Sabtu, 21 Februari 2015

GIMP | Perisian Suntingan Imej Percuma Alternatif Photoshop

GIMP perisian suntingan imej yang setara dengan Photoshop.

GIMP merupakan satu perisian bebas yang mempunyai hampir keseluruhan fungsi seperti Photoshop. Sekali gus, dikategorikan sebagai satu pakej manipulasi grafik yang serba boleh. Oleh kerana Photoshop merupakan satu perisian yang berbayar dan mempunyai harga yang agak tinggi, GIMP adalah perisian terbaik bagi mereka yang tidak mampu untuk membeli perisian suntingan grafik.


Antaramuka Yang Boleh Diubah


Setiap tugas memerlukan suasana yang berbeza dan GIMP membolehkan anda mengubah paparan dan fungsi mengikut kesesuaian anda. Bermula dengan tema widget, ianya membolehkan anda menukar warna, jarak dan saiz ikon ke alat adat di kotak alat. Antara muka ini memodulkan ke dalam apa yang dikenali sebagai dok, membolehkan anda untuk menghimpunkan mereka ke dalam tab atau membiarkan mereka dibuka pada tetingkap mereka sendiri. Bagi peminat Photoshop, anda boleh menggunakan fungsi ini bagi mengubah antara muka GIMP menjadi sama seperti antara muka Photoshop. GIMP mempunyai ciri mod skrin penuh yang  membolehkan anda untuk bukan sahaja pratonton karya seni anda tetapi juga melakukan kerja suntingan semasa menggunakan sebahagian besar skrin anda.


Mempertingkatkan Hasil Foto


Foto digital yang tidak sempurna boleh diperbaiki dengan menggunakan GIMP. Herotan perspektif (perspective distortion) yang disebabkan oleh lensa yang menyondong boleh diperbaiki dengan menggunakan mod pembetulan (corrective mod) di dalam alat transformasi (transform tools). 'Channel Mixer' memberi anda fleksibiliti dan kuasa untuk memberikan B/W fotografi anda menonjol dengan cara yang anda perlukan. Pendek kata segala peralatan yang diperlukan bagi anda membuat sentuhan foto digital terdapat pada GIMP.


Sentuhan Digital


GIMP adalah ideal untuk teknik sentuhan foto yang rumit. Ia dapat menghilangkan butiran yang tidak diperlukan dengan menggunakan alat klon (clone tool). Anda juga boleh membuat sentuhan sehingga butiran terkecil dengan mudah dengan menggunakan alat penyembuhan (healing tool) yang baru. Ciri-ciri ini penting bagi pengguna yang professional yang memerlukan perisian sentuhan foto yang lengkap seperti Photoshop. Maka dengan itu GIMP mampu memberikan bukan sahaja fungsi malah hasil yang setara seperti yang diperlukan.


Format Fail

Sokongan format fail adalah dari fail yang biasa digunakan seperti JPEG (JFIF), GIF, PNG, TIFF hingga ke format yang khas seperti multi-resolusi dan multi-warna-kedalaman (multi-color-depth) dari fail ikon Window. Senibina GIMP juga berupaya memperluaskan sokongan format fail melalui sokongan 'plug-in'. Anda boleh jumpa jenis format fail yang jarang dijumpai yang disokong oleh GIMP di dalam pendaftaran plugin (plugin registry).

Dengan sistem fail maya (virtual file system) yang telus, GIMP mampu memuatkan dan menyimpan fail dari lokasi yang jauh menggunakan protokol seperti FTP, HTTP atau SMB (MS Windows shares) serta SFTP/SSH.

Untuk menjimatkan ruang cakera, segala format boleh disimpan di arkib lanjutan (archive extension) seperti ZIP, GZ atau BZ2. GIMP akan memadatkan secara telus tanpa anda perlu melakukan apa-apa langkah tambahan.


Sokongan Platform

- GNU/Linux (i386, PPC)

- Microsoft Windows (XP, Vista)

- Mac OS X

- Sun OpenSolaris

- FreeBSD

GIMP boleh digunakan pada Window 7 dan 8 dengan cara yang khusus. Anda boleh mendapatkan GIMP di laman sesawang rasmi mereka di www.gimp.org. Jika anda tidak mahu menggunakan antaramuka yang lalai dan terus ingin menjadikan antaramuka GIMP seperti Photoshop, anda boleh gunakan GIMPshop di mana GIMP telah diubahsuai menjadi sama seperti Photoshop. Segala plugin dan alat tambahan telah dimasukkan dan anda hanya perlu pasang dan terus gunakan GIMPshop. Anda boleh dapatkan GIMPshop di laman sesawang rasmi mereka di www.gimpshop.com.




MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Selasa, 10 Februari 2015

Cara Asas Penjagaan Komputer Terbaik 2015

laptop_computer
Komputer riba (laptop) merupakan keperluan asas bagi pekerja mahupun pelajar.


Komputer merupakan satu alat yang penting pada masa kini. Sama seperti peralatan lain, komputer juga memerlukan penjagaan yang baik. Tambahan pula dengan penggunaan internet, tempat atau datangnya punca masalah bagi komputer. Jadi apakah langkah terbaik bagi menjaga komputer? Di sini saya sediakan beberapa langkah asas terbaik bagi menjaga komputer anda supaya ia tahan lama dan mengekalkannya pada prestasi yang terbaik.

1. Antivirus

Ini adalah salah satu punca utama komputer cepat rosak dan merupakan perisian pertama yang anda perlu ada pada computer anda. Virus, malware atau adware selalunya datang dari internet atau dari pemacu denyar (flashdrive). Virus yang agresif boleh menyebabkan sistem operasi dan juga perkakasan komputer anda rosak. Biasanya virus, malware dan adware datang dari laman sesawang lucah, fail dimuat turun dari laman sesawang torrent ataupun dari perisian muat turun P2P. Cara terbaik mengelakkan virus adalah dengan mengelakkan dari memuat turun fail dari sumber yang tidak dikenali.

anti-virus
Perisian anti virus yang boleh dimuat turun secara percuma mahupun berbayar.


2. Kemas Kini Sistem Operasi Window

Kadang kala perisian terbaru memerlukan kemas kini dari Window bagi membolehkan perisian tersebut berfungsi dengan sempurna. Kemas kini juga membaiki masalah lain yang terdapat pada Window. Dengan kemas kini, komputer anda akan bebas dari masalah dan prestasi komputer juga akan bertambah. Fungsi ini terdapat pada Windows Update.

3. Penyelenggaraan

Lakukan penyelenggaraan seperti DiskDefragmenter setiap bulan. Ini bagi mengurangkan tahap tekanan cakera keras anda. Disk Defragmenter akan menyusun data-data yang anda selalu guna bagi membolehkan data diambil dengan cepat dengan tekanan yang rendah. Saya cadangkan anda menggunakan perisian AVG PC TuneUp di mana perisian ini akan menjalankan segala kerja penyelenggaraan secara automatik atau berjadual. Pemacu Keadaan Pepejal (Solid State Drive - SSD) tidak memerlukan penyelenggaraan dari Disk Defragmenter.

4. Elakkan Panas

Elakkan meletakkan komputer anda di tempat yang panas atau tempat yang terdedah secara terus kepada matahari. Panas merupakan musuh utama komputer. Komputer yang terlalu panas akan menyebabkan perkakasan di dalam komputer rosak atau tidak tahan lama. Masalah panas juga boleh disebabkan oleh lubang penyejuk yang tersumbat dengan habuk, kipas yang tidak berfungsi atau lubang udara yang tertutup – apabila anda menggunakan komputer di atas tilam atau bantal misalnya.

5. Kebersihan

Bersihkan habuk yang terdapat di dalam komputer anda paling kurang setiap enam bulan sekali. Habuk bukan sahaja menghasilkan caj statik, malah ia juga boleh menghalang laluan angin dan menyebabkan perkakasan komputer menjadi cepat panas. Tempat utama yang penting adalah adalah pada kipas dan besi penyerap haba.

voltage regulator
Pengatur voltan yang mampu mengelakkan gangguan daripada sumber bekalan elentrik.


6. Gunakan Pelindung Lonjakan

Lonjakan (spike) merupakan pembunuh utama komputer. Ia datang sama ada dari kilat ataupun dari sistem pendawaian yang tidak sempurna. Biasanya kabel palam berkualiti tinggi pada komputer mempunyai fius dan hanya sesuai menangkis lonjakan kecil. Anda memerlukan pelindung lonjakan yang paling kurang mampu menangkis lonjakan dari kilat.


Free Download



Rabu, 4 Februari 2015

Project Ara Inovasi Telefon Pintar Terbaru Dari Google

Project Ara, satu inovasi memberikan kebebasan pengguna untuk menentukan keperluan telefon pintar mereka.

Project Ara merupakan inovasi telefon bimbit terbaru dari Google di mana pengguna boleh menukar perkakasan yang ada mengikut keinginan pengguna sendiri. Google memberitahu bahawa telefon bimbit ini dicipta untuk "enam bilion pengguna". Google juga mahu menurunkan halangan bagi membolehkan pengeluar perkakasan untuk menghasilkan ratusan ribu pengeluar perkakasan sama seperti Google Play Store menghasilkan ratusan ribu pemaju aplikasi.


Melalui telefon pintar Ara, anda boleh menukar mana-mana modul yang rosak atau pun menaik taraf mana-mana modul yang anda mahu bagaikan memasang permainan Lego. Jadi ini akan menetapi kehendak semua jenis golongan sama ada golongan pengguna biasa, peminat muzik atau peminat tegar permainan video. Google telah menetapkan harga Kit Permulaan bermula pada harga US$50. Telefon bimbit ini telah pun di lancarkan pada persidangan Q1 di Puerto Rico pada Januari 2015.

Pengguna mempunyai kebebasan untuk memadankan sendiri spesifikasi telefon pintar mereka.

Mari kita lihat serba sedikit spesifikasi telefon bimbit Project Ara (berdasarkan apa yang telah diberitahu oleh Google). Telefon bimbit ini akan menggunakan chip dari Toshiba (pada tahun pertama) dan akan menggunakan sistem operanti Android. Telefon pintar Ara akan dikeluarkan dengan tiga saiz iaitu mini, sederhana dan besar. Saiz "mini" di dalam lingkungan saiz Nokia 3310, manakala saiz "Sederhana" di dalam lingkungan saiz LG Nexus 5 dan saiz "Besar" pula di dalam lingkungan saiz Samsung Galaxy Note 3.


Carta Saiz Bingkai

Mini          - 45 x 118 x 9.7 mm - 2 x 5 slot modul

Sederhana - 68 x 141 x 9.7 mm - 3 x 6 slot modul

Besar        - 91 x 164 x 9.7 mm - 4 x 7 slot modul

Saiz-saiz yang ditawarkan untuk sistem telefon Ara.
Google juga mengatakan modul boleh didapati dari laman rasmi Google Store dan mana-mana kedai pihak ketiga. Secara lalai, telefon pintar hanya menerima modul rasmi tetapi anda boleh menukar tetapan perisian untuk membolehkan penggunaan modul yang tidak rasmi. Ini adalah sama seperti bagaimana Android mengendalikan aplikasi ketika pemasangan.


Adakah anda teruja dengan inovasi ini? Yang pasti saya sudah pun teruja dan akan terus mengikut perkembangan mengenai telefon pintar Ara ini.




MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Isnin, 2 Februari 2015

Mango | Aplikasi Pembaca Komik dan Manga Terbaik 2015

Manga bukan sebuah hasil seni malah merupakan industri jutaan ringgit!

Mango merupakan satu aplikasi pembaca komik & manga dan merupakan aplikasi percuma untuk peranti Android & Blackberry. Apa yang menarik tentang Mango ialah ianya tidak terdapat di dalam Play Store. Bukan kerana ianya mempunyai virus, spyware atau adware tetapi kerana Mango mempunyai senarai laman sesawang seperti MangaHere, MangaPanda & MangaFox. Laman sesawang seperti ini sudah pasti melanggar terma dan syarat Google untuk diletakkan di Play Store.

Bagi para peminat manga sudah tentu memerlukan satu aplikasi yang dapat memudahkan kerja-kerja pencarian manga terkini dan kaedah paparan yang mudah bagi tujuan pembacaan manga kegemaran mereka. Jadi sekiranya anda belum lagi mencuba aplikasi Mango pastikan anda tidak terlepas mengikuti keseluruhan artikel ini.

Jadi apa lagi yang menarik tentang aplikasi ini?

CIRI-CIRI



Senarai Laman Sesawang Manga

- Mango mampu membaca sembilan jenis laman sesawang yang berbeza, termasuk satu di dalam bahasa Sepanyol. Lebih banyak laman sesawang dan bahasa akan ditambah pada masa akan datang.

Antara Muka Yang Menarik

- Tiada siapa yang suka menggunakan aplikasi yang mempuyai antara muka yang hodoh. Itulah sebabnya Manggo telah dicipta dari awal dengan rekabentuk antara muka yang memenuhi permintaan dan mempunyai ciri-ciri yang menarik dan mudah untuk digunakan. UI (user interface) juga telah dioptimumkan untuk peranti Ice Cream Sandwich di mana ianya sesuai untuk telefon bimbit dan tablet.

Pantas

- Mango menggunakan servis 'Cloud Parsing' untuk membantu membuang data sampah dari HTML sebelum menghantarnya kepada telefon. Ini menghasilkan kelajuan dalam  memuat turun dan mengurangkan penggunaan data.

Membaca Secara Luar Talian

Simpan bab ke kad peranti SD anda, kemudian membacanya pada bila-bila masa anda mahu tanpa sambungan internet menggunakan ciri My Library di tempat kerja, di sekolah, atau di dalam pesawat! Anda boleh memuat turun manga-manga kegemaran anda melalui menggunakan Wi-Fi yang disediakan di café dan lapangan terbang misalnya sebelum sedia untuk membacanya apabila perlu.

Pemberitahuan

- Jangan sekali-kali terlepas bab terbaru tajuk kegemaran anda! Ciri Pemberitahuan secara berkala akan memeriksa laman web untuk bab baru dan akan memberitahu anda apabila lembaran baru disediakan untuk anda baca. Ia juga boleh menyimpan bab baru secara automatik ke kad SD anda, supaya ia sentiasa bersedia untuk dibaca di mana jua anda berada.

Sistem Kegemaran

Sistem Kegegemaran Mango membolehkan anda menjejaki semua komik kegemaran anda dalam satu senarai, dan menawarkan banyak pilihan aturan seperti tagging, sorting, filtering, dan carian. Tambahan lagi, Mango secara automatik akan mengesan pembacaan anda untuk di masukkan ke pilihan Kegemaran!

Aplikasi Pembaca Yang Hebat

- Oleh kerana anda akan menghabiskan sebahagian besar masa anda membaca, Mango mempunyai banyak ciri-ciri menarik untuk pembacaan yang lebih menyeronokkan. Dengan scrolling yang lancar, pinch zoom, swipe gesture, melompat ke halaman dengan pratonton imej kecil, dan animasi, Mango mampu menyampaikan pengalaman membaca yang lancar dan hampir memberikan anda pengalaman membaca Tankobon (manga 1 siri) sebenar. Menu Keutamaan juga membolehkan anda menetapkan cara bacaan mengikut kesukaan anda.

Aplikasi ini boleh didapati di laman sesawang rasmi Mango di http://mango.leetsoft.net/

Aplikasi Mango boleh di download di sini: Link

Jadi bagi anda yang meminati dunia manga ataupun baru berjinak dalam dunia manga ini pastikan tidak melepaskan peluang untuk mencuba Mango. Melalui kemudahan yang disediakan oleh aplikasi ini akan dapat memudahkan lagi urusan anda dalam pencarian manga kegemaran dan membolehkan anda lebih menumpukan kepada menghayati hasil karja manga tersebut.

Selamat membaca!




MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.


Ahad, 14 Disember 2014

Penjelajahan Laut Dalam Oleh James Cameron


James Cameron Deepsea Challenge
James Cameron keluar daripada Deepsea Challenger.

Pada tahun 2012 dunia digemparkan lagi oleh pengarah terkenal James Cameron. Kali ini bukanlah dengan cerita terbaru arahan beliau tetapi dengan satu lagi pencapaian beliau yang merupakan cita-citanya sejak kecil lagi iaitu penjelajahan laut dalam. Mengapa peristiwa ini dianggap sebagai salah satu perkara yang begitu besar bukan sahaja bagi beliau, malah kita semua sebagai masyarakat dunia.

James Cameron yang biasa tampil dengan kelainan di dalam filem-filem arahannya yang terkenal termasuk The Abyss, Terminator 2, Titanic dan juga Avatar sebenarnya menyimpan satu cita-cita dan minat yang tidak pernah padam iaitu untuk menerokai laut dalam. Cita-cita beliau ini dapat dilihat dalam filem arahan beliau The Abyss sendiri malah beberapa dokumentari yang dihasilkan yang berkait rapat dengan laut dalam sebelum ini antaranya Expedition: Bismarck, Ghost of the Abyss dan Aliens of the Deep.

Deepsea Challenger diagram
Gambarajah kapal selam Deepsea Challenger.

Bagi menghasilkan dokumetari beliau kali ini iaitu untuk menjelajah ke dasar laut cabaran pertama yang perlu dilalui beliau adalah untuk menyediakan kapal selam yang mampu untuk menyelam sehingga kedalaman yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kapal selam yang lain.  Seperti yang kita ketahui untuk menyelam pada kedalaman tersebut kapal selam yang diperlukan oleh James Cameron perlulah mampu untuk menahan tekanan air yang amat tinggi bagi tujuan keselamatan peralatan dan beliau sendiri, yang akan mengendalikannya.

Kapal selam yang digunakan oleh James Cameron untuk penjelajahan ini dikenali sebagai Deepsea Challenger dibina dalam diam di Australia dengan kerjasama antara National GeographicSociety dan tajaan bersama oleh Rolex – di mana dalam ekspedisi ini Rolex turut menjalankan ujian terhadap kemampuan jam tangan keluarannya yang dikenali sebagai “Deepsea” – 2012. Malah jam tangan tersebut berjaya menjalani ujian tersebut dengan jayanya.

Deepsea Pilot Sphere
Kebuk pemandu daripada keluli setebal 2.5 inci.

Deepsea Challenger dibina oleh Acheron Project Pty Ltd dengan diketuai oleh jurutera Ron Allum. Ron Allum dan kumpulan yang membina Deepsea Challenger adalah rata-ratanya mereka yang juga aktif dalam aktiviti selaman gua dalam laut selama beberapa tahun. Jadi kumpulan ini merupakan mereka yang mempunyai banyak pengalaman dalam membina kapal selam yang diperlukan James Cameron dalam ekspedisinya itu nanti.

Sebagai satu-satunya kapal selam yang mampu menjelajah ke dasar laut dalaman Deepsea Challenger amat berbeza daripada kapal-kapal selam yang lain. Selain daripada ianya dibina secara menegak ia juga hanya boleh membawa seorang penumpang sahaja. Penumpang tersebut pula perlu berada di dalam sebuah bola keluli dengan ketahanan untuk menampung tekanan yang tinggi. Ia merupakan langkah pertama dalam pembinaan kapal selam ini kerana ia menentukan keselamatan pemandunya yang akan berada beberapa ribu meter di dasar laut.

Deepsea Challenger dive
Deapsea Challenger diturunkan ke air.

Sudah tentu pembinaan Deepsea Challanger bukanlah satu proses yang mudah dan menjalani beberapa kali ujian disamping kesuntukan masa yang diperlukan untuk mebolehkan ia melakukan selaman seperti yang dijadualkan. Kesemua cabaran ini dibentangkan di dalam dokumentari “James Cameron’s Deepsea Challenge” di mana dari situ dapat kita lihat ia bukanlah boleh dilakukan tanpa kepakaran, kegigihan dan kesungguhan dari setiap ahli yang terdapat di dalam kumpulan tersebut. Ini kerana pembinaan kapal selam tersebut bukanlah sekadar menyediakan sebuah bebola keluli yang mampu bertahan pada tekanan tinggi malah ia perlu memastikan keselamatan pemandunya, kandungan udara, suhu, peralatan komunikasi, navigasi, dan macam-macam lagi.

Bagi yang pernah membaca mengenai James Cameron dan ketelitian beliau dalam filem-filem arahannya tentu menyangka bahawa ini merupakan sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah. Ya, ia bagaikan sebuah peralatan yang siap untuk digunakan tanpa anda perlu merasa risau. Hakikatnya, Deepsea Challenger perlu dikendalikan oleh sekumpulan pakar – walaupun ia akan dipandu oleh seorang pemandu. Sebaik sahaja pemandunya memasuki ruang pemanduan, ianya akan dikunci rapat dari luar - dan ia tidak akan boleh dibuka daripada dalam.

Rolex Deepsea
Rolex 'Deepsea' yang dibawa turun ke dasar laut bersama Deepsea Challenger.

Sehingga pada March 26, 2012 James Cameron berjaya melakukan penyelaman pada kedalam 10,908 meter (35,787 kaki) yang juga merupakan penyelaman ke-empat bagi Deepsea Challenger. Pada kedalaman ini James Cameron berjaya melakukan beberapa perkara penting seperti menjelajahi dasar laut dalam, mengumpul spesimen hidupan dan juga sendimen malah tidak dilupakan untuk memeriksa jam Rolex yang dibawanya bersama (ketika itu berada di luar kapal selam tersebut).

Walaupun mungkin ia merupakan cita-cita seseorang (James Cameron), malah ia juga turut membawa pelbagai kebaikan kepada yang lain. Bagi kumpulan yang membina kapal Deepsea Challenger juga sudah pastinya merupakan satu kejayaan yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kumpulan lain. Begitu juga bagi kita sebagai masyarakat dunia – penjelajahan ini sedikit sebanyak memberikan kita gambaran sebenar di dasar lautan dalam yang sebelum ini belum pernah diteroka oleh mana-mana manusia (apatah lagi bersama video yang boleh ditonton). Maka dengan itu setiap dari kita perlu mempunyai cita-cita yang akan membawa kebaikan untuk kita bersama.


Anda juga mungkin berminat:




Free Download



Sabtu, 15 November 2014

Projek Menjejaki Komet 67P Oleh ESA

Rosetta dropped Philae into 67P
Rosetta menjatuhkan Philae ke atas komet 67P.

Bermula sejak 10 tahun dahulu projek Rossetta dijalankan untuk menjejaki komet yang mengorbit berhampiran bumi. Terdapat ratusan komet yang diketahui berada di persekitaran ini, jadi selain daripada mengenal pasti akan komet-komet yang berpotensi antara lain projek ini perlu menitik beratkan kelengkapan yang diperlukan untuk menjejaki calon komet yang berpotensi.

Kecenderungan para saintis untuk menjejaki komet ini bukanlah hanya menjadi impian para pengkaji angkasa sahaja, malah sebenarnya ia adalah bertujuan untuk lebih mengenali tentang bagaimana hidupan mula terbentuk di bumi (mungkin berbillion tahun dahulu). Maka dengan menjejaki komet ini, pengetahuan bagaimana perpindahan bahan atau mungkin hidupan yang dibawa oleh komet ini akhirnya sampai ke sesebuah planet yang dihentam oleh komet tersebut apabila berlaku perlanggaran dengan sesebuah planet.

67P/Churyumov-Gerasimenko (67P)
67P/Churyumov-Gerasimenko dari dekat.

Keunikan satelit yang diberikan nama Rosetta ini mengandungi 2 unit utama iaitu satelit pengorbit yang juga bertindak sebagai induk dan juga Philae yang akan mendarat di atas komet tersebut untuk melakukan kajian yang lebih terperinci. Walaubagaimanapun ia mengambil masa selama 10 tahun daripada mula ianya dilancarkan sehinggalah berjaya mendaratkan Philae di atas permukaan komet 67P/Churyumov-Gerasimenko (67P).

Komet Churyumov-Gerasimneko ditemui oleh dua orang angkasawan dari Rusia pada tahun 1969 semasa beberapa angkasawan dari Kiev membuat perjumpaan di Alma-Ata Astrophysical Institute di Kazakhstan untuk melakukan penelitian terhadap komet-komet. Di sinilah dua angkasawan iaitu Klim Churyumov dan Svetlana Gerasimenko yang secara tidak sengaja menemui komet 67P.

Rosetta and Philae
Kedudukan Philae pada Rosetta.

Kejayaan Rosetta mendaratkan Philae di atas 67P bukanlah berlaku dalam satu masa yang singkat. Dari masa pelancaran sahaja sehingga kepada tarikh pendaratan tersebut mengambil masa selama 10 tahun. Namun begitu dalam tempoh ini banyak perkara yang telah dilakukan oleh Satelit Rosetta seperti melewati beberapa komet, melewati dan melakukan pemeriksaan ke atas Marikh dan juga 3 kali melewati di atas bumi. Rosetta juga diletakkan dalam keadaan hibernasi selama 3 tahun iaitu daripada tahun 2011 sehinggalah pengaktifannya semula pada 20 January 2014 untuk meneruskan perjalanannya memintas laluan 67P

Kawalan dan penyelenggaraan pergerakan ke atas Rosetta di lakukan melalui stesyen kawalan European Space Operation Centre (ESOC), di Darmstadt, Germany. Projek ini juga turut mendapat sokongan daripada NASA di mana ia sepatutnya dijalankan bersama di antara kedua ejensi tersebut pada awalnya.

Control room at ESOC
Suasana di pusat kawalan Rosetta di ESOC.

Pada awalnya Rosetta dijadualkan pelancaran pada 12 Januari 2003 untuk mengiringi komet 46P/Wirtanen pada tahun 2011. Perancangan ini diubah oleh kerana berlaku kegagalan pada roket pembawa Ariane 5. Perancangan in kemudiannya diubah kepada calon baru iaitu 67P dengan tarikh pelancaran pada 26 Febuari 2004 dan dijadulakan mengiringi komet tersebut pada tahun 2014 apabila orbit komet tersebut menghampiri matahari sekali lagi pada tahun 2015.

Kedudukan satelit Rossetta boleh diikuti melalui link ini.

Land of Philae
Akhirnya misi Philae berjaya untuk mendarat di atas 67P.

Melalui misi ini nanti banyak pengetahuan baru yang akan terjawab mengenai komet. Selain daripada rupa bentuk dan komposisi, ia juga berpeluang untuk mengetahui akan perubahan fizikal yang akan berlaku apabila 67P melewati matahari pada tahun 2015 nanti. Walaupun manusia sejak dahulu telah mengetahui serba sedikit mengenai perilaku komet, namun ianya masih lagi bersifat ramalan sehingglah kali ini sebuah mesin pengkaji ‘Philae’ dapat menjalankan kajian di atas komet itu sendiri.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai misi Rosetta dan komet 67P ini bolehlah melewati lama web European Space Agency melalui link ini. Adalah diharap ia akan menjadi sumber inspirasi peminat-peminat dunia sains teknologi untuk meneruskan usaha dan minat di dalam bidang tersebut.




Free Download



Sabtu, 8 November 2014

Hyperloop Merupakan Sistem Pengangkutan Darat Terpantas Masa Hadapan

'Hyperloop' memerlukan terowong khas.

Pada masa ini pengangkutan pantas masih lagi dikuasai oleh sistem pengangkutan udara kerana selain daripada mempunyai kepantasan ia juga mampu merentasi halangan bentuk muka bumi dan lautan. Pengangkuan pantas di darat pula masih dikusai oleh keretapi-keretapi magnet (maglev) yang menggunakan sumber tenaga yang tinggi untuk beoperasi.

Untuk terus meningkatkan lagi mutu pengangkutan darat, inovasi terbaru diperlukan bagi mengatasi batasan maksima sistem pengangkutan sedia ada. Maka bagi menjangkaui kemampuan ini pereka inovasi perlu berani menampilkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang sedia ada.


Hyperloop capsule/pod
Contoh 'capsule' atau 'pod' untuk 'Hyperloop'.

Sistem pengangkutan amat penting bagi memastikan banyak urusan dapat dilakukan dengan lebih pantas. Walaupun sistem pengangkutan udara adalah pantas, tetapi ia memerlukan banyak urusan yang menyebabkan para pengguna perlu meluangkan masa yang panjang seperti ‘daftar masuk’, ‘urusan bagasi’, ‘menunggu’ dan sebagainya yang menyebabkan ia memakan masa yang lebih lama.

Bagi memudahkan lagi para pengguna yang memerlukan pengangkutan pantas bagi destinasi-destinasi penting maka sistem pengangkutan baru iaitu ‘Hyperloop’ dicadangkan dalam menyingkatkan tempoh perjalanan. Sekiranya sistem pengangkutan ini dapat disiapkan, pengguna akan menikmati sistem pengangkutan darat yang mempunyai kelajuan pengangkutan udara. Ini bermakna bukan sahaja ia akan menawarkan perjalanan yang pantas, malah urusan perjalanan yang mudah seperti sistem pengangkutan darat yang lain.

‘Hyperloop’ berbeza dengan sistem pengangkutan darat biasa kerana memerlukan terowong khas. Selain itu juga ia meluncur di atas kusyen udara seperti ‘hovercraft’ dengan kelajuan sehingga 1,223 km/h (760 mph). Pada kelajuan ini ia mampu membawa penumpang dari Los Angeles ke San Francisco dalam masa 30 minit yang berada pada jarak 645 km. Jadi para pengguna dapat memanfaatkan masa yang sebelumnya dihabiskan dengan menunggu dengan perkara yang lebih penting.


Elon Musk
Elon Musk penyumbang idea disebalik 'Hyperloop'.

‘Hyperloop’ diilhamkan oleh pengasas Paypal, SpaceX dan Tesla Motors iaitu Elon Musk yang setakat ini telah membawa perubahan kepada orang ramai dari segi kehidupan dan ekonomi. Sekiranya ia berjaya dilakukan di Los Angeles, maka tidak mustahil ia akan turut di bina di lokasi-lokasi lain bagi menghubungkan bandaraya-bandaraya penting di seluruh dunia.


Hyperloop route
Laluan cadangan sistem 'Hyperloop'.

Perubahan yang diketengahkan oleh sistem pengangkutan ‘Hyperloop’ jauh berbeza daripada sistem pengangkutan laju darat sedia ada iaitu keretapi magnet (maglev). Ini jelas menunjukkan inovasi berterusan membawa kita keluar daripada sistem keretapi magnet yang telah sekian lama digunakan. Ini kerana sistem tersebut menggunakan kuasa elektrik yang tinggi.

Mungkin ia akan mengambil masa beberapa lama untuk dibina dan diuji dari segi pelbagai aspek. Walaubagaimanapun idea dan usaha untuk membina sistem pengangkutan ‘Hyperloop’ ini merupakan sesuatu yang perlu dilihat positif. Adalah diharap, bukan ‘Hyperloop’ sahaja yang akan berjaya, malah banyak lagi rekaan yang dapat membawa manfaat kepada manusia di masa-masa akan datang.


Free Download



Arkib Blog