Bay merupakan antara tempat yang unik untuk dikunjungi di Asia Tenggara. Dinobatkan sebagai UNESCO World Heritage Site pada tahun 1994 menerima jutaan pelawat setiap tahun. Lawatan ke Ha Long Bay merupakan antara catatan menarik untuk MyRokan tahun 2016.

Ha Long Bay terletak kira-kira 170 km di Timur Hanoi dan mengambil masa antara 3 jam perjalanan dari Bandar Utama tersebut. Setiap hari ribuan pelancong akan di bawa ke Halong Bay oleh para pengoperasi pelancongan di sana menggunakan bas dan minivan menghala ke kawasan tersebut untuk melihat sendiri keunikan bentuk muka bumi Halong Bay.

Keindahan Halong Bay dan keunikan Bandar Hanoi sendiri membantu kepesatan industri pelancongan di sini. Kepesatan pembangunan dapat dilihat dalam tempoh yang singkat berbanding beberapa tahun sebelumnya di mana Vietnam diselubungi dengan peperangan dan kekacauan. Hari ini, lebuhraya yang lebih besar membantu kelancaran pengangkutan di antara kedua-dua tempat yang penting menjadi tumpuan pelancong.

Halong Bay mempunyai lipatan sejarah yang lama dan telahpun di huni sejak ribuan tahun sebelum masihi lagi. Kajian sejarah menunjukkan ia didiami oleh kaum Soi Nhụ sekitar tahun 18,000–7000 BC, Cái Bèo 7000–5000 BC dan Hạ Long 5,000–3,500 dahulu. Ia menjadikan antara kawasan yang bersejarah bagi Vietnam melalui penemuan artifak di beberapa kawasan di Gunung Bài Thơ, Gua Đầu Gỗ dan juga Bãi Cháy.

Deretan hasil seni penduduk tempatan di tempat persinggahan ke Ha Long Bay. 

Pemandangan di jeti Ha Long Bay.

Batuan yang membentuk pulau-pulau kecil di Ha Long Bay.

Di sepanjang perjalanan menuju ke Halong dari Bandar Hanoi juga anda dapat melihat aktiviti penduduk di Vietnam yang giat bertani dengan palbagai hasil tanaman selain daripada padi. Kilang-kilang juga banyak didirikan menunjukkan ia mendapat keyakinan daripada pelabur luar untuk melabur di sini. Penduduk Vietnam juga mempunyai pelbagai perniagaan daripada pembinaan, barangan elektrik/eletronik, industri kecil seperti tembikar, ukiran batu/marmar, sutera, mutiara dan sebagainya. Jadi pastikan anda membuka mata dengan luas disepanjang perjalanan ini.

Apabila menghampiri Halong Bay, bentuk muka bumi kelihatan berubah. Bentuk muka bumi yang pada mulanya kelihatan landan akan menunjukkan bukit-bukit batu kapur daripada sejumlah besar pulau-pulau yang membentuk Halong Bay. Pusat-pusat penternakan tiram juga kelihatan yang turut dibuka kepada pelawat. Penternakan tiram ini juga dapat dilihat dengan jelas apabila air surut – dimana tiram-tiram kelihatan bergantungan.

Anda akan dibawa ke jeti utama (dan ini bergantung kepada syarikat pelancongan yang telah anda pilih). Secara kasarnya, jika anda hanya sekadar ingin melihat keunikan Halong Bay, ia bukanlah menjadi perkara yang penting. Ini kerana terdapat banyak sekali jeti di sini yang beroperasi untuk lawatan berkumpulan, mahupun individu. Jadi untuk memudahkan perjalanan anda, menggunakan khidmat mereka ke sini adalah jauh lebih memudahkan.


Di pintu masuk ke Gua Thien Cung (Attsuko dan rakannya - guru dari Jepun).

Pemandangan di dalam Gua Thien Cung.

Satu kesilapan yang saya lakukan ketika ke Hanoi adalah menganggap yang saya boleh mendapatkan bateri ‘AA’ untuk kamera dengan mudah untuk kegunaan kamera. Di Hanoi tidak terdapat kedai serbaneka seperti 7 Eleven sebagaimana di bandar-bandar lain yang saya kunjungi. Namun saya bernasib baik kerana terdapat kedai sepertinya semasa singgah di jeti Halong Bay. Rupanya bateri tersebut jarang digunakan (mungkin kerana semua peralatan hari ini menggunakan bateri yang di cas terus menggunakan elektrik; bateri Li-ion).

Antara aktiviti yang paling biasa di sini adalah bersiar dengan kapal (cruise) kecil sementara menikmati makanan daripada makanan laut. Anda akan dibawa ke beberapa lokasi untuk melakukan beberapa aktiviti lain seperti berkayak, menaiki bot buluh (bamboo boat) dan melawat ke beberapa gua selain menikmati pandangan unik keseluruhan bentuk muka bumi Halong Bay yang unik.


Aktiviti menarik di Ha Long Bay.

Antara pengalaman menarik di Ha Long Bay.

Walaupun diakui kualiti air di Halong Bay tidak membenarkan anda untuk terjun dan mandi di sana, ia masih lagi merupakan antara pengalaman menarik yang anda perolehi. Kualiti air di sana dikatakan terjejas oleh kerana aktiviti penduduk kampung air yang tidak terkawal sebelumnya. Ia bagaimanapun dalam proses pemindahan secara berperingkat oleh Kerajaan Vietnam sebagai usaha untuk memulihkan persekitaran di Halong Bay. Bagaimanapun aktiviti pelancongan di sini juga mungkin merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada keadaan air tersebut.

Lawatan ke gua pula merupakan pengalaman pertama bagi saya memasuki gua. Saya hanya berpeluang memasuki gua Thien Cung daripada beberapa gua yang terdapat di sini iaitu Đầu Gỗ, Sung Sot, Me Cung, dan lain-lain gua seperti Kim Quy, Tam Cung, Hoang Long, Lau Dai dan sebagainya. Namun ia merupakan satu pengalaman unik, kerana gua yang dilawati telah disediakan sesuai untuk tujuan lawatan; Jadi anda tidak bimbang akan keselamatan anda dan juga tempat yang anda lawati.

Begitu besar kesan yang dibawa oleh Halong Bay kepada pambangunan ekonomi penduduk setempat di Vietnam. Dalam tempoh yang singkat sahaja pembangunan di kawasan persekitaran terus membangun begitu juga aktiviti penduduk tempatan. Ia merupakan antara destinasi yang mungkin dikunjungi semula.



Free Download



Teknologi Yang Jauh Lebih Baik Dari WIFI Iaitu LIFI 100 Kali Lebih Laju

LI-FI mempunyai kelajuan 100 kali ganda berbanding WI-FI.

Dalam anggaran 2 tahun lagi teknologi yang berkemampuan 100 kali ganda daripada WIFI hari ini mungkin boleh digunakan di rumah.

Teknologi ini mula dibentangkan di Mobile World Congress di Barcelona oleh sebuah syarikat dari Perancis iaitu Oledcomm yang menunjukkan kemampuan LIFI yang menggunakan lampu untuk memainkan video melalui smartphone.

LIFI menggunakan cahaya nampak berkomunikasi seperti ‘Morse Code’ dan ia tidak boleh menembusi dinding. Selain daripada berkelajuan tinggi ia juga boleh mengelakkan penggunaan oleh pihak yang tidak dibenarkan. Jumlah data yang lebih banyak dapat dihantar berbanding menggunakan gelombang elektromagnet/radio yang digunakan oleh WIFI. LIFI adalah kata singkatan bagi ‘light fidelity’, yang berlaku pada kelajuan cahaya.

Simbol yang mungkin digunakan untuk LIFI nanti.


LED membekalkan frekuensi yang sesuai untuk LIFI.

System ini berfungsi menggunakan cahaya yang dipanggil ‘visible light communiction’ (VLC) dalam julat antara 400 ke 800 terahertz (THz) yang menghantar maklumat dalam bentuk binary dan ianya berlaku dengan kelajuan yang amat pantas tanpa dikesan oleh mata kasar.

Pengujian LI-FI di dalam makmal mencapai sehingga 200 Gbps, iaitu kelajuan yang cukup untuk memuat turun 23 DVD dalam tempoh satu saat, seperti yang dilaporkan oleh pengasas Oledcomm, Suat Topsu.

Teknologi ini mula diperkatakan semenjak tahun 2015 dan akan diuji pengguannya secara harian di Perancis termasuk di muzium-muzium dan pusat membeli belah. Ia juga telah diuji di beberapa negara lagi termasuk Belgium, Estonia dan India.




Free Download



Sabtu, 16 April 2016

Samsung Dengan Patent Untuk Smart-Contact Lens

Smart-Contact Lens mungkin menjadi satu lagi fenomena.

Syarikat-syarikat gergasi kini bukan sahaja mempunyai produk-produk yang hebat, malah mereka mempunyai bahagian R&D dan teknik perniagaan yang memastikan mereka terus berada di hadapan daripada pesaing-pesaing mereka yang lain. Salah satu teknik tersebut adalah ‘Patent’.

‘Patent’ memastikan syarikat-syarikat lain tidak boleh mengeluarkan barang tersebut tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada mereka yang mempunyai ‘patent’ tersebut. Namun ia juga mempunyai kelemahan di mana terdapat syarikat-syarikat besar yang mem’patent’ perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti Amazon yang pernah ingin mem’patent’ video dengan latar belakang berwarna putih.

Contact lens daripada filem Mission Imposible - Ghost Protocol.
Gambarajah daripada patent oleh Samsung.

Kita kembali semula kepada rekaan Samsung yang dipatentkan iaitu “Smart-Contact Lens”, yang mana ia mempunyai keupayaan lebih daripada membantu memperbaiki kebolehan penglihatan seseorang berbanding contact-lens biasa. Antara kelebihannya adalah mengambil gambar dengan melalui kelipan mata pemakainya. Ia mirip sekali dengan contact-lens yang digunakan di dalam filem Mission Impossible 4 – Ghost Protocol.

Selain daripada dilengkapi dengan kamera, ia juga turut dilengkapi dengan pemapar imej – dan ini menjadikan ia antara produk yang menyaingi produk sebelumnya seperti “Google Glass” oleh Google. Selain itu sensor tambahan membolehkan fungsi tambahan seperti mengambil gambar hanya melalui kelipan mata pemakainya. Ia bagaimanapun memerlukan sokongan peralatan tambahan seperti ‘smartphone’ untuk melakukan kerja-kerja tambahan – yang disambungkan secara ‘wireless’.

Proses permohonan patent tersebut telah dilakukan lebih awal iaitu sejak tahun 2014 lagi dan hanya baru-baru ini sahaja ia diterbitkan secara umum. Ia dilengkapi dengan pelan asal kanta lekap tersebut.
Selain daripada Samsung, Google juga mempunyai patent untuk produk yang hampir sama dan masih belum ada yang tampil dengan produk yang berfungsi setakat ini. Seperti yang diterangkan pada awal artikel ini, ia merupakan salah satu teknik syarikat-syarikat gergasi dalam mengawal produk-produk masa depan mereka dan adakalanya hanyalah sebagai gimik perniagaan.

Keradangan mata antara masalah biasa daripada pemakaian contact lens.

Jangkitan boleh berlaku daripada pemakaian contact lens.

Walaupun ia bagaikan peralatan impian semua, namun meletakkan peralatan elektronik ke atas permukaan mata anda bukanlah perkara yang mudah (menyihatkan). Ia banyak menimbulkan masalah walaupun dengan kanta lekap (contact-lens) biasa yang telah berada di pasaran sekian lama. Masih banyak perkara yang perlu dikaji sebelum produk ini mempunyai fungsi yang betul-betul boleh mendapat sokongan pengguna.


Namun begitu dari segi pembangunan teknologi ia tetap merupakan usaha yang baik. Tiada produk yang terus mempunyai kualiti terbaik melainkan mempunyai sejarah pembaik pulihan yang berpanjangan seperti radio, TV, telefon dan sebagainya. Kita tidak boleh terus menganggap satu rekaan yang mudah tidak mempunyai masa depan yang cerah.




Free Download



Bayi Dengan Pelbagai Bahasa Mempunyai Otak Yang Lebih Fleksibel

Masa yang sesuai melatih anak-anak anda adalah di peringkat bayi.

Pada peringkat bayi proses pembelajaran sentiasa berlaku melalui persekitarannya. Bayi yang terdedah kepada persekitaran lebih dari satu bahasa mempunyai pelbagai faedah dari keadaan ini dalam membentuk pemikiran kognitif mereka.

Bayi tidak perlu mempelajari bahasa berdasarkan pemahaman (translasi) seperti mana pada orang dewasa. Mereka mula mengenali perbualan orang dewasa pada peringkat ini, pembelajaran dwi-bahasa atau lebih adalah lebih mudah dilakukan. Namun begitu aktiviti ini juga membantu otak bayi tersebut menjadi lebih aktif dan turut membantu keupayaan bayi tersebut di dalam kemahiran menyelesaikan masalah.

Kelebihan ini juga terjadi pada golongan dewasa yang mempelajari lebih dari satu bahasa di mana kemampuan kognitif mereka di dapati meningkat seperi dalam menyelesaikan sesuatu masalah melibatkan perancangan, berhujah (reasoning) dan menyelesaikan masalah (melibatkan pelbagai fakta). Melalui kajian oleh para pengkaji di University of Washington, kelebihan kesan neurological ini turut dikesan pada bayi yang terdedah kepada pelbagai bahasa ini.

Walaupun tidak boleh bertutur, otak bayi terus mengumpul maklumat.

Bayi mempelajari apa sahaja dari persekitarannya.

Pendedahan pada peringkat awal ini membolehkan bayi-bayi dalam proses pembelajaran ini (11 bulan) mendapati memberikan reaksi kepada perkataan-perkataan (dari bahasa yang di dengarinya) sebagai tanda mereka mengenalinya – berbanding daripada bunyi-bunyi biasa. Keadaan ini berbeza sekiranya ia hanya terdedah kepada satu bahasa pula, di mana bayi tidak menunjukkan reaksi kepada bahasa lain yang tidak pernah didengarinya.


Ini satu lagi perkara yang kita perlu fahami mengenai bilakah kita perlu mula melatih anak-anak untuk mempelajari bahasa baru. Ia juga menerangkan potensi kita sendiri untuk melatih diri kita dalam mempunyai otak yang lebih cergas. Mungkin apa yang penting pada kita adalah untuk menyedari bahawa kemahiran berbahasa lain bukan sahaja boleh memudahkan komunikasi malah membuka peluang untuk saling bekerjasama dalam tujuan perniagaan dan sebagainya. Ya, apa yang perlu kita ubah adalah cara kita berfikir!






Free Download



Jumaat, 15 April 2016

Perbezaaan Antara Biofluorescence, Bioluminescence dan Biophosphorescence

Cahaya yang dihasilkan oleh kala jengking melalui bahan flourescent.

Seperti yang dipaparkan di dalam artikel mengenai GloFish sebelum ini ada menyentuh serba sedikit mengenai biofluorescence. Biofluorescence sememangnya wujud secara semulajadi di dalam alam hidupan mahupun alam benda (iaitu dimiliki juga oleh bahan mineral). Kehadiran bahan ini memberikan keupayaan memantulkan cahaya yang kelihatan amat menarik dan mungkin ia juga memainkan peranan yang lebih penting yang tidak kita ketahui.

Kali ini kita akan melihat perbezaan di antara beberapa ciri bahan bercahaya di dalam alam semulajadi iaitu biofluorescence, bioluminesence dan juga biophosphorescence di mana ketiga-tiga ciri ini membolehkan alam memiliki cahaya sendiri untuk pelbagai tujuan seperti pencahayaan, pengenalan (komunikasi), menarik perhatian mangsa ataupun pasangan. Mungkin kesan pencahayaan ini dapat dilihat dengan lebih jelas seperti di dalam filem Avatar oleh James Cameron suatu ketika dahulu.

Minerals juga mengandungi bahan fluorescent dan memantulkan cahaya UV.

Biofluorescence

Cahaya biofluorescence adalah disebabkan oleh penyerapan gelombang elektromagnet pada jarak tertentu daripada cahaya nampak oleh ‘fluorescent proteins’ seperti ‘green fluorescent protein’ (GFP) pada obor-obor, dan kemudiannya dipancarkan semula pada tenaga yang lebih rendah. Ini juga menyebabkan cahaya yang dipantulkan berbeza daripada cahaya yang diserap. Cahaya dipantulkan bagi mengimbangi tenaga yang diserap daripada cahaya yang diserap pada mulanya tadi. Namun begitu bagi cahaya biofluoresence ini hanya boleh dilihat apabila terdapat sumber cahaya untuk dipantulkan - oleh sebab itu cahaya UV kebiasaannya digunakan bagi menyerlahkan objek-objek yang mempunyai biofluoresent.

Cahaya yang dihasilkan oleh api-api (firefly) adalah secara bioluminescence.

Pyrosome juga mempunyai cahaya bioluminescence.

Bioluminescence

Bioluminescence pula jauh berbeza kerana ia dihasilkan melalui tindakan kimia di dalam organisma tersebut dan digunakan oleh banyak hidupan daripada serangga, cacing, kulat, bakteria, alga dan kebanyakan hidupan laut. Bioluminescene mempunyai fungsi yang luas dan manusia cuba sedaya upaya untuk menggunakan keunikan ini untuk pelbagai kegunaan. Banyak usaha dilakukan untuk mejadikan teknologi ini boleh digunakan di dalam aplikasi harian.

University of Wisconsin-Madison adalah antara yang berusaha menghasilkan bioluminiscence menggunakan bakteria E. coli yang diubahsuai. Manakala kumpulan lain pula adalah iGEM dari Cambrige (England) turut berusaha mengenalpasti kaedah yang sesuai untuk menghasilkan cahaya melalui kaedah ini, iaitu dengan mengekalkan bekalan luciferin yang digunakan semasa tidakbalas penghasilan cahaya. Pada tahun 2016 juga sebuah syarikat dari Perancis, Glowee mula memasarkan lampu bioluminescent bagi menerangi papan tanda kedai-kedai; kerana kerajaan Perancis melarang kedai dan pejabat yang menyalakan lampu di antara jam 1 hingga 7 pagi bagi tujuan penjimatan tenaga. Glowee juga menggunakan bacteria yang dipanggil Aliivibrio fischeri yang menghasilkan cahaya di dalam gelap namun hanya bertahan untuk 3 hari sahaja.

Strontium Aluminate (kanan) memantulkan cahaya di dalam gelap.

Phosphorescence membolehkan permainan "glow in the dark" dicipta.

Biophosphorescence

Biophosphorescence adalah sama seperti biofluorescence yang memerlukan cahaya untuk mengaktifkan tindakan pantulan cahaya. Apa yang berbeza adalah kestabilan elektron yang diaktifkan membolehkan cahaya terus dipantulkan walaupun setelah sumber cahaya asal dipadamkan dan ini menghasilkan kesan “glow-in-the-dark”. Tidak seperti cahaya bioluminescence, bahan ‘phosphorescent’ lebih terdapat pada bahan mineral namun ia banyak digunakan seperti pada permainan “glow-in-the-dark”, cat dan juga jejari jam. Ia mampu memantulkan cahaya lebih lama adalah kerana ia tidak memantulkan kesemua cahaya dalam satu masa sebaliknya secara perlahan-lahan.


Keunikan cahaya semulajadi dari alam ini sekiranya dapat dimanfaatkan dengan baik akan dapat mengurangkan penggunaan tenaga dan juga mengurangkan pencemaran. Malah mungkin juga banyak lagi kegunaan lain yang akan terus dihasilkan. Maka dengan itu semoga kita akan terus berusaha dan memerhatikan pelbagai perkara lagi yang mungkin akan membawa kebaikan kepada semua.




Free Download



Arkib Blog