Rabu, 23 Disember 2015

Walaupun Tidak Boleh Terbang, Kasawari…

Kasawari mempunyai warna yang amat menarik dan terang.

Kasawari atau ‘cassowaries’ merupakan burung yang tidak boleh terbang sama juga dengan beberapa jenis burung lain (bersaiz besar) seperti burung unta (ostrich) dan emu. Walaupun dari segi ketinggian ia merupakan ketiga tertinggi namun dari segi berat ia adalah kedua terberat selepas ostrich. Burung dari genus Casuarius ini merupakan hidupan asal dari hutan tropika di New Guinea dan kepulauan berhampiran serta bahagia Timur Laut Australia.

Burung kasawari mempunyai rupa bentuk yang unik dimana burung jantan dan betina dilengkapi dengan ‘casque’ yang membentuk seperti tanduk. Manakala badannya yang panjang pula memerlukan kaki yang bersaiz besar dan kuat untuk menyokongnya. Ia berwarna biru terang dan biru yang lebih muda di bahagian kepalanya. Ditambah pula dengan bahagian yang berwarna merah, burung ini mempunyai kombinasi warna yang amat menarik apabila dilihat.

Antara spesies kasawari dari jarak dekat.


Burung yang amat terkenal dengan kemampuannya menyerang manusia.

Walaupun burung ini tidak boleh terbang, ia amat ditakuti oleh manusia sekiranya tidak berhati-hati. Ini kerana burung ini terkenal dengan sikapnya yang suka menyerang dan boleh menyebabkan maut. Jadi sekiranya anda menyaksikan burung ini di dalam kurungan, elakkan daripada menyebabkan ianya terperanjat (atau menyebabkan ia kurang selesa). Manakala sekiranya berhadapan dengan burung ini di kawasan liar pula, anda perlulah berhati-hati kerana ia boleh mengejar dengan pantas sehingga  kelajuan 50 km/j (31 mph) di dalam kawasan hutan.

Burung kasawari diselaputi dengan bulu pelepah yang panjang yang kelihatan seperti bulu-bulu yang kasar. Bagi ‘southern cassowaries’ dewasa, saiznya boleh mencapai sehingga 1.5 to 1.8 meter (4.9–5.9 kaki) tinggi, manakala burung betina boleh mencecah sehingga 2 meter (6.6 kaki) dengan berat sehingga 58.5 kilogram (129 lb).

Kasawari jantan dengan anak-anaknya.


Telur burung kasawari berwarna hijau.


Anak-anak burung yang masih kecil mempunyai bulu yang bercorak.

Kedua-dua burung jantan dan betina mempunyai topi di kepala yang dipanggil sebagai ‘casque’ sama juga seperti yang terdapat pada burung enggang (hornbill). Topi pada kepalanya ini adalah diperbuat daripada bahan yang seolah-olah seperti span yang diselaputi dengan keratin. Walaupun agak keras, ‘casque’ ini agak lembut di bahagian tengahnya. Tiada yang dapat memastikan kegunaan sebenar topinya ini, samada untuk tujuan perlindungan, peragaan atau mempunyai fungsinya yang lain.

Antara keunikan lain burung kasawari adalah, penjagaan telur burung dilakukan oleh burung jantan sedari mengeram sehinggalah setelah menetas. Tempoh pengeraman ini mengambil masa selama 60 hari. Setelah itu penjagaan anak-anaknya ini akan diteruskan oleh burung jantan sehingga 16 bulan, namun kebiasaannya adalah di antara 9 bulan hingga 10 bulan sahaja.

Terdapat 4 spesies burung kasawari di mana satu di antaranya telah pun pupus.

Southern cassowary atau ‘double-wattled cassowary’, Casuarius casuarius, terdapat di Selatan New Guinea, Timur Laut Australia dan di Aru Islands, kebanyakannya di kawasan-kawasan tanah rendah.

Dwarf cassowary atau ‘Bennett's cassowary’, Casuarius bennetti, boleh didapati di New Guinea, New Britain,  dan Yapen, terutamanya di kawasan tanah tinggi.

Northern cassowary atau ‘single-wattled cassowary’, Casuarius unappendiculatus, boleh didapati di Utara dan Barat New Guinea dan Yapen, terutamanya di kawasan tanah rendah.

Casuarius lydekki, iaitu spesis kasawari yang telahpun pupus.

Burung kasawari merupakan burung yang amat unik sama juga dengan beberapa spesies burung lain yang tidak boleh terbang seperti emu, rheas, ostrich, kiwi, dan yang telah pupus seperti moa dan elephant birds. Antara perbezaan ketara burung ini dengan spesies-spesies yang lain adalah ia tinggal di kawasan hutan berbanding dengan kawasan terbuka seperti ostrich, emu dan rhea.



Burung ini amat agresif apabila diganggu. Maka adalah lebih baik anda berhati-hati untuk mengelakkan provokasi ke atasnya. Ia bukan sahaja mempunyai tendangan kaki yang kuat, malah kuku kaki nya yang tajam dengan mudah boleh mengakibatkan kecederaan yang serius. Ia adalah antara burung yang terkenal yang boleh menyebabkan kematian manusia dan masyarakat asli di mana ia tinggal. Namun begitu ia tetap merupakan burung yang amat unik dan memiliki keistimewaan tersendiri.




Free Download



Selasa, 22 Disember 2015

Melancong ke Penjuru Angkasa

World View akan membawa pelancong ke penjuru angkasa.

Jauh perjalanan, luas pengalaman; mungkin itulah yang menyebabkan mengapa ramai yang sanggup melalui perbagai cabaran mengharungi halangan untuk menikmati pemandangan dan pengalaman yang masih belum dirasai di dalam hidup. Kini bidang pelancongan bukan sahaja meliputi tempat-tempat menarik di muka bumi, malah telah menjangkau ke angkasa.

Pelancongan angkasa bukanlah sesuatu perkara yang baru dan ia telah dimulakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kos yang dibayar amatlah mahal iaitu antara $20 juta sehinggalah $40 juta seorang. Memandangkan masih terdapat permintaan untuk pelancongan angkasa ini, semakin banyak syarikat-syarikat yang bekerja keras dalam usaha untuk menyediakan peluang bagi orang ramai merasai pengalaman berada di penjuru angkasa.

Kapsul yang akan memuatkan pelancong didalamnya.

Persiapan sebelum menerbangkan belon ke angkasa.

Selain daripada penerbangan menggunakan kapal angkasa (seperti mana yang digunakan oleh angkasawan), syarikat persendirian seperti Virgin Galactic, yang mengguankan SpaceShipOne dalam menyediakan kemudahan ini. Namun begitu untuk satu lagi kaedah yang mungkin akan menjadi popular sedikit masa lagi adalah menggunakan belon.

Syarikat yang akan menawarkan kemudahan ini nanti antarnya adalah World View Enterprise yang merancang untuk memulakan perkhidmatan ini menjelang tahun 2017. Walaupun menggunakan kaedah ini pelancong akan hanya mencapai ketinggian 32 km daripada permukaan bumi berbanding angkasa yang berada 100 km dari permukaan bumi. Namun ia masih lagi merupakan satu pengalaman beharga di mana keadaan bumi yang melengkung dapat dilihat pada ketinggian ini.

Pemandangan belon World View pada ketinggian 32 km dari bumi.

Pemandangan menaiki belon World View.

Daripada ujian yang dijalankan.

Mungkin ada pembaca yang pernah terbaca mengenai ujian persiapan yang dilakukan oleh syarikat ini pada Jun 2015 yang lalu. Terjunan dari ketinggian yang sama juga pernah dilakukan oleh Felix Baumgartner di dalam acara ‘Jump From The Edge of Space’. Penerjunan itu bukanlah sekadar satu perkara yang akan dilakukan tanpa tujuan- di mana yang akhirnya akan menyumbang kepada satu lagi peluang eksplorasi baru.

Sama-sama kita nantikan peluang untuk melancong menggunakan belon yang unik ini yang akan dibuka untuk tempahan pada 2016 dengan tiket-tiket yang berharga jauh lebih murah iaitu USD 113,535 seorang. Sudi-sudikan!



Free Download



Isnin, 21 Disember 2015

Hidupan Paling Tahan Lasak – Water Bear

Tardigrades atau 'water bear' mampu bertahan untuk keadaan yang extreme.

Hidupan paling tahan lasak bukanlah haiwan yang besar dan ganas tetapi adalah sejenis hidupan yang amat kecil dikenali sebagai Tardigrades atau juga digelar sebagai “water bears” atau “moss piglets”. Hidupan kecil istimewa ini bersaiz amat kecil namun ketahanannya terhadap pelbagai keadaan yang ‘extreme’ tidak dapat ditandingi oleh hidupan-hidupan lain di bumi.

Hidupan kecil istimewa ini kali pertama dikesan oleh seorang pastor German iaitu Johann August Ephraim Goeze pada tahun 1773. Ia diberi nama Tardigrada (bermaksud “melangkah perlahan”) oleh seorang biologist Itali bernama Lazzaro Spallanzani. Ketahannya membolehkan ia didapati hampir di semua keadaan di bumi dari puncak gunung, di dalam lautan yang dalam, hutan tropika dan juga Antartik.


Rupa bentuk penuh tardigrades.

Tardigrades dilihat di bawah mikroskop elektron.

Tardigrades amat kecil dengan saiz antara 0.5 mm (0.020 in) apabila dewasa. Mempunyai bentuk yang sedikit membulat dan 4 pasang kaki. 3 pasang kakinya digunakan untuk bergerak manakala sepasang kaki lagi digunakan untuk memegang sesuatu. Tardigrades biasanya menghuni pada kawasan berlumut (mosses) dan juga lichens dan menjadikan sel tumbuhan, algaed dan juga invertabrate yang kecil sebagai makanannya. Ia juga merupakan hidupan yang telah menghuni bumi sejak jutaan tahun dahulu dengan fosil yang dijumpai berumur 530 juta tahun dahulu

Terdapat sejumlah 1,500 spesis tardigrades yang pernah disenaraikan dan mendiami kawasan dari Himalaya (pada aras 6,000 m (20,000 kaki)), sehinggalah kedalaman lautan (bawah paras 4,000 m (13,000 kaki)) selain daripada kawasan kutub dan juga khatulistiwa.

  • Berikut adalah beberapa ciri-ciri ketahanan tardigrades;
  • Suhu sehingga serendah -200 °C (-328 °F) dan sehingga setinggi 151 °C (304 °F).
  • Dibekukan di dalam blok ais
  • Kekurangan Oksigen
  • Kekurangan air sehingga tempoh 10 tahun
  • Tahap radiasi sinar-X 1000X daripada tahap berbahaya kepada manusia
  • Bahan kimia berbahaya
  • Alkohol yang mendidih
  • Tekanan rendah vakum, seperti di angkasa
  • Tekanan tinggi (sehingga 6X tekanan pada kedalaman lautan terdalam)

Tardigrades dilihat dengan lebih jelas.

Tardigrades dikatakan menyerupai beruang - dalam saiz yang amat kecil.

Telur tardigrades.

Tardigrades merupakan antara hidupan yang diuji di angkasa melalui projek Biokis yang ditaja oleh Italian Space Agency untuk melihat kesan daripada penerbangan angkasa bagi beberapa hidupan mikroskopik. Spesis yang diuji tersebut adalah dari spesis ‘Milnesium tardigradum’, yang diuji pada tahun 2007 melalui misi ‘European Space Agency (Esa) Foton-M3’.

Melalui eksperimen ini, ia diuji berdasarkan kepadada beberapa pendedahan kepada radiasi ionized, yang diukur menggunakan peralatan yang dipanggil ‘dosimeter’, pada beberapa point disepanjang penerbangan angkasa tersebut.  Menggunakan kaedah ‘molecular biology’ untuk menilai perubahan pada informasi genetik organisma tersebut dan bagaimana sel secara fizikalnya menerima keadaan dehidrasi melampau, yang disebabkan oleh vakum angkasa, serta kesan daripada ‘cosmic radiation’.

Baru-baru ini tardigrades menjadi satu lagi bahan kajian penting daripada bahan molekul berkaca yang dihasilkannya. Kajian yang dijalankan oleh University of Chicago ini adalah untuk melihat potensi bahan ini untuk mempertingkatkan kecekapan LED, sel suria dan juga gentian kaca (fiber optic).


Jadi tanpa kita sangka, hidupan yang sekecil ini juga adalah yang mampu bertahan untuk keadaan yang begitu exreme. Tanpa pemerhatian yang terperinci, kita mungkin terlepas pandang akan keistimewaannya dan tidak dapat mempelajari manfaat darinya pula. Sebab itulah, kita perlu terus memerhati dan membuat tinjauan untuk setiap perkara.



Free Download



Ahad, 20 Disember 2015

Mengenali Ikan Paling Kecil di Dunia (Paedocypris progenetica)

Paedocypris progenetica
Paedocypris progenetica dikenali sebagai ikan terkecil setakat ini.

Setakat ini ikan Paedocypris progenetica merupakan ikan terkecil yang dikesan oleh manusia sejak lebih dari sedekat lalu. Ikan kecil yang merupakan spesis endemic di Sumatra, Indonesia ini mejadikan paya gambut dan sungai berwarna gelap sebagai habitatnya. Jadi adalah agak sukar untuk manusia menemuinya dengan cara hidupnya ini.

Ikan ini mempunyai saiz yang kecil iaitu dengan saiz ikan dewasa betina boleh mencapai sehingga saiz 10.3 mm (0.41 in), manakala yang jantan pula akan mencapai saiz sehingga 9.8 mm (0.39 in). Namun begitu spesimen terkecil yang diperolehi adalah ikan betina dewasa dengan saiz hanya 7.9 mm (0.31 in). Ikan ini juga merupakan pemegang rekod vertebrata terkecil sebelum ianya dirampas oleh sejenis katak  Paedophryne amauensis. Adakah lagi haiwan vertabrata yang lebih kecil dari ini? Siapa tahu!


Mempunyai badan yang lutsinar.

Pandangan dari pelbagai sudut.

Paedophryne amauensis
Paedophryne amauensis merupakan vertabrata terkecil di dunia (setakat ini).

Ikan yang mempunyai saiz kecil ini sudah tentu menpunyai kelebihannya tersendiri yang di antaranya adalah keupayaannya menghuni sungai dengan air yang agak keruh dengan pH air adalah sekitar pH3, iaitu pada kadar yang 100 kali lebih berasid dari air hujan. Namun begitu, bersekitaran paya Sumatra ini dijangkakan masih mempunyai banyak spesis yang tidak diketahui – kerana sebelumnya disangka ia tidak dihuni oleh banyak hidupan.

Ikan Paedocypris progenetica mempunyai badan yang hampir lutsinar, jadi organ dalamannya boleh dilikat dengan jelas. Ia kekurangan rangka tengkorak yang menyebabkan otaknya tidak dilindungi oleh tulang. Mungkin itu adalah antara kelebihan yang diperolehinya daripada tinggal di dalam air yang keruh (kurang ditembusi oleh cahaya matahari).


Saiz vertabrata (ikan) terkecil sebelum ini adalah dipegang oleh spesis Indo Pacific Goby dengan saiz 8 mm. Walaupun kita menemui sekumpulan haiwan-haiwan ini, ini bukan bermakna kita telah menemui satu jawapan yang pasti. Ya, pencarian akan diteruskan dan kita tidak boleh terus berpuas hati dengan pencapaian yang ada. 

Specimen di dalam tabung kecil.

Saiz ikan berbanding kuku manusia.




Free Download



Sabtu, 19 Disember 2015

Keajaiban Tasik Baikal Russia

Tasik Baikal yang membeku pada musim sejuk.

Tasik Baikal (Lake Baikal: Russian: о́зеро Байка́л, tr. Ozero Baykal) merupakan sebuah tasik air tawar yang terletak di Selatan Siberia, di antara Irkutsk Oblast dan juga Buryat Republic. Ia merupakan tasik air tawar yang terpaling dalam di dunia dan mempunyai isipadu air yang paling banyak. Tasik ini telah diwartakan sebagai “UNESCO World Heritage Site” pada tahun 1996 menandakan ianya sebagai salah satu lokasi penting bagi penduduk dunia.

Tasik ini mempunyai pelbagai keistimewaan dan keunikan dari segi geologi, flora dan faunanya, malah ia turut dikelilingi dengan aktiviti manusia yang mempengaruhi keadaan di tasik tersebut. Oleh kerana ia merupakan tasik air tawar terdalam, ia juga dihuni oleh flora dan fauna yang amat unik yang hanya terdapat di tasik ini – antaranya adalah singa laut air tawar  ‘Baikal seal’ atau ‘nerpa’ (Pusa sibirica).

Tasik Baikal dari angkasa.

Persekitaran tasik yang amat cantik.

Tasik ini terbentuk daripada pergerakan kerak bumi (Baikal Rift Zone) yang bergerak dari antara satu sama lain. Ini menghasilkan sebuah tasik yang berukuran 636 km (395 mi) panjang dan 79 km (49 mi) lebar yang menghasilkan tasik berkeluasan 31,722 km2 (12,248 sq mi) seterusnya merupakan tasik air tawar yang paling luas di Asia. Ia juga mempunyai kedalaman sehingga 1,642 m (5,387 ft). Pergerakan kerak bumi di sini masih lagi aktif dan menyebabkan tasik ini melebar pada ukuran 2 cm (0.79 in) setahun.

Persekitaran tasik ini dipenuhi dengan gunung ganang. Manakala terdapat sejumlah 330 buah sungai yang mengalir ke dalamnya antaranya adalah  Selenga River, Barguzin River, Upper Angara River, Turka River, Sarma River, dan juga Snezhnaya River. Manakala hanya terdapat satu sungai yang mengalir keluar darinya iaitu Angara River. Walaupun ia mempunyai kedalaman yang menakjubkan, air di Tasik Baikal mempunyai kandungan Oksigen yang lebih baik berbanding dengan kawasan-kawasan lain seperti di Lake Tanganyika ataupun di Black Sea.

Anjing laut air tawar yang unik di Baikal.

Haiwan yang terdapat di sekitar tasik.

Amphiphod yang terdapat di dalam Tasik Baikal.

Oleh kerana ia terletak jauh di utara, sebahagian besar tasik ini akan diliputi oleh ais pada musim sejuk. Namun begitu ia turut dilengkapi dengan lebih daripada 1,000 spesis tumbuh-tumbuhan dan 2,500 spesis haiwan (yang berjaya dikesan setakat ini). Apa yang menariknya lebih daripada 80% hidupan di sini adalah unik (endemic) bagi Tasik Baikal sahaja.

Terdapat sekitar 60 spesis ikan di sini dan lebih daripada setengah daripada jumlah itu merupakan spesis yang hanya terdapat di sini antaranya adalah kumpulan ikan dari family Abyssocottidae, Comephoridae, Cottocomephoridae dan lain-lain lagi. Ia merupakan ikan-ikan yang tinggal sehingga ke dalam antara 100 – 500 m  (330–1,640 ft). Ikan-ikan ini turut menjadi sumber makanan bagi penduduk di persekitaran tasik antaranya adalah dari spesis omul (Coregonus migratorius) yang juga merupakan spesis endemic di sini. Ikan-ikan ini akan ditangkap dan diasap untuk memastikan ia boleh disimpan dalam jangkamasa yang lebih lama.

Selain daripada hidupan-hidupan bersaiz besar (vertabrate), spesis-spesis tasik ini juga kaya dengan hidupan invertabrate yang unik. Epischura baikalensis merupakan spesis zooplankton endemic kepada Tasik Baikal yang juga membentuk 80 – 90% biomass di sini. Ia juga kaya dengan hidupan lain yang terdiri daripada cacing turbellarian, siput-siput dan  krustasia amphipod. Kumpulan amphipod ini pula terdiri daripada 350 sub-spesis yang juga endemic bagi tasik ini.

Disebalik keunikan flora dan fauna di tasik ini, aktiviti kehidupan manusia juga terus berkembang di persekitarannya. Peredaran zaman menunjukkan banyak peristiwa berlaku di persekitaran tasik ini dan direkodkan semenjak zaman Dinasti Han lagi iaitu sekitar abad ke-2 BC. Mereka menggelarkan tasik ini sebagai “laut luas” (hanhai). Manakala masyarakat Kurykans, iaitu antara puak Siberian yang mendiami persekitaran ini pada abad ke-6 menamakan tasik ini sebagai “much water” (air yang banyak). Kemudiannya nama ini ditukar kepada “natural lake” (Baygal nuur) oleh masyarakat Buryat dan “rich lake” (Bay göl) oleh masyarakat Yakuts – iaitu antara puak terbesar tinggal di persekitaran tasik ini.

Tasik Baikal pada musim sejuk.

Listvyanka antara bandar di pinggir tasik.

Keretapi yang melewati kawasan Tasik Baikal.

Kawasan ini terus menjadi sebagai salah satu laluan penting bagi manusia apabila ia menjadi laluan bagi Ivan Pakhobov pada 1644 dalam perjalanan dari Angara ke Baikal. Menjelang 1647 beliau sekali lagi menggunakan laluan ini untuk menziarahi  'Tsetsen Khan' berhampiran Ulan Bator. Daripada peristiwa-peristiwa tersebut, kawasan dan lalun ini terus menjadi sebagai sebahagian laluan penting bagi aktiviti manusia.

Menjelang 1896 dan 1902 laluan keretapi  Trans-Siberian Railway di bina di sekitar Barat Daya tasik ini memerlukan 200 jambatan dan 33 terowong. Laluan ini kemudiannya menjadi laluan penting bagi pengangkutan di antara Baikal ke Mysovaya. Kawasan ini kemudiannya menjadi sebahagian kawasan dalam pertikaian antara Czechoslovak legion dan juga  Red Army pada tahun 1918. Oleh kerana permukaan tasik yang beku pada musim sejuk, ia boleh diseberangi dengan berjalan kaki. Namun ia juga merupakan risiko paling tinggi dan kematian boleh berlaku seperti apa yang berlaku kepada sekumpulan tentera Russia yang cuba menyeberangi tasik ini pada 1920.

Vladimir Putin adalah antara manusia yang menyertai aktiviti menyelam tasik ini.

Kapal Selam Mir-1 yang digunakan untuk selaman.

Kawasan persekitaran Baikal terus menjadi tumpuan penting untuk tujuan kajian dan juga ekonomi. Pada tahun 2008, dua kapal selam Mir-1 dan juga Mir-2 dihantar untuk meneroka tasik ini sehingga kedalaman 1,592 m (5,223 ft) untuk menjalankan kajian geologi dan biologi.  Antara kajian lain yang telah dijalankan di sini adalah dalam kajian mengenai ‘neutrino’ yang dijalankan di “Baikal Deep Underwater Neutrino Telescope (BDUNT)” semenjak 1993 lagi.

Pembangunan di persekitaran Baikal terus berkembang dan Rosatom (Rosatom State Atomic Energy Corporation) bercadang untuk membina makmal berhampiran kawasan ini bersempena dengan pelan uranium antarabangsa dan juga melabur sekitar $2.5 billion di kawasan tersebut dan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan di Bandar Angarsk.


Begitulah sebahagian keunikan perkara yang berlaku di persekitaran Tasik Baikal, antara keunikan alam yang menakjubkan. Mungkin selama ini kita kurang mendapat pendedahan mengenainya. Walaupun pembangunan persekitaran kawasan tersebut tidak dapat dielakkan, adalah diharap supaya kita sempat mempelajari tentang keunikan dan kelebihan ekosistem di sana dan lebih menarik lagi sekiranya ia dapat dipelihara dengan selamat untuk kebaikan semua pada masa akan datang.



Free Download



Arkib Blog