Sejenis cicak bersaiz besar “frilled-neck lizard” (Chlamydosaurus kingii ), juga dikenali sebagai ‘frilled lizard’ atau ‘frilled dragon’mempunyai teknik menarik untuk menakutkan musuh. Walaupun ia bersaiz agak besar, namun ia tidak mempunyai senjata seperti bisa mahupun racun untuk mempertahankan diri. Jadi ia menggunakan teknik “menakutkan musuh”, bagi mengelakkan ia dari terus diserang.
Teknik menakutkan frilled lizard ini lebih bersifat menunjuk-nunjukkan dirinya sebagai haiwan yang ganas dan berbahaya. Ia juga menjadikan ia kelihatan lebih besar dari saiz asalnya apabila mengembangkan jumbai (frill) pada lehernya. Melalui pertunjukkan dirinya sebegitu rupa ia setidak-tidaknya dapat melengahkan musuh dari terus menyerang. Sekiranya musuh tidak melarikan diri, ia kemudian akan menyelamatkan diri dengan berlari ke pokok yang berhampiran.
Warnanya kelihatan hampir sama dengan persekitaran. |
Frilled lizard berlari ke pokok yang berhampiran. |
Frilled lizard berasal dari kawasan di Utara Australia dan juga Selatan New Guinea. Walaubagaimanapun ia kadangakala di temui di kawasan padang pasir di tengah Australia. Ia merupakan haiwan “arboreal”, iaitu yang menghabiskan masa di atas pokok berbanding di atas tanah. Ia sesekali turun ke tanah untuk mencari makanan ataupun apabila berlakunya perebutan kawasan dengan cicak yang lain. Dari segi saiz, ia bukanlah cicak yang kecil. Saiz frilled lizard boleh mencapai sehingga 85 cm (2.79 ft) dan ada juga yang mencecah sehingga 3 kaki.
Warna cicak frilled lizard juga tidak menentu, ia bergantung dengan kawasan di mana ia tinggal. Bagi yang tinggal di kawasan bertanah merah, ia akan kelihatan lebih kemerahan, oren dan coklat; manakala cicak yang tinggal di kawasan yang lebih lembab seperti kawasan tropika akan bewarna coklat gelap atau kelabu. Warna ini mungkin sebagai sebahagian daripada penyesuaiannya dengan persekitaran sebagai penyamaran.
Cicak ini menjadikan haiwan-haiwan kecil yang terdiri daripada ‘arthropods’ dan juga ‘vertabrates’ sebagai makananya. Haiwan-haiwan kecil dan juga serangga seperti cicada, kumbang, anai-anai, cicak, tikus dan lain-lain lagi merupakan makanan baginya.
Musuh utama baginya pula terdiri daripada cicak yang lebih besar, ular, dingo dan kucing liar. Walaupun populasinya tidak dianggap sebagai terancam, jumlahnya dikatan semakin berkurang dengan kehilangan habitat selain daripada menjadi makanan kepada kucing liar.
Apa yang menarik, keunikan teknik frilled lizard ini kelihatan sangat menakjubkan sehingga digunakan dalam filem Jurassic Park, di mana dinasor Dilophosaurus menunjukkan perlakuan yang sama sepertinya. Ini membuatkan ia kembali terkenal sebagai haiwan peliharaan. Selain dari frilled lizard, dapatkan anda namakan haiwan-haiwan lain yang menggunakan teknik yang seakan-akan ini untuk menkutkan musuh?