Ahad, 6 September 2015

Mikro Post: Rainbow Eucalyptus

Warna kulit pokok 'Rainbow Eucalyptus' amat menarik.

Rainbow Eucalyptus (Eucalyptus deglupta) atau dikenali juga sebagai Mindanao gum, atau rainbow gum. Merupakan satu-satunya spesis Eucalyptus yang dijumpai secara semulajadi di hemisfera Utara dengan taburan di New Britain, New Guinea, Seram, Sulawesi dan juga Mindanao.

Keunikan pokok ini yang paling ketara adalah warna batangnya yang bewarna-warni daripada hijau muda sehinggalah ke merah terang. Ia diminati ramai oleh kerana ciri istimewanya ini. Pokok ini membesar dengan pantas dan apabila cukup matang ia boleh mencapai ketinggian sehingga 60 meter.

Kulit pokok akan mengelupas untuk membolehkan kulit baru tumbuh. Proses inilah yang memberikan ianya warna kulit yang menarik. Ini kerana kulit pokok ini bertukar secara berkeping-keping berbanding secara keseluruhannya dalam satu masa. Kepingan yang mengelupas ini akan meninggalkan kulit baru yang berwarna hijau muda yang kaya dengan ‘chlorophyll. Kandungan ‘chlorophyll’ ini pula akan ditukar kepada ‘tannin’ yang berwarna coklat apabila kulit bertambah matang.




Pokok yang matang boleh mencecah sehingga 60m.

Pokok 'Rainbow Eucalyptus' di ladang.

Selain daripada itu warna-warna lain yang terdapat pada kulit pokok tersebut adalah disebabkan oleh ‘anthocyanin’ yang memberikan warna biru dan purple, ‘carotenoid’ untuk warna merah dan kuning. Warna-warna ini walaupun jarang dilihat pada kulit pokok-pokok yang lain, tetapi ia mudah dilihat pada daun semasa berlakunya musim luruh.

Selain digunakan sebagai pokok hiasan, pokok ini ditanam dengan meluas untuk digunakan sebagai ‘pulpwood’dalam penghasilan kertas. Ia ditanam dengan meluas di Philippines untuk tujuan tersebut. Kawasan di mana ia boleh ditanam juga lebih meluas kerana ia tahan kepada suhu yang rendah sehingga 26°F atau -3.3°C.


Jadi dunia tumbuh-tumbuhan juga dipenuhi dengan pelbagai keunikan menarik untuk kita fahami.




Tukar Kamera Telefon Anda Menjadi Kamera Infra Merah (Infared)

Haba hanya boleh dilihat dengan kamera inframerah.

Kamera infra merah (infrared) sebelum ini hanya digunakan dalam teknologi ketenteraan kerana harganya yang agak mahal. Teknologi ini tidak dikongsikan kepada penggunaan orang ramai. Namun baru-baru ini sebuah syarikat dikenali sebagai FLIR menyediakan kamera yang boleh digunakan pada ‘smartphone’ anda untuk menjadikannya kamera inframerah.

Walaupun ramai yang tertanya apakah kegunaan kamera inframerah bagi orang awam. Soalan ini mungkin tidak terlalu sukar apabila anda memerlukannya. Kamera inframerah boleh mengesan haba walaupun ianya tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia. Ini bermakna selain daripada haba, banyak lagi perkara lain yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Mata manusia hanya sensitif kepada jarak gelombang elektromagnetik tertentu yang dipanggil cahaya nampak. Manakala haba juga menghasilkan gelombang pada jarak pendek yang tidak dapat dilihat oleh manusia.


Keupayaan pengelihatan manusia amat terbatas.

Kamera inframerah dapat mengesan haba yang dihasilkan oleh benda-benda hidup (terutama berdarah panas) seperti haiwan peliharaan atau mungkin mengesan orang yang bersembunyi di dalam gelap. Selain itu juga, ia boleh mengesan kebocoran paip di dalam syiling dan lantai misalnya. Anda juga boleh mengetahui sesuatu objek yang telah betul-betul sejuk atau masih panas yang kelihatan sama sahaja.

Kamera ini mungkin boleh membantu bagi mereka yang meminati kegiatan luar seperti “camping” dan “jungle trekking”. Ia boleh mengesan sekiranya ada kehadiran haiwan-haiwan yang tidak diingini disamping mengawasi ungun api yang dinyalakan telah betul-betul padam sebelum anda meninggalkan kawasan perkhemahan.


Kamera FLIR dipasang pasa telefon bimbit.

Mengesan objek panas penting dalam sesuatu lapangan.

Mungkin anda tidak mempunyai idea khusus apakah yang mungkin digunakan menggunakan kamera ini nanti. Namun begitu anda mungkin menggunakan dengan pelbagai kaedah mengikut kreativiti anda sendiri.

Kamera yang dihasilkan FLIR ini telahpun dipadankan dengan paparan gabungan kamera inframerah dan juga kamera dari telefon anda. Imej yang dihasilkan lebih mudah dibaca berbanding kamera infrared biasa yang digunakan oleh tentera (mungkin dari segi sensitiviti atau resolusinya sahaja yang tidak dapat menandingi kamera yang digunakan tentera).

Terdapat beberapa model untuk dipadankan dengan telefon samada yang menggunakan iOS (Apple) mahupun Android. Terdapat juga model yang boleh dipadankan terus kepada telefon FLIR ONE First Gen. Anda boleh melihat sendiri kamera-kamera yang disediakan oleh syarikat ini melalui laman webnya di FLIR.


Ianya masih di peringkat awal penghasilannya untuk kegunaan telefon bimbit. Mungkin di masa-masa akan datang kegunaanya akan terus dipertingkatkan untuk menghasilkan gambar infrared dalam resolusi yang lebih besar dengan kegunaan yang lebih menyeluruh. Terdapat lebih banyak kamera inframerah untuk kegunaan lain yang dihasilkan oleh FLIR di website nya. Jadi sekarang anda tahu, yang manakah lebih sesuai untuk kegunaan anda.


Free Download



Sabtu, 5 September 2015

Burung Yang Terbang Terpaling Tinggi

Ruppell vulture terbang di udara.

Seperti yang terkandung di dalam artikel yang lepas corak penerbangan burung adalah berbeza-beza antara satu spesis dengan spesis yang lain. Banyak faktor yang mempengaruhi corak penerbangan ini termasuklah keupayaan fizikal burung-burung itu sendiri. Jadi untuk kali ini kita akan melihat burung yang mampu terbang terpaling tinggi di udara pula.

Rüppell's vulture atau Rüppell's griffon vulture (Gyps rueppellii) adalah jenis vulture bersaiz besar yang boleh di dapati di kawasan Sahel di Afrika Tengah. Mempunyai populasi sekitar 30,000 ekor dan semakin menurun akibat aktiviti manusia yang mengakibatkan burung ini turut terancam. Namanya diberikan bersempena seorang pengembara, pengumpul dan juga zoologist  German iaitu Eduard Rüppell. Kemampuan burung ini untuk terbang setinggi 11,300 m (37,000 ft.) dari aras laut merupakan penerbangan paling tinggi dilakukan oleh burung.

Tengkorak Ruppell vulture.

Menjumpai bangkai 'blue wildebeest'.

Ketinggian biasa penerbangan Rüppell's vulture adalah sekitar 6,000 meter (20,000 ft.). Pada ketinggian ini kekurangan Oksigen boleh menyebabkan haiwan lain dan manusia sendiri jatuh pengsan dan membawa maut. Bagi burung istimewa ini darahnya mengandungi hemoglobin yang berbeza dikenali sebagai sub-unit alphaD yang membolehkan Oksigen diserap pada tekanan rendah pada altitude tinggi troposphere.

Burung ini pernah disahkan termasuk ke alam enjin jet  pesawat yang terbang melepasti Abidjan, Côte d'Ivoire pada 29 November, 1973 pada ketinggian 11,300 m (37,00 ft.) Pelanggaran seperti ini sudah tentu membawa maut kepada burung dan ia berpotensi menyebabkan kerosakan teruk kepada pesawat juga.

Ruppell vulture, di San Diego Zoo.


Selain itu burung Rüppell's vulture turut tersenarai sebagai "near threatened" oleh the International Union for Conservation of Nature pda tahun 2007. Senarai ini tidak kekal lama dan ia semakin meruncing apabila senarai tersebut berubah kepada status “Endangered” menjelang 2012. Sekiranya tiada usaha untuk membantu burung ini, populasinya mungkin akan pupus dalam masa beberapa tahun lagi.




Free Download





Jumaat, 4 September 2015

Burung Paling Pantas di Udara

Burung 'peregrine' menjunam mengejar mangsa.


Burung amat dikagumi dengan kebolehannya terbang di udara sebagai salah satu tanda kebebasan yang dicemburui oleh manusia. Ia merupakan salah satu punca yang menyebabkan manusia berusaha untuk terus mencipta satu peralatan yang membolehkan mereka juga terbang bebas seperti burung. Jadi mungkin menjadi satu soalan pada kita, burung apakah yang mampu terbang terpaling pantas di udara?

Sebelum menjawab persoalan ini secara khusus, ingin diterangkan serba sedikit mengenai corak penerbangan burung. Ini kerana kemampuan gaya penerbangan burung adalah bergantung kepada gaya hidup mereka sendiri dan fizikalnya yang membolehkan corak penerbangan tersebut dicapai. Penerbangan terpantas mungkin penting pada sesetengah spesis, manakala pada spesis lain pula ianya adalah tidak perlu. Bagi burung yang melakukan migrasi misalanya penerbangan jangka panjang adalah jauh lebih penting dan bagi burung madu pula ia perlu berada di tempat yang sama (seakan terapung) bagi memudahkannya menghisap madu.

Bagi penerbangan terpantas burung pula, kepantasan burung ‘peregrine falcon’ (Falco peregrinus) semasa menjunam mengejar mangsa merupakan yang teraling pantas seperti yang pernah direkodkan oleh National Geographic iaitu pada kelajuan 389 km/h (242 mph). Namun begitu burung ini dikatakan boleh mencapai kelajuan yang lebih tinggi.


Burung paregrine terbang di udara.

Burung dari spesis di Australia.

Burung pemangsa ini memerlukan kepantasan tinggi tersebut untuk mengejar mangsanya yang juga terdiri dari spesis burung-burung lain semasa terbang. Maka tidak hairanlah mengapa ia memerlukan kepantasan yang berkali ganda daripada kepantasan burung-burung tersebut. Faktor kepantasan ini adalah disebabkan oleh rupa bentuk fizikalnya yang membantu ia mencapai kelajuan yang tinggi.

Burung ‘peregrine falcon’ terdapat hampir di semua kawasan di dunia kecuali di kawasan yang terlalu sejuk, gunung yang terlalu tinggi atau hutan tropika. Ia merupakan spesis burung pemangsa yang boleh didapati paling meluas di seluruh dunia. Terdapat 17 – 19 subspesis burung  ini yang telah dikenalpasti di mana ia berbeza dari segi fizikal dan juga kawasan tempat tinggalnya.

Walaupun secara kasar burung ini mirip kepada helang ia sebenarnya adalah jauh lebih kecil di mana saiznya adalah di antara 34 ke 58 cm (13-23 in) sahaja dengan bukaan sayap seluas 74 ke 120 cm (29-47 in). Burung jantan dan betina mempunyai corak dan warna bulu yang sama cuma saiznya sahaja yang agak berbeza di mana burung betina adalah 30% lebih besar berbanding burung jantan. Beratnya pula adalah 330 ke 1,000 g (0.73 – 2.20 lb) bagi yang jantan, manakala 700 hingga 1,500 g (1.5 – 3.3 lb) bagi burung betina.


Pandangan dekat rupa burung terpantas ini.

Oleh kerana mangsanya adalah terdiri daripada burung-burung kecil dan sederhana, burung ini mempunyai tahap pemburuan yang sangat tinggi. Selain daripada kepantasan penerbangan ia juga turut dilengkapi dengan daya penglihatan yang tajam. Corak penerbangannya akan berubah apabila dapat mengesan mangsa yang sesuai dan menukar rupa bentuk sayapnya supaya dapat menjunam dengan kelajuan yang tinggi bagi menyambar mangsa.


Jadi itu adalah antara perkara menarik mengenai penerbangan terpantas. Mungkin anda juga perlu memikirkan corak penerbangan burung-burung yang lain seperti kemampuan terbang paling lama (bagi yang mampu terbang selama berbulan-bulan lamanya) atau burung yang mampu terkatung-katung di udara. Sebab itu dunia hidupan adalah dunia yang penuh dengan pelbagai perkara yang menarik!




Free Download






Khamis, 3 September 2015

Teknologi Paparan Dengan Skrin Setebal 1 mm

Menggunakan OLED, TV sebesar ini akan berketebalan hanya beberapa mm.

Kepentingan sistem paparan (monitor) menjadikan ia antara komponen penting yang diberikan tumpuan dalam sistem pembangunan peralatan elektronik. Hari ini sistem paparan turut digunakan oleh kenderaan dimana dahulunya sistem paparan kenderaan lebih bersifat mekanikal dengan menggunakan jejarum dan spring.

Sistem paparan lama iaitu menggunakan CRT (Cathode Ray Tube) menggunakan banyak tenaga dan saiznya terlalu besar untuk paparan sederhana. Jadi saiz paparan menggunakan CRT agak terhad terutama untuk digunakan bagi peralatan yang kecil. Bagi monitor CRT bersaiz sederhana, ia masih lagi terlalu berat untuk dibawa kemana-mana. Penggunaan tenaga yang tinggi pula menjadikan saiz monitor CRT besar tidak efisyen.


Skrin ini juga boleh digulung untuk memudahkan ianya dibawa,


Ianya terlalu nipis jika dilihat dari tepi.

Kemajuan dalam rekaan terbaru skrin hari ini membolehkan ianya dibina hanya setebal 1 mm. Teknologi ini dihasilkan oleh syarikat terkemuka LG menggunakan OLED (Organic Light-Emitting Diode) iaitu LED yang menggunakan bahan organik.

Rekaan OLED adalah bertitik tolak dari hasil kajian pengkaji Perancis yang mendapati sesetengah bahan organik adalah bersifat ‘electroluminiscent’ (iaitu menghasilkan cahaya apabila dialirkan tenaga elektrik). Melalui penggunaan bahan seperti ini skein OLED tidak memerlukan cahaya belakang (backlighting) seperti yang digunakan pada skrin LCD/LED. Ini membolehkan skrin OLED direka menjadi lebih nipis selain turut menjimatkan tenaga.

Lebih dari itu skrin OLED boleh di ‘print’ pada kepingan plastik mudah lentur (polyethelyne terephthalate - PET) untuk menjadikan ia skrin yang boleh digulung untuk memudahkan penyimpanan ataupun untuk dibawa ke mana-mana. Apabila diperlukan ia dengan mudah boleh digantung tanpa memerlukan peralatan yang banyak (persediaan yang rumit – kerana skrin ini amat ringan).


Selain itu skrin 'transparent' juga antara jenis yang diminati. 

Skrin OLED dan AMOLED (active-matrix OLED) merupakan jenis skrin yang digunakan untuk banyak peralatan seperti telefon bimbit dan peralatan elektronik yang lain. Kesemua jenama utama seperti Motorola, Nokia, Samsung, HTC, Sony, LG dan lain-lain jenama peralatan elektronik menggunakan skrin jenis ini pada peralatan mereka kerana ianya jauh lebih baik (kontras yang tinggi).


Walaupun Skrin TV bersaiz besar dengan ketebalan 1 mm ini belum dihasilkan dengan meluas, ia merupakan satu hasil rekaan yang tetap berada di pasaran satu hari nanti.




Rabu, 2 September 2015

Bolehkah Dinasour Dihidupkan Semula?

Daripada filem Jurassic Park 1995.

Dinasour merupakan haiwan yang telah pupus jutaan tahun dahulu namun ia tetap dikagumi sehingga ke hari ini. Naluri manusia yang ingin tahu sememangnya ingin sekali melihat bagaimana keadaan kehidupan mereka. Melalui cerita Jurrasic Park kira-kira 20 tahun dahulu hasil penulisan Michael Crichton, keinginan kita semakin memuncak dan tertanya-tanya adakah benar haiwan purba ini mampu diwujudkan semula.

Melalui kemajuan sains biologi hari ini kefahaman manusia mengenai genetik haiwan semakin bertambah baik. Walaupun masih belum ada haiwan purba yang mampu dihidupkan semula namun terdapat beberapa spesis tumbuhan yang telah dihasilkan semula walaupun telah pupus. Dalam kes haiwan sebesar dinasour ini proses yang perlu dilakukan tentulah lebih rumit dan akan mengambil masa yang lebih lama.

Daripada penemuan tulang, dinasour menarik minat manusia.

Antara haiwan yang mungkin akan dihidupkan semula adalah spesis yang baru pupus di mana masih terdapat DNA lengkap mereka seperti thylacine atau dikenali sebagai ‘Tasmanian Tiger’ dan satu lagi haiwan yang pupus iaitu mammoths yang pupus sekitar 5,000 tahun dahulu. Haiwan ini lebih mudah untuk difahami kerana terdapat maklumat yang lebih banyak mengenai mereka (dengan DNA sequence yang lengkap).

Bagi kes haiwan-haiwan yang telah lama pupus pula struktur DNAnya akan dibina semula (dan ini bukanlah satu proses yang mudah). Manakala ia memerlukan telur gantian untuk menggantikan telur dinasour untuk membesarkan embrio yang dilengkapi dengan DNA dinasour. Proses ini juga sekali lagi mempunyai peluang yang masih samar.


Mammoth mungkin antara spesis terawal yang akan dihidupkan semula.

Manakala tabiat dinasour-dinasour itu sendiri perlu difahami bagi membolehkan ia dikawal atau diselenggara dengan baik. Seperti juga haiwan-haiwan lain yang dipelihara di zoo, setiap perwatakan haiwan ini telah diamati bagi membolehkan ia dapat tinggal dengan selesa.


Sememangnya manusia akan terus mencuba untuk menghasilkan semula haiwan-haiwan gergasi ini. Masa dan beberapa faktor penting sahaja yang menentukan bilakah ia akan berlaku. Antara faktor tersebut termasuklah teknologi, perbelanjaan, persediaan dan kepakaran untuk mengendalikan haiwan-haiwan tersebut. Apa pendapat anda mengenai perkara ini?




Free Download



Arkib Blog