Isnin, 24 Ogos 2015

Taxidermist Antara Seni Dan Pendidikan

Pakar taxidermist dapat memastikan hasil yang kelihatan sama seperti haiwan asal.

Taxidermy (berasal dari perkataan Greek yang bermaksud penyusunan kulit) merupakan seni pengawetan binatang kebiasaannya dari jenis vertebrata (vertebrate) untuk tujuan pameran. Pameran bahan awetan binatang-binatang ini bertujuan untuk bahan pendidikan, pameran di muzium atau dahulunya digunakan oleh pemburu untuk menyimpan hasil buruan mereka. Pengawetan juga adakalanya digunakan oleh pemilik binatang peliharaan sendiri oleh tuan mereka apabila ia mati.

Taxidermi merupakan saru kaedah penting bagi menyimpan specimen binatang terutama yang hampir pupus sebagai rekod. Kebanyakan haiwan yang diawet biasanya adalah haiwan-haiwan dari zoo yang telah mati, haiwan yang mati akibat kemalangan dan sebagainya. Penyimpanan ini dapat memastikan ia masih boleh dikenali oleh generasi akan datang atau mereka yang tidak berpeluang untuk melihatnya di habitat yang asal.

Teknik pengawetan ini juga sebenarnya merupakan teknik yang berubah dari semasa ke semasa mengikut bahan-bahan yang terdapat bagi seseorang pakar taxidermy (dikenali sebagai taxidermist). Malah antara teknik pengawetan terawal dikatakan bermula dari Mesir lagi iaitu melalui proses pengawetan ‘mummy’.

Proses pemindahan kulit ke badan gantian.

Proses pengawetan haiwan adalah bermula dengan pengasingan kulit yang merupakan bahan yang diawet. Kulit perlu diasingkan dengan cermat supaya tidak rosak dan bulu-bulu pada kulit tersebut tidak tertanggal. Bahan-bahan yang digunakan juga perlu dikenal pasti bagi mengelakkan sebarang kemalangan semasa mengendalikannya – kebanyakan bahan kimia yang digunakan mungkin boleh mendatangkan kemalangan yang serius kepada pengendali bahan tersebut.

Sementara kulit diproses, badan gantian perlu disediakan. Badan gantian ini perlulah bersaiz sama dengan haiwan asal yang ingin diawet. Daging dan isi dalam haiwan tersebut perlu dibuang kerana ia akan mereput dan rosak. Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain seperti mata haiwan tersebut perlu diganti dengan mata palsu yang menyerupai mata haiwan tersebut. Tulang mungkin boleh digunakan – atau dijadikan bahan pameran untuk tulang. Badan gantian disediakan dengan pelbagai bahan, samada plastik, kayu, polistrine ataupun gentian kapas dan sebagainya.


Ikan mempunyai kulit yang nipis.
Specimen yang diawet dengan baik sebagai bahan pendidikan/pameran.

Proses berikutnya adalah mengalihkan kulit kepada badan gantian tersebut. Ia perlu dilakukan dengan cermat bagi memastikan ia kelihatan seperti haiwan yang masih hidup. Proses akhir kemasan adalah memastikan bulu dan kesan-kesan pemindahan kulit dapat ditutup dengan kemas. Seorang taxidermist yang mahir, mampu menghasilkan pengawetan yang seakan-akan haiwan tersebut masih hidup.

Proses pengawetan mungkin berbeza antara satu haiwan dengan haiwan yang lain, terutamanya ikan. Ini kerana ikan mempunyai kulit yang agak nipis dan warnanya akan hilang apabila ditanggalkan dari isi dalamnya. Namun kaedah pengawetan yang telah dilakukan sejak berzaman ini semakin baik dan dapat menghasilkan hasil yang jauh lebih baik berbanding dahulunya. Maka hampir setiap kumpulan haiwan mampu diawet dan dipamerkan dengan baik.


Pengawetan haiwan yang dilakukan dengan baik (secara terkawal) dapat memastikan haiwan tersebut dapat dikenali dan dipelajari (supaya ia dapat dipelihara dengan lebih baik). Ini kerana bukan semua haiwan dapat dipelihara di zoo untuk tatapan semua. Tujuan pameran haiwan juga bukanlah untuk tontonan semata melainkan untuk dikenali dan dihormati sebagai sebahagian daripada penghuni alam. Kita berkongsi kawasan tempat tinggal kita dengan haiwan-haiwan yang lain dan saling mempunyai kaitan antara satu sama lain. Jadi, mengenal dan memelihara merupakan kaedah terbaik untuk memastikan keadaan yang seimbang.




Free Download



Ahad, 23 Ogos 2015

Muzium Alam Semula Jadi Malaysia, Muzium Ala Kadar

Bangunan Muzium Alam Semula Jadi di Putrajaya.

Muzium Alam Semula Jadi (Natural History Museum), itulah yang diberikan kepada Muzium yang terletak di Presint 15 Putrajaya ini. Bangunan yang serba moden dikelilingi dengan landskap yang cantik untuk memaparkan ‘kepelbagaian bio’ di Malaysia yang dikatakan antara terkaya di dunia. Ia menampilkan pelbagai koleksi daripada haiwan yang bersaiz besar hinggalah ke serangga yang kecil, spesis tumbuh-tumbuhan dan juga sebahagian lagi adalah pameran geologi.

Muzium ini memaparkan bahagian alam semula jadi yang sebelumnya bertempat di Muzium Negara (jadi bahagian alam semula jadi Malaysia tiada lagi di Muzium Negara). Jika sebelumnya ia mengambil satu daripada galeri di Muzium Negara, di sini ia memiliki keseluruhan bangunan. Namun koleksi yang dipamerkan bukan sahaja tidak banyak bertambah malah bahan yang dipamerkan adalah hambar sekali. Baik dari segi koleksi binatang, burung, hidupan laut, tumbuh-tumbuhan mahupun serangga.


Wajah baru tahun 2015 (dalam media semua 'grand').
Ikon Muzium Alam Semula Jadi, agak menarik.

Kunjungan saya ke muzium ini adalah untuk melihat sendiri koleksi ‘herbarium’ seperti yang dinyatakan di dalam laman web promosi muzium ini. Tidak cukup dengan itu saja juga menghubungi muzium tersebut untuk bertanya samada koleksi ‘herbarium’ tersebut disimpan berasingan (kerana jumlahnya yang banyak – memandangkan kepelbagaian spesis tumbuhan negara yang kaya). Saya cuma diberitahu koleksi tersebut disertakan di dalam pameran. Apabila melihat koleksi tersebut di dalam pameran (jumlahnya adalah beberapa kerat – maka fahamlah saya, ia Muzium ala kadar).

Keseluruhan bangunan muzium ini sememangnya selesa dan amat cantik. Kunjungan bersama keluarga ke sini pada hujung minggu juga agak sesuai. Tapi bagi mereka yang ingin membuat apa-apa rujukan mengenai alam semula jadi Malaysia – pasti akan kecewa. Mungkin bahan yang dipamerkan kurang namun, usaha perlu dipelbagaikan bagi memberikan pengunjung maklumat yang cukup (sesuai dengan fungsi penubuhan muzium ini). Penggunaan library maya misalnya dapat menjimatkan ruang dan belanja yang besar. Namun kekurangan bahan adalah satu alasan yang tidak munasabah bagi sebuah muzium mewakili negara.

GALERI

ARAS 1

Galeri Serangga

Koleksi serangga-serangga diletakkan di dalam kotak-kotak yang disusun untuk memudahkan pemerhatian. Hanya label sahaja disediakan dan tiada maklumat lanjut mengenai serangga tersebut. Walaupun terdapat sejumlah serangga yang dipamerkan. Namun serangga merupakan kumpulan terbesar di dalam dunia hidupan (maka jumlah yang dipamerkan di sini adalah terlalu sedikit).

Maklumat mengenai kehidupan serangga dipaparkan di dinding ruang pameran adalah maklumat asas yang terlalu umum. Iaitu kitar hidup serangga dan rama-rama. Bukanlah ianya tidak menarik, tetapi saya tidak perlu berkunjung ke muzium ini untuk mengetahui maklumat tersebut.

Galeri Geologi

Galeri geologi mempunyai bahan yang agak menarik kerana ia sukar diperolehi. Sama juga dengan galeri yang lain-lain, apa yang penting adalah maklumat yang lengkap mengenai geologi Malaysia seperti mineral-mineral yang terdapat di Malaysia, taburan, aktiviti perlombongan, kegunaan bahan mineral tersebut, mesin-mesin yang digunakan, kaedah mengenalpasti kawasan yang memiliki mineral dan sebagainya.

Dewan Pameran Sementara

Dewan pameran sementara merupakan bahagian yang disediakan untuk aktiviti-aktiviti sampingan (apabila perlu).

ARAS BAWAH

Galeri Zoologi / Botani

Galeri yang memaparkan kebanyakan koleksi haiwan daripada spesis mamalia, reptilia, burung, hidupan air dan juga tumbuh-tumbuhan. Seperti yang saya katakan tadi, hanya sebilangan kecil sahaja dimuatkan di sini. Namun jumlahnya terlalu kecil untuk sebuah Muzium bertaraf Nasional apatah lagi untuk memberi maklumat yang lengkap mengenai spesis-spesis flora dan fauna negara. Itu sekiranya tidak dikaitkan dengan persembahan pameran yang hambar (tidak seperti di muzium-muzium lain – Muzium Negara dan Muzium Tekstil Misalnya).


Beberapa ekor kelawar yang dipamerkan.

Waktu Lawatan

Setiap Hari:

9:00 pagi – 5:00 petang
Muzium ditutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha

Muzium Alam Semula Jadi (Natural History Museum) merupakan antara muzium yang terpenting bagi sesebuah negara. Selain daripada menyediakan pameran yang baik, ia sepatutnya menyediakan maklumat yang lengkap mengenai alam semulajadi sesebuah negara tersebut. Malah muzium-muzium lain turut mengambil specimen daripada luar untuk memberikan maklumat kepada rakyat mereka. Disertakan lagi dengan maklumat perpustakaan berbentuk bahan bercetak dan juga digital.

Adalah diharap muzium ini akan diberikan pengolahan supaya dapat menjalankan fungsinya dengan baik. Segala perbelanjaan yang diperuntukkan untuk prasarana di muzium ini perlulah difokuskan kepada menampilkan fungsinya yang sebenar. Anda mempunyai sumber yang mencukupi, dilatih dan pakar dalam bidang masing-masing. Jadi tampilkan satu hasil yang sesuai seperti mana yang diharapkan. Semoga Berjaya.



Natural History Museum FRANCE:


Natural History Museum - France
Natural History Museum - France
Natural History Museum - France
Natural History Museum - France (Herbarium)
Natural History Museum - France (Herbarium)
Natural History Museum GERMAN:


Natural History Museum - German
Natural History Museum - German
Natural History Museum - German
*Adakah anda rasa saya memberikan komen yang tidak patut untuk Muzium Anda!!..


Free Download



Khamis, 20 Ogos 2015

Sumbangan Penting Dalam Kejuruteraan Bangunan Fazlur Rahman Khan

Menara Petronas, Kuala Lumpur dibina dengan struktur 'tubular'

Antra perkara yang paling menarik di dalam dunia pembangunan ilmu pengetahuan dan kejuruteraan adalah keterbukaan dalam menerima idea yang dibentangkan oleh siapa sahaja yang boleh memberikan penyelesaian atau membawa kepada pembangunan yang lebih baik. Komuniti di bidang pendidikan sebenarnya amat mengalu-alukan sumbangan sebegini dan membuka peluang luas bagi semua untuk menyumbangkan idea masing-masing.

Di dalam bidang kejuruteraan bangunan antara nama yang terpenting adalah Fazlur Rahman Khan atau lebih terkenal dengan gelaran "the father of tubular designs for high-rises" oleh American Society of Civil Engineers. Fazlur Rahman Khan (3 April 1929 – 27 Mac 1982) merupakan seorang warga Bangladesh – Amerika yang juga merupakan seorang jurutera struktur yang menyumbangkan sistem binaan ‘tubular’ yang membolehkan bangunan-bangunan tinggi dibina. Sumbangan ini membolehkan beliau menjadi antara jurutera dan arkitek yang terpaling berpengaruh pada abad ke-20. Selain itu beliau juga merupakan antara pelopor kepada kaedah ‘computer-aided design’ yang mempercepatkan lagi proses pembinaan sesebuah bangunan/binaan.

Fazlur Rahman Khan, penyumbang kaedah pembinaan penting.

Antara hasil binaan beliau adalah bangunan yang tidak asing lagi iaitu Willis Tower, yang merupakan bangunan kedua tertinggi di United States dan juga bangunan 100 tingkat John Hancock Center di Chicago. Bagi bangunan Willis Tower, Fazlur Rahman merupakan jurutera yang bertanggungjawab untuk binaan tersebut walaupun bangunan itu adalah hasil rekaan Bruce Graham yang muncul sebagai bangunan tertinggi di dunia lebih daripada dua dekad.

Sumbangan Khan kepada pembinaan struktur bangunan pencakar langit adalah pembinaan struktur yang dikenali sebagai “tube”dengan beberapa variasi di antara “framed tube”, “trussed tube” dan juga “bundled tube”. Kaedah pembinaan yang dicadangakan oleh Khan ini merupakan kaedah yang menggantikan kaedah “steel frame”, yang digunakan dengan meluas pada masa itu. Manakala dengan adanya kaedah “tube” ini, bangunan berikutnya yang melebihi 40 tingkat akan menggunakan kaedah ini  sejak tahun 1960-an.

Prinsip pembinaan yang diperkenalkan oleh Khan ini terus menjadi kaedah yang diadaptasikan kepada pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit sehingga ke hari ini. Penggunaan struktur “tube” terus digunakan untuk bangunan-bangunan seperti Burj Khalifa, World Trade Center, Aon Center, Petronas Tower, Jin Mao Building, Bank of China Tower dan kebanyakan bangunan yang mempunyai ketinggian melebihi 40 tingkat.

Antara bangunan lain dimana Fazlur Rahman merupakan Engineer Strukturnya adalah;

DeWitt-Chestnut Apartments, Chicago, 1963

Brunswick Building, Chicago, 1965

John Hancock Center, Chicago, 1965–1969

One Shell Square, New Orleans, Louisiana, 1972

140 William Street (formerly BHP House), Melbourne, 1972

Sears Tower, Chicago, 1970–1973

U.S. Bank Center, Milwaukee, 1973

Hajj Terminal, King Abdulaziz International Airport, Jeddah, 1974–1980

King Abdulaziz University, Jeddah, 1977–1978

Hubert H. Humphrey Metrodome, Minneapolis, Minnesota, 1982

One Magnificent Mile, Chicago, siap 1983

Onterie Center, Chicago, siap 1986

United States Air Force Academy, Colorado Springs, Colorado

Willis Tower, Chicago merupakan bangunan tertinggi lebih dari 2 dekad.

Merupakan anak kepada seorang guru matematik dan juga penulis buku teks yang kemudiannya Pengarah untuk Public Instruction bagi daerah Bengal manakala setelah bersara dilantik pula sebagai Principal bagi Jagannath College, Dhaka.

Khan merupakan pelajar di Armanitola Goverment High School di Dhaka. Kemudian menamatkan pelajaran di Bengal Engineering College, kini sebagai Indian Institute of Engineering Science and Technology, Shibpur, University of Culcutta. Beliau menerima ijazah Bachelor of Civil Engineering dari Ahsanullah Engineering College, University of Dhaka (kini dikenali sebagai Bangladesh University of Engineering and Technology). Menerima biasiswa daripada Fulbright Scholarship dan dari  Pakistan membolehkan beliau melanjutkan pelajaran di United States pada tahun 1952 di University of Illinois at Urbana-Champaign. Tiga tahun kemudian belaiu menerima dua Master’s degrees – satu dalam ‘structural engineering’ dan satu lagi dalam ‘theoretical and applied mechanics’ – dan juga PhD dalam ‘structural engineering’ dengan thesis beliau bertajuk; “Analytical study of relations among various design criteria for rectangular prestressed concrete beams”.

Evolusi dalam pembinaan bangunan membolehkan bangunan lebih tinggi dibina.

Dari situlah kemudiannya bermula kerjaya Khan di dalam bidang kejuruteraan pembinaan dengan bangunan pertama yang menggunakan kaedah “tube structure”  adalah bangunan aparment Chestnut De-Witt, Chicago – dan bangunan-bangunan lain seperti tersenarai di atas.


Jadi inilah antara yang dikatakan kemajuan pembangunan sesuatu teknologi, iaitu fasa perubahan yang membolehkan sesuatu dibina dengan lebih baik. Sekiranya pembaharuan seperti ini tidak diperkenalkan maka bangunan-bangunan tinggi seperti yang dilihat hari ini mungkin masih belum dapat dibina. Maka dengan itu, adalah diharap supaya kita menyelami bidang masing-masing dan sama-sama menyumbangkan lebih banyak idea yang memberi manfaat kepada semua.







Free Download



Apa Bezanya Kura-kura African Pancake?

Kura-kura 'African Pancake' mempunyai cengkerang yang lebih rata.

Kura-kura mudah dikenali melalui cengkerang keras yang merupakan pelindung baginya apabila diganggu. Namun begitu dari kumpulan kura-kura dan penyu (yang merupakan satu family) ini, terdapat banyak spesies kura-kura atau penyu yang tidak kita ketahui. Jadi ada baiknya kita melihat spesies-spesies tersebut.

Kura-kura tergolong di dalam kumpulan reptilia kerana mempunyai ciri-ciri yang hampir dengan reptilia. Namun begitu bagi ‘OrderTestudines – di mana kura-kura dan penyu dikelaskan, terdapat kira-kira 293 spesies kesemuanya (yang diketahui).

Berbalik kepada kura-kura Afrikan Pancake, iaitu merupakan salah satu daripada spesies kura-kura darat yang tinggal di benua Afrika, juga merupakan haiwan asli bagi Kenya dan Tanzania mempunyai ciri-ciri unik yang jauh berbeza dari kumpulan kura-kura yang lain. Antara ciri paling ketara yang memberikannya nama “pancake”, adalah kerana ia mempunyai cengkerang yang rata seperti pancake.

Adakalanya kura-kura ini tinggal berkumpulan.

Kura-kura akan lari dalam rekahan batu apabila diganggu.

Kura-kura ini tinggal di kawasan berbatu, kerana apabila diganggu kura-kura ini tidak akan memasukkan bahagian badannya yang tertedah ke dalam cengkerang. Sebaliknya akan lari bersembunyi di dalam batu. Kura-kura ini juga mempunyai pergerakan agak pantas berbanding dengan kura-kura yang lain. Cuma saiznya yang agak kecil, iaitu sehingga 17.8 cm (7 inci). Cengkerangnya juga lebih ringan dan lebih fleksibel. Setelah masuk ke dalam rekahan batu ia akan mengembangkan cengkerangnya (menyebabkan ia tidak boleh ditarik keluar).

Kura-kura ini tinggal di kawasan berbatu dan kering dengan ketinggian antara 30 ke 1800 meter (100 ke 6,000 kaki) dari aras laut. Kura-kura ini lebih sesuai dengan kawasan tempat tinggal berbatu untuk menjadi kawasan persembunyian bagi mereka. Sedangkan kura-kura ini mampu menyesuaikan diri dengan perbezaan suhu yang lebih ketara.

Kura-kura African Pancake mempunyai cengkerang yang cantik.

Merupakan antara haiwan peliharaan yang popular.

Kura-kura ini mempunyai musim membiak sekitar bulan Januari dan Febuari. Seekor kura-kura betina akan bertelur satu biji bagi satu-satu masa, namun boleh bertelur beberapa kali di sepanjang musim bertelur, dengan jarak antara 4 ke 8 minggu antara telur-telur tersebut. Di dalam kurungan, telur yang dieramkan mengambil masa antara 4 ke 8 bulan untuk menetas. Seperti juga anak-anak penyu, anak kura-kura yang keluar daripada telur ini bebas tanpa penjagaan ibu bapa mereka.

Kura-kura ini adalah antara bahan dagangan untuk pasaran haiwan peliharaan. Permintaan tinggi melebihi kadar pembiakan menyebabkan ia adalah antara haiwan yang disenarai sebagai haiwan terancam oleh ICUN Red List. Negara Kenya telah pun mengharamkan eksport bagi kura-kura ini sejak tahun 1981 lagi. Begitu juga dengan Tanzania yang melindungi haiwan-haiwan liar negaranya di bawah perlindungan Wildlife Conservation (National Game) Order, 1974 di mana ia melindungi haiwan yang berada di dalam kawasan Serengeti National Park. Usaha ini ditambahkan lagi dengan pengharaman import kura-kura pancake oleh EU semenjak 1988. Hanya kura-kura yang dibesarkan di dalam kurungan sahaja diteruskan.


Kura-kura kecil ini adalah merupakan antara keunikan spesies kura-kura yang sebelumnya tidak kita ketahui. Selain daripada bentuknya yang leper dan kemampuannya untuk mengembangkan cengkerangnya, adalah merupakan antara kebolehan unik hanya untuk spesies ini. Namun banyak lagi keunikan yang dimiliki oleh kura-kura dari spesies yang lain.




Free Download



Selasa, 18 Ogos 2015

Muzium Bioperubatan, Muzium Yang Dilupakan

Bangunan Muzium Bioperubatan Negara.

Sebuah muzium yang penting bagi memupuk minat dan pengetahuan mengenai kepenting bioperubatan (biomedical) di negara kita telah dirasmikan pada 4 Jun, 1983 oleh YB Tan Sri Chong Hon Nyan yang juga merupakan Menteri Kesihatan Malaysia pada masa itu. Muzium ini terletak di Institut Penyelidikan Perubatan, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Muzium ini bertujuan untuk menjadi bahan rujukan dan juga pendedahan bagi aktiviti-aktiviti penyelidikan perubatan yang dijalankan di Institut Penyelidikan. Selain itu ia juga diperkembangkan kepada aktiviti dan penyelidikan untuk Kementrian Kesihatan Malaysia. Antara lain ia merupakan sebuah ‘Biomedical Repository’ untuk semua bahan-bahan dan aktiviti-aktiviti penyelidikan bioperubatan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM).

Peralatan digunakan untuk tujuan kajian serangga (forensic).

Specimen bagi di dalam kandungan.

Penubuhan muzium ini amat penting dalam memupuk minat dan pengetahuan di kalangan pelajar universiti atau orang persendirian malah mungkin juga bagi para penyelidik luar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan aktiviti berkaitan perubatan dan kesihatan di negara kita. Ini kerana setiap negara mungkin mempunyai sejarah penyakit menular tersendiri yang mungkin boleh merebak ke negara-negara lain. Pada masa itu, maklumat yang terdapat di sini mungkin boleh membantu. Penyakit menular yang kebiasaannya menjadikan haiwan atau tumbuhan sebagai perumah, perlu dikenal pasti bagi mendapatkan kaedah perubatan yang sesuai.

Muzium ini sememangnya mempunyai bahan-bahan yang menarik pada mula ianya dibuka kepada orang ramai. Namun hari ini ia bagaikan sebuah rumah tinggal yang tidak menarik untuk dikunjungi lagi. Bahan-bahan pameran bagaikan barang yang tidak berharga dan sekadar mengisi kekosongan ruang sahaja. Tiada pandu arah, tiada penyambut tetamu dan tiada penunjuk yang lengkap mengenai pameran di sini. Malah bahan pameran juga tidak tersusun dengan rapi (selain banyak ruang yang telah kosong tanpa barang di dalamnya lagi).

Pameran sumbangan tokoh perubatan.

Specimen bayi kembar siap (berbungkus separa).

Keadaan muzium ini amat mengejutkan kerana ianya dibawah penjagaan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sendiri, iaitu badan professional yang berkredibiliti tinggi. Berkeadaan sedemikian ia sepatutnya ia ditutup sementara kepada orang ramai, kerana ia jelas sekali menjatuhkan kredibiliti mereka sebagai badan professional. Walaupun ia sememangnya tidak dikunjungi (kerana tidak diketahui lagi kewujudannya) – ia masih lagi berkeadaan “hidup segan, mati tak mahu”.

Apa yang diharapkan adalah muzium ini dapat menampilkan bahan dan pameran sesuai seperti tercatat di dalam Visi dan Misi mereka iaitu:

Visi: Dikenali sebagai destinasi Pelancongan yang unggul di Dunia dan memberi sokongan padu dalam pemberian maklumat terkini khususnya dalam Penyelidikan Bioperubatan.

Misi: Mempromosikan Muzium sebagai destinasi koleksi Fauna dan Flora yang terunggul di Rantau Asia, mempamerkan hasil penyelidikan dari Pusat dan Unit di Institut Penyelidikan Perubatan serta memberi khidmat sokongan yang bermutu.

Ruang dalam muzium yang hambar.

Plat "Jabatan Warisan Negara' sebagai tanda kepercayaan/harapan.

Muzium ini amat penting dalam memupuk pengetahuan orang ramai mengenai penyelidikan kesihatan. Malah ia mungkin membantu orang ramai dalam menjaga kesihatan apatah lagi tentang bahaya penyakit menular seperti SARS, J.E., Ebola (yang mungkin tidak menyerang negara ini), taun, malaria, dengi dan lain-lain.

Ia sepatutnya menggambarkan kecemerlangan IMR dan juga KMM seperti yang sering dipaparkan di dada akhbar atau yang dihebahkan di kaca TV, kerana ia bagaikan penyimpan rekod bagi rujukan orang ramai bagi kedua-dua institusi yang diwakili oleh muzium ini.


Adalah diharap muzium ini dapat dihidupkan semula dan diberikan perhatian yang cukup agar dapat memberikan khidmat sesuai dengan tujuan penubuhannya. Maka dengan itu ia akan memberikan manfaat kepada orang ramai sebagai pusat rujukan mengenai perkara-perkara berkaitan kesihatan di negara kita.


Free Download



Arkib Blog