Ahad, 13 Disember 2015

Sumbangan Dunia Manga

Populariti manga buka sekadar di Jepun, malah ke seluruh dunia.

Manga (漫画 Manga) atau komik Jepun merupakan antara bahan bacaan popular bukan sahaja bagi golongan kanak-kanak, malah bagi golongan remaja dan dewasa. Malah kepesatan dunia manga turut menjadikan ianya sebagai salah satu media penting bukan sahaja untuk tujuan hiburan, malah adakalanya berunsur pendidikan bagi orang ramai.

Kepesatan dunia manga ini juga turut menjadi penyumbang ekonomi bagi negara matahari terbit itu sehingga berjaya menyumbang sehingga  $3.6 billion pada tahun 2007 dan angka ini terus meningkat pada tahun 2009 iaitu $5.5 billion. Penjanaan ini bukanlah hanya membawa kebaikan bagi negara asal manga ini sahaja, malah turut memberi peluang kepada negara-negara lain untuk proses penerbitan semula dan proses alih bahasa.

Komik-komik majalah Malaysia, suatu masa dahulu.

Kini majalah dengan style 'Manga', lebih diminati.

Industri manga menjadikan para kartunis manga (mangaka) sebagai salah satu kerjaya penting, malah di negara kita juga pelopor komik-komik manga ini semakin mendapat tempat – dengan pertambahan bilangan pelukis manga tempatan yang terdiri dari pelbagai bangsa. Bukan sekadar bakat semata, seorang pelukis manga perlu mempunyai bakat dalam melukis, kreativiti tinggi dalam mereka karater manga, jalan cerita yang menarik, malah mereka juga memerlukan kebijaksanaan bagi memastikan manga yang dihasilkan mempunyai kualiti yang menarik minat pembaca.

Di negara kita majalah seumpama manga juga semakin mendapat perhatian seperti Gempak startz, Utopia, dan Kreko yang menggantikan komik-komik klasik malaysia seperti Gila-gila, Ujang, Gelihati, Batuapi yang pernah menjadi suatu majalah kegemaran ramai suatu masa dahulu. Itu bukan bermaksud dunia komik tanahair tiada masa depan, tetapi lebih kepada bagaimana ianya diselenggarakan selain daripada persembahannya.

Kemunculan bakat-bakat pelukis komik (manga di dalam Bahasa Jepun) Malaysia semakin bertambah baik. Malah dengan kepesatan dunia perhubungan internet juga membolehkan artis-artis komik Malaysia menyumbangkan bakat mereka di dalam dunia komik antarabangsa. Kerjaya ini semakin mendapat perhatian serius golongan muda. Manakala di persada antarabangsa pula kerjaya yang sama telah menghasilkan banyak siri animasi dan filem yang diadaptasi daripada komik/manga pada asalnya.

Manga mempunyai fungsi yang amat unik di Jepun. Iaitu dalam memberikan pendidikan kepada rakyatnya (terutama golongan kanak-kanak). Melalui manga-manga ini dan juga anime, budaya Jepun diberikan keutamaan bagi membantu generasi muda Jepun mengenali dengan lebih mendalam jatidiri mereka. Sebagai contoh yang paling mudah dilihat adalah melalui siri manga terkenal Doraemon yang mula dihasilkan pada tahun 1969 yang merupakan salah satu siri manga paling penting di Jepun yang pada mulanya menyasarkan kepada golongan kanak-kanak pra-sekolah sehinggalah kepada para pelajar di tahap-4.

Dragon Ball, siri manga yang amat panjang.

Doraemon, menjadi manga penting dalam mendidik masyarakat Jepun.

Namun kejayaan siri Doraemon ini bukan sekadar mendidik rakyat Jepun mengenai budaya mereka, malah ia kemudiannya turut mendapat sambutan hebat dari seluruh dunia. Keunikan jalan ceritanya pula, menjadikan siri kartun (manga) Doraemon, sebagai salah satu siri yang bukan sahaja mendidik mengenai kebudayaan Jepun, malah kemajuan dunia teknologi masa akan datang (iaitu menggalakkan kanak-kanak mempunyai imaginasi mereka sesuatu yang baru). Kejayaan Doraemon inilah juga yang menyemarakkan lagi penghasilan manga-manga berikutnya seperti Dragon Ball, Sailor Moon, Detective Conan, Macross, Gundam, Akira, Slam Dunk, Ultraman dan sebagainya sehinggalah kepada  manga-manga yang lebih moden seperti Naruto, Bleach, One Piece dan lain-lain.

Manga dilihat mempunyai pengaruh ke atas para peminat dan juga orang ramai dari pelbagai golongan umur. Malah selain daripada penghasilan animasi (anime), produk-produk berasaskan sesuatu manga juga turut menjadi buruan peminat. Adakalanya, watak-watak kegemaran daripada sesuatu manga/anime digunakan bagi mendidik orang ramai bagi satu-satu kempen tertentu. Jadi di Jepun, pengaruh manga digunakan sepenuhnya lebih daripada hanya sekadar bahan hiburan. Semoga ia juga memberi impak yang  sama kepada negara kita di masa akan datang.


Bagi peminat-peminat manga, anda boleh mendapati manga kegemaran anda secara online dari comics directory.




Free Download



Selasa, 8 Disember 2015

Ikan Kecil Yang Amat Menakutkan

Candiru sukar dilihat di dalam air.

Adakalanya saiz bukanlah menjadi punca sesuatu perkara di takuti sepertimana ikan kecil yang dikenali sebagai candiru ini. Candiru atau ‘candirú’ di dalam Bahasa Spanish (Vandellia cirrhosa) juga dikenali sebagai cañero, toothpick fish, atau vampire fish merupakan spesis ikan parasit dari keluarga sembilang (catfish) dari familly Trichomycteridae. Ikan ini berasal dari Amerika Selatan dan terdapat di lembangan Amazon yang meliputi negara termasuk Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador dan Peru.

Ikan candiru bersaiz kecil dan bewarna jernih menjadikan ia dukar dilihat di dalam air. Walaupun ia biasa merujuk kepada ikan Vandellia cirrhosa, namun ia merangkumi keseluruhan genus Vandellia, subfamily kepada Vandelliinae, dan juga subfamily kepada Vandelliinae dan Stegophilinae.

Mengapakah ikan kecil ini begitu menakutkan? Ikan ini merupakan ikan yang menjadi kisah ngeri bagi penduduk tempatan di sekitar lembangan Amazon dikatakan akan memasuki bahagian kemaluan lelaki dan wanita. Jadi penduduk di sekitar lembangan ini amat menjaga supaya tidak membuang air di dalam sungai – kerana ikan ini dikatakan mengikut bauan yang dihasilkan oleh air kencing manusia, dan masuk ke saluran pembuangan air kencing tersebut. Ia tentunya merupakan pengalaman yang paling mengerikan!


Ikan candiru amat kecil dan bewarna jernih.

X-ray yang menunjukkan ikan candiru telah memasuki bahagian dalam manusia (wanita).

Ia sememangnya merupakan ikan parasit atau ikan yang menghisap darah ikan-ikan yang lain. Ia akan masuk ke bahagian insang ikan-ikan (bersaiz besar) yang lain dan akan menghisap darah ikan tersebut – terutamanya ikan dari spesis sembilang (catfish) iaitu dari family Pimelodidae (Siluriformes).

Kisah ikan ini memasuki bahagian kemaluan manusia terus menjadi kisah yang dianggap sebagai mitos kerana tiada bukti yang kukuh sehinggalah pada tahun 1997. Seorang pemuda berusia 23 tahun telah menjalani pembedahan selama dua jam bagi mengeluarkan ikan tersebut yang memasuki saluran kencingnya. Pembedahan tersebut dilakukan oleh Dr. Anoar Samad yang turut menyimpan specimen tersebut di dalam formalin.

Pada tahun 1999, marin biologist Stephen Spotte melawat ke Brazil untuk menyasat dengan lebih lanjut mengenai kejadian misteri ini. Hasil penyasatan beliau mengenai kejadian ini turut dimuatkan di dalam buku beliau iaitu “Candiru: Life and Legend of the Bloodsucking Catfishes”. Proses penyasatan ini turut melibatkan beberapa sesi temubual bersama Dr. Anoar Samad di rumah dan di tempat kerjanya. Malah Dr. Anoar Samad turut menyerahkan beberapa gambar dan juga rakaman video VHS hasil daripada pembedahan ‘cystoscopy’ yang dijalankan.

Namun hasilnya Stephen Spotte mendapati beberapa percanggahan daripada bukti-bukti yang dikumpulkan seperti saiz ikan yang dikatakan agak besar iaitu 133.5 mm dan diameter kepala yang mencapai sehingga 11.5 mm adalah sukar untuk memasuki saluran kencing yang amat kecil.


Dr. Anoar Samad yang melakukan pembedahan ke atas mangsa.

Ikan candiru yang dikeluarkan dari pembedahan ke atas mangsa.

Dalam kejadian-kejadian lain pula, ikan candiru turut memasuki bahagian kemaluan wanita. Terdapat beberapa kes-kes seumpama ini dilaporkan, tetapi tiada rekod khusus mengenai kejadian yang dipaparkan. Namun begitu ikan ini hanya dikatakan memasuki bahagian saluran kencing manusia (tiada kes yang mengatakan ia memasuki bahagian pembuangan air besar) – kerana ia dikatakan mengikut bauan (ammonia dan urea) yang terdapat di dalam air kencing. *Namun terdapat kajian yang mengatakan ikan ini memburu menggunakan deria pengelihatan pada tahun 2001 – atau mungkinkah hasil kajian ini sendiri yang kurang tepat!


Apa pun kisah mengenai ikan candiru tetap merupaka antara kisah yang paling mengerikan. Ia membuktikan banyak perkara yang perlu kita ketahui dan hormati mengenai alam. Setiap hidupan mempunyai fungsinya masing-masing dalam mengawal keseimbangan ekosistem dan oleh sebab inilah kita tidak seharusnya mengubah keseimbangan tersebut tanpa ilmu yang mencukupi.



Free Download



Isnin, 7 Disember 2015

Spesis Ikan Sembilang Dengan Perisai - Kwi Kwi (Hoplosternum littorale)

Kwi Kwi (Hoplosternum littorale) dengan sisik yang seakan perisai tebal.

Ikan sembilang atau ‘catfish’ merangkumi spesis yang amat besar dan terdapat hampir di semua bahagian di dunia – tetapi sebagai spesis yang berbeza. Kumpulan ikan sembilang atau ‘catfish’ ini dikelaskan kepada ikan-ikan yang mempunyai misai – menyerupai kucing.

Bagi spesis ikan yang dikenali sebagai kwi kwi (Hoplosternum littorale) adalah merupakan spesis ikan sembilang dengan perisai dari family Callichthyidae. Perisai ikan ini agak tebal dan kelihatan jauh berbeza dengan ikan-ikan bersisik biasa mahupun ‘ikan bandaraya’. Ikan ini dikenali dengan pelbagai nama mengikut kawsan Tamuatá, Atipa, Hassar, Cascadu, Busco dan Currito di mana ia berasal iaitu Brazil, French Guiana, Guyana, Suriname, Trinidad and Tobago dan Venezuela.

Ikan kwi kwi seperti juga ikan sembilang.

Turut menjadi hiasan bagi stamp.

Ikan kwi-kwi di pasar untuk dijual.

Ikan yang diletak dengan 'air batu' untuk lebih tahan lama.

Ikan ini boleh mencapai saiz sehingga 24 cm (9.4 in) apabila dewasa. Ikan-ikan jantan pula mempunyai saiz yang lebih besar berbanding betina. Walaupun berasal daripada Amerika Selatan, ikan-ikan ini turut ditemui di Florida – memandangkan ia juga merupakan ikan yang popular sebagai ikan belaan (akuarium). Satu keistimewaan ikan ini adalah ia boleh bernafas melalui insang dan juga melalui ususnya. Kebolehan bernafas melalui usus ini terbentuk setelah 32 hari dari hari menetas.

Ia mampu mencapai usia sehingga 4 tahun dan merupakan ikan yang mencari makanan pada waktu malam dimana makanannya terdiri daripada crustaceans, larva nyamuk dan hidupan air kecil yang lain.

Seperti juga ikan sembilang di negara kita, ikan kwi kwi turut dipelihara bagi tujuan komersial. Ia merupakan sumber ekonomi di delta Amazon dan Orinoco. Manakala di Guyana, French Guiana, Suriname, dan Trinidad, ia merupakan antara makanan yang popular. Namun begitu harga ikan ini boleh mencapai sehinga USD8/kg iaitu satu harga yang dikira agak tinggi.


Ikan bandaraya (Liposarcus ambrosettii) merupakan satu lagi spesis ikan perisai.

Walaupun berperisai, tetap ada pemangsanya.


Free Download



Ahad, 6 Disember 2015

Udang Yang Sesuai Untuk Akuarium

Sexy Shrimp (Thor amboinensis), cantik di dalam akuarium.

Memiliki akuarium merupakan salah satu hobi yang menyeronokkan. Ini kerana dalam penyediaan akuarium anda bukan sahaja terus memelihara hidupan air, tetapi sedikit sebanyak perlu belajar cara hidup hidupan-hidupan ini bagi memastikan ia hidup dengan baik di dalam ekosistem rekaan anda. Ia bukan sahaja memberikan anda peluang untuk mengenali spesies hidupan air dengan lebih dekat, malah anda akan mengaturnya sebaik mungkin bagi menjadikan ia mirip kepada keadaan sebenar mereka di habitat liar.

Pemilihan udang sebagai tambahan kepada hidupan di dalam akuarium anda merupakan salah satu pilihan yang baik. Namun sebelum anda membuat keputusan, anda perlu memastikan beberapa perkara penting untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak anda ingini. Sebelum itu, mari kita lihat apakah kebaikan spesies udang untuk menjadi sebahagian penghuni di dalam ekosistem buatan anda.

- Udang biasanya bersaiz kecil, penambahannya ke dalam akuarium tidak menjadikan akuarium terlalu sesak. Ia juga memerlukan ruang yang sedikit malah selalu bersembunyi di celahan batu dan tumbuh-tumbuhan.

- Udang dapat membantu kerja-kerja pembersihan akuarium dengan lebih baik. Menggunakan penyepitnya yang halus, ia mampu mencapai bahagian-bahagian sukar di dalam akuarium anda terutamanya pada permukaan hiasan akuarium seperti batu-batu dan tumbuh-tumbuhan yang sukar untuk dibersihkan.


- Ia akan membersihkan segala bahan buangan di dalam akuarium dan ini dapat mengurangkan kadar ammonia dan nitrat yang akan menyebabkan air di dalam akuarium bertukar menjadi hijau dengan cepat.

- Walaupun udang boleh membiak di dalam akuarium, ia juga merupakan antara makanan yang paling digemari oleh hidupan-hidupan lain. Jadi larva-larva udang biasanya akan menjadi makanan ikan-ikan yang lain dan jumlah mereka berada dalam keadaan terkawal. Berbeza dengan siput yang mana ia akan terus bertambah dan bertambah!!..

- Udang juga mempunyai warna dan perwatakan yang menarik, jadi penambahan udang sama juga seperti ikan. Malah ada spesies udang yang diternak menjadi hiasan utama seperti spesies udang yang lebih besar.

- Udang mendiami bahagian-bahagian tersorok/sempit di dalam akuarium ataupun kolam dan jarang sekali berada di bahagian yang terbuka. Penambahan udang memastikan bahagian ini sentiasa digunakan untuk mengelakkan pembiakan alga dan parasit lain.


Golden Coral Banded Shrimp (Stenopus zanzibaricus)

 Harlequin Shrimp (Hymenocera elegans)

Pederson Shrimp (Periclimenes brevicarpalis)

Camel Shrimp (Rhynchocinetes durbanensis)

Red Caribbean Pistol Shrimp (Synalpheus species)

Saron Shrimp (Saron sp)


Jadi udang merupakan antara hidupan yang bagus sebagai hiasan di dalam akuarium anda. Cuma bagi memastikan ia dapat hidup dengan sihat, anda perlu memastikan beberapa perkara penting sebelum membeli benih udang untuk akuarium anda nanti.

- Pastikan udang yang ingin dibela dari spesies air tawar atau air masin. Seperti juga ikan, spesies-spesies ini tidak boleh berada di dalam air yang tidak sesuai bagi mereka.

- Udang perlu dikendalikan dengan baik. Semasa pemindahan dari kedai ke rumah (di mana ia akan dipindahkan) pastikan ia tidak terdedah kepada persekitaran yang terlalu berbeza – yang boleh mengakibatkan ia mengalami renjatan/stress. Ini juga boleh menyebabkan kemudaratan pada udang.

- Air yang dirawat dengan baik dapat memastikan udang hidup dengan sihat. Seperti juga ikan, air yang mengandungi klorin dapat membunuhnya. Jadi air yang diperolehi dari sumber paip – perlu dirawat dengan sempurna sebelum ditambah ke dalam akuarium.

- Bagi spesies air masin pula, penjagaan yang lebih khusus adalah diperlukan termasuk keadaan kemasinan air, pH air, suhu air dan pencahayaan juga perlu diambil kira. Segala perubahan perlu dilakukan dengan baik (tidak secara mendadak) kerana ia boleh menyebabkan renjatan/stress pada hidupan di dalam akuarium anda.

- Tidak memberikan makanan berlebihan kepada udang dan hidupan di dalam akuarium. Ia bukan sahaja menyebabkan air menjadi kotor malah boleh menyebabkan hidupan di dalam akuarium anda mati.

Coral Banded Shrimp (Stenopus hispidus)

Blood Red Fire Shrimp (Lysmata debelius)

Blue Body Coral Banded Shrimp (Stenopus tenuirostris)

Camel Shrimp (Rhynchocinetes durbanensis)

Candy Stripe Randalls Pistol Shrimp (Alpheus bellulus) bersama goby.

Jadi hobi seperti ini bukan sahaja memerlukan anda untuk mengawasi keadaan akuarium dan penjagaan air dan makanan, tetapi turut mempelajari gaya hidup hidupan-hidupan tersebut. Ia mungkin sedikit sebanyak mengajar anda, bagaimana haiwan ini memerlukan persekitaran yang begitu sensitif – namun keadaan tersebut mampu disediakan oleh alam selama ini dengan sempurna bagi mereka.
 

Scarlet Skunk Cleaner Shrimp (Lysmata amboinensis)

Tiger Pistol Shrimp (Alpheus bellulus)


Free Download



Arkib Blog