Rabu, 4 November 2015

CEO Terkemuka Bertutur Dengan Pelbagai Bahasa

Terdapat lebih 6,500 bahasa di dunia.

Kemahiran menguasai bahasa lain selain dari bahasa yang kita gunakan sehari-hari bukanlah suatu perkara yang mudah. Namun sekiranya kita sedari kecil lagi sudah terdedah dengan persekitaran yang sememangnya memerlukan kita bertutur dengan pelbagai bahasa – mungkin ia bukanlah perkara yang ganjil. Seperti kaum Cina dan India di Malaysia yang paling tidak akan menguasai 2 bahasa secara tidak langsung iaitu bahasa ibunda mereka dan juga Bahasa Melayu.

Menguasai bahasa lain bukan sahaja memudahkan komunikasi malah turut menjalinkan perasaan yang lebih terbuka orang lain untuk menerima anda – atas kesungguhan anda mempelajari bahasa mereka. Apatah lagi sekiranya anda perlu berurusan dengan mereka di dalam lapangan perniagaan. Komunikasi yang jelas dan minat anda mungkin akan dapat menjalinkan hubungan yang lebih rapat seterusnya membuka peluang yang lebih baik untuk kedua-dua belah pihak.

Itulah yang dilakukan oleh beberapa CEO syarikat-syarikat gergasi lakukan. Mempelajari bahasa asing bagi membuka ruang perniagaan yang lebih luas. Oleh kerana menguasai bahasa asing bukanlah sesuatu yang mudah, maka ini dengan sendirinya memberikan satu kelebihan kepada mereka untuk memperlihatkan ia sebagai satu kebolehan yang istimewa. Selain itu juga kajian neuroscience juga menunjukkan penguasaan pelbagai bahasa ini turut menambahkan kapasiti otak (inferior parietal cortex).

Berikut adalah beberapa CEO terkenal yang boleh bertutur beberapa bahasa;


Mark Zuckerberg menjawab soalan di dalam Bahasa Mandarin.

1) Mark Zukerberg, pengasas dan CEO Facebook: Inggeris (English) dan Cina (Chinese)

Sebagai pengasas kepada laman sosial terbesar iaitu Facebook, Mark Zukerberg merupakan selebriti yang paling dikagumi apabila beliau menunjukkan kemahirannya bertutur di dalam Bahasa Mandarin di Tsinghua University di Beijing. Ia bukan sahaja membuka mata negara dengan penduduk paling ramai itu, malah semua orang di serata dunia mencemburui kebolehan beliau ini.


Michael Bloomberg berkemahiran berbahasa Sepanyol.

2) Michael Bloomberg, CEO Bloomberg L. P.: Inggeris (English) dan Sepanyol (Spanish)

Kemahiran Michael Blommberg dalam berbahasa Sepanyol mencuri perhatian ramai di mana sebagai datuk bandar New York, kemahiran beliau ini amat membantu dalam berhubung degnan komuniti berbahasa Sepanyol di Amerika. Setelah sekian lama Bahasa Sepanyol memang merupakan salah satu bahasa terpenting di U.S. dan komuniti masyarakat berbangsa Sepanyol juga dikatakan mempunyai kuasa membeli sehingga bernilai $1.5 trillion setahun (dan terus berkembang).


Leo Apotheker sebelum menjadi CEO Hewlett Packard.

3) Leo Apotheker, bekas CEO di SAP, Hewlett Packard: German, Belanda (Dutch), Perancis (French), Inggeris (English) dan Yahudi (Hebrew)

Melalui penguasaan  5 bahasa dengan fasih merupakan antara faktor yang mebolehkan beliau dinobatkan sebagai CEO bagi syarikat antarabangsa German SAP. Begitu juga yang mana kemudiaannya beliau turut dilantik oleh Hewlett Packard untuk mengembangkan lagi penguasaan parasan global.


Nestle merupakan sebuah syarikat gergasi pengeluar makanan.

4) Paul Bulcke, CEO bagi Nestle: German, Belanda (Dutch), Perancis (French), Inggeris (English) dan Portuguese.

Nestle merupakan salah satu syarikat pengeluar makanan gergasi dunia. Ia juga merupakan salah satu syarikat yang mempunyai pengamalan kualiti makanan yang terbaik di dunia. Nestle mempunyai 450 buah kilang di 86 buah negara dengan pekerja berjumlah 340,000 orang dari lebih 90 buah negara. Mengikut pengakuan beliau sendiri, dengan memiliki kemahiran bertutur pelbagai bahasa membolehkan ia menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan kesemua yang terlibat daripada rakan niaga, pekerja dan juga pengguna.


Tidjane Thiam tersenarai sebagai "100 Global Leaders of Tomorrow".

5) Tidjane Thiam, Chief Executive, Credit Suisse: Perancis (French), German dan Inggeris (English)

Membuka ruang kepada beliau dalam bidang perniagaan yang diceburinya yang memerlukan kemahiran dalam bahasa-bahasa yang dikuasi beliau iaitu French, German dan English. Kemahiran ini juga antara faktor membolehkan beliau tersenarai di dalam World Economic Forum sebagai “100 Global Leaders of Tomorrow”.


Ramai yang beranggapan yang menguasai bahasa lain suatu perkara yang sukar atau kurang berfaedah. Namun sebenarnya kemahiran menguasai bahasa lain adalah bergantung kepada pendedahan kepada bahasa tersebut dan minat kita sendiri untuk menguasainya. Sedangkan seperti yang telah dinyatakan lebih awal, penguasaan bahasa dapat membantu mengaktifkan lagi fungsi otak, menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan orang lain dan turut membuka peluang-peluang baru. Apakah alasan anda untuk hanya bertutur dalam satu bahasa?




Sabtu, 31 Oktober 2015

Penanaman Padi di Malaysia – Kisah Petani Silam

Buah padi yang telah matang dan hampir masak.

Padi merupakan tanaman asal penduduk di Malaysia yang rata-ratanya menanam padi sebagai sumber makanan mereka sendiri. Apabila sumber ekonomi beralih kepada getah dan kelapa sawit, penanaman padi semakin kurang diusahakan. Ini kerana kerja-kerja bersawah perlu dilakukan secara berkelompok – untuk pengurusan sumber air dan sebagainya. Namun begitu, negara kita Malaysia juga sememangnya mempunyai teknik penanaman padi yang tersendiri.

Walaupun sawah-sawah di Malaysia tidak seperti di negara-negara penanam padi yang lain – dengan sawah di lerengan bukit (seperti di Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, China, Nepal dan sebagainya), kita mempunyai teknik penanaman padi yang cukup baik. Keadaan di Malaysia yang mempunyai keluasan tanah rata yang cukup menyebabkan tiada sawah diusahakan di lereng-lerengan bukit. Sehingga kini, apabila teknik penanaman moden mula dilakukan, bilangan sawah semakin berkurangan dan teknik penanaman tradisional juga semakin dilupakan.

Peralatan tradisional penanaman padi di Malaysia adalah untuk penanaman kecil-kecilan atau untuk kegunaan sendiri. Di mana peralatan ini kebiasaannya sesuai untuk mengusahakan sawah-sawah kecil. Jadi sekiranya sebuah keluarga mempunyai sawah yang besar ia perlu diusahakan beramai-ramai (ahli keluarga atau mengupah orang lain).

Peralatan-peralatan yang digunakan juga adalah berbeza mengikut peringkat-peringkat penanaman padi sehingga padi sedia untuk digunakan untuk dimasak dan dipanggil sebagai beras. Aktiviti menanam padi juga dilakukan secara bermusim – iaitu musim menanam dan musim menuai. Jadi para petani mempunyai aktiviti yang terancang dan berbeza-beza mengikut musim-musim tanaman ini.


Tenggala alat untuk membajak sawah.

Tenaga kerbau amat penting untuk proses penyediaan sawah.

Peralatan-Peralatan Tradisional Tanaman Padi

A. Alat-alat Untuk Tanaman Padi

  • Tenggala Perlis dan Tenggala China
  • Kuku Kambing
  • Cangkul
  • Tajak
  • Sisir Besi
  • Sisir Panjang (Sisir Kapar)
  • Palong
  • Tenggiling
  • Terendak

Pencakar/Pencakar Bara

Di tapak semaian anak padi ditanam dengan rapat.

Walaupun kerja-kerja bersawah kedengaran seperti satu proses yang mudah, namun keseluruhan kerja tersebut mempunyai teknik-teknik tersendiri yang perlu diperhatikan dengan lebih terperinci. Sebagai contoh dalam menyediakan tapak semaian, tanah perlu dipastikan betul-betul lembut dan bebas daripada benda-benda lain yang membolehkan akar anak benih padi melekat (apabila proses mengalih perlu dilakukan nanti). Jadi tapak semaian disediakan dengan alatan yang dipanggil “pembadai” iaitu batang pisang yang dibuang kulitnya dan ditarik dengan penyisir kecil. Tanah yang lembut ini memudahkan proses mencabut anak benih padi kemudiannya nanti. Paras air juga tidak terlalu tinggi ( 5 – 10 cm) kerana air yang terlalu dalam boleh menyebabkan anak benih padi mati.

Bakul mengkuang yang digunakan untuk proses menabur benih di tapak semaian.

Benih juga tidak terus ditabur, sebaliknya disediakan dengan cermat. Biji benih terpilih akan diisikan di dalam karung dan direndam selama 3 hari 3 malam. Biji benih yang telah direndam ini kemudiannya dipindahkan kedalam “bakul lau” untuk mengalirkan air yang berlebihan. Biji benih tersebut kemudiannya ditutup dengan guni dan dibiarkan selama 3 hari 3 malam lagi untuk membolehkan proses bercambah. Setelah bercambah, barulah ia sedia untuk ditabur ke dalam tapak semaian yang telah disediakan dan dibiarkan untuk terus tumbuh (menjadi anak padi) selama 30 hingga 44 hari.

Sisir Kapar untuk proses menyisir tanah.


Penyediaan Tanah Sawah

Sementara menunggu anak-anak padi ini sedia untuk dialihkan, pesawah akan terus menyediakan tapak-tapak sawah untuk kerja-kerja mengalih nanti. Antara persiapan tersebut adalah kerja-kerja (1) Menggala (membajak) dan (2) Menyisir (sisir). Kerja-kerja penyediaan tanah ini adalah untuk membolehkan pokok padi tumbuh dengan cepat dan subur.

Peralatan untuk membajak dikenali sebagai tenggala diperbuat daripada kayu yang mudah dibentuk seperti kayu halban. Tenaga kerbau digunakan untuk kerja-kerja membajak ini (iaitu proses membalikkan tanah sawah). Proses yang sama juga boleh dilakukan dengan menggunakan tenaga lembu (2 ekor lembu digunakan berbanding dengan 1 ekor kerbau).

Proses menyisir pula dilakukan beberapa hari selepas tanah sawah dibajak. Ketulan-ketulan tanah yang dibiarkan terendam di dalam air sawah dibiarkan menjadi lembut untuk memudahkan proses menyisir. Proses ini adalah untuk memecah dan melembutkan lagi tanah selain membuang sisa-sisa rumput rampai yang terdapat pada tanah tersebut (yang boleh menjadi rumpai/pesaing di dalam sawah nanti). Antara jenis-jenis sisir yang biasa digunakan adalah;

i) Sisir Kayu – sisir kayu diperbuat daripada kayu cengal, halban atau kayu beruas manakala giginya adalah diperbuat daripada batang pokok pinang atau nibong yang diraut halus.

ii) Penyisir Besi – mempunyai bentuk yang sama dengan penyisir kayu hanya diperbuat daripada besi, manakala tangkainya/pemegangnya masih lagi diperbuat daripada kayu.

iii) Penyisir Kapar – iaitu sisir berbentuk – T yang diperbuat daripada kayu dengan mata yang juga diperbuat daripada batang pinang atau nibong.                      

Tenggiling Belimbing - untuk menghaluskan lagi tanah.

Kerja-kerja akhir penyediaan tanah dipanggil menggiling tanah menggunakan alat yang dipanggil “tenggiling”. Terdapat dua jenis tenggiling yang biasa digunakan iaitu “Tenggiling Belangkas” dan “Tenggiling Belimbing”. Kaedah penggunaannya adalah sama seperti membajak iaitu menggunakan kerbau. Proses ini bertujuan bagi melembutkan lagi tanah untuk memudahkan kerja-kerja mengalih anak padi dilakukan.

Setelah melalui kesemua proses di atas barulah air akan ditakungkan semula ke dalam petak sawah dan sedia untuk proses berikutnya iaitu penanaman anak padi – proses mengalih.

Memindah Anak Padi

Anak-anak padi dikumpul menjadi "unti".
Pengandar semai untuk mengalih anak padi.

Proses memindahkan anak padi dilakukan dengan mencabut anak padi dari tapak semaian (penyediaan tapak semaian yang baik memastikan akar padi dapat ditarik dengan sempurna – seterusnya membantu pertumbuhan yang lebih baik selepas dialih). Anak-anak padi ini akan dikumpulkan dan dijadikan “cap” atau “unti” (ikatan/ketul). Kerja-kerja ini dilakukan oleh golongan wanita. Kaum lelaki pula akan mengangkut anak-anak padi tersebut ke petak-petak sawah untuk ditanam menggunakan kayu pengandar/salang. Adakalanya palung (sampan kecil) juga digunakan untuk memudahkan kerja-kerja pemindahan anak padi. Di dalam petak sawah “unti” ini akan diaturkan untuk memudahkan kerja-kerja mengalih.

Menanam Padi

Proses mengalih membolehkan padi tumbuh dengan lebih subur/sihat.
Kuku kambing peralatan penting semasa mengalih padi.

Seterusnya adalah kerja-kerja menanam yang juga akan dilakukan oleh kaum wanita secara bergotong-royong beramai-ramai. Anak padi yang dialihkan dari tapak semaian tadi akan ditanam menggunakan peralatan yang dikenali sebagai “kuku kambing”. Kuku kambing diperbuat daripada hulu kayu dengan hujungnya daripada besi yang mempunyai cabang untuk memegang anak padi. Hujung alatan ini akan digunakan untuk membenamkan anak padi kedalam tanah semasa proses menanam.

Penjagaan

Walaupun anak-anak padi telah selesai dialih, terdapat beberapa kerja yang akan terus dilakukan iaitu menyulam (menggantikan anak-anak padi yang mati). Kerja-kerja lain adalah seperti membaja dan merumput. Penjagaan pokok padi juga adalah termasuk mengawasi paras air, mengawal perosak seperti tikus, burung, serangga dan adakalanya binatang ternakan sendiri. Musuh-musuh ini mungkin berbeza mengikut peringkat tumbesaran padi. Selain serangan serangga dan haiwan, pokok padi juga boleh diserang oleh penyakit padi. Apabila padi hampir masak, “orang-orang” atau “selayut” akan disediakan di serata sawah untuk menakutkan burung-burung dari memakan padi.

B. Alat-alat Untuk Menuai/Selepas Menuai

  • Tong Pukul Padi, Tangga dan Layar
  • Ketam (Renggam)
  • Sabit (Berbagai Jenis)
  • Pengangin Padi/Tikar Mengkuang
  • Guni/Tali/Jarum


Tuai dan cara memotong.

Pisau pengiau.

Pisau pemotong.

Menuai Padi

Menuai padi juga dipanggil musim menuai. Kebiasaannya musim menuai ini akan jatuh pada musim kemarau. Proses menuai ini adakalanya juga dipanggil sebagai mengiau akan dilakukan menggunakan peralatan-peralatan tertentu bagi memastikan biji-biji padi tidak terlerai dari tangkainya semasa proses memotong. Ia juga biasanya dilakukan secara bergotong-royong.

i) Mengetam – proses mengetam dilakukan dengan menggunakan alat yang diperbuat daripada kayu dengan mata pemotong yang dikenali sebagai “renggam” juga adakalanya dipanggil sebagai “tuai”.

ii) Mengiau padi – sama juga dengan proses mengetam tetapi menggunakan “pisau pengiau”. Teknik  ini digunakan pada pokok padi yang rebah.

iii) Mengerat/memotong padi – kaedah ini menggunakan pisau mengerat sebelum batang pokok padi dikumpulkan untuk dijadikan “kedap”.

Menghirik (Mengirik)

Menghirik merupakan proses meleraikan buah padi dari tangkainya setelah ianya selesai diketam atau dipotong. Terdapat beberapa cara yang biasa dilakukan untuk proses ini antaranya;

i) Menggunakan Kerbau

Ini dilakukan sekiranya petani mempunyai sawah yang luas dan banyak. Tikar mengkuang akan dihamparkan dan gemai-gemai (gemal) padi diletakkan di atasnya. Kerbau digunakan dengan berjalan di atas gemai-gemai tersebut berulang-ulang sehinggalah buah padi terlerai. Kerja yang dilakukan secara bergotong-royong ini biasanya dilakukan pada sebelah malam sehingga dinihari.

ii) Menggunakan Kayu (Dong)

Kayu dong.

Melalui kaedah ini pula, sejenis kayu melengkung digunakan untuk memukul gemai (gemal) padi yang diletakkan di atas tikar mengkuang sehingga buah-buah padi terlerai dari tangkainya. Kaedah ini juga mungkin dilakukan secara beramai-ramai. Selain menggunakan kayu, mengirik juga adakalanya dilakukan menggunakan kaki untuk meleraikan buah padi dari tangkainya.

iii) Memukul (Membanting) Padi

Membanting merupakan satu lagi proses yang biasa dilakukan untuk meleraikan buah padi dari tangkainya. Peralatan membanting ini terdiri daripada tong yang dilitupi dengan  layar juga dikenali sebagai “turus layar” untuk mengelakkan padi daripada keluar daripada tong yang digunakan untuk mengumpul padi. Batang-batang padi diikat sebelum dibanting ke dalam tong tersebut. Buah padi yang terkumpul kemudiannya dipindahkan ke dalam  guni (karung).

Menghuroi (Mengangin)

Proses menguroi/mengangin.

Nyiru jarang.

Menghuroi atau mengangin padi bertujuan untuk mengasingkan buah padi yang hampa (kosong) dengan padi yang berisi. Proses ini dilakukan menggunakan nyiru jarang dengan bantuan angin yang akan membawa buah padi yang kosong lebih jauh berbanding padi-padi yang berisi. Bagi memastikan terdapat angin yang cukup, proses ini perlu dilakukan di tanah yang lapang. Adakalanya padi akan ditampi menggunakan nyiru biasa untuk memastikan hampa padi betul-betul diasingkan.

Selepas buah-buah padi diasingkan barulah ia akan dijemur untuk mengurangkan lembapan pada buah padi untuk membolehkan ianya disimpan dengan lebih lama. Semasa proses jemuran ini padi akan diletakkan di atas tikar mengkuang dan diratakan menggunakan “cakar bara”.

C. Alat Proses Padi

  • Lesong Tangan/Halu
  • Lesong Kaki/Hindik
  • Nyiru Penampi Padi/Penampi Beras
  • Pengisar Beras


D. Alat Penyimpanan Padi/Beras

  • Kepok/Jelapang Padi
  • Berbagai jenis Gebok
  • Berbagai jenis Tempayan


Lesung tangan.

Lesung kisar.

Mesin tampi padi.

Menyimpan Padi

Buah-buah padi yang telah betul-betul kering akan disimpan ke dalam bekas padi (jelapang), manakala gemai padi pula akan disimpan di dalam kepuk (kerubung). Dari segi istilah nama ini mungkin sedikit berbeza mengikut daerah. Di bahagian pantai barat (Selatan Tanah Air) kepuk adalah bekas padi yang diletakkan di bawah rumah.

Penghasilan Beras

Proses akhir dalam penghasilan beras adalah proses menanggalkan kulit pada buah padi melalui beberapa proses. Proses menumbuk padi menggunakan lesung kaki mahupun lesung tangan merupakan teknik biasa yang digunakan oleh masyarakat Melayu dan diikuti dengan proses menampi untuk mengasingkan kulit padi dari isinya.

Bagi pengusaha sawah yang lebih besar seperti di Kedah penggunaan lesung kisar dan mesin penampi padi mungkin digunakan lewat penanaman padi dalam usaha meningkatkan pengeluaran penghasilan padi. Proses ini juga adakalanya dilakukan dengan bergotong-royong.

E. Alat Pengangkutan Padi

Pengangkutan darat:

  • Basikal
  • Beca
  • Kereta Tolak
  • Bakul Junjung
  • Anok
  • Kandar
  • Kereta Lembu

Pengangkutan Air:

  • Sampan/Perahu kecil


Jadi setelah padi bertukar menjadi beras (apabila kulitnya diasingkan), ia akan disukat pula menggunakan alat-alat penyukat (dalam proses pengagihan atau untuk tujuan jualan). Proses penyukat dilakukan dengan sukatan seperti di bawah.  

F. Alat Penyimpanan/Sukat Padi dan Beras

  • Pikul
  • Kilo
  • Kati
  • Gantang
  • Cupak
  • Leng
  • Kopi
  • Kepoi


Begitulah antara sedikit sebanyak lagi perkara menarik mengenai peralatan yang digunakan dalam proses penghasilan padi/beras dengan kaedah tradisi masa dahulu. Walaupun ia nampak mudah, namun ternyata banyak perkara terselit disebaliknya yang tidak kita ketahui. Oleh kerana saiz sawah yang diusahakan kebanyakannya bersaiz kecil, usaha untuk menggunakan jentera-jentera moden juga adalah agak terhad (kerana penggunaan jentera hanya efisyen bagi penghasilan berskala besar).

Namun di sini dapat kita lihat usaha gigih orang-orang dahulu dalam menghasilkan beras untuk keperluan keluarga bukanlah satu kerja yang mudah, malah melibatkan perancangan yang teliti. Walaupun kita tidak lagi bekerja di sawah padi (bendang) namun dari sini dapat dilihat, tiada perkara dapat dilakukan dengan mudah. Jadi usahakanlah apapun bidang yang kita ceburi dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai hasil yang lebih baik.

Muzium Padi, Kedah.

Untuk rujukan lanjut anda bolehlah melawat ke laman web memori kedah atau melawat sendiri ke Muzium Padi di alamat;

Lebuhraya Muzium Negeri Kedah,
Lebuhraya Darul Aman, Bakar Bata,
05100 Alor Setar,
Kedah Darul Aman,
Tel: 604-733 1162
Fax: 604-730 5100

Muzium Padi: 604-735 1315

* Jangan lupa untuk mengikuti artikel: Teknologi Penanaman Padi Di Luar Asean.


Free Download



Jumaat, 30 Oktober 2015

Rumput Ajaib Sumber Makanan Manusia – Padi (Oryza sativa)


Pelbagai jenis beras dengan saiz dan warna yang berbeza.

Beras merupakan sumber makanan utama hampir separuh dari penduduk dunia. Tumbuhan dari keluarga rumput ini, telah menjadi sumber makanan manusia sejak beribu tahun lamanya. Menurut bukti yang dijumpai di China beras telah digunakan sejak 8,000 tahun dahulu (jadi ia telah ditanam oleh manusia lebih awal lagi). Bagaimanakah manusia mula menggunakan beras (padi) sebagai sumber makanan? Bagaimana pula manusia mula belajar untuk menanam padi sendiri (dengan proses seperti mana yang kita lihat hari ini?)

Padi merupakan tanaman yang menghasilkan beras. Pemandangan bendang (sawah padi) biasanya akan memberikan pemandangan yang menenangkan. Namun sejak awal lagi, sebelum manusia mula menanam padi dengan bersawah, ia merupakan tumbuhan paya yang meliar sama juga seperti rumput-rumput yang lain. Padi bukanlah merupakan satu-satunya rumput yang membekalkan sumber makanan kepada manusia. Spesis rumput-rumput lain yang membekalkan bijirin sumber makanan kepada manusia termasuklah barley, fonio, Job’s tears, jagung, millet, oat, rye, sorghum, teff, triticale, typha, zizania dan gandum.

Malah terdapat juga bijirin lain yang turut menjadi sumber makanan manusia seperti buckwheat, tartary buckwheat, amaranth, A.caudatus, A. Cruentus, A. Hypochondriacus, celosia, quinoa, pitseed goosefoot, qañiwa, chia, wattleseed dan hanza. Maka dengan itu mungkin terdapat juga bijirin lain yang digunakan oleh masyarakat tertentu yang tidak disenaraikan di sini.


'Padi sawah' di tanam di dalam sawah dengan air yang banyak.

Padi Bukit juga dikenali sebagai huma.

Jenis-jenis Padi

Padi secara umumnya dibahagikan kepada 2 kumpulan besar iaitu padi sawah (Aquatic rice) dan juga padi bukit (hill-grown rice) atau juga dikenali sebagai padi huma. Padi sawah di tanam di dalam sawah dan memerlukan sumber air yang banyak. Manakala padi bukit pula biasa ditanam di kawasan bukit-bukit yang tidak mempunyai sumber air yang mencukupi.

Walaupun terdapat 2 kumpulan besar padi, namun terdapat lebih daripada 7,000 jenis (varieties) padi yang ditanam manusia di seluruh dunia. Jadi, untuk mengenal semua jenis padi ini bukanlah satu perkara yang mudah. Jenis-jenis padi yang berbeza adalah disebabkan oleh proses penanaman padi yang begitu lama dan penghasilan benih-benih baru padi sentiasa dijalankan dari zaman ke zaman. Selain itu juga jenis padi turut berbeza mengikut geography.

Perbezaan jenis-jenis padi dapat dilihat dengan jelas dari segi saiz (ukuran panjang), bentuk dan warnanya. Selain daripada rupa bentuk ini, jenis-jenis beras juga akan menghasilkan tekstur yang berbeza setelah dimasak seperti beras basmati yang kurang berkanji akan menghasilkan beras yang berderai, manakala beras pulut atau beras Jepun pula akan menghasilkan beras yang melekit dan lebih sesuai untuk dimakan menggunakan chopsticks.

Proses pemprosesan beras juga menghasilkan veriety beras yang berbeza seperti beras biasa dan beras perang. Beras perang sebenarnya adalah dari jenis beras yang sama di mana selaput dalam yang menyeliputi beras tidak dibuang. Beras perang mempunyai tarikh luput sekitar 6 bulan, jadi sebab itulah kenapa beras putih biasa lebih banyak dihasilkan dan harga beras perang juga lebih mahal.

Keindahan pemandangan sawah padi di Himalaya, Nepal.

Sawah di lereng bukit di China.

Proses Penanaman Padi

Penanaman padi secara tradisional mungkin jauh berbeza dengan proses penanaman padi hari ini dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil tanaman padi. Namun kaedah-kaedah penanaman tradisional ini masih lagi dijalankan bagi pesawah-pesawah kecil seperti di Indonesia. Di Malaysia sendiri yang mempunyai teknologi penanaman beras, masih lagi kekurangan pengeluaran beras dan bergantung kepada beras import.

Sistem penanaman biasa atau juga dikenali sebagai sistem mengubah dimulakan dengan penanaman benih padi di dalam tapak semaian. Padi-padi yang telah bercambah ini kemudiannya dipindahkan ke petak-petak sawah yang telah disediakan yang juga dipanggil mengubah/mengalih. Anak-anak padi akan ditanam dengan jarak kurang daripada 25 cm. Kaedah ini dapat membantu pokok padi tumbuh dengan lebih subur serta mengeluarkan hasil yang lebih banyak.

Namun hari ini teknik penanaman menggunakan mesin dan juga teknik tabur terus lebih banyak digunakan bagi mengurangkan penggunaan tenaga kerja untuk kerja-kerja mengubah. Melalui penggunaan mesin, keluasan sawah dapat dipertingkatkan. Namun begitu di Malaysia kebiasaan nya sawah yang diusahakan adalah sawah yang terletak di tanah rata. Tiada sawah di lereng bukit seperti di negara-negara jiran yang lain.


Pada tahun 2012 pengeluaran beras dari pengeluar-pengeluar utama beras adalah seperti berikut;


Top 20 Rice Producers by Country—2012 (million metric ton)
 China
204.3
 India
152.6
 Indonesia
69
 Vietnam
43.7
 Thailand
37.8
 Bangladesh
33.9
 Myanmar
33
 Philippines
18
 Brazil
11.5
 Japan
10.7
 Pakistan
9.4
 Cambodia
9.3
 United States
9
 South Korea
6.4
 Egypt
5.9
 Nepal
5.1
 Nigeria
4.8
 Madagascar
4
 Sri Lanka
3.8
 Laos
3.5
Source: Food and Agriculture Organization


Padi yang matang dari dekat.

Padi terus menjadi sumber makanan utama masyarakat dunia. Ini kerana ia bukan sahaja dapat menghasilkan pelbagai jenis makanan selain daripada nasi malah turut dijadikan tepung beras untuk menghasilkan jenis-jenis makanan yang lain.


Di dalam artikel yang lain kita akan melihat pula keunikan tumbuhan padi ini dari sudut yang lain pula. Walaupun negara kita bukan merupakan negara pengeluar padi, ia masih lagi menjadi sumber makanan utama penduduk negara. Jadi pengetahuan mengenai penghasilan sumber makanan ini tetap merupakan satu maklumat yang penting bagi kita semua.



Free Download



Arkib Blog