Sabtu, 14 Mac 2015

Empangan Hidroelektrik Terbesar Three Gorges Dam di China


Three Gorges Dam
Pemandangan Empangan Three Gorges Dam dari udara.

Tenaga elektrik merupakan sumber tenaga terpenting untuk pembangunan sesebuah negara. Usaha dalam penjanaan tenaga elektrik dibangunkan dalam pelbagai usaha bagi memastikan ia dapat dihasilkan dengan lebih efisyen dari segi kos mahupun kesannya kepada alam sekitar.

Penghasilan tenaga elektrik melalui empangan hidro merupakan antara kaedah yang paling menjimatkan. Berbanding penghasilan tenaga menggunakan arang batu ataupun pembakaran petroleum, ia tidak membawa kepada pencemaran udara. Namun begitu ia mungkin membawa kesan kepada kemusnahan kawasan takungan yang luas dan juga mendapan kepada sungai.

Pembinaan Empangan Three Gorges Dam yang dibina di Hubei, China merupakan empangan hidro terbesar dari segi kapasiti penjanaan tenaganya yang mampu mencapai sehingga 22,500 MW, manakala Empangan Itaipu di Brazil/Paraguay pula mampu menjana sehingga 14,000 MW yang siap dibina pada tahun 2003.

Empangan yang dibina di lembangan Sungai Yangtze yang juga merupakan sungai terbesar merentasi China mengambil masa lebih 10 tahun untuk dibina (Desember 14, 1994 – 2008 : tarikh siap sebenar 2012) dan menelan belanja sekitar USD26 billion. Selain daripada membekalkan tenaga elektrik ia juga bertujuan untuk mengawal banjir selain daripada menyediakan laluan kapal yang melalui sungai terbesar di China ini.

Three Gorges Dam constrution
Kerja-kerja pembinaan empangan sedang dijalankan.

Antara keunikan empangan terbesar ini adalah laluan kekunci air untuk laluan kapal perdagangan dari Shanghai menuju ke Chongqing. Pembinaan laluan kapal ini bertujuan membolehkan jumlah pengangkutan kapal di laluan tersebut dipertingkatkan daripada 10 juta tan ke 100 juta tan setahun. Hasilnya bukan sahaja kapasiti laluan kapal yang dapat dipertingkatkan malah kos pengangkutan kapal juga dapat dikurangkan sebanyak 25% yang pastinya dapat mempertingkatkan lagi kadar perdagangan di kawasan tersebut.

Sememangnya China memerlukan jumlah penghasilan tenaga yang amat tinggi. Ini kerana jumlah permintaan tenaga yang semakin meninggi tidak dapat menampung keupayaan penghasilan tenaga yang mampu dihasilkan daripada empangan-empangan hidro sedia ada di serata China. China masih lagi bergantung kepada penghasilkan tenaga menggunakan bahanapi fosil iaitu arang batu dan petroleum pada kadar yang jauh lebih tinggi berbanding tenaga yang dihasilkan oleh empangan hidroelektrik ini.

Locks
Kunci air yang unik untuk laluan kapal.

Ianya memerlukan 366 gram arang batu untuk menghasilkan 1 kWh tenaga elektrik melalui kajian yang dijalankan pada tahun 2006. Pada penghasilan penuh Empangan Three Gorges dapat mengurangkan penggunaan arang batu sebanyak 31 juta tan setahun dan mengelakkan penghasilan 100 juta tan pembebasan gas rumah hijau, jutaan tan habuk, satu juta tan sulfur dioksida, 370,000 nitrik oksida, 10,000 tan karbon monoksida dan sejumlah besar merkuri. Selain daripada megelakkan kerja-kerja perlombongan, pembersihan dan pengangkutan arang batu dari bahagian Utara China.

Walaupun ia membawa kesan yang baik kepada penghasilan tenaga dan ekonomi kepada China. Empangan ini juga turut menghasilkan pelbagai kesan kepada alam yang turut mendapat tentangan daripada dalam dan luar negara. Ia bukan sahaja menenggelamkan sejumlah besar kawasan penempatan biasa, malah kawasan pertanian dan 1,300 kawasan arkeologi di mana sebahagian besarnya tidak dapat dipindahkan.

flooded areas
Kawasan yang dibanjiri oleh empangan.

Walaupun pembinaan empangan terbesar dunia ini mempunyai penghasilan tenaga yang amat diperlukan oleh China, ia terpaksa mengorbankan banyak perkara yang tidak ternilai harganya. Apa yang menarik bagi peminat dunia kejuruteraan pembinaan empangan gergasi ini memberikan satu inspirasi baru tentang pembinaan berskala gergasi. Namun begitu seperti yang kita ketahui China masih memerlukan kapasiti penghasilan tenaga yang jauh daripada mencukupi.


Banyak lagi perkara yang perlu anda ketahui mengenai empangan terbesar ini  yang perlu anda terokai sendiri. Adalah diharap ianya sedikit sebanyak menarik minat anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang teknologi penghasilan tenaga, pembinaan, ekonomi dan sebagainya. Adalah diharap di dalam artikel-artikel yang akan datang lebih banyak teknologi kejuruteraan yang akan dapat dikongsikan untuk tatapan para pembaca. 


Free Download



Ahad, 8 Mac 2015

Pameran Bertaraf Antabangsa “1001 Inventions” Kini di Melaka

1001 Invention and The Library of Secret
Film 1001 Inventions and The Library of Secret bersempana pameran tersebut.
1001 Invention merupakan sebuah organisasi pendidikan yang mempopularkan sejarah perkembangan sains dan teknologi dunia Tamadun Islam suatu ketika dahulu yang juga lebih dikenali sebagai Zaman Kegemilangan. Walaupun turut menghasilkan pelbagai bahan termasuk penerbitan bahan secara online dan bahan cetakan ia turut menghasilkan filem dan pameran di galeri tetap dan juga pameran bergerak.

Selain daripada menerima pelbagai pengiktirafan untuk bahan-bahan yang dihasilkan, pameran ini semakin mendapat sokongan dan minat orang ramai dari seluruh dunia. Melalui bahan-bahan yang dihasilkan ia telah berjaya mendekati lebih 100 juta orang dari seluruh dunia.

Melalui 4 tahun pameran 1001 Invention telah dikunjungi oleh seramai 6 juta pengunjung. Ia juga turut mendapat kejaan besar-besaran di beberapa bandar terkemuka dunia termasuk seperti di Science Museum of London, New York Hall of Science di New York, California Science Ceter di Los Angeles, Malaysia National Science Center di Kuala Lumpur dan Museum of Islamic Art di Doha.

Buat masa ini pameran 1001 Inventions akan diadakan di Melaka, Malaysia dari tempoh 17 Febuari 2015 – Jun 2015. Adalah baik bagi penduduk sekitar untuk mengambil peluang ini untuk membuat kunjungan ke pameran yang jarang-jarang diadakan ini. Pada masa yang sama juga pameran ini turut diadakan di The Scientific Center, Kuwait dari tempoh 4 Febuari 2015 – 7 Mac 2015. Jadi rakyat Malaysia sememangnya lebih beruntung kerana diberikan peluang untuk melihat sendiri pameran ini untuk tempoh yang lebih lama.


1001 Inventions Melaka
Poster pameran yang diadakan di Melaka.

Sejarah Pameran

1001 Inventions Logo
Logo Pameran 1001 Inventions yang bertaraf antarabangsa.

Pameran bergerak 1001 Inventions mula diperkenalkan pada tahun 2006 di Manchester Museum of Sciece and Industry sebagai ekoran daripada penghasilan bukunya. Pameran ini kemudiannya terus diadakan di sekitar United Kingdom antaranya Birmingham Thinktank, Glasgow Science Center, National Museum Cardif dan Museum of Croydon.

Pameran bergerak yang sama turut diadakan di British Parliment di London, juga di European Parliment di Brussels dan United Nation di New York.

Menjelang 2010, 1001 Inventions melancarkan pameran yang lebih besar di Science Musem of London dengan penilaian daripada pelbagai pihak dan pakar sejarah. Semasa pameran tersebut berlansung, dalam tempoh 5 bulan lebih daripada 400 000 orang telah mengunjungi pameran ini.
Berikut adalah beberapa lokasi yang pernah dikunjungi oleh 1001 Inventions di seluruh dunia. Di Malaysia ia pernah di langsungkan di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu sebelum ianya kini berada di Melaka.

Lokasi pameran sebelum ini:


  • UNESCO
  • Sao Paulo
  • K. Terengganu
  • Riyadh
  • Kuala Lumpur
  • Sweeden
  • Washington DC
  • Rotterdam
  • Los Angeles
  • New York
  • Instanbul
  • Sharjah
  • Doha
  • Al Ahsa
  • Jeddah
  • Abu Dhabi
  • Dhahran
  • London
  • UK Parliment
  • United Nations
1001 Invention Hardcover
Buku 1001 Inventions Edisi Kedua.

Bahan Cetakan:


Pada tahun 2006, edisi pertama 1001 Inventions: Muslim Heritage in Our World diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris dan edisi kemaskini yang kedua dihasilkan pada Mac 2011. Terdapat juga edisi di dalam Bahasa Turki pada tahun 2010 dan edisi Berbahasa Arab pada tahun 2011.

Edisi ketiganya diterbitkan oleh National Geaographic pada Febuari 2012 dengan tajuk yang ditukarkan kepada 1001 Inventions: The Enduring Legacy of Muslim Civilization.

Manakala pada 10 Januari 2013 edisi khas untuk kanak-kanak diterbitkan dengan tajuk 1001 Inventions and Awesome Facts From Muslim Civilization yang juga diterbitkan oleh National Geographic.

Anugerah:



Pameran 1001 Inventions ini telah menerima beberapa anugerah bagi bahan yang dihasilkan mahupun pameran ini sendiri. Pada May 2011, 1001 Invention diisytiharkan sebagai Best Temporary/Touring Exhibition 2011 di acara tahunan Museum and Heritage Award di London.

Selain itu juga filem yang dihasilkan 1001 Inventions and The Library of Secrets yang dibitangi oleh Sir Ben Kingsley juga telah menerima beberapa anugerah antarabangsa, antaranya:
    
  • Best Film (Arts and Humanities) – New York Festival, 2010 (yang turut menerima 8 lagi anugerah di 2010 New York Festival).
  •  Best Film (Education) – Cannes Corporate Media and TV Festival 2010
  • Best Education Film – US International Film Festival, 2010 (Los Angeles) / (turut menerima 3 lagi anugerah pada 2010 US International Film Festival).
  • Best Film (Education) – IVCA Awards, 2010 (London)
  • Best Film (Education) – World Media Festival, 2010 (Hamburg)
* Filem ini merupakan sebahagian daripada isi kandungan pameran 1001 Inventions.

Bagi anda yang terlepas untuk menyasikan pameran ini semasa ianya diadakan di Kuala Lumpur mahupun di Kuala Terengganu, anda masih berpeluang untuk menyaksikannya di Melaka. Jadi pastikan anda tidak terlepas lagi. Pastikan juga anda menyebarkan peluang terbaik ini kepada sanak saudara, rakan taulan, jiran tetangga mahupun cadangan lawatan sekolah anak-anak anda nanti. Peluang sebegini bukan sentiasa kekal selamanya. Luangkan sedikit masa anda kerana ia mungkin dapat mengubah sedikit sebanyak pandangan anda terhadap dunia sains moden kita hari ini.

Laman web 1001 Inventions di sini.

Melalui laman web tersebut anda juga boleh mendapatkan lebih maklumat, barangan seperti buku dan sebagainya. Anda boleh mulakan penerokaan anda.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Khamis, 5 Mac 2015

Mengenali Hutan Malaysia di FRIM

Keruing
Keunikan pokok kapur yang dapat dilihat daripada bawah pokok ini. Gambar: myrokan.com

Bagi warga kota yang tinggal di Kuala Lumpur dan kawasan yang berdekatan mungkin akan berasa sedikit keberatan untuk menjelajah keluar kota bagi melawat kawasan hutan hujan di negara kita. Kawasan-kawasan menarik di luar bandar seperti Taman Negara, Gunung Kinabalu, kawasan-kawasan air terjun di luar bandar mungkin agak sukar dilawati bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur. Namun begitu, bagi mendapat serba sedikit pengalaman sedemikian warga kota bolehlah berkunjung ke FRIM (Forest Reaearch Institute Malaysia) yang terletak tidak jauh dari ibu kota.

Melalui lawatan anda ke FRIM anda bukan sahaja dapat merasai suasana berada di kawasan hutan Malaysia, malah di sini anda boleh merasa pelbagai keadaan yang berbeza daripada segi tumbuh-tumbuhannya mahupun suasana seperti kawasan jeram, bukit-bukau, paya dan sebagainya. Ini kerana kawasan di sini dirancang bukan sahaja untuk mendidik para pengunjung malah juga untuk tujuan peyelidikan. Sekiranya anda menjejakkan kaki dan menjelajahi kawasan ini, anda telahpun menjelajah sebahagian besar keadaan kawasan hutan di negara kita.

Kawasan yang diliputi oleh FRIM adalah seluas 545-ha dengan kawasan yang meliputi pelbagai keadaan muka bumi. Tujuan asalnya untuk menjalankan kajian yang dapat memberikan manfaat dalam penggunaan mahupun pemuliharaan sumber hutan. Dengan adanya pusat kajian ini, sumber hutan negara kita dapat diselenggarakan dengan lebih efektif dan sistematik. Ini dapat mengelakkan kepupusan sesetengah spesis tumbuhan malah dapat memanfaatkannya pula sekiranya sesuatu tumbuhan tersebut boleh digunakan secara komersil.

Kawasan FRIM yang luas ini dibahagikan kepada beberapa blok untuk memudahkan para pengunjung membuat tinjauan semasa berkunjung ke sini. Terdapat banyak tarikan yang boleh memberikan sedikit sebanyak pengetahuan baru kepada para pengunjung. Kawasan-kawasan ini boleh dilihat di dalam  peta kawasan yang terdapat di tempat-tempat utama lawatan. Sekiranya pengunjung perlu mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mahupun bantuan, maka pengunjung bolehlah melawat ke FRIM One Stop Centre yang boleh memberikan bantuan yang diperlukan.

Tarikan-tarikan Utama;

Terdapat banyak tarikan yang disediakan untuk para pengunjung yang berkunjung ke sini. Selain daripada tarikan dari segi tumbuh-tumbuhan mahupun kawasan-kawasan riadah yang disediakan. Ia juga sering menjadi kawasan yang dijadikan sebagai laluan untuk berjogging mahupun aktiviti berbasikal pada hujung minggu oleh ramai warga kota.

Canopy Walkway
Canopy walkway yang perlu dikunjungi.


Canopy Walkway


Canopy Walkway merupakan antara tarikan utama semenjak ianya dibina bagi tujuan kajian flora dan fauna (pada ketinggian yang tidak dapat dilihat dari bawah). Ianya dibina pada tahun 1992 dengan kepanjangan binaan sepanjang 150 meter.

Terletak di atas kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong pada ketinggian kira-kira 300 meter dari aras laut ia juga turut menyediakan panorama menarik kawasan berhampiran termasuk pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur. Melalui titian ini, anda dapat melihat keadaan hidupan yang berada di atas pokok selain daripada debaran melalui titian itu sendiri.

Untuk melalui titian ini, anda perlu mendapatkan tiket daripada FRIM One Stop Centre, kerana ianya hanya dibuka untuk waktu-waktu tertentu sahaja. Bagi tujuan keselamatan pengunjung adalah penting bagi mematuhi setiap peraturan yang diberikan oleh pihak pengurusan.

Keadaan dari atas 'Canopy Walkway'.


Laluan-laun Khusus


Terdapat beberapa laluan khusus yang menarik untuk dilawati para pengunjung seperti ‘Keruing Trail’, ‘Salleh Nature Trail’, ‘Engkabang Trail’, ‘Rover Track’, ‘Sebasah Trail’ dan ‘Razak Walk’. Setiap laluan-laluan ini mempunyai keunikan tersendiri yang mungkin menarik minat pengunjung-pengunjung tertentu. Manakala nama laluan mungkin diberikan sempena nama tumbuh-tumbuhan tertentu mahupun sempena nama tokoh-tokoh yang berkaitan dengan Insitusi FRIM ini.

Bagi saya sendiri laluan yang menarik ingin dilawati semasa melawati FRIM adalah ‘Keruing Trail’ yang dinamakan sempena pokok dari family: Dipterocarpaceae yang juga dikenali sebagai pokok kapur. Keunikan pokok ini adalah daunnya yang tidak menyentuh antara pokok-pokok lain dapat dilihat dengan jelas daripada bawah. Selain itu juga pokok kapur telah digunakan oleh masyarakat setempat sejak dahulu lagi bagi menghasilkan bahan bauan. Bagi melihat pokok ini dengan lebih jelas, satu-satunya tempat yang paling sesuai adalah di FRIM.

Keunikan alam di FRIM.

Banyak lagi perkara yang anda perlu tahu mengenai taman yang unik ini. Bagi mengetahuinya dengan lebih lanjut anda bolehlah melawati laman web FRIM untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci. Manakala pengalaman yang menarik hanya akan anda alami apabila berkunjung ke sini nanti. Untuk sebarang maklumat atau tempahan untuk ‘Canopy Walk’ pula anda bolehlah membuat tempahan awal dengan menghubungi ‘FRIM One Stop Centre’ dengan nombor seperti yang tertera di bawah.

FRIM One Stop Centre
Tel: 03-62797592 / 03-62797649
Fax: 03-62804619

Email: frim_enquiry@frim.gov.my


Free Download



Sabtu, 21 Februari 2015

GIMP | Perisian Suntingan Imej Percuma Alternatif Photoshop

GIMP perisian suntingan imej yang setara dengan Photoshop.

GIMP merupakan satu perisian bebas yang mempunyai hampir keseluruhan fungsi seperti Photoshop. Sekali gus, dikategorikan sebagai satu pakej manipulasi grafik yang serba boleh. Oleh kerana Photoshop merupakan satu perisian yang berbayar dan mempunyai harga yang agak tinggi, GIMP adalah perisian terbaik bagi mereka yang tidak mampu untuk membeli perisian suntingan grafik.


Antaramuka Yang Boleh Diubah


Setiap tugas memerlukan suasana yang berbeza dan GIMP membolehkan anda mengubah paparan dan fungsi mengikut kesesuaian anda. Bermula dengan tema widget, ianya membolehkan anda menukar warna, jarak dan saiz ikon ke alat adat di kotak alat. Antara muka ini memodulkan ke dalam apa yang dikenali sebagai dok, membolehkan anda untuk menghimpunkan mereka ke dalam tab atau membiarkan mereka dibuka pada tetingkap mereka sendiri. Bagi peminat Photoshop, anda boleh menggunakan fungsi ini bagi mengubah antara muka GIMP menjadi sama seperti antara muka Photoshop. GIMP mempunyai ciri mod skrin penuh yang  membolehkan anda untuk bukan sahaja pratonton karya seni anda tetapi juga melakukan kerja suntingan semasa menggunakan sebahagian besar skrin anda.


Mempertingkatkan Hasil Foto


Foto digital yang tidak sempurna boleh diperbaiki dengan menggunakan GIMP. Herotan perspektif (perspective distortion) yang disebabkan oleh lensa yang menyondong boleh diperbaiki dengan menggunakan mod pembetulan (corrective mod) di dalam alat transformasi (transform tools). 'Channel Mixer' memberi anda fleksibiliti dan kuasa untuk memberikan B/W fotografi anda menonjol dengan cara yang anda perlukan. Pendek kata segala peralatan yang diperlukan bagi anda membuat sentuhan foto digital terdapat pada GIMP.


Sentuhan Digital


GIMP adalah ideal untuk teknik sentuhan foto yang rumit. Ia dapat menghilangkan butiran yang tidak diperlukan dengan menggunakan alat klon (clone tool). Anda juga boleh membuat sentuhan sehingga butiran terkecil dengan mudah dengan menggunakan alat penyembuhan (healing tool) yang baru. Ciri-ciri ini penting bagi pengguna yang professional yang memerlukan perisian sentuhan foto yang lengkap seperti Photoshop. Maka dengan itu GIMP mampu memberikan bukan sahaja fungsi malah hasil yang setara seperti yang diperlukan.


Format Fail

Sokongan format fail adalah dari fail yang biasa digunakan seperti JPEG (JFIF), GIF, PNG, TIFF hingga ke format yang khas seperti multi-resolusi dan multi-warna-kedalaman (multi-color-depth) dari fail ikon Window. Senibina GIMP juga berupaya memperluaskan sokongan format fail melalui sokongan 'plug-in'. Anda boleh jumpa jenis format fail yang jarang dijumpai yang disokong oleh GIMP di dalam pendaftaran plugin (plugin registry).

Dengan sistem fail maya (virtual file system) yang telus, GIMP mampu memuatkan dan menyimpan fail dari lokasi yang jauh menggunakan protokol seperti FTP, HTTP atau SMB (MS Windows shares) serta SFTP/SSH.

Untuk menjimatkan ruang cakera, segala format boleh disimpan di arkib lanjutan (archive extension) seperti ZIP, GZ atau BZ2. GIMP akan memadatkan secara telus tanpa anda perlu melakukan apa-apa langkah tambahan.


Sokongan Platform

- GNU/Linux (i386, PPC)

- Microsoft Windows (XP, Vista)

- Mac OS X

- Sun OpenSolaris

- FreeBSD

GIMP boleh digunakan pada Window 7 dan 8 dengan cara yang khusus. Anda boleh mendapatkan GIMP di laman sesawang rasmi mereka di www.gimp.org. Jika anda tidak mahu menggunakan antaramuka yang lalai dan terus ingin menjadikan antaramuka GIMP seperti Photoshop, anda boleh gunakan GIMPshop di mana GIMP telah diubahsuai menjadi sama seperti Photoshop. Segala plugin dan alat tambahan telah dimasukkan dan anda hanya perlu pasang dan terus gunakan GIMPshop. Anda boleh dapatkan GIMPshop di laman sesawang rasmi mereka di www.gimpshop.com.




MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Selasa, 10 Februari 2015

Cara Asas Penjagaan Komputer Terbaik 2015

laptop_computer
Komputer riba (laptop) merupakan keperluan asas bagi pekerja mahupun pelajar.


Komputer merupakan satu alat yang penting pada masa kini. Sama seperti peralatan lain, komputer juga memerlukan penjagaan yang baik. Tambahan pula dengan penggunaan internet, tempat atau datangnya punca masalah bagi komputer. Jadi apakah langkah terbaik bagi menjaga komputer? Di sini saya sediakan beberapa langkah asas terbaik bagi menjaga komputer anda supaya ia tahan lama dan mengekalkannya pada prestasi yang terbaik.

1. Antivirus

Ini adalah salah satu punca utama komputer cepat rosak dan merupakan perisian pertama yang anda perlu ada pada computer anda. Virus, malware atau adware selalunya datang dari internet atau dari pemacu denyar (flashdrive). Virus yang agresif boleh menyebabkan sistem operasi dan juga perkakasan komputer anda rosak. Biasanya virus, malware dan adware datang dari laman sesawang lucah, fail dimuat turun dari laman sesawang torrent ataupun dari perisian muat turun P2P. Cara terbaik mengelakkan virus adalah dengan mengelakkan dari memuat turun fail dari sumber yang tidak dikenali.

anti-virus
Perisian anti virus yang boleh dimuat turun secara percuma mahupun berbayar.


2. Kemas Kini Sistem Operasi Window

Kadang kala perisian terbaru memerlukan kemas kini dari Window bagi membolehkan perisian tersebut berfungsi dengan sempurna. Kemas kini juga membaiki masalah lain yang terdapat pada Window. Dengan kemas kini, komputer anda akan bebas dari masalah dan prestasi komputer juga akan bertambah. Fungsi ini terdapat pada Windows Update.

3. Penyelenggaraan

Lakukan penyelenggaraan seperti DiskDefragmenter setiap bulan. Ini bagi mengurangkan tahap tekanan cakera keras anda. Disk Defragmenter akan menyusun data-data yang anda selalu guna bagi membolehkan data diambil dengan cepat dengan tekanan yang rendah. Saya cadangkan anda menggunakan perisian AVG PC TuneUp di mana perisian ini akan menjalankan segala kerja penyelenggaraan secara automatik atau berjadual. Pemacu Keadaan Pepejal (Solid State Drive - SSD) tidak memerlukan penyelenggaraan dari Disk Defragmenter.

4. Elakkan Panas

Elakkan meletakkan komputer anda di tempat yang panas atau tempat yang terdedah secara terus kepada matahari. Panas merupakan musuh utama komputer. Komputer yang terlalu panas akan menyebabkan perkakasan di dalam komputer rosak atau tidak tahan lama. Masalah panas juga boleh disebabkan oleh lubang penyejuk yang tersumbat dengan habuk, kipas yang tidak berfungsi atau lubang udara yang tertutup – apabila anda menggunakan komputer di atas tilam atau bantal misalnya.

5. Kebersihan

Bersihkan habuk yang terdapat di dalam komputer anda paling kurang setiap enam bulan sekali. Habuk bukan sahaja menghasilkan caj statik, malah ia juga boleh menghalang laluan angin dan menyebabkan perkakasan komputer menjadi cepat panas. Tempat utama yang penting adalah adalah pada kipas dan besi penyerap haba.

voltage regulator
Pengatur voltan yang mampu mengelakkan gangguan daripada sumber bekalan elentrik.


6. Gunakan Pelindung Lonjakan

Lonjakan (spike) merupakan pembunuh utama komputer. Ia datang sama ada dari kilat ataupun dari sistem pendawaian yang tidak sempurna. Biasanya kabel palam berkualiti tinggi pada komputer mempunyai fius dan hanya sesuai menangkis lonjakan kecil. Anda memerlukan pelindung lonjakan yang paling kurang mampu menangkis lonjakan dari kilat.


Free Download



Rabu, 4 Februari 2015

Project Ara Inovasi Telefon Pintar Terbaru Dari Google

Project Ara, satu inovasi memberikan kebebasan pengguna untuk menentukan keperluan telefon pintar mereka.

Project Ara merupakan inovasi telefon bimbit terbaru dari Google di mana pengguna boleh menukar perkakasan yang ada mengikut keinginan pengguna sendiri. Google memberitahu bahawa telefon bimbit ini dicipta untuk "enam bilion pengguna". Google juga mahu menurunkan halangan bagi membolehkan pengeluar perkakasan untuk menghasilkan ratusan ribu pengeluar perkakasan sama seperti Google Play Store menghasilkan ratusan ribu pemaju aplikasi.


Melalui telefon pintar Ara, anda boleh menukar mana-mana modul yang rosak atau pun menaik taraf mana-mana modul yang anda mahu bagaikan memasang permainan Lego. Jadi ini akan menetapi kehendak semua jenis golongan sama ada golongan pengguna biasa, peminat muzik atau peminat tegar permainan video. Google telah menetapkan harga Kit Permulaan bermula pada harga US$50. Telefon bimbit ini telah pun di lancarkan pada persidangan Q1 di Puerto Rico pada Januari 2015.

Pengguna mempunyai kebebasan untuk memadankan sendiri spesifikasi telefon pintar mereka.

Mari kita lihat serba sedikit spesifikasi telefon bimbit Project Ara (berdasarkan apa yang telah diberitahu oleh Google). Telefon bimbit ini akan menggunakan chip dari Toshiba (pada tahun pertama) dan akan menggunakan sistem operanti Android. Telefon pintar Ara akan dikeluarkan dengan tiga saiz iaitu mini, sederhana dan besar. Saiz "mini" di dalam lingkungan saiz Nokia 3310, manakala saiz "Sederhana" di dalam lingkungan saiz LG Nexus 5 dan saiz "Besar" pula di dalam lingkungan saiz Samsung Galaxy Note 3.


Carta Saiz Bingkai

Mini          - 45 x 118 x 9.7 mm - 2 x 5 slot modul

Sederhana - 68 x 141 x 9.7 mm - 3 x 6 slot modul

Besar        - 91 x 164 x 9.7 mm - 4 x 7 slot modul

Saiz-saiz yang ditawarkan untuk sistem telefon Ara.
Google juga mengatakan modul boleh didapati dari laman rasmi Google Store dan mana-mana kedai pihak ketiga. Secara lalai, telefon pintar hanya menerima modul rasmi tetapi anda boleh menukar tetapan perisian untuk membolehkan penggunaan modul yang tidak rasmi. Ini adalah sama seperti bagaimana Android mengendalikan aplikasi ketika pemasangan.


Adakah anda teruja dengan inovasi ini? Yang pasti saya sudah pun teruja dan akan terus mengikut perkembangan mengenai telefon pintar Ara ini.




MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Isnin, 2 Februari 2015

Mango | Aplikasi Pembaca Komik dan Manga Terbaik 2015

Manga bukan sebuah hasil seni malah merupakan industri jutaan ringgit!

Mango merupakan satu aplikasi pembaca komik & manga dan merupakan aplikasi percuma untuk peranti Android & Blackberry. Apa yang menarik tentang Mango ialah ianya tidak terdapat di dalam Play Store. Bukan kerana ianya mempunyai virus, spyware atau adware tetapi kerana Mango mempunyai senarai laman sesawang seperti MangaHere, MangaPanda & MangaFox. Laman sesawang seperti ini sudah pasti melanggar terma dan syarat Google untuk diletakkan di Play Store.

Bagi para peminat manga sudah tentu memerlukan satu aplikasi yang dapat memudahkan kerja-kerja pencarian manga terkini dan kaedah paparan yang mudah bagi tujuan pembacaan manga kegemaran mereka. Jadi sekiranya anda belum lagi mencuba aplikasi Mango pastikan anda tidak terlepas mengikuti keseluruhan artikel ini.

Jadi apa lagi yang menarik tentang aplikasi ini?

CIRI-CIRI



Senarai Laman Sesawang Manga

- Mango mampu membaca sembilan jenis laman sesawang yang berbeza, termasuk satu di dalam bahasa Sepanyol. Lebih banyak laman sesawang dan bahasa akan ditambah pada masa akan datang.

Antara Muka Yang Menarik

- Tiada siapa yang suka menggunakan aplikasi yang mempuyai antara muka yang hodoh. Itulah sebabnya Manggo telah dicipta dari awal dengan rekabentuk antara muka yang memenuhi permintaan dan mempunyai ciri-ciri yang menarik dan mudah untuk digunakan. UI (user interface) juga telah dioptimumkan untuk peranti Ice Cream Sandwich di mana ianya sesuai untuk telefon bimbit dan tablet.

Pantas

- Mango menggunakan servis 'Cloud Parsing' untuk membantu membuang data sampah dari HTML sebelum menghantarnya kepada telefon. Ini menghasilkan kelajuan dalam  memuat turun dan mengurangkan penggunaan data.

Membaca Secara Luar Talian

Simpan bab ke kad peranti SD anda, kemudian membacanya pada bila-bila masa anda mahu tanpa sambungan internet menggunakan ciri My Library di tempat kerja, di sekolah, atau di dalam pesawat! Anda boleh memuat turun manga-manga kegemaran anda melalui menggunakan Wi-Fi yang disediakan di café dan lapangan terbang misalnya sebelum sedia untuk membacanya apabila perlu.

Pemberitahuan

- Jangan sekali-kali terlepas bab terbaru tajuk kegemaran anda! Ciri Pemberitahuan secara berkala akan memeriksa laman web untuk bab baru dan akan memberitahu anda apabila lembaran baru disediakan untuk anda baca. Ia juga boleh menyimpan bab baru secara automatik ke kad SD anda, supaya ia sentiasa bersedia untuk dibaca di mana jua anda berada.

Sistem Kegemaran

Sistem Kegegemaran Mango membolehkan anda menjejaki semua komik kegemaran anda dalam satu senarai, dan menawarkan banyak pilihan aturan seperti tagging, sorting, filtering, dan carian. Tambahan lagi, Mango secara automatik akan mengesan pembacaan anda untuk di masukkan ke pilihan Kegemaran!

Aplikasi Pembaca Yang Hebat

- Oleh kerana anda akan menghabiskan sebahagian besar masa anda membaca, Mango mempunyai banyak ciri-ciri menarik untuk pembacaan yang lebih menyeronokkan. Dengan scrolling yang lancar, pinch zoom, swipe gesture, melompat ke halaman dengan pratonton imej kecil, dan animasi, Mango mampu menyampaikan pengalaman membaca yang lancar dan hampir memberikan anda pengalaman membaca Tankobon (manga 1 siri) sebenar. Menu Keutamaan juga membolehkan anda menetapkan cara bacaan mengikut kesukaan anda.

Aplikasi ini boleh didapati di laman sesawang rasmi Mango di http://mango.leetsoft.net/

Aplikasi Mango boleh di download di sini: Link

Jadi bagi anda yang meminati dunia manga ataupun baru berjinak dalam dunia manga ini pastikan tidak melepaskan peluang untuk mencuba Mango. Melalui kemudahan yang disediakan oleh aplikasi ini akan dapat memudahkan lagi urusan anda dalam pencarian manga kegemaran dan membolehkan anda lebih menumpukan kepada menghayati hasil karja manga tersebut.

Selamat membaca!




MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.


Arkib Blog