Aksi penebar roti canai. |
Roti Canai merupakan antara makanan paling popular di Malaysia selepas Nasi Lemak. Walaupun ia pernah disebut di dalam artikel sebelum ini namun, ia perlu mendapat perhatian yang lebih – iaitu artikel yang menjurus kepadanya secara lebih spesifik.
Roti canai mungkin popular sebab ianya murah dan mudah didapati di merata tempat di serata Malaysia. Walaupun begitu bagi peminat-peminat roti canai, bukanlah mudah untuk mendapatkan roti canai yang betul-betul memenuhi kehendak mereka. Ini kerana roti canai yang telah bertapak di Malaysia untuk tempoh yang agak lama mempunyai pelbagai "genre" bagi memenuhi pelbagai kehendak selera pengguna.
Makanan yang pada asalnya popular dari Selatan India ini dibawa masuk semasa ramai orang-orang India berhijrah ke sini. Ia dipopularkan lagi oleh golongan mamak (India Muslim) yang rata-rata kebanyakannya menjalankan perniagaan makanan (restoran) di mana sahaja mereka berada di Malaysia. Kaedah pengoperasian kedai makan oleh golongan mamak ini adalah antara yang efisyen dari segi masa yang menjadikan ia mudah dikunjungi oleh semua masyarakat lain.
Namun begitu berbalik kepada roti canai yang diminati ramai penduduk Malaysia, ia telah pun dikuasai oleh beberapa kaum khususnya Melayu dan India. Walaupun ia turut diminati oleh kaum Cina dan kaum-kaum lain, proses pembuatannya yang agak rumit tetapi mempunyai permintaan tinggi, menjadikan ia lebih mudah didapati di mana sahaja.
Roti canai Melayu lebih mementingkan kepada kerangupan (crisp) dan gebu. Manakala roti canai India (mamak) adakalanya liat, kering dan kurang rangup – namun masih ada penggemarnya yang tersendiri. Begitu juga kuah dal atau kari Melayu yang menggunakan santan kelapa dan bagi kari dan kuah yang disediakan mamak tidak menggunakan santan kelapa. Jadi ini serba sedikit memberikan perbezaan ketara antara genre-genre roti canai tersebut. Namun perbezaan ini juga adakalanya memberikan pilihan yang lebih banyak kepada penggemarnya masing-masing.
Jenis lain - Roti Telur |
Roti canai menjadi pilihan tidak kira masa, namun kebiasaannya tidak dihidangkan semasa waktu makan tengahari – bagi membolehkan makanan lain juga dijual oleh pengusaha restoran. Kebiasaanya ia boleh didapati sedari awal pagi sehinggalah ke lewat malam.
Apa yang paling menarik mengenai roti canai adalah aksi pembuat roti canai yang dipanggil ‘menebar roti’. Ia telah menjadi antara tarikan yang paling menonjol bagi makanan unik ini begitu juga dengan pasangannya iaitu – ‘tek tarik’. Aksi ini lah yang sedikit sebanyak menambahkan populariti makanan unik ini.
Makanan pilihan ramai. |
Walaupun roti canai boleh didapati di kawasan-kawasan berhampiran seperti Singapura, Indonesia dan negara-negara jiran yang lain, roti canai di Malaysia mempunyai keunikan seperti yang diceritakan di atas. Anda juga mungkin mempunyai roti canai pilihan anda sendiri.