Selasa, 22 Mac 2016

Projek Micro Bit Oleh BBC Dengan Hasil Memberangsangkan

Projek (Mocro Bit stratosphere) ini dihasilkan oleh pelajar sendiri.

Bagaimanakah anda dapat menjamin satu generasi yang mempunyai kemahiran seperti yang diharapkan? Anda memastikan mereka mempunyai minat dan kemahiran dalam sesuatu bidang sejak mereka di peringkat kanak-kanak lagi. Itulah antara usaha BBC yang mengagihkan sejumlah besar komputer Micro Bit kepada kanak-kanak di Britain.

Projek tersebut yang dimulakansejak beberapa tahun lalu menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan dengan penglibatan semua pihak dalam memastikan program tersebut terus berjalan lancar. Komputer mini tersebut diagihkan kepada pelajar-pelajar berumur 11 – 12 tahun untuk menghasilkan projek masing-masing.

Ianya adalah satu peralatan mudah, namun tiada siapa yang tahu hasil yang akan dihasilkan melalui peralatan ini – di sinilah kreativiti para pelajar tersebut membantu menyelesaikan masalah dalam menghasilkan peralatan seperti yang diinginkan. Melalui bantuan para guru, pembantu dan juga segala bantuan yang dibekalkan untuk menjayakan program ini kesan yang postif dapat dilihat dalam masa yang singkat.

Komputer mini ini mudah diprogram oleh kanak-kanak.

Beberapa projek yang disenarikan sebagai projek terbaik hasil daripada Micro Bit adalah;

- Menghantar Micro Bit ke lapisan stratosphere iaitu kira-kira 32 km (20 mi) ke udara. Ia adalah hasil seorang pelajar dari Rishworth School dari West Yorkshire yang menghasilkan program untuk mengukur suhu dan pergerakan udara yang dipaparkan pada panel LED nya. Menggunakan belon helium, ia kemudiannya dilancarkan ke udara.

- Membentuk sebuah skrin gergasi dengan sejumlah besar Micro Bit merupakan satu lagi hasil imaginasi kreatif dalam menggunakan Micro Bit. Menggunakan sehingga 1,009 buah Micro Bit (di mana setiap Micro Bit mempunyai 25 biji LED). Keseluruhan projek ini menggunakan 230 m (755 ft) pendawaian dan 5,000 batang skru untuk memasangnya. Projek ini dihasilkan menggunakan program dari Microsoft's Touch Develop dan dipertontonkan di ‘Bett tech show’ pada Januari lepas.

- Peralatan bantuan untuk kanak-kanak Autism pula merupakan hasil sekumpulan pelajar dari London's Highgate School. Ia merupakan peralatan untuk membantu kanak-kanak Autism memahami ekspresi dengan lebih mudah melalui paparan pada Micro Bit. Melalui rekaan ini kanak-kanak tersebut boleh memilih untuk memaparkan perasaan mereka mengikut pilihan yang sesuai.

- Menggunakan Micro Bit untuk mengesan pergerakan dan membantu latihan adalah antara penggunaan yang lebih ‘advance’. Ia dilakukan menggunakan sensor pecutan (acceleration sensors) pada Micro Bit tersebut. Setiap pergerakan Micro Bit akan memberikan kesan pada graf yang dipaparkan – dan ini memberitahu kelajuan, jarak pergerakan, ketinggian setiap Micro Bit yang digerakkan. Ia boleh digunakan untuk melihat pelbagai lagi fungsi dalam pergerakan (contoh larian).

*Keseluruhan projek tersebut boleh dilihat melalui link ini.

Konfigurasi pada papan Micro Bit.

Menggunakan kuasa batteri 2 X AAA.

Paparan yang dihasilkan dengan sejumlah Micro Bit.

Banyak lagi contoh-contoh lain aplikasi menggunakan komputer mini ini. Sebagai peralatan mudah untuk melatih minat kanak-kanak mempelajari dengan lebih mendalam mengenai ‘programming’ dan mereka daripada hasil kreativiti mereka sendiri. Ia merupakan usaha yang cukup menakjubkan kerana ia dilakukan dalam skala yang besar.


Mungkin kita tidak mendapat peluang untuk memiliki Micro Bit sendiri namun anda boleh menyertai banyak lagi program-program seperti ini bersama-sama dengan komuniti mini komputer seperti Raspberry Pi, Arduino, Cotton Candy, C.H.I.P., BeagleBoard, Galileo, Edison, Cubieboard dan sebagainya.




Free Download



Ahad, 20 Mac 2016

Membina Ion Thruster Seperti Yang Digunakan NASA

Enjin Ion Thruster pada Deep Space 1.

Ion Thruster merupakan engin yang digunakan oleh NASA untuk menggerakkan beberapa ‘space probes’ seperti  Deep Space 1 dan juga Dawn. Ia mampu memberikan perubahan kelajuan sehingga  4 300 m/s pada Deep Space 1. Manakala pada Dawn pula ia mencapai sehingga 10 000 m/s. Tidak seperti engin roket biasa ia menggunakan tenaga elektrik berbanding bahanapi. Ion Thruster akan terus digunakan untuk banyak lagi misi-misi lain sebagai sistem engin tambahan.

Berbanding dengan engin roket biasa yang menggunakan bahanapi, Ion Thruster menggunakan tenaga elektrik untuk menggerakkan ion menggunakan tenaga elektrostatik. Thruster ion elektrostatik in menggunakan tenaga Coulomb yang akan memecutkan ion pada arah medan magnet.  Thruster ion elektromagnetik pula menggunakan tenaga Lorentz untuk memecutkan ion. Bagi kedua-dua keadaan ini apabila ion melepasi engin grid elektrostatik, perbezaan potensi medan elektrik ini akan mengubahnya menjadi tenaga kinetik ion – yang memberikan keupayaan tujahan.

Jadi sekiranya anda berminat dengan engin Ion Thruster ini, anda mungkin boleh membinanya sendiri. Bagi mini Ion Thruster ini anda boleh melihat bagai mana ion digunakan untuk menghasilkan angin tanpa sebarang komponen bergerak sepertimana kipas yang digunakan di rumah. Bagaimanapun anda perlulah berhati-hati kerana ia menggunakan bahan-bahan yang mungkin boleh mendatangkan kecederaan kepada anda sekiranya tidak berhati-hati.


Ion Thruster mini yang akan direka dalam projek ini.

Bahan-bahan yang diperlukan:

- Transformer 10,000V, 30mA (anda perlu merujuk kepada mereka yang mahir dengan mereka yang mempunyai kepakaran elektrik untuk ini).
Paip tembaga (coupling) – biasanya berdiameter ½ inci, dengan panjang

- Solder paip (untuk tembaga)

- Solder flux – untuk memudahkan proses solder

- Paku yang disadur dengan tembaga  (7 batang )

- Blowtorch (penyembur api).

- Tile seramik atau permukaan tahan panas.

- Wayar tembaga tanpa penebat – 2 unit dengan kepanjangan 10 inci.

- Kepingan papan untuk membentuk badan paku dan juga pemegang paip tembaga.

- Hot glue gun – gam panas

- Kabel-kabel dan penyepit yang sesuai untuk voltan tinggi.

Secara ringkasnya diterangkan mengenai kaedah membentuk Ion Thruster anda – untuk lebih mudah, anda perlu menonton video yang disediakan untuk proses penuh membina ion thruster anda.

Paip tembaga dipasang menjadi seperti ini.

Potong paip tembaga pada jarak  yang sama (panjang 7/8 inci) sebanyak 7 unit. Paip-paip ini kemudiannya disusun membentuk seperti bunga (atau honeycomb). Ia kemudiannya disambungkan menggunakan solder tembaga – menggunakan penyembur api – Jadi kerja ini agak merbahaya sekiranya anda tidak biasa mengendalikan peralatan-peralatan ini. Jangan lupa satu wayar perlu disolder untuk membolehkan tenaga elektrik dialirkan kepada paip-paip tembaga ini pula.

Daripada paip, titik pusat dialih kepada papan.

Dari paip ini, garis pusatnya diukur dan di alihkan pada papan yang akan meletakkan paku-paku tembaga. Paku-paku ini perlu berada tepat di tengah-tengah paip tembaga itu nanti. Wayar tembaga perlu dililitkan pada paku-paku ini untuk memastikan setiap paku akan mendapat aliran elektrik yang sempurna. Kemudian barulah paku dimasukkan ke dalam lubang-lubang yang digerudi pada titik-titik yang ditandakan.

Pendawaian untuk paku-paku disadur tembaga.

Sebahagian papan itu pula akan digunakan untuk mebina tiang bagi paip tembaga dan juga sebagai tapak ion thruster anda.

Letakkan jarak di antara paku tembaga dan paip tembaga pada ukuran 3 inci dan pastikan ia diletakkan dengan baik. Apabila semuanya telah diletakkan dengan sempurna, ion thruster anda telah siap untuk diuji. Pastikan unit transformer tidak dipasang semasa anda membuaat kerja-kerja pemasangan pendawaian ke atas ion thruster anda. Apabila anda telah berpuas hari dengan pemasangan pendawaian, bolehlah anda menghidupkan suis dan melihat bagaimana ion thruster anda bekerja – ia akan menghasilkan angin hasil daripada pergerakan ion.


Ion Thruster sedia untuk diuji.

Ia mungkin satu projek yang tidak menarik bagi semua. Tapi ia sedikit sebanyak dapat memperlihatkan bagaimana enjin-enjin yang digunakan pada enjin kapal angkasa bekerja dengan ketiadaan udara (bekalan oksigen). Ion Thruster akan terus diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.





Free Download



Jumaat, 18 Mac 2016

Lagi Mini Komputer Sehebat Rasberry Pi 3

Saiz Pine64 yang kecil seperti juga mini komputer yang lain.

Pine 64 itulah nama mini komputer baru yang berharga jauh lebih murah dari Rasberry Pi 3 yang juga merupakan mini komputer yang menggunakan sistem 64-bit. Pine 64 dengan harga hanya USD15 itu adalah lebih dari separuh berbanding Rasberry Pi 3 dengan harga USD35.

Komputer-komputer mini kini membanjiri pasaran bagi peminat-peminat mini komputer untuk melakukan lebih banyak projek automasi dengan kawalan komputer. Ini membolehkan para peminat projek elektronik berkomputer mencuba sesuatu idea baru dengan kos yang lebih murah – memberikan peluang yang lebih besar kepada orang ramai untuk melibatkan diri (walaupun secara individu).

Terdapat beberapa versi Pine 64 iaitu; Pine 64 (USD15), Pine 64+ (USD19) dan Pine 64+ 2GB (USD29) dengan beberapa ciri-ciri tambahan bagi memenuhi keperluan pengguna. Kesemua jenis Pine tersebut dilengkapi dengan CPU 1.2 Ghz Quad-Core ARM Cortex A53 64-Bit. Apa yang membezakan antara board-board ini adalah dari segi saiz RAM dari 512MB sehingga 2GB. Manakala bagi board Pine 64+ 2GB turut dilengkapi dengan port untuk kamera 5MP, 4 lanes MIPI video Port dan juga port untuk kegunaan Touch Panel.

Konfigurasi papan Pine64 dan soket-soket berkaitan.

Papan Pine64 secara dekat.

Home Media merupakan kegunaan asas mini komputer.

Pine 64 dibangunkan di atas sumbangan orang ramai melalui program Kickstarter. Sejumlah USD1.7 juta dikumpulkan dari kempen program tersebut. Manakala kini para penyumbang tersebut merupakan antara mereka yang terawal menerima mini komputer mereka.

Pine 64 boleh dipesan melalui laman webnya di Pine64.com dari seluruh dunia. Manakala stock bagi Pine 64 (USD15) mengalami kekurangan stock dan ianya akan dihantar menjelang May nanti.

Seperti juga Raspberry Pi, Pine 64 amat sesuat untuk digunakan dengan perisian Android dan juga Remix OS. Malah bagi para peminat dunia mini komputer ini banyak lagi perisian yang digunakan untuk mengawal mini komputer mereka.


Banyak perkara boleh dilakukan menggunakan mini-mini komputer ini selain untuk kegunaan biasa. Anda boleh menggunakannya sebagai komputer ‘programming’, media player, video kamera, projek-projek automasi dan apa sahaja mengikut kreativiti anda sendiri. Jangan lepaskan peluang anda dan ikuti lebih lanjut kaedah penggunaan mini komputer melalui laman-laman hobi dan forum yang disediakan. 

Antara aksesori boleh digunakan bersama Pine64 (I/O).

Anda boleh membina mini super-computer dengan harga sebuah PC biasa.


Free Download



Khamis, 17 Mac 2016

London Mengawasi Kualiti Pencemaran Udara Menggunakan Merpati

Burung merpati yang dilengkapi dengan 'Plume Sensor'.

London merupakan antara bandaraya terbesar di dunia dan amat terkenal dengan Trafalgar Square dan merpatinya. Seperti juga bandaraya-bandaraya yang lain, kualiti udara di bandaraya ini mengalami keadaan teruk pencemaran daripada kenderaan dan industri. Maka dengan itu menggunakan merpati untuk mengawasi kualiti udara merupakan satu kaedah kreatif yang unik dilakukan oleh Plume Labs.

‘Pigeon Air Patrol’, itulah nama yang diberikan kepada kumpulan burung-burung merpati yang akan dilengkapi dengan alat pengesan kualiti udara yang direka oleh Plume Labs. Projek tersebut  dilaksanakan melalui pengumpulan dana dari orang ramai melalui crowdfounder.co.uk dengan anggaran belanja £10,000.

Melalui program ini sekumpulan burung merpati akan dilengkapi dengan alat pengesan kualiti udara yang akan mengukur kandungan nitrogen dioxide, ozon dan lain-lain pencemaran di dalam udara secara berterusan semasa ia beterbangan mengelilingi bandaraya London.

Bagi mengikuti perkembangan kualiti udara ini pula orang ramai boleh mengikuti keputusan tesebut melalui laman tweter. Post ini akan dilakukan secara automatik berkenaan keputusan pengukuran kualiti udara daripada alat pengesan yang di pasang kepada ‘Pigeon Air Patrol’.


Burung-burung merpati di Trafalgar Square.

Keadaan pencemaran udara di London.

App untuk mengikuti kadar kualiti udara.

Projek ini dilakukan hanyalah untuk satu tempoh yang singkat (iaitu 3 hari) – kerana ia hanya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kualiti udara bandaraya tersebut yang adakalanya berada pada tahap yang amat kritikal. Ini kerana keadaan kualiti udara di London juga boleh mencapai kepada kualiti udara seperti di Beijing China.

Plume sensor merupakan sebuah peralatan kecil yang mudah dibawa ke mana-mana. Ia dilengkapi dengan apps untuk peralatan iOS dan Android untuk mengemaskini keadaan kualiti udara di sesuatu kawasan yang turut dikongsi dengan pengguna-pengguna yang lain. Maka dengan itu ia akan membentuk satu rangkaian pengukuran kualiti udara yang lebih besar. Ini adalah bagi membantu orang ramai untuk lebih peka dengan keadaan kualiti udara di bandaraya masing-masing.

Usaha untuk mempertingkatkan kualiti udara di bandaraya ini juga disambut baik oleh semua lapisan maysarakat di London. Bukan sahaja usaha seperti ini yang mendapat sambutan, malah banyak lagi perkara yang dilakukan untuk mempertingkatkan kualiti udara termasuk menggunakan kenderaan elektrik dan biogas, penggunaan tenaga solar, angin dan sebagainya.







Free Download



Selasa, 15 Mac 2016

Satu Lagi Projek Menarik Dengan Raspberry Pi

Gambaran dekat susunan unit Rasberry Pi.

Raspberry Pi merupakan komputer mikro yang amat unik dan selalu mendapat perhatian dari kami. Walaupun saiznya kecil, ia merupakan sebuah komputer yang lebih kuat berbanding dengan komputer-komputer peribadi era-80 an. Maka bagi yang ingin mempelajari teknologi komputer dengan lebih lanjut, menguasai Raspberry Pi merupakan satu kemahiran yang penting.

Salah satu projek yang ingin diketengahkan hari ini adalah teknik pengambaran seperti di dalam filem Matrix yang juga dikenali sebagai “bullet time effects”. Teknik pengambaran ini yang memakan belanja yang besar untuk dihasilkan boleh juga dihasilkanmenggunakan Raspberry Pi dengan belanja yang jauh lebih murah.

Menggunakan 48 buah komputer Raspberry Pi, seorang pereka Andrew Robinson menyusun komputer tersebut di dalam bentuk bulatan supaya ianya boleh mengambil gambar dalam masa yang sama. Gambar-gambar yang diambil melalui setiap Raspberry Pi ini kemudiannya akan disusun supaya dapat menghasilkan video dengan kesan “bullet time effects”.

Susunan yang menyerupai 'Large Hadron Collider'.

Sebuah unit PiFace Snap yang diubah kepada sebuah unit yang lebih besar.

Setiap unit disusun untuk membentuk gelungan kamera Pi.

Sememangnya projek ini menelan belanja yang agak besar, namun berbanding dengan menggunakan peralatan asal dan kamera biasa ia adalah jauh lebih mahal. Ini kerana selain daripada komputer Raspberry Pi, anda juga memerlukan 48 buah modul kamera Pi pula, kira-kira 1/3 batu panjang ‘Ethernet cable’, SD cards dan sebagainya.

Selain daripada memasang kamera-kamera tersebut di dalam bentuk bulatan, ia juga perlu dikawal dengan menggunakan program komputer khas untuk membolehkan kesemua kamera mengambil gambar pada masa yang sama. Begitu juga dengan penyusunan semula gambar-gambar yang diambil untuk dijadikan video. Tanpa program khas kesemua ini adalah mustahil dalam menghasilkan kualiti seperti yang diinginkan.

Namun begitu tiada apa yang perlu dibimbangkan. Bagi yang ingin mencuba untuk melakukan projek ini sebenarnya semua program yang ditullis menggunkan kod programming Phyton itu sebenarnya telahpun sedia dikongsi oleh Andrew Robinson.  Malah, komuniti peminat-peminat Rasberry Pi juga amat positif dalam membantu hasil usaha ahli-ahlinya yang lain.


Banyak lagi projek-projek menarik yang boleh dihasilkan dengan komputer mikro ini. Oleh kerana harganya yang agak murah, jadi ia membolehkan anda menggunakannya untuk pelbagai eksperimen mengikut krativiti anda sendiri.

* Anda boleh mengikuti artikel ini secara penuh di Piface Digital.






Free Download



Arkib Blog