Rabu, 9 September 2015

Belajar Magic Seperti di Hogwarths

Magic (Silap Mata) sentiasa mendapat perhatian.

Magic’ atau magik merujuk kepada dua makna yang berbeza iaitu pertama adalah ‘sihir’ dan kedua pula adalah ‘silap mata’ atau juga dikenali sebagai ‘ilusi’. Kedua makna perkataan ini adalah jauh berbeza dan yang ingin kita perkatakan di sini adalah mengenai ‘silap mata’ dan ‘ilusi’.

Seperti yang kita dapat lihat melalui cerita popular “Harry Potter” yang mengisahkan mengenai seorang budak ahli sihir yang handal berupaya melalukan magic yang sungguh hebat. Harry belajar di sekolah sihir di Hogwart - kerana setiap perkara perlu dipelajari. Maka dengan itu, tiada sekolah Hogwart di bumi yang nyata, namun terdapat sekolah-sekolah yang mengajarkan teknik-teknik melakukan ilusi samada untuk hobi mahupun untuk tujuan profesional.


Silap Mata merupakan seni yang telah lama berkembang.

Magic menjadi satu bentuk hiburan yang amat penting dan diminati ramai. Semenjak ianya dipopularkan dan pertama kalinya diterangkan di dalam buku pada tahun 1584 lagi. Ia dapat menarik minat pelbagai peringkat umur, bergantung kepada kemahiran ahli silap mata (magician) yang mengendalikan satu-satu pertunjukan itu. Kemahiran inilah yang sebenarnya menjadikan sesuatu pertunjukan tersebut benar-benar ‘Magic’.

Perunjukan magic moden dipopularkan oleh Jean Eugène Robert-Houdin yang memiliki teater khas untuk pertunjukan magic di Paris pada tahun 1845. Dari sinilah, industri pertunjukkan magic berkembang dan berevolusi menjadikan ianya satu corak seni hiburan tersendiri yang mempunyai pelbagai genre.

Jadi sekiranya anda berminat untuk mengetahui mengenai teknik melakukan magic dengan lebih jelas, anda bolehlah mencari sekolah-sekolah yang mengajarkan teknik-teknik melakukan magic dengan betul. Antara sekolah magic yang terkenal adalah ‘Daveport Magic School’, di The Strand, London. Ia bermula sebagai sebuah kedai magic yang dibuka sejak 1898 oleh Lewis Daveport dan terus beroperasi sehingga ke hari ini dengan beberapa cawangan di serata kota London.


Poster untuk pertunjukkan Harry Houdini.

David Copperfield merupakan 'magician' yang sangat berjaya.

Kejayaan mengolah daya pasaran merupakan keistimewaan Daveport yang mempunyai pelbagai pendekatan kepada pelanggannya. Ia bukan sahaja menyediakan barangan untuk melakukan perunjukan magic malah menyediakan kelas dari tahap asas sehinggalah ke profesional. Hari ini ia turut menyediakan kelas berbentuk DVD selain daripada turut mempunyai ‘online store’.

Bengkel-bengkel ‘silap mata’ ini turut diadakan untuk kanak-kanak sekolah. Memahami teknik melakukan ‘silap mata’ boleh membantu kita memahami tentang banyak perkara seperti ‘psychology’ dan banyak perkara mengenai sains, kerana ‘silap mata’ adalah satu teknik yang  boleh dipelajari oleh siapa sahaja – tanpa memerlukan kuasa luar biasa melainkan latihan yang gigih.

Bintang-bintang ahli silap mata juga dikenali setaraf dengan bakat-bakat penggiat seni yang lain seperti penyanyi dan pelakon. Setiap zaman mempunyai lagenda ahli silap mata tersendiri seperti Harry Houdini (1874 – 1926), P.T. Selbit (sekitar 1920-an), Edward M. Massey (sekitar 1940-an), David Copperfield (sekitar 1980-an) dan ramai lagi ahli silap mata seperti yang kita ketahui hari ini.
Hari ini kaedah pertunjukkan silap mata jauh berbeza dan lebih mendebarkan. Sudah tentu ia perlu sentiasa berubah seiring dengan selera penonton. Jadi yang membezakan seorang ahli silap mata dengan yang lainya adalah persembahan.


Itu adalah sedikit sebanyak mengenai dunia ‘magic’ yang dapat dikongsi bersama untuk kali ini. Sekiranya anda berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut anda bolehlah melawati laman web Daveports Magic atau berkunjung sendiri ke kota London untuk melihatnya dengan lebih dekat.






Free Download



Selasa, 8 September 2015

Pesawat Terbesar Bakal Diuji Tahun Hadapan

Pesawat terbesar 'Stratolaunch' ini bakal diuji pada tahun hadapan.

Sebelum ini MyRokan pernah mengeluarkan mengenai senarai pesawat terbesar di mana pesawat Antonov An-225 muncul sebagai pesawat terbesar sehingga hari ini. Terdapat satu unit sahaja pesawat ini dihasilkan, manakala satu unit lagi gagal disiapkan. Jadi sekiranya pesawat yang lebih besar dari ini dihasilkan, apakah tujuannya pula?

Pesawat terbesar yang sedang dihasilkan mempunyai misi khusus yang amat penting iaitu untuk membantu pelancaran misi ke angkasa seperti pelancaran satelit, membawa angkasawan ke ISS dan mungkin untuk beberapa tujuan kajian aero-angkasa yang lain. Pelancaran dari altitude tinggi seperti ini dapat menjimatkan lebih banyak kos bahanapi berbanding pelancaran roket seperti yang biasa dilakukan.

Pesawat gergasi ini diberi nama Stratolaunch Carrier sedang dibina di Mojave Air dan Space Port di California. Ia merupakan projek yang diusahakan oleh salah seorang daripada pengasas Microsoft iaitu Paul Allen dan seorang lagi pereka kapal angkasa iaitu Burt Rutan dari Scaled Composites (yang sebelum ini pernah memenangi Ansari X Prize sebanyak $ 10 juta) yang sebelum ini terlibat dalam rekaan SpaceShipOne.


Perbezaan dengan pesawat-pesawat lain.

Stratolaunch mempunyai sayap dengan kelebaran 117 m (385 ft) di mana ia merupakan sayap kapal terbang terpanjang yang pernah dibina. Manakala beratnya pula adalah lebih dari 540,000 kg (1,200,000 lb) termasuk berat kapal yang akan dibawanya nanti. Makan dengan itu ia juga mmerlukan landasan yang lebih panjang iaitu sekurang-kurangnya 12,000 kaki.

Bagi membolehkan ia membawa beban yang berat ke ketinggian yang membolehkan kapal tumpangan dilancarkan ia dilengkapi dengan enam enjin jet berkuasa 205–296 kN (46,000–66,500 lbf). Kapal Stratolaunch akan terbang sehingga mencapai ketinggian 30,000 kaki (5.7 mi) sebelum kapal penumpang dilancarkan ke ruang angkasa.


Antara ciri-ciri lain yang penting pada kapal terbesar ini nanti adalah ia boleh digunakan berulang-ulang untung pelancaran berikutnya.




Free Download



Isnin, 7 September 2015

Komputer Terawal Sebelum Masehi - Antikythera mechanism

Siapa menyangka ketulan gangsa ini adalah sebuah mesin yang canggih.

Sebuah peralatan yang mempunyai ketepatan tinggi untuk mengukur kedudukan bulan, beberapa buah planet yang mengelilingi bumi telah dicipta lebih awal dan peralatan ini ditemui di sebuah pulau di Greece iaitu Antikythera pada tahun 1900–1901. Peralatan ini ditemui bersama dengan beberapa arifak lain dari kapal yang karam di kepulauan tersebut.

Hasil siasatan menjangkakan peralatan ini dicipta di antara 100 – 150 BCE, manakala ada juga yang mencadangkan ianya adalah sekitar 250 BCE. Ia merupakan peralatan yang boleh dikatakan canggih pada masa itu kerana bukan sahaja mempunyai ketepatan yang tinggi, malah saiznya juga agak kecil yang mampu memaparkan pergerakan objek-objek di angkasa dengan baik – mengikut kefahaman astronomi Greek pada masa itu (planet mengelilingi dan bumi sebagai pusat).

Walaupun alat ini ditemui lebih awal, namun kajian menyeluruh terhadapnya  hanya dapat dilakukan di akhir abad ke-21 (dengan adanya peralatan yang membolehkan ianya dikaji seperti: peralatan x-ray, gambaran 3-D dan simulasi komputer). Ianya bermula apabila Derek J. de Solla Price kembali berminat untuk mengkajinya semula pada tahun 1951. Manakala pada tahun 1971 gambar x-ray telah diambil oleh Price dan seorang lagi ahli fizik Greek iaitu Charalampos Karakalos, dan membentangkan hasil kajian tersebut pada tahun 1974.


Serpihan-serpihan daripada Antikythera mechanism.

Hasil gambaran X-ray membongkar rahsia.

Penyelaman seterusnya yang dilakukan oleh pengembara Perancis yang terkenal iaitu Jacques Cousteau pada tahun 1970 menemukan lebih banyak bukti yang membolehkan peralatan ini dikenali dengan lebih dekat. Barangan lain yang ditemui seperti koin (syiling) dan tembikar memberikan gambaran tentang aktiviti perdagangan yang dijalankan oleh kapal yang karam tersebut. Maka dengan itu ia berkemungkinan berasal dari Syracuse iaitu sebahagian dari koloni Corinth yang juga merupakan tempat asal Archimedes. Manakala ia juga berkemungkinan berasal dari bahagian lain kerajaan Greece iaitu Pergamon, yang juga menempatkan Perpustakaan Pergamum (Library of Pergamum) yang juga merupakan perpustakaan kedua terpenting selepas Library of Alexandria pada era Hellenistic.

Manakala barangan lain pula menunjukkan ciri-ciri Rhodian yang berasal daripada akedemi di asaskan oleh ahli falsafah Stoic iaitu Posidonius. Rhodes juga merupakan pusat astronomi dan kejuruteraan mekanikal serta menjadi tempat tinggal bagi Hipparchus. Ia mungkin merupakan peralatan yang direka beliau atau berasaskan kepada hasil teori beliau.

Apa yang menarik mengenai peralatan kecil ini adalah hasil rekaan serta fungsinya yang sebelum ini tidak diketahui wujud pada masa tersebut. Tambahan pula ia terus hilang dari Greece atau Eropah sehingga timbul semula di Tanah Arab dengan alatan seperti Astrolab rekaan Muhammad al-Fazari pada kurun ke-8 Masehi. Pada masa tersebut peralatan yang direka lebih menjurus untuk mencari arah kiblat, kitaran bulan dan menentukan waktu solat.


Hasil rekaan semula menggunakan CGI.

Astrolabe - peralatan yang dicipta pada kurun-8 Masehi.

Apa yang penting, dengan penemuan ‘Antikythera mechanism’ menunjukkan peralatan seumpama ini telah lama direka dan ilmu astronomi telah lama dipelajari oleh manusia. Ia merupakan antara perkara yang sangat dititik beratkan oleh para bijak pandai terdahulu kerana hubungan rapatnya dengan kehidupan manusia seperti kitaran musim dan waktu dalam masa sehari.

Terdapat dua perkara penting dalam pembinaan peralatan ini iaitu  pertama adalah mengenai ilmu tentang kitaran planet itu sendiri dan kedua iaitu kejuruteraan mekanikal untuk membina peralatan itu pula. Ia membantu meringkaskan proses pengiraan berulang-ulang untuk tempoh masa yang berbeza-beza. Maka dengan itu kemungkinan banyak lagi ilmu pengetahuan dari zaman lampau yang turut hilang akibat daripada peperangan, bencana atau hilang begitu sahaja tanpa diwarisi oleh generasi berikutnya. Semoga ia menjadi renungan untuk kita hari ini.


*anda perlu mencari sendiri maklumat lanjut mengenai peralatan ini sekiranya berminat kerana ianya terlalu panjang untuk diolah.


Free Download



Ahad, 6 September 2015

Keunikan Nelayan Burung

Nelayan dan burungnya.

Nelayan burung mungkin agak asing bagi kita rakyat Malaysia namun ia merupakan teknik yang digunakan selama 1,300 tahun lamanya. Malah ia merupakan teknik yang pernah digunakan di Jepun, Greece, Macedonia, England, France, Peru dan hanya bertahan di China iaitu di Daerah Guilin.

Menangkap ikan menggunakan burung ini merupakan teknik yang sangat klasik, maka dengan itu ia semakin dilupakan apabila teknik yang lebih moden lebih mudah untuk digunakan. Kaedah memancing ini menggunakan burung dari jenis Cormorant (Phalacrocoracidae) yang juga merupakan burung air yang dilatih untuk menangkap ikan bagi nelayan.


Kebiasaannya lebih dari seekor burung digunakan.

Nelayan burung dengan hasil tangkapan.

Terdapat lebih kurang 40 spesis burung cormorant dan hanya beberapa di antaranya yang digunakan untuk tujuan menangkap ikan. Jenis burung juga yang digunakan juga agak berbeza seperti di Jepun burung ‘Japanese cormorant’ (P. capillatus) digunakan, manakala di China pula ‘great cormorants’ (P. carbo) adalah lebih popular.

Menggunakan kaedah ini, jerutan akan dikenakan pada leher burung dan hanya membolehkan ia menelan ikan-ikan kecil sahaja. Manakala ikan besar akan tersangkut di kerongkongnya. Burung ini akan kembali kepada bot nelayan di mana nelayan akan mengeluarkan ikan tersebut.


Raja Udang mungkin terlalu kecil untuk teknik ini.

Di Daerah Guilin kaedah ini masih lagi dijalankan oleh segelintir nelayan untuk menangkap ikan di Sungai Lijiang, Jingshan (Beijing) dan Suzhou. Manakala di Jepun pula teknik ini dikenali sebagai ukai (鵜飼), pernah digunakan di 13 bandar terutama di Daerah Gifu di Sungai Nagara. Antara nelayan ini ada diantaranya yang diupah oleh raja dan dikenali sebagai ‘Nelayan Diraja’.


Oleh kerana ia merupakan teknik yang hanya sesuai digunakan oleh nelayan-nelayan kecil, maka hari ini ia semakin dilupakan. Walaupun begitu ia merupakan satu teknik menangkap ikan yang paling unik dengan melibatkan kerjasama antara manusia dan burung.




Free Download






Mikro Post: Rainbow Eucalyptus

Warna kulit pokok 'Rainbow Eucalyptus' amat menarik.

Rainbow Eucalyptus (Eucalyptus deglupta) atau dikenali juga sebagai Mindanao gum, atau rainbow gum. Merupakan satu-satunya spesis Eucalyptus yang dijumpai secara semulajadi di hemisfera Utara dengan taburan di New Britain, New Guinea, Seram, Sulawesi dan juga Mindanao.

Keunikan pokok ini yang paling ketara adalah warna batangnya yang bewarna-warni daripada hijau muda sehinggalah ke merah terang. Ia diminati ramai oleh kerana ciri istimewanya ini. Pokok ini membesar dengan pantas dan apabila cukup matang ia boleh mencapai ketinggian sehingga 60 meter.

Kulit pokok akan mengelupas untuk membolehkan kulit baru tumbuh. Proses inilah yang memberikan ianya warna kulit yang menarik. Ini kerana kulit pokok ini bertukar secara berkeping-keping berbanding secara keseluruhannya dalam satu masa. Kepingan yang mengelupas ini akan meninggalkan kulit baru yang berwarna hijau muda yang kaya dengan ‘chlorophyll. Kandungan ‘chlorophyll’ ini pula akan ditukar kepada ‘tannin’ yang berwarna coklat apabila kulit bertambah matang.




Pokok yang matang boleh mencecah sehingga 60m.

Pokok 'Rainbow Eucalyptus' di ladang.

Selain daripada itu warna-warna lain yang terdapat pada kulit pokok tersebut adalah disebabkan oleh ‘anthocyanin’ yang memberikan warna biru dan purple, ‘carotenoid’ untuk warna merah dan kuning. Warna-warna ini walaupun jarang dilihat pada kulit pokok-pokok yang lain, tetapi ia mudah dilihat pada daun semasa berlakunya musim luruh.

Selain digunakan sebagai pokok hiasan, pokok ini ditanam dengan meluas untuk digunakan sebagai ‘pulpwood’dalam penghasilan kertas. Ia ditanam dengan meluas di Philippines untuk tujuan tersebut. Kawasan di mana ia boleh ditanam juga lebih meluas kerana ia tahan kepada suhu yang rendah sehingga 26°F atau -3.3°C.


Jadi dunia tumbuh-tumbuhan juga dipenuhi dengan pelbagai keunikan menarik untuk kita fahami.




Tukar Kamera Telefon Anda Menjadi Kamera Infra Merah (Infared)

Haba hanya boleh dilihat dengan kamera inframerah.

Kamera infra merah (infrared) sebelum ini hanya digunakan dalam teknologi ketenteraan kerana harganya yang agak mahal. Teknologi ini tidak dikongsikan kepada penggunaan orang ramai. Namun baru-baru ini sebuah syarikat dikenali sebagai FLIR menyediakan kamera yang boleh digunakan pada ‘smartphone’ anda untuk menjadikannya kamera inframerah.

Walaupun ramai yang tertanya apakah kegunaan kamera inframerah bagi orang awam. Soalan ini mungkin tidak terlalu sukar apabila anda memerlukannya. Kamera inframerah boleh mengesan haba walaupun ianya tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia. Ini bermakna selain daripada haba, banyak lagi perkara lain yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Mata manusia hanya sensitif kepada jarak gelombang elektromagnetik tertentu yang dipanggil cahaya nampak. Manakala haba juga menghasilkan gelombang pada jarak pendek yang tidak dapat dilihat oleh manusia.


Keupayaan pengelihatan manusia amat terbatas.

Kamera inframerah dapat mengesan haba yang dihasilkan oleh benda-benda hidup (terutama berdarah panas) seperti haiwan peliharaan atau mungkin mengesan orang yang bersembunyi di dalam gelap. Selain itu juga, ia boleh mengesan kebocoran paip di dalam syiling dan lantai misalnya. Anda juga boleh mengetahui sesuatu objek yang telah betul-betul sejuk atau masih panas yang kelihatan sama sahaja.

Kamera ini mungkin boleh membantu bagi mereka yang meminati kegiatan luar seperti “camping” dan “jungle trekking”. Ia boleh mengesan sekiranya ada kehadiran haiwan-haiwan yang tidak diingini disamping mengawasi ungun api yang dinyalakan telah betul-betul padam sebelum anda meninggalkan kawasan perkhemahan.


Kamera FLIR dipasang pasa telefon bimbit.

Mengesan objek panas penting dalam sesuatu lapangan.

Mungkin anda tidak mempunyai idea khusus apakah yang mungkin digunakan menggunakan kamera ini nanti. Namun begitu anda mungkin menggunakan dengan pelbagai kaedah mengikut kreativiti anda sendiri.

Kamera yang dihasilkan FLIR ini telahpun dipadankan dengan paparan gabungan kamera inframerah dan juga kamera dari telefon anda. Imej yang dihasilkan lebih mudah dibaca berbanding kamera infrared biasa yang digunakan oleh tentera (mungkin dari segi sensitiviti atau resolusinya sahaja yang tidak dapat menandingi kamera yang digunakan tentera).

Terdapat beberapa model untuk dipadankan dengan telefon samada yang menggunakan iOS (Apple) mahupun Android. Terdapat juga model yang boleh dipadankan terus kepada telefon FLIR ONE First Gen. Anda boleh melihat sendiri kamera-kamera yang disediakan oleh syarikat ini melalui laman webnya di FLIR.


Ianya masih di peringkat awal penghasilannya untuk kegunaan telefon bimbit. Mungkin di masa-masa akan datang kegunaanya akan terus dipertingkatkan untuk menghasilkan gambar infrared dalam resolusi yang lebih besar dengan kegunaan yang lebih menyeluruh. Terdapat lebih banyak kamera inframerah untuk kegunaan lain yang dihasilkan oleh FLIR di website nya. Jadi sekarang anda tahu, yang manakah lebih sesuai untuk kegunaan anda.


Free Download



Arkib Blog