Rabu, 2 September 2015

Bolehkah Dinasour Dihidupkan Semula?

Daripada filem Jurassic Park 1995.

Dinasour merupakan haiwan yang telah pupus jutaan tahun dahulu namun ia tetap dikagumi sehingga ke hari ini. Naluri manusia yang ingin tahu sememangnya ingin sekali melihat bagaimana keadaan kehidupan mereka. Melalui cerita Jurrasic Park kira-kira 20 tahun dahulu hasil penulisan Michael Crichton, keinginan kita semakin memuncak dan tertanya-tanya adakah benar haiwan purba ini mampu diwujudkan semula.

Melalui kemajuan sains biologi hari ini kefahaman manusia mengenai genetik haiwan semakin bertambah baik. Walaupun masih belum ada haiwan purba yang mampu dihidupkan semula namun terdapat beberapa spesis tumbuhan yang telah dihasilkan semula walaupun telah pupus. Dalam kes haiwan sebesar dinasour ini proses yang perlu dilakukan tentulah lebih rumit dan akan mengambil masa yang lebih lama.

Daripada penemuan tulang, dinasour menarik minat manusia.

Antara haiwan yang mungkin akan dihidupkan semula adalah spesis yang baru pupus di mana masih terdapat DNA lengkap mereka seperti thylacine atau dikenali sebagai ‘Tasmanian Tiger’ dan satu lagi haiwan yang pupus iaitu mammoths yang pupus sekitar 5,000 tahun dahulu. Haiwan ini lebih mudah untuk difahami kerana terdapat maklumat yang lebih banyak mengenai mereka (dengan DNA sequence yang lengkap).

Bagi kes haiwan-haiwan yang telah lama pupus pula struktur DNAnya akan dibina semula (dan ini bukanlah satu proses yang mudah). Manakala ia memerlukan telur gantian untuk menggantikan telur dinasour untuk membesarkan embrio yang dilengkapi dengan DNA dinasour. Proses ini juga sekali lagi mempunyai peluang yang masih samar.


Mammoth mungkin antara spesis terawal yang akan dihidupkan semula.

Manakala tabiat dinasour-dinasour itu sendiri perlu difahami bagi membolehkan ia dikawal atau diselenggara dengan baik. Seperti juga haiwan-haiwan lain yang dipelihara di zoo, setiap perwatakan haiwan ini telah diamati bagi membolehkan ia dapat tinggal dengan selesa.


Sememangnya manusia akan terus mencuba untuk menghasilkan semula haiwan-haiwan gergasi ini. Masa dan beberapa faktor penting sahaja yang menentukan bilakah ia akan berlaku. Antara faktor tersebut termasuklah teknologi, perbelanjaan, persediaan dan kepakaran untuk mengendalikan haiwan-haiwan tersebut. Apa pendapat anda mengenai perkara ini?




Free Download



Ahad, 30 Ogos 2015

Apakah Yang Berlaku Kepada Hujan Asid?

Hujan asid, pernah menjadi masalah serius.

Hujan asid adalah masalah yang benar-benar berlaku terutama pada negara-negara pesat membangun iaitu Amerika dan juga Europe pada sekitar 1970-an. Kepesatan perindustrian menyebabkan masalah pencemaran udara yang serius menyebabkan langkah-langkah tertentu diambil bagi mengurangkan masalah pencemaran dan mengelakkan masalah hujan asid.

Di Europe, negara-negara Scandinavian (Denmark, Norway dan Sweeden) menyalahkan stesyen janakuasa Britain yang membebaskan ‘sulphur dioxide’ dan juga bahan pencemaran berasaskan nitrogen (eg. ‘nitrogen oxides’) ke dalam udara yang menjadi punca berlakunya masalah hujan asid. Bahan pencemaran yang ditiup ke bahagian utara negara-negara tersebut menyebabkan berlakunya hujan asid yang membunuh hidupan seperti pokok dan juga hidupan air di dalam sungai dan tasik. Masalah ini juga dialami oleh Britain yang merupakan negara penyumbang kepada pencemaran tersebut.


Keadaan udara di Birmingham pada 1970-an.

Pokok-pokok yang mati di Poland.

Di bahagian Utara Benua Amerika pula masalah yang sama melanda Canada di mana pencemaran berpunca daripada U.S. diterbangkan ke situ. Satu ungkapan dari menteri alam sekitar Canada sebagai “insidious malaria of the biosphere”.

Oleh sebab itu pelbagai usaha telah dijalankan bagi mengurangkan masalah pencemaran. Ini termasuklah mengetatkan undang-undang dalam memastikan punca pencemaran dapat dikurangkan. Usaha ini berjalan dari 1970-an sehinggalah sekarang. Namun pada sekitar 1990-an usaha yang dijalan oleh U.S. seperti “1990 Acid Rain Program” dapat mengurangkan pembebasan ‘sulphur dioxide’ dan ‘nitrogen oxcide’ sebanyak lebih daripada 70%.  Walaupun ia tidak dapat dihapuskan 100%, yang jelas, ancaman hujan asid dapat dikurangkan daripada sebelumnya.


Keadaan udara di Manhattan, New York.


Pokoj-pokok terjejas di Canada.


Pencemaran di Japan berpunca dari China.

Walaupun masalah ini bukanlah merupakan masalah yang serius kepada negara kita, namun ia merupakan satu pelajaran yang harus kita ambil ikhtibar dari negara-negara yang pernah mengalaminya. Negara China misalnya sedang berhadapan dengan masalah ini. Apa yang membimbangkan, ia mungkin akan melibatkan negara-negara di persekitarannya. Jadi, ia lebih dari sekadar masalah satu-satu negara yang terbabit.


Sama-sama kita membantu dalam memelihara alam bagi memastikan kita dapat tinggal dengan selesa di dalamnya.




Free Download



Mikro Post: Ikan Melompat Paling Tinggi

Shortfin mako melompat dari air.
Terdapat sebilangan ikan yang mempunyai kemampuan untuk melompat dengan tinggi dari permukaan air dan antara ikan yang paling terkenal dengan kemahiran ini adalah salmon.

Ikan Atlantic salmon (Salmo salar) biasanya melompat cerun-cerun air terjun sehingga ketinggian 3.7 meter tinggi dalam perjalanan mereka menyusuri sungai untuk bertelur. Manakala bagi ikan-ikan yang berada di lautan lepas pula ianya adalah terdiri daripada ikan-ikan yang bersaiz lebih besar.


Ikan-ikan salmon meharungi arus jeram untuk bertelur.

Antara ikan-ikan yang mampu melompat tinggi di lautan termasuklah dari jenis pari dan marlin yang mampu melompat sehingga 3 meter tinggi. Namun begitu kedua-dua ikan ini diatasi oleh shorfin mako (lsurus oxyrinchus) iaitu sejenis ikan jerung yang mampu melompat sehingga ketinggian 6 meter tinggi.

Marlin juga juga mampu membuat lompatan tinggi.

Ikan yang melompat dari air.
mako yang melompat dari air.


Sabtu, 29 Ogos 2015

Senarai Kereta Terpantas di Dunia

SSC Tuatara 6.9L V8 Twin Turbo
SSC Tuatara 6.9L V8 Twin Turbo merupakan kereta terpantas.

Kereta terpantas di dunia bukan sekadar untuk mencapai kelajuan tinggi tapi adalah untuk menampilkan hasil kejuruteraan permotoran yang lebih baik. Adakalanya kelajuan bukanlah satu-satunya perkara utama yang dititik beratkan di dalam satu-satu rekaan tetapi faktor keselamatan, pencemaran dan penjimatan bahanapi juga menjadi antara faktor utama dalam rekaan terbaru.

Sejak sekian lama Bugatti Veyron merupakan pemegang tahta di dalam kelas kereta terpantas dengan Bugatti Veyron 8.0 litre W16 (2005) dengan kelajuan maksima mencecah 405.5 km/h dan diikuti pula dengan Bugatti Veyron 8.0 litre W16 Super Sport (2010) dengan kelajuan maksima 415.2 km/h. Kereta-kereta dengan kelajuan tinggi ini menggunakan bahagian-bahagian yang berbeza seperti tayar khas. Malah tayar ini hanya boleh dipasang di France sendiri dengan kos sekitar USD70,000, manakala harga setiap set tayar yang digunakan iaitu Michelin Pax (run-flat tyres) adalah mencecah sehingga USD25,000.


Bugatti Veyron sudah sedia dikenali.
Hennessey Venom GT adalah pesaing terdekat.

Namun begitu peminat-peminat kereta ingin sekali mengetahui senarai kereta-kereta terpantas baru terutamanya yang mengatasi Bugatti Veyron ini. Sehingga tahun ini 2015, terdapat beberapa pesaing rapat Bugatti dengan rekaan-rekaan terbaru yang juga amat menarik. Berikut adalah beberapa senarai kereta terpantas yang pastinya anda ingin ketahui;


Kereta
Kelajuan
Koenigsegg Agera S 5.0 V8 Hundra - [2013]
400.7 km/h
SSC Aero SC 8T 6.3L - [2005]
400.7 km/h
Bugatti Veyron 8.0 litre W16 - [2005]
405.5 km/h
Koenigsegg CCX R Special Edition 4.8 V8 S - [2008]
408.7 km/h
Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse - [2012]
410.3 km/h
Porsche 9FF GT9 - [2008]
410.3 km/h
Porsche 9FF GT9R - [2009]
411.9 km/h
Bugatti Veyron 8.0 litre W16 Super Sport - [2010]
415.2 km/h
Hennessey Venom GT - [2010]
418.4 km/h
Koenigsegg Agera 5L V8 - [2011]
420.0 km/h
Koenigsegg Agera R 5.0 V8 - [2012]
439.3 km/h
SSC Ultimate Aero TT - [2008]
439.3 km/h
SSC Tuatara 6.9L V8 Twin Turbo - [2011]
444.1 km/h


Dari senarai tersebut dapat dilihat beberapa pengeluar lain yang berjaya mengatasi rekod yang pernah dipegang oleh Bugatti. Namun terdapat juga beberapa nama lain yang disenaraikan di sini yang berjaya menghasilkan kereta dengan kelajuan melebihi 400 km/h seperti; Barabus TKR yang dikatakan boleh mencapai kelajuan sehingga 435 km/h.


Keonigsegg Agera
Keonigsegg Agera menyaingi Bugatti Veyron.

Kereta terpantas bukanlah menjadi perlumbaan setiap pengeluar kereta dan kebanyakannya masih menumpukan kepada kereta untuk pasaran yang lebih luas. Pengeluar terkemuka seperti McLaren sendiri tidak tergolong di dalam kumpulan ini. Lain-lain jenama ternama adalah seperti Ferrari, Lamborghini, Audi, BMW, Mercedes, Jaguar, Lotus dan beberapa pengeluar lain juga tidak tersenarai di dalam pengeluar kereta-kereta berkelajuan tinggi (melebihi 400 km/h).


Banyak lagi perkara yang menarik di dalam dunia kejuruteraan kenderaan selain daripada faktor kelajuan dan mungkin kita berpeluang untuk melihatnya di dalam artikel yang lain. Seperti yang kita sedia maklum pengeluaran kereta terkini lebih menitik beratkan mengenai faktor pencemaran dan juga penjimatan bahanapi. 




Pergerakan Terpantas Hidupan di Dunia

Kepantasan cheetah telah diketahui secara umum.

Dalam usaha mencari hidupan yang mampu bergerak dengan pantas, ia perlu bergantung kepada beberapa kriteria. Walaupun kepantasan haiwan di daratan seperti yang kita sedia ketahui adalah dimiliki oleh cheetah iaitu haiwan dari family kucing yang mampu bergerak pada kelajuan 80 mph (128 kmh). Namun begitu cheetah hanya boleh mengekalkan kepantasan ini dalam tempoh waktu yang singkat.

Dalam kriteria yang lain iaitu jarak yang dijangkau berbanding dengan panjang haiwan itu sendiri memberikan hasil yang berbeza. Walaupun ia tidak menjadikan hidupan tersebut terpantas di dunia, namun kepantasan dalam kelas ini juga penting untuk dikenalpasti sebagai satu kajian yang penting. Maka dengan itu penemuan terbaru mendapati hidupan terpantas jatuh kepada sejenis hama atau dikenali sebagai Paratarsotomus macropalpis yang mempu bergerak sejauh 322 kali dari panjangnya sendiri dalam tempoh sesaat.

Paratarsotomus macropalpis
Paratarsotomus macropalpis walaupun bersaiz kecil pergerakannya amat pantas.

Kelajuan yang dicapai cheetah sebenarnya adalah sekitar 16 kali ganda daripada panjangnya dalam tempoh sesaat. Sebelum ini dalam kriteria ini sejenis kumbang iaitu ‘tiger beetle’ dari Australia didapati mampu bergerak pada kelajuan 171 daripada panjang badannya. Maka dengan ini Paratarsotomus macropalpis merupakan hidupan yang mempunyai kelajuan paling pantas yang diketahui setakat ini.

Pada kelajuan ini jika dibandingkan dengan saiz manusia ianya adalah bersamaan 1,300 mph (2,092 kmh) kelajuan yang melebihi kelajuan bunyi. Ia amat menakjubkan kerana serangga kecil ini bergantung sepenuhnya kepada kepantasan kakinya (bebanding cheetah yang juga akan dibantu dengan inersia pergerakannya sendiri).

Saiz sebenar Paratarsotomus macropalpis.

Australian tiger beetle satu lagi serangga bergerak pantas.

Kebolehan hidupan kecil ini ditemui oleh seorang pelajar kolej di California iaitu Samuel Rubin dari Pizer College, sewaktu menghabiskan musim panasnya mencari hama menakjubkan ini. Ia bukan sahaja sebagai penemuan rekod baru, tetapi sebenarnya turut memberikan pandangan baru mengenai kepantasan pergerakan dalam dunia hidupan.

Jadi adakah penemuan ini satu penemuan muktamad? Dunia hidupan merupakan dunia yang menginspirasi kepada banyak rekaan manusia yang membolehkan kita hidup dengan cara yang jauh berbeza daripada nenek moyang kita dahulu. Pengamatan dan pengolahan hasil kajian perlu dilakukan berterusan bagi memperolehi hasil yang terbaik. Teruskan memerhati.



Free Download



Khamis, 27 Ogos 2015

Sagrada Família Senibina Menakjubkan Antoni Gaudi

Sagrada Família
Sagrada Família, pembinaannya diteruskan sehingga tahun 2026.

Sebuah senibina yang menakjubkan mula didirikan pada tahun 1882 (lebih dari 100 tahun dahulu) di dimana proses pembinaannya masih diteruskan dan dikatakan hanya akan disiapkan pada tahun 2026 nanti. Bangunan yang direka oleh seorang pereka tersohor ini iaitu Antoni Gaudi merupakan antara beberapa bangunan dengan rekabentuk yang berbeza daripada rekabentuk bangunan-bangunan biasa. Ia merupakan satu daripada tujuh bangunan rekaannya yang dinobatkan sebagai bangunan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Antoni Gaudi i Cornet nama penuh Antoni Gaudi (dilahirkan pada 25 Jun 1852 – 10 Jun 1926) merupakan seorang arkitek Spanish Catalan yang berasal dari Reus. Menghasilkan rekaan yang mempunyai ciri-ciri tersendiri di mana kebanyakan bangunan rekaan beliau didirikan di Bandar Barcelona dan ini termasuklah rekaan teragung beliau iaitu Sagrada Familia.


Proses pembinaan terus dijalankan.

Rekaan beliau dipengaruhi dengan corak hidupnya yang mendalam terhadap; senireka, alam semulajadi dan keagamaan. Malah setiap rekaannya menitik beratkan setiap penggunaan bahan-bahan sehingga kepada perincian halus penggunaan ‘stained glass’, besi keluli, dan juga kerja-kerja kayu. Beliau juga menitik beratkan penggunaan bahan yang dikenali sebagai ‘trencadís’, iaitu penggunaan bahan terbuang seperti kepingan ‘ceramics’. Dimana penggunaan bahan-bahan seperti ini dapat dilihat dengan jelas pada binaan seperti Casa Milà dan juga Casa Batlló.

Sagrada Família berbeza dengan bangunan-bangunan lain rekaannya dari segi saiz dan juga rekaan. Pada  rekaan Sagrada Família, Antoni Gaudi menampilkan segala luahan yang ingin dilahirkannya pada bangunan tersebut. Walaupun beliau sendiri tidak mensasarkan binaan ini perlu disiapkan dalam tempoh yang singkat, ia akhirnya memakan masa sehingga ratusan tahun untuk disiapkan setelah mengalami pelbagai fasa masa termasuk perang saudara di Sepanyol (Spanish Civil War).


Tiang-tiang seperti pokok yang menyokong bumbungnya.
Rekaan 'facade' dipenuhi dengan ukiran halus.

Antara lain yang menyebabkan bangunan ini dibina dengan perlahan adalah kerana ia dibangunkan dengan dana sepenuhnya daripada sumbangan orang ramai. Perang menyebabkan kerja-kerja pembinan terhenti. Malah terdapat beberapa insiden yang menyebabkan bangunan mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki semula. Kerja-kerja penyambungan semula hanya dilakukan pada tahun 1950-an.  Sehingga tahun 2010 apabila ia mencapai kepada tahap-tahap mencabar pada rekaan tersebut.

Secara keseluruhan bangunan ini penuh dengan mesej yang berkait dengan Agama Kristian, dimana beliau sendiri merupakan seorang pereka yang kuat dipengaruhi dengan senibina ini. Keseluruhan binaan pada Sagrada Família banyak terselit unsur-unsur keagamaan dari segi struktur binaan, mahupun pada ukiran-ukiran yang terdapat padanya. Bukan itu sahaja, binaan struktur yang berbeza seperti ruangan dalam bangunan memperlihatkan pendekatan yang lebih unik digunakan oleh Antoni Gaudi.


Antara pemandangan dalaman bangunan.

Kemajuan dalam teknik pembinaan seperti penggunaan komputer (computer-aided design) adalah antara faktor yang membantu untuk mempercepatkan lagi proses pembinaan pada bangunan unik ini. Selain itu juga penggunaan peralatan-peralatan moden lain (‘CNC milling’ misalnya) juga turut membantu berbanding dengan teknik ukiran tangan manusia.

Kerja-kerja pembinaan bangunan ini akan diteruskan sehingga tempoh jangkaan siapnya iaitu 2026 nanti. Namun begitu ia terus menjadi antara lokasi lawatan popular di Barcelona yang turut menjadi sumber pembiayaan pembangunanya yang pada tahun 2009 perbelanjaan diperlukan beranggaran €18 juta. Namun begitu ia terus berhadapan dengan ancaman lain seperti pembinaan keretapi laju AVE iaitu keretapi bawah tanah yang dibimbangi akan melemahkan struktur bangunan ini. Walaupun tiada keroskan dilaporkan disepanjang pembinaannya namun pergerakan keretapi di bawahnya ini mungkin memberi kesan jangka panjang.

Pemandangan bangunan pada waktu malam.


Terlalu banyak perkara yang menarik mengenai bangunan Sagrada Família sebagai hasil rekaan senibina penuh bersejarah, budaya dan keagamaan. Ini kerana ia menampilkan ciri-ciri kepercayaan pereka dimana pada masa yang sama mengingatkan kita, bahawa kita mempunyai kepercayaan masing-masing. Maka untuk mengenali Sagrada Família dengan lebih dekat, anda perlulah membuat kajian sendiri dan melawatinya sekiranya berkesempatan.




Free Download



Arkib Blog