Selasa, 21 Julai 2015

Kakapo Burung Nuri Yang Tidak Boleh Terbang

Kakapo burung yang tidak boleh terbang.
Kakapo atau nama yang diberikan oleh orang-orang Māori New Zealand kepadanya adalah kākāpō yang bermaksud ‘Nuri Malam’ merupakan sejenis burung nuri yang tidak boleh terbang dan aktif pada waktu malam. Ia merupakan burung yang hampir pupus dan unik kepada New Zealand sahaja.

Burung kakapo tidak seperti burung-burung nuri yang lain dimana bulunya tidaklah berwarna cerah dan berwarna-warni sebaliknya mempunyai bulu yang berwarna hijau kekuningan yang membantu mereka mengelakkan daripada dikesan musuh. Pada asalnya burung ini tidak mempunyai musuh yang banyak di kawasan asalnya di New Zealand sehinggalah kedatangan manusia – yang turut membawa musuh-musuh lain bagi burung ini.

Burung kakapo dikatakan hilang kemampuan terbangnya apabila ia tidak memerlukan kemampuan tersebut ditempat di mana ia tinggal sekarang. Mempunyai sumber makanan dan tiada musuh, burung-burung ini hanya berjalan dan menggunakan sayapnya hanya untuk mengimbangi badannya semasa memanjat pokok atau apabila turun dari pokok.

Aktif pada waktu malam, kakapo mempunyai bulu seperti persekitarannya.
Mempunyai saiz yang agak besar, namun terlalu berat bagi sayapnya untuk membolehkan ia terbang. Otot-otot dadanya juga tidak seperti burung-burung yang lain yang mampu terbang. Jadi kakapo sebaliknya akan berjalan di atas tanah atau memanjat pokok untuk mencari makanannya. Ia mampu menyimpan lemak yang banyak berbanding burung dari keluarga nuri yang lain menjadikan ia jauh lebih berat. Berat kakapo adalah 400g (14 oz) lebih berat berbanding ‘hyacinth macaw’.

Burung-burung kakapo dewasa bersaiz antara 54 hingga 64 cm (23 ke 25 in) panjang, dengan berat daripada 0.95 ke 4 kg (2 ke 9 lb) dengan burung-burung jantan bersaiz lebih besar daripada betina. Namun begitu burung-burung jantan dikatakan hanya mampu membiak apabila mencapai berat 1.5 kg. Selain itu juga burung istimewa ini mempunyai bauan tersendiri yang menyebabkan ia lebih mudah diburu oleh spesis-spesis baru yang dibawa masuk ke New Zealand.

Makanan kakapo kebanyakannya terdiri daripada tumbuh-tumbuhan yang mengandungi biji-bijian, buah, debunga termasuk juga kayu lembut (sapwood) daripada pokok-pokok. Dalam kajian yang dijalankan pada tahun 1984 didapati kakapo menjadikan 25 spesis tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan mereka. Makanannya ini juga berbeza mengikut musim sumber makanan tersebut.

Kakapo mempunyai muka yang dipenuhi bulu.

Populasi kakapo terjejas dengan amat teruk dengan kedatangan manusia ke New Zealand. Bermula dengan kedatangan orang-orang Māori ke New Zealand yang menjadikan dagingnya sebagai makanan dan bulunya sebagai hiasan pakaian sehinggalah kepada kedatangan orang-orang Eropah yang menjadikan populasinya semakin berkurangan. Pertambahan musuh yang dibawa masuk terdiri daripada anjing, kucing, tikus dan juga ‘stoat’ menjadikan jumlah kakapo semakin terancam.

Pada mulanya kumpulan haiwan ‘mustelids’ yang terdiri daripada stoat, ferret dan weasel dibawa masuk bagi mengawal populasi arnab yang banyak di New Zealand. Namun spesis haiwan pemburu ini banyak memusnahkan spesis tempatan yang lain termasuklah kakapo. Bagitu juga dengan spesis rusa yang dibawa pula menjadi pesaing bagi sumber makanan kepada kakapo.

Walaupun usaha pemuliharaan giat dijalankan, jumlah kakapo sehingga tahun 2014 hanya mencapai 126 ekor sahaja. Pelbagai pihak berusaha membantu dalam mendidik masyarakat megenai spesis burung terancam ini antaranya adalah BBC semenjak tahun 1962 lagi.

Kepupusan kakapo adalah salah satu contoh bagaimana banyak lagi haiwan-haiwan lain yang pupus dari habitat mereka melalui pengenalan spesis baru dengan kemasukan manusia. Tanpa pengetahuan yang jelas tindak-tanduk kita banyak memberi kesan kepada alam sekitar. Seperti yang kita sedia maklum, di dalam satu-satu perkara – “mencegah adalah lebih baik dari mengubati”, semoga kita dapat mengatur alam dengan lebih baik untuk kesejahteraan bersama.



  



Free Download





Isnin, 20 Julai 2015

Ikan Keluar Dari Dinding Rumah

'Queensland lungfish' yang mendiami benua Australia.

Ikan keluar dari dinding rumah mungkin satu kejadian yang pelik di negara kita, tapi ia bukanlah pelik di tempat di mana kejadian ini berlaku. Setelah beberapa tahun kemarau, hujan yang membasahi dinding rumah di Afrika mungkin akan mengejutkan semula ikan-ikan yang tidur di dalam batu-bata yang diperbuat daripada lumpur seterusnya memaksa ikan ini keluar daripada dinding.

Ia merupakan satu kelebihan yang dimiliki oleh spesis ikan ‘lungfish’ juga dikenali sebagai ‘salamanderfish’ yang mempunyai ciri-ciri primitif dan berkait rapat dengan kumpulan ikan pra-sejarah yang lebih dikenali sebagai Osteichthyes. Walaupun kebanyakan ikan-ikan ini telah pupus, namun beberapa spesis ikan ini masih dijumpai termasuk ‘lungfish’.


Keratan ikan yang menunjukkan paru-parunya.

Ikan-ikan lungfish mempunyai keunikan di mana ia mempunyai paru-paru untuk menyerap oksigen terus daripada udara. Sewaktu kecil ikan-ikan ini juga mempunyai insang namun apabila dewasa ia akan hanya mempunyai paru-paru, dan ada juga spesis yang mengekalkan insangnya sehingga dewasa. Saiz paru-paru juga berbeza mengikut spesis.

Terdapat beberapa spesis ikan lungfish mengikut geography daripada Australia sehingga ke Amerika Selatan dengan spesis yang paling terkenal mendiami benua Afrikan. Antara spesis yang dikenali adalah ‘Queensland lungfish’, ‘South American lungfish’, ‘Marbled lungfish’, ‘Gilled African lungfish’, ‘West African lungfish’ dan ‘Spotted African lungfish’.


'Marbled lungfish' yang mendiami Afrika.
'Gilled lungfish' juga mendiami Afrika.

Apabila tiba musim kemarau, ikan-ikan lungfish akan menggali lumpur dan menanamkan diri mereka di dalam tanah. Sejenis mukus dihasilkan untuk memastikan ia kekal lembab dan ikan-ikan ini akan berada dalam keadaan tidur dengan kadar metabolisma serendah 1/60 daripada biasa. Sewaktu inilah ia mungkin secara tidak sengaja termasuk ke dalam bata yang digunakan oleh orang-orang Afrika untuk membuat dinding rumah.

Ikan ‘lungfish’ akan terus berada dalam keadaan tidur selama beberapa tahun (sehingga 4 tahun), dan apabila hujan turun dan membasahi dinding rumah teresbut, ia akan turut mengejutkan ikan-ikan ini. Lendir ikan akan menjadi lembut seterusnya membolehkan ikan bergerak keluar daripada dinding rumah dan merangkak keluar menuju ke sumber air yang berdekatan.

Ikan-ikan lungfish akan kembali semula ke dalam air seperti biasa. Ia mungkin akan digunakan semula untuk membuat dinding rumah pada musim kemarau yang akan datang.


Begitulah keunikan ikan ‘lungfish’ yang diciptakan untuk mengatasi keadaan kemarau yang ‘extreme’ di Benua Afrika yang mungkin berlanjutan selama beberapa tahun. Ia mungkin pelik bagi kita yang tidak pernah melihat kebenaran kisah ini. Jadi jangan lupa tontoni video seperti yang dipaparkan di bawah.






Free Download



Rabu, 15 Julai 2015

Ikan Air Tawar Paling Ganas dan Mengerikan

Hydrocynus goliath
Tengkorak kepala ikan Goliath Tigerfish (Hydrocynus goliath).

Goliath tigerfish atau Hydrocynus goliath bukanlah merupakan ikan air tawar yang terbesar namun saiznya jauh lebih besar daripada ikan piranha dan giginya juga jauh lebih menyerlah. Hanya terdapat di sekitar Lembangan Congo jadi ikan ini tidak dikenali oleh kebanyakan manusia – ia juga merupakan berita baik kepada manusia.

Goliath tigerfish juga dikenali sebagai ‘giant tigerfish’ atau nama tempatannya ‘mbenga’antara ikan pemangsa di perairan air tawar di Afrika. Hanya setakat ini ia lebih popular dipancing di persekitaran Lambangan Congo di beberapa sungai seperti Sungai Lualaba, Tasik Upemba dan Tasik Tanganyika. Jadi ikan ini tentulah dapat bergerak di sepanjang sungai-sungai yang mengalir masuk atau keluar dari tasik-tasik tersebut.

Walaupun ikan ini terdapat di Lembangan Congo, ia masih mempunyai beberapa spesis terdekat antaranya H. Vittatus dan 3 lagi spesis yang tidak diklasifikasikan. Kesemua spesis ini didapati mendiami Tasik Tanganyika. Sekiranya ikan-ikan tidak dipindahkan oleh manusia, maka ia akan terus kekal di sana dan mengimbangi ekosistem di dalam habitatnya.


Jeremy Wade dengan dari rancangan 'River Monsters'.

Ikan goliath ini mempunyai 32 gigi yang amat tajam dan menggerunkan boleh mencapai ukuran sehingga 1 inci panjang. Manakala saiznya sendiri boleh mencecah sehingga 1.5 meter (4.9 kaki) dengan berat sehingga 50 kilogram (110 lb). Gigi yang tajam ini sudah semestinya boleh mengakibatkan kecederaan yang serius kepada manusia disamping tabiat ikan itu sendiri yang sememangnya berkelakuan ganas. Usia sebenar ikan ini tidak diketahui namun di dalam kurungan ia boleh mencapai usia antara 10 – 15 tahun.

Ikan goliath memburu ikan-ikan lain dan akan menyerang dengan ganas seperti juga piranha. Ia boleh mengakibatkan seekor ikan sembilang (catfish) seberat 60 lb terputus dua akibat seranggan ganasnya. Bukan itu sahaja, ia juga turut menyerang buaya dan manusia. Jadi, mungkin itulah antara punca mengapa ia hanya terdapat di kawasan yang begitu kecil taburannya – kita bertuah!


Gigi-gigi ikan Goliath tigerfish yang tajam.

Seperti yang dipaparkan di dalam rancangan ‘River Monsters’ di mana ikan ini pernah ditangkap oleh ‘host’-nya iaitu Jeremy Wade merupakan ikan yang menjadi buruan ramai kaki pancing. Malah bagi mereka yang berminat untuk menyertai ekspedisi memancing di Goliath tigerfish di Congo boleh mengikuti rombongan ekspedisi ke sana mengikuti laman web ini; goliathtigerfishing.com


Mungkin masih terdapat banyak misteri tersembunyi di sebalik pengenalan ikan-ikan ini dari taburannya mahupun spesis lain yang tidak diketahui manusia. Seperti biasa, walaupun ikan ini ganas, merbahaya atau apapun sekali sifatnya, ia mempunyai fugsi-fungsi tertentu yang mungkin tidak kita fahami – semoga ia akan terus kekal di habitat asalnya.


Free Download



Selasa, 14 Julai 2015

Jalan-jalan Cari Makan – Nasi Lemak

Nasi Lemak disediakan dari restoran Mamak, Sydney, Australia.

Nasi Lemak merupakan makanan popular Malaysia sejak dahulu lagi. Pada mulanya ianya hanya dihidangkan sebagai makanan untuk sarapan sahaja, namun dengan pelbagai perubahan yang telah disesuaikan dengan nasi istimewa ini, maka hari ini anda boleh menemui nasi lemak dihidangkan hampir dari pagi hingga ke malam dengan variasi yang berbeza-beza.

Mendapat nama daripada lemak santan (creamy coconut milk) yang digunakan untuk memasak beras, berbanding air dan ditambah pula dengan wangian daun pandan, nasi lemak mempunyai aroma bauan yang tersendiri. Apatah lagi nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang. Ia merupakan pelengkap kepada bauan yang telah sedia ada.

Nasi Lemak adalah makanan serantau, selain popular di Malaysia ia juga dihidangkan di beberapa negara berdekatan seperti Brunei, Singapore, Kepulauan Riau, Selatan Thailand dan juga Philippines. Cuma bagi negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu mereka mempunyai hidangan nasi yang lebih popular iaitu 'Nasi Kerabu' dan ‘Nasi Dagang’ yang menyaingi keenakan nasi lemak. Namun begitu nasi lemak masih boleh didapati di kedua-dua negeri ini.

Nasi Lemak biasa dengan tambahan rendang ayam.
Nasi lemak bungkus 'daun pisang'.

Nasi lemak asli dihidangkan dengan sambal, ikan bilis (anchovies), kacang goreng, timun dan telur rebus. Ia merupakan nasi lemak biasa yang masih dihidangkan hingga ke hari ini. Namun begitu kesesuaian nasi lemak untuk dipadankan dengan lauk-lauk yang lain menyebabkan ia turut dihidangkan bersama seleksi lauk-pauk yang lebih luas daripada sambal kerang, sambal sotong, rendang ayam, rendang daging, kari ayam dan kari daging, ikan goreng, sambal udang, sayur celur dan sebagainya. Pilihan lauk-pauk yang banyak ini disertakan bersama hidangan ‘Nasi Lemak Kukus’ yang biasanya dihidangkan pada sebelah malam.

Nasi Lemak Kukus adalah variasi baru kepada nasi lemak. Ianya lebih diminati kerana lebih gebu dan tidak berkerak. Nasi lemak kukus disediakan di sebelah malam bagi menyediakan hidangan yang lebih berat bagi mereka yang suka berjaga malam bersama kawan-kawan atau keluarga. Nasi lemak kukus dihidangkan di dalam pinggan seperti nasi biasa dan lauk-pauknya dipilih sendiri oleh pelanggan daripada sejumlah pilihan lauk yang banyak. Jadi ianya lebih menyelerakan.

Nasi Lemak Kukus dengan pilihan tambahan lauk yang banyak.

Nasi lemak di sebelah pagi dihidangkan dengan lebih ringkas dan adakalanya dalam bentuk ‘Nasi Lemak Bungkus’, di mana nasi lemak bungkus hanya menyediakan nasi lemak asas sahaja dan hanya disertakan beberapa pilihan lauk. Namun tidak dinafikan sekiranya nasi lemak ini disertakan dengan sambal yang sesuai ia masih merupakan hidangan yang cukup untuk memberikan anda tenaga sehingga ke tengahari.

Dari negara-negara jiran juga terdapat nasi yang dimasak dengan santan kelapa seperti ‘nasi uduk’ dari Jakarta, ‘nasi gurih’ dari Aceh, dan ‘nasi liwet’ dari daerah Jawa. Namun begitu terdapat perbezaan rasa kerana nasi-nasi ini menggunakan rempah-rempah yang berbeza dan bahan pewangi seperti serai berbanding daun pandan. Namun begitu ia juga merupakan makanan unik untuk dicuba sekiranya anda berpeluang melawati daerah-daerah tersebut nanti.

Nasi Lemak telah sebati dengan budaya Malaysia dan dihidangkan oleh semua kaum mengikut citarasa sendiri. Bagi orang India ia mungkin disediakan dengan hidangan lauk-pauk kari sesuai dengan pilihan mereka, manakala bagi orang-orang Cina juga turut menyediakan nasi lemak mereka sendiri bagi dipadankan dengan hidangan kegemaran mereka yang tidak disediakan oleh orang-orang Melayu Muslim.


Jadi, sekiranya anda merantau ke seluruh Malaysia, hidangan nasi lemak masih boleh didapati tidak terkecuali di Sabah dan Sarawak. Hidangan unik ini merupakan antara hidangan yang bukan sahaja bertahan lama, malah sentiasa mendapat tambahan sentuhan kreatif yang menambahkan lagi keenakan sewaktu menikmatinya.


Free Download



Isnin, 13 Julai 2015

Jalan-jalan Cari Makan – Mee Goreng

Mee goreng dihidangkan bersama hirisan limau kasturi.

Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai hidangan unik hasil daripada sumbangan pelbagai kaum yang diserap menjadi satu resepi umum Rakyat Malaysia. Antara makanan yang paling popular dan dinikmati dari pagi sehinggalah ke lewat malam adalah “Mee Goreng”. Walaupun ia mempunyai satu nama, namun mee goreng disediakan dengan pelbagai variasi mengikut kreativiti pembuatnya.

Mee kuning yang popular digunakan sebagai bahan utama mee goreng berasal dari China dan telah lama digunakan oleh semua kaum dalam menyediakan makanan kegemaran ramai ini. Hampir semua kaum mempunyai versi “mee goreng” mereka sendiri dengan perbezaan di antara bahan rempah/perasa dan juga bahan campuran isi mee yang terdiri daripda ayam, daging, tauhu, kerang, sotong, udang dan sayur-sayuram.


Mee goreng boleh dinikmati menggunakan sudu & garfu atau 'chopstick'

Mee goreng dapat disediakan dengan mudah dan cepat disamping harganya yang berpatutan menjadikan ia hidangan yang selalu dipesan oleh pelanggan yang mengejar masa. Hidangan mee goreng ini tidak terlalu berat – kerana biasa disediakan dalam saiz sederhana. Mee goreng akan ditambah dengan ‘telur mata’ dan ayam goreng sekiranya perlu atas pesanan pelanggan.

Antara mee goreng yang popular adalah “mee goreng mamak” – biasa disediakan oleh penyedia restoran mamak (India Muslim). Namun hari ini “mee goreng” jenis ini juga disediakan oleh kaum-kaum lain dengan baik. Selain itu “mee goreng basah” juga merupakan antara variasi yang popular.


Mee kuning, bahan asas kepada "mee goreng".

Mee goreng untuk sarapan pula disediakan dalam bentuk yang berbeza – mee goreng ringkas yang disediakan dalam kuantiti yang banyak dan dihidangkan sepanjang waktu sarapan. Mee goreng ini tidak mempunyai isi tambahan yang banyak namun ia cukup untuk memberikan tenaga di sebelah pagi. Mee Goreng ini kebiasaannya berwarna merah gelap kerana menggunakan cili dan kicap. Ia lebih enak dimakan ketika panas, kerana mee akan menjadi keras apabila kering.


Mee kuning juga turut digunakan untuk menyediakan pelbagai jenis makanan yang lain seperti mee hailam, mee bandung, mee rebus, mee sup, mee kari, mee tom yam, mee Jawa dan macam-macam lagi. Jadi ia merupakan antara hidangan yang anda perlu ingat semasa mengungjungi kawasan-kawasan menarik di seluruh negara. 



Free Download






Jalan-jalan Cari Makan – Air Kelapa, “Janda Pulang”

Air Kelapa muda dapat mengembalikan kesegaran.


Air kelapa sememangnya menyegarkan terutamanya setelah penat melakukan aktiviti seharian. Air kelapa juga sememangnya diketahui mempunyai banyak khasiat dalam dunia perawatan tradisional masyarakat Melayu. Sebagai minuman pula, ia sentiasa mendapat sambutan oleh semua kaum dan terdapat hampir di serata pelosok tanah air.

Bagi air kelapa muda yang biasa, ia tidaklah menjadi sebarang masalah kerana kebiasaannya air kelapa muda disediakan di dalam buah yang telah dipotong sabutnya dan hanya menunggu untuk ditebuk dan diminum. Begitu juga bagi sesetengah peniaga, buah kelapa yang masih segar dijual kepada pembeli di kawasan-kawasan tertentu di pinggir bandar.


Kelapa hijau dari jenis 'kelapa pandan' adalah yang terbaik untuk minuman.
Penuh kebaikan, air kelapa muda.

Air kelapa muda mempunyai rasa yang manis secara semulajadi. Ditambah pula dengan isinya yang masih lembut sebagai bahan kunyahan semasa menikmati minuman ini. Ia merupakan minuman yang baik untuk menghilangkan rasa kehausan seterusnya mengimbangi kadar cecair di dalam badan. Tidak seperti minuman lain yang akan membuatkan perasaan dahaga yang berterusan yang membuatkan anda terus minum dengan banyak.

Air kelapa amat penting terutamanya dalam membersihkan bahan toksik dari badan termasuklah racun. Pengamal perubatan Melayu tradisional amat mementingkan penggunaan buah kelapa samada untuk diminum, mandi atau sebagai salah satu bahan perawatan. Air kelapa mempunyai tindak balas yang baik dengan badan manusia tanpa sebarang komplikasi yang serius.


Air 'Janda Pulang' dihidang di dalam gelas.

Namun apabila berkata tentang air kelapa sebagai minuman, terdapat sejenis minuman di Negeri Sembilan yang amat popular berasaskan air kelapa muda. Saban hari terdapat deretan kedai-kedai menjual air kelapa “Janda Pulang” di sepanjang jalan dari Ulu Bendul sehingga ke Pekan Kuala Pilah. Ia merupakan minuman yang amat unik, maka tidak hairanlah mengapa ia mendapat sambutan dengan begitu pantas.

Nama minuman yang diberikan kepada minuman ini juga adalah simbolik tentang bagaimana minuman ini disediakan. Ini kerana penyediaan air Janda Pulang memerlukan buah kelapa ditebuk besar dan dikeluarkan isinya. Airnya pula dicampur dengan nira enau (palm sugar) dan dikacau sehingga sebati. Ia kemudiannya dimasukkan semula ke dalam buah kelapa, serta ditambah dengan buah beluluk berbentuk halwa atau yang telah diproses.

Proses mengeluarkan dan memasukkan air kelapa tadi diibaratkan seperti perpisahan sepasang suami isteri yang menyebabkan isteri menjadi janda. Oleh kerana hasil air tangan isteri yang sangat sedap menyebabkan ia dirujuk semula. Ia mengisahkan perjalanan isi kelapa yang pada mulanya bersatu, berpisah dan bersatu semula – dengan lebih baik (manis).


Buah beluluk sedap ditambah kedalam minuman.

Diharap para peniaga air “Janda Pulang” ini dapat memelihara keunikan asal air ini walaupun pengubahsuaian mungkin perlu – namun ia tidak merosakkan keaslian “Janda Pulang” di mana ia telah pun ada semenjak dari awal lagi.


Manakala bagi yang melewati kawasan laluan disepanjang Seremban – Kuala Pilah juga diharap tidak ketinggalan untuk mengambil peluang untuk merasai keistimewaan dan kebaikan air kelapa “Janda Pulang” ini, di negeri asalnya.


Free Download



Arkib Blog