Rabu, 28 Oktober 2015

Pengangkutan di Sekitar Bukittinggi – Padang, Sumatra


Keadaan jalan seperti di Kelok 44 memerlukan kenderaan yang sesuai.

Pangangkutan untuk melakukan lawatan ke sekitar Daerah Padang dan Bukittinggi serta kawasan-kawasan lawatan utama merupakan antara perkara paling penting semasa anda ingin melakukan lawatan ke lokasi-lokasi menarik di sana. Rata-rata kebanyakan pelancong dari Malaysia akan memilih untuk mendapatkan khidmat daripada agensi pelancongan samada dari Malaysia atau dari Daerah Padang sendiri.

Bagi kawasan sekitar Bandar Padang sendiri, masalah ini tidak begitu sukar kerana di Bandar tersebut terdapat banyak pilihan pengangkutan disediakan bagi memenuhi keperluan pengguna kawasan perbandaran. Namun apabila anda ingin melanjutkan perjalanan ke daerah-daerah sekitarnya, barulah anda perlu memikirkan pengangkutan-pengangkutan yang sesuai dengan lokasi, jadual perjalanan, serta kos yang anda rancangkan untuk lawatan anda tersebut.

Perjalanan ke daerah sekitar keluar dari Bandar Padang memerlukan jadual perjalanan yang teratur terutama dari segi masa. Keadaan jalan yang agak kecil serta mendaki bukit, memerlukan masa yang lebih panjang. Manakala susun atur program anda juga perlu bertepatan dengan perjalanan pengangkutan yang perlu anda gunakan. Sebaiknya anda menggunakan khidmat penduduk setempat yang lebih mahir dengan selok-belok jalan di sekitar daerah ini. Ini kerana jalan-jalan di sini bukan sahaja lebih kecil dan curam malah mempunyai banyak selekoh tajam yang mungkin boleh membahayakan untuk anda dan orang lain.

Anda juga perlu mempunyai perancangan yang jelas bagi memudahkan anda memilih pengangkutan yang sesuai sewaktu anda ingin menyempurnakan lawatan anda ke tempat-tempat yang anda inginkan. Terdapat banyak pilihan pengangkutan yang boleh anda gunakan sewaktu berada di sini, namun kesemuanya ada kelebihannya masing-masing.

Tranex menyediakan bus dari Padang ke Bukittinggi.

Travel Agensi

Penggunaan travel agensi merupakan pilihan yang paling mudah kerana segala keperluan pengangkutan anda akan diuruskan mengikut permintaan. Malah travel agensi juga mampu menyediakan pengangkutan untuk sejumlah rombongan yang ramai dengan pelbagai jenis pengangkutan termasuk bas, mini bus, van, mpv, kereta dan juga 4 by 4 sekiranya perlu. Jadi sekiranya anda melakukan lawatan berkumpulan, penggunaan khidmat travel agensi ini amatlah sesuai.

Selain daripada menyediakan pengangkutan, travel agensi anda juga mungkin akan menyediakan khidmat-khidmat yang lain termasuk pengurusan penginapan, makan, tiket-tiket ke tempat lawatan dan sebagainya. Apa yang penting kesemua perkara ini perlu diputuskan sebelum anda melakukan perjalanan anda ke sini bagi memudahkan urusan kedua-dua belah pihak. Terdapat banyak travel agensi yang menguruskan pelawat ke Padang dan daerah sekitarnya secara berkumpulan mahupun individu. Malah travel agensi ini ada yang beroperasi di Padang, Bukittinggi mahupun dari Malaysia sendiri.

Teksi

Teksi merupakan pengangkutan yang paling mudah digunakan kerana anda tidak perlu membuat tempahan lebih awal. Namun kos pengangkutan dengan teksi mungkin jauh lebih tinggi berbanding pengangkutan-pengangkutan lain. Sekiranya anda memerlukan perjalanan yang lebih cepat tanpa menunggu dan destinasi anda juga tidak ditempuhi oleh pengangkutan awam yang lain, perkhidmatan teksi mungkin boleh digunakan. Terdapat banyak syarikat teksi yang beroperasi di Padang dan anda boleh mendapatkan khidmat ini di sekitar lapangan terbang mahupun di tengah-tengah Bandar Padang Sendiri.

Bas

Sememangnya terdapat bas dari Padang ke daerah sekitarnya. Terdapat juga bas dari lapangan terbang Minangkabau ke pusat bandar. Maka dari pusat bandar anda bolehlah menyambung perjalanan ke daerah-daerah lain menggunakan bas-bas ini. Bas yang biasa digunakan untuk ke Bukittinggi dikenali sebagai Tranex dari terminalnya sendiri di pusat bandar. Manakala ia akan berhenti di terminal bas Aur Kuning di Bukittinggi (dan anda perlu menggunakan pengangkutan lain untuk ke pusat bandar Bukittinggi – Jam Gadang pula).

Angkot dengan pelbagai warna dan corak.

Dalaman angkot yang diubahsuai.

Angkot

Angkot nama singkatan bagi “Angkotan Kota”, satu pengangkutan yang penting di sekitar bandar-bandar di Indonesia. Ia merupakan sebuah minivan yang diubahsuai untuk kemudahan mengangkut penumpang ke destinasi-destinasi berhampiran (dalam bandar terutamanya). Jika anda memilih untuk menggunakan pengangkutan awan, pengangkutan ini merupakan salah satu pengangkutan yang perlu anda gunakan.

Ia mungkin akan menjadi agak sempit sekiranya terlalu ramai penumpang menaikinya – kerana angkot akan cuba mengambil seramai penumpang yang boleh. Namun begitu ia juga mungkin menjadi salah satu pengalaman menarik semasa anda berkunjung ke sini. Kos menggunakan pengangkutan angkot ini adalah di antara 2,000 IDR ke 3,000 IDR bergantung kepada jarak perjalanan. Anda juga perlu bertanyakan destinasi yang dilalui oleh angkot untuk mengelakkan berlakunya sebarang kesilapan.

*Angkot di Bukittinggi mempunyai warna-warna tertentu mengikut destinasi – namun begitu adalah lebih baik memastikannya daripada pemandu angkot itu sendiri.

Ojek sedang menunggu pelanggan.

Ojek

Ojek juga merupakan satu lagi pengangkutan amat berguna di bandar-bandar di Indonesia. Menggunakan motorsikal bagi penumpang yang berjalan seorang diri – atau menyewa lebih dari satu ojek dalam satu masa. Ojek merupakan pilihan pengangkutan yang lebih pantas sekiranya keadaan jalan menghadapi kesesakan lalulintas dan pilihan laluan-laluan kecil (yang hanya boleh dilalui oleh motorsikal sahaja).

Ojek juga tidak mempunyai haluan yang spesifik, jadi anda boleh menyewa ojek untuk halatuju yang anda inginkan. Namun begitu adakalanya harga ojek lebih mahal berbanding angkot. Anda juga perlu memilih ojek yang menyediakan ‘helmet’ bagi memastikan keselamatan anda semasa melakukan tunggangan. Harga ojek juga perlu dipersetujui sebelum anda bersetuju untuk menggunakan perkhidmatannya dan dibayar apabila sampai ke destinasi.

Selain ojek anda juga boleh menyewa motorsikal atau beserta dengan pemandu pelancong sendiri bagi membantu anda mejelajahi ke kawasan-kawasan lawatan penting. Terdapat beberapa tempat membolehkan anda mendapatkan perkhidmatan sewaan motorsikal di sekitar Bukittinggi dengan harga sekitar 65,000 IDR (tanpa pemandu).

Pengalaman perjalanan

Semasa saya melakukan lawatan singkat ke Bukittinggi saya menggunakan dua jenis pengangkutan utama iaitu kereta sewa dan motorsikal sewa. Kedua-dua kenderaan ini dipilih bersesuaian dengan tempat lawatan yang ingin saya tujui.

Pada hari pertama saya menggunakan perkhidmatan kereta sewa terus dari Lapangan Terbang Minangkabau ke destinasi ‘Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau’ (PDIKM) yang terletak di Padang Panjang. Perjalanan diteruskan menuju ke Pagar Ruyung untuk melihat Istana Basa Pagar Ruyung yang sebelum itu membolehkan saya singgah sebentar di Istana Selinduang Bulan – yang juga merupakan satu lagi replika istana penting di Pagar Ruyung. Saya juga sempat singgah di sebuah rumah makan tempatan – yang jarang dikunjungi oleh pelancong luar (untuk merasai makanan istimewa penduduk tempatan; Restoran Ambun Pagi, di Pagar Ruyung).

Pemilihan pengangkutan kereta sewa adalah kerana perjalanan ini agak jauh dan terletak di daerah yang berbeza mengikuti laluan utama. Jadi perkhidmatan kereta sewa dapat memberikan keselesaan dan juga kepantasan dari segi waktu perjalanan. Saya tidak mungkin dapat ke semua kawasan tersebut sekiranya menggunakan perkhidmatan awam biasa untuk tempoh dari pagi ke petang.

Pada hari kedua pula saya menggunakan perkhidmatan motorsikal dengan pemandu sebagai penunjuk ‘guide’. Ini kerana kawasan yang akan saya kunjungi adalah Danau Maninjau mengikuti laluan kampung yang dipenuhi dengan pemandangan yang menarik. Laluan kampung agak kecil dan saya perlu berhenti beberapa kali untuk mendapatkan gambar pemandangan yang menarik – jadi pemilihan motorsikal adalah bertepatan dengan tujuan perjalanan ini.

Perjalanan menuruni Kelok 44 juga ternyata lebih mudah menggunakan motorsikal, kerana selekohnya yang amat tajam dengan cerun di setiap kelok. Saya juga berpeluang meredah ke perkampungan di tepian bukit untuk melihat keindahan sawah di perkampungan Danau Maninjau.

Perjalanan balik dari Bukittinggi ke Lapangan Terbang Minangkabau mengambil masa 3 jam oleh kerana keadaan jalan yang sesak (pasar pada hari Isnin berhampiran Pandai Sikek di Padang Panjang). Jadi, anda adalah dinasihatkan merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan terperangkap di dalam keadaan lalulintas yang tidak menentu di sini.

Berikut adalah beberapa pengangkutan yang saya gunakan semasa melawat ke Bukittinggi;
Perkhidmatan kereta sewa dari saudara Oktavian (Oki):  +62 8136 349 1206

Perkhidmatan motorsikal sewa dari Bedudal Cafe (terletak di Jl. A. Yani), saudara Joe (guide): Anda boleh ke Bedudal Cafe untuk mendapatkan perkhidmatan dan juga pandangan untuk melakukan lawatan ke lokasi-lokasi yang menarik. Bedudal Cafe juga boleh membantu anda dalam banyak keperluan lawatan anda semasa di Bukittinggi.

Anda juga boleh mendapatkan perkhidmatan dari travel agensi:

Pt. Raun Sumatra Indah Tour & Travel
+62 752 21133
+62 812 662133

Kesemua pengangkutan tersebut berguna mengikut keperluan anda. Jadi adalah diharap sedikit sebanyak maklumat ini dapat memberikan kemudahan kepada anda yang mempunyai keinginan untuk berkunjung ke Padang dan kawasan di sekitarnya, terutama Bukittinggi yang menjadi salah satu tumpuan utama di situ. Semoga dengan perancangan yang teratur lawatan anda akan menjadi lebih lancar.


Anda juga mungkin berminat untuk artikel:


ii) KeunikanSenibina Tanah Minang – Padang, Sumatra


Free Download



Ahad, 25 Oktober 2015

Keunikan Senibina Tanah Minang – Padang, Sumatra

Keunikan senibina Minangkabau dengan ukiran berwarna.

Bukittinggi lebih dikenali sebagai Tanah Minang terletak di Daerah Padang, Sumatra Barat yang merangkumi beberarapa kawasan utama daripada Pagar Ruyung, Paya Kumbuh, Padang Panjang dan Bukittinggi. Walaupun senibina utama di sini didominasi oleh senibina Minang dengan ciri-ciri bumbung bertanduk, sebenarnya daerah ini turut dibina dengan pelbagai senibina yang menceritakan latar belakang sejarah daerah ini sendiri dalam mengharungi arus masa dalam era yang berbeza.

Senibina di Daerah Padang rata-ratanya mengekalkan senibina dari kehidupan Masyarakat Minang sendiri. Tiada senibina lama yang ditinggalkan daripada zaman sebelumnya (kerana seperti yang kita ketahui keseluruhan Kepulauan Sumatra dan Jawa suatu masa dahulu pernah dipengaruhi oleh kepercayaan lain seperti Hindu dan Buddha). Cuma ciri-ciri ini hanyalah dalam bentuk warna yang digunakan pada ukiran-ukiran kayu pada bangunannya. Berbeza dengan kawasan-kawasan lain di sekitar Kepulauan Melayu – ukiran  kayu tidak diwarnakan sepertimana di sini.

Senibina Lapangan Terbang Minangkabau di Padang diilhamkan dari senibina Minangkabau sendiri.

Antara Rumah Gadang Lama yang terletak di pendalaman kampung di Bukittinggi.

Antara rumah lama yang masih terdapat di Pagar Ruyung.

Ciri-ciri Unik Senibina Minang

Ciri-ciri unik utama Minang adalah senibina Rumah Gadang dengan bumbung berbentuk tanduk yang masih dapat dilihat pada bangunan-bangunan  di sekitar kawasan ini. Bangunan utama seperti yang dijadikan sebagai ‘Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau’ di Padang Panjang misalnya merupakan satu contoh yang baik bagi senibina Minangkabau yang asli.

Keunikan Rumah Gadang bukan sahaja terletak pada rupa bentuk binaannya malah fungsinya juga yang menempatkan beberapa keluarga dari satu generasi di bawah satu bumbung. Fungsinya ini pula dipengaruhi oleh corak kehidupan masyarakat setempat yang mengamalkan Adat Pepatih dan mengutamakan perlindungan kepada kaum wanita, manakala bagi yang lelaki pula perlu mendapat pendidikan yang cukup – maka mereka perlu tidur di surau sambil menjalani pembelajaran agama di sana.


Balai Adat, Koto Gadang, Bukittinggi.

Rumah Gadang di Pandai Sikek, Padang Panjang.
Rumah kampung dengan senibina Rumah Minang.

Senibina rumah gadang amat unik kerana ia tidak mempunyai dinding yang lurus, sebaliknya condong dan membesar di bahagian atasnya. Manakala di bahagian tepi pula adalah lebih tinggi berbanding bahagian tengahnya. Ia merupakan satu bentuk senibina yang jarang digunakan dalam senibina lama yang kebiasaannya menggunakan bentuk yang rata untuk lantai dan dinding. Namun begitu rumah-rumah gadang merupakan antara senibina yang mampu bertahan walaupun ditimpa gempa bumi.  Selain daripada rupa bentuknya yang unik ini, ia juga dibina tanpa menggunakan paku – mungkin antara peyumbang yang menjadikan ia satu binaan yang kukuh.

Masih terdapat beberapa binaan rumah gadang asli di beberapa kawasan di sekitar Padang. Rumah Gadang lama yang masih kekal sehingga hari ini antaranya adalah Rumah Kampai Nan Panjang yang terletak 13 km dari Batu Sangkar di kawasan yang dikenali sebagai Sungai Belimbing. Rumah Gadang ini dikatakan berusia lebih daripada 200 tahun (dan usia sebenar tidak diketahui). Rumah gadang yang asli menggunakan ijuk sebagai bahan binaan bumbungnya. Namun kebanyakan bumbung rumah gadang yang masih kekal ditukarkan kepada bahan lain kerana ijuk sukar digunakan dan mudah terbakar.

Rumah Gadang Kampai Nan Panjang  berusia ratusan tahun. - wikipedia.


Rumah Gadang di kawasan Solok yang dikenali sebagai "Nagari seribu rumah gadang" - gambar dari blog nashbahry.

Salah satu kawasan yang popular dengan rumah gadang adalah di Solok, juga di dalam Daerah Padang. Ia diberikan nama jolokan sebagai “Nagari seribu rumah gadang” kerana mempunyai jumlah rumah gadang yang lebih banyak di sini. Di lain-lain kawasan juga rumah-rumah gadang dapat diperhatikan seperti di kawasan Pagar Ruyung, Batu Sangkar, Padang Panjang dan Bukittinggi. Apa yang menarik, senibina rumah gadang ini adalah variasi reka bentuk antara rumah-rumah gadang tersebut dan juga dekorasi yang digunakan. Jadi rumah gadang mempunyai pelbagai perbezaan yang perlu anda amati.

Masjid moden yang dibina di perkampungan Danau Maninjau.
Terdapat pancuran air dari sungai mengalir dari gunung yang jernih. 

Senibina Lain

Walaupun Padang rata-ratanya didominasi oleh senibina Minangkabau, apa yang akan anda temui di sini sebenarnya adalah variasi senibina yang amat luas. Variasi senibina ini terdapat bukan sahaja pada bangunan-bangunan zaman Belanda, malah bangunan selepas zamannya juga turut mempunyai ciri-ciri senibina yang berbeza.

Rumah lama yang didirikan dari zaman Belanda.
Rumah moden yang dibina dengan bercirikan tinggalan Belanda.

Bangunan-bangunan di zaman Belanda terdapat banyak di kawasan Koto Gadang – iaitu kawasan penempatan orang-orang Belanda semasa menduduki kawasan Bukittinggi yang turut membina Jam Gadang di Bukittinggi sendiri. Ciri-ciri bangunan binaan Belanda ini lebih ringkas dan menggunakan dinding batu. Reka bentuknya pula lebih geomatrik, bersegi dan simetri.

Variasi senibina yang paing ketara di daerah ini pula dapat dilihat daripada binaan masjid-masjid yang banyak dibina di sekitar Daerah Padang. Ia merupakan penyumbang kepada senibina yang paling luas di sini. Berbanding dengan bangunan-bangunan biasa yang lain, senibina masjid-masjid di sini bukan hanya dipengaruhi oleh senibina Minang, malah bebas menzahirkan kreativiti senibina yang mencerminkan fungsinya sebagai antara bangunan penting masyarakat setempat.

Khubah Perak antara binaan khubah yang popular di sekitar Dearah Padang. 

Binaan Masjid Baru ini mengetengahkan sinibina moden.

Masjid lama yang terletak di perkampungan Koto Gadang, Bukittinggi.

Masjid kecil di tengah kampung ini juga tidak kurang menariknya.

Mahupun bangunan masjid lama ataupun baru ia dibina dengan reka bentuk yang amat unik. Jadi anda boleh melihat ciri-ciri keunikan pada setiap binaan masjid di daerah ini. Rekaan masjid di sini mempunyai bumbung daripada berbentuk khubah dan pelbagai bentuk geomatrik. Ini ditambah lagi dengan ciri-ciri binaan bangunan itu sendiri yang adakalanya menyerupai bangunan moden yang cantik. Bagi sesetengah masjid pula ia dibina dilengkapi dengan kolam air daripada air jernih yang mengalir dari gunung – seperti masjid di kawasan Danau Maninjau.

Mungkin banyak perkara yang boleh diperhatikan di daerah ini yang menampilkan ciri-ciri keunikan binaan masyarakat di sini. Terutama kehalusan seni ukiran kayu yang berwarna-warni.  Bahan-bahan binaan lama yang terdiri daripada kayu, buluh, ijuk dan sebagainya semakin kurang digunakan oleh kerana perubahan zaman. Namun begitu keunikan senibina yang luas ini juga mencerminkan Tanah Minang, bukanlah hanya didominasi oleh satu pemikiran yang tertutup tapi turut menerima idea-idea lain yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.


Rumah dari zaman pendudukan Belanda di Kota Gadang, Bukittinggi.

Ijuk sebagai bahan asli binaan bumbung Rumah Minang.

Semoga ia sedikit sebanyak dapat memberikan panduan kepada anda dalam membuat pemerhatian mengenai ciri-ciri binaan (architecture) yang terdapat di Daerah Padang. Antara lainnya membuka kepada rekaan-rekaan baru yang mungkin sebelumnya dirasakan janggal untuk dicuba. Maka dengan ini juga saya mengucapkan tahniah bagi masyarakat di sana yang mampu melahirkan binaan-binaan yang unik di daerah mereka.




Free Download



Jumaat, 23 Oktober 2015

Destinasi – Melawat ke Bukittinggi, Padang, Indonesia

Rumah Gadang - Padang Panjang.
Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minagkabau.

Bukittinggi merupakan salah satu kawasan pelancongan yang popular di Sumatra Barat yang berada di Daerah Padang, merupakan kawasan tanah tinggi yang penuh dengan sejarah dan keunikan budaya yang tersendiri. Melawat ke daerah ini memerlukan perancangan yang teliti bagi memastikan perjalanan anda berjalan dengan lancar.

Untuk memudahkan perjalanan lawatan kebanyakan pelawat dari Malaysia terutamanya akan menggunakan khidmat dari agensi-agensi pelancongan yang banyak terdapat di daerah ini samada dari Padang ataupun dari Bukittinggi sendiri. Menggunakan khidmat mereka perjalanan anda dapat diatur dari saat sampai di Lapangan Terbang Minangkabau di Padang, sehinggalah hari kembali semula – anda akan dihantar ke sini. Ini kerana keadaan jalan dan lalulintas di daerah ini sangat berbeza, jadi jarak masa perjalanan sukar untuk dibaca (melainkan oleh orang tempatan sendiri).

Bagi yang ingin merasakan keadaan yang berbeza – iaitu pengangkutan awam. Daerah ini juga disediakan dengan pelbagai kemudahan pengangkutan awam. Namun ia akan mengambil masa yang lebih lama. Bagi kawasan bandar seperti Padang kemudahan pengangkutan termasuk bas, teksi, angkut dan ojek, manakala di kawasan Bukittinggi pula tiada ojek namun kemudahan pengangkutan lain terdapat seperti biasa.

Apa yang jelas berbeza di daerah ini keadaan jalan agak sempit dan jalan utama dari Padang ke Bukittinggi sendiri agak kecil. Laluan kenderaan agak sibuk ditambah dengan keadaan jalan yang mendaki bukit menyebabkan perjalanan mengambil masa yang lebih lama berbanding perjalanan biasa. Namun bagi penduduk tempatan di sini, keadaan pemanduan dan bentuk muka bumi ini tidak menjejaskan perjalanan mereka (jadi adalah lebih baik sekiranya anda mendapat khidmat dari penduduk tempatan sendiri).

Panorama persekitaran berhampiran Bukittinggi.

Kawasan-kawasan Lawatan di Daerah Padang (Bukittinggi);

Terdapat banyak kawasan untuk dikunjungi di Padang dan anda tidak mungkin dapat melawat kesemuanya di dalam satu lawatan sahaja. Pemandangan menarik di setiap tempat di daerah ini sendiri merupakan salah satu tarikan yang akan anda kagumi. Namun begitu terdapat kawasan-kawasan utama yang menjadi tumpuan para pelawat sebagai panduan, memberikan anda kemudahan untuk membuat pilihan. Tempat-tempat menarik ini terletak di beberapa kawasan seperti Padang Panjang, Pagar Ruyung, Paya Kumbuh, Bukittinggi dan Danau Maninjau.

Secara umumnya kawasan di sekitar Daerah Padang mencerminkan budaya masyarakat Minangkabau yang unik dengan senibina dan kemahiran-kemahiran mereka yang lain seperti pertukangan kayu dan juga tenunan songket serta sulaman. Malah gaya hidup mereka sendiri dengan bersawah di lereng-lereng bukit menyediakan panorama unik di persekitaran daerah ini. Bagi kawasan-kawasan tanah tinggi pula penduduk turut menanam sayur-sayuran lain seperti kobis, lobak merah, bawang, kacang tanah, tebu dan lain-lain lagi. Keadaan cuaca dingin di sini membolehkan tanaman tumbuh subur.

Rata-rata penduduk di sini akan bersawah di mana sahaja kawasan yang boleh menyediakan kawasan sesuai untuk tanaman padi (walaupun di ruang yang kecil bersebelahan rumah mereka misalnya). Kemahiran menanam padi ini amat menarik untuk diamati kerana ia perlu menyediakan sistem saliran untuk pengairan padi pada lereng-lereng bukit, termasuk penyediaan benteng-benteng sawah yang bertingkat-tingkat. Ini juga dilakukan dengan beberapa kaedah unik dengan penyediaan benteng daripada batu-batu gunung berapi yang terdapat di kawasan tersebut.

Walaupun di mana sahaja kawasan yang anda lawati di Daerah Padang ini, anda dapat menyaksikan pelbagai keunikan dari segi budaya, senibina, gaya hidup, bentuk muka bumi, sumber bumi, hasil kerja tangan, aktiviti harian dan pelbagai lagi yang pastinya menarik perhatian anda. Cuma untuk destinasi lawatan spesifik seperti lokasi-lokasi tertentu untuk sesetengah perkara.



Rumah Tamu Pusako, Pandai Sikek.

Padang Panjang

Antara destinasi lawatan spesifik yang menarik adalah ‘Pusat Dokumentasi Dan Informasi Kebudayaan Minangkabau’ yang terletak di Padang Panjang misalnya. Pusat ini juga merupakan badan khas yang memberikan penerangan terperinci mengenai budaya hidup masyarakat Minangkabau termasuk keunikan senibina Rumah Gadang sendiri. Pusat yang di tempatkan di dalam Rumah Gadang ini memudahkan lagi para pengunjung untuk memahami keunikan budaya masyarakat Minangkabau di sini. Ia juga turut mempamerkan gambar-gambar lama, buku-buku dan pakaian Pengantin Minangkabau bagi para pengunjung yang berminat untuk mencuba.

Pandai Sikek pula merupakan satu kawasan perkampungan unik di kawasan Padang Panjang di mana dua hasil seni dari kawasan ini iaitu songket dan ukiran kayu menjadi hasil utama penduduk di sini. Rata-ratanya kemahiran ukiran kayu dilatih kepada setiap anak mudah lelaki manakala kemahiran menenun pula diajarkan kepada remaja perempuan. Anda mungkin berpeluang untuk melawati bengkel-bengkel kerja mereka dan melihat sendiri bagaimana mereka melakukan kerja-kerja ukiran dan tenunan ini. Malah sekiranya anda berminat anda juga boleh membeli hasil seni ini daripada kedai-kedai yang disediakan di sekitar kawasan Pandai Sikek.

Istano Basa Pagar Ruyung.


Anjung hadapan Istano Basa Pagar Ruyung.
Keunikan senibina Istano Selinduang Bulan, Pagar Ruyung.


Rumah tradisional lama - Pagar Ruyung.

Pagar Ruyung

Pagar Ruyung merupakan kawasan sejarah bagi Masyarakat Minangkabau. Jadi ia merupakan satu lagi kawasan yang harus anda lawati sekiranya anda melawati Daerah Padang. Di sinilah terdapat banyak tinggalan sejarah orang-orang Minangkabau. Antara lokasi penting di sini adalah ‘Istano Basa Pagar Ruyung’ yang merupakan replika istana asal yang terletak di Pagar Ruyung. Istana aslinya telahpun terbakar dan replika ini dikatakan hanya bersaiz 1/3 daripada saiz sebenar istana tersebut.

Istana ini cuba dibina seperti istana yang asal, namun mungkin terdapat beberapa perkara yang menggunakan material baru (namun ia tidaklah menjejaskan darisegi rupa bentuk istana tersebut). Ia dipenuhi dengan ukiran bermotifkan bunga-bungaan di keseluruhan binaan. Manakala bumbungnya pula menggunakan material daripada ijuk (material asal untuk bangunan lama di daerah ini – berbanding nipah/rumbia bagi masyarakat Melayu). Walaupun bersaiz lebih kecil daripada yang asal, replika ini cukup besar dan mempunyai 3 aras.

Berhampiran dengan istana besar terdapat sebuah lagi istana kecil iaitu ‘Istano Selinduang Bulan’ yang juga merupakan replika binaan semula daripada istana asal. Istana ini lebih kecil namun binaannya amat menarik menggunakan skema warna yang sedikit berbeza daripada istana besar di Pagar Ruyung. Ia terletak begitu hampir di antara keduanya, jadi anda tidak harus melepaskan peluang untuk singgah di istana ini juga.

Terdapat beberapa lokasi lagi di sekitar Pagar Ruyung yang unik, namun anda perlu menyemaknya daripada badan pelancongan di Padang (video lawatan di dalam Istano Basa). Lokasi-lokasi ini tidak popular bagi pelancong luar, tetapi juga merupakan beberapa lagi lokasi menarik di Pagar Ruyung.


Hidangan minuman 'Kawa Daun'.

Batu Sangkar

Berbeza pula dengan kawasan Batu Sangkar kerana keunikan di sini adalah pemandangan panorama menarik di Tabek Patah. Dari kawasan ini anda dapat menyaksikan pemandangan lembah yang dipenuhi dengan sawah padi serta gunung-ganang yang mengelilinginya. Kawasan di sini juga terdapat beberapa keunikan lain antaranya adalah perusahaan pisang salai dan keunikan minuman ‘kopi daun’ yang dikenali sebagai ‘kawa daun’.

‘Kawa Daun’ merupakan minuman yang disediakan menggunakan daun kopi berbanding biji kopi. Ia dihidangkan di dalam tempurung kelapa yang telah dibersihkan dan digilap. Rasanya mungkin tidak sama dengan kopi, namun anda mungkin ingin mencubanya sebagai tanda lawatan ke sini. ‘Kawa Daun’ juga dihidangkan dengan kuih-muih (gorengan) seperti goreng tempeh, goreng pisang, goreng ubi, goreng tapai dan bakwan yang juga menarik untuk dicuba semasa menikmati minuman ini nanti.

Bukittinggi

Bukittinggi merupakan kawasan utama di mana disediakan kebanyakan kemudahan bagi para pengunjung yang berkunjung ke kawasan tanah tinggi di Padang. Selain menyediakan tempat-tempat lawatan bersejarah, ia juga menjadi tempat membeli belah hasil kerja tangan daripada kawasan sekitar.

Lawatan di sekitar Bukittinggi sendiri memerlukan waktu sekurangnya satu hari untuk melawati kesemua tarikan di sini. Ini termasuk lawatan ke Muzium Bukittinggi, Jam Gadang, Lubang Japang, Ngarai Sianok, Jambatan Limpapeh, Muzium Rumah Kelahiran Bung Hatta, Pasar Atas dan Pasar Bawah, tinggalan Fort de Kock, Taman Haiwan, dan beberapa lagi lokasi menarik untuk mengenali budaya dan keunikan masyarkat di sini.

Sesuai dengan lokasinya sebagai tempat persinggahan utama, ia kaya dengan pelbagai lokasi dan aktiviti untuk anda terokai. Samada anda ingin melihat tinggalan sejarah, menyelami keunikan budaya atau membeli hasil kerja tangan penduduk dari sekitar daerah berhampiran. Bukittinggi juga dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lain seperti pasaraya, hotel-hotel penginapan serta pusat untuk mendapatkan kemudahan pengangkutan daripada penyedia khidmat lawatan ‘travel agency’.

Sawah bertingkat di lereng Danau Maninjau.

Danau Maninjau

Danau Maninjau merupakan satu lagi lokasi tarikan yang amat popular berhampiran Bukittinggi. Kawasan ini terkenal bukan sahaja kerana keunikan pemandangannya, malah terdapat beberapa lagi keunikan lain di sini yang menyebabkan ia menjadi antasa lokasi penting di sini.

Danau Maninjau merupakan tasik daripada kawah gunung berapi seperti juga Danau Toba (Medan) dan juga Danau Singkarak (Pagar Ruyung). Namun apa yang berbeza di sini terdapat beberapa aktiviti menarik untuk para pengunjung. Berhampiran danau ini terdapat Puncak Lawang yang merupakan kawasan tanah tinggi yang menjadi kawasan paling menarik untuk menikmati pemandangan Danau Maninjau dari ketinggian 1,200 meter dari aras laut. Ia juga merupakan lokasi aktiviti ‘paragliding’ yang paling digemari di serata Sumatra.

‘Kelok 44’ adalah nama bagi laluan untuk turun ke Danau Maninjau yang terletak 400 meter di bawah Puncak Lawang. Laluan berliku ini amat unik dan pemandangan menarik Danau Maninjau boleh disaksikan semasa menuruni jalan berliku curam ini. Terdapat banyak gerai makanan dan minuman di sepanjang perjalanan di Kelok 44 untuk anda berhenti rehat dan menikmati pemandangan menarik sebelum tiba di Dananu Maninjau.

Danau Maninjau juga dilengkapi dengan hotel-hotel dan rumah penginapan. Aktiviti penduduk di sini termasuklah perusahaan ikan sangkar dan juga bersawah. Sawah-sawah lereng bukit dapat disaksikan di sekitar tasik ini. Terdapat banyak mata air jernih yang mengairi sawah padi di serata kawasan Danau Maninjau. Di sini juga terletaknya ‘Muzium Rumah Kelahiran Dr. Hamka’. Ia juga merupakan antara lokasi yang diminati oleh Presiden Indonesia iaitu Sukarno yang melawati kawasan ini dan turut menghasilkan pantun mengenainya;

Jangan dimakan arai pinang,
Kalau tidak dengan sirih hijau.
Jangan datang ke Ranah Minang,
Kalau tidak singgah ke Maninjau.


Terdapat banyak lagi lokasi unik di persekitaran daerah ini yang mungkin anda akan temui dengan tidak sengaja. Oleh kerana ia merupakan antara lokasi yang terdekat dengan Kuala Lumpur, Malaysia (1 jam penerbangan dari KLIA) maka ia merupakan antara lokasi lawatan yang paling mudah untuk anda kunjungi. Terdapat beberapa lagi perkara penting mengenai daerah ini yang mungkin saya akan kongsikan di dalam artikel yang lain. Sekiranya anda berminat untuk ke sini, bolehlah bersedia dengan perancangan anda tersebut.

** Gambar oleh - Ibbyphotography


Anda juga mungkin berminat untuk artikel:


ii) KeunikanSenibina Tanah Minang – Padang, Sumatra


Free Download



Arkib Blog