Ahad, 21 Jun 2015

Mikro Post: Rusa Kasturi (musk deer)

Micromeryx - extinct
Micromeryx merupakan genus yang telah pupus.

Rusa kasturi (musk deer) adalah spesies yang istimewa dan diburu sehingga pupus di Eropah kerana permintaan yang tinggi untuk mendapatkan kasturi (musk) dari rusa ini. Terdiri daripada 7 spesies dengan saiz yang lebih besar berbanding kancil namun lebih kecil berbanding kijang/rusa. Ia dilengkapi dengan dua taring yang jelas kelihatan namun tidak mempunyai sebarang tanduk. Industri haruman selain perubatan tradisional yang menggunakan kasturi, menyebabkan haiwan kecil ini diburu sehingga hampir pupus di seluruh dunia.

Saiznya yang agak kecil iaitu berukuran di antara 80 – 100 cm (31 – 39 inci) panjang, 50 – 70 cm (20 – 28 inci) tinggi dan berat di antara 7 ke 17 kilogram (15 hingga 37 lb.) Ia mempunyai kesesuaian untuk mendaki cerun berbukit dan mendiami persekitaran berbukit termasuk di Himalaya, namun taburannya adalah menyeluruh ke seluruh Asia.

Kelenjar kasturi hanya terdapat pada rusa kasturi jantan dewasa yang terletak di antara organ seks (genital) dan pusatnya yang akan mengeluarkan bau untuk menarik perhatian pasangan. Organ ini juga menjadikan ia diburu oleh manusia disamping dagingnya yang dijadikan sumber makanan. Kasturi (musk) mempunyai harga yang lebih tinggi berbanding beratnya dengan emas. Selain digunakan sebagai bahan pewangi, ia juga digunakan untuk tujuan perubatan tradisional.

Selain daripada ancaman pemburuan, ia juga turut diancam oleh kehilangan habitat akibat pembangunan. Melalui tinjauan yang dijalankan didapati hampir 50 peratus kawasan yang sesuai untuk spesies ini hilang semenjak tahun 1970-an – LiveScience.

Siberian musk deer spesies yang hampir sama dengan Kashmir musk deer.

Antara spesies yang dikatakan pupus adalah ‘Kashmir musk deer’ yang dikesan semula oleh kumpulan Wildlife Conservation Society ketika melakukan tinjauan di timur laut Afghanistan dan dilaporkan pada tahun 2014 – merupakan spesies yang kali terakhir dilihat pada 1948.

Dalam tinjauan tersebut 5 penemuan berjaya dilakukan dengan menemui seekor musk deer jantan di kawasan yang sama sebanyak 3 kali, seekor musk deer betina dan anaknya dan penemuan seekor lagi musk deer betina. Ia merupakan haiwan sukar untuk dilihat di kawasan yang dipenuhi dengan tumbuhan dan pokok-pokok.


Tengkorak kepala musk dear.

Habitat asal rusa-rusa  ini merangkumi Nepal, India, Pakistan, Tibet, China, Siberia dan Mongolia. Bagi mendapatkan pundi kasturi rusa ini akan dibunuh manakala isi kandungan yang terdapat di dalam kantung kasturi akan bertukar menjadi serbuk hitam yang dipanggil sebagai serbuk kasturi “musk grain”. Serbuk ini perlu dicairkan dengan alkohol untuk mengeluarkan baunya. Ia mempunyai bauan yang unik dan sukar untuk ditafsirkan sebagai perbandingan.

Haiwan-haiwan yang turut mempunyai kelenjar penghasil bauan seakan-akan kasturi termasuklah Muskrat (Ondatra zibethicus), sejenis rodent yang terdapat di Amerika Utara namun ianya tidak digunakan secara meluas. Selain itu bauan yang hampir serupa turut dihasilkan oleh musk duck (Biziura lobata) dari Selatan Australia, muskox, musk shrew, musk beetle (Aromia moschata), African civet (Civettictis civetta), musk turtle (Sternotherus odoratus), American alligator dari Amerika Utara dan beberapa haiwan yang lain.

Manakala bagi spesies tumbuhan pula Angelica archangelica atau Abelmoschus moschatus juga menghasilkan bauan yang seakan kasturi dari kandungan  macrocyclic lactone. Bahan ini digunakan sebagai gantian bauan kasturi dari haiwan atau memperbaiki bauan campuran kasturi.

Selain itu bahan-bahan dari tumbuhan termasuklah bunga (Mimulus moschatus) dari bahagian Barat Amerika Utara, muskwood (Olearia argophylla) dari Australia dan juga musk seeds (Abelmoschus moschatus) dari India.


Pundi kasturi yang mengandungi serbuk kasturi atau musk.

Bagi mengelakkan penggunaan kasturi yang mengancam kepupusan haiwan, penghasilan bauan kasturi hari ini adalah melalui penghasilan secara sintetik dan ia biasanya dipanggil sebagai “white musk”. Ia diketegorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu: aromatic nitro musks, polycyclic musk compounds, dan macrocyclic musk compounds. Hanya macrocyclic musk compounds digunakan secara meluas kerana dikatakan lebih selamat berbanding dua kumpulan lainnya.


Adalah diharap, spesies rusa-rusa ini akan dapat kembali berkembang dan manusia tidak lagi menjadikan ia sebagai buruan utama hanya untuk mendapatkan pundi kasturinya. Kepupusan haiwan ini mungkin akan mengganggu keseimbangan ekosistem selain menyebabkan kita tidak lagi dapat mempelajari faedah lain yang mungkin terdapat daripada haiwan-haiwan ini. 

Rujukan:
  1. Wikipedia – Musk deer
  2. Wikipedia – Musk
  3. Smithsonian.org
  4. Wcs.org

Free Download



Sabtu, 20 Jun 2015

Ikan Buntal (Pufferfish)

Ikan buntal walaupun berduri dan beracun tetap menjadi makanan manusia.

Ikan buntal merupakan antara ikan yang unik kerana kebolehannya untuk mengembangkan saiz badannya menjadi lebih besar bagi mengelakkan ia daripada dimakan oleh pemangsanya. Selain itu juga ia sangat beracun dan boleh mengakibatkan kematian – dan ini tidak menghalang manusia kerana ia dikatakan enak dan ramai yang mengambil risiko (kematian) semata-mata untuk menikmati makanan eksotik hidangan daripada ikan ini.

Ikan buntal tergolong dalam family Tetraodontidae dari order Tetraodontiformes. Ikan buntal terdiri daripada 120 spesis daripada 19 genus menjadikan ia satu kumpulan ikan yang besar. Mendiami kawasan perairan tropika sehingga ke bahagian laut bersuhu sederhana dan tidak terdapat di laut yang bersuhu sejuk. Terdapat juga spesies yang mendiami perairan air payau dan berair tawar. Terdapat pelbagai nama yang merujuk ikan buntal di dalam Bahasa Inggeris sahaja antaranya adalah pufferfish, puffers, balloonfish, blowfish, bubblefish, globefish, butterfish, swellfish, toadfish, toadies, honey toads, sugar toads, dan sea squab. Oleh kerana ia terdapat hampir di serata dunia, setiap masyarakat mempunyai nama tersendiri untuk ikan-ikan ini.


Guineafowl puffer sebelum mengembang.


Guineafowl puffer selepas mengembang.

Daripada 120 spesies tersebut, 29 daripadanya mendiami perairan air tawar sepenuhnya. Walaupun kesemua spesies ini mendiami perairan tropika namun ia berada di lokasi yang berbeza dengan satu spesies terdapat di Amerika Selatan, tiga spesies lagi terdapat di Afrika Tengah dan selebihnya 25 spesies terdapat di Asia Tenggara. Jadi kini anda mengetahui betapa pentingnya kawasan Asia Tenggara sebagai habitat penting spesies-spesies tertentu.

Ikan buntal terdiri daripada pelbagai saiz daripada yang bersaiz kecil di antara 2.5 cm (1 inci) sehinggalah kepada yang bersaiz 61 cm (2 kaki). Malah ada yang mencecah sehingga 1 meter (3 kaki) panjang. Ia tidak mempunyai sisik namun kulitnya agak kasar dan ada di antaranya seperti duri yang akan mengembang apabila ia diancam.


Anak ikan buntal kecil mungkin terlekat di rumpai-rumpai laut.

Ikan buntal mempunyai empat gigi yang membentuk seperti paruh dan gigi ini digunakan untuk memakan makanan termasuk kerang-kerangan yang keras – namun begitu makanan ikan buntal terdiri daripada pelbagai invertebrate dan juga algae. Makanan ikan-ikan buntal ini juga dikatakan menjadi punca kepada racun ikan tersebut yang boleh membunuh 30 orang lelaki dewasa dan tiada penawar (antidote) yang diketahui setakat ini.

Racun ikan buntal dikenali sebagai tetrodotoxin merupakan racun yang 1,200 kali ganda lebih kuat daripada cyanide. Racun ini turut dimiliki oleh beberapa spesies haiwan beracun yang lain seperti newt dari genus Taricha, kodok dari genus Atelopus, blue-ringed octopus dari genus Hapalochlaena, beberapa spesies tapak sulaiman (sea stars), spesies angelfish, beberapa jenis cacing yang dikenali sebagai polyclad flatworm, arrow worms, ribbon worms dan beberapa spesies ‘xanthid crabs’. Walaupun ia boleh membunuh manusia dan pemangsanya, beberapa pemangsa semulajadi haiwan ini didapati tidak terjejas dengan racun tersebut seperti tiger shark dan juga ular laut.


Torafugu di pasar Tsukiji Jepun.

Walaupun beracun ikan buntal atau dikenali sebagai Fugu (河豚 or ; フグ) di dalam Bahasa Jepun merupakan antara hidangan yang amat popular. Torafugu atau tiger blowfish merupakan hidangan yang paling berprestige dan juga yang paling beracun. Ini diikuti dengan beberapa spesies lain seperti Higanfugu (T. Pardalis), Shōsaifugu (T. vermicularis syn. snyderi), dan Mafugu (T. Porphyreus). Memandangkan makanan daripada ikan ini amat merbahaya langkah-langkah keselamatan turut dititikberatkan oleh Kementerian Kesihatan Jepun. Ini termasuklah menguat kuasakan lesen penyediaan makanan berasaskan fugu semenjak tahun 1958 lagi. Kaedah pengambilan lesen yang memerlukan pelbagai kriteria termasuk ujian bertulis, pengenalan ikan dan juga ujian praktikal membolehkan hanya 35 peratus daripada calon berjaya mendapat lesen penyediaan fugu.


Blue and white dot puffer fish.

Terdapat pelbagai kaedah penyediaan fugu dan yang paling popular adalah sashimi di mana daging ikan ini akan dipotong nipis dengan teknik yang dikenali sebagai usuzukuri. Selain itu ia juga turut disediakan dalam bentuk goreng, bakar,  stew, salad selain telur malah ovari (bahagian yang beracun) turut digunakan sebagai sebahagian daripada hidangan istimewa. Fugu merupakan makanan yang tidak boleh dimakan oleh Maharaja Jepun sebagai langkah keselamatannya.

Saintis dari Nagasaki University dikatakan telah berjaya membesarkan ikan-ikan dari jenis torafugu melalui pengawalan pemakan ikan ini. Setelah berjaya membesarkan lebih daripada 4,800 ikan buntal yang tidak beracun, mereka yakin bahawa punca pemakanan dan sistem penghadaman ikan menyebabkan ia menghasilkan racun (sama juga dengan spesies katak beracun) dengan mengekalkan rasa ikan. Namun ada juga yang menyangkal dakwaan ini.


Fugu sashimi yang digemari daripada ikan buntal.

Sejauh mana benarnya dakwaan ini tidak diketahui kerana masih terdapat kes keracunan dan kematian yang berpunca daripada pemakanan fugu di Jepun. Terdapat 23 kejadian yang dilaporkan di Jepun sepanjang 1993 sehingga 2006 dan hanya satu kes dilaporkan berlaku di restoran dan antara kes terbaru adalah pada March 2015. Kes-kes kematian yang disebabkan oleh ikan ini banyak juga berlaku di tempat-tempat lain termasuk Malaysia sendiri. Jadi adalah lebih baik sekiranya anda mengelakkan daripada mencubanya.

Ikan buntal walaupun beracun tetap menarik dan merupakan spesies yang penting di dalam ekosistem terutamanya kawasan terumbu karang. Sekiranya anda berminat bolehlah melihat keseluruhan 120 spesies ikan tersebut. Mengenalinya mungkin boleh mengelakkan anda daripada bahaya racun ikan ini nanti.

Rujukan:
  1. Wikipedia – Tetraodontidae
  2. Wikipedia – Fugu
  3. Wikipedia – Tetrodotoxin
  4. National Geographic
  5. The Guardian


Free Download



Jumaat, 19 Jun 2015

Mikro Post: Bluefin Tuna

Penangkapan berlebihan menyebabkan Atlantic bluefin tuna semakin berkurangan.

Atlantic Bluefin Tuna (Thunnus thynnus) merupakan spesis tuna terbesar dan telah diburu secara berlebihan sehingga mengalami penurunan jumlah yang ketara di habitat asal mereka. Ia juga dikenali sebagai northen bluefin tuna atau giant bluefin tuna (bagi yang mencapai saiz melebihi 150 kilogram).

Tuna mendapat sambutan paling tinggi di pasaran Jepun dengan harga seekor tuna pernah mencecah $1.7 juta dalam satu lelongan. Walaupun harga ini adalah berbeza mengikut saiz, jenis dan kualiti harga seekor ikan bersaiz sederhana adalah antara $10,000 hingga $20,000. Industri pemakanan terutamanya sushi dan sashimi di Jepun menjadikan tuna sebagai pilihan dengan harga yang tinggi.

Terdapat empat spesis bluefin tuna dari genus Thunus iaitu T.maccoyii (Southern bluefin tuna), T. Orientalis (Pacific bluefin tuna), T. Thunus (Atlantic bluefin tuna) dan T. Tonggol (longtail tuna) di mana dua di antaranya lebih dikenali sebagai northern bluefin tuna iaitu Pacific bluefin tuna dan juga Atlantic bluefin tuna, manakala dua lagi lebih dikenali sebagai southern bluefin tuna.

Spesis terbesar ikan ini adalah dari jenis Atlantic bluefin tuna dengan saiz boleh mencecah melebihi 450 kilogram (990 lb) seekor. Jangka hayat ikan ini juga boleh mencecah sehingga 40 hingga 50 tahun dan menjangkau usia matang apabila berumur 4 – 8 tahun, bagi Eastern spesies dan 12 – 14 tahun bagi Western spesies. Saiz matang ikan-ikan ini pula adalah antara 2 – 2.5 meter (6.6 – 6.8 kaki) dengan berat sekitar 225 – 250 kg (496 – 551 lb.).


Keadaan di Pasar Tsukuji, Jepun.

Ikan-ikan tuna merupakan spesies ikan pemangsa yang mempunyai rupa bentuk khusus untuk berenang pada kelajuan yang tinggi. Ia bukan sahaja mempunyai saiz insang yang lebih besar, malah sistem pengaliran darah yang lebih efisyen disamping mempunyai kepekatan darah yang tinggi menjadikan dagingnya berwarna merah untuk memastikan pengambilan oksigen yang pantas.

Ikan tuna mampu menyelam sehingga ke dalaman 1,000 meter (3,300 kaki) disamping berenang dengan kelajuan 64 km/h (40 mph). Ia juga menjadi salah satu punca kematian ikan-ikan tuna yang diternak di dalam sangkar, iaitu pelanggaran antara ikan-ikan ini). Punca makanan ikan-ikan ini adalah terdiri daripada ikan-ikan kecil dan invertebrates seperti sardine, herring, mackerel, sotong dan crustaceans.


Ikan tuna dikenali sebagai 'maguro' dalam Bahasa Jepun.

Atlantic bluefin tuna membiak di dua kawasan utama iaitu di Balearic Island di Mediterranean dan juga di Teluk Mexico. Taburan ikan-ikan bluefin tuna ini dapat dilihat dengan lebih jelas setelah kemampuan mengesan (GPS trackking) pergerakan ikan dilakukan oleh ICCAT (International Commission for the Conservation of Atlantic Tunas).

Penternakan ikan tuna di dalam sangkar telah dimulakan semenjak 1970 oleh nelayan di St Mary’s Bay, Canada. Sejumlah besar ikan-ikan tuna kecil didapati dari Mediterranean untuk dibesarkan di dalam sangkar. Memandangkan usia ikan-ikan yang ditangkap sebelum usia matang, ikan-ikan ini tidak dapat membiak dan menjadi salah satu punca kemerosotan populasi ikan-ikan tuna Atlantic yang dikatakan mencecah hampir 90 peratus semenjak 1970.

Manakala di Eropah dan Australia para saintis menggunakan kaedah teknologi ‘light-manipulation’ dan implant ‘time-release hormone’ untuk meransangang penghasilan ikan di dalam sangkar yang lebih pantas. Teknik ini menggunakan implant ‘gonadotropin-releasing hormone’ yang meransang penghasilan telur dan memaksa ikan-ikan mencapai kematangan pada usia yang lebih muda.

Manakala di Jepun penternakan bluefin tuna dilakukan olen Kinki Fisheries, sebahagian daripada Kinki University di Wakayama. Seperti juga di Canada usaha ini dijalankan seawal 1970-an lagi. University ini memfokuskan penghasilan benih ikan secara penuh daripada ladang ternakan. Ini bermaksud ikan-ikan adalah di tetaskan sendiri di dalam makmal. Ia dikatakan berjaya pada tahun 2002 iaitu setelah 32 tahun usaha ini dijalankan.


Telur-telur ikan bluefin tuna.
Larva ikan selepas menetas (48 jam).

Ikan blefin tuna pada tahap 'fry'.

Penghasilan ikan-ikan bluefin tuna oleh Kinki University dapat mengelakkan pengambilan ikan-ikan kecil dari habitat liar seterusnya mengurangkan penurunan populasi. Sebaliknya ikan-ikan ditetaskan sendiri daripada baka-baka ikan yang dibela selama 5 tahun dan berukuran 2 m manakala berat adalah 200 kg. Benih-benih ikan diperolehi daripada seekor induk dewasa boleh mencapai jumlah jutaan daripada seekor induk. Telur ini akan menetas setelah berusia 48 jam dan berukuran 3 mm dan menjadikan plankton sebagai makanannya. Dalam tempoh 20 hari larva ikan akan mencapai tahap ‘fry’, dan mula dipindahkan ke dalam sangkar di laut. Menjelang tempoh 3 bulan ikan-ikan akan mencapai saiz berukuran 30 cm dengan berat sekitara 300 g. Pada usia 3 tahun ikan mencapai usia dewasa dengan saiz berukuran 1 meter dan berat 30 kg ikan mula dipasarkan.

Usaha pembiakan ikan bluefin tuna secara penuh di dalam sangkar bukanlah sesuatu yang mudah. Sedari saiz kecil lagi ikan-ikan tuna memakan sesama sendiri dan para penyelidik perlu meletakkan spesis lain sebagai gantian. Jumlah anak-anak yang membesar juga adalah sekitar 5 peratus sahaja – menurut Professor Yoshifumi Sawada.


Bluefin tuna berenang di dalam kumpulan.

Kadar kematian disebabkan pelanggaran sesama ikan di dalam sangkar juga adalah tinggi iaitu hampir separuh – oleh kerana pelanggaran dengan kelajuan 80 km/h dengan berat mencecah 350 kilogram.

Tokihiko Okada, General Manager di Kinki Fisheries melakukan pemeriksaan terhadap pertumbuhan 4,000 ekor bluefin tuna setiap hari. Mensasaran penghasilan separuh daripada permintaan tuna Jepun ia memerlukan 300,000 dan usaha akan terus dijalankan bagi mengurangkan tekanan kepada tuna di habitat liar.

Beitulah uniknya kisah yang melibatkan spesis ikan bluefin tuna ini yang mungkin lebih menjurus kepada spesies Atlantic bluefin tuna. Mujur usaha pantas yang dilakukan dapat memberikan hasil yang positif terhadap usaha mengelakkan kepupusan spesies ini. Namun begitu lautan merupakan tempat yang luas dan merupakan tempat kediaman pelbagai spesis yang penting. Semoga usaha pemuliharaan ini terus dilakukan untuk spesies-spesies yang lain juga.

Rujukan:
  1. Wikipedia – Atlantic bluefin tuna
  2. National Geographic
  3. National Geographic interactive
  4. Nat. Geo Video – Bluefin eating
  5. WWF
  6. Kinkin Fisheries, Kinki University
  7. Pbs.org

Free Download



Khamis, 18 Jun 2015

Mikro Post: Sunfish

Ikan 'sunfish' boleh mencapai saiz yang amat besar.

Sejenis ikan yang agak pelik dari segi bentuk namun boleh mencapai saiz yang amat luar biasa. Ikan ini mempunyai tabiat menjemurkan diri di permukaan laut yang menyebabkan ia juga dinamakan ‘sunfish’. Nama  saintifiknya adalah Mola mola dan antara spesiesnya adalah Masturus lanceolatus, Ranzania leavis dan juga Mola ramsayi.

Ikan ini amat istimewa kerana rupa bentuknya yang unik dan dengan sirip atas dan sirip bawah manakala ekornya kelihatan bagaikan terpotong. Saiznya yang direkodkan pernah mencapai sehingga 4.2 meter (14 kaki)  tinggi dan 3.1 meter (10 kaki) panjang dengan berat yang mencapai 2,268 kilogram (5,000 lb.). Adakalanya ia disalah anggap sebagai ikan jerung apabila sirip atasnya timbul ke permukaan. 

Ikan mola mendiami lautan tropika sehingga ke lautan bersuhu sederhana. Oleh kerana taburannya yang meluas ia mempunyai nama dari pelbagai bahasa dari Belanda-, Catalan-, Spanish-, Italian-, Russian-, Greek-, dan German- mengikut turutan berikut; maanvis, peixe lua, poisson lune, peix lluna, pez luna, pesce luna, рыба-луна, φεγγαρόψαρο and Mondfisch (atau ‘moon fish’).  Di dalam Bahasa German juga ia dikenali sebagai Schwimmender Kopf atau “swimming head” manakala dalam Bahasa Polish samogłów (head alone). Ia turut memunyai nama di bahagian Timur dengan namanya di dalam Bahasa China adalah  fan-che yu 翻車魚,yang membawa maksud “ikan roda rebah”.

Antara aktiviti kegemaran 'sunfish'.

Ikan ini mempunyai mulut seakan-akan paruh yang kecil dan menjadikan hidupan laut yang kecil sebagai makanan termasuklah obor-obor selain daripada ikan-kan kecil, zooplankton dan juga algae. Oleh kerana makanan pilihannya ini, ia sering membuat kesilapan – menjadikan plastik sebagai makanan kerana menyangkakan ianya adalah obor-obor. Ikan ini memerlukan sumber makanan yang banyak bagi mengekalkan saiznya yang besar.

Ikan mola ini tidak mempunyai pundi renang manakala ada yang menyatakan organ dalamannya mengandungi neurotixin, tetrodotoxin sama seperti organ yang terdapat pada tetraodoniformes (seperti ikan buntal), dan ada juga sumber yang menafikannya.

Spesimen tulang ikan M. mola.

Walaupun bersaiz besar, ikan mola tidak merbahaya kepada manusia, malah sering mendekati para penyelam. Namun begitu saiznya yang besar boleh mendatangkan bahaya kepada bot-bot kecil sekiranya ikan ini melompat ke atas bot. Kes-kes pelanggaran dengan ikan ini adalah perkara biasa di kawasan yang dihuni oleh ikan mola.

Ikan ini merupakan antara hidangan kegemaran bagi masyarakat Timur seperti Taiwan dan Jepun. Hampir kesemua bahagian ikan ini digunakan di dalam masakan dan ada juga bahagian yang digunakan untuk tujuan sebagai ubatan tradisional. Ikan ini adakalanya tersangkut pada pukat nelayan dalam industri ikan ‘swordfish’.

Manakala di sesetengah kawasan pula ada nelayan yang memotong sirip ikan ini kerana dikatakan mencuri umpan yang digunakan untuk menangkap ikan-ikan yang lain. Pemotongan siripnya menyebabkan ia tidak lagi dapat bergerak dan ikan akan mati kelemasan. Ini kerana penguat kuasaan undang-undang yang melindungi ikan ini tidak dilakukan.

Ikan 'sunfish' di Monteray Bay Aquarium, CA, United States.

Bagi yang ingin melihat ikan ini secara lebih dekat mungkin anda boleh menyelam bersama mereka di kawasan habitat mereka atau melawati akuarium yang turut menempatkan mereka sebagai sebahagian daripada koleksi. Antara akuarium yang memiliki ikan mola sebagai koleksi adalah, Kaiyukan Aquarium di Osaka yang memiliki spesis M. Mola. Ia juga terdapat di Lisbon Oceanarium di Portugal, Valencia Oceanogràfic di Spain, Nordsøen Oceanarium di Denmark dan juga di National Aquarium Denmark. Manakala ikan mola yang pertama ditempatkan di dalam akuarium di United States adalah di Monterey Bay Aquarium pada tahun 1986.

Ikan ini sukar disimpan di dalam akuarium kerana saiznya yang agak besar. Ia juga memerlukan penjagaan yang rapi memandangkan ia mudah dijangkiti parasit selain itu juga pergerakannya yang lebih perlahan menyebabkan persaingan untuk mendapatkan makanan berbanding ikan-ikan lain di dalam akuarium amatlah tinggi.

Begitulah antara keunikan ikan gergasi ini. Mungkin anda ingin sekali melihatnya namun ia adalah jauh lebih baik berada di tempat asalnya. Kemungkinan sekiranya kita terus menjaga laut daripada pencemaran plastik dan bahan buangan lain, ia mungkin akan terus kekal untuk tatapan semua dan generasi akan datang.


Free Download



Rabu, 17 Jun 2015

Mikro Post: Manta Ray

Manta Ray berenang bagaikan terbang di dalam air.

Manta Ray adalah antara ikan yang paling menakjubkan dan berenang bagaikan terbang di dalam air. Saiz Manta yang besar boleh mencecah sehingga 9 meter (30 kaki) dan berat sehingga 1,300 kilogram (2,980 lb). Manta akan terus berenang di dalam lautan dengan mulut yang terbuka dan menapis plankton yang menjadi sumber makanan utamanya.

Manta Ray mendiami perairan Tropika di seluruh dunia. Walaupun ia dari jenis ikan pari, ia tidaklah mempunyai sengat seperti ikan-ikan pari yang lain. Ikan ini juga tidak akan mencederakan manusia, namun sekiranya disentuh akan menyebabkan ‘mucus’ di badannya tertanggal – jadi elakkan mengusik haiwan ini secara berlebihan.


M.birostris yang didapati di perairan Ko Hin Daeng, Thailand.

Manta Ray berenang dengan pantas dan sering menghampiri pantai. Jadi mengenali spesies ikan ini mungkin sedikit sebanyak dapat mengelakkan daripada ianya dicederakan atau dibunuh. Ikan ini boleh mencapai usia sehingga 20 tahun. Kerana saiznya yang besar ia tidak sesuai dibela di dalam kurungan, melainkan di pusat akuarium dengan penjagaan professional.

Spesis Manta seperti Manta birostris (Giant Manta Ray) merupakan spesies yang bermigrasi dan akan melakukan perjalanan yang jauh merentasi lautan. Walaupun adakalanya berenang secara sendiri Manta Ray boleh berenang secara berkumpulan sehingga mencapai kepada bilangan 50 ekor.


Pandangan manta ray berenang dari bawah.

Manta Ray seperti juga ikan pari tidak mempunyai tulang seperti ikan-ikan lain tetapi rawan yang lembut. Spesies manta terkecil bersaiz 3 – 3.5 meter (10 – 11 kaki). Saiznya yang besar mungkin agak menakutkan bagi sesetengah orang, kerana ia mencapai saiz sebuah bot kecil. Sedangkan giginya yang tajam hanyalah digunakan untuk menangkap zooplankton yang kecil sebagai makanan.

Taburanya di lautan tropika adakalanya membawa sehingga jauh ke Utara seperti California dan New Jersey, di United States, Aomori Prefecture di Jepun, dan Semenanjung Sinai di Egypt (Mesir) dan Azores di Atlantik Utara. Manakala ke Selatan pula ia boleh pergi sejauh Peru, Uruguay, Afrika Selatan dan New Zealand.



Free Download



Arkib Blog