Jika di dalam artikel yang pertama kita telah melihat sebahagian daripada parasit-parasit yang berkemungkinan pernah menjadikan kita sebagai mangsanya. Kita akan melihat sebahagian lagi parasit yang juga tidak kurang bahayanya. Secara tidak langsung memberikan kita lebih banyak maklumat penting mengenai parasit-parasit yang boleh mendatangkan keburukan kepada kita mahupun kepada ahli keluarga yang lain.
Nyamuk:
Nyamuk merupakan antara parasit yang paling mudah menjadikan manusia sebagai mangsanya. Selain daripada mempunyai sayap, ia juga dengan mudah menjadikan kawasan sekitar kediaman manusia sebagai habitat yang sesuai baginya. Jadi agak sukar bagi kita menghindari nyamuk 100% namun kita boleh mengurangkan pendedahan kepada mereka.
Bahaya nyamuk bukanlah sekadar menghisap darah tetapi ia adakalanya menyebarkan wabak penyakit seperti West Nile Virus, dengi, malaria, demam kuning, Japanese Encephalitis (JE), untut (Lymphatic filariasis) dan macam-macam lagi. Nyamuk yang membiak di kawasan-kawasan yang kotor (tercemar) mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menyebarkan wabak penyakit-penyakit ini.
Bagi mengurangkan masalah ini, apa yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan kawasan pembiakan nyamuk di sekitar rumah anda. Pastikan persekitaran yang bersih. Gunakan penghalau nyamuk apabila terpaksa melakukan aktiviti di luar rumah, terutama di kawasan yang mempunyai nyamuk.
Hama:
Hama juga merupakan parasit yang lebih hampir dengan manusia dan jarang sekali dikesan. Hama tinggal hampir pada semua haiwan termasuklah manusia. Namun begitu hama kurang membawa kesan negatif (kesan yang ketara kepada manusia) walaupun ia juga menjadikan darah dan sel-sel mati sebagai antara makanannya. Terdapat hama yang tinggal di atas kulit kepala kita dan ia dikenali sebagai hama umbi rambut (hair follicle mites) yang memakan minyak yang dihasilkan dari kulit kepala.
Hama yang menyebabkan masalah pada kulit adalah dikenali sebagai ‘scabies’. Ia menyebabkan kegatalan dan masalah kulit. Ia akan tinggal pada permukaan dan di dalam kulit. Masalah ini perlu dirawat kebiasaannya menggunakan ubatan dari jenis minyak.
Lalat (Human Botflies):
Lalat ini agak menakutkan kerana ia menjadikan haiwan lain sebagai perumah untuk ia membesar. Haiwan seperti lembu, kambing, rusa, kerbau dan sebagainya... termasuklah manusia.
Lalat ini kebiasaannya didapati di bahagian Amerika Tengah dan di Amerika Selatan. Keunikan lalat ini adalah ia akan menangkap nyamuk dan bertelur padanya. Nyamuk yang kemudiannya menghisap darah pada manusia akan menjatuhkan telur ini, di mana anak lalat akan masuk ke dalam kulit perumah dan tinggal di dalamnya. Tempoh masa anak lalat ini membesar di dalam perumah adalah di antara 5-6 minggu sebelum keluar meninggalkan perumah nya. Apabila jatuh, ia akan membentuk kepompong di dalam tanah dan keluar sebagai lalat dewasa.
Anak lalat yang membesar di dalam daging ini memerlukan lubang untuk bernafas. Ia juga mungkin akan mengakibatkan daging menjadi bengkak (bergantung kepada keadaan). Proses pembuangan anak lalat ini perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelakkan masalah yang lebih serius.
Cacing Pita (Tapeworms):
Cacing pita merupakan parasit yang biasa menjangkiti manusia. Masuk ke dalam badan melalui telurnya yang terdapat pada bahan makanan yang tidak dimasak dengan sempurna (seperti daging ataupun sayur-sayuran).
Cacing pita akan tinggal di dalam usus manusia dan membiak di dalamnya. Telur-telur mereka pula akan keluar semasa manusia ke tandas dan tinggal di dinding mangkuk tandas atau dibawa bersama air apabila di ‘flush’. Telur-telur ini kemudiannya akan dibawa air dan menjadikan saluran perparitan pula sebagai tempat di mana ia akan menunggu perumahnya yang baru.
Kesan jangkitan cacing pita ini sukar dikesan pada peringkat awal. Namun sekiranya dibiarkan ia boleh membesar sehingga mencapai kepanjangan 30 kaki di dalam usus manusia. Ia akan menyebabkan masalah kembung dan kekurangan zat kepada mangsa. Ia juga boleh terus tinggal di dalam usus manusia sehingga berpuluh tahun lamanya!
Cacing ‘Hookworms’:
Satu lagi jenis cacing yang boleh menjangkiti manusia. Telurnya disebarkan melalui najis dan akan menetas dan membesar di dalam tanah. Menjangkiti manusia apabila bersentuhan melalui kaki dan masuk ke saluran darah menuju ke jantung dan kemudiannya ke paru-paru. Ia adakalanya terkeluar melalui lendir apabila manusia terbersin dan sebahagiannya pula ada yang masuk semula ke saluran makanan. Ia merupakan peluang yang baik untuk cacing ini sampai ke bahagian usus manusia.
Di dalam usus, cacing ini akan melekatkan diri mereka di dinding usus untuk memakan darah manusia. Sekiranya berlanjutan ia boleh mengakibatkan gejala yang serius. Ia boleh menyebabkan anemia, kesakitan perut yang serius, cirit-birit, sembelit, keletihan, kelaparan yang luar biasa pada benda-benda yang pelik seperti tanah dan lumpur. Kitar semula hidup cacing ini akan berulang semula melalui pembuangan najis.
Ya, itulah dia sebahagian lagi parasit yang perlu kita ketahui. Ia sememangnya tidak menarik untuk dilihat, namun penting untuk difahami bagi kita mengambil langkah berjaga-jaga. Melalui pengetahuan inilah maka kita boleh mengelakkan daripada terdedah kepada bahaya parasit-parasit ini dengan menitik beratkan kebersihan dan menjauhi kawasan-kawasan yang mungkin berpotensi menjadi sarang kepada mereka. Semoga artikel kali ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam memberikan maklumat yang berguna.
Sekiranya tajuk ini menarik bagi anda, anda mungkin berminat untuk artikel sebelumnya iaitu: Antara Parasit Yang Perlu Anda Kenali 1