Sabtu, 12 September 2015

Fosil Penyu Tertua Berusia 120 Juta Tahun

Desmatochelys padillai sp.
Saiz fosil penyu Desmatochelys padillai sp.

Kita hanya mengetahui bahawa kebanyakan haiwan purba bersaiz besar tetapi hanya dapat memastikannya apabila menemui tinggalan tulang atai juga dikenali sebagai fosil. Maka untuk itu bagi haiwan seperti penyu, sejauh manakah saiznya yang terbesar diketahui setakat ini.

Ia merupakan fosil penyu yang paling tua ditemui setakat ini berusia iaitu kira-kira 120 juta tahun – dan ini adalah 25 juta tahun lebih awal daripada fosil yang ditemui sebelumnya. Specimen yang dikatakan berasal dari zaman Cretaceous ini mempunyai saiz sebesar hampir 2 meter dan memiliki ciri-ciri yang sama dengan penyu moden hari ini.

Dikenali sebagai ’Desmatochelys padillai sp.’ mengatasi rekod penyu tertua sebelum ini seperti yang terkandung di dalam eksiklopedia Wikipedia iaitu ‘Santanachelys gaffneyi’. Menurut pengkaji dari Alexander von Humboldt foundation dari Senckenberg Research Institute iaitu Dr. Edwin Cadena menjelaskan bahawa fosil yang berasal dari Colombia itu berusia 25 juta tahun lebih tua, apabila beliau dan rakan setugasnya membuat penemuan tersebut di US, J. Parham of California State University, Fullerton.


Antara fosil penyu lain.

Fosil-fosil penyu ini berasal daripada 2 kawasan di bahagian Villa de Leyva di Colombia. Ia merupakan hasil pencarian secara hobi oleh ‘paleontologist’ Mary Luz Parra dan saudara lelakinya iaitu Juan dan Freddy Parra sejak 2007 lagi. Hasil penemuan mereka kemudiannya dikumpulkan di "Centro de Investigaciones Paleontológicas" di Villa Leyva dan di "University of California Museum of Paleontology."

Hasil penemuan dan perkongsian ini maka dapatlah ia dikaji oleh pakar-pakar lain dari seluruh dunia dalam mengenalpasti spesis penyu tersebut. Penyu tersebut dikategorikan di dalam kumpulan Chelonioidea, berdasarkan ciri-ciri morphologinya. Penyu di dalam kumpulan ini biasanya mendiami kawasan tropika dan sub-tropika seperti penyu-penyu yang dikenali hari ini iaitu ‘Hawksbill Turtle’ dan the ‘Green Sea Turtle’.


Penyu dan kura-kura dikenali sebagai haiwan tertua.

Melalui penemuan ini bukan sahaja susur galur haiwan tersebut dapat dikenalpasti malah juga pergerakan kerak bumi dan perubahan cuaca yang berlaku jutaan tahun dahulu. Maka perkongsian seperti ini dan pengelibatan badan-badan pendidikan/muzium di seluruh dunia memainkan peranan penting.


Mungkin satu hari nanti kita sendiri akan turut memahami bagaimana cerita-cerita lama seperti yang kita dengari mengenai kura-kura raksasa, burung garuda dan juga naga yang kita anggap mitos pada hari ini bermula. Bukan mengatakan ianya dogeng semata, tetapi mungkin ada haiwan seumpamanya dan apa yang penting adalah bukti yang boleh dikaji sebagai bahan bukti yang nyata.




Free Download



Pembedahan Pemindahan Kepala Manusia (Head Transplant)

Dr. Canavero bercadang untuk melakukan pemindahan kepala manusia.

Fenomena sains adakalanya mencabar norma manusia dan menimbulkan krontroversi dalam banyak perkara. Namun daripada kebimbangan-kebimbangan ini, seperti yang kita ketahui dunia sains memerlukan pengorbanan untuk membolehkan kita membuat satu penumuan baru yang lebih penting untuk memberikan kita satu pengetahuan yang boleh mendatangkan kebaikan kepada suatu masa kelak.

Namun mungkin kita tidak menyangka kontroversi kali ini adalah untuk membuat pembedahan pemindahan kepala (head transplant) yang mungkin pada kita menjangkaui had toleransi yang boleh diterima manusia. Namun begitu sebelum kita membuat sebarang keputusan, mari kita lihat terlebih dahulu kisah yang mungkin pada kita masih lagi mempertimbangkan samada untuk bersetuju atau tidak.

Cadangan untuk melakukan pemindahan kepala ini telah dicadangkan oleh dua orang pakar bedah iaitu Dr. Sergio Canavero (Itali) dan juga  seorang lagi iaitu Dr. Ren Xiaoping (China) dimana persiapan sedang dilakukan untuk membuat pemindahan pertama ke atas seorang calon penerima dari Rusia Valery Spiridonov. Pembedahan ini bakal dilakukan di salah sebuah hospital milik Harbin Medical University  di Heilongjiang, China.

Projek ini dikatakan menerima tajaan lebih daripada $2 juta dari tajaan akedemik dan kerajaan dan bakal meneruskan impian mereka walaupun mereka mengetahui projek ini menimbulkan pelbagai kontroversi dari pelbagai pihak.


Spiridonov yang berharap pembedahan dapat dilakukan.

Manakala bagi Spiridonov (30) sendiri, yang juga merupakan seorang saintis komputer berharap pembedahan ini dapat membantu beliau untuk dipadankan dengan badan yang lebih sihat dan beliau berkata “Keputusan saya adalah muktamad dan tidak bercadang menukar pendirian”.

Beliau merupakan salah seorang pengidap penyakit genetik “Werdnig-Hoffman”, yang tiada rawatannya berharap dapat ditukarkan kepada sebuah badan yang lain sebelum menemui ajal. Ia merupakan satu impian bagi beliau sendiri yang mempunyai kepintaran, namun keterbatasan atas sebab penyakit yang dialaminya.

Manakala Dr. Ren semenjak 2013 telah melakukan 1,000 pemindahan ke atas tikus dan akan melakukan pembedahan yang serupa ke atas ‘primates’ pada tahun ini. Ujian demi ujian dilakukan bagi mengelakkan kesan penolakan antara penderma dan penerima (dalam ujian ini adalah tikus). Bagi kes manusia pula badan penderma merupakan sebuah badan dengan otak yang telah mati namun mempunyai badan yang sihat.


Pemindahan pertama berjaya pada tahun 2013 dan Dr. Ren mengulangnya sebanyak 1,000 kali.

Ia merupakan satu operasi yang penuh dengan cabaran – kerana ia bakal menjadi satu pembedahan yang pertama seumpamanya ke atas manusia. Keseluruhan proses pembedahan juga adalah rumit di mana pesakit perlu berada di dalam keadaan koma selama 4 minggu bagi mengelakkan pergerakan untuk membolehkan proses pemulihan pada bahagian cantuman. Malah ia sendiri diakui rumit oleh kedua-dua pakar yang terlibat.

Ia merupakan satu cadangan yang terus menjadi kontroversi di dalam bidang perubatan dan ada juga yang menggelarkan beliau sebagai Dr Frankenstein. Mankala yang lain pula berharap ianya tidak dilakukan ke atas sesiapa kerana ia dikatakan lebih menakutkan daripada mati.


Walaupun terdapat banyak kontroversi disini, yang pasti ada yang memerlukannya seperti Spiridonov sendiri. Mungkinkah ia akan menjadi seperti ‘klonning’ yang dulunya amat kuat ditentangi oleh semua, namun hari ini ia lebih difahami dan tidak menimbulkan kebimbangan seperti dahulunya. Mungkin disebalik pembedahan ini nanti dapat mendatangkan pelbagai kebaikan lain yang masih belum kita fahami. Adakah anda menyokongnya atau tidak?




Free Download



Rabu, 9 September 2015

Belajar Magic Seperti di Hogwarths

Magic (Silap Mata) sentiasa mendapat perhatian.

Magic’ atau magik merujuk kepada dua makna yang berbeza iaitu pertama adalah ‘sihir’ dan kedua pula adalah ‘silap mata’ atau juga dikenali sebagai ‘ilusi’. Kedua makna perkataan ini adalah jauh berbeza dan yang ingin kita perkatakan di sini adalah mengenai ‘silap mata’ dan ‘ilusi’.

Seperti yang kita dapat lihat melalui cerita popular “Harry Potter” yang mengisahkan mengenai seorang budak ahli sihir yang handal berupaya melalukan magic yang sungguh hebat. Harry belajar di sekolah sihir di Hogwart - kerana setiap perkara perlu dipelajari. Maka dengan itu, tiada sekolah Hogwart di bumi yang nyata, namun terdapat sekolah-sekolah yang mengajarkan teknik-teknik melakukan ilusi samada untuk hobi mahupun untuk tujuan profesional.


Silap Mata merupakan seni yang telah lama berkembang.

Magic menjadi satu bentuk hiburan yang amat penting dan diminati ramai. Semenjak ianya dipopularkan dan pertama kalinya diterangkan di dalam buku pada tahun 1584 lagi. Ia dapat menarik minat pelbagai peringkat umur, bergantung kepada kemahiran ahli silap mata (magician) yang mengendalikan satu-satu pertunjukan itu. Kemahiran inilah yang sebenarnya menjadikan sesuatu pertunjukan tersebut benar-benar ‘Magic’.

Perunjukan magic moden dipopularkan oleh Jean Eugène Robert-Houdin yang memiliki teater khas untuk pertunjukan magic di Paris pada tahun 1845. Dari sinilah, industri pertunjukkan magic berkembang dan berevolusi menjadikan ianya satu corak seni hiburan tersendiri yang mempunyai pelbagai genre.

Jadi sekiranya anda berminat untuk mengetahui mengenai teknik melakukan magic dengan lebih jelas, anda bolehlah mencari sekolah-sekolah yang mengajarkan teknik-teknik melakukan magic dengan betul. Antara sekolah magic yang terkenal adalah ‘Daveport Magic School’, di The Strand, London. Ia bermula sebagai sebuah kedai magic yang dibuka sejak 1898 oleh Lewis Daveport dan terus beroperasi sehingga ke hari ini dengan beberapa cawangan di serata kota London.


Poster untuk pertunjukkan Harry Houdini.

David Copperfield merupakan 'magician' yang sangat berjaya.

Kejayaan mengolah daya pasaran merupakan keistimewaan Daveport yang mempunyai pelbagai pendekatan kepada pelanggannya. Ia bukan sahaja menyediakan barangan untuk melakukan perunjukan magic malah menyediakan kelas dari tahap asas sehinggalah ke profesional. Hari ini ia turut menyediakan kelas berbentuk DVD selain daripada turut mempunyai ‘online store’.

Bengkel-bengkel ‘silap mata’ ini turut diadakan untuk kanak-kanak sekolah. Memahami teknik melakukan ‘silap mata’ boleh membantu kita memahami tentang banyak perkara seperti ‘psychology’ dan banyak perkara mengenai sains, kerana ‘silap mata’ adalah satu teknik yang  boleh dipelajari oleh siapa sahaja – tanpa memerlukan kuasa luar biasa melainkan latihan yang gigih.

Bintang-bintang ahli silap mata juga dikenali setaraf dengan bakat-bakat penggiat seni yang lain seperti penyanyi dan pelakon. Setiap zaman mempunyai lagenda ahli silap mata tersendiri seperti Harry Houdini (1874 – 1926), P.T. Selbit (sekitar 1920-an), Edward M. Massey (sekitar 1940-an), David Copperfield (sekitar 1980-an) dan ramai lagi ahli silap mata seperti yang kita ketahui hari ini.
Hari ini kaedah pertunjukkan silap mata jauh berbeza dan lebih mendebarkan. Sudah tentu ia perlu sentiasa berubah seiring dengan selera penonton. Jadi yang membezakan seorang ahli silap mata dengan yang lainya adalah persembahan.


Itu adalah sedikit sebanyak mengenai dunia ‘magic’ yang dapat dikongsi bersama untuk kali ini. Sekiranya anda berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut anda bolehlah melawati laman web Daveports Magic atau berkunjung sendiri ke kota London untuk melihatnya dengan lebih dekat.






Free Download



Selasa, 8 September 2015

Pesawat Terbesar Bakal Diuji Tahun Hadapan

Pesawat terbesar 'Stratolaunch' ini bakal diuji pada tahun hadapan.

Sebelum ini MyRokan pernah mengeluarkan mengenai senarai pesawat terbesar di mana pesawat Antonov An-225 muncul sebagai pesawat terbesar sehingga hari ini. Terdapat satu unit sahaja pesawat ini dihasilkan, manakala satu unit lagi gagal disiapkan. Jadi sekiranya pesawat yang lebih besar dari ini dihasilkan, apakah tujuannya pula?

Pesawat terbesar yang sedang dihasilkan mempunyai misi khusus yang amat penting iaitu untuk membantu pelancaran misi ke angkasa seperti pelancaran satelit, membawa angkasawan ke ISS dan mungkin untuk beberapa tujuan kajian aero-angkasa yang lain. Pelancaran dari altitude tinggi seperti ini dapat menjimatkan lebih banyak kos bahanapi berbanding pelancaran roket seperti yang biasa dilakukan.

Pesawat gergasi ini diberi nama Stratolaunch Carrier sedang dibina di Mojave Air dan Space Port di California. Ia merupakan projek yang diusahakan oleh salah seorang daripada pengasas Microsoft iaitu Paul Allen dan seorang lagi pereka kapal angkasa iaitu Burt Rutan dari Scaled Composites (yang sebelum ini pernah memenangi Ansari X Prize sebanyak $ 10 juta) yang sebelum ini terlibat dalam rekaan SpaceShipOne.


Perbezaan dengan pesawat-pesawat lain.

Stratolaunch mempunyai sayap dengan kelebaran 117 m (385 ft) di mana ia merupakan sayap kapal terbang terpanjang yang pernah dibina. Manakala beratnya pula adalah lebih dari 540,000 kg (1,200,000 lb) termasuk berat kapal yang akan dibawanya nanti. Makan dengan itu ia juga mmerlukan landasan yang lebih panjang iaitu sekurang-kurangnya 12,000 kaki.

Bagi membolehkan ia membawa beban yang berat ke ketinggian yang membolehkan kapal tumpangan dilancarkan ia dilengkapi dengan enam enjin jet berkuasa 205–296 kN (46,000–66,500 lbf). Kapal Stratolaunch akan terbang sehingga mencapai ketinggian 30,000 kaki (5.7 mi) sebelum kapal penumpang dilancarkan ke ruang angkasa.


Antara ciri-ciri lain yang penting pada kapal terbesar ini nanti adalah ia boleh digunakan berulang-ulang untung pelancaran berikutnya.




Free Download



Isnin, 7 September 2015

Komputer Terawal Sebelum Masehi - Antikythera mechanism

Siapa menyangka ketulan gangsa ini adalah sebuah mesin yang canggih.

Sebuah peralatan yang mempunyai ketepatan tinggi untuk mengukur kedudukan bulan, beberapa buah planet yang mengelilingi bumi telah dicipta lebih awal dan peralatan ini ditemui di sebuah pulau di Greece iaitu Antikythera pada tahun 1900–1901. Peralatan ini ditemui bersama dengan beberapa arifak lain dari kapal yang karam di kepulauan tersebut.

Hasil siasatan menjangkakan peralatan ini dicipta di antara 100 – 150 BCE, manakala ada juga yang mencadangkan ianya adalah sekitar 250 BCE. Ia merupakan peralatan yang boleh dikatakan canggih pada masa itu kerana bukan sahaja mempunyai ketepatan yang tinggi, malah saiznya juga agak kecil yang mampu memaparkan pergerakan objek-objek di angkasa dengan baik – mengikut kefahaman astronomi Greek pada masa itu (planet mengelilingi dan bumi sebagai pusat).

Walaupun alat ini ditemui lebih awal, namun kajian menyeluruh terhadapnya  hanya dapat dilakukan di akhir abad ke-21 (dengan adanya peralatan yang membolehkan ianya dikaji seperti: peralatan x-ray, gambaran 3-D dan simulasi komputer). Ianya bermula apabila Derek J. de Solla Price kembali berminat untuk mengkajinya semula pada tahun 1951. Manakala pada tahun 1971 gambar x-ray telah diambil oleh Price dan seorang lagi ahli fizik Greek iaitu Charalampos Karakalos, dan membentangkan hasil kajian tersebut pada tahun 1974.


Serpihan-serpihan daripada Antikythera mechanism.

Hasil gambaran X-ray membongkar rahsia.

Penyelaman seterusnya yang dilakukan oleh pengembara Perancis yang terkenal iaitu Jacques Cousteau pada tahun 1970 menemukan lebih banyak bukti yang membolehkan peralatan ini dikenali dengan lebih dekat. Barangan lain yang ditemui seperti koin (syiling) dan tembikar memberikan gambaran tentang aktiviti perdagangan yang dijalankan oleh kapal yang karam tersebut. Maka dengan itu ia berkemungkinan berasal dari Syracuse iaitu sebahagian dari koloni Corinth yang juga merupakan tempat asal Archimedes. Manakala ia juga berkemungkinan berasal dari bahagian lain kerajaan Greece iaitu Pergamon, yang juga menempatkan Perpustakaan Pergamum (Library of Pergamum) yang juga merupakan perpustakaan kedua terpenting selepas Library of Alexandria pada era Hellenistic.

Manakala barangan lain pula menunjukkan ciri-ciri Rhodian yang berasal daripada akedemi di asaskan oleh ahli falsafah Stoic iaitu Posidonius. Rhodes juga merupakan pusat astronomi dan kejuruteraan mekanikal serta menjadi tempat tinggal bagi Hipparchus. Ia mungkin merupakan peralatan yang direka beliau atau berasaskan kepada hasil teori beliau.

Apa yang menarik mengenai peralatan kecil ini adalah hasil rekaan serta fungsinya yang sebelum ini tidak diketahui wujud pada masa tersebut. Tambahan pula ia terus hilang dari Greece atau Eropah sehingga timbul semula di Tanah Arab dengan alatan seperti Astrolab rekaan Muhammad al-Fazari pada kurun ke-8 Masehi. Pada masa tersebut peralatan yang direka lebih menjurus untuk mencari arah kiblat, kitaran bulan dan menentukan waktu solat.


Hasil rekaan semula menggunakan CGI.

Astrolabe - peralatan yang dicipta pada kurun-8 Masehi.

Apa yang penting, dengan penemuan ‘Antikythera mechanism’ menunjukkan peralatan seumpama ini telah lama direka dan ilmu astronomi telah lama dipelajari oleh manusia. Ia merupakan antara perkara yang sangat dititik beratkan oleh para bijak pandai terdahulu kerana hubungan rapatnya dengan kehidupan manusia seperti kitaran musim dan waktu dalam masa sehari.

Terdapat dua perkara penting dalam pembinaan peralatan ini iaitu  pertama adalah mengenai ilmu tentang kitaran planet itu sendiri dan kedua iaitu kejuruteraan mekanikal untuk membina peralatan itu pula. Ia membantu meringkaskan proses pengiraan berulang-ulang untuk tempoh masa yang berbeza-beza. Maka dengan itu kemungkinan banyak lagi ilmu pengetahuan dari zaman lampau yang turut hilang akibat daripada peperangan, bencana atau hilang begitu sahaja tanpa diwarisi oleh generasi berikutnya. Semoga ia menjadi renungan untuk kita hari ini.


*anda perlu mencari sendiri maklumat lanjut mengenai peralatan ini sekiranya berminat kerana ianya terlalu panjang untuk diolah.


Free Download



Ahad, 6 September 2015

Keunikan Nelayan Burung

Nelayan dan burungnya.

Nelayan burung mungkin agak asing bagi kita rakyat Malaysia namun ia merupakan teknik yang digunakan selama 1,300 tahun lamanya. Malah ia merupakan teknik yang pernah digunakan di Jepun, Greece, Macedonia, England, France, Peru dan hanya bertahan di China iaitu di Daerah Guilin.

Menangkap ikan menggunakan burung ini merupakan teknik yang sangat klasik, maka dengan itu ia semakin dilupakan apabila teknik yang lebih moden lebih mudah untuk digunakan. Kaedah memancing ini menggunakan burung dari jenis Cormorant (Phalacrocoracidae) yang juga merupakan burung air yang dilatih untuk menangkap ikan bagi nelayan.


Kebiasaannya lebih dari seekor burung digunakan.

Nelayan burung dengan hasil tangkapan.

Terdapat lebih kurang 40 spesis burung cormorant dan hanya beberapa di antaranya yang digunakan untuk tujuan menangkap ikan. Jenis burung juga yang digunakan juga agak berbeza seperti di Jepun burung ‘Japanese cormorant’ (P. capillatus) digunakan, manakala di China pula ‘great cormorants’ (P. carbo) adalah lebih popular.

Menggunakan kaedah ini, jerutan akan dikenakan pada leher burung dan hanya membolehkan ia menelan ikan-ikan kecil sahaja. Manakala ikan besar akan tersangkut di kerongkongnya. Burung ini akan kembali kepada bot nelayan di mana nelayan akan mengeluarkan ikan tersebut.


Raja Udang mungkin terlalu kecil untuk teknik ini.

Di Daerah Guilin kaedah ini masih lagi dijalankan oleh segelintir nelayan untuk menangkap ikan di Sungai Lijiang, Jingshan (Beijing) dan Suzhou. Manakala di Jepun pula teknik ini dikenali sebagai ukai (鵜飼), pernah digunakan di 13 bandar terutama di Daerah Gifu di Sungai Nagara. Antara nelayan ini ada diantaranya yang diupah oleh raja dan dikenali sebagai ‘Nelayan Diraja’.


Oleh kerana ia merupakan teknik yang hanya sesuai digunakan oleh nelayan-nelayan kecil, maka hari ini ia semakin dilupakan. Walaupun begitu ia merupakan satu teknik menangkap ikan yang paling unik dengan melibatkan kerjasama antara manusia dan burung.




Free Download






Arkib Blog