Sabtu, 4 April 2015

Haiwan-haiwan Bertukar Warna

chameleon
Selebriti yang paling terkenal dalam dunia 'camouflage'.
(Credit: Michel C Milinkovitch)

Keunikan haiwan yang mampu menukar warna samada mengikut persekitaran mahupun dalam berhadapan dengan sesuatu situasi amat menarik untuk diperhatikan. Banyak perkara yang boleh dipelajari dari haiwan-haiwan ini dan manfaatnya kepada manusia di masa-masa akan datang.

Jika diperhatikan dengan terperinci, terdapat banyak haiwan yang mampu menukar penampilan mereka dalam berhadapan dengan sesuatu situasi. Selain daripada bertukar warna, haiwan seperti kumpulan sotong (cephalopod) menukar fizikal mereka yang akan menyerupai persekitaran. Haiwan-haiwan lain pula akan menukar warna bulu-bulu mereka mengikut musim.

Kepantasan haiwan-haiwan ini bertukar warna juga berbeza-beza mengikut spesies. Sotong antaranya merupakan haiwan yang mampu menukar warna dan fizikalnya dengan pantas sekali. Manakala sesumpah (chameleon) akan mengambil masa beberapa minit untuk bertukar (atau lebih pantas). Berbeza pula dengan haiwan-haiwan seperti ‘ptarmigan dan ‘snowshoe hare pula akan bertukar mengikut musim - kitaran empat musim.

Maka dengan itu, kemahiran bertukar warna dan fizikal ini merupakan salah satu ciri-ciri yang dimiliki oleh banyak hidupan di bumi. Walaupun dengan kaedah yang berbeza, namun tindakan menukar fizikal dan rupa ini adalah satu kemahiran penting di dalam alam terutamanya bagi haiwan yang bersaiz kecil dan sederhana. Tanpa kemahiran ini adalah sukar untuk mereka dalam mendapatkan makanan atau mengelakkan diri dari ancaman musuh.

Berikut adalah beberapa jenis haiwan yang boleh bertukar warna;

Sesumpah – terdapat banyak jenis sesumpah (chameleon) yang boleh hidup di kawasan bersuhu panas dari Afrika, Madagascar, Selatan Eropah, Selatan Asia sehingga ke Sri Lanka. Ia berbeza dengan spesies cicak kecil yang juga boleh bertukar warna yang dikelaskan sebagai anoles – namun ia juga dikenali oleh masyarakt tempatan (Malaysia) sebagai sesumpah.

Cuttlefish
Sotong merupakan haiwan yang paling mahir menukar warna dan fizikal.

Sotong – sotong terdiri dari satu kumpulan pelbagai spesies yang besar dikenali sebagai Cephalopod – ini termasuklah octopus, squid dan juga cuttlefish (nama umum bagi kesemua spesies ini adalah sotong bagi masyarakat Malaysia). Bagi haiwan-haiwan ini pula, kemahiran mereka dalam menukar warna dan fizikal menyerupai persekitaran adalah amat hebat sekali. Pertukaran ini mengambil masa amat singkat dengan kesan yang paling efektif. Selain untuk berburu, pertukaran warna ini juga sering digunakan dalam berinteraksi antara mereka.

Flounder
Ikan 'flounder' dan persekitaran yang sama.

Ikan – terdapat juga jenis-jenis ikan yang boleh menukar warna mereka antaranya adalah ikan sebelah (flounder) dan juga ikan dari kumpulan acanthuridae yang mendiami kawasan terumbu karang. Ikan flounder memburu di perairan cetek dan kemahirannya menukar warna membantunya untuk memburu dan daripada dilihat dengan mudah oleh musuh – namun begitu ia sering menjadi mangsa kepada burung helang.

Burung – Burung dari  spesies ptarmigan juga bertukar warna mengikut musim. Oleh kerana ia tidak berpindah seperti brurung-burung lain, kemahirannya menukar penampilannya mengikut persekitaran ini membantu untuk ptarmigan terus mendapat makanan dan perlindungan.

Snowshoe hare
Snowshoe hare pada musim sejuk.

Mamalia – bagi sesetengah mamalia kecil seperti snowshoe hare, Alaskan hareArctic hare dan juga stoat mengubah warna bulu mereka seperti juga ptarmigan untuk menyerupai persekitaran yang putih pada musim sejuk. Perubahan ini penting bagi mengelakkan ia mudah dikesan dalam persekitaran yang memudahkan mereka untuk dilihat.

Amfibia – beberapa jenis katak juga mempunyai kemahiran menukar warna dan yang paling dikenali adalah gray tree frog. Berbeza dengan katak-katak lain, ia menghabiskan masa berada di atas pokok. Oleh kerana terdedah kepada pemangsa – kemahiranya bertukar warna amat membantu untuk mengelakkan serangan musuh.

Golden tortoise beetle
Kepelbagaian warna 'golden tortoise beetle'.

Serangga – selain daripada kumpulan hidupan yang disebutkan di atas. Serangga juga tidak ketinggalan dalam memiliki kemahiran menukar warna ini. Terdapat beberapa spesies labah-labah dan juga kumbang yang boleh bertukar warna. Serangga seperti golden tortoise beetle misalnya mempunyai keunikan bertukar warna mengikut musim atau apabila diganggu.


Jadi itulah dia sebahagian daripada hidupan yang mempunyai kemahiran dalam menukar warna dan fizikal mereka untuk pelbagai tujuan. Sekiranya anda rasakan ia merupakan kemahiran yang hanya dimiliki oleh segelintir hidupan sahaja, maka dengan ini dapat menambahkan lagi pandangan anda kepada skop yang lebih luas. Walaupun sesumpah merupakan haiwan yang paling popular dalam dunia penukaran warna – kumpulan sotong masih lagi merupakan juara dalam pertandingan ini.








Free Download



Khamis, 2 April 2015

Mikro Post; Archerfish

banded archer fish
Archerfish bukan sahaja cantik tetapi pembunuh berkemahiran tinggi.

Archerfish juga dikenali sebagai ikan sumpit atau ikan pemanah yang mendiami persisir air payau dan berhampiran dengan laut. Ikan ini terkenal dengan kemahirannya memanah serangga yang hinggap di dedaun berhampiran gigi air. Lantaran kemahiran ini ia sering dijadikan kajian malah juga turut menjadi buruan utama peminat ikan hiasan.

Archerfish boleh didapati daripada beberapa kawasan asalnya iaitu di India, Asia Tenggara, Australia dan Barat Pacific. Tergolong dari keluarga Toxotodae dari satu genus sahaja dan terdapat 7 spesis. Oleh kerana ia jarang dibiakkan di dalam akuarium ikan yang terdapat di pasaran adalah ikan yang ditangkap dari habitat liar. Ikan ini mempunyai saiz yang sederhana iaitu antara 5 – 10 cm dan spesis T. Chatareus boleh mencapai sehingga 40 cm (16 in.).

archerfish in group
Panahan archerfish yang tepat dalam jarak 1 - 2 meter.

Keistimewaan ikan ini yang paling dikenali adalah kemampuannya menyumpit air sehingga ketinggian mencecah 5 m (16 kaki) dan memanah serangga sehingga ketinggian 1 -2 m (3 – 6 kaki) dengan tepat. Ketepatan inilah yang menjadikan ikan sumpit sebagai pemburu serangga yang paling berkesan malah turut digunakan di Kew Garden sebagai pengawal serangga di dalam kolam-kolam teratainya. Selain memburu menggunakan sumpitan, ikan pemanah juga boleh melompat untuk menyambar terus mangsanya sehingga ketiggian 30 cm dari permukaan air.

Ketepatan sumpitan ikan archerfish sebenarnya adalah berasal daripada kemahiran yang dilatih ikan itu sendiri. Ini kerana ia perlu mempelajarinya sedari kecil iaitu apabila berukuran 2 – 3 cm panjang. Semasa mula menggunakan sumpitannya – ketepatan sumpitan tersebut amat jauh berbanding dengan ikan-ikan dewasa yang mahir. Ini kerana kesan biasan air dan jarak seranggan yang berada di dedaunan perlu diukur dengan tepat bagi memastikan sumpitan yang berjaya.

archerfish leap
Archerfish juga boleh melompat menyambar mangsa.

Menurut pengkaji daripada University of Bayreuth di Germany, iaitu Stefan Schuster yang melatih ikan-ikan pemanah ini dari jenis Toxotes jaculatrix dan merakamkan aksi panahan ikan dengan kamera berkelajuan tinggi mendapati sumpitan ikan ini mempunyai kemampuan untuk menumpukan seluruh daya panahan air tersebut apabila tepat mengenai sasaran.

Perkara ini dilakukan dengan mengawal bentuk bukaan mulutnya sewaktu membuat sumpitan. Sekiranya tekanan air ini difokuskan lebih awal ia akan pecah sebelum mengenai sasaran.  Jadi inilah kemahiran yang dipelajari ikan-ikan pemanah sedari kecil bagi menjadi pemburu pemanah yang berkesan.


Sekiranya anda berfikir ikan-ikan ini sememangnya mahir memanah adalah amat tidak tepat. Haiwan juga sebenarnya perlu berusaha keras untuk menguasai kemahiran dalam kehidupan dan bagi yang gagal, keputusannya jelas. Mangsa!...


*ikuti video berikut dimana ikan pemanah (archerfish) ini belajar menggunakan sumpitan jet airnya.







Free Download



Rabu, 1 April 2015

Keenakan dan Keunikan Umai


Umai Sarawak
Umai tetap menjadi makanan unik masyarakat Sarawak.

Umai merupakan makanan tradisi Kaum Melanau di Sarawak. Merupakan antara makanan tempatan yang paling popular kerana keunikannya. Walaupun menggunakan bahan yang ringkas, umai tetap merupakan makanan yang sering dikaitkan dengan Bumi Kenyalang, ini kerana ianya tidak terdapat di tempat-tempat lain.

Umai disediakan dengan bahan utamanya iaitu ikan segar (ikan kembung ataupun bawal), cili besar atau cili padi, bawang merah, halia dan garam. Bahan-bahan lain juga boleh ditambah mengikut kesesuaian.

Longest Umai
Umai terpanjang yang disediakan di Dalat, Sarawak.

Sehingga hari ini umai merupakan antara makanan yang disediakan di seluruh Sarawak dan tidak lagi hanya menjadi hidangan unik Kaum Melanau. Keenakan makanan ini ditambahkan lagi dengan sumber makanan laut segar yang mudah didapati di Sarawak. Walaupun negeri ini semakin meningkat dengan arus permodenan, makanan tradisi istimewa ini tetap menjadi kebanggaan masyarakat di Sarawak.


Pada tahun 2012 umai terpanjang disediakan semasa pesta ‘Masihkah Kau Ingat’ di Dalat, dengan kepanjangan mencecah sehingga 170.3 meter. Ia merupakan penghargaan masyarakat di sini yang menganggap umai merupakan salah satu makanan yang melambangkan identiti negeri.



Free Download



Ahad, 29 Mac 2015

Mikro Post; Formula One 2015

Mercedes AMG Petronas F1 car
Kerata yang digunakan oleh Mercedes AMG Petronas F1 bagi tahun 2015.

Formula One merupakan sukan permotoran yang terpaling berprestig di dunia dan disertai oleh nama-nama besar dalam sector teknologi pembuatan kereta. Dikelolakan oleh Fédération Internationale de l'Automobile (FIA) dalam menentukan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh setiap peserta yang juga dinamakan sebagai “formula”. Bagi setiap musim perlumbaan setiap pasukan akan menyertai beberapa siri perlumbaan di serata dunia dan mengumpulkan mata kemenangan bagi menentukan pasukan yang akan muncul sebagai juara.

Bagi pengeluar-pengeluar kereta pertandingan Formula One merupakan tempat membuktikan kehebatan teknologi masing-masing, walaupun terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kemenangan – namun kemengan di dalam Formula One adalah tidak ternilai. Kemenangan di dalam perlumbaan ini tetap dianggap sebagai salah satu bukti penting kemampuan sesebuah pengeluar kereta (pembina teknologi engin).

Mercedes PU106B Hybrid
Enjin kereta F1 2015 - Mercedes PU106B Hybrid

Kereta Formula One merupakan kereta yang terpaling laju di litar dengan kemampuan mengambil selekoh dalam kelajuan yang tinggi melalui rekabentuk yang aerodynamic yang menghasilkan daya tujahan kebawah (downforce) yang tinggi. Mampu mencapai kelajuan yang tinggi iaitu sehingga 360 km/h (220 mph) dengan engin yang perlu mematuhi syarat tidak melebihi 15,000 RPM (dari tahun 2014).

Bagi tahun 2015 syarat-syarat yang lebih ketat dikenakan berbanding tahun 2014 yang juga mencabar setiap pasukan. Ia merupakan tahun ke-2 kereta Formula One menggunakan engin V6 berbanding dahulunya yang membernarkan kereta-kereta menggunakan V8. Setiap pasukan juga hanya dibernarkan menggunakan sehingga 4 Power Unit untuk keseluruhan musim berbanding 5 bagi tahun 2014. Bagi tahun ini juga berat kereta yang dibenarkan adalah 702kg berbanding pada tahun 2014 iaitu 691kg sahaja.

Walaupun peraturan banyak diberikan kepada rekabentuk enjin dan fizikal kereta, namum peraturan pertandingan juga tidak kurang ketatnya. Disepanjang perlumbaan setiap pasukan perlu memastikan setiap peraturan sentiasa dipatuhi bagi mengelakkan denda – dan ini akan mengurangkan peluang untuk pasukan tersebut muncul juara.

Sepang circuit
Litar Formula One di Sepang, Malaysia.

Bagi pasukan yang muncul pada tahun 2014 iaitu Mercedes AMG Petronas F1 Team dengan pemandunya Lewis Carl Davidson Hamilton diharap dapat mengekalkan sekali lagi kejuaraan tersebut pada tahun ini. Melalui kemenangan pada permulaan di ‘The Australian Grand Prix’ dan berlangsungnya ‘Malaysian Grand Prix’ di Sepang, Malaysia beliau diharap dapat terus mengekalkan lagi prestasi tersebut di 17 litar yang berikutnya.

** video penerangan mengenai peraturan Formula One - 2014.





MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Facebook dan Internet Untuk Semua


Facebook Aquila
Pesawat terbang Aquila yang akan memancarkan internet dari udara oleh Facebook.

Facebook bukanlah satu-satunya syarikat yang berusaha untuk menyediakan perkhidmatan internet kepada mereka yang tinggal di kawasan-kawasan yang sukar mendapat liputan internet. Ini kerana internet menyediakan satu kaedah perhubungan penting yang dapat membuka kepada banyak peluang yang baik untuk diterokai.

Sehubungan itu baru-baru ini CEO Facebook iaitu Mark Zukerberg sendiri telah menyesahkan bahawa drones yang dikhaskan untuk memancarkan internet ke kawasan-kawasan di luar liputan telahpun diuji dengan jayanya. Perancangan ini yang pertama kalinya disarankan pada Mac 2014. Sehubungan itu hasrat beliau untuk melihat kawasan-kawasan yang tidak mendapat liputan internet mungkin akan berhasil.

Aquila 2014
Gambaran Aquila pada tahun 2014.

Drones yang dikhaskan sebagai pemancar ini mempunyai keluasan sayap yang melebihi Boeing 737 namun mempunyai berat yang kurang daripada sebuah kereta. Manakala ia akan beroperasi pada ketinggian 60,000 kaki (18,288 meter) dan mampu terbang untuk tempoh selama sebulan untuk satu-satu masa. Pengumuman yang dibuat baru-baru ini di Internet.org adalah untuk mengumumkan percubaan tersebut yang dilakukan di UK.

Drones yang dinamakan Aquila ini mempunyai persamaan dengan Solar Impulse 2 yang melakukan penerbangan mengelilingi dunia (dengan membawa penumpang) baru-baru ini. Kedua-kedua kapal tersebut mempunyai rekabentuk seakan-akan sama dimana panel-panel solarnya memenuhi bahagian sayap kapal tersebut.

Google Loon
Belon Goole untuk Projek 'Loon'.

Sementara itu beberapa syarikat lain juga turut berhasrat menyediakan perkhidmatan yang sama antaranya SkyOrbiter yang dilancarkan oleh Quarkson yang juga akan menggunakan teknik UAV (Unmanned Aeriel Vehicle) dalam memancarkan internet daripada udara. Sebuah lagi syarikat komunikasi gergasi yang tidak ketinggalan adalah Google yang menggunakan belon dengan projek yang dikenali sebagai “Project Loon”. Antara lain Google telah berjaya melancarkan belon-belon tersebut untuk perjalanan sejauh 20,000 km (12,400 mi) dari New Zealand ke Australia – melalui pusingan yang jauh.


Project loon - works
Gambar bagaimana 'Project Loon' berfungsi.

Namun begitu Facebook bukanlah penyedia rangkaian internet. Jadi ia mungkin akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat pembekal rangkaian internet yang lain – seperti syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan. 



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Pohon Beringin Terbesar (Ficus)


Great Banyan Tree
Great Banyan Tree merupakan pokok yang mempunyai keluasan terbesar di dunia.

Pohon beringin atau juga dikenali sebagai banyan adalah tergolong dalam kumpulan ‘ficus’. Keunikan pokok ini adalah pada awalnya ia akan tumbun di atas pokok-pokok yang lain sehingga akarnya merayap ke permukaan tanah. Sekiranya pokok ini berjaya membesar dengan subur lama kelamaan pokok utama akan mati dan membolehkan pokok ini mengambil alih tempatnya.

Pokok ini amat terkenal di beberapa kawasan di dunia malah ia menjadi lambang kebanggaan bagi beberapa buah negara seperti India dan ia juga terdapat di dalam ‘coat of arms’ bagi negara Indonesia. Keunikan pokok ini bukan sahaja membolehkan ianya hidup dalam jangka masa yang panjang malah ia juga amat mudah untuk diselenggarakan sebagai hiasan taman. Malah bonsai daripada pokok banyan di Taiwan yang mencecah usia 240 tahun yang terdapat di ‘banyan house’ di Tainan.

Great Banyan Tree spread
Dari jauh ia kelihatan seperti rimbunan belukar.
Great Banyan Tree area
Dari bawah pokok ini dapat dilihat dengan jelas bagaimana ia merebak.

Pokok-pokok dari kumpulan ‘ficus’ ini mudah dikenali daripada struktur akar penyokong yang akan keluar dari dahan-dahan kecil dan cuba untuk mencecah ke tanah bagi menambahkan lagi keupayaannya untuk mendapatkan baja dan air. Ia mudah diselenggarakan kerana dapat menyesuaikan diri dengan mudah dengan persekitaran. Selain daripada dahan dan daunnya yang lebat yang menjadikan ianya amat sesuai untuk dibentuk menjadi hiasan.

Ornamental ficus
Pokok ficus amat mudah dibentuk sehingga ke bentuk yang luar biasa bagi pokok yang lain.
Ornamental ficus 2
Selain daripada bentuk, dedaun pokok ficus juga tetap menarik.

Lebih menarik lagi mengenai pokok ini ia merupakan salah satu pokok dengan keluasan yang paling lebar terdapat di India. Dengan usia yang mencecah sehingga 250 tahun, pokok banyan yang terdapat di Acharya Jagadish Chandra Bose Botanical Garden di Kolkata ini mampu mencapai keluasan sehingga 14,500 meter persegi (3.5 h.a) dan hanya berasal daripada sebatang pokok sahaja.

Pokok ini mampu mencapai keluasan teduhan yang dengan bantuan akar-akar penyokong yang menjadi tiang untuk membantu ia terus merebak ke serata kawasan. Oleh kerana ia meliputi kawasan yang begitu luas, terdapat laluan mengelilingi pokok ini yang sehingga kini mencapai 450 meter.


Pokok ini bukan sahaja menjadi tarikan para pengunjung ke taman botani ini. Ia juga merupakan salah satu bahan kajian penting untuk pengemar tumbuh-tumbuhan dan lambang kemegahan taman botani tersebut. Sehingga kini ia merupakan pokok yang mempunyai keluasan paling besar di dunia.




Free Download



Sabtu, 28 Mac 2015

Keunikan Dunia Kumbang

Beetle - colorful
Keunikan dunia kumbang yang terdiri daripada pelbagai rupa bentuk dan warna.

Kumbang adalah tergolong dalam kumpulan serangga. Ia juga merupakan antara kumpulan hidupan terbesar dan terdiri daripada pelbagai spesies. Kumbang boleh didapati  hampir di semua kawasan di dunia kecuali di dalam laut atau kawasan kutub. Ini kerana kumbang juga hidup di dalam air (air tawar).

Kumbang boleh dikenali dengan mudah melalui pelindung kepaknya yang keras dikenali sebagai “elytra” manakala kepaknya yang lembut tersimpan dengan baik digunakan untuk terbang - jadi ia mempunyai dua pasang sayap.

Oleh kerana kumpulan kumbang yang besar, tiada senarai spesies kumbang yang lengkap setakat ini. Terdapat sehingga kira-kira 350,000 spesies kumbang yang dinyatakan oleh para pengkaji dan banyak lagi yang masih belum dijumpai. Ini kerana kumbang boleh dijumpai hampir di setiap kawasan termasuk di dalam air tawar dan melakukan pelbagai fungsi di dalam ekosistem.

Biggest goliath beetle
Kumbang terbesar iaitu Goliath Beetle.
Goliath beetle larvea
Anak kumbang Goliath beetle.

Oleh kerana jumlah spesies kumbang yang besar, perbezaan di antara kumbang yang paling kecil dan kumbang yang paling besar diketahui juga amatlah berbeza. Spesies kumbang terkecil dikenali sebagai Nanosella fungi yang hanya bersaiz kira-kira 0.25 mm panjang dan berat 0.4 milligram. Manakala kumbang terbesar yang diketahui setakat ini adalah Goliath beetle (Goliathus goliathus) yang boleh mencapai berat sehingga 100 gram. Manakala kumbang yang mencapai ukuran terpanjang pula adalah Titanus giganteus yang boleh mencapai ukurang sehingga 20 cm panjang.

Terdapat pelbagai fungsi kumbang di dalam ekosistem selain daripada sebagai agen pendebungaan ia juga merupakan agen pembersihan (seperti kumbang tahi, dan kumbang-kumbang lain yang memakan benda-benda yang reput), mengawal serangga lain seperti ladybird (ladybug) malah menjadi sebahagian bahan makanan kepada haiwan juga manusia (terdapat kumbang yang dijadikan bahan makanan di beberapa kawasan di dunia – anak kumbang/ dewasa).

Metallic beetle
Warna pada kumbang ini yang sangat menakjubkan.
Ladybug eating aphids
Ladybug merupakan kumbang pengawal tanaman.

Kumbang mengalami kitar hidup lengkap iaitu daripada telur, larva, pupa sehingga menjadi kumbang dewasa. Sepanjang kitar hidupnya inilah kumbang akan melakukan aktiviti-aktiviti yang membantu aktiviti seperti pereputan ataupun menjadi makanan kepada hidupan lain. Bagi spesies yang hidup di dalam kayu misalnya, ia akan turut membiakkan spesies fungus yang akan menjadi bahan makanan kepada anak-anaknya yang akan menetas dari telur yang ditinggalkan di dalam kayu tersebut. Ia bukan sahaja membantu pereputan kayu – malah membantu pembersihan kawasan hutan dan membenarkan pokok kayu lain tumbuh dengan subur.

Beetle
Keunikan dunia kumbang yang perlu dikenali.

Walaupun terdapat kumbang yang menjadi masalah kepada industri pertanian seperti boll weevil yang merosakkan tanaman kapas, Asian Longhorned Beetle, bark beetle dan elm leaf beetle kesemuanya boleh mengurangkan hasil kepada tanaman, terdapat juga kumbang-kumbang yang membantu seperti ladybird dan kumbang tahi (dung beetle) dan banyak lagi spesies yang membantu pendebungaan serta pereputan bahan-bahan yang telah mati. Ini kerana, hidupan akan terus membiak selagi kawasan persekitarannya sesuai dan akan mati sekiranya keadaan menjadi sebaliknya. Apa yang berlaku sebenarnya adalah – aktiviti manusia sendiri yang menyebabkan hidupan lain menjadi tidak stabil (tidak teratur).


Oleh kerana terdapat kumpulan kumbang yang besar, maka fungsinya juga adalah besar kepada keseimbangan ekosistem. Seperti juga serangga-serangga yang lain, ia telahpun menghuni bumi sejak jutaan tahun yang lalu. Terdapat kumpulan kumbang yang amat cantik dan berwarna-warni yang semestinya menarik minat anda untuk mengenali serangga istimewa ini. Sekiranya anda berada di kawasan luar rumah cuba-cubalah perhatikan kumbang-kumbang ini.



Free Download



Arkib Blog