Jenis-jenis gula pasir dalam proses penghasilan gula. |
Gula merupakan antara bahan penting sebagai salah satu bahan asas keperluan
dalam kehidupan. Walaupun gula terdapat di dalam bahan makanan utama seperti
nasi, ubi kentang, ubi kayu, makanan berkanji dan buah-buahan, namun gula pasir
yang digunakan untuk tujuan memaniskan minuman dan penyediaan makanan mempunyai
permintaan yang sangat tinggi.
Walaubagaimanapun terdapat pelbagai kaedah menghasilkan gula seperti gula Melaka,
gula merah, gula kabung yang dihasilkan secara tradisional ini mempunyai
keistimewaan tersendiri seperti bauan yang lebih harum dan rasa yang lebih
enak. Namun kita masih memerlukan gula pasir bagi tujuan memaniskan minuman dan
masakan. Jadi mari kita lihat serba sedikit bagaimana gula pasir dihasilkan.
Gula pasir yang dihasilkan secara komersil menggunakan dua bahan utama
iaitu tebu dan sejenis tumbuhan yang dipanggil sebagai bit gula (Sugar Beet). Kedua jenis tumbuhan ini
digunakan kerana mempunyai kandungan gula yang mudah diekstrak untuk dijadikan
gula pasir. Bagi menampung keperluan pengguna seluruh dunia jutaan metrik ton
gula pasir dihasilkan setahun di serata dunia.
Tebu merupakan bahan utama penghasilan gula. |
Bit Gula juga merupakan bahan pengganti tebu dalam penghasilan gula. |
Perkembangan industri penghasilan gula melalui satu jangka masa yang panjang
dimana satu masa dahulu ia merupakan satu bahan makanan yang mewah dan hanya
boleh dinikmati oleh golongan bangsawan sahaja. Apabila penjajahan tanah
semakin meluas oleh penjajah-penjajah dari Eropah mereka turut menjalankan
aktiviti penghasilan gula sebagai salah satu sumber bahan dagangan mereka.
Bagi membolehkan penghasilan gula ini ladang-ladang tebu yang besar
diperlukan begitu juga bahan pertanian lain seperti kapas yang menyebabkan
banyak buruh paksa atau hamba abdi dibawa masuk dari negara-negara lain
terutamanya Afrika. Selain itu juga banyak negara-negara lain yang turut
dijadikan sebagai kawasan utama bagi penanaman tebu bagi menampung keperluan
Eropah. Kawasan yang sesuai adalah di sekitar Caribbean, Amerika tengah seperti
Brazil dan Mexico, Asia Tenggara, Kepulauan Pasifik, Afrika Timur, Kepulauan
Hindi dan Natal.
Secara tradisi gula dihasilkan ke dalam bentuk 'buku' sebegini. |
Semasa peperangan Napolean pula, penghasilan gula menggunakan bit manjadi
semakin meningkat di Eropah kerana kesukaran mengimport gula disebabkan
perjalanan kapal-kapal yang dihalang. Menjelang tahun 1880 penggunaan bit gula
merupakan bahan utama bagi penghasilan gula bagi Eropah. Kawasan penanam utama
bit gula adalah di Lincolnshire, England dan kawasan-kawasan lain di sana.
Namun begitu ia masih lagi mengimport gula-gula yang dihasilkan daripada
kawasan-kawasan jajahan mereka.
Gula asalnya dihasilkan dalam bentuk buku seperti ketulan besar yang perlu
dikerat-kerat sebelum ia dihasilkan dalam bentuk serpihan-sepihan kecil yang
lebih dikenali sebagai gula pasir. Ia juga kemudiannya dihasilkan dalam bentuk
kiub dan ini mula diperkenalkan oleh Moravian Jakub Kryštof Rad. Penghasilan gula
dalam bentuk kiub ini kemudiannya turut dihasilkan oleh beberapa pengeluar gula
yang popular di serata Eropah.
Gula membolehkan pelbagai makanan manis dihasilkan. |
Hari ini gula dihasilkan di beberapa kawasan di dunia (dan dikuasai oleh
beberapa syarikat terbesar – monopoli). Walaupun jumlah pengeluaran gula adalah
mencukupi, ia mudah digunakan sebagai satu alasan untuk menaikkan harga gula
oleh pengeluar-pengeluar gula. Di negara kia juga adakalanya mengalami
kekurangan gula!? Jadi, apakah yang anda sarankan?
Gula adalah bahan penting sebagai pemberi tenaga atau makanan kepada
tumbuh-tumbuhan. Oleh sebab itu kita akan cepat menjadi letih sekiranya
mengalami kekurangan gula di dalam darah. Adapun penyakit kencing manis pula
bukanlah disebabkan oleh pengambilan gula sahaja. Semoga dengan ini kita akan
menjadi lebih peka mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan isu gula ini.
Adakah anda ingin mencuba menghasilkan gula sendiri?