Memiliki akuarium merupakan salah satu hobi yang menyeronokkan. Ini kerana dalam penyediaan akuarium anda bukan sahaja terus memelihara hidupan air, tetapi sedikit sebanyak perlu belajar cara hidup hidupan-hidupan ini bagi memastikan ia hidup dengan baik di dalam ekosistem rekaan anda. Ia bukan sahaja memberikan anda peluang untuk mengenali spesies hidupan air dengan lebih dekat, malah anda akan mengaturnya sebaik mungkin bagi menjadikan ia mirip kepada keadaan sebenar mereka di habitat liar.
Pemilihan udang sebagai tambahan kepada hidupan di dalam akuarium anda merupakan salah satu pilihan yang baik. Namun sebelum anda membuat keputusan, anda perlu memastikan beberapa perkara penting untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak anda ingini. Sebelum itu, mari kita lihat apakah kebaikan spesies udang untuk menjadi sebahagian penghuni di dalam ekosistem buatan anda.
- Udang biasanya bersaiz kecil, penambahannya ke dalam akuarium tidak menjadikan akuarium terlalu sesak. Ia juga memerlukan ruang yang sedikit malah selalu bersembunyi di celahan batu dan tumbuh-tumbuhan.
- Udang dapat membantu kerja-kerja pembersihan akuarium dengan lebih baik. Menggunakan penyepitnya yang halus, ia mampu mencapai bahagian-bahagian sukar di dalam akuarium anda terutamanya pada permukaan hiasan akuarium seperti batu-batu dan tumbuh-tumbuhan yang sukar untuk dibersihkan.
- Ia akan membersihkan segala bahan buangan di dalam akuarium dan ini dapat mengurangkan kadar ammonia dan nitrat yang akan menyebabkan air di dalam akuarium bertukar menjadi hijau dengan cepat.
- Walaupun udang boleh membiak di dalam akuarium, ia juga merupakan antara makanan yang paling digemari oleh hidupan-hidupan lain. Jadi larva-larva udang biasanya akan menjadi makanan ikan-ikan yang lain dan jumlah mereka berada dalam keadaan terkawal. Berbeza dengan siput yang mana ia akan terus bertambah dan bertambah!!..
- Udang juga mempunyai warna dan perwatakan yang menarik, jadi penambahan udang sama juga seperti ikan. Malah ada spesies udang yang diternak menjadi hiasan utama seperti spesies udang yang lebih besar.
- Udang mendiami bahagian-bahagian tersorok/sempit di dalam akuarium ataupun kolam dan jarang sekali berada di bahagian yang terbuka. Penambahan udang memastikan bahagian ini sentiasa digunakan untuk mengelakkan pembiakan alga dan parasit lain.
Golden Coral Banded Shrimp (Stenopus zanzibaricus) |
Harlequin Shrimp (Hymenocera elegans) |
Pederson Shrimp (Periclimenes brevicarpalis) |
Camel Shrimp (Rhynchocinetes durbanensis) |
Red Caribbean Pistol Shrimp (Synalpheus species) |
Saron Shrimp (Saron sp) |
Jadi udang merupakan antara hidupan yang bagus sebagai hiasan di dalam akuarium anda. Cuma bagi memastikan ia dapat hidup dengan sihat, anda perlu memastikan beberapa perkara penting sebelum membeli benih udang untuk akuarium anda nanti.
- Pastikan udang yang ingin dibela dari spesies air tawar atau air masin. Seperti juga ikan, spesies-spesies ini tidak boleh berada di dalam air yang tidak sesuai bagi mereka.
- Udang perlu dikendalikan dengan baik. Semasa pemindahan dari kedai ke rumah (di mana ia akan dipindahkan) pastikan ia tidak terdedah kepada persekitaran yang terlalu berbeza – yang boleh mengakibatkan ia mengalami renjatan/stress. Ini juga boleh menyebabkan kemudaratan pada udang.
- Air yang dirawat dengan baik dapat memastikan udang hidup dengan sihat. Seperti juga ikan, air yang mengandungi klorin dapat membunuhnya. Jadi air yang diperolehi dari sumber paip – perlu dirawat dengan sempurna sebelum ditambah ke dalam akuarium.
- Bagi spesies air masin pula, penjagaan yang lebih khusus adalah diperlukan termasuk keadaan kemasinan air, pH air, suhu air dan pencahayaan juga perlu diambil kira. Segala perubahan perlu dilakukan dengan baik (tidak secara mendadak) kerana ia boleh menyebabkan renjatan/stress pada hidupan di dalam akuarium anda.
- Tidak memberikan makanan berlebihan kepada udang dan hidupan di dalam akuarium. Ia bukan sahaja menyebabkan air menjadi kotor malah boleh menyebabkan hidupan di dalam akuarium anda mati.
Coral Banded Shrimp (Stenopus hispidus) |
Blood Red Fire Shrimp (Lysmata debelius) |
Blue Body Coral Banded Shrimp (Stenopus tenuirostris) |
Camel Shrimp (Rhynchocinetes durbanensis) |
Candy Stripe Randalls Pistol Shrimp (Alpheus bellulus) bersama goby. |
Jadi hobi seperti ini bukan sahaja memerlukan anda untuk mengawasi keadaan akuarium dan penjagaan air dan makanan, tetapi turut mempelajari gaya hidup hidupan-hidupan tersebut. Ia mungkin sedikit sebanyak mengajar anda, bagaimana haiwan ini memerlukan persekitaran yang begitu sensitif – namun keadaan tersebut mampu disediakan oleh alam selama ini dengan sempurna bagi mereka.