Sejak berkurun lamanya Masyarakat Melayu mempercayai bahawa burung cenderawasih adalah burung yang tinggal di awan, bertelur di awan dan jarang sekali hinggap ke bumi. Burung yang dimiliki oleh sesetengah pihak ini digunakan untuk mengubati penyakit dan mengaut keuntungan yang tinggi daripada pesakit tersebut.
Itulah yang menimpa kepada kita, apabila tidak mempunyai ilmu mengenai sesuatu perkara. Dipergunakan oleh pihak lain demi kepentingan mereka yang menyembunyikan perkara sebenar dan mereka perkara-perkara yang aneh. Namun begitu dengan perkembangan teknologi hari ini, perkara sebegini bergantung kepada kita sendiri. Maklumat boleh dicari dengan mudah, hanya bergantung kepada kita sendiri.
Sebenarnya burung Cenderawasih adalah burung seperti juga burung-burung lain, yang jarang ditemui. Burung ini hanya tinggal di Kepulauan Papua New Guinea yang diselaputi hutan tebal dan dihuni oleh masyarakat asli (masyarakat Korowai) yang juga suatu masa dahulu menjadikan manusia sebagai sebahagian makanan mereka. Di pendalaman hutan inilah terdapatnya beberapa spesis burung cenderawasih yang tidak dijumpai di kawasan-kawasan yang lain.
Burung Cenderawasih yang dikenali oleh Masyarakat Melayu (Malaysia khususnya) adalah dikenali sebagai ‘Greater Bird of Paradise’ iaitu salah satu daripada banyak lagi spesis di dalam kumpulan keluarga burung ini: Bird-of-paradise adalah dari family ‘Paradisaeidae’ dari order ‘Passeriformes’. Dalam kumpulan burung ini terdapat sekumpulan burung-burung yang amat cantik dengan gelagat yang sangat mempersonakan.
Oleh kerana sukarnya untuk menemui burung ini, maka sesetengah pihak telah merekakan cerita-cerita yang tidak sepatutnya bagi mengaut keuntungan atas orang lain. Namun hari ini, sejumlah besar burung-burung ini telahpun dikenal pasti dan banyak sekali burung-burung dari kumpulan cenderawasih ini dikaji mengenai kelakuan dan sifat semulajadi mereka.
Kumpulan burung-burung ini sememangnya mempunyai bulu yang amat cantik. Manakala perwatakan mereka juga amat menarik sesuai sekali mereka diberikan gelaran sebagai ‘bird-of-paradise’. Mungkin tidak semua antara kita yang berpeluang melihat burung ini secara dekat, maka satu-satunya peluang untuk melihat burung ini adalah melalui bahan media cetak atau elektronik (majalah, rencana TV dan internet).
Jadi sekarang anda telahpun mengetahui bahawa burung cenderawasih bukanlah burung ajaib seperti yang digembar-gemburkan. Sekiranya berpeluang kami akan memaparkan lebih banyak mengenai burung menakjubkan ini. Namun anda juga boleh membuat carian sendiri mengenainya dan jangan lupa kongsi-kongsikan maklumat yang anda perolehi dengan pembaca yang lain.