Selasa, 24 November 2015

Lintah Laut Hijau Pencuri Paling Licik

Green slug - Elysia chlorotica berwarna hijau seperti alga.

Lintah laut yang dikenali sebagai ‘green sea slug’ (Elysia chlorotica) yang mempunyai kebolehan paling unik dalam dunia hidupan – iaitu mencuri klorofil dari alga untuk kepetingannya. Kebolehan ini dinamakan ‘kleptoplasty’ dari perkataan Greek; Kleptes (κλέπτης) yang bermaksud, pencuri. Ia antara kebolehan yang amat mengagumkan dan memberi faedah yang banyak kepada lintah laut ini.

Dengan rupa bentuk yang leper dan tidak mempunyai cengkerang, lintah laut ini hanya berukuran di antara 20 mm hingga 30 mm – namun boleh mencecah sehingga 60 mm panjang. Ia selalu dijumpai di kawasan perairan cetek dengan yang terdapat rumpai yang menjadi sumber makanannya. Ia hanya mendiami air dengan kedalaman 0 – 0.5 meter sahaja. Manakala taburannya pula adalah di sekitar pantai perairan Timur United States dan Texas. Selain itu ia juga terdapat sehingga ke Utara di Nova Scotia dan Canada.

Elysia pusilla - memakan alga untuk mengumpulkan kloroplast.

Kloroplast yang terkumpul di dalam sel-sel Green slug.
Gambaran lebih dekat kloroplast - C, nukleus - N.

Apa yang unik, lintah laut ini bukan sahaja menjadikan alga sebagai makananya, tetapi menjadikan kolorofil yang terdapat di dalam alga sebagai sebahagian daripada badannya pula. Ini bermakna klorofil tersebut terkandung di dalam sel-selnya sendiri. Ini bukan sahaja menjadikan ia berwarna hijau, malah klorofil tersebut turut menggunakan tenaga matahari dalam menjalankan fotosintesis sama seperti tumbuh-tumbuhan. Jadi, ia adalah benar-benar tumbuhan hidup!

Kebolehan lintah ini merupakan satu keunikan yang amat istimewa. Lintah-lintah yang masih kecil akan mula menghisap kandungan sel alga dan membuang segala isi kandungan lainya selain kloroplas (chloroplasts). Kloroplast ini kemudiannya akan menjalin rangkaian dengan sistem penghadaman lintah laut tersebut dengan proses yang dikenali sebagai ‘phagocytosis’. Melalui proses inilah fotosistesis oleh klorofil dapat digunakan oleh lintah-lintah ini. Ia juga adakalanya mendapat jolokan  "solar-powered sea slugs".

Ia merupakan satu keajaiban yang amat berguna kepada alam. Kemungkinan manusia akan mencipta haiwan atau manusia sendiri akan menggunakan klorofil untuk tujuan menjana tenaga. Walaupun ia kelihatan agak ganjil sekiranya ia berhasil, ia adalah jauh lebih mudah berbanding mendapatkan makanan dari sumber yang mungkin lebih sukar di masa akan datang.




Free Download



Ahad, 22 November 2015

Keunikan Hidupan Seni Yang Dipanggil Diatom

Sejumlah diatom yang merupakan hidupan seni.

Diatom merupakan hidupan seni yang unik bukan sahaja kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun ia terdapat dimana sahaja kawasan berair (lembapan). Ia adalah sebahagian besar daripada kumpulan alga dan juga merupakan kumpulan besar daripada ‘phytoplankton’. Ia merupakan hidupan satu sel (unicellular), walaupun boleh membentuk kumpulan dalam bentuk filamen atau riben. Salah satu fungsi terbesar diatom adalah sebagai sumber makanan kepada hidupan akuatik samada air tawar mahupun air masin. Ia memiliki ciri unik iaitu diselaputi cengkerang daripada silica  (hydrated silicon dioxide) yang dipanggil “frustule”. Cengkerangnya inilah yang memberikan ianya bentuk tersendiri dan membezakan jenisnya yang berbeza mengikut jenis, kawasan, mahupun zaman.

Terdapat lebih daripada 200 genus diatom yang hidup, dan dianggarkan daripada itu terdapat lebih daripada 100,000 spesis. Ini kerana diatom bukan sahaja terdapat di dalam air tawar atau air masih, malah juga di dalam tanah dan juga permukaan lembab. Kebanyakan diatom melakukan proses fotosistesis untuk menghasilkan makanan – jadi ia berada di dalam linkungan kawasan yang terdapat cahaya matahari. Namun terdapat juga diatom dari kumpulan ‘heterotrophs’, yang mendapat nutrient daripada bahan organik lain (seperti cendawan). Walaupun kebanyakannya bersaiz amat kecil iaitu daripada 20 – 200 microns, terdapat juga sesetengah diatom yang mencapai saiz sehingga 2 millimeters.

Gambar yang menunjukkan perbejaan 'frustule' yang berbeza.

Perbezaan saiz-saiz diatom.

Rupebentuk diatom (klik gambar untuk saiz besar).

Kajian mengenai diatom penting kerana ia banyak memberikan maklumat mengenai persekitaran di mana ia dijumpai. Sebagai contoh, di persekitaran sungai yang tercemar hanya terdapat beberapa jenis diatom boleh dijumpai. Manakala di kawasan sungai dengan persekitaran yang bersih, terdapat variasi diatom yang pelbagai. Jadi kewujudan diatom boleh digunakan untuk mengesan kualiti sesuatu kawasan tadahan air, sungai, tasik dan sebagainya.

Malah diatom pernah digunakan di dalam kajian forensik. Ini kerana diatom yang didapati di sesuatu kawasan kebiasaannya amat unik bagi kawasan tersebut. Kes seumpama ini pernah dilaporkan di U.K. yang melibatkan kes pembunuhan. Hubungan ini dapat dikaitkan di antara diatom yang terdapat pada mangsa dan juga yang didapati daripada sumber bahan bukti (diatom yang terlekat pada pakaian) menyamai dengan diatom yang terdapat di tempat kejadian.

Kepelbagaian rupa bentuk diatom.

Gambar ini hanyalah seluas 1.13 X 0.69 mm (klik untuk gambar yang lebih besar).

Malah diatom juga digunakan dalam bidang archaeology kerana hanya terdapat beberapa spesis yang dikenali bagi beberapa zaman-zaman tertentu. Melalui diatom yang ditemui daripada spesimen yang diperolehi, usia sebenar spesimen dapat dianggarkan (selain daripada teknik pentarikhan karbon). Kewujudan diatom yang dianggarkan telah jutaan tahun ini, banyak membantu para saintis di dalam banyak lapangan selain menjadi sumber makanan hidupan akuatik.

Walaupun bersaiz amat halus, kepentingan diatom tidak dapat dinafikan. Begitulah istimewanya hidupan seni ini yang mempunyai pelbagai kegunaannya kepada hidupan lain begitu juga dengan manusia sendiri. Mungkin selama ini kita hanya mengetahui bahawa ada hidupan seni yang halus dipanggil plankton, namun tidak mengenalinya dengan lebih dekat. Namun di sini dapat kita lihat, bagi diatom biarpun kecil, namun amat berguna.


Rujukan:








Free Download



Sabtu, 21 November 2015

Onagadori Ayam Dengan Ekor Yang Menakjubkan

Sukar dipercayai, ekor ayam 'Onagadori' boleh mencapai panjang melebihi 6 meter.

Onagadori merupakan sejenis ayam yang mempunyai ekor yang amat panjang berasal dari Wilayah Kōchi, Japan. Ayam ini secara tidak langsung menjadi satu tarikan istimewa bagi wilayah tersebut kerana ia amat berbeza daripada ayam-ayam yang lain. Walaupun terdapat banyak jenis ayam-ayam yang berbeza daripada yang biasa kita temui, tetapi onagadori merupakan memiliki satu ciri yang paling dibanggai pada ayam iaitu – bulu ekornya yang panjang.

Ayam ini dikatakan merupakan sebahagian daripada kacukan spesis baka ayam Shokoku, juga merupakan antara ayam yang mempunyai ekor yang panjang pada pertengahan Era Edo (1600 – 1868). Menurut sumber lisan, dikatakan seorang pembesar daerah (Shogun) Yamanouchi, dari Wilayah Kōchi di Selatan Semenanjung Shihoku yang mempunyai topi (helmet) dan lembing yang dihiasi dengan bulu ayam yang panjang untuk hari-hari kebesaran untuk memuliakan Maharaja Tenno. Para pekebun diraja dan juga para petani yang memelihara dan membawakan bulu-bulu ayam utuk hiasan ini akan dikecualikan daripada cukai. Maka aripada inilah iaitu sekitar 1655, para pembiak ayam ini dapat menghasilkan ayam dengan bulu-bulu yang lebih panjang. Topi (helmet) dan lembing yang dihiasi dengan bulu ayam ini masih boleh dilihat di Muzium di Jepun.

Ayam 'Onagadori' putih ini bagaikan haiwan fantasi.

Mungkin kita pernah melihat lukisan seperi ini.

Seorang pembiak ayam onagadori yang paling terkenal di Wilayah Kōchi, ialah Tekeichi Riuemon dari Shinohara yang menghasilkan baka ayam dengan bulu ekor yang paling panjang. Melalui kejayaan ini maka Onagadori pada ketika itu diberikan gelaran “Shinoharato”. Kemudian ia dikenali pula sebagai “Nagaodori”, dan kemudiannya “Tosa”, merujuk kepada daerah dimana ia dibiak. Sehingga hari ini, sebuah tugu peringatan didirikan di Bandar Kōchi, untuk memperingati jasa Takeichi.

Perkembangan pembiakan baka Onagadori terus berkembang mengikut peredaran masa dan ia dicatatkan oleh seorang botanis Jepun iaitu Koyu Nishimura di dalam bukunya “Sketches and Thoughts”. Walaubagaimanapun, kehebatan baka ini dikatakan mencapai tahap yang lebih baik menjelang Era Taisho (1912 –1926), di mana panjang ekor ayam boleh mencecah sehingga 6 meter dan lebih dengan variasi warna yang juga menarik.

Ia merupakan sesuatu yang menarik dalam dunia pembakaan binatang peliharaan dan perhiasan memandangkan pada masa tersebut kaedah kacukan hanya dilakukan secara tradisional. Tidak seperti hari ini, dimana teknik pemindahan genes mungkin dapat menghasilkan hasil yang lebih cepat dan mudah. Maka tidak hairanlah sekiranya individu seperti Takeichi, begitu dihormati dengan hasil kerja beliau.

Ayam 'Onagadori', suatu masa dahulu.

Antara baka yang menarik.

Bagi menghasilkan ayam yang memiliki bulu panjang ini, bukan sahaja bakanya penting, malah penjagaannya juga amat kritikal. Bulu ayam perlu sentiasa dijaga dengan rapi bukan sehari dua, malah disepanjang tempoh pembesarannya yang memakan masa beberapa tahun. Namun begitu melihat kepada hasil yang dicapai, jelas menunjukkan ia suatu keunikan yang menakjubkan.


Walaupun terdapat beberapa baka ayam lagi yang mempunyai ekor panjang seperi Phoenix dan Shohoku, namun ia tidak boleh mencapai panjang ekor seperti yang dimiliki oleh Onagadori. Jadi disini, apa yang kita pelajari adalah, penghasilan baka sebegini tidak mustahil namun memakan masa yang panjang dan penjagaan yang rapi. Mungkin kita tidak pernah menyangka ayam boleh mempunyai ekor sepanjang itu!




Free Download



Khamis, 19 November 2015

Mikroskop dan Keajaiban Dunia Seni

Hasil kerja Robert Hooke dalam Micrographia membuka mata orang ramai pada tahun 1665.
Mikroskop adalah rekaan pembuka kepada penemuan-penemuan baru manusia terhadap hidupan seni, malah merupakan titik tolak kepada memahami tentang diri manusia sendiri. Melalui rekaan ringkas inilah manusia dapat mengungkai rahsia penyakit-penyakit yang sebelum itu membawa maut kepada manusia dan seterusnya memahami proses pembentukan manusia itu sendiri. Setelah lebih dari 400 tahun mikroskop pertama dibina – kini miroskop digabungkan dengan teknologi elektronik dan digital untuk memberikan hasil yang lebih baik.

Mikroskop adalah sebuah peralatan yang ringkas pada asasnya, dimana ia hanya memerlukan sebuah kanta cengkung yang dapat mebengkokkan cahaya dan memberikan imej yang lebih besar kepada pemerhati. Contoh yang paling mudah untuk kanta ini adalah kanta pembesar. Konsep pembengkokan cahaya ini telah digunakan sejak 2000 BCE lagi di China, dengan mengisi air ke dalam tiub untuk membolehkan objek kecil diperbesarkan.


Compound microscope - merupakan mikroskop optik.

Mikroskop awal yang digunakan oleh Robert Hooke.

Naskah asal Micrographia pada tahun 1665.

Walaupun rekaan mikroskop dikatakan dicipta oleh Galileo Galilei pada tahun 1625 dengan rekaan beliau yang dikenali sebagai "occhiolino" atau "mata kecil", mikroskop dikatakan direka lebih awal – oleh pembuat cermin mata (yang boleh menghasilkan kanta cengkung dan cembung).  Antara calon-calon lain yang dikatakan mungkin menyumbang kepada rekaan mikroskop pertama adalah  Hans Lippershey dan juga Zacharias Janssen dari Netherlands lewat pada 1590-an.

Mikroskop biasa dinamakan mikroskop optik (optical microscope) yang menggunakan cahaya untuk menghasilkan imej bagi sample. Kemudian ia diperbaiki lagi dengan rekaan mikroskop elektron  (electron microscope), yang dapat menghasilkan gambaran lebih jelas tentang objek-objek kecil.

Manakala antara yang terbaru adalah rekaan yang memenangi Anugerah Nobel Kimia iaitu Eric Betzig, William Moerner dan Stefan Hell dengan mereka mikroskop flouresence (fluorescence microscopy) yang dapat membantu manusia melihat objek-objek bersaiz nano seperti elektron.


Gambaran gabus (cork) yang memberikan gelaran 'cell'.

Ilustrasi oleh Hooke untuk mata 'dronefly'.

Fluorescence microscope, rekaan terbaru yang membolehkan gambaran objek berskala nano.


Sel yang dilihat melalui 'fluorescence microscope'.

Hanya sehingga pada tahun 1660 dan 1670, mikroskop mendapat sambutan meluas dalam usaha membuat penemuan-penemuan baru di Itali, Netherlands dan England. Antara hasil yang paling menarik minat orang ramai adalah apa yang dihasilkan oleh Robert Hooke, iaitu Micrographia pada tahun 1665. Micrographia mengandungi ilustrasi-ilustrasi haiwan-haiwan seni yang dilihat oleh Hooke melalui mikroskopnya. Beliau merupakan antara pelopor bagi ‘Royal Society’ yang merupakan sebuah badan yang membuat penemuan-penemuan sains di Britain. Apa yang menarik, Micrographia mengandungi illustrasi yang sangat terperinci mengenai hidupan yang dilihatnya. Ini jelas menunjukkan ketelitian dan kehalusan kerja Hooke sebagai seorang saintis pada tahun 1660-an.


Walaupun sejarah rekaan mirkoskop terus berkembang kemudiaannya sehingglah ke hari ini. Saya memberikan penekanan kepada hasil kerja Robert Hooke sebagai titik tolak yang membuka mata orang ramai betapa pentingnya untuk memahami unsur-unsur yang lebih halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Mungkin ia tidak menarik minat semua orang, namun ingin diingatkan bahawa inilah antara yang membolehkan kita mengenali alam sekeliling dengan lebih tepat.



Free Download



Isnin, 16 November 2015

Dibedah Dalam Keadaan Jaga!

"Aqupunture anesthetic" dikatakan membantu proses penyembuhan yang lebih cepat. 

Mungkin anda tidak menyangka yang pembedahan boleh dijalankan dalam keadaan pesakit masih sedar. Ya, pembedahan ini menggunakan ‘anesthetic’ dengan kaedah ‘acupunture’ iaitu salah satu kaedah perubatan tradisional China. Kaedah ini bukanlah baru, cuma ianya mendapat perhatian yang lebih menyeluruh baru-baru ini sahaja.

Berbeza dengan kaedah rawatan moden, penggunaan kaedah ‘acupunture’ membolehkan pesakit berada dalam keadaan sedar semasa proses pembedahan dijalankan. Namun begitu pesakit tidak merasa sakit semasa proses pembedahan dijalankan. Kedah ini pernah ditulis oleh oleh Dr. E Grey Dimond di dalam artikelnya untuk “The Journal of the American Medical Association (JAMA)” pada  Dec. 6, 1971, bertajuk: “Acupuncture Anesthesia - Western Medicine and Chinese Traditional Medicine”. Jadi ia bukanlah satu perkara yang baru.

Panduan garis meridian dan jarum aqupunture.

Panduan lama sistem 'qi' meridian pada manusia.

Akupuntur (acupunture)

Sejarah ‘acupunture’ bermula sejak sebelum masehi lagi, namun tiada siapa yang pasti akan tahun sebenar ianya bermula. Mengikut sumber catatan pula, sistem perubatan ‘acupunture’ ini terdapat di dalam “The Yellow Emperor's Classic of Internal Medicine (Huangdi Neijing)” pada sekitar 100BC. Pada waktu itu jarum yang digunakan adalah diperbuat daripada emas dan perak – pada waktu itu sistem perubatan ‘acupunture’ ini telahpun merupakan satu sistem perubatan yang agak sempurna.

Sekiranya pada 100BC ia telah tercatat di dalam catatan ilmiah, maka kaedah ‘acupunture’ ini pastilah bermula lebih awal dari itu. Namun tarikh sebenarnya masih lagi tidak dapat dipastikan. Sebelum penggunaan jarum-jarum emas dan perak digunakan, kemungkinan rawatan asal ‘acupunture’ dilakukan menggunakan bahan-bahan yang lebih mudah didapati seperti gangsa, tin, tembaga sebelum emas dan perak.

Malah ia dikatakan telah dipraktikkan sejak Dinasti Shang (1766 to 1122 BC) lagi menggunakan bahan seperti duri, tulang, buluh dan juga batu yang ditajamkan. Walaupun ada kemungkinan bahan-bahan artifak yang ditemui ini dikatakan mempunyai kegunaan lain, ilmu ‘acupunture’ tidak mungkin dapat disempurnakan dalam masa yang singkat. Jadi adalah tidak mustahil sekiranya ia bermula lebih awal, cuma tiada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan ini.


Artikel oleh Dr. Grey Dimond.

Catatan Dr. Grey Dimond.

Akupuntur Moden

Pengamalan moden dunia perubatan ‘acupunture’ dikatakan dihidupkan kembali pada tahun 1949 oleh Mao Zedong dalam usaha membangunkan nilai tradisi budaya China di mana ia lebih dikenali sebagai  “Traditional Chinese Medicine (TCM)”.

Terdapat banyak perubahan dilakukan di dalam pengamalan ‘acupunture’ moden termasuk dengan menggunakan jarum dengan kuasa elektrik dan sebagainya. Malah turut terdapat organisasi khas yang melakukan penemuan (research) untuk kaedah perubatan ini yang diasaskan pada tahun 1950-an yang kemudiannya membawa kaedah perubata ini ke hospital-hospital di China.

Kaedah ini turut mendapat perhatian perubatan lain seperti  National Institutes of Health (NIH) yang menyokong penggunaan kaedah ‘acupunture’ bagi sesetengah keadaan pada tahun 1997. Pada tahun 1999, National Center for Complementary and Alternative Medicine dibentuk sebahagian daripada NIH. Ini menjadikan ‘acupunture’ sebagai kaedah alternatif yang paling popular di US.
Keberkesanan Akupuntur (acupunture)

Seorang pesakit dibedah dalam keadaan sedar di Bangalore Fortis Hospital, India.

Berbeza dengan kaedah perubatan moden, ‘acupunture’ bertindak merangsang atau menahan pengaliran tenaga yang dinamakan “Qi”. Melalui pengawalan ini, ia dapat membantu mengimbangi semula pengaliran “Qi” yang seimbang di dalam badan pesakit. Manakala penggunaannya dalam tujuan ‘anesthetic” pula, adalah untuk menahan sitem badan dari menghantar isyarat sakit kepada otak, bagi membolehkan pembedahan dijalankan.

Terdapat banyak rawatan boleh dilakukan menggunakan ‘acupunture’, di mana ia bergantung kepada kepakaran pakar perubatan ‘acupunture’ itu sendiri dalam memahami sistem badan manusia. Apa yang membimbangkan adalah pengamal perubatan yang kurang mahir – namun ia boleh juga berlaku di dalam perubatan moden. Antara gejala yang paling baik dirawat dengan kaedah ‘aqupunture’ ini termasuklah “migraines”, “Osteoarthritis”, “alergies”, “fibromyalgia”, “stroke”, asma, berat badan, insomnia dan banyak lagi.

Rawatan aqupunture turut digunakan untuk tujuan kecantikan.

Jarum yang digunakan turut berubah mengikut masa.

Kaedah perubatan ini bergantung kepada kepakaran pengamal ‘aqupunture’ itu sendiri. Namun, dengan bantuan perubatan moden, gabungan pembedahan dan “aqupunture” dikatakan memberikan hasil yang jauh lebih baik. Jadi apa yang penting adalah kefahaman mengenai bagaimana ianya berfungsi.

Sekiranya anda berminat untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai teknik ini pula antara tempat yang menyediakan latihan di Malaysia adalah;

Suite 4.08, 4.10, 4th Floor,
Medical Specialist Floor,
Menara KH (Menara Promet),
Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur.
Tel No : 603-21418370 / 603-21451671
Fax No : 603-27326887




Free Download



Arkib Blog