Ahad, 6 Disember 2015

Udang Yang Sesuai Untuk Akuarium

Sexy Shrimp (Thor amboinensis), cantik di dalam akuarium.

Memiliki akuarium merupakan salah satu hobi yang menyeronokkan. Ini kerana dalam penyediaan akuarium anda bukan sahaja terus memelihara hidupan air, tetapi sedikit sebanyak perlu belajar cara hidup hidupan-hidupan ini bagi memastikan ia hidup dengan baik di dalam ekosistem rekaan anda. Ia bukan sahaja memberikan anda peluang untuk mengenali spesies hidupan air dengan lebih dekat, malah anda akan mengaturnya sebaik mungkin bagi menjadikan ia mirip kepada keadaan sebenar mereka di habitat liar.

Pemilihan udang sebagai tambahan kepada hidupan di dalam akuarium anda merupakan salah satu pilihan yang baik. Namun sebelum anda membuat keputusan, anda perlu memastikan beberapa perkara penting untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak anda ingini. Sebelum itu, mari kita lihat apakah kebaikan spesies udang untuk menjadi sebahagian penghuni di dalam ekosistem buatan anda.

- Udang biasanya bersaiz kecil, penambahannya ke dalam akuarium tidak menjadikan akuarium terlalu sesak. Ia juga memerlukan ruang yang sedikit malah selalu bersembunyi di celahan batu dan tumbuh-tumbuhan.

- Udang dapat membantu kerja-kerja pembersihan akuarium dengan lebih baik. Menggunakan penyepitnya yang halus, ia mampu mencapai bahagian-bahagian sukar di dalam akuarium anda terutamanya pada permukaan hiasan akuarium seperti batu-batu dan tumbuh-tumbuhan yang sukar untuk dibersihkan.


- Ia akan membersihkan segala bahan buangan di dalam akuarium dan ini dapat mengurangkan kadar ammonia dan nitrat yang akan menyebabkan air di dalam akuarium bertukar menjadi hijau dengan cepat.

- Walaupun udang boleh membiak di dalam akuarium, ia juga merupakan antara makanan yang paling digemari oleh hidupan-hidupan lain. Jadi larva-larva udang biasanya akan menjadi makanan ikan-ikan yang lain dan jumlah mereka berada dalam keadaan terkawal. Berbeza dengan siput yang mana ia akan terus bertambah dan bertambah!!..

- Udang juga mempunyai warna dan perwatakan yang menarik, jadi penambahan udang sama juga seperti ikan. Malah ada spesies udang yang diternak menjadi hiasan utama seperti spesies udang yang lebih besar.

- Udang mendiami bahagian-bahagian tersorok/sempit di dalam akuarium ataupun kolam dan jarang sekali berada di bahagian yang terbuka. Penambahan udang memastikan bahagian ini sentiasa digunakan untuk mengelakkan pembiakan alga dan parasit lain.


Golden Coral Banded Shrimp (Stenopus zanzibaricus)

 Harlequin Shrimp (Hymenocera elegans)

Pederson Shrimp (Periclimenes brevicarpalis)

Camel Shrimp (Rhynchocinetes durbanensis)

Red Caribbean Pistol Shrimp (Synalpheus species)

Saron Shrimp (Saron sp)


Jadi udang merupakan antara hidupan yang bagus sebagai hiasan di dalam akuarium anda. Cuma bagi memastikan ia dapat hidup dengan sihat, anda perlu memastikan beberapa perkara penting sebelum membeli benih udang untuk akuarium anda nanti.

- Pastikan udang yang ingin dibela dari spesies air tawar atau air masin. Seperti juga ikan, spesies-spesies ini tidak boleh berada di dalam air yang tidak sesuai bagi mereka.

- Udang perlu dikendalikan dengan baik. Semasa pemindahan dari kedai ke rumah (di mana ia akan dipindahkan) pastikan ia tidak terdedah kepada persekitaran yang terlalu berbeza – yang boleh mengakibatkan ia mengalami renjatan/stress. Ini juga boleh menyebabkan kemudaratan pada udang.

- Air yang dirawat dengan baik dapat memastikan udang hidup dengan sihat. Seperti juga ikan, air yang mengandungi klorin dapat membunuhnya. Jadi air yang diperolehi dari sumber paip – perlu dirawat dengan sempurna sebelum ditambah ke dalam akuarium.

- Bagi spesies air masin pula, penjagaan yang lebih khusus adalah diperlukan termasuk keadaan kemasinan air, pH air, suhu air dan pencahayaan juga perlu diambil kira. Segala perubahan perlu dilakukan dengan baik (tidak secara mendadak) kerana ia boleh menyebabkan renjatan/stress pada hidupan di dalam akuarium anda.

- Tidak memberikan makanan berlebihan kepada udang dan hidupan di dalam akuarium. Ia bukan sahaja menyebabkan air menjadi kotor malah boleh menyebabkan hidupan di dalam akuarium anda mati.

Coral Banded Shrimp (Stenopus hispidus)

Blood Red Fire Shrimp (Lysmata debelius)

Blue Body Coral Banded Shrimp (Stenopus tenuirostris)

Camel Shrimp (Rhynchocinetes durbanensis)

Candy Stripe Randalls Pistol Shrimp (Alpheus bellulus) bersama goby.

Jadi hobi seperti ini bukan sahaja memerlukan anda untuk mengawasi keadaan akuarium dan penjagaan air dan makanan, tetapi turut mempelajari gaya hidup hidupan-hidupan tersebut. Ia mungkin sedikit sebanyak mengajar anda, bagaimana haiwan ini memerlukan persekitaran yang begitu sensitif – namun keadaan tersebut mampu disediakan oleh alam selama ini dengan sempurna bagi mereka.
 

Scarlet Skunk Cleaner Shrimp (Lysmata amboinensis)

Tiger Pistol Shrimp (Alpheus bellulus)


Free Download



Keunikan Hidupan Spesis Udang

Harlequin Shrimp (Hymerocera elegans), salah satu spesis unik.

Udang spesis haiwan air yang tergolong di dalam kumpulan ‘decapod crustacean’,  merupakan haiwan akuatik kecil yang penting di dalam ekosistem sebagai salah satu agen pembersih. Udang yang menjadikan hidupan-hidupan kecil sebagai makananya ini juga melakukan pembersihan bagi hidupan yang lebih besar samada bagi hidupan air tawar ataupun air masin.

Terdapat pelbagai spesis udang daripada spesis yang kecil sehinggalah kepada yang bersaiz lebih besar. Walupun dalam Bahasa Melayu udang menjadi nama untuk satu spesis yang amat besar, turut merujuk kepada udang galah, udang harimau, udang kertas dan macam-macam udang lagi. Namun begitu banyak sekali spesis udang yang tidak kita kenali dan kepentingan hidupan ini kepada ekosistem akuatik tidak difahami oleh kita semua.

Terdapat ribuan spesis udang yang rata-ratanya menjadikan sisa-sisa hidupan mereput dan hidupan kecil lain sebagai makanannya. Manakala kepentingannya kepada hidupan akuatik lain pula adalah sebagai agen pembersih dan fungsi ini adalah sama seperti spesis ikan ‘cleaner wrasse’, yang melakukan kerja-kerja pembersihan bagi spesis hidupan laut yang lebih besar. Udang-udang pembersih (cleaner shrimp) dan juga ‘cleaner wrasse’ tidak akan sesekali dicederakan walaupun ia masuk ke dalam mulut ikan yang dibersihkannya.

Lysmata amboinensis melakukan kerja pembersiihan pada belut. 

P. holthuisi spesis udang yang lutsinar.

Udang-udang kecil dengan pelbagai warna.

Selain menjadi haiwan pembersih, udang-udang juga menjadi sumber makanan yang penting bagi hidupan laut yang lain termasuklah ikan paus. Spesis udang yang dikenali sebagai ‘krill’, berenang secara berkumpulan dalam kepadatan yang tinggi iaitu sehingga 10,000 per m3, menjadikan ia sebagai makanan yang paling sesuai bagi spesis kan yang makan menggunakan teknik tapisan (paus baleen, manta ray, whale shark dan sebagainya).

Manakala bagi manusia pula udang menjadi salah satu sumber ekonomi penting di mana ia merupakan industri yang bernilai USD50 Billion setahun. Pada tahun 2010 sahaja jumlah penghasilan udang secara komersil adalah 7 juta tan. Industri udang secara komersil ini dikatakan bermula di China pada 1980-an dan menjelang 2007, penghasilan udang secara penternakan telahpun mengatasi udang yang diperolehi secara tangkapan.

Udang-udang yang diternak di Malaysia termasuklah dari spesis udang galah (Macrobrachium resenbergii), udang Red Claw (Cherax Quadricarinatus), udang harimau (Penaues monodon), udang lipan/ udang mentadak/ udang ronggeng (Harpiosquilla harpax), udang ketak (Thenus orientalis), udang karang, udang kara dan mungkin beberapa spesis udang lagi. Namun udang-udang yang biasa dijadikan bahan makanan termasuklah udang geragau, udang minyak, udang bemban, udang pasir, udang kertas, udang putih kecil,  udang putih besar, udang lambouh, udang vannamei dan udang rotan.

Mantis shrimp, menjadi bahan kajian.

Pistol shrimp menghasilkan bunyi yang kuat.

Kerjasama antara goby dan pistol shrimp.

Daripada spesis-spesis tersebut, hanyalah sedikit daripada kumpulan udang yang perlu dikenali. Malah, spesis-spesis udang yang penting seperti ‘mantis shrimp’ (juga tergolong dalam kumpulan udang lipan) dan ‘pistol shrimp’ menjadi bahan penting kajian para saintis atas keistimewaan masing-masing. Jelas disitu banyak lagi spesis-spesis udang yang lain, yang menyimpan seribu satu macam perkara yang kita perlu pelajari dari mereka.


Berikutan dengan itu semoga kita dapat membuka mata tentang pentingnya segala jenis hidupan di dalam ekosistem. Kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar, setidak-tidaknya dapat mengelakkan spesis-spesis lain pupus secara mendadak dan merugikan diri kita sendiri. Ia sudah terlewat apabila menyedari kepentingannya setelah ia tiada!?...

Antara udang yang cantik.

Coleman shrimp dengan warna yang menarik.

Thor amboinensis mempunyai corak menarik.

Tozeuma shrimp dengan rupa dan warna yang unik.



Free Download



Jumaat, 4 Disember 2015

Keunikan Tumbuhan Pemangsa (Carnivorous Plant)

'Venus Flytrap' antara tumbuhan carnivorous yang paling terkenal.

Tumbuhan pemangsa (carnivorous plants) merupakan kumpulan tumbuh-tumbuhan yang memperolehi sumber zat makanan (nutrients) mereka daripada haiwan, serangga, anthropods dan juga hidupan seni yang lain seperti protozoans. Melalui kebolehannya ini, tumbuhan pemangsa mampu hidup pada permukaan tanah yang kurang subur dan tidak sesuai untuk tumbuhan-tumbuhan lain.

Tumbuh-tumbuhan spesis pemangsa ini bukan sahaja mempunyai rupabentuk yang unik, malah ia mempunyai cara mereka sendiri dalam memerangkap mangsanya yang tersendiri. Kaedah yang digunakan pula sesuai dengan jenis-jenis mangsa mereka yang tertentu. Jadi kaedah yang digunakan oleh tumbuh-tumbuhan ini amat menarik untuk dipelajari dan diamati sebagai salah satu contoh interaksi yang baik di dalam alam semulajadi.


 Heliamphora chimantensis spesis seakan periuk kera.

Terdapat beberapa kaedah yang digunakan oleh tumbuhan pemangsa yang biasa digunakan antaranya adalah;

  • Dinding curam/licin yang menyebabkan serangga jatuh kedalam takungan berisi cecair penghadam yang mengandungi enzim atau bakteria penghurai.
  • Penggunaan cecair melekit seperti yang digunakan oleh ‘Flypaper traps’.
  • Pergerakan pantas seperti ‘Venus fly traps’.
  • Kaedah sedutan seakan-akan vakum yang menyedut mangsa.
  • Perangkap, seperti yang digunakan pada bubu atau ‘lobster-pot’, yang menghalang serangga yang masuk daripada menemui jalan keluar.


Keunikan teknik-teknik memerangkap yang digunakan oleh tumbuh-tumbuhan ini amat menarik dan menggambarkan betapa istimewanya tumbuhan ini membentuk kaedah tersebut. Cara yang digunakan hanya sesuai untuk mangsa-mangsa tertentu dan ada juga yang hanya aktif dengan syarat-syarat tertentu – seperti ‘venus fly trap’ yang hanya akan menutup apabila 2 daripada duri sensitifnya disentuh.

Spesis tumbuhan pemangsa ini amat istimewa untuk kita semua amati. Ia dapat mengubah persepsi kita mengenai tumbuh-tumbuhan yang dilihat sebagai hidupan yang kurang aktif (tidak bergerak, tindak balas yang lambat, tidak mampu berfikir dan tumbuh di mana sahaja ia ditanam atau dimana bijinya jatuh). Melalui pengamatan daripada spesis tumbuh-tumbuhan pemangsa ini, jelas menunjukkan tumbuhan mempunyai cara tersendiri untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan bernteraksi denganya untuk mendapatkan kelebihan baginya.

Apabila dilihat kebanyakan tumbuhan pemangsa ini pula, setiap satu mempunyai cara tersendiri yang amat unik. Pada satu ketika kita sendiri manusia tidak terfikir untuk menggunakan kaedah sedemikian rupa untuk memerangkap binatang. Seperti perangkap ‘lobster-trap’, bubu, kertas lalat (flypaper) yang dicipta oleh manusia - telah digunakan oleh tumbuh-tumbuhan ini sejak jutaan tahun dahulu!..


N. bicalcarata dengan duri di atas takungannya.

N. rajah merupakan spesis nephentes terbesar.

Periuk kera - Nepenthaceae (Nepenthes)

Speis tumbuhan pemangsa yang paling mudah dikenali kerana ia terdapat di kawasan tropika, Asia Tenggara dan sesetengahnya adalah tumbuhan unik di Gunung Kinabalu, Borneo seperti Nepenthes rajah yang merupakan spesis terbesar dalam kumpulan ini.

Periuk kera adalah kumpulan tumbuhan pemangsa yang mempunyai cecair takungan di dalamnya dengan dinding curam – bagi menghalang serangga yang jatuh keluar semula. Namun begitu bagi spesis Nepenthes bicalcarata pula ia menambahkan duri/jarum di atas takungnya bagi meningkatkan lagi kebarangkalian serangga untuk jatuh. Ia juga merupakan spesis unik di Borneo.

Terdapat pelbagai saiz dan bentuk periuk kera sahaja dan setiap satunya mempunyai ciri-ciri tersendiri dan kelebihan masing-masing. Nepenthes rajah misalnya bukan sahaja mempunyai takungan sehingga 2.5 liter malah adakalanya turut menjadikan reptilia dan mamalia kecil sebagai makanannya.


Perhatikan jejarum halus di atas permukaan daun 'venus flytrap'.

Venus flytrap (Dionaea muscipula)

Venus flytrap merupakan tumbuhan pemangsa yang paling menyerlah kerana mempunyai tindakbalas yang amat pantas – menjadikan ia seolah-olah seperti haiwan berbanding tumbuhan. Mekanisma pergerakan pada tumbuhan ini amat unik sehingga dapat memerangkap serangga yang pantas seperti lalat.

Bagi memastikan ia memerangkap serangga, terdapat duri-duri sensitif yang berada di dalam pemerangkap yang pada masa yang sama mengandungi cecair yang menarik minat serangga untuk datang. Hanya apabila 2 daripada duri-duri ini disentuh barulah pemerangkap akan ditutup. Manakala serangga yang terperangkap di dalamnya pula akan dihadamkan sehingga kering.

Apa yang menarik venus flytrap akan mengeluarkan bunga yang akan didebungakan oleh serangga juga. Bunga ini akan berada jauh lebih tinggi daripada pemerangkap – untuk memastikan serangga pendebunga selamat pula!


Tentacles melekit pada 'flypaper trap'.

Flypaper traps (Drosera capensis)

Flypaper traps pula menggunakan cecair melekit yang akan menyebabkan serangga tidak dapat melepasan diri. Ia kemudiannya akan menyaluti serangga tersebut sebelum dihadamkan. Ia juga antara tumbuhan yang mempunyai mekanisma pergerakan yang agak pantas (walaupun tidak sepantas venus flytrap).

Terdapat beberapa variasi daripada spesis ini seperti “butterworth” dan juga “sundews” yang menggunakan tentacles bercecair melekit ini. Cuma yang membezakan mereka adalah daun-daun pada spesis ini tidak bergerak sepertimana ‘flypaper trap’. Jadi teknik yang sama mungkin digunakan oleh beberapa spesis dengan sedikit kelainan/keunikan masing-masing.


'Sundew' dengan tentacles melekitnya.

'Butterworth' juga mempunyai teknik yang sama.

Cobra lily (Darlingtonia californica)

Juga dikenali dengan nama-nama lain seperti California pitcher plant atau cobra plant yang merujuk kepada tempat di mana ia hidup dan juga rupabentuknya yang seakan-akan ‘cobra’. Tumbuhan unik ini tidak menggunakan cecair, tetapi kaedah yang mengelirukan serangga yang masuk kedalam perangkapnya tanpa menemukan jalan keluar.

Ia mempunyai lubang di bahagian bawahnya, manakala ruang bumbung yang nipis menjadikan serangga keliru semasa mencari jalan keluar. Perangkap ini adalah seakan-akan bubu atau ‘lobster-trap’ di mana serangga yang masuk tidak akan menemui jalan keluar.

'Cobra plant' mempunyai teknik yang lebih mengelirukan.

'Cobra plant'.


Terdapat banyak lagi spesis tumbuh-tumbuhan pemangsa yang lain dengan ciri-ciri unik masing-masing. Jadi di sini dipaparkan sebahagian daripadanya sebagai panduan untuk anda mencari lebih banyak maklumat mengenainya. Jika tumbuh-tumbuhan mempunyai kemampuan untuk menangkap serangga dan binatang, mungkin banyak lagi keistimewaan mereka yang lain yang tidak kita sedari selama ini. Mungkin di lain masa kita akan menyentuh tentang perkara tersebut pula.




Free Download



Selasa, 1 Disember 2015

Menggemparkan Apabila Tumbuhan Membunuh

Kudu yang mati akibat dari makanan yang biasa menjadi makanannya.

Tumbuhan sering dilihat sebagai hidupan yang kurang agresif, tidak mampu bergerak mahupun mempertahankan diri daripada bahaya. Namun seperti juga hidupan yang lain, tumbuhan mempunyai sistem pertahanan sendiri yang membolehkan ia terus hidup, membiak dan menghasilkan generasi baru yang lebih berpotensi untuk mempertahankan generasi berikutnya.

Semua hidupan termasuk sekecil virus dan bakteria sendiri mempunyai sistem pertahanan mereka masing-masing sebagai perlindungan. Jadi bagi tumbuhan dengan saiz yang lebih besar, sudah tentu mempunyai sistem pertahanan yang lebih baik (sesuai untuk mengatasi ancaman pada mereka pula). Sekiranya diamati dengan lebih dekat, setiap tumbuhan mempunyai sistem pertahanan mereka yang unik dan berbeza antara satu sama lain. Walaupun ia biasanya hanya bertujuan untuk mengelakkan gangguan musuh, adakalanya ia boleh membawa maut.


Devil's Helmet yang menyebabkan kematian Nathan Greenaway.

Pada 6 November 2014, seorang lelaki maut apabila melakukan kerja-kerja membersihkan taman milik seorang jutawan di London. Nathan Greenaway menjadi tidak sihat selepas bersentuhan dengan tumbuhan iaitu ‘aconitum’ atau lebih dikenali sebagai “Devil's Helmet” dan “Monkshood”. Sejenis tumbuhan berbunga ‘purple’ dan kelihatan amat cantik. Beliau kemudiannya di bawa ke hospital dan maut lima hari kemudian berikutan kegagalan organ dalaman.

Tumbuhan juga boleh membunuh haiwan kesayangan anda seperti kucing dan anjing. Tumbuhan yang dikenali sebagai ‘water hemlock’ adalah antara tumbuhan yang boleh membunuh anjing dengan pantas. Seekor anjing yang memakan tumbuhan ini boleh menemui maut di dalam tempoh satu jam. Ia merupakan antara tumbuhan yang paling beracun di bahagian Amerika Utara.


Gambar lengkap 'water hemlock'.

Water hemlock boleh menyebabkan kematian anjing kurang dari sejam.

Sementara itu pula laporan mengenai kematian besar-besaran spesis haiwan pemakan tumbuhan yang dikenali sebagai kudu di Afrika Selatan (sehingga mencapai jumlah 3,000 ekor) menjadi tanda tanya. Wouter Van Hoven iaitu seorang ‘zoologist’ dari Pretoria University telah diminta untuk melakukan siasatan. Punca kematian haiwan ini adalah lebih memeranjatkan kerana ia berpunca daripada makanan yang kebiasaannya tidak mendatangkan apa-apa mudarat kepada haiwan ini.

Akasia, merupakan tumbuhan yang paling tahan di kawasan ragut di benua Afrika. Namun dengan jumlah haiwan ragut yang terlalu banyak ia bertindak balas untuk mempertahankan diri. Tumbuhan ini meningkatkan kadar ‘tannin’ di dalam daunnya dan mengakibatkan haiwan-haiwan ini tidak mampu untuk menghadamkan daun tersebut. Haiwan-haiwan malang ini seterusnya mati akibat dari makanan yang tidak hadam tersebut.


Sekumpulan kudu yang merayau mencari makanan.

Bukan itu sahaja, pokok akasia turut membebaskan ‘ethylene’ yang boleh bergerak sejauh 50 ela sebagai mesej kepada pokok-pokok berhampiran tentang bahaya – dan menyebabkan tumbuhan-tumbuhan di sekitarnya meningkatkan kadar tannin di dalam daun hanya dalam masa lima hingga sepuluh minit. Sistem perhubungan ini antara lain bukan sahaja membantu dalam proses pertahanan tumbuhan malah menerangkan bagaimana sesuatu spesies tumbuhan berbuah serentak di dalam satu musim. Malah ia turut mengubah persepsi kita mengenai tumbuhan.

Banyak lagi tumbuhan yang beracun dan berpotensi untuk menyebabkan maut bukan sahaja kepada haiwan, malah manusia. Kebanyakan tumbuhan yang menjadi makanan kepada manusia sendiri adalah beracun sebahagiannya dan ada pula yang sememangnya beracun dan sekiranya tidak digunakan dengan betul boleh mendatangkan mudarat kepada manusia yang memakan tumbuhan tersebut. Antara makanan yang paling biasa kita makan dan mempunyai potensi racun adalah epal (apple - Malus domestica) di mana bijinya mengandungi amygdalin dalam kuantiti yang kecil. Namun dalam kuantiti yang banyak ia boleh mendatangkan mudarat. Selain itu ubi kayu juga merupakan antara makanan yang mempunyai toksid yang merbahaya iaitu cyanide.  Kandungan cyanide ini berbeza dalam spesis-spesis tertentu ubi kayu dan ianya lebih tinggi semasa musim kemarau/kering. Untuk mengurangkan bahaya cyanide ini ubi kayu perlu dipotong dan direndam, dimasak dengan sempurna bagi memastikan cyanide dibebaskan ke udara.


Kematian haiwan di Australia akibat tumbuhan beracun.

Banyak lagi spesies tumbuh-tumbuhan yang beracun yang sering digunakan sebagai makanan oleh manusia. Ia selamat kerana kuantiti yang kecil atau kaedah pemakanan yang betul. Jadi kita perlu mengenali makanan yang kita makan adalah betul-betul selamat – sebelum berlaku sebarang kesilapan yang boleh mendatangkan bahaya/maut. Ikuti senarai tumbuhan beracun di wikipedia.

Tidak ketinggalan juga disentuh adalah tumbuhan yang sudah sedia dikenali sebagai tumbuhan pemangsa (carnivorous plants) yang sememangnya menjadikan hidupan lain sebagai sumber nutrient baginya. Tindakbalas tumbuh-tumbuhan ini telah diketahui mendatangkan maut kepada serangga dan juga hidupan kecil. Ia menunjukkan tumbuhan juga mempunyai tahap ‘intelektual’, ‘memori’ dan sistem saraf yang masih lagi cuba diungkai oleh para pengkaji. Ini menunjukkan dunia tumbuhan juga menarik dan mencabar seperti dunia haiwan walaupun pada dasarnya mereka kelihatan tidak boleh bergerak seperti haiwan.


Dalam keadaan di mana kita kurang berinteraksi dengan alam sekitar, banyak perkara mengenai tumbuhan yang tidak kita ketahui. Adalah dibimbangkan pengetahuan mengenai tumbuh-tumbuhan beracun ini semakin dilupakan dan suatu hari nanti mengundang bahaya kepada anak-anak kita. Walaupun bahaya, setiap hidupan mempunyai fungsinya tersendiri dan adakalanya berguna kepada manusia (bergantung kepada penggunaannya). Jadi kita seharusnya lebih peka tentang persekitaran dan saling hormat-menghormati antara hidupan di atas muka bumi.



Free Download



Arkib Blog