Ahad, 12 Julai 2015

Kemeriahan Di Hari Raya; Lagu Raya

Seleksi 30 lagu-lagu Raya yang boleh didapati daripada iTunes.

Apabila menjelang perayaan tidak mengira apa perayaan sekalipun suasana sentiasa dimeriahkan oleh seleksi lagu-lagu raya. Walaupun ia bukan merupakan keperluan penting untuk perayaan tersebut namun fungsi lagu raya tidak dapat dinafikan mejadikan suasan persediaan menjelang raya lebih bertenaga.

Di negara kita, lagu-lagu raya sememangnya telah direka sejak dahulu lagi seawal zaman Seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee lagi yang banyak menyumbang kepada hasil karya lagu-lagu raya ini. Dari situ maka lagu-lagu raya lain terus ditambah oleh artis-artis lain dan hingga ke hari ini beberapa diantaranya masih bertahan menjadi lagu ‘evergreen’ bersempena datangnya bulan Syawal setiap tahun.


Antara artis-artis yang terdapat di dalam koleksi tersebut.

Lagu-lagu yang bertahan inilah yang menjadi penyumbang utama kepada kemeriahan suasana Hari Raya bagi stesyen-stesyen radio dan juga aset penting bagi pasaraya-pasaraya menjadikan suasana membeli-belah lebih meriah. Tidak dinafikan dengan adanya lagu raya ini, kita merasa lebih seronok untuk membuat persiapan menjelang tibanya hari raya. Bagi yang di perantauan pula mungkin merasa tiak sabar untuk pulang ke kampung bertemu ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Berikut adalah beberapa seleksi lagu raya yang masih bertahan sehingga ke hari ini. Disertakan bersama adalah link untuk pembelian dari iTunes bagi memudahkan anda untuk membuat pembelian sekiranya perlu.

1) Selamat Hari Raya – Ahmad Jais
2) Suasana Hari Raya – Sharifah Aini
3) Selamat Hari Raya – Saloma
4) Dari Jauh Kupohon Maaf – Sudirman
5) Seloka Hari Raya – Uji Rashid & Hail Amir
6) Kepulangan Yang Dinanti – Aman Shah
7) Pulang Di Hari Raya – Noorkumalasari
8) Dendang Perantau – P. Ramlee
9) Di Pagi Aidilfitri – Rosemaria
10) Bila Takbir Bergema – Rafeah Buang
11) Bersabarlah Sayang – Sanisah Huri
12) Menjelang Hari Raya – DJ Dave
13) Selamat Berhari Raya – Rahimah Rahim
14) Suasana Riang Di Hari Raya – Junainah
15) Balik Kampung – Sudirman
16) Cahaya Aidilfitri – Black Dog Bone
17) Satu Hari Di Hari Raya – M. Nasir
18) Suasana Di Hari Raya – Anuar & Ellina
19) Inang Di Aidilfitri – Sudirman & Zaleha Hamid
20) Selamat Hari Raya – Fazidah Joned
21) Hari Yang Mulia – Sharifah Aini
22) Doa Di Hari Mulia – Uji Rashid
23) Ku Pohon Restu Ayah Dan Bonda – Al Jawaher
24) Hari Raya Hari Bahagia – Ideal Sisters
25) Aidilfitri – Sanisah Huri
26) Legang Mak Limah – Halil Chick
27) Nostalgia Aidilfitri – Sharifah Aini
28) Kembara Di Tanah Gersang – Al Jawaher
29) Hari Mulia – Sheila Majid
30) Minal Aidil Wal Faizin – Sharifah Aini

Kesemua lagu-lagu di atas dimuatkan di dalam satu album ‘Best Hit Nostalgia Hari Raya Aidilfitri Koleksi 30 Lagu Hit Nostalgia Hari Raya’ juga boleh didapati daripada iTunes.


Antara kulit album lagu raya yang lain.

Walaupun terdapat lagu-lagu lain di dalam seleksi pilihan lagu-lagu raya, 30 senarai di atas merupakan yang paling dominan dan boleh dibeli terus melalui iTunes. Ia mungkin dapat mengiringi perjalanan sewaktu anda pulang ke kampung halaman nanti atau dimainkan di pagi hari raya untuk menambahkan lagi kemeriahan.

Namun sebelum itu saya sendiri ingin mengambil kesempatan in untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin’ kepada semua para pembaca blog MyRokan. Terima kasih atas sokongan anda.


Free Download



Sabtu, 11 Julai 2015

Istimewa Juadah Raya; Soto (Ayam/Daging)

Soto hidangan kurang lemak yang menyihatkan.

Antara kebanyakan juadah Hari Raya yang biasa disediakan kebanyakannya agak berminyak seperti rendang, lemang, satay, mee kari, mee goreng dan sebagainya. Antara pilihan terbaik untuk memberikan perut anda sedikit kerehatan daripada makanan berminyak Soto merupakan antara pilihan makanan yang terbaik.

Disediakan sama seperti sup ayam/daging minyak di dalam soto adalah minyak yang digunakan untuk menumis atau daripada ayam atau daging itu sendiri (dan anda boleh memilih dari bahagian yang kurang berlemak). Rasa soto juga berbeza dengan kebanyakan juadah lain yang berasaskan kuah masakan berlemak dan cili, berbanding soto dengan rempah sup yang kurang pedas dan ringan.

Seperti juga makanan-makanan lain di Malaysia soto juga berasal daripada Indonesia. Oleh kerana kebanyakan rakyat Malaysia sendiri berasal dari Indonesia sejak dahulu lagi dan sehingga kini masih terdapat ramai rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia dengan pelbagai tujuan. Malah di Indonesia makanan soto ini mempunyai variasinya untuk setiap daerah, setiap suku dan sebagainya.

Soto daging.
Soto ayam dengan kuah kuning dan emping.

Soto disediakan dengan 2 bahagian utama iaitu bahan sup dan juga bahan isi. Bahagian sup disediakan dalam bentuk sup ayam ataupun daging tidak jauh berbeza dengan sup yang biasa disediakan. Bahagian isi boleh menggunakan ‘nasi himpit’, bihun, mee kuning atau nasi. Ia kemudiannya akan ditambah dengan beberapa sayuran seperti taugeh celur, hirisan daun ketumbar, bawang goreng, kacang goreng dan pelengkap sambal cili serta kicap cili.

Bagi yang menyediakan juadah ketupat atau ‘nasi himpit’ bolehlah menyediakan sekali kuah soto ini bagi mereka yang memilih untuk mengurangkan pengambilan makanan berlemak sepanjang Hari Raya nanti. Ini kerana menyediakan soto tidaklah sesukar mana dibandingkan dengan penyediaan rendang, lemang serta ketupat itu sendiri.

Soto Semarang dinikmati dengan pelbagai bahan tambahan.
Soto dengan telur ayam dan tomato.

Sekiranya anda ingin soto yang berbeza pula bolehlah mempelajari kaedah menyediakan soto seperti yang disediakan di Indonesia – terdapat banyak sekali variasi soto yang harus dicuba seperti Soto Bandung yang disediakan bersama lobak putih. Soto Betawi iaitu soto daging dengan susu atau santan kelapa bersama kentang goreng dan tomato. Soto Semarang iaitu soto ayam menggunakan bauh keras bersama pergedel (kentang), tempe dan kebiasaannya bersama sate kerang dan telur puyuh – ianya juga dikenali sebagai Soto Bangkung.


Jadi banyak sekali jenis soto yang boleh anda cuba untuk mempelbagaikan pilihan juadah Hari Raya anda nanti. Maklumlah setiap tetamu mempunyai selera dan keperluan yang berbeza. Mungkin ada diantara mereka yang tidak sampai hati menyuarakan keperluan ini, jadi sebagai tuan rumah kita harus peka dengan keperluan tetamu yang menceriakan suasana majlis rumah terbuka yang diadakan.


Free Download



Jumaat, 10 Julai 2015

Istimewa Juadah Raya; Rendang

Rendang termasuk antara makanan popular.

Rendang merupakan antara menu utama bagi setiap keluarga yang meraikan Hari Raya yang bakal akan tiba nanti. Jadi tidak patut sekiranya saya meninggalkan rendang daripada senarai artikel yang akan dikeluarkan. Rendang telah menjadi sebati dengan budaya hidup masyarakat Melayu di Malaysia namun mungkin ada perkara yang perlu kita ketahui mengenai rendang bagi menambahkan lagi pengetahuan mengenainya.

Rendang adalah merupakan sejenis masakan yang dimasak kebiasaannya menggunakan santan sehingga kering. Rendang berasal daripada Indonesia dan amat popular sekali di Sumatera terutama di Daerah Padang. Maka tidak hairanlah sekiranya rendang di Daerah Padang mempunyai lebih variasi menggunakan lebih banyak bahan utama.


Rendang ayam separuh kering.
Rendang Negeri dengan sayur maman. 

Di Malaysia pula, bahan utama dalam penyediaan rendang biasanya terdiri daripada ayam, daging (lembu/kambing/kerbau/rusa dan sebagainya) dan jarang sekali dari jenis lain seperti ikan atau sayuran. Rendang disediakan sesekali kerana waktu memasaknya yang lebih lama. Namun bagi yang berniaga tentulah akan berusaha menyediakan rendang setiap hari kerana ia merupakan permintaan pelanggan.

Rendang amat popular sebagai hidangan di Hari Raya dan boleh dikatakan setiap rumah akan menyediakan rendang sendiri. Namun begitu belum tentu rendang yang disediakan ini adalah sama. Begitulah uniknya rendang kerana tidak mempunyai resepi yang terlalu khusus seperti masakan-masakan yang lain. Namun begitu terdapat beberapa jenis rendang yang popular antaranya; Rendang Tok, Rendang Dinding, Rendang Neghoghi (Negeri) dan Rendang Padang.


Rendang Tok popular di bahagian Utara Malaysia.

Manakala dari segi bahan-bahan pula beberapa bahan penting yang boleh dikatakan digunakan untuk kebanyakan jenis rendang adalah; cili, bawang putih, bawang merah, santan kelapa, serai, halia, lengkuas, kunyit, daun kunyit, daun limau purut dan kerisik. Bahan-bahan lain mungkin digunakan dalam beberapa jenis rendang lain, namun bahan yang senaraikan tadi merupakan bahan yang biasanya akan digunakan.

Ada beberapa tujuan utama masakan rendang disediakan antaranya adalah;
  • Ia tahan lebih lama, jadi sekiranya ia disediakan untuk jumlah yang banyak ia masih lagi baik untuk beberapa hari di musim perayaan.
  • Ia juga biasanya memerlukan daging yang betul-betul matang seperti ayam tua, lembu, kambing dan kerbau yang tahan dimasak di atas api yang lama. Sehubungan itu ayam tua yang mungkin kurang mendapat sambutan untuk jenis-jenis masakan biasa juga tidak ada masalah bagi rendang.
  • Rendang mudah dibawa sebagai bekal kerana ia tidak mempunyai kuah yang akan tertumpah.
  • Rendang mudah dipadankan dengan juadah-judah lain di hari raya. Ia boleh dimakan bersama dengan ketupat, rendang, lontong, mee goreng atau bihun goreng malah juga dengan ‘nasi lemak’.
Padanan yang paling baik - Lemang.

Seperti yang dikatakan tadi, rendang daripada Daerah Padang di Sumatera mempunyai lebih variasi. Jadi ada baik sekiranya kita dapat mengetahui mengenai rendang-rendang tersebut. Pertama iaitu ‘Rendang Lumek’ (dimasak sehingga kering dan lumat) yang disediakan menggunakan daging ikan gabus serta daun kayu. Rendang ini jarang dijumpai kini kerana ikan gabus yang sukar didapati.

Rendang telur juga merupakan rendang Daerah Padang yang menggunakan telur yang dicampur tepung, dikukus dan dipotong kecil. Berbeza dengan hari ini, rendang telur disediakan menggunakan telur dadar. Rendang berikutnya pula adalah rendang runtiah yang menggunakan daging yang dicarik-carik kecil dan rendang-rendang lain iaitu rendang paru, rendang belut, rendang ikan dan sebagainya.


Ya, jadi itu barulah lengkap mengenai rendang yang mungkin kita perlu ketahui bagi menjadikan hidangan rendang tahun ini dinikmati dengan penghargaan yang berbeza. Bukanlah mudah untuk menyediakan rendang apatah lagi dalam suasana di bulan Ramadan dengan persiapan menjelang Hari Raya. Adalah diharapkan kita semua melakukan kerja-kerja persiapan ini dengan penuh ceria, tidak merasa tertekan dengan bebanan kerja-kerja tersebut. Semoga hidangan yang disediakan untuk kaum keluarga dan tetamu mendapat keberkatan.


Free Download



Istimewa Juadah Raya; Dodol

Dodol yang didalam saiz kecil lebih mudah untuk dinikmati.

Dodol merupakan antara juadah terpenting pada Hari Raya selain lemang, ketupat dan rendang. Namun begitu penyediaan dodol juga memerlukan banyak tenaga dan hanya sanggup dilakukan oleh mereka yang mampu menyediakan segala keperluan utama penyediaan dodol seperti bahan-bahan penyediaannya dan masa yang lama untuk mengacau dodol yang dimasak di atas api.

Dodol juga adakalanya dipanggil sebagai ‘penganan’ dan mempunyai banyak variasi kerana ia bukan sahaja popular di Malaysia malah di Indonesia, Philippines, Singapore, Sri Lanka, Burma, beberapa daerah di India dan Iran. Malah di Indonesia ia turut menjadi bahan jualan yang popular disediakan dengan pelbagai perasa buah-buahan.

Baiklah kita kembali semula kepada dodol Hari Raya kita di Malasia. Uniknya tentang dodol tradisional ini adalah pada proses penyediaannya yang dilakukan secara bergotong-royong oleh ahli keluarga atau jiran tetangga. Ini kerana proses penyediaan yang memerlukan tenaga yang banyak tidak mungkin dapat dilakukan oleh seorang individu.


Dodol perlu sentiasa dikacau disepanjang proses pembuatannya.

Dodol disediakan dengan bahan-bahan asli iaitu tepung pulut, santan kelapa, dan gula pasir + gula batu. Perkara yang rumit mengenai proses pembuatan dodol adalah ia memerlukan masa yang panjang  dan disepanjang proses pembuatannya ia perlu dikacau dengan anggaran masa 4 – 6 jam. Kacauan perlu dibuat kerana bahan campuran ini amat mudah hangus dan merosakkan dodol anda nanti.

Antara cabaran proses penyediaan dodol adalah ia akan menjadi semakin pekat dan semakin sukar untuk dikacau. Jadi sebab itu ia disediakan oleh beberapa orang lelaki dewasa bagi memastikan sentiasa ada orang yang dapat mengacaunya secara konsisten. Pada waktu ini, kawalan suhu api juga adalah amat kritikal. Bagi memenuhi keperluan tenaga inilah biasanya ia disediakan oleh beberapa keluarga dalam satu masa secara gotong-royong.


Bekas simpanan dodol daripada mengkuang.

Dodol juga merupakan makanan yang sensitif dan akan menjadi berkulat, tengik sekiranya tidak disediakan dengan betul atau disimpan dengan baik. Namun begitu bagi dodol yang berkualiti ia boleh disimpan berbulan lamanya. Antara kaedah penyimpanan dodol yang terbaik adalah di dalam bakul daripada mengkuang yang mebolehkan dodol ‘bernafas’ dan mengering disamping tambahan aroma daun mengkuang menyegarkan lagi dodol anda.

Untuk mengatasi masalah penggunaan tenaga bagi penyediaan dodol pula, sememangnya mesin mula digunakan. Antara pengeluar mesin pembuat dodol adalah mesin yang dikeluarkan oleh Zull Design Autotronic (ZDA) yang boleh dihubungi di no. 03-6092 1928 atau melalui laman web www.zulldesign.com.my


Dodol dengan pelbagai perasa.

Hari ini dodol turut dijadikan sebagai barangan hadiah, hidangan di majlis-majlis kenduri kendara selain disediakan di dalam bekas-bekas yang lebih kecil di pasaraya. Manakala seperti yang diperkatakan lebih awal tadi, di indonesia dodol jauh lebih popular dengan pelbagai variasi seperti; dodol garut, dodol durian, dodol sirsak, dodol nangka, dodol apel Malang, dodol susu, dodol China dan dodol Betawi.


Dodol merupakan satu lagi juadah manis di Hari Raya. Mungkin bukan menjadi pilihan semua, namun kisah disebalik penyediaan dodol mempunyai banyak keunikan tentang bagaimana masyarkat Melayu dapat saling membantu dalam memenuhi keperluan masing-masing seterusnya menjadikan hidangan dodol semanis kenangan bersama tetangga.


Free Download



Khamis, 9 Julai 2015

Istimewa Juadah Raya; Tapai (fermented glutinous rice/cassava)

Tapai pulut di dalam daun pisang.

Tapai bukanlah makanan yang asing bagi masyarakat Malaysia dan serata rantau Asia Timur dari Indonesia hinggalah ke Utara iaitu Korea. Namun tapai yang menjadi hidangan masyarakat Melayu adalah sedikit berbeza kerana ia dihidangkan sebelum tapai menjadi masam. Tapai merupakan hidangan di majlis-majlis keramaian dan tidak ketinggalan juga sebagai manisan juadah di Hari Raya.

Dua jenis tapai yang popular di Malaysia adalah ‘tapai pulut’ dan ‘tapai ubi’. Kedua-dua tapai ini merupakan tapai yang biasa disediakan oleh masyarakat Melayu. Proses membuat tapai dahulunya hanya dikuasai oleh sesetengah orang sahaja dan proses pembuatannya juga terdapat ‘pantang larang’ yang boleh menyebabkan tapai tidak menjadi.


Tapai beras dari Brunei.
Tapai di dalam daun keladi.

Tapai bukanlah makanan unik masyarakat Melayu, ianya turut mempunyai variasi oleh banyak kaum di merata kawasan Nusantara seperi Indonesia, India, Cambodia, Thailand, Brunei, Singapore, Philippines, China dan Korea. Perbezaan tapai Melayu mungkin berbeza dengan tapai yang disediakan oleh masyarakat asli Sabah dan Sarawak dalam penyediaan tuak. Namun ia juga mempunyai kaitan yang rapat.

Tapai dihasilkan dengan menggunakan beberapa jenis mikro-organisma yang dikenali sebagai ‘ragi’. Mikroorganisma ini adalah terdiri daripada kulapuk seperti Aspergillus oryzae, Rhizopus oryzae, Amylomyces rouxii atau Mucor species dan juga Yeasts termasuk Saccharomyces cerevisiae, dan Saccharomycopsis fibuliger, Endomycopsis burtonii dan lain-lain termasuk juga bakteria.


Tapai di dalam bekas plastik.

Proses pembuatan tapai sebenarnya hanyalah memerlukan persekitaran yang bersih dan tidak menjejaskan proses tumbersaran mikro-organisma yang digunakan sebagai ragi untuk proses penghasilan tapai. Sebarang gangguan benda asing dan persekitaran akan memberi kesan kepada tapai yang dihasilkan. Disebabkan ini, ia selalunya dihasilkan di dalam kumpulan kecil yang ahli dalam  proses pembuatan tapai.


Tapai ubi juga ada peminatnya.

Tapai pulut dan tapai ubi kedua-dua bahan ini perlu dibersihkan dan dikukus terlebih dahulu sehingga masak. Kemudian ia perlu disejukkan sebelum ragi boleh diratakan pada kedua-dua bahan ini. Setelah betul-betul rata barulah ianya akan disimpan di dalam bekas seperti daun pisang, daun getah, daun rambai, daun keladi, bekas plastik dan sebagainya. Seterusnya ia akan diperam (penapaian/fermentation) sehingga ragi dapat membiak keseluruh bahagian bahan yang digunakan.


Kini tapai turut dihasilkan untuk jualan secara harian. Ia dipelbagaikan sebagai ‘cendol tapai’, dihidangkan bersama ice-cream dan enak juga dimakan setelah disejukkan. Tapai merupakan makanan yang amat manis jadi anda perlu berhati-hati menikmatinya. Apapun tapai tetap merupakan sebahagian hidangan unik yang mungkin anda temui di Hari Raya nanti.



Free Download



Istimewa Juadah Raya; Lontong

Lontong mudah dikenali dengan warnanya yang terang dengan 'nasi himpit'.

Lontong bukanlah makanan spesifik Hari Raya, namun sewaktu Hari Raya ia juga mendapat tempat istimewa di mata masyarakat Malaysia. Lontong pada asasnya adalah menggunakan bahan ‘nasi himpit’ atau ketupat yang dimakan dengan kuah istimewa yang juga dipanggil ‘Sayur Lodeh’.

Lontong merupakan makanan yang mungkin berasal dari Indonesia, tetapi ia merupakan makanan yang popular di serata dunia Melayu iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura. Bahan-bahan yang digunakan juga adalah terdiri daripada bahan-bahan masakan Melayu. Kini lontong diterima sebagai makanan tempatan yang disediakan terutama untuk majlis-majlis tertentu dan Hari Raya.


Lontong di Indonesia disediakan di dalam daun pisang.

Proses penyediaan lontong bermula daripada penyediaan ‘nasi himpit’ kerana ia lebih mudah disediakan berbanding ketupat. Jika di negara jiran Indonesia nasi disediakan di dalam balutan daun pisang. Ini juga akan menghasilkan beras yang beraroma kerana daun pisang merupakan salah satu bahan yang menghasilkan bauan harum ke atas bahan masakan.

Perubahan zaman menyebabakan ramai rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan ‘ketupat segera’ seperti NONA bagi menjimatkan masa penyediaan nasi himpit. Suatu masa dahulu ia disediakan dengan memadatkan nasi yang dimasak sedikit ‘lembik’ dan dipadatkan di dalam bekas seperti talam kemudiannya dihimpit dengan pemberat seperti lesung untuk memadatkannya. Jadi dari situlah ia mendapat gelaran ‘nasi himpit’.


Nasi Himpit dengan teknik himpitan (pressed).

Lontong merupakan salah satu kaedah pemakanan ‘nasi himpit’ yang dipadankan dengan ‘Sayur Lodeh’. Hidangan ‘nasi himpit’ boleh berubah dengan kaedah hidangannya di mana ia boleh dihidangkan menjadi soto, bakso, dimakan dengan kuah kacang, padanan kepada satay dan sebagainya. Jadi bagi ‘Lontong’ pelengkap ‘Sayur Lodeh’ ini amat penting.

Sayur Lodeh juga bukanlah mempunyai bahan ramuan yang spesifik, hanya beberapa bahan utama untuk menjadikan ia mempunyai ciri-ciri kuah lodeh yang betul. Kuah Lodeh biasanya menggunakan santan cair yang dicampurkan sedikit kunyit yang memberikan ia warna kuning cair. Antara bahan campuran biasa di dalam kuah lodeh termasuk kacang panjang, tauhu, pucuk tauhu/tauhu kering, lobak merah, sengkuang, tempeh, kobis, kentang, soo hoon dan bahan-bahan perasa seperti serai, lengkuas, pati ikan bilis, serbuk kuyit, bawang dan udang kering. Jenis-jenis sayuran boleh ditambah mengikut selera pengguna – selagi ia tidak mengganggu rasa asal ‘Kuah Lodeh’.


Lontong yang dinikmati dengan sambal ikan bilis.

Apabila dihidangkan ia biasanya disertakan dengan kuah sambal seperti serunding, sambal tumis, sambal kacang dan juga telur rebus. Ulam-ulaman seperti timun, salad dan jenis dedaun segar juga boleh dihidangkan bersama dengan hidangan ini. Ia lebih popular dengan masyarakat berketurunan Jawa, namun kian sebati sebagai sebahagian makanan seluruh rakyat Malaysia.

Begitulah serba sedikit mengenai ‘Lontong’ yang juga merupakan sebahagian hidangan pilihan di Hari Raya. Hidangan ini lebih sesuai bagi mereka yang mempunyai sistem penghadaman yang sensitif kerana kurang berminyak dan kurang pedas (sambal cili disediakan secara berasingan). Bagi anda yang belum pernah mencubanya, bolehlah mendapatkan resepi lontong daripada laman-laman yang menyediakan resepi masakan ‘Kuah Lodeh’.


Free Download



Arkib Blog