Sabtu, 2 Mei 2015

Bolehkah Daging Sintetik Menggantikan Daging Asli

Lab-grown burger
Daging burger yang dibiakkan di dalam makmal. 

Penggunaan bahan makanan yang diproses secara makmal sememangnya telah lama dijalankan, malah usaha untuk menggantikan sumber bahan makanan tanpa memerlukan penternakan ataupun pertanian juga serupakan salah satu daripada usaha dalam mengatasi keperluan manusia yang semakin bertambah.

Walaupun mendapat pelbagai reaksi samada positif mahupun negatif, ia merupakan satu usaha penting dalam memastikan satu hari nanti manusia tidak akan keputusan bahan makanan ataupun daripada mengelakkan sebarang kemungkinan terhadap industri penternakan atau pertanian seperti wabak dan sebagainya.

Beyond Meat - chicken strips
Daging tiruan daripada tumbuh-tumbuhan.

Daging tiruan yang sebelum ini cuba dihasilkan daripada bahan tumbuh-tumbuhan sehingga ada diantaranya yang mendapat sambutan hebat seperti Beyond Meat, yang menghasilkan daging dengan tekstur yang menyerupai daging ayam. Oleh kerana ia dihasilkan dalam persekitaran yang terkawal (persekitaran industri makanan), maka ia mempunyai kadar khasiat yang sekata tanpa penggunaan bahan-bahan penggalak seperti hormon, bebas penyakit, bersih, kurang lemak dan segala perkara yang terlibat dalam industri penternakan ayam.

Namun begitu penghasilan makanan yang sememangnya daripada daging yang dibiakkan di dalam makmal juga telah berjaya dijalankan. Berbeza daripada daging yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan yang hanya mempunyai rasa dan tekstur seperti daging (Beyond Meat), daging tiruan ini mempunyai sel-sel haiwan yang sebenar dan dihasilkan tanpa mengorbankan walau seekor haiwan pun.

Lab-grown process
Process pembiakan sel memerlukan peralatan dengan kadar yang tinggi.

Walaupun kaedah penghasilan daging tiruan ini bukanlah satu perkara yang baru namun masih belum ada penghasilan secara komersial dilakukan. NASA telah melakukan eksperimen semenjak tahun 2001, menghasilkan daging secara in vitro daripada ayam belanda. Hasil pertama yang boleh dimakan dihasilkan oleh NSRT/Touro Applied BiosCience Research Consortium pada tahun 2002: iaitu penggunaan sel daripada ikan emas untuk menghasilkan fish fillets.

Manakala baru-baru ini daging burger yang dihasilkan sepenuhnya di dalam makmal oleh Dr. Mark Post dan kumpulannya di Maastricht University daripada sel stem yang diambil daripada lembu. Sel ini dibiakkan di dalam serum untuk menghasilkan 20,000 rantaian sel otot/daging. Ia mengambil masa beberapa minggu sebelum ia boleh dikumpulkan dan diwarnakan menggunakan jus daripada beetroot dan juga saffron, serdak roti dan juga bahan untuk melengkapkan nya menjadi seketul daging burger.

Penghasilan daging di dalam makmal ini masih lagi di peringkat baharu. Keseluruhan kajian penghasilan daging burger ini menelan belanja yang amat tinggi iaitu €250,000 (£215,000) dan ditaja oleh salah seorang daripada pengasas Google iaitu Sergey Brin.

Memandangkan industri penternakan yang semakin terhimpit dengan isu-isu seperti kaedah penternakan yang menyiksa haiwan; kandang yang sempit, kotor serta pengurusan yang tidak teratur. Ini ditambah lagi dengan isu-isu lain seperti penggunaan hormon, makanan yang tidak sesuai, antibiotik serta lain-lain perkara yang menyebabkan bahaya kepada pengguna. Malah industri penternakan memerlukan sumber tenaga, kawasan dan kos yang tinggi – dan pada masa akan datang mungkin menjadi satu masalah yang besar.


Mungkin apa yang diketengahkan oleh Sergey Brin itu merupakan beberapa perkara asas yang menjadi kerisauan pada orang ramai dalam masa yang sama penajaan beliau tersebut mungkin membolehkan kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang potensi daging tiruan ini. Walaupun masih ada yang tidak dapat menerima daging tiruan ini, kemungkinan ia menjadi sumber makanan utama di masa hadapan adalah amat besar.



Free Download




Khamis, 30 April 2015

Hotel Yang Dikendalikan Oleh Pekerja Robot

Actroid Kokoro Robot
Beginilah wajah Actroid yang akan mengendalikan Hotel Henn-na.

Setelah sekian lama dunia robotik yang kita lihat daripada filem-filem animasi mahupun seperti yang dipaparkan di dalam filem-filem Holywood sejak beberapa dekad yang lalu kini semakin menjadi kenyataan. Sebuah hotel di Jepun yang akan beroperasi mulai musim panas ini akan menggunakan khidmat kakitangan yang terdiri daripada robot.

Hotel yang dikenali sebagai Henn-na Hotel itu akan menggunakan robot yang dari jenis ‘Actroid’ yang dihasilkan oleh Kokoro Company ltd. merupakan hasil kajian daripada Osaka University. Actroid merupakan versi robot setelah beberapa siri robot dihasilkan semenjak daripada tahun 2003 lagi. Kesesuaian penggunaan Actroid adalah kerana ini lebih mirip kepada fungsi-fungsi komunikasi yang lebih mirip kepada manusia. Selain direka menyerupai gadis Jepun yang berkemahiran bertutur beberapa bahasa iaitu Jepun, Cina, Korea dan Inggeris turut mampu memberikan reaksi tangan, mahupun tindak balas mata.


Antara robot dan wajah sebenar.

Hotel ini terletak di dalam taman tema Huis Ten Bosh di Selatan Bandar Nagasaki yang mempamerkan senireka bandar Belanda. Hotel ini nanti merupakan satu lagi daya tarikan tambahan kepada tarikan yang sedia ada di taman tema tersebut.

Melalui penggunaan tenaga robot ini, kos penginapan di hotel ini dikatakan lebih murah bermula daripada ¥7,000 semalam. Walaupun harganya semakin meningkat berikutan peningkatan tempahan melalui online harganya masih lagi murah berbanding dengan tiga lagi hotel yang berada di taman tersebut dengan harga bermula daripada ¥20,000 ke ¥30,000 semalam.

Pengurangan kos ini adalah kerana Hotel Henn-na bukan sahaja menggunakan tenaga robot malah turut menggunakan lampu daripada LED dan beberapa sumber tenaga boleh perbaharui yang mengurangkan kos operasi hotel tersebut.

Banyak lagi ciri-ciri keistimewaan lain yang akan digunakan untuk hotel ini termasuk sistem pengenalan wajah sebagai menggantikan penggunaan kunci. Para penghuni akan diberikan pilihan untuk fungsi ini – jadi mereka boleh memilih untuk mengaktifkannya atau menggunakan kunci seperti biasa.

Begitulah titik permulaan bagi penggunaan robot sebagai tenaga kerja menggantikan manusia. Sekiranya hotel ini berjaya, berkemungkinan besar tenaga pekerja manusia semakin kurang diperlukan. Walaupun begitu kita perlu bersikap positif terhadap kemajuan dan memberikan lebih ruang kepada teknologi dalam memberikan manusia lebih kemudahan.


Jepun yang suatu ketika dahulu popular dengan robot anjingnya iaitu AIBO yang dihasilkan oleh Sony Electronics dan ASIMO oleh Honda, kini Actroid pula yang dihasilkan oleh Kokoro menjadi satu fenomena baru dalam dunia robot. Inilah yang menarik di dalam dunia teknologi, iaitu perkembangan berterusan. Jadi pastikan imaginasi anda tidak menjadi sekadar angan-angan sahaja. 






MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Kisah di Sebalik Misi Menyelamatkan Teleskop Hubble

Hubble Telescope in Space
Telesskop Hubble telah berada di ruang angkasa selama 25 tahun.

Kejayaan Teleskop Hubble dalam memberikan gambaran yang jelas tentang fenomena di angkasa lepas amat dibanggai oleh semua. Namun selama usia Hubble berada di ruang angkasa dalam tempoh 25 tahun ini, kisah silamnya tidaklah berjalan dengan mudah. Mungkin tidak ramai yang masih ingat kisah yang berlaku 25 tahun dahulu sewaktu ia mula dilancarkan.

Sebaik sahaja sampai di ruang angkasa, Telekop Hubble mengalami pelbagai masalah termasuk sistem komunikasi, komponen dan elektronik. Malah kaca primanya juga dikatakan telah digilap sehingga hampir rata menjadikan ia tidak mampu memberikan fokus dengan berkesan.

Bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih seorang angkasawan yang juga merupakan saintis dan doktor iaitu Musgrave yang terlibat dalam pembinaan teleskop ini telah diberikan tugas yang paling mencabar – melakukan kerja-kerja membaik pulih di ruang angkasa. Musgrave bukan sahaja mengetahui setiap sistem malah setiap peralatan dan komponen; setiap panel, skru dan nut (beliau memiliki 7 ijazah, termasuk matematik dan perubatan).

Hubble repairing works
Kerja-kerja membaik pulih yang dijalankan.

Bagi memastikan perbelanjaan yang dikeluarkan untuk projek teleskop ini tidak sia-sia, kerja-kerja membaik pulih terus dirancang dan Musgrave diberikan tugas yang mencabar ini. NASA yang ketika itu masih lagi dibayangi dengan kejadian hitam peristiwa Challenger perlu memastikan Teleskop Hubble merupakan satu projek yang berjaya.

Sebagai sebuah projek yang terancang, sememangnya segala kemungkinan telahpun diberikan perhatian. Segala kemungkinan telahpun dibuat sebelum angkasawan-angkasawan dalam projek membaik pulih membuat persediaan yang rapi sebelum sedia dihantar ke ruang orbit untuk tugasan tersebut.

Latihan persediaan dijalankan iaitu latihan di dalam tangki air gergasi di Houston, Texas. Pada masa yang sama senarai kegagalan pada teleskop tersebut menjadi semakin panjang dan memerlukan kerja-kerja pembaikan yang banyak. Ini menjadikan kerja-kerja membaik pulih di ruang angkasa ini menajdi semakin mencabar dan komplek.

Kerja membaik pulih yang paling mencabar pernah dijalankan.

Para penyelamat ini berlepas ke angkasa pada 2 Decenber 1993. Terdapat 7 orang yang berlepas kesemuanya termasuk Musgrave dan angkasawan dari European SpaceAgency iaitu Claude Nicollier yang kemudiannya menggunakan lelengan robotik untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih teleskop tersebut.

Kerja-kerja membaik pulih ini dilakukan pada jarak 600 kilometer dari permukaan bumi. Keseluruhan kerja yang mengambil 35 jam 28 minit dalam 3 masa berlainan dilakukan secara berselang dengan beberapa angkasawan yang lain iaitu Hoffman, Kathyrin Thornton dan Tom Akers.

Memandangkan kepada hasil yang dihasilkan oleh Teleskop Hubble hari ini, kisah kerja-kerja membaik pulih ini semakin dilupakan. Ia bukan bermakna satu perkara yang negatif pada projek ini, tetapi ianya adalah keberkesanan perancangan dan pelan susulan yang dilakukan. Tiada siapa yang dapat menyangka dengan tepat sebarang kemungkinan yang akan berlaku di luar angkasa yang jarang-jarang diterokai. Kesungguhan dan ketelitian para jurutera, angkasawan dan seluruh ahli yang terlibat di dalam projek ini adalah penting. Sehubungan itu ia sepatutnya menjadi satu lagi inspirasi dalam menghasilkan satu lagi perkara yang menakjubkan.

Krew dalam STS-61 (kerja-kerja membaik pulih Hubble terdiri dari: Komander Richard O. Covey, Juruterbang Kenneth D. Bowersox, Komander Barangan F. Story Musgrave dan Pakar-pakar Kathryn C. Thorton, Claude Nicollier, Jeffrey A. Hoffman dan Tom Akers.


Free Download



Rabu, 29 April 2015

Kanak-kanak Pintar Jacob Bernett

Jacob Bernett
Jacob Bernett percaya setiap orang mampu memiliki kepintaran seperti beliau.

Kisah kepintaran Jacob Bernett sudah mendapat liputan yang meluas, namun di sini ingin dikongsikan sekali lagi sebagai peransang kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Dikesan sebagai Autism pada peringkat awal pembesarannya dia dikatakan tidak akan mampu belajar bercakap dan membaca – malah tidak tahu mengikat tali kasutnya. Sehingga kini Jacob kelihatan tidak mengikat tali kasut ketika hadir dalam ucapannya di TEDx.

Sebagai ibu bapa yang diberitahu mempunyai anak yang bermasalah sudah tentu akan merasa gelisah. Ibu bapanya yang kemudiannya mengambil keputusan untuk mengajar Jacob di rumah. Kisah bagaimana ibunya mengasuh Jacob ini dimuatkan dalam buku “The Spark: A Mother’s Story of Nurturing Genius”.

Kisah mengenainya bermula semasa dia berumur 8 tahun mengikuti kelas fizik di Indiana University. Manakala pada usia sembilan tahun pula telah membina siri model matematik yang membesarkan cabang teori relativiti Einstein dan ini turut mendapat perhatian professor daripada Princeton University. Pada usia 12 tahun pula dia dibenarkan menyertai universiti secara sepenuh masa dan menerbitkan kertas fizik pertamanya.

Jacob sewaktu muncul di TEDx.

Kanak-kanak pintar ini sangat tertarik dengan subjek matematik dan sains. Perbezaan yang ketara pada Jacob hanyalah minat  dan tumpuannya pada subjek yang digemarinya. Berkata di TEDx bahawa setiap orang mampu memiliki kemampuan seperti beliau sekiranya tumpuan pemikiran tersebut diberikan.

Berikutan minat mendalam itulah, Jacob menukarkan bilik di rumahnya menajdi makmal – melalui duit yang dimenanginya dalam pertandingan. Malah di kelihatan akan menulis formula matematik/fizik hampir di setiap ruang kosong di rumahnya sehingga ke tingkap.


Jacob, kanak-kanak istimewa.

Kisah mengenai jacob Bernett ini boleh diikuti dari beberapa artikel tersedia di internet dan video-video di You Tube serta TEDx. Bukanlah mudah untuk menerima apa yang pada awalnya diberitakan oleh para doktor mengenainya – namun begitu dengan ketabahan ibu bapanya dalam usaha memberikannya yang terbaik telah membuahkan hasil. Satu yang perlu diingat – Setiap manusia adalah istimewa. 






MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Isnin, 27 April 2015

Kuching oh Kuching


Sarawak River
Keindahan menyusuri Sungai Sarawak.

Kuching merupakan salah sebuah bandar yang menarik untuk dikunjungi, yang juga merupakan bandar utama bagi negeri Sarawak. Sebagai jalan masuk utama ke negeri ini, Kuching sudah semestinya menjadi tumpuan utama bagi para pelancong untuk singgah sebelum meneruskan perjalanan mereka ke tempat-tempat lain yang menarik di seluruh Negeri Sarawak.

Pengalaman ringkas berkunjung ke Kuching memberikan sedikit sebanyak gambaran tentang keindahan dan kemajuan Bandar Kuching. Namun begitu terdapat beberapa kekurangan yang seharusnya diberikan tumpuan oleh pihak pentadbir negeri, bagi memastikan bandar istimewa ini sentiasa memberikan para pengunjung kepuasan seperti yang diharapkan ketika berada di sini.

Kepesatan Bandar Kuching pintu masuk ke Sarawak.

Keseluruhan Bandar Kuching sememangnya sudah tersedia prasarana yang lengkap untuk para pelawat mendapat kepuasan ketika melawat ke bandar ini. Sejak sekian lama, Bandar Kuching telah diperlengkapkan dengan pusat-pusat lawatan yang menarik dan kemudahan-kemudahan asas yang lain seperti hotel, pusat penjaja, kemudahan pengangkutan udara, darat dan air, terutama bagi menyeberangi Sungai Sarawak yang merentasi tengah bandar ini.

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan tempat-tempat pelancongan sudah semestinya, Bandar Sarawak perlu berada di dalam keadaan yang sentiasa bersedia untuk menyediakan pelancong-pelancong yang singgah di sini, satu pengalaman yang menarik samada sebelum meneruskan perjalanan atau sebelum pulang ke tempat masing-masing.

Muzium-muzium di sekitar Bandar Kuching

Komplek Tun Jugah di mana Muzium Pua Kumbu terletak.

Bandar Kuching menyediakan beberapa Muzium menarik untuk dikunjungi, daripada Muzium Negeri sehinggalah kepada Muzium Cina yang diselenggarakan sendiri daripada sumbangan orang ramai. Walaupun Muzium Negeri Sarawak mempunyai bahan pameran yang agak unik dan menarik, namun ianya agak hambar ketika saya mengunjunginya. Pada masa yang sama, dengan penutupan bangunan muzium-muzium lama, mengurangkan lagi tarikan yang ada di sini.

Satu lagi keunikan muzium di Bandar Kuching yang cuba dikunjungi adalah, Muzium Phua Kumbu yang terletak di Komplek Tun Jugah di Jalan Tunku Abdul Rahman. Sayang sekali muzium ini kurang diketahui oleh penduduk bandar ini sendiri. Manakala ia hanya dibuka pada hari biasa (Isnin-Jumaat) sahaja - agak mengecewakan bagi saya yang berkunjung pada hari minggu.

Civic Centre

Keindahan senibina Civic Center, hanya menjadi tatapan sahaja.

Bangunan yang memiliki senibina yang menarik ini direka bagi menyediakan ruang pandang 360° Bandar Kuching dari atas, sama seperti Menara Kuala Lumpur. Ia juga menyediakan pusat pameran Planetarium antara yang terawal di negara kita. Ia juga mengalami nasib yang sama iaitu, hanyalah tinggal kenangan. Pusat yang bukan sahaja menyediakan bahan pendidikan dan tarikan pelancongan ini, tidak lagi diberikan perhatian seperti mana yang sepatutnya.

Mujur masih terdapat beberapa tarikan yang masih bertahan dan mungkin tidak seceria seperti mana yang sepatutnya, seperti Kuching Water Front, Taman Orkid, My Village Baruk Restaurant, River Cruise, bangunan-bangunan lama dan mungkin beberapa tarikan lagi.

Amat dirasai pengalaman berjalan di hujung minggu di Kuching Water Front, tidak semeriah seperti di mana-mana pusat tumpuan pelancongan yang lain. Ini memberikan impak yang amat tinggi kepada para peniaga mahupun pengusaha-pengusaha lain yang mengharapkan pengunjung dari dalam dan luar negara.


Walaubagaimanapun kunjungan ke Kuching masih memberikan serba sedikit pengalaman menarik kerana banyak memberikan pengalaman baru. Adalah lebih baik lagi sekiranya, semua tarikan yang sedia ada dapat dikekalkan dan diperbaiki bagi memastikan para pengunjung merasa puas dengan kunjungan mereka disamping serba sedikit menjana pendapatan peniaga-peniaga di sekitar Bandar Kuching.


Free Download



Ahad, 26 April 2015

Taman-taman Terbaik di Dunia

Versailles Garden, France
Versailles Garden, France sebuah taman yang amat cantik.

Taman-taman terbaik di dunia merupakan taman yang bukan sahaja menyediakan suasana pemandangan yang cantik untuk dinikmati, namun turu menyediakan penyelidikan tentang penanaman mahupun potensi tumbuh-tumbuhan untuk tujuan komersil atau perubatan. Kejayaan taman-taman ini bukan sahaja dalam membiakkan tumbuh-tumbuhan dari luar kawasan di mana aman ini dibina – malah suatu masa dahulu bertanggungjawab memindahkan beberapa spesis tumbuhan yang kini menjadi sumber ekonomi di beberapa negara.
Bagi memiliki taman yang lengkap dengan spesis tumbuh-tumbuhan disamping susun atur yang menarik, senireka taman dirancang dengan teliti. Malah terdapat juga taman yang telah beroperasi sejak ratusan tahun – dan masih bertahan sebagai taman yang terulung dunia. Berikut adalah beberapa taman yang ternama di dunia yang pastinya menjadi tumpuan para peminat tumbuh-tumbuhan.




Kew Gardens merupakan antara taman tertua di dunia  dan masih aktif menjalankan penyelidikan dan juga pembiakan tumbuh-tumbuhan dari serata dunia. Tenaga pakar yang dimiliki oleh Kew Gardens sejak ratusan tahun dahulu terus dipertingkatkan mengikut kemajuan dunia sains. Maka tidak hairanlah mengapa ia sentiasa dianggap sebagai taman terbaik dunia.

Bermula pada tahun 1759 oleh Puteri Augusta, ibu kepada King George III yang membuka tanah seluas 3.6 ha di White Lodge, Richmond. Namun hari ini taman ini telah mencapai keluasan 132 ha (326 ekar) dan mengandungi lebih daripada 50,000 spesis tumbuhan yang berbeza. Selain daripada dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan unik, Kew Gardens juga dilengkapi dengan pelbagai binaan menarik – menjadikan ia satu taman yang cantik untuk dilawati. Samada anda ke sini untuk mempelajari mengenai tumbuh-tumbuhan atau menikmati keindahan taman ini, lawatan ke sini sememangya akan menguntungkan.

Kew Gardens merupakan nama yang popular dalam membantu menyebarkan benih-benih tumbuhan seperti getah, kelapa sawit, koko, teh dan sebagainya ke seluruh dunia. Ia juga aktif dalam usaha memulihara spesis-spesis terancam dan kajian tentang khasiat tumbuh-tumbuhan.

Keukenhof Gardens, The Netherlands



Berbeza dengan Keukhenhof Gardens yang sememangnya menumpukan kepada keindahan bunga tulip yang berwarna-warni. Pada setiap musim bunga sekitar 7 juta bunga tulip akan mengeluarkan bunganya di sini. Tedapat sekitar 800 jenis bunga tulip pula yang akan memberikan anda pemandangan yang menarik di sekitar taman ini.

Selain daripada bunga-bunga menrik tersebut, taman ini jug menjalankan acara-acara menarik di taman yang berkeluasan 32 ha. Terdapat beberapa bahagian di dalam taman ini untuk memberikan suasana berbeza bagi setiap bahagian. Terdapat cafe-cafe dan restoran di sekitar taman di mana anda boleh menikmati pemandangannya samada dengan menggunakan basikal ataupun boat.

Suan Nong Nooch, Thailand



Terletak di kilometer 163 Sukhumvit Road di Daerah Chonburi, Thailand. Kawasan yang pada mulanya dibangunkan untuk tujuan pertanian ini kemudiaannya ditukarkan kepada tumbuh-tumbuhan tropika dan kawsan pemuliharaan haiwan liar. Mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 1980. Ia merupakan pusat kajian saintifik bagi tumbuhan spesis Cycad dengan ‘Cycad Gene Bank’nya sendiri.

Taman ini juga mempunyai bahagian-bahagian yang menarik untuk dipertontonkan seperti French Garden, European Garden, Stonehenge Garden, Cactus dan sebaginya. Selain daripada tumbuh-tumbuhan menarik di taman ini, ia juga dipenuhi dengan senibina Thailand yang pastinya memukau.

Versailles Garden, France



Merupakan taman yang diasaskan oleh Raja Perancis iaitu King Louis ke-14 pada tahun 1661. Melalui perubahan yang dilakukan kepada taman ini dengan mendapatkan khidmat yang terbaik dari para arkitek, pelukis dan pereka taman dalam usahanya menjayakan Château de Versailles dengan taman yang menakjubkan.

Mempunyai keluasan 800 ha., taman ini mempunyai kira-kira 200,000 pokok dan 210,000 bunga yang ditanam setiap tahun. Keseluruhan taman yang berkonsepkan klasik French Garden ini adalah hasil kerja oleh André Le Nôtre. Malah antara pereka-peraka lain yang terlibat termasuklah Louis Le Vau, Jules Hardouin-Mansart dan Charles Le Brun.

Ia menerima kunjungan lebih daripada 6 juta pengunjung setiap tahun. Sepanjang pembinaan taman bersejarah ini ia turut diabadikan di dalam lukisan-lukisan yang menarik oleh para pelukis. Selain itu juga ia telah melalui pelbagai perubahan dalam tempoh ratusan tahun.

Butchart Gardens, Canada



Terletak di Brentwood Bay, British Columbia, Canada. Ia bermula apabila Robert Pim Butchart (1856 – 1943) yang berpindah ke sini untuk tujuan mencari kawasan yang kaya dengan batu kapur untuk tujuan penghasilan simen Portland.

Mereka mendirikan kediaman di sini pada tahun 1904 dan kemudiannya mula membina sedikit-demi sedikit taman di persekitaran rumah tersebut. Ia turut mendapatkan khidmat daripada Isaburo Kishida dari Yokohama untuk membina taman teh pada tahun 1907. Apabila kuari tersebut semakin kekurangan batu kapur ia terus ditukar kepada taman.

Semakin banyak perubahan dilakukan kepada taman ini yang kemudiannya hannya menjurus kepada sebuah taman untuk kunjungan orang ramai. Taman ini mendapat perhatian oleh bukan sahaja para pengunjung malah daripada badan-badan pelancongan yang lain.

Desert Botanical Gardens, Phoenix, Arizona



Taman yang pada mulanya diasaskan oleh sebuah persatuan iaitu Arizona Cactus and Native Flora Society pada tahun 1937. Hari ini taman ini mempunyai keluasan 140 akar (57 ha.) dan memuatkan lebih daripada 21,000 pokok dengan lebih daripada 4,000 taxa di mana satu pertiga daripadanya adalah tumbuhan tempatan, manakala 139 spesis jarang ditemui, terancam ataupun hampir pupus.

Sebagai taman yang menjurus kepada tumbuhan gurun, ia bukan sahaja menyediakan lawatan kepada orang ramai malah menjadi satu pusat penting dalam pemuliharaan tumbuh-tumbuhan bagi kategori tersebut dengan kemudahan seperti barium, perpustakaan, makmal, pusat pemuliharaan tumbuhan dan juga kemudahan pusat kajian.

Yuyuan Garden, China



Yuyuan Garden, mungkin merupakan antara taman tertua yang masih kekal hingga ke hari ini di mana ia mula dibina semasa Dinasti Ming (1368 – 1644 AD). Taman yang melalui pelbagai perubahan zaman dan kaya dengan sejarah ini hampir-hampir musnah keseluruhannya melalui beberapa perang yang melanda kawasan ini. Namun ia tetap menjadi salah satu taman yang dipelihara oleh pihak pentadbiran Shanghai dan membukanya semula kepada orang ramai pada tahun 1961.

Walaupun hanya mempunyai keluasan seluas 2 ha (5 ekar), taman ini bericirikan taman Cina yang penuh dengan sejarah dengan binaan-binaan bangunan dan kolam-kolam ikan. Selain daripada mendamaikan, taman ini merupakan taman yang unik untuk dikunjungi.

Fairchild Tropical Botanic Garden; Coral Gables, Florida



Taman yang menjurus kepada pemuliharaan tumbuhan tropika ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan selain menyediakan kemudahan lawatan kepada orang ramai. Tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sini adalah di kumpulkan daripda kawasan Selatan Florida, Caribbean, Oceanic Island, kawasan tropika lain seperti Afrika dan Madagascar. Taman ini juga merupakan pusat kajian tumbuhan palma dan telah menjalankan kajian tersebut hampir 70 tahun.

Banyak aktiviti dijalankan oleh taman ini selain daripada lawatan sahaja. Ini termasuk keahlian, program pendidikan, penglibatan sukarelawan, aktiviti bermusim, penerbitan majalah, kajian tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Ia disertai oleh 45,000 ahli dan dibantu oleh 1,200 orang sukarelawan dalam mengendalikan misinya dalam pemeliharaan tumbuh-tumbuhan.

Taman ini berkeluasan 83 ekar (34 ha) dilengkapi dengan muzium, makmal, pusat pendidikan, dan kemudahan-kemudahan lain. Mula dibuka pada tahun 1938 oleh pemiliknya iaitu Robert H. Montgomey (1872 – 1953) yang menamakan taman tersebut sempena nama kawan baiknya David Fairchild (1869 – 1954) yang banyak membawa tumbuh-tumbuhan yang terdapat di taman tersebut.

The Garden of Cosmic Speculation – Scotland



Taman unik ini adlah berilhamkan kepada matematik dan sains yang digabungkan bersama tumbuhan dan tasik buatan. Ia adalah milik arkitek landskap Charles Jenks di rumahnya di Portrack House, Dumfries, Scotland pada tahun 1989.

Mempunyai keluasan 30 ekar (12 ha.) taman ini dipenuhi dengan arca-arca yang melambangkan fenomena seperti Black Holes dan pecahan. Walaupun tidak dipenuhi dengan tumbuhan ataupun bunga-bungaan ia lebih menekankan kepada formula matematik dan fenomena-fenomena lain di dalam alam semesta.

Sebagai taman milik persendirian, ia hanya dibuka sehari dalam masa setahun bagi mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada Maggie Centre, iaitu sebuah badan amal yang dinamakan sempena mendiang isteri beliau sendiri iaitu Maggie Keswick Jencks.

Jardin Majorelle, Marrakech, Morocco




Taman yang jauh berbeza dari taman-taman yang lain kerana ia adalah hasil daripada seorang pelukis perancis Jacques Majorelle pada tahun 1920. Keseluruhan taman ini rata-ratanya menggunakan warna biru termasuk bangunan utama yang dinamakan, bleu Majorelle.

Ia menjadi salah satu tempat lawatan yang terkenal di Morocco. Di mana Jacques Majorelle (1886 – 1962) menghabiskan hampir 40 tahun untuk menyempurnakan tamannya ini merupakan nak kepada pereka perabot terkenal Louis Majorelle. Berminat dalam bidang lukisan membawa Jacques Majorelle mengembara ke Spain, Itali dan kemudiannya ke Egypt sebelum beliau ke Morocco.

Pembinaan tamannya mengambil masa yang agak lama dan mempunyai sejarah yang tersendiri. Hari ini taman ini dimiliki oleh Yves Saint-Laurent dan Pierre Bergé semenjak tahun 1980 dalam usaha beliau menyelamatkan taman tersebut daripada ditukarkan menjadi kawasan hotel dan perumahan.


Begitulah di antara beberapa taman yang terkenal di serata dunia dengan pelbagai keunikan masing-masing. Selain daripada menyediakan pemuliharaan, pusat pembiakan dan pameran, juga terdapat taman yang penuh dengan sejarah serta kisah-kisah tersendiri yang menyentuh perasaan. Semoga dengan ini sedikit sebanyak bukan sahaja memberikan anda idea untuk lawatan malah mungkin juga untuk lebih menghargai taman-taman yang terdapat berhampiran kita.



Free Download



Arkib Blog