Matahari membekalkan tenaga yang banyak melalui cahayanya. |
Tenaga Solar seperti yang kita ketahui mampu membekalkan tenaga elektrik daripada cahaya matahari yang boleh didapati secara percuma. Adakah anda perasan yang tenaga daripada cahaya matahari ini telah lama digunakan dalam pelbagai cara dalam membantu kehidupan manusia sehari-hari. Maka terpulanglah bagaimana kita bagi mencari kaedah terbaik memanfaatkan sumber yang tersedia disekeliling kita dengan banyaknya.
Cahaya Matahari sentiasa digunakan oleh manusia sejak berzaman-zaman dahulu dalam kehidupan harian mereka. Samada untuk kegunaan pekerjaan seharian mahupun dalam proses mengawet makanan bagi mengelakkannya rosak. Maka di sini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang bagaimana cahaya matahari boleh dimanfaatkan dalam pelbagai cara – seterusnya kita dapat melihat bagaimana kehidupan kita sebenarnya amat dirahmati dengan pelbagai kemudahan tersedia.
Bagi tumbuh-tumbuhan semestinya memerlukan cahaya matahari untuk membuat makanan melalui proses fotosintesis. Fungsi ini dibekalkan kepada tumbuhan memandangkan ia merupakan kaedah terbaik bagi tumbuhan memanfaatkan tenaga cahaya yang dipancarkan matahari untuk membuat makanan mereka. Memandangkan tumbuhan tidak boleh bergerak dari satu-satu tempat, ia memanfaatkan tenaga cahaya yang tersebar ke seluruh alam dalam proses penghasilan makanan mereka.
Bukan hanya cahaya sahaja yang penting dibekalkan matahari kepada alam, malah tenaga haba juga amat diperlukan. Semua kehidupan di bumi memerlukan suhu yang sesuai untuk kekal berada dalam keadaan aktif (hidup dan menjalankan aktiviti dengan optimum). Keadaan yang terlalu panas atau terlalu sejuk akan menyebabkan segala proses terganggu. Bagi membekalkan suhu yang sesuai ini, haba yang dibekalkan daripada cahaya matahari di sebarkan dan diseimbangkan oleh lapisan atmosfera bumi yang unik.
Berbalik kepada manusia sebagai makhluk yang diberikan akal fikiran sudah semestinya mempunyai pelbagai kaedah dalam menggunakan kemudahan cahaya matahari ini. Walaupun manusia sendiri perlu mendapatkan perlindungan daripada cahaya matahari yang terlalu terik kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan, manusia dapat memanfaatkannya semenjak dahulu lagi.
Peralatan Solvatten untuk membekalkan air bersih menggunakan cahaya matahari. |
Cahaya matahari digunakan dalam pelbagai cara antaranya adalah untuk mengeringkan hasil pertanian ataupun dalam mengeringkan tangkapan untuk mengelakkannya cepat rosak. Bagi tujuan ini penggunaan cahaya matahari merupakan kaedah terbaik kerana disamping mengeringkan kandungan air di dalam bahan yang dikeringkan ia juga membunuh mikro-organisma merbahaya di dalam bahan tersebut dengan cahaya UV terkandung di dalam cahaya matahari.
Selain itu juga cahaya matahari juga digunakan untuk mengeringkan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat bahan binaan (batu-bata & tanah liat) sebelum manusia tahu kaedah untuk membuat simen ataupun batu-bata yang dibakar. Malah kebanyakan bahan yang digunakan untuk membuat pakaian, kertas dan lain-lain barangan keperluan juga perlu melalui proses pengeringan yang menggunakan cahaya matahari.
Cuma akhir-akhir ini apabila penggunaan cahaya matahari dapat digantikan dengan menggunakan peralatan-peralatan moden, fungsi cahaya matahari yang dahulunya sering digunakan semakin dilupakan. Namun begitu ia tidak bermakna cahaya matahari telah hilang atau fungsinya tidak boleh digunakan lagi. Walaupun kaedah memanfaatkan cahaya matahari melalui Sel Suria (Solar Cell) dalam menghasilkan tenaga elektrik merupakan satu pencapaian yang baik namun banyak lagi kaedah lain yang tidak memerlukan kita mengeluarkan modal yang terlalu besar untuk mendapat manfaat daripada cahaya matahari.
Lampu botol matahari ini dapat membekalkan cahaya yang cukup pada waktu siang. |
Antara penggunaan cahaya matahari yang paling ringkas adalah penggunaan cahayanya dalam pencahayaan bangunan pintar – iaitu rekabentuk yang membolehkan cahaya matahari menerangi bahagian dalam bangunan di waktu siang bagi menjimatkan lagi penggunaan tenaga elektrik. Kaedah yang sama juga digunakan untuk rumah-rumah kediaman dalam usaha penjimatan tenaga elektrik.
Berbeza di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Botol minuman digunakan dan diletakkan di atas atap rumah bagi membolehkan cahaya matahari menerusinya. Cahaya matahari akan disebarkan oleh botol minuman yang di isi air bagi meningkatkan lagi sudut biasan cahaya yang menerusinya.
Cahaya matahari juga amat sesuai digunakan untuk menyahkuman (sterilize) air untuk tujuan kegunaan atau minuman. Ini kerana selain daripada membekalkan tenaga haba ia juga mengandungi cahaya UV yang dapat membunuh mikro-organisma berbahaya di dalam air. Terdapat rekaan produk yang direka bagi membantu rakyat di negara-negara membangun mendapat bekalan minuman air bersih ini dengan menggunakan cahaya matahari. Antaranya adalah Solvatten yang direka untuk mengelakkan jangkitan penyakit yang disebabkan oleh mikro-organisma di dalam air. Ia amat mudah digunakan dan ternyata menjimatkan.
Kaedah penyulingan dengan menggunakan tenaga matahari. |
Selain daripada itu kaedah penyulingan air juga boleh dilakukan dengan memanaskan air menggunakan cahaya matahari dan mengumpulkan wap air yang terkondensasi. Kaedah ini juga amat sesuai untuk memperolehi air yang bersih walaupun sumber air yang disuling mungkin agak kotor. Kaedah ini boleh dilakukan dengan mereka peralatan yang khas ataupun hanya dengan mengorek tanah dan menutup lubang tersebut dengan kanvas di mana di dalamnya diletakkan baldi untuk mengumpulkan wap air yang dikumpulkan.
Penggunaan engin stim daripada tenaga matahari juga merupakan salah satu kaedah yang baik dalam memanfaatkan sumber tenaga percuma ini. Stim yang dihasilkan boleh dipelbagaikan samada ia akan terus digunakan atau boleh digunakan untuk menjana elektrik. Untuk kaedah ini cahaya matahari perlu dikumpulkan dengan menggunakan pemantul cahaya dan ditumpukan pada satu titik untuk memanaskan dandang. Tekanan yang terhasil daripada pemanas air seterusnya akan digunakan untuk mengerakkan engin stim.
Relau suria terbesar di Odeillo, Pyrenees-Orientales, Perancis. |
Malah kaedah yang sama turut digunakan untuk tujuan pemanasan bahan yang ingin dicairkan seperti bijih besi dan sebagainya. Antara relau yang terbesar menggunakan tenaga matahari sebagai tenaga adalah relau solar yang di bina di Odeillo, Pyrenees-Orientales di Perancis. Ia telah beroperasi sejak dari tahun 1970’an lagi. Ia adalah hasil rekaan Professor Felix Trombe yang turut membina satu lagi relau yang sama pada tahun 1949 di kawasan yang berhampiran.
Keunikan relau suria ini adalah ia mampu menghasilkan suhu sehingga 3,500°C/6330°F yang mampu mencairkan logam. Malah tenaga yang dihasilkan juga adalah lebih bersih kerana tidak menggunakan bahan lain seperti arang batu atau pentroleum yang menghasilkan bahan buangan yang boleh mencemarkan alam. Malah banyak lagi manfaat yang boleh digunakan melalui penghasilan relau suria ini kerana bagi sesetengah pengkaji usaha untuk menghasilkan haba yang sebegitu tinggi perlu untuk membolehkan mereka melakukan pelbagai kajian.
Terdapat banyak lagi cara bagaimana manusia memanfaatkan tenaga matahari yang menerangi dan memanaskan alam setiap hari. Tidak kira samada untuk menghasilkan elektrik ataupun untuk digunakan terus bagi mendapatkan manfaatnya seperti untuk tujuan pengeringan, yang pasti sumber tenaga ini boleh dipelbagaikan dengan mudah. Bagi kita yang tinggal di kawasan yang kaya dengan cahaya matahari seharusnya kita mempunyai kaedah tersendiri dalam memanfaatkannya.
Sehubungan itu adalah diharap ia dapat menimbulkan inspirasi bagi anda dalam memikirkan bagaimanakah kaedah yang terbaik untuk menggunakan cahaya matahari dalam kegunaan harian. Apa yang penting, kita terus berusaha untuk memanfaatkan sumber yang murah dan bersih untuk kebaikan semua dalam jangka masa panjang.
Artikel lain yang berkaitan:
i) Langkah Penjimatan Tenaga Di Rumah.
ii) Usaha Dalam Menggunakan Tenaga Solar Oleh Britain.
iii) Bagaimana Deep Green Menghasilkan Tenaga Elektrik Di Dalam Laut.
iv) Bagaimana Dapur Induksi Berfungsi Dan Adakah Ianya Lebih Bagus?
Artikel lain yang berkaitan:
i) Langkah Penjimatan Tenaga Di Rumah.
ii) Usaha Dalam Menggunakan Tenaga Solar Oleh Britain.
iii) Bagaimana Deep Green Menghasilkan Tenaga Elektrik Di Dalam Laut.
iv) Bagaimana Dapur Induksi Berfungsi Dan Adakah Ianya Lebih Bagus?