Ahad, 26 Julai 2015

Perpindahan Besar Wildebeest, Serengeti

Kumpulan wildebesst sebahagian daripada 1.3 juta ekor di Serengeti.

Wildebeest atau juga dikenali sebagai gnu atau wildebai merupakan genus antelopes (Connochaetes) dari kumpulan family Bovidae termasuk juga lembu, kambing, biri-biri dan lain-lain yang mengandungi 135 spesis kesemuanya. Keunikan mengenai haiwan ini adalah penghijrahan besar-besaran yang dilakukan sepanjang tahun merangkumi jarak sejauh 2,900 kilometer (1,800 batu). Penhijaran besar ini turut disertai oleh kumpulan haiwan-haiwan yang lain termasuk kuda belang, Grant’s gazelle, Thompson gazelle, eland dan juga impala.


Peta penghijrahan wildebeest.

Dengan jumlah mencecah sehingga 1.3 juta wildebeest kumpulan ini perlu terus bergerak sepanjang tahun ke kawasan baru yang mempunyai rumput yang lebih segar untuk dijadikan makanan kepada kumpulan wilderbeest ini. Walaupun ia merupakan penghijrahan yang terus berlaku sepanjang tahun, pergerakan kumpulan ini turut dipengaruhi oleh taburan hujan yang memastikan rumput-rumput baru dapat tumbuh dengan subur di dalam kawasan Taman Negara Serengeti dan juga Masai Mara.

Penghijrahan besar-besaran ini amat penting kepada keseluruhan hidupan di kawasan tersebut bukan hanya untuk spesis wildebeest sahaja malah haiwan-haiwan pemburu lain seperti singa, cheetah, buaya juga hyena. Antara saat yang paling mencabar dalam penghijrahan ini adalah ketika wildebeest perlu menyeberangi sungai yang dipenuhi buaya. Walaupun buaya mungkin menyambar wildebeest ketika menyeberang, adakalanya kematiannya adalah disebabkan kesesakan berhimpit atara satu-sama lain.


Musuh utama ketika menyeberangi sungai.
Badak air juga mungkin boleh menyebabkan kematian wildebeest.
Satu serangan cukup mengakibatkan keadaan panik tidak terkawal.

Kumpulan wildebeest ini menyeberang sungai di antara bulan Julai iaitu selepas musim mengawan di antara bulan Mei dan Jun. Ini bermakna semasa menyeberangi sungai tersebut hampir 90% daripada wildebeest betina di dalam keadaan bunting. Bagi memastikan mereka mendapat sumber makanan rumput segar di kawasan Masai Mara mereka terpaksa menyeberangi sungai yang kemungkinan boleh menyebabkan mereka menemui maut.


Wildebeest melompat dari tebing sungai.

Setelah berada di bahagian utara iaitu di Masai Mara, kupulan wildebeest ini akan bergerak semula ke Selatan menghala kembali ke Serengeti di mana mereka akan melahirkan anak-anaknya pada akhir bulan bulan Januari. Kira-kira sekitar 400,000 anak wildebeest dilahirkan setahun. Dari jumlah ini 2 dari 3 ekor anak wildebeest akan mati menjelang penghijrahan berikutnya ke Masai Mara pada tahun tersebut.

Fenomena penghijrahan besar-besaran ini sememangnya merupakan antara perkara yang menakjubkan dalam alam semulajadi. Namun begitu ia merupakan salah satu penghijrahan daripada banyak sekali penghijrahan yang dilakukan oleh haiwan-haiwan di serata dunia daripada haiwan terbesar ikan paus, sehinggalah kepada haiwan sekecil seranggga turut melakukan penghijrahan.









Free Download




Sabtu, 25 Julai 2015

Keunikan Dunia Haiwan Ular Terbang

Ular terbang berbentuk pipih semasa meluncur di udara.

Ular terbang bukanlah satu dongengan atau cerita rekaan. Ular terbang merupakan ular yang wujud dan mendiami kawasan serata Asia Tenggara, Selatan India dan Sri Lanka sehingga ke bahagian Selatan China. Ia merupakan ular yang bersaiz sederhana dan mempunyai bisa yang kurang kuat yang hanya digunakan untuk membunuh binatang-binatang kecil yang dijadikan sebagai makanan.

Ular terbang tidaklah boleh terbang seperti burung sebaliknya hanya meluncur seperti binatan-binatang meluncur yang lain seperti tupai terbang atau cicak terbang. Namun begitu ular terbang mempunyai keupayaan meluncur yang lebih baik berbanding dengan tupai terbang kerana mampu mengawal bentuk badannya dengan baik untuk mendapat jarak luncuran serta navigasi yang lebih baik.

Chrysopelea ornata
Ular terbang - Chrysopelea ornata.

Ular terbang menghabiskan masanya berada di atas pokok (arboreal) dan jarang sekali turun ke tanah, malah ia juga jarang meluncur melainkan apabila perlu – terutama apabila terancam. Jadi sebab itulah kehadirannya jarang dikesan. Memburu haiwan-haiwan kecil daripada rodensa (seperti tikus dan tupai), cicak, katak, burung dan kelawar. Bisanya yang lemah dan tidak membawa maut kepada manusia. Ia juga merupakan haiwan diurnal (memburu pada siang hari).

Speseis ular-ular terbang ini berukuran antara 61 centimeter (2 kaki) sehingga 1.2 meter (4 kaki) dan terdapat beberapa speseis ular terbang yang diketahui. Speseis yang terbesar adalah ‘golden tree snake’ atau ‘ornate flying snake’ (Chrysopelea ornata) yang boleh mencapai ukuran sehingga 4 kaki. Walaupun mempunyai nama golden tree snake, ia mempunyai warna yang berbeza-beza daripada hijau dan ada juga yang mempunyai warna oren-kemerahan.


Bentuk badannya digunakan untuk mengawal luncuran.

Paradise tree snake’ (Chrysopelea paradisi) pula merupakan ular yang bersaiz sederhana, iaitu boleh mencapai saiz sehingga 3 kaki dan popular kepada perdagangan haiwan peliharaan Eropah. Warnanya kehitaman dengan warna hijau. Terdapat juga tompokan warna-warna seperti merah, oren dan kuning di bahagian belakang ular ini. Namun sebahagiannya mungkin hanya dipenuhi dengan warna hijau sahaja tanpa tompokan warna-warna lain.

Twin-barred tree snake’ atau ‘banded flying snake’ (Chrysopelea pelias) merupakan speseis yang paling kecil dengan panjang sekitar 2 kaki mempunyai warna kelabu gelap. Keseluruhan badannya terdapat gelang kecil bewarna merah atau kuning dan juga hitam. Ia juga merupakan speseis yang jarang ditemui dan tidak mampu meluncur dengan baik berbanding C. Paradisi.

Manakala terdapat 2 lagi speseis yang jarang dikaji adalah ‘Moluccan flying snake’ (Chrysopelea rhodopleuron) yang mendiami kawasan Ambon di Sulawesi, Indonesia dan ‘Sri Lankan flying snake’ (Chrysopelea taprobanica) dari Sri Lanka.

Gambar dekat 'ornate flying snake'.

Ular-ular terbang ini juga mendapat perhatian daripada para pengkaji fizik termasuklah United States Department of Defense untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi penerbangan ular ini. Antara kajian terbaru adalah dijalankan oleh University of Chicago yang mendapati hubungan antara saiz dan kemampuannya untuk terbang di mana ular yang bersaiz kecil mampu menjangkau jarak yang lebih jauh.

Ia mungkin berada pada tahap yang masih baru mengenai kajian terhadap ular ini. Namun pergerakan dan luncuran ular ini jauh berbeza dengan haiwan-haiwan meluncur yang lain seperti tupai terbang ataupun cicak terbang. Kebolehannya untuk menjadikan badannya berbentuk pipih dan gerakan ekor yang membantu perubahan jarak dan haluan luncuran.

Begitulah serba sedikit mengenai ular terbang ini. Jadi anda tidak perlu merasa hairan sekiranya melihat ular terbang) sekiranya anda tidak pernah melihatnya selama ini. Cuma diharap ia akan terpelihara dan lebih banyak kajian dapat dijalankan terhadapnya nanti.






Free Download



Kenali Haiwan Comel ‘Red Panda’

Red Panda di Cincinnati Zoo.

Panda sememangnya terkenal dengan warnanya hitam dan putih, namun ada haiwan yang lebih comel dan dikenali sebagai ‘Red Panda’. Red Panda dengan nama saintifiknya ‘Ailurus fulgens’, juga adakalanya dipanggil sebagai lesser panda, red bear-cat atau red cat-bear merupakan haiwan asal yang mendiami bahagian Timur Himalayas dan juga Barat Daya China meliputi Nepal, Bhutan dan juga Myanmar.

Ia kurang dikenali kerana populasinya juga semakin berkurang ditambah lagi dengan kawasan kediamannya semakin mengecil. Walaupun dikenali dengan nama ‘Red Panda’, haiwan comel ini sebenarnya bukanlah tergolong dalam keluarga panda mahupun beruang, malah ia juga tidak tergolong di dalam keluarga racoon seperti yang dikelaskan sebelumnya tetapi di dalam kelasnya yang tersendiri iaitu family Ailuridae.


Red Panda tidur di atas dahan pokok.
Red Panda berdiri dengan dua kaki.

Red Panda tinggal di kawasan hutan berketinggian daripada 2,200 – 4,800 meter (7,200 hingga 15,700 kaki) dengan suhu sederhana antara 10 ke 25 °C (50 hingga 77  °F) dengan perubahan tahunan yang kecil. Ia memilih kawasan hutan yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan berdaun luruh yang juga dipenuhi dengan rumpunan buluh. Ia menjadikan tumbuh-tumbuhan sebagai makanan utamanya termasuk pucuk dan dedaun buluh, beri, buah-buahan, bunga termasuk juga telur dan serangga.

Red Panda berukuran (daripada kepala dan badan) antara 50 ke 64 cm (20 ke 25 in) dengan ekor berukuran antara 28 ke 59 cm (11 ke 23 in). Beratnya pula adalah 3.7 ke 6.2 kg (8.2 ke 13.7 lb) bagi yang jantan, manakala yang betina mempunyai berat antara 3 ke 6.0 kg (6.6 ke 13.2 lb). Warna bulu red panda seakan-akan racoon tetapi mempunyai bulu berwarna coklat-kemerahan dan agak kehitaman di bahagian bawahnya. Warna ini menyerupai persekitaran tempat tinggalnya yang dipenuhi dengan pokok berlumut seakan warna bulu tersebut.

Red Panda merupakan haiwan yang pemalu dan biasanya bersendirian melainkan semasa musim mengawan. Anak-anak red panda akan lahir pada musim bunga atau musim panas dengan bilangan antara seekor hingga ke empat ekor. Anak-anaknya akan tinggal di dalam sarang sehingga tempoh 90 hari dengan jagaan oleh ibunya (red panda jantan jarang memberikan tumpuan kepada anak-anaknya).


Red Panda dan anaknya.

Walaupun populasi red panda dalam keadaan terancam, ia dapat menyesuaikan diri di dalam kurungan. Maka dengan itu sehingga pada tahun 1992 terdapat lebih daripada 300 kelahiran red panda di dalam kurungan dan lebih daripada 300 ekor red panda disimpan oleh 85 institusi di seluruh dunia. Antara zoo yang menyimpan red panda adalah Rotterdam zoo, Netherlands, San Diego Zoo, San Diego, Lincoln Park Zoo, Chicago, dan banyak lagi. Manakala Knoxville Zoo di Tennessee mempunyai jumlah red panda yang terpaling banyak. Lincoln Park Zoo pula baru-baru ini menerima dua lagi kelahiran red panda pada 26 Jun, 2015.

Red Panda sememangnya haiwan kecil yang amat comel. Dengan taburan yang kecil jumlahnya akan hilang secara mendadak tanpa pemuliharaan. Walaupun kurungan bukanlah tempat yang sesuai untuk haiwan ini ditempatkan, namun sedikit sebanyak ia dapat mengelakkan haiwan kecil in terus pupus sekiranya berlaku kemusnahan pada habitat asalnya seperti yang menimpa haiwan-haiwan lain.



Free Download



Khamis, 23 Julai 2015

Kesan Sebenar Bencana Alam

Tinggalan Tambora iaitu kawah berukuran 6 km diameter.

Bencana alam merupakan salah satu fenomena yang sukar diduga dari segi akibat kemusnahan yang berlaku semasa bencana mahupun selepas bencana melanda. Kemusnahan yang berlaku pada jumlah yang sebegitu besar biasanya akan menyebabkan lebih banyak kemusnahan yang melanda berikutnya. Namun begitu usaha manusia sehingga ke hari ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengurangkan kehilangan nyawa.

Terdapat banyak bencana alam yang mungkin melanda daripada letusan gunung berapi, gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar, ribut taufan, puting beliung sehinggalah kepada kemarau kesemuanya boleh mengakibatkan kesan kemusnahan besar-besaran. Apa yang membimbangkan adalah bukan sahaja kesan semasa bencana, malah adalah kesan selepas bencana yang mungkin lebih hebat dan berpanjangan dan adakalanya meliputi kawasan yang lebih luas menjangkau diluar kawasan bencana itu sendiri.


Lahar adalah sebahagian daripada letusan gunung berapi.
Debu dan asap dari letusan Gunung Pinatubo pada 1991.

Kesan lepas bencana yang pernah melanda dunia adalah letusan gunung berapi Tambora di Indonesia yang berlaku pada April 1815 dimana letusan daripada gunung berapi ini mengakibatkan kesan berpanjangan dan dikatakan memberi kesan pada perubahan suhu dunia untuk tahun tersebut 1815 dan juga tahun berikutnya 1816. Ia menyebabkan salji turun pada musim panas dan tahun tersebut dikenali sebagai – tahun tanpa musim panas, memusnahkan tanaman serta menyebabkan kebuluran di serata dunia.

Walaupun letusan Gunung Berapi Tambora tidak begitu terkenal seperti Krakatau yang berlaku pada tahun 1883 pada jarak 900 batu daripada Gunung Tambora yang hanya dapat dilihat melalui hasil kajian para pengkaji gunung berapi untuk lebih memahami fenomena ini. Letusan Krakatau bagaimanapun banyak membantu dalam memahami kesan letusan besar gunung berapi yang juga dikenali sebagai “super volcano” dengan bukti catatan yang ditinggalkan. Namun begitu letusan Krakatau yang dikatakan menyebabkan bunyi yang terpaling kuat ini tidaklah sebesar letusan yang berlaku pada Tambora.


Jarak jangkauan debu daripada letusan Tambora.

Letusan Gunung Tambora meninggalkan kawah berukuran 6 km diameter dan sedalam 700 meter dalam bukan sahaja memusnahkan isi pulau di mana ia berada dalam sekelip mata malah isi pulau-pulau yang berhampiran juga. Abu yang dikeluarkan dari gunung berapi ini turut sampai ke Borneo dengan ketebalan 1cm yang berada pada jarak 500 km dari gunung tersebut.

Kemusnahan persekitaran gunung berapi tersebut mungkin berlaku dengan sekelip mata. Namun kawasan yang berhampiran seperti separuh daripada Pulau Jawa terus mengalami kematian tanaman, kematian ternakan dan kekurangan sumber makanan. Ia merupakan bencana susulan yang lebih besar daripada saat gunung itu sendiri meletus. Apabila berlaku kematian, yang mengikuti selepasnya adalah wabak penyakit.


Gunung Berapi St. Helens, USA, 1980.

Debu yang dikeluarkan dari gunung berapi ini turut mengakibatkan keadaan cuaca yang berbeza di seluruh dunia. Malah ia turut mengganggu penuaian hasil tanaman pada tahun tersebut yang menyebabkan hura-hara tanpa bekalan makanan yang cukup sehingga ke Eropah.


Setelah 200 ratus letusan Tambora berlaku, para pengkaji masih terus cuba memahami perkara sebenar yang melanda semasa bencana tersebut berlaku. Pemahaman ini mungkin dapat mengurangkan kesan kemusnahan yang akan dihadapi untuk masa-masa akan datang. Walaupun manusia tidak dapat menghalang fenomena sebegini daripada berlaku, namun kita sedikit sebanyak mampu bersedia untuk menghadapi kesan bencana dengan lebih baik.



Free Download



Rabu, 22 Julai 2015

Siapakah Optimus Prime?

Peter Cullen merakamkan suara bagi Optimus Prime.

Optimus Prime merupakan watak utama kepada filem animasi Transformers yang kemudiannya bukan sahaja diadaptasikan ke dalam ‘video games’ malah muncul sebagai antara fanchise filem Box-Office yang paling popular di dunia. Mula diperkenalkan awal tahun 1980-an dengan gabungan dua syarikat permainan iaitu Hasbro (Amerika) dan Takara Tomy (Japan). Populariti rangkaian permainan ini mendapat sambutan berterusan sehingga ke hari ini dan Transformers bukan sahaja popular di kalangan kanak-kanak, malah juga dewasa.

Dua nama terpenting dalam mereka konsep Transformers adalah Jim Shooter dan  Dennis O’Neil yang dipertanggungjawabkan oleh Hasbro di mana, nama “Optimus Prime” diberikan sendiri oleh O’Neil. Watak-watak lain di dalam rangkaian Transformers pula diberikan nama oleh Bob Budiansky termasuk ciri-ciri unik mereka.

Namun begitu sebagai watak yang paling popular di dalam siri Tranformers, Optimus Prime sentiasa mendapat perhatian ramai kerana ia melambangkan ketua kumpulan yang paling berkarisma disertai dengan ciri-ciri pemimpin yang dikagumi. Sehubungan itu tentu ramai yang tertanya-tanya siapakah disebalik Optimus Prime?

Watak Optimus Prime turut diperlengkapkan lagi dengan suntingan suara terbaik Peter Cullen seorang artis suara berkelahiran Canada yang lebih sinonim dengan watak ini berbanding dengan suara-suara lain yang pernah digunakan untuk watak Optimus Prime seperti Neil Kaplan bagi siri Transformers: Robots in Disguise.

Peter Cullen atau nama penuhnya Peter Claver Cullen dilahirkan pada 28 Julai, 1941 di Canada. Suara beliau telahpun digunakan untuk Optimus Prime (dan juga Ironhide) semenjak dari tahun 1980-an lagi bagi siri animasi asal Transformers. Walaupun turut menyumbangkan suara untuk filem-filem dan animasi lain, Peter Cullen lebih banyak menyumbangkan suaranya bagi mewakili watak Optimus Prime ini samada untuk filem animasi, video games malah untuk kesemua filem Transformers daripada 2007 sehinggalah ke 2014. Beliau turut akan mewakiili Optimus Prime lagi untuk filem Transformers yang berikutnya pada tahun 2017!

2007       Transformers     Optimus Prime (Suara)

2009       Transformers: Revenge of the Fallen      Optimus Prime (Suara)

2011       Transformers: Dark of the Moon              Optimus Prime (Suara)

2014       Transformers: Age of Extinction                                Optimus Prime (Suara)

Peter Cullen di taman tema Universal Studio, Orlando.

Selain daripada filem, Peter Cullen turut terlibat dengan video games yang berkaitan dengan Transfomers dihasilkan semenjak dari tahun 2007 lagi seperti berikut;

2007       Transformers: The Game             Optimus Prime

2007       Transformers Autobots                 Optimus Prime

2009       Transformers: Revenge of the Fallen      Optimus Prime

2009       Transformers Revenge of the Fallen: Autobots  Optimus Prime

2010       Transformers: War for Cybertron             Optimus Prime

2011       Transformers: Dark of the Moon              Optimus Prime

2012       Transformers: Fall of Cybertron                 Optimus Prime

2012       Transformers: Prime – The Game             Optimus Prime

2014       Transformers: Rise of the Dark Spark      Optimus Prime

2015       Transformers: Devastation          Optimus Prime

Meletakkan tandatangan pada simen di Optimus Prime Chinese Theater.

Bagi Peter Cullen sendiri mewakili Optimus Prime merupakan watak yang paling digemarinya di mana watak Optimus Prime sendiri yang melambangkan ciri-ciri keberanian, kepimpinan, ketokohan yang membanggakan yang ideal bagi seorang pemimpin. Peter Cullen bukan sahaja membawa watak Optimus Prime di dalam siri animasi dan video games malah filem-filem Transformers dengan jayanya.


Anda mungkin merasakan bahawa Peter Cullen dilahirkan dengan suara yang sebegitu unik untuk membolehkan beliau mendapat peluang menyumbangkan suaranya bagi watak Optimus Prime. Namun realitinya ‘artis suara’ juga menjalankan latihan dengan gigih dan bagi Peter Cullen sendiri ia bermula sebagai DJ radio di Montreal, Canada selain terlibat di dalam rancangan TV kanak-kanak dan pelbagai watak lagi dari tahun 1962. Sehubungan kegigihan itulah beliau berjaya menjadi Optimus Prime dan menjadi inspirasi kepada yang lain. Sekarang tahukah anda siapakah Optimus Prime?




MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Katak Pelik “Gastric-brooding Frog”

Anak katak yang muncul dari dalam perut ibunya.

Katak ‘gastric-brooding’ juga dikenali sebagai ‘platypus frog’ merupakan spesis katak yang baru sahaja ditemui dan telahpun dikatakan pupus pada pertengahan 1980-an. Mendiami kawasan kecil dan hanya terdapat di daerah Queensland di bahagian Timur Australia.

Berbeza dengan katak-katak lain, keunikan katak ini adalah ia membesarkan anaknya di dalam perut berbanding menetaskan telur di dalam air seperti katak-katak biasa. Selepas bertelur, ibu katak akan menelan telurnya dan menyimpan telur tersebut sehingga anaknya mencapai tahap umur yang cukup untuk keluar mencari makanan.

Katak ini tidak akan makan selama tempoh anaknya membesar di dalam perutnya dalam jangka masa antara 6 ke 7 minggu. Semasa tempoh itu juga, katak ini mampu menahan perutnya daripada mengeluarkan asid yang digunakan untuk proses penghadaman. Telur-telur katak akan menetas dan melengkapkan kitaran metamorphosis di dalam perut ibunya. Anak-anak katak yang cukup matang akan keluar daripada mulut ibunya.


'Rheobantrachus silus' yang pupus secara tiba-tiba.

Terdapat dua spesis yang diketahui iaitu Rheobatrachus silus yang ditemui pada tahun 1972 dan Rheobatrachus vitellinus yang ditemui pada tahun 1984. Kedua-dua spesis tersebut dikatakan lenyap pada tahun 1980-an iaitu setahun selepas R. vitellinus ditemui.

Kedua-dua katak ini mendiami kawasan pada ketinggian 350 meter sehingga 1,000 meter pada keluasan yang sangat kecil iaitu sekitar 1,400 km2 bagi R. silus dan 500km2 bagi R. vitellinus. Ia akan berada di kawasan yang berhampiran dengan sumber air dan jarang sekali berada jauh darinya.

Ia mempunyai saiz yang agak kecil iaitu bagi katak jantan adalah 33 millimeters (1.3 in) ke 41 millimeters (1.6 in) manakala bagi katak betina pula adalah 44 millimeters (1.7 in) sehingga 54 millimeters (2.1 in) panjang. Bagi spesis R. vitellinus pula saiznya adalah lebih besar berbanding R. silus.

ARKive species - Southern gastric-brooding frog (Rheobatrachus silus)
Imej dari Arkive.org


Tiada penjelasan yang pasti mengenai kehilangan spesis katak ini yang dikatakan hilang secara tiba-tiba. Walaupun berlaku pencerebohan pada habitat mereka pada tahun 1972 dan 1979, katak-katak ini masih terus mendiami habitat tersebut. Ianya dikatakan terus hilang pada tahun 1980-an secara mendadak. Punca kepupusan ini berkemungkinan disebabkan oleh jangkitan penyakit yang menyerang katak-katak tersebut.

Sehubungan itu satu usaha untuk menghasilkan semula katak ini menggunakan kaedah ‘somatic-cell nuclear transfer’ (SCNT), iaitu salah satu kaedah ‘cloning’ cuba dijalankan oleh saintis dari University of Newcastle Australia yang diketuai oleh Prof Michael Mahony bersama Prof Mike Archer dari University of New South Wales.


Ia bukanlah satu usaha yang mudah, namun ia mungkin dapat memberikan lebih banyak peluang untuk para saintis mempelajari lebih banyak tentang spesis katak istimewa ini lebih-lebih lagi berkenaan kemampuan mereka menahan rembesan asid perut semasa menetaskan telur-telurnya di dalam perut. Ia mungkin berguna pada manusia yang menghidap masalah gastrik.


Free Download



Selasa, 21 Julai 2015

Kakapo Burung Nuri Yang Tidak Boleh Terbang

Kakapo burung yang tidak boleh terbang.
Kakapo atau nama yang diberikan oleh orang-orang Māori New Zealand kepadanya adalah kākāpō yang bermaksud ‘Nuri Malam’ merupakan sejenis burung nuri yang tidak boleh terbang dan aktif pada waktu malam. Ia merupakan burung yang hampir pupus dan unik kepada New Zealand sahaja.

Burung kakapo tidak seperti burung-burung nuri yang lain dimana bulunya tidaklah berwarna cerah dan berwarna-warni sebaliknya mempunyai bulu yang berwarna hijau kekuningan yang membantu mereka mengelakkan daripada dikesan musuh. Pada asalnya burung ini tidak mempunyai musuh yang banyak di kawasan asalnya di New Zealand sehinggalah kedatangan manusia – yang turut membawa musuh-musuh lain bagi burung ini.

Burung kakapo dikatakan hilang kemampuan terbangnya apabila ia tidak memerlukan kemampuan tersebut ditempat di mana ia tinggal sekarang. Mempunyai sumber makanan dan tiada musuh, burung-burung ini hanya berjalan dan menggunakan sayapnya hanya untuk mengimbangi badannya semasa memanjat pokok atau apabila turun dari pokok.

Aktif pada waktu malam, kakapo mempunyai bulu seperti persekitarannya.
Mempunyai saiz yang agak besar, namun terlalu berat bagi sayapnya untuk membolehkan ia terbang. Otot-otot dadanya juga tidak seperti burung-burung yang lain yang mampu terbang. Jadi kakapo sebaliknya akan berjalan di atas tanah atau memanjat pokok untuk mencari makanannya. Ia mampu menyimpan lemak yang banyak berbanding burung dari keluarga nuri yang lain menjadikan ia jauh lebih berat. Berat kakapo adalah 400g (14 oz) lebih berat berbanding ‘hyacinth macaw’.

Burung-burung kakapo dewasa bersaiz antara 54 hingga 64 cm (23 ke 25 in) panjang, dengan berat daripada 0.95 ke 4 kg (2 ke 9 lb) dengan burung-burung jantan bersaiz lebih besar daripada betina. Namun begitu burung-burung jantan dikatakan hanya mampu membiak apabila mencapai berat 1.5 kg. Selain itu juga burung istimewa ini mempunyai bauan tersendiri yang menyebabkan ia lebih mudah diburu oleh spesis-spesis baru yang dibawa masuk ke New Zealand.

Makanan kakapo kebanyakannya terdiri daripada tumbuh-tumbuhan yang mengandungi biji-bijian, buah, debunga termasuk juga kayu lembut (sapwood) daripada pokok-pokok. Dalam kajian yang dijalankan pada tahun 1984 didapati kakapo menjadikan 25 spesis tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan mereka. Makanannya ini juga berbeza mengikut musim sumber makanan tersebut.

Kakapo mempunyai muka yang dipenuhi bulu.

Populasi kakapo terjejas dengan amat teruk dengan kedatangan manusia ke New Zealand. Bermula dengan kedatangan orang-orang Māori ke New Zealand yang menjadikan dagingnya sebagai makanan dan bulunya sebagai hiasan pakaian sehinggalah kepada kedatangan orang-orang Eropah yang menjadikan populasinya semakin berkurangan. Pertambahan musuh yang dibawa masuk terdiri daripada anjing, kucing, tikus dan juga ‘stoat’ menjadikan jumlah kakapo semakin terancam.

Pada mulanya kumpulan haiwan ‘mustelids’ yang terdiri daripada stoat, ferret dan weasel dibawa masuk bagi mengawal populasi arnab yang banyak di New Zealand. Namun spesis haiwan pemburu ini banyak memusnahkan spesis tempatan yang lain termasuklah kakapo. Bagitu juga dengan spesis rusa yang dibawa pula menjadi pesaing bagi sumber makanan kepada kakapo.

Walaupun usaha pemuliharaan giat dijalankan, jumlah kakapo sehingga tahun 2014 hanya mencapai 126 ekor sahaja. Pelbagai pihak berusaha membantu dalam mendidik masyarakat megenai spesis burung terancam ini antaranya adalah BBC semenjak tahun 1962 lagi.

Kepupusan kakapo adalah salah satu contoh bagaimana banyak lagi haiwan-haiwan lain yang pupus dari habitat mereka melalui pengenalan spesis baru dengan kemasukan manusia. Tanpa pengetahuan yang jelas tindak-tanduk kita banyak memberi kesan kepada alam sekitar. Seperti yang kita sedia maklum, di dalam satu-satu perkara – “mencegah adalah lebih baik dari mengubati”, semoga kita dapat mengatur alam dengan lebih baik untuk kesejahteraan bersama.



  



Free Download





Arkib Blog