Rabu, 8 Julai 2015

Istimewa Juadah Raya; Ketupat

Ketupat yang telah siap dimasak.

Ketupat antara makanan klasik tradisi juadah Hari Raya yang amat popular. Jika tidak disebabkan oleh daun kelapa muda yang sukar didapati sudah tentu ketupat segera tidak mendapat sambutan. Ketupat asli daun kelapa bukan sahaja unik dari segi rasa dan aromanya tetapi oleh kerana kreativiti penghasilan ketupat itu sendiri.

Ketupat dianyam menggunakan daun kelapa yang masih muda bagi mengelakkan ketupat menjadi pahit dan bertukar warna menjadi gelap sekiranya daun kelapa tua digunakan. Daun kelapa ini secara tidak langsung menambah aroma bauan kepada ketupat yang dihasilkan. Pucuk kelapa tua (agak tinggi pokoknya) merupakan bahan anyaman ketupat yang paling sesuai bagi menghasilkan ketupat dengan saiz yang diperlukan.

Proses penyediaan ketupat bermula dengan anyaman daun kelapa membentuk kelongosng ketupat. Proses anyaman inilah yang memerlukan kreativiti, ketekunan dan kesabaran seseorang. Bagi yang telah pandai menganyam ketupat mungkin masih terkenangkan waktu pertama kali mempelajarinya. Bukan itu sahaja malah terdapat pelbagai jenis ketupat dan belum tentu seseorang mahir untuk menganyam kesemua jenis ketupat ini. Saya sendiri cuma satu jenis sahaja.


Ketupat yang siap dimasak.

Malihat kepada mereka yang telah mahir dengan seni anyaman ketupat mungkin membuatkan anda merasa terpegun kerana ia dilakukan dengan mudah. Namun sebaliknya apabila anda mencubanya, anda mungkin menghasilkan ketupat yang pelik atau sekadar daun kelapa yang meliliti tangan. Mungkin apa yang anda perlu lakukan adalah mendapat tunjuk ajar yang betul dan lakukan dengan perlahan-lahan. Tiada yang mustahil, apatah lagi sekiranya orang lain boleh melakukannya. Anda juga tentu boleh.

Ketupat yang telah dianyam akan diidikan dengan beras. Sukatan yang diperlukan adalah ¾ daripada ketupat. Ia akan mengembang dan memenuhi ketupat. Isi yang kurang akan menyebabkan beras berderai. Manakala terlalu penuh akan menyebabkan ketupat pecah. Jadi anda perlulah mencubanya dan jangan terlalu bimbang melakukan kesilapan.

Ketupat perlu direndam dengan air dan direbus dengan api yang sederhana. Biarkan untuk beberapa jam sehingga beras betul-betul mengembang memenuhi ketupat. Semasa proses rebusan ini, tahap air perlu sentiasa diperiksa bagi megelakkan ianya daripada kering seterusnya menyebabkan ketupat anda tidak masak.


Antara padanan hidangan ketupat.

Ketupat biasa dihidangkan dengan kuah kacang, rendang ayam atau daging dan juga boleh dipadankan dengan satay, lontong, soto, bakso dan apa juga jenis lauk yang lain. Antara variasi makanan yang menyerupai ketupat adalah ‘nasi himpit’. Walaupun ia mirip ketupat, namun ia kekurangan aroma daun kelapa. Begitu juga ketupat segera yang boleh dibeli di pasaraya. Walaupun lebih mudah, namun penggemar ketupat tidak akan teragak-agak untuk membeli kelongsong ketupat menggunakan daun kelapa.

Antara jenis ketupat yang biasa terdapat dalam penyediaan ketupat adalah;
  • Ketupat bawang
  • Ketupat satay/pasar
  • Ketupat burung
  • Keupat jantung

dan beberapa variasi lagi yang bukan dari jenis ketupat hidangan. Walaupun apa juga jenisnya, ia adalah ketupat yang dihasilkan menggunakan daun kelapa muda dan diisikan dengan beras. Rasanya lebih enak kerana beras betul-betul kembang setelah direbus seberapa lama.


Ketupat daun palas menggunakan beras pulut.

Sejenis ketupat lagi adalah menggunakan daun palas dikira sebagai ketupat yang berbeza. Ini kerana ia menggunakan daun palas dan juga beras pulut. Proses pembuatannya juga agak berbeza. Ia tetap mempunyai aroma daripada daun palas. Ketupat daun palas juga sering dihidangkan ketika Hari Raya.

Jadi itu adalah antara sedikit sebanyak keunikan ketupat yang menjadi hidangan penting kepada rakyat Malaysia. Bagi saya ketupat daripada daun kelapa tetap menjadi pilihan. Sekiranya anda belum pernah mencubanya, mungkin pada Hari Raya nanti ia merupakan misi anda yang paling penting.


Free Download



Istimewa Juadah Raya; Lemang

Lemang tetap merupakan sajian popular di Hari Raya.

Lemang merupakan antara makanan popular menjelang raya dan di sesetengah kawasan di Semenanjung Malaysia ia merupakan hidangan penting di pagi Hari Raya.  Keseluruhan proses membuat lemang memerlukan kerjasama antara ahli keluarga mahupun tetangga. Jadi di sinilah uniknya lemang dalam merapatkan lagi jalinan antara satu sama lain.

Lemang dahulunya hanya dihidangkan untuk hari-hari tertentu sahaja kerana proses pembuatannya yang memakan masa dari penyediaan buluh sehinggalah proses memasak. Namun sebagai sebahagian daripada perniagaan ia adakalanya dijual pada hari-hari lain sepanjang tahun. Ia juga merupakan pengubat rindu pada lemang dan adakalanya ia sedikit sebanyak menghilangkan keunikan lemang yang selama ini lebih eksotik.

Buluh dan Kayu Api


Mencari buluh lemang bukanlah semudah membeli lemang.

Proses membuat lemang bermula dengan mengambil buluh untuk dijadikan buluh lemang. Proses mengambil buluh ini memerlukan ketelitian mengenal antara buluh yang sesuai dengan yang tidak. Anda perlu tahu buluh yang tidak sesuai seperti ‘buluh telur’, dimana ia mungkin akan dimakan api sebelum lemang anda masak. Buluh lemang yang sesuai mempunyai ketebalan dan dinding ruas yang lebih lembab dan dapat bertahan disepanjang proses memasak lemang.

Proses pengambilan buluh juga perlu dilakukan dengan cermat kerana terdapat beberapa kaedah tertentu bagi memastikan kerja dapat dilakukan dengan pantas, selamat dan memastikan anda mendapat buluh yang benar-benar sesuai digunakan untuk tujuan memasak lemang anda.

Proses mencari buluh lemang biasanya akan berlaku seiringan dengan mencari bahan bakar kayu api. Bagi memastikan ia mempunyai bara, kayu api perlulah dari saiz yang besar dan sederhana besar. Tanpa bara, pembakaran lemang anda menjadi sedikit sukar di akhir proses pembakaran tersebut di mana lemang perlu dipanaskan dengan panas bara berbanding api yang menyala bagi mengelakkan hangus.

Sebelum Proses Pembakaran


Santan yang cukup diperlukan untuk memastikan lemang yang baik.
Sebelum proses pembakaran lemang dilakukan bahan-bahan lain akan disediakan termasuklah santan kelapa, beras pulut dan juga daun pisang. Penyediaan santan mungkin memerlukan proses memarut kelapa dalam jumlah yang besar. Manakala beras pulut perlu dibasuh bersih dan ditoskan airnya. Masa itulah daun pisang akan dipotong mengikut saiz buluh supaya ia muat di dalam buluh-buluh tersebut. Proses pengukuran ini amat menarik dan anda perlu berhati-hati bagi mengelakkan pulut menyentuh bahagian dalam buluh.

Beras akan dimasukkan ke dalam buluh terlebih dahulu dan barulah diikuti dengan santan yang telah dicampurkan garam. Pulut diletakkan ¾ memenuhi buluh dan santan menutupi paras pulut. Semasa proses memasak, pulut akan mengembang dan santan juga akan diserap oleh pulut. Pulut yang terlalu banyak akan menyebabkan ia terkeluar daripada buluh semasa proses memasak.

Proses Memasak


Proses pembakaran lemang juga memerlukan kemahiran.

Proses memasak dimulakan sebaik sahaja api telah dinyalakan dan lemang-lemang telah sedia untuk dibakar. Pada permulaan proses api yang besar diperlukan bagi memanaskan lemang dengan cepat. Namun awas buluh juga boleh terbakar jadi api yang besar tidak boleh terlalu hampir dengan lemang.
Semasa proses pembakaran berjalan lemang-lemang akan terus di awasi dan dipusingkan bagi memastikan lemang masak dengan sekata. Paras santan juga diperiksa dan boleh ditambah sekiranya perlu. Santa yang tidak cukup akan menyebabkan pulut tidak masak dan lemang berderai.

Apabila lemang setengah masak proses hentakan perlu dilakukan bagi memadatkan lemang. Ini kerana terdapat ruang-ruang udara di antara beras dan proses memasak menyebabkan udara ini semakin mengembang. Proses hentakan perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana buluh boleh pecah.


Lemang dengan padanan terbaiknya, rendang.

Manakala apabila lemang hampir masak pula, api yang kecil (ataupun haba dari bara) diperlukan untuk memastikan lemang dipanaskan secara perlahan. Proses pemusingan yang betul dapat mengelakkan lemang daripada hangus. Lemang yang hangus akan mempunyai kerak yang keras dan sukar untuk dimakan. Keseluruhan proses membakar lemang ini mungkin akan mengambil masa dari 4 - 6 jam.

Walaupun proses penyediaan lemang amatlah rumit, namun ia masih digemari sehingga ke hari ini. Lemang yang dimasak dengan buluh mempunyai aroma yang sukar ditolak apatah lagi apabila dipadankan dengan rendang ayam atau daging di pagi raya bersama keluarga. Apa yang menarik mengenai lemang, selain daripada ianya merupakan  hidangan yang hebat adalah kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan. Mujur hari ini ia masih boleh dibeli dan turut disediakan pada majlis-majlis rumah terbuka.


Free Download



Jalan-jalan Cari Makan; Cincau

Cincau, bahan yang digunakan untuk pelbagai jenis minuman.

Minuman cincau walaupun bukan secara asalnya berasal dari Malaysia tetapi telah sebati dengan gaya hidup masyarakat tempatan yang berbilang kaum. Minuman ini telah lama terserap di dalam semua masyarakat dan digunakan hampir setiap hari.

Cincau adalah minuman yang diperbuat daripada kumpulan tumbuh-tumbuhan yang juga dikenali sebagai “grass jelly”. Tergolong di dalam kumpulan ‘mint’ atau pudina, maka tidak hairanlah mengapa minuman ini memberikan kesegaran kepada peminumnya. Antara tumbuhan yang popular digunakan untuk menghasilkan cincau adalah dari jenis Mesona chinensis (juga sebagai M. elegans dan M. procumbens). Manakala untuk menghasilkan cincau hitam Mesona palustris digunakan.

Mesona palustris yang digunakan untuk cincau hitam.

Mesona polustris kering untuk diproses.

Pembuatan cincau tidak menggunakan agar-agar. Ianya hanyalah menggunakan tumbuhan cincau dan juga tepung ubi kayu. Pati tumbuhan yang melikat dan juga campuran tepung ubi kayu membolehkan ia membeku sama seperti agar-agar.

Cincau digunakan dengan pelbagai cara. Selain daripada digunakan untuk menyediakan minuman cincau ia juga digunakan sebagai salah satu campuran dalam minuman lain seperti ABC dan Laici Kang. Jadi cincau amat mudah dipadankan dengan apa juga minuman dengan tambahan tekstur bahan kunyahan di dalam minuman tersebut.

Cincau mudah dipadankan untuk apa juga hidangan.

Cincau merupakan antara bahan minuman penting bukan sahaja di Malaysia, malah juga di negara-negara sekitar seperti Indonesia, Vietnam, China, Taiwan dan juga negara-negara Asia Tenggara yang lain. Minuman berasaskan cincau ini bukan sahaja menjadi hidangan minuman yang disediakan di kedai dan restoran, malah turut disediakan sebagai minuman diproses (tin dan kotak).

Ia turut menjadi bahan kajian bagi mengenal pasti potensi sebagai bahan perubatan dan khasiat pemakanan. Apa yang penting ia merupakan antara bahan penyediaan sebahagian minuman tradisi dan budaya penting di Malaysia dan harus dicuba “must try list” sewaktu berada di negara ini.


Free Download



Jalan-jalan Cari Makan; Laici Kang

Laici Kang minuman yang menyegarkan.

Laici Kang merupakan antara minuman kegemaran rakyat Malaysia, terutamanya untuk mengembalikan tenaga selepas kepenatan bekerja. Laici Kang juga antara minuman klasik yang bertahan lama dan sentiasa mendapat sentuhan pembaharuan bagi mempelbagaikan citarasa minuman unik ini.

Menggunakan nama laici menandakan antara bahan yang terdapat di dalamnya adalah buah laici (lychee) iaitu buah yang manis seperti rambutan. Walaupun begitu bahan-bahan yang lebih menarik turut terdapat di dalam minuman ini, yang menjadikan ia adalah antara minuman kegemaran ramai.

Laici Kang dihidangkan dari tengahari sehinggalah ke lewat malam. Dua variasi utamanya adalah ‘Laici Kang Panas’ dan ‘Laici Kang Sejuk’. Manakala variasi isi kandungannya adalah lebih penting kerana, turut memberikan perbezaan kepada rasa dan khasiat minuman istimewa ini. Ia juga antara minuman popular ketika Bulan Ramadhan.


Antara bahan asas dalam Laici Kang.

Seperti juga ABC, kreativiti pembuat Laici Kang bukan sahaja menumpukan kepada rasa minuman ini malah khasiatnya. Ia dikatakan dapat menurunkan panas badan selain daripada beberapa khasiat lain mengikut bahan-bahan yang digunakan seperti barli, selasih, buah kembang semangkuk, agar-agar, buah kabung, katirah, cincau, biji teratai, biji sagu dan sebagainya. Bagi sesetengah pembuat Laici Kang turut menggunakan telur puyuh dan juga sarang burung layang-layang.


Laici (lychee) menjadikan minuman tersebut adalah Laici Kang.

Laici Kang merupakan minuman padanan yang memuatkan bahan-bahan yang menyegarkan selain mempunyai khasiat yang berbeza-beza – bahan tersebut menyebabkan perbezaan harga Laici Kang juga. Selain dari itu bahan yang digunakan mungkin berbeza dengan pengaruh pembuatannya seperti Laici Kang Melayu – lebih menggunakan bahan-bahan ke-Melayuan seperti selasih, kembang semangkuk, barli dan katirah. Manakala Laici Kang dengan pengaruh Cina akan lebih menggunakan bahan-bahan herba Cina seperti biji teratai, goji berry, kurma merah, sarang burung layang-layang dan sebagainya.


Laici Kang herba - menggunakan bahan-bahan herba.

Adapun bahan-bahan ini kebanyakannya amat membantu dalam mengembalikan kesegaran badan selain menyejukkan. Jadi sekiranya anda ingin menikmati Laici Kang yang spesifik mengikut selera anda, mungkin anda boleh memadankan sendiri bahan-bahan kegemaran anda.

Maka Laici Kang adalah sebahagian daripada minuman identiti Malaysia yang unik dan turut berada dalam senarai ‘must try list’ bagi pengunjung-pengunjung ke Malaysia. Jika anda sudah lama tidak merasa minuman ini, mungkin di waktu terdekat nanti boleh lah mencubanya.


Free Download




Selasa, 7 Julai 2015

Jalan-jalan Cari Makan; ABC - Air Batu Campur

ABC, minuman penuh warna warni kebanggaan Malaysia.

ABC merupakan antara minuman yang menjadi indentiti Malaysia sejak sekian lama. Ia juga dikenali sebagai Air Batu Campur – ABC atau Ais Kacang merupakan minuman popular ketika cuaca panas di waktu tengahari. Namun kini ABC turut dihidangkan sehingga ke waktu malam.

Minuman ini mempunyai variasi yang banyak mengikut kreativiti pembuatnya, maka anda tidak akan mendapati dua ABC dari pembuat yang berbeza mempunyai rasa yang sama, namun mempunyai beberapa asas yang sama iaitu ais (air batu), sirap, gula melaka (palm sugar), susu cair, jagung manis, agar-agar, buah-buahan, cendol dan kekacang. Jadi ia sememangnya gabungan bahan-bahan manis yang mengembalikan tenaga selepas anda menghabiskan tenaga samada bekerja ataupun melakukan aktiviti-aktiviti sukan.


ABC direka mengikut kreativiti pembuat.


Buah-buah menambahkan lagi keunikan kepada ABC.

Hari ini ABC mempunyai variasi yang lebih luas menggunakan bahan-bahan yang lebih moden mengikut selera pengguna. Menggunakan bahan-bahan tambahan yang lebih banyak seperti tambahan ice-cream, sirap coklat, kekacang yang lebih baik dan bebola daripada sagu atau ubi kayu (iaitu bahan untuk membuat ‘bubble tea’). Selain itu juga ia disediakan di dalam bekas yang lebih besar, cantik serta dihiasi bagi menarik selera pengguna.


Bahan-bahan yang digunakan untuk ABC.

ABC menjadi sebahagian daripada ‘must try list’ bagi pelancong-pelancong yang melancong ke Malaysia selain daripada minuman-minuman utama yang lain seperti teh tarik, cendol, laici kang dan beberapa minuman lagi yang menjadi sebahagian identiti unik Malaysia. ABC boleh didapati di kedai-kedai makanan utama atau gerai kecil yang menjual minuman di merata tempat.

Bagi para pengusaha ABC semoga dapat mengekalkan identiti minuman unik ini walaupun ia semakin berubah mengikut zaman. Manakala para peminat diharap dapat terus menyokong minuman popular ini untuk terus berada di pasaran.


Free Download



Clownfish Penghuni Terumbu Karang Yang Cantik

Clownfish yang terdapat di laut Andaman.

Clownfish merupakan ikan terumbu karang yang cantik dan terkenal sebagai ikan hiasan yang paling digemari. Ikan kecil yang tinggal bersama dengan anemone ini jarang meninggal tempat tinggalnya dan saling membantu antara satu sama lain dalam bentuk penjagaan dan perlindungan.

Clownfish merupakan sub-family kepada Amphiprioninae dan terdapat 30 spesis yang dikenal pasti. Ikan-ikan clownfish terdapat dalam warna-warna kuning, oren, kemerahan dan kehitaman disertai dengan jalur putih atau tompokan. Ikan ini boleh mencapai saiz sehingga 18 centimeter (7.1 in) manakala spesis yang kecil hanya akan mencecah sekitar 10 cm (3.9 in).

Ikan-ikan clownfish mendiami perairan bersuhu panas tropika di perairan India dan Pasifik dari ‘Great Barrier Reef’ sehinggalah ke ‘Laut Merah’. Tinggal di perairan berbatu karang dan lagun-lagun cetek. Namun begitu clowfish tidak terdapat di Lautan Atlantik.

Kesemua ikan 'clownfish' adalah jantan.

Ikan-ikan ini mempunyai mukus istimewa yang dikeluarkan bagi mengelakkan anemone daripada menyengatnya. Manakala ikan-ikan ini juga akan membantu membersihkan animone daripada parasit dan kotoran yang tertinggal pada badan anemone.

Ikan-ikan clownfish akan bertelur pada permukaan-permukaan rata berhampiran dengan anemone dan ini biasanya berlaku pada masa bulan penuh. Telur ini akan berjumlah ratusan hingga ribuan kesemuanya mengikut spesis. Telur-telur ini juga akan dijaga sehingga menetas sekitar 6 – 10 hari berikutnya.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai ikan ini adalah, kesemua ikan clownfish adalah jantan dan salah seekor daripadanya (yang paling dominan) akan bertukar menjadi ikan betina. Manakala ia juga boleh menukar semula jantinanya kepada jantan semula.

Clownfish dari jenis 'saddleback' dari Sulawesi, Indonesia.

Ikan-ikan clownfish amat popular sebagai ikan hiasan dan populasinya boleh terjejas akibat daripada pemburuannya di habitat asal. Bagaimanapun hari ini ikan-ikan ini ada diantaranya yang dibiakkan sepenuhnya di dalam kurungan bagi mengelakkan ianya kepupusan.


Ikan clownfish yang juga popular dengan gelaran Nemo ini akan terus menjadi kegemaran ramai kerana menjadi ikon hidupan laut yang sangat comel untuk tujuan mendidik kanak-kanak dalam pelbagai perkara. Semoga dengan pengenalan ini ia akan terus dipertahankan untuk generasi akan datang.


Clownfish menjaga telur-telurnya.

Lokasi persembunyian clownfish yang amat menarik.

Ikan yang sentiasa mendapat perhatian jurugambar.


Free Download



Arkib Blog