Burung merpati yang dilengkapi dengan 'Plume Sensor'.
London merupakan antara bandaraya terbesar di dunia dan amat terkenal dengan Trafalgar Square dan merpatinya. Seperti juga bandaraya-bandaraya yang lain, kualiti udara di bandaraya ini mengalami keadaan teruk pencemaran daripada kenderaan dan industri. Maka dengan itu menggunakan merpati untuk mengawasi kualiti udara merupakan satu kaedah kreatif yang unik dilakukan oleh Plume Labs.
‘Pigeon Air Patrol’, itulah nama yang diberikan kepada kumpulan burung-burung merpati yang akan dilengkapi dengan alat pengesan kualiti udara yang direka oleh Plume Labs. Projek tersebut dilaksanakan melalui pengumpulan dana dari orang ramai melalui crowdfounder.co.uk dengan anggaran belanja £10,000.
Melalui program ini sekumpulan burung merpati akan dilengkapi dengan alat pengesan kualiti udara yang akan mengukur kandungan nitrogen dioxide, ozon dan lain-lain pencemaran di dalam udara secara berterusan semasa ia beterbangan mengelilingi bandaraya London.
Bagi mengikuti perkembangan kualiti udara ini pula orang ramai boleh mengikuti keputusan tesebut melalui laman tweter. Post ini akan dilakukan secara automatik berkenaan keputusan pengukuran kualiti udara daripada alat pengesan yang di pasang kepada ‘Pigeon Air Patrol’.
Burung-burung merpati di Trafalgar Square.
Keadaan pencemaran udara di London.
App untuk mengikuti kadar kualiti udara.
Projek ini dilakukan hanyalah untuk satu tempoh yang singkat (iaitu 3 hari) – kerana ia hanya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kualiti udara bandaraya tersebut yang adakalanya berada pada tahap yang amat kritikal. Ini kerana keadaan kualiti udara di London juga boleh mencapai kepada kualiti udara seperti di Beijing China.
Plume sensor merupakan sebuah peralatan kecil yang mudah dibawa ke mana-mana. Ia dilengkapi dengan apps untuk peralatan iOS dan Android untuk mengemaskini keadaan kualiti udara di sesuatu kawasan yang turut dikongsi dengan pengguna-pengguna yang lain. Maka dengan itu ia akan membentuk satu rangkaian pengukuran kualiti udara yang lebih besar. Ini adalah bagi membantu orang ramai untuk lebih peka dengan keadaan kualiti udara di bandaraya masing-masing.
Usaha untuk mempertingkatkan kualiti udara di bandaraya ini juga disambut baik oleh semua lapisan maysarakat di London. Bukan sahaja usaha seperti ini yang mendapat sambutan, malah banyak lagi perkara yang dilakukan untuk mempertingkatkan kualiti udara termasuk menggunakan kenderaan elektrik dan biogas, penggunaan tenaga solar, angin dan sebagainya.
Raspberry Pi merupakan komputer mikro yang amat unik dan selalu mendapat perhatian dari kami. Walaupun saiznya kecil, ia merupakan sebuah komputer yang lebih kuat berbanding dengan komputer-komputer peribadi era-80 an. Maka bagi yang ingin mempelajari teknologi komputer dengan lebih lanjut, menguasai Raspberry Pi merupakan satu kemahiran yang penting.
Salah satu projek yang ingin diketengahkan hari ini adalah teknik pengambaran seperti di dalam filem Matrix yang juga dikenali sebagai “bullet time effects”. Teknik pengambaran ini yang memakan belanja yang besar untuk dihasilkan boleh juga dihasilkanmenggunakan Raspberry Pi dengan belanja yang jauh lebih murah.
Menggunakan 48 buah komputer Raspberry Pi, seorang pereka Andrew Robinson menyusun komputer tersebut di dalam bentuk bulatan supaya ianya boleh mengambil gambar dalam masa yang sama. Gambar-gambar yang diambil melalui setiap Raspberry Pi ini kemudiannya akan disusun supaya dapat menghasilkan video dengan kesan “bullet time effects”.
Susunan yang menyerupai 'Large Hadron Collider'.
Sebuah unit PiFace Snap yang diubah kepada sebuah unit yang lebih besar.
Setiap unit disusun untuk membentuk gelungan kamera Pi.
Sememangnya projek ini menelan belanja yang agak besar, namun berbanding dengan menggunakan peralatan asal dan kamera biasa ia adalah jauh lebih mahal. Ini kerana selain daripada komputer Raspberry Pi, anda juga memerlukan 48 buah modul kamera Pi pula, kira-kira 1/3 batu panjang ‘Ethernet cable’, SD cards dan sebagainya.
Selain daripada memasang kamera-kamera tersebut di dalam bentuk bulatan, ia juga perlu dikawal dengan menggunakan program komputer khas untuk membolehkan kesemua kamera mengambil gambar pada masa yang sama. Begitu juga dengan penyusunan semula gambar-gambar yang diambil untuk dijadikan video. Tanpa program khas kesemua ini adalah mustahil dalam menghasilkan kualiti seperti yang diinginkan.
Namun begitu tiada apa yang perlu dibimbangkan. Bagi yang ingin mencuba untuk melakukan projek ini sebenarnya semua program yang ditullis menggunkan kod programming Phyton itu sebenarnya telahpun sedia dikongsi oleh Andrew Robinson. Malah, komuniti peminat-peminat Rasberry Pi juga amat positif dalam membantu hasil usaha ahli-ahlinya yang lain.
Banyak lagi projek-projek menarik yang boleh dihasilkan dengan komputer mikro ini. Oleh kerana harganya yang agak murah, jadi ia membolehkan anda menggunakannya untuk pelbagai eksperimen mengikut krativiti anda sendiri.
* Anda boleh mengikuti artikel ini secara penuh di Piface Digital.
Rancangan Click dari BBC akan dirakan dalam video 360° sepenuhnya.
Video 360° telah dilancarkan lebih awal oleh laman video terkenal YouTube sejak 2015 lagi. Namun pada masa itu kualiti videonya masih berada pada tahap yang kurang memuaskan. Setelah setahun dilancarkan, video yang membolehkan anda menikmati panorama penuh ini boleh ditonton pada kualiti 4K dan menggunakan peralatan-peralatan VR yang berada di pasaran.
Teknologi ini berkembang dengan pantas semenjak beberapa tahun ini. Kini terdapat pelbagai jenis kamera yang boleh digunakan untuk mengambil gambar 360°. Apa yang membezakan antara kamera ini hanyalah kualitinya gambarnya sahaja. Kamera-kamera ini terdiri daripada beberapa buah kamera yang disusun untuk mendapatkan gambar penuh 360° persekitarannya. Gambar-gambar yang diambil akan disusun (stitching) menggunakan perisian yang seseuai dengan kamera tersebut. Begitu juga untuk menontonnya, anda memerlukan pemain video khas untuk membolehkan anda melihat keseluruhan tempat di mana ia diambil.
Kelebihan Video 360°
Video 360° bukan sahaja mengambil gambar satu kawasan kecil seperti kamera-kamera biasa. Ia turut mengambil keseluruhan kawasan sekitarnya. Ini bermakna, pemerhati boleh memilih untuk melihat ke mana sahaja. Ia memberikan pengalaman seolah-oleh pemerhati sendiri berada di tempat tersebut.
Video seumpama ini membantu orang ramai utuk merasai pengalaman di sesuatu kawasan tanpa perlu berada di tempat tersebut. Teknologi ini membolehkan kita mengunjungi tempat-tempat yang tidak boleh dikunjungi oleh semua atas sebab-sebab keselamatan dan sebagainya. Namun begitu ia tidak membataskan pemerhatian penonton sepertimana kamera-kamera biasa.
Kamera-kamera 360°
Antara kamera-kamera awal.
Perubahan teknologi kamera 360° juga berkembang dengan baik di mana dalam masa beberapa tahun sahaja kamera sebegini boleh menghasilkan gambar pada resolusi 4K (antara kualiti gambar video terbaik setakat ini – 8K masih lagi dalam pembangunan untuk orang ramai). Jadi yang membezakan antara kamera-kamera ini hanyalah kualti gambar yang diambil namun masih lagi berkeupayaan menghasilkan pemandangan 360°.
Antara kamera-kamera bersaiz kecil dan untuk kegunaan persendirian (juga antara kamera-kamera awal) adalah seperti Geonaute, Giroptic, Centr Cam, Bubl, 360° Fly dan Tamago. Kamera-kamera ini selain bersaiz kecil ia mudah digunakan untuk keungaan individu.
Manakala hari ini lebih banyak pilihan kamera berada di pasaran. GoPro sahaja mempunyai beberapa jenis kamera berkeupayaan untuk menghasilkan video 360°. Apa yang menarik kamera-kamera GoPro ini adalah ia boleh dipasang dan ditanggalkan mengikut pemegang (mount) yang digunakan. Jadi para pengguna boleh memilih jenis kamera dan pemegang dengan kualiti video yang ingin dihasilkan. Untuk melihat rangkaian penuh kamera 360° dari GoPro.
GoPro PRO10HD untuk kualiti terbaik.
GoPro yang digunakan untuk rakaman Click dari BBC.
Antara kamera terbaik dari GoPro adalah PRO10HD yang menggunakan 10 buah kamera yang berkeupayaan mengambil gambar pada format 4K. Walaupun kamera ini berharga sekitar USD745.00 ia perlu digunakan bersama dengan aksesori-aksesori lain untuk membolehkan video yang diinginkan dihasilkan dengan mudah. Turut disediakan adalah kamera 360° yang boleh digunakan di dalam air seperti 360Abyss-v4, disamping 360H6 holder untuk kegunaan pelbagai cuaca.
Manakala dalam contoh video yang dihasilkan oleh Program Click oleh BBC, kamera GoPro yang digunakan adalah yang menggunakan 6 buah kamera HD 4K. Namun kualiti gambarnya adalah memuaskan. Malah program Click akan disediakan dalam format 360° untuk keseluruhan episodnya. Anda juga berpeluang melawat ke Komplek CERN, Large Hadron Collider – dengan pemandangan 360°.
Peralatan-peralatan menonton video 360°
Video-video 360° boleh ditonton dengan beberapa kaedah. Samada menggunakan komputer, smartphone dan juga peralatan-peralatan VR dengan apps yang sesuai. Peralatan yang betul adalah penting bagi membolehkan anda menikmati pemandangan sekeliling apabila video tersebut dimainkan.
Gambar asal dari kamera yang perlu digabungkan menggunakan software.
Walaupun kualiti gambar video 360° hari ini lebih baik berbanding beberapa tahun dahulu. Teknologi in masih lagi baru dikembangkan kepada orang ramai. Banyak lagi perubahan akan dilakukan dan dalam masa akan datang ia mungkin menjadi salah satu format utama video yang digunakan seperti mana kita beralih daripada teknologi kamera menggunakn filem kepada kamera digital. Apa yang anda perlu lakukan adalah, bersedia untuk menerima perubahan tersebut.
Garam banyak kegunaannya selain untuk kesihatan manusia.
Garam atau nama kimianya adalah sodium chloride (NaCl), merupakan antara bahan yang paling mudah didapati hari ini. Namun suatu masa dahulu ia merupakan antara bahan penting yang sukar diperolehi dan menyebabkan manusia memburunya. Beberapa kerajaan lama melibatkan diri dalam peperangan hanya disebabkan garam dan yang lainnya pula meninggikan cukai bagi bahan penting ini. Walaupun terdapat pelbagai jenis garam di dalam badan manusia, namun garam biasa (NaCl) merupakan garam yang paling utama. Bagi seorang manusia yang sihat, kandungan garam di dalam badan seseorang adalah sekitar 0.4 peratus daripada berat badannya. Ini bermakna bagi seseorang yang mempunyai berat 50 kg, akan mengandungi sekitar 200 gram garam pula – kira-kira 40 sudu teh. Oleh kerana garam ini akan hilang semasa semasa proses perpeluhan dan apabila kita membuang air, maka ia perlu diganti semula.
Garam amat penting kepada kesihatan manusia, namun ia juga boleh mengundang bahaya. Oleh kerana hari ini garam boleh didapati dengan mudah seperti juga gula, ia banyak digunakan di dalam makanan diproses sebagai bahan yang sedikit berbeza seperti (sodium bicarbonate) dan juga MSG (monosodium glutamate).
Melombong garam dari tasik garam di Turki.
Lombong garam lama di Peru, semenjak zaman Inca.
Menghasilkan garam di Bo Kluea, Daerah Nan, Thailand.
Garam memastikan fungsi saraf dapat berjalan dengan baik, selain mengawal kepekatan darah. Garam bertindak sebagai elektrolit (electrolyte) untuk membolehkan isyarat-isyarat penting dihantar dalam mengawal keseimbangan dan tindakbalas badan berfungsi dengan baik. Kekurangan garam menyebabkan badan mempunyai tindakbalas yang lembab dan mungkin mengakibatkan kekejangan otot. Manakala dalam mengawal kepekatan darah pula, garam memastikan jumlah kepekatan air di dalam darah. Jumlah air yang berada di dalam darah mengikut pergerakan garam yang diserap daripada usus daripada makanan yang diambil.
Namun begitu keseimbangan garam di dalam badan amatlah penting. Badan manusia yang sihat akan mengimbangkan kandungan garam dengan beberapa cara seperti berpeluh dan juga melalui air kencing.
Kegunaan Garam
Namun garam bukan hanya digunakan sekadar campuran bahan makanan sahaja. Kegunaan garam kepada manusia merangkumi segala aspek kehidupan harian. Sejak sekian lama garam digunakan untuk proses pengawetan makanan. Kandungan garam yang tinggi boleh mengelakkan pertumbuhan bakteria, kulat dan organisma lain pada bahan makanan yang ingin diawet seperti ikan masin. Ia merupakan kaedah pengawetan makanan yang paling mudah dan antara tertua.
Garam digunakan sebagai bahan untuk mengelakkan air daripada beku di jalan raya di kawasan yang dituruni salji. Air akan membeku pada suhu 0°C atau 32°F akan mengalami penurunan suhu beku apabila ditambahkan garam. Pada kepekatan 10% garam takat bekunya akan menjadi -6°C (20°F), manakala pada kepekatan 20% pula takat bekunya akan turun ke -16°C (2°F).
Garam juga merupakan bahan penting dalam industri untuk menghasilkan ‘caustic soda’ (Sodium hydroxide (NaOH) ) dan juga ‘chlorine’. Di mana bahan-bahan ini pula merupakan bahan penting untuk kegunaan industri lain seperti penghasilan kertas, tekstil, PVC dan plastik, air minuman, sabun dan pembersih serta pembersih sistem pembentungan. Keperluan dunia untuk Sodium hydroxide ini pada tahun 2004 sahaja adalah sekitar 51 juta ton.
Melombong garam dengan teknik sejatan air laut.
Melombong garam dari lombong bawah tanah.
Garam yang terperangkap di dalam tanah.
Penghasilan Garam
Garam dihasilkan dengan mengeringkan air laut di lombong-lombong garam di seluruh dunia. Namun ada juga mereka yang menghasilkan garam dengan teknik yang lain. Kolam-kolam takungan air laut dibina berhampiran laut untuk membolehkan air disejat dan meninggalkan garam. Garam akan dikumpul dan dibersihkan sebelum diangkut untuk kegunaan manusia.
Selain dari garam yang dikumpul dari sejatan air laut, garam juga dilombong dari lombong garam. Sama juga seperti melombong arang baru, garam dilombong jauh di dalam tanah dengan menggunakan jentera dan peledak (dynamite). Garam lombong ini adalah hasil tinggalan garam yang tertinggal daripada simpanan garam sejak jutaan tahun dahulu.
Selain daripada garam-garam tersebut, garam gunung juga adalah antara garam yang menjadi pilihan manusia. Garam ini pula dikumpul jauh di atas kawasan tinggi pergunungan seperti di Pakistan merupakan batu garam atau halite yang dilombong di Daerah Punjab di Pakistan. Garam gunung ini mempunyai warna yang agak menarik daripada kemerahan, merah jambu dan gabungan kristal putih dan jernih. Garam gunung ini terdiri daripada sodium chloride (95-98%), manakala turut mengandungi polyhalite sebanyak (2 -3%) dan sekitar 10 lagi mineral yang lain. Warna kemerahan garam ini adalah disebabkan oleh kandungan oksida logam (iron oxide).
Garam gunung (salt rock) dari lombong di Pakistan.
Banyak lagi perkara-perkara menarik mengenai garam untuk diketahui. Namun bagi yang berminat bolehlah melakukan carian yang lebih untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Garam merupakan bahan yang penting untuk kesihatan dalam masa yang sama juga boleh mengakibatkan kematian pada manusia. Sebelum itu mungkin tidak kurang pentingnya untuk anda mengetahui bahawa garam merupakan antara bahan yang tidak mempunyai tarikh luput.
Apakah kegunaan garam pada anda selain untuk dicampur ke dalam makanan?
Menarik minat kanak-kanak amat mudah sekiranya betul caranya.
Sering kedengaran ibu bapa mengeluh melihat anak-anak mereka yang lebih suka bermain daripada membaca buku dan membuat ulangkaji. Ia menjadi lebih serius apabila anak-anak mereka akan menghadapi peperiksaan penting seperti SPM, PMR, UPSR dan sebagainya? Mengapa anak anda sukar menumpukan perhatian mereka kepada bahan pendidikan?
Sudah menjadi lumrah bagi kanak-kanak melakukan apa yang mereka rasakan menggembirakan bagi mereka. Sebenarnya mengajar kanak-kanak bukanlah sukar. Apa yang penting, bagaimanakah caranya untuk membuatkan bahan pelajaran tersebut lebih menyeronokkan. Tahukah anda, sebagai ibu bapa anda lebih berpeluang untuk mencorakkan minat mereka berbanding guru mereka di sekolah?
Kanak-kanak mudah mengikut apa yang anda lakukan berbanding apa yang anda katakan.
Mari kita lihat beberapa eksperimen mudah yang anda boleh lakukan kepada anak-anak anda yang membuatkan mereka tertanya, “bagaimanakah anda melakukannya?”. Ini adalah salah satu kaedah yang menarik dan menyeronokkan apabila dilakukan bersama-sama seisi keluarga. Eksperimen-eksperimen mudah ini membuktikan anda juga mempunyai kemahiran dalam membuktikan sesuatu.
Telur Terapung
Bahan-bahan:
·Telur ·Air ·Garam ·Gelas (yang membolehkan telur terapung)
Sebaiknya sediakan dua biji gelas dan dua biji telur. Masukkan air biasa ke dalam gelas yang pertama. Manakala cairkan sehingga 6 sudu besar garam ke dalam gelas yang kedua. Jangan isikan terlalu penuh bagi membolehkan telur dimasukkan kemudiannya.
Minta anak anda memasukkan telur ke dalam gelas yang pertama; dan lihat hasilnya. Anda akan memasukkan telur ke dalam gelas yang kedua; dan lihat hasilnya pula. Bincangkan bersama anak-anak anda tentang perkara tersebut. Mulakan dengan bertanya beberapa soalan kepada mereka?
Mencampurkan Air dan Minyak
Bahan-bahan:
·Bekas (gelas atau bekas minuman) ·Air ·Pewarna makanan ·Sedikit minyak ·Cecair pencuci pinggan
Warnakan air dengan pewarna makanan untuk memudahkan kesan eksperimen ini nanti. Kemudian masukkan sedikit air tersebut ke dalam bekas. Masukkan pula minyak ke dalam bekas tersebut. Tutup dan goncangkan bekas; perhatikan apa yang akan berlaku. Minyak dan air akan berpisah semula mengikut kumpulan masing-masing.
Masukkan pula sedikit cecair pencuci pinggan mangkuk, dan goncang semula bekas tersebut; perhatikan semula apa yang akan berlaku. Minyak dan air kini bergabung oleh kerana molekul sabun menarik kedua-dua molekul minyak dan air. Ia dipanggil sebagai bahan pengemulsi dan memudahkan kerja-kerja membersihkan permukaan berminyak.
Mencucuk Kentang Dengan Straw
Bahan-bahan:
·Straw plastik yang masih baik (tidak koyak atau bocor) ·Kentang
Mulakan eksperimen anda dengan menggunakan straw yang tidak ditutup hujungnya dan tikamkan kepada kentang. Minta pula anak anda melakukan ini beberapa kali.
Lakukan sekali lagi menggunakan straw yang baru (yang lama boleh digunakan sekiranya masih baik). Kali ini tutup hujungnya menggunakan ibu jari anda. Tikam kentang dengan pantas; perhatikan apa yang berlaku kali ini. Bincangkan bersama anak anda bagaimana perkara tersebut boleh berlaku.
Meletupkan Belon Dengan CO2
Bahan-bahan:
·Belon ·Sedikit air (anggaran 40 ml – 4 sudu besar)) ·Botol air minuman – hujung untuk dimasukkan belon, sebaiknya botol kaca yang kuat. ·Straw atau batang plastik yang panjang seperti ‘chop stick’ ·Jus lemon ·1 sudu kesil ‘baking soda’.
Regangkan belon untuk memudahkan ianya mengelembung. Masukkan 40 ml ari ke dalam botol. Masukkan pula baking soda ke dalam air tersebut dan kacau dengan straw sehingga ianya larut. Masukkan pula jus lemon dan dengan pantas masukkan hujung belon ke muncung botol.
Tindak balas ‘baking soda’ dan lemon akan menghasilkan karbon dioksida (CO2) dan ia akan mengembangkan belon anda sehingga meletup. Sebaiknya ianya dilakukan di luar rumah dan anak-anak anda amat menyukainya.
Minat anak-anak banyak dipengaruhi oleh ibu bapa. Ini kerana anak-anak anda sentiasa memerhatikan setiap perbuatan anda. Agak sukar mengulangkaji pelajaran sekiranya anda hanya menghabiskan masa dengan menonton TV di rumah. Banyakkan berbincang sesekali dengan mereka tentang perkara-perkara menarik mengenai pelajaran dan juga jangan lupa berikan pujian sekiranya mereka menunjukkan kemajuan; berikan sokongan sekiranya mereka tidak dapat memberikan jawapan yang betul pula.