Sabtu, 16 April 2016

Bayi Dengan Pelbagai Bahasa Mempunyai Otak Yang Lebih Fleksibel

Masa yang sesuai melatih anak-anak anda adalah di peringkat bayi.

Pada peringkat bayi proses pembelajaran sentiasa berlaku melalui persekitarannya. Bayi yang terdedah kepada persekitaran lebih dari satu bahasa mempunyai pelbagai faedah dari keadaan ini dalam membentuk pemikiran kognitif mereka.

Bayi tidak perlu mempelajari bahasa berdasarkan pemahaman (translasi) seperti mana pada orang dewasa. Mereka mula mengenali perbualan orang dewasa pada peringkat ini, pembelajaran dwi-bahasa atau lebih adalah lebih mudah dilakukan. Namun begitu aktiviti ini juga membantu otak bayi tersebut menjadi lebih aktif dan turut membantu keupayaan bayi tersebut di dalam kemahiran menyelesaikan masalah.

Kelebihan ini juga terjadi pada golongan dewasa yang mempelajari lebih dari satu bahasa di mana kemampuan kognitif mereka di dapati meningkat seperi dalam menyelesaikan sesuatu masalah melibatkan perancangan, berhujah (reasoning) dan menyelesaikan masalah (melibatkan pelbagai fakta). Melalui kajian oleh para pengkaji di University of Washington, kelebihan kesan neurological ini turut dikesan pada bayi yang terdedah kepada pelbagai bahasa ini.

Walaupun tidak boleh bertutur, otak bayi terus mengumpul maklumat.

Bayi mempelajari apa sahaja dari persekitarannya.

Pendedahan pada peringkat awal ini membolehkan bayi-bayi dalam proses pembelajaran ini (11 bulan) mendapati memberikan reaksi kepada perkataan-perkataan (dari bahasa yang di dengarinya) sebagai tanda mereka mengenalinya – berbanding daripada bunyi-bunyi biasa. Keadaan ini berbeza sekiranya ia hanya terdedah kepada satu bahasa pula, di mana bayi tidak menunjukkan reaksi kepada bahasa lain yang tidak pernah didengarinya.


Ini satu lagi perkara yang kita perlu fahami mengenai bilakah kita perlu mula melatih anak-anak untuk mempelajari bahasa baru. Ia juga menerangkan potensi kita sendiri untuk melatih diri kita dalam mempunyai otak yang lebih cergas. Mungkin apa yang penting pada kita adalah untuk menyedari bahawa kemahiran berbahasa lain bukan sahaja boleh memudahkan komunikasi malah membuka peluang untuk saling bekerjasama dalam tujuan perniagaan dan sebagainya. Ya, apa yang perlu kita ubah adalah cara kita berfikir!






Free Download



Jumaat, 15 April 2016

Perbezaaan Antara Biofluorescence, Bioluminescence dan Biophosphorescence

Cahaya yang dihasilkan oleh kala jengking melalui bahan flourescent.

Seperti yang dipaparkan di dalam artikel mengenai GloFish sebelum ini ada menyentuh serba sedikit mengenai biofluorescence. Biofluorescence sememangnya wujud secara semulajadi di dalam alam hidupan mahupun alam benda (iaitu dimiliki juga oleh bahan mineral). Kehadiran bahan ini memberikan keupayaan memantulkan cahaya yang kelihatan amat menarik dan mungkin ia juga memainkan peranan yang lebih penting yang tidak kita ketahui.

Kali ini kita akan melihat perbezaan di antara beberapa ciri bahan bercahaya di dalam alam semulajadi iaitu biofluorescence, bioluminesence dan juga biophosphorescence di mana ketiga-tiga ciri ini membolehkan alam memiliki cahaya sendiri untuk pelbagai tujuan seperti pencahayaan, pengenalan (komunikasi), menarik perhatian mangsa ataupun pasangan. Mungkin kesan pencahayaan ini dapat dilihat dengan lebih jelas seperti di dalam filem Avatar oleh James Cameron suatu ketika dahulu.

Minerals juga mengandungi bahan fluorescent dan memantulkan cahaya UV.

Biofluorescence

Cahaya biofluorescence adalah disebabkan oleh penyerapan gelombang elektromagnet pada jarak tertentu daripada cahaya nampak oleh ‘fluorescent proteins’ seperti ‘green fluorescent protein’ (GFP) pada obor-obor, dan kemudiannya dipancarkan semula pada tenaga yang lebih rendah. Ini juga menyebabkan cahaya yang dipantulkan berbeza daripada cahaya yang diserap. Cahaya dipantulkan bagi mengimbangi tenaga yang diserap daripada cahaya yang diserap pada mulanya tadi. Namun begitu bagi cahaya biofluoresence ini hanya boleh dilihat apabila terdapat sumber cahaya untuk dipantulkan - oleh sebab itu cahaya UV kebiasaannya digunakan bagi menyerlahkan objek-objek yang mempunyai biofluoresent.

Cahaya yang dihasilkan oleh api-api (firefly) adalah secara bioluminescence.

Pyrosome juga mempunyai cahaya bioluminescence.

Bioluminescence

Bioluminescence pula jauh berbeza kerana ia dihasilkan melalui tindakan kimia di dalam organisma tersebut dan digunakan oleh banyak hidupan daripada serangga, cacing, kulat, bakteria, alga dan kebanyakan hidupan laut. Bioluminescene mempunyai fungsi yang luas dan manusia cuba sedaya upaya untuk menggunakan keunikan ini untuk pelbagai kegunaan. Banyak usaha dilakukan untuk mejadikan teknologi ini boleh digunakan di dalam aplikasi harian.

University of Wisconsin-Madison adalah antara yang berusaha menghasilkan bioluminiscence menggunakan bakteria E. coli yang diubahsuai. Manakala kumpulan lain pula adalah iGEM dari Cambrige (England) turut berusaha mengenalpasti kaedah yang sesuai untuk menghasilkan cahaya melalui kaedah ini, iaitu dengan mengekalkan bekalan luciferin yang digunakan semasa tidakbalas penghasilan cahaya. Pada tahun 2016 juga sebuah syarikat dari Perancis, Glowee mula memasarkan lampu bioluminescent bagi menerangi papan tanda kedai-kedai; kerana kerajaan Perancis melarang kedai dan pejabat yang menyalakan lampu di antara jam 1 hingga 7 pagi bagi tujuan penjimatan tenaga. Glowee juga menggunakan bacteria yang dipanggil Aliivibrio fischeri yang menghasilkan cahaya di dalam gelap namun hanya bertahan untuk 3 hari sahaja.

Strontium Aluminate (kanan) memantulkan cahaya di dalam gelap.

Phosphorescence membolehkan permainan "glow in the dark" dicipta.

Biophosphorescence

Biophosphorescence adalah sama seperti biofluorescence yang memerlukan cahaya untuk mengaktifkan tindakan pantulan cahaya. Apa yang berbeza adalah kestabilan elektron yang diaktifkan membolehkan cahaya terus dipantulkan walaupun setelah sumber cahaya asal dipadamkan dan ini menghasilkan kesan “glow-in-the-dark”. Tidak seperti cahaya bioluminescence, bahan ‘phosphorescent’ lebih terdapat pada bahan mineral namun ia banyak digunakan seperti pada permainan “glow-in-the-dark”, cat dan juga jejari jam. Ia mampu memantulkan cahaya lebih lama adalah kerana ia tidak memantulkan kesemua cahaya dalam satu masa sebaliknya secara perlahan-lahan.


Keunikan cahaya semulajadi dari alam ini sekiranya dapat dimanfaatkan dengan baik akan dapat mengurangkan penggunaan tenaga dan juga mengurangkan pencemaran. Malah mungkin juga banyak lagi kegunaan lain yang akan terus dihasilkan. Maka dengan itu semoga kita akan terus berusaha dan memerhatikan pelbagai perkara lagi yang mungkin akan membawa kebaikan kepada semua.




Free Download



Khamis, 14 April 2016

Auto-brewery Syndrome Menyebabkan Anda Mabuk Tanpa Menyentuh Alkohol

Auto-brewery Syndrome menyebabkan seseorang mabuk tanpa menyentuh minuman beralkohol.

Mungkin sukar untuk menerima kenyataan apabila seseorang mabuk tanpa menyentuh sebarang bahan makanan atau minuman yang boleh memabukkan seperti minuman beralkohol. Namun ia adalah salah satu perkara yang boleh berlaku dan dipanggil Auto-brewery Syndrome.

Auto-brewery Syndrome adalah disebabkan kehadiran yis didalam saluran pencernaan makanan seperti Saccharomyces cerevisiae yang boleh menukarkan gula daripada bahan makanan kepada ethanol yang menjadi punca mabuk kepada seseorang.

Penghidap kesan ini akan mengalami kesan sama seperti orang yang mabuk daripada mengambil alkohol dengan kesan-kesan seperti sakit kepala, mulut kering, mabuk, hilang keseimbangan, ganguan perut dan juga keletihan. Kesan-kesan lain yang disebabkan oleh masalah ini adalah tekanan, keresahan serta menyebabkan kesan penurunan produktiviti di tempat kerja. Ini kerana kesan syndrome ini boleh berlaku pada bila-bila masa.


Makanan berkarbohidrat menjadi makanan yis dan menghasilkan alkohol.

Bakteria dan Yis di dalam sistem percernaan manusia.

Biasanya penghidap penyakit ini akan menjadi lebih tertekan sekiranya ia tidak mendapat sokongan daripada orang sekeliling, kerana adalah sukar mempercayai seseorang boleh menjadi mabuk tanpa menyentuh sebarang minuman yang memabukkan. Namun terdapat beberapa kes yang berlaku sebelum ini dan kisah ini telah mula mendapat pemahaman orang ramai.

Seseorang yang menghidapi syndrome ini perlu mengelakkan atau mengurangkan pengambilan makanan yang berkanji atau gula. Ini kerana bahan ini akan menyebabkan yis/Candida di dalam usus menukarkannya kepada ethanol. Namun begitu penghidap masih boleh mengambil makanan seperti daging, ikan, sayuran, kekacang dan biji-bijian lain.

Walaupun jarang berlaku, “auto-brewery syndrome” boleh mendatangkan kesan yang serius apabila tidak dirawat seperti keracunan alkohol ataupun methanol dan ia boleh membawa maut. Selain daripada itu seseorang pengidap juga perlu berhati-hati daripada mengendalikan jentera merbahaya ataupun lain-lain kerja yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain.


Nick Hess merupakan antara beberapa penghidap 'auto-brewery syndrome' yang dikenal pasti.

Manakala bagi kita yang sihat pula perlulah berhati-hati dalam mengambil makanan. Ini kerana yis/Candida merupakan fungus yang biasa terdapat di dalam usus kita. Pengambilan makanan yang terdiri daripada pelbagai jenis dapat mengelakkan perkembangan yis berbanding sekiranya kita mengambil makanan yang hanya terdiri daripada bahan berkarbohidrat sahaja seperti nasi, roti, kek, pasta, pizza, kentang dan ubi kayu.


Begitu juga sekiranya anda mempunyai ahli keluarga yang mempunyai masalah ini, sila berikan sokongan kerana ia adalah lebih membantu.






Free Download



Bagaimana Sebatang Pokok Menghasilkan 7 Jenis Buah?

Sebatang pokok dengan pelbagai buah amat istimewa.

Mungkin ia merupakan perkara yang agak pelik, dan bukanlah tujuan kita melihat perkara ini sebagai perkara yang pelik pula, tetapi ingin melihat bagaimana ianya dilakukan. Sebatang pokok dengan 7 jenis buah sememangnya tidak akan berlaku secara semula jadi, jadi ia perlu dihasilkan dengan teknik pertanian yang dikuasai oleh manusia.

Seperti juga dalam artikel-arikel sebelum ini mengenai pokok ‘pomato’ dan ‘egg and chips’ yang dihasilkan menggunakan kaedah ‘grafting’ (tut), pokok yang mempunyai 7 jenis buah ini juga dihasilkan melalui kaedah yang sama. Apa yang penting semua jenis tumbuhan ini perlulah berasal dari keluarga tumbuhan yang sama.

Antara pokok yang dihasilkan melalui kaedah ini adalah epal yang terdiri daripada beberapa jenis seperti epal merah, hijau dan kuning. Manakala bagi spesies tumbuhan citrus pula gabungan lebih banyak buah-buahan citrus boleh digabungkan seperti oren, lemon, limau bali, limau biasa dan beberapa jenis lagi. Begitu juga dengan spesies seperti rambutan misalnya boleh digabungkan dengan kaedah ini.

Teknik tut biasa digunakan untuk mencantumkan tumbuhan hiasan.

Contoh tut bagi tumbuhan citrus.

Pelbagai buah pada sebatang pokok.

Sememangnya teknik-teknik ini perlu dilakukan dengan baik bagi memastikan proses percantuman tunas pada pokok asal dapat berlaku dengan sempurna. Bagi menguasai kaedah ini, anda perlulah melakukannya selalu. Bahagian yang ingin dicantumkan perlulah lembab bagi kedua-dua bahagian antara pokok penerima dan tunas yang ingin digabungkan. Kemudian ia perlu diletakkan di tempat yang bercahaya baik namun tidak terdedah kepada panas cahaya matahari. Kebiasaannya ia disungkupkan dengan plastik putih bagi mengekalkan kelembapan pada bahagian yang dicantumkan.

Manakala tumbuhan-tumbuhan seperti ini juga boleh dibeli terus melalui pengeluar-pengeluar yang menyediakan benih yang siap di ‘tut’. Antara pengeluar benih cantuman beberapa jenis tumbuhan ini adalah seperti Dave Wilson Nursery di Hickman, California dan juga Fruit Salad Tree Co. di New South Wales, Australia. Harga pokok-pokok ini berbeza mengikut jenis pokok dan bilangan tut yang dilakukan mengikut pilihan pengguna.

Pokok tut yang telah mencapai usia kematangan.

Pokok tut pelbagai buah dihasilkan petani di Vietnam.

Jenis-jenis tumbuhan yang dihasilkan oleh Fruit Salad Tree Co.

Sudah tentu ia amat menarik kerana anda tidak memerlukan jumlah pokok yang banyak untuk memiliki kesemua jenis buah. Ia juga menghasilkan buah secara bergilir-gilir dan ini memastikan sentiasa ada buah yang dihasilkan dari pokok tersebut.


Hasil pertanian seperti ini membuktikan bahawa, ilmu pertanian amatlah penting bagi para pekebun kecil mahupun besar. Selain itu, para petani juga perlu memiliki pengetahuan yang luas dalam memastikan mereka dapat menghasilkan hasil tanaman yang berkualiti, mencuba kaedah baru, menghasilkan produk yang kreatif dan berguna kepada pengguna.




Free Download



Rabu, 13 April 2016

GloFish Menjadikan Ikan Bercahaya Di Bawah Lampu UV

Ikan dengan keupayaan 'biofluorescence' dihasilkan melalui kaedah GMO.

GloFish® merupakan ikan yang mempunyai kemampuan untuk kelihatan bercahaya di bawah sinar lampu UV kerana mewarisi kemampuan untuk menyimpan bahan biofluorescence di bawah kulitnya. Walaupun hari ini ikan-ikan ini mewarisinya daripada induk-induk mereka, ikan GloFish® adalah hasil pengubahsuaian genetik yang dilakukan di dalam makmal yang juga dikenali sebagai GMO – genetically modified organism.

Biofluoresence sememangnya dimiliki oleh sesebahagian haiwan secara semulajadi sejak jutaan tahun dahulu. Ciri istimewa ini membolehkan hidupan-hidupan ini memantulkan cahaya dan kelihatan seperti ia sendiri bercahaya. Cahaya ini digunakan samada untuk menerangi sekelilingnya, komunikasi, menarik minat mangsa dan juga macam-macam lagi. Maka ciri-ciri inilah yang dipindahkan kepada GloFish® bagi membolehkan ia memantulkan cahaya seperti hidupan-hidupan tersebut.

Gene penghasilan 'Green Fluorescence Protein' diperolehi dari obor-obor. 

Obor-obor antara hidupan yang mempunyai biofluorescence.

Ikan-ikan GloFish kini terus mewarisi gene 'fluorescence protein' terus melalui induknya.

Pada mulanya ikan GloFish dihasilkan untuk membantu mengesan pencemaran dengan menjadikan ianya bercahaya. Ia adalah hasil kajian pada tahun 1999 oleh Dr. Zhiyuan Gong bersama rakan setugasnya di National University of Singapore yang pada masa itu mengkaji genes yang mengandungi kod green fluorescence protein (GFP), yang terdapat secara semulajadi pada obor-obor dan menghasilkan cahaya hijau ‘fluorescence’ yang terang. Gene ini kemudiannya dipindahkan ke dalam embrio ikan ‘zebrafish’, dan ini kemudiannya membentuk genome ‘zebrafish’ tersebut. Ini menjadikan ikan ini memiliki keupayaan untuk kelihatan bercahaya di bawah cahaya biasa (white light) dan juga ultraviolet (UV).

Sementara itu ikan dengan keupayan yang sama juga turut dihasilkan di National Taiwan University oleh Professor Huai-Jen Tsai dan mencipta medaka (rice fish), yang juga menghasilkan warna hijau fluorescence.

Ikan ini tidak berjaya digunakan untuk tujuan asal ianya dicipta iaitu untuk mengesan pencemaran. Namun ia kemudiannya di bawa ke United States oleh Alan Blake dan Richard Crockett dari Yorktown Technologies, L.P. dari Austin, Texas. Begitu juga dengan ikan yang dihasilkan oleh Taiwan dan dipasarkan oleh Taikong Corp. Kira-kira 100,000 ikan-ikan ini dijual dalam tempoh kurang dari sebulan dengan harga US$18.60 untuk setiap ekor.

Ikan-ikan GloFish memantulkan cahaya di bawah cahaya UV.

Antara ikan-ikan yang mempunyai biofluorescence secara semulajadi.

Ikan-ikan lain yang mempunyai keistimewaan serupa.

Ikan-ikan GloFish kemudiannya dihasilkan dengan pelbagai warna termasuk merah, hijau, oren-kuning, purple fluorescence, "Electric Green", "Sunburst Orange", "Moonrise Pink", "Starfire Red", "Cosmic Blue", dan "Galactic Purple”. Antara ikan-ikan yang diubah suai pula adalah dari jenis tetra (Gymnocorymbus ternetzi) dan juga tiger barb (Puntius tetrazona).


Ini adalah salah satu contoh penghasilan spesies baru melalui teknik pengubahan genetik atau juga dikenali sebagai GMO. Hidupan yang dihasilkan melalui kaedah ini masih kurang difahami dari segi impaknya kepada alam sekitar. Bukanlah bermakna semua hasil GMO merbahaya, namun kita memerlukan masa lebih lama untuk memahaminya dan berhati-hati mengenai keselamatan penggunaannya.


Free Download



Arkib Blog