Sabtu, 5 Mac 2016

Kemerosotan Tangkapan Industri Perikanan Berpunca Dari Kesilapan Manusia

Sejumlah 400 ton jack mackerel dalam sekali tangkapan!

Industri perikanan mengalami  kemerosotan teruk akibat daripada penangkapan ikan berlebihan bagi memenuhi permintaan pasaran. Kemajuan awal yang diperolehi oleh industri makanan tidak menitik beratkan tentang keseimbangan punca tangkapan. Sehubungan itu hanya sejak kebelangkangan ini manusia mula sedar bahawa sekiranya ia tidak dikawal, sumber makanan penting dari laut ini mungkin akan lenyap.

Kepesatan industri membolehkan manusia melakukan hampir apa sahaja. Menyebabkan industri perikanan melonjak dengan hasil tangkapan yang sangat tinggi. Penggunaan bot-bot yang lebih besar, pukat-pukat bersaiz gergasi dan juga peralatan moden seperti sonar turut digunakan dalam membantu manusia mendapat tangkapan yang lebih banyak. Industri ini mula melonjak naik bermula dari awal 1800-an dengan industri penangkapan ikan paus untuk bekalan minyak, dan menjelang 1900 an pula kebanyakan spesis-spesis ikan tertentu yang menjadi buruan manusia semakin berkurangan.

Manusia juga sering melakukan tangkapan spesies tertentu, manakala spesies yang lain yang ditangkap secara tidak sengaja akan dibuang semula ke laut, atau dijadikan baja. Ia merupakan satu pembaziran dan juga membawa impak yang sangat buruk kepada ekosistem laut. Pemburuan untuk mendapatkan sirip yu misalnya, di mana nelayan hanya akan mengambil sirip yu itu sahaja manakala bahagian lainnya akan terus dibuang ke laut.

Tangkapan tidak sengaja yang akan dibuang atau dijadikan baja.

Kejadian kematian hidupan laut besar-besaran semakin kerap berlaku.

Penangkapan spesies tertentu sahaja turut mengganggu keseimbangan ekosistem.

Begitu juga dalam pemburuan ikan-ikan lain seperti sardin, cod, herring dan tuna. Pengambilan jumlah ikan yang besar dari laut menyebabkan keseimbangan laut mula terjejas dan menyebabkan pelbagai masalah yang tidak kita fahami seperti punca kematian ikan besar-besaran di Namibia (yang dikatakan berpunca oleh pereputan plankton yang berlebihan akibat kekurangan populasi sardin).

Penggunaan peralatan seperti pukat-pukat yang digunakan dalam industri perikanan pula adakalanya turut menangkap spesies-spesies lain seperti penyu, ikan lumba-lumba atau hidupan lain yang tidak mempunyai nilai komersial. Tangkapan tidak sengaja ini samada dibunuh atau dibuang semula ke laut (yang kebanyakannya mati). Pukat-pukat ini juga adakalanya terlekat pada terumbu karang dan memusnahkannya. Ia merupakan tempat dimana banyak spesies ikan-ikan di laut membiak.

Manakala aktiviti-aktiviti manusia yang lain turut menjejaskan industri perikanan adalah pencemaran disebabkan oleh pembuangan sisa industri, petroleum, perkapalan, pembangunan pinggir pantai dan yang paling membimbangkan adalah sisa buangan plastik di laut. Plastik yang sukar mereput terus berada di tengah lautan dan menjadi ancaman kepada hidupan laut bukan sahaja ikan, malah burung, penyu, singa laut, hidupan-hidupan kecil dan sebagainya. Plastik bukanlah terus dibuang ke laut, namun ia dibawa oleh aliran air mengikuti sungai dan tali air seterusnya berada di laut.

Industri perikanan hari ini beralih kepada penternakan ikan di dalam sangkar. Walaupun ia tidak mampu mengatasi masalah sedia ada, sekurang-kurangnya ia dapat mengelakkan pengambilan ikan secara berlebihan ataupun penangkapan ikan-ikan lain secara tidak sengaja. Penternakan ini turut merangkumi beberapa spesis hidupan lain seperti udang, ketam dan juga kerang-kerangan. Penyelidikan terus dilakukan bukan sahaja untuk mendapatkan hasil yang lebih baik bagi penternakan industri ‘aquaculture’ malah mengesan impak kepada alam sekitar.

Bot-bot nelayan moden mampu menangkap lebih banyak ikan.

Penternakan ikan sangkar di tengah lautan antara usaha baru.

Pusat pemuliharaan ikan salmon di Capilano River Hatchery, Canada.

Telur-telur yang dikumpul untuk ditetaskan.

Selain penternakan ikan di dalam sangkar ini, kerja-kerja konservasi juga turut dijalankan seperti melepaskan anak-anak ikan dan pemuliharaan alam sekitar juga giat dijalankan. Ini turut dibantu dengan program-program pendidikan masyarakat oleh badan-badan kerajaan dan juga swasta. Banyak perkara terus dipelajari dan diselidiki oleh manusia dalam memahami keseimbangan ekosistem lautan ini. Ini turut membawa kepada pengawalan jumlah populasi hidupan yang menular di sesuatu habitat.


Itu adalah sebahagian perkara yang dilakukan di serata dunia. Namun di negara kita, kesedaran ini perlu dipertingkatkan. Kita hanya mampu mengeluh apabila sumber perikanan negara terancam namun tiada usaha yang benar-benar berkesan diambil. Setiap dari kita bukan sahaja bertanggungjawab malah mampu memberikan sumbangan untuk usaha ini, antaranya – kurangkan penggunaan bahan plastik dan tidak melakukan perkara-perkara yang merosakkan sumber hidupan air/laut.






Free Download



Jumaat, 4 Mac 2016

Penjanaan Tenaga Solar Terapung Terbesar di Eropah

Pembinaan loji tenaga suria terapung di Surrey.

Penjanaan tenaga solar terapung yang terdiri daripada 23,000 panel fotovoltan (photovoltaic) sedang dijalankan di permukaan kolam simpanan air Queen Elizabeth II, berhampiran Walton-on-Thames, Surrey.

Keseluruhan binaan ini nanti akan mencapai keluasan 8 kali ganda padang bola dan dijangka mampu menjana sehingga 5.8 juta kilowat jam tenaga elektrik. Tenaga tersebut akan digunakan sebagai sebahagian kuasa untuk kerja-kerja proses rawatan air di loji rawatan air berdekatan.

Thames Water iaitu pengendali loji air berkenaan meyasarkan kerja-kerja akan siap menjelang akhir March nanti. Lokasinya pula terletak kira-kira 8 batu (13 km) daripada lapangan terbang Heathrow. Keseluruhan keluasan pelampung yang digunakan akan mencapai sehingga 57,500 meter persegi.

Dari segi penghasilan tenaga pula ia akan menghasilkan tenaga yang mencukupi untuk membekalkan kuasa bagi kegunaan untuk 1,800 buah rumah. Loji penghasilan tenaga solar ini pula akan diselenggarakan oleh Syarikat Lightsource.

Pemasangan panel-panel suria oleh para pekerja.

Panel-panel yang diturunkan ke dalam air.

Mengikut jurucakap bahagian pengurus tenaga bagi Thames Water, Angus Berry, pembinaan penjanaan tenaga solar tersebut dapat membantu syarikat tersebut untuk beroperasi secara lebih lestari.

Penghasilan tenaga solar terapung terbesar di Eropah sebelum ini dibina di Hyde, Greater Manchester. Ia berkeluasan sehingga 45,500 meter persegi. Kedua-dua ladang penghasilan tenaga suria ini pula adalah jauh lebih kecil berbanding dengan penghasilan tenaga suria terapung di dunia.


Ladang tenaga suria terapung terbesar dunia dibina oleh Syarikat Kyocera yang akan dibina di permukaan Empangan Yamakura di Chiba Prefecture dengan keluasan yang mencecah sehingga 180,000 meter persegi apabila siap kelak.

Ladang tenaga suria terapung Godley Reservoir di Hyde.
Ladang tenaga suria yang akan dibina oleh Kyocera.


Free Download



Khamis, 3 Mac 2016

Kemunculan Semula Kapal Titanic II Akan Belayar Pada 2018

Kapal Titanic II dijangka akan mula belayar pada tahun 2018.

Titanic merupakan antara yang paling bersejarah di dunia kerana bukan sahaja dibina dengan kehebatan jurutera pada masa tersebut, malah ia tengelam pada pelayaran pertamanya semasa dalam perjalanan daripada Southampton ke New York pada April 1912. Walaupun ia membawa banyak kenangan pahit kepada semua mangsa terlibat juga kepada dunia, namun masih ramai di antara kita yang ingin merasa peluang untuk melihat dan berada di atas kapal bersejarah ini.

Maka dengan itu seorang billionaire Australia iaitu Clive Palmer telah merancang untuk membina semula replika yang sama seperti Titanic dan akan dinamakan sebagai Titanic yang dijadualkan akan mula belayar pada tahun 2018 setelah ianya sedikit lewat daripada jadual asalnya.

Walaupun ia mempunyai rupabentuk yang sama dengan Titanic, Titanic II sudah tentu dilengkapi dengan keperluan masa kini dengan prosedur keselamatan yang diperbaiki. Selain itu juga ia turut dilengkapi dengan sistem navigasi satelit, sistem kawalan digital dan sistem radar yang bersesuaian dengan keperluan navigasi abad ke-21.

Kapal Titanic yang asal pada tahun 1912.

Perbandingan saiz Titanic dengan kapal peranginan hari ini.

Perbandingan saiz dari hadapan.

Rupa bentuk binaan Titanic (biru) dan Titanic II (merah).

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Blue Star Line ini akan menyediakan tiket-tiket bagi kelas pertama, kedua dan ketiga. Ia akan mempunyai 9 tingkat dan 840 kabin yang berupaya untuk membawa 2,400 penumpang dan 900 orang anak kapal. Kapal ini juga bakal dilengkapi dengan bilik mandi Turki (Turkish baths), kolam renang dan juga gimnasium.

Kapal Titanic II dibina oleh CSC Jinling, Nanjing, China dan kapal ini juga tidak akan beroperasi pada laluan sepertimana Titanic asalnya iaitu Southampton ke New York, tapi sebaliknya dari Jiangsu, China, ke Dubai di United Arab Emirates.


Walaupun projek pembinaan semula Titanic II mendapat pelbagai reaksi orang ramai antara sedih dan gembira. Namun mungkin ia merupakan satu-satunya peluang untuk kita melihat semula kapal yang penuh sejarah ini. Namun bagi Blue Star Line, ia merupakan peluang perniagaan yang baik sebagai pemula kepada ideanya ini.



Free Download



Rabu, 2 Mac 2016

Sel Suria Yang Lebih Ringan, Kecil Namun Jauh Leibh Baik

Solar sel yang sangat nipis dihasilkan oleh MIT.

Tenaga Solar sebelum ini merupakan salah satu tenaga yang cukup mahal kerana kadar efisyensi yang rendah. Namun begitu ia terus dimajukan bagi memberi peluang kepada teknologi ini untuk terus berkembang dan menunjukkan potensinya. Sehingga kini, tenaga solar merupakan antara tenaga yang paling popular untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Baru-baru ini sel suria yang amat nipis dan ringan dihasilkan oleh para pengkaji dari MIT dengan ketebalan 1/50 daripada ketebalan rambut manusia. Ia mampu menghasilkan tenaga sebanyak 6 Watt bagi setiap gram. Malah ia sangat nipis dan ringan dan boleh ditampung oleh gelembung buih tanpa pecah. Ini memberi peluang untuk lebih banyak peralatan elektronik kecil menggunakan tenaga solar secara terus di masa-masa akan datang.

Walaupun teknologi tenaga solar antara teknologi tenaga yang semakin giat diusahakan dengan teknik seperti helaian yang dicetak, malah juga dengan semburan pada permukaan sahaja, namun yang tetap menjadi perkara terpenting dalam teknologi tenaga ini adalah kadar tenaga yang mampu dihasilkan berbanding saiz sel suria yang dihasilkan. Sehingga kiri purata sel suri hanya dapat menghasilkan sekitar 15 Watt tenaga bagi setiap kilogram unit yang digunakan. Ini menjadikan rekaan terbaru ini adalah 400 kali ganda lebih baik dari segi penghasilan elektrik.

Ringan dan nipis, boleh ditampung oleh buih.

Ultra Thin Solar Cell, yang dihasilkan pada tahun 2014.

Teknologi solar yang berterusan membolehkan banyak perubahan dilakukan untuk teknologi ini.

Selain itu juga, beratnya yang ringan itu membolehkan ia dipasang kepada pelbagai peralatan terutamanya pada kenderaan seperti kapal terbang yang memerlukan binaan yang ringan. Peralatan-peralatan kecil juga bakal menerima manfaat untuk membekalkan tenaga yang cukup tanpa perlu mengecasnya kepada sumber tenaga lain.

Sebelum ini kumpulan yang sama dengan diketuai oleh penyelidik Vladimir Bulović, dari MIT's School of Engineering, pernah menghasilkan “ultra-thin solar cell’ yang juga bersaiz kecil dan ringan. Melalui pendapat yang menyatakan solar sel boleh dihasilkan dengan saiz yang lebih kecil dan nipis, maka beliau terus menghasilkan solar sel yang lebih nipis ini. Ia adalah menggunakan polymer parylene sebagai tapak yang nipis dan juga DBP (Dibutyl phthalate, material organik) sebagai lapisan penyerap cahaya.


Berikutan dengan penghasilan ini, kumpulan ini dengan yakin untuk menghasikan sel suria dalam skala yang lebih besar walaupun masih banyak usaha yang perlu dijalankan. Ia memberikan potensi yang lebih cerah untuk teknologi sel suria menjadi sebagai salah satu pembekal tenaga elektrik utama pada masa akan datang.



Free Download



Rekaan Kreatif Basikal Bamboo e-bike

Bamboo e-bike rekaan unik daripada buluh.

Adakalanya sesuatu rekaan lebih dari sekadar menyediakan sesuaut fungsi tertentu seperti fungsi, rupabentuk, bahan binaan, kos, penggunaan sumber tenaga dan sebagainya. Begitu juga dengan rekaan Bamboo e-bike yang mempunyai pelbagai ciri rekaan istimewa yang lain dari yang lain.

Bukan sekadar sebuah basikal, ia juga dilengkapi dengan kuasa bateri untuk membantu penunggang menjimatkan tenaga kayuhan apabila perlu. Ia juga dilengkapi dengan beberapa bekas untuk membawa barangan supaya ia boleh digunakan lebih dari sekadar sebuah basikal untuk bersiar-siar. Mendapat jolokan nama “Car Killer” kerana ia mampu berfungsi sama seperti sebuah kereta dengan keupayaan membawa pelbagai barangan.

Rekaan Bamboo bike pada 2010.

Kerangka Bamboo e-bike yang dibina dengan kekukuhan.

Panel LCD yang memaparkan informasi penting.

Dibina oleh syarikat Calfee Design yang telah lama membina basikal dariapda buluh. Cuma kali ini rekaan ‘e-bike’, adalah sedikit berbeza kerana ia dilengkapi dengan bateri untuk membekalkan kuasa elektrik. Kuasa ini bagi membantu, penuggang e-bike untuk membawa lebih muatan.

Rekaan Bamboo e-bike bukanlah sebarangan binaan, kerana ia dibina dengan kekukuhan walaupun hanya berbingkaikan buluh. Setiap sambungan disambungkan menggunakan penyambung yang diperbuat daripada fiber hemp (hemp fiber) dan ‘epoxy resin’. Kuasa pedal adalah dibantu oleh kuasa dari bateri siri 500-watt BionX D pada bahagian roda belakangnya yang dilindungi oleh pelindung tayar yang diperbuat daripada ‘carbon fiber’. Jumlah kuasa bantuan kayuhan dan juga jumlah simpanan kuasa bateri dapat dilihat melalui paparan LCD yang disediakan pada ‘handle’ basikal tersebut.

Setiap komponen pada Bamboo e-bike dibina dengan penuh terperinci menggunakan bahan-bahan berkualiti. Kotak simpanan yang dibina memudahkan pemilik membawa barangan juga dibina menggunakan keluli tahan karat beserta serta satu lagi ruang di bahagian hadapan yang mempu membawa sebuah kotak minuman.

Ruang simpanan belakang.

Ruang simpanan hadapan dan lampu hadapan.

Lampu ekor pada bahagian belakang.

Tayar belakang.

Selain daripada dilengkapi dengan kuasa elektrik, beberapa ciri keselamatan elektronik juga dilengkapi dengan unit basikal ini antaranya adalah penggera elektronik, lampu rendah dan lampu tinggi LED dan dua lampu belakang. Kesemua sistem lampu elektronik akan padam sepenuhnya sekiranya basikal dimatikan, dan mengelakkan penggunaan tenaga daripada bateri.

Unik dan kreatif sekali rekaan Bamboo e-bike ini. Selain merupakan sebuah kenderaan yang ringan dan menjimatkan ia juga kurang mencemarkan alam. Semoga lebih banyak rekaan berkonsepkan seperti ini akan direka untuk masa-masa akan datang dan dalam masa yang sama bagi kita memikirkan akan rekaan berkonsepkan ciri-ciri sebegini.



Free Download



Arkib Blog