Jumaat, 16 Mei 2014

Keunikan Binatang Peliharaan Labah-labah

red knee tarantula
Red Knee Tarantula bukan sahaja cantik tetapi mempunyai usia yang panjang.

Binatang peliharaan merupakan antara teman paling akrab manusia dan ia merangkumi pelbagai jenis haiwan yang biasanya bersikap manja, rapat, mudah diurus dan setia kepada pemeliharanya. Antara haiwan yang sering menjadi pilihan sebagai haiwan kesayangan adalah kucing, anjing, arnab, burung-burung, kura-kura, spesies reptilian dan ada juga serangga. Bagaimana dengan labah-labah?

Binatang peliharaan dipilih berdasarkan kemampuan mereka untuk hidup bersama manusia. Ini kerana faktor penjagaan merupakan aspek penting dalam memastikan haiwan kesayangan boleh dijaga dengan sempurna. Pemelihara juga perlu menyediakan tempat yang sesuai untuk haiwan kesayangan mereka hidup dengan selesa bagi mengelakkan haiwan tersebut menjadi tertekan (stressed).

Jadi bagaimana dengan mereka yang memilih haiwan eksotik seperti labah-labah sebagai binatang kesayangan mereka? Labah-labah bukanlah pilihan yang paling buruk untuk dijadikan binatang kesayangan, namun bolehkah ianya dijadikan binatang peliharaan?

red knee in hand
Walaupun boleh menggigit ia amat popular sebagai haiwan peliharaan.

Spesies yang sering dijadikan haiwan peliharaan adalah dari jenis tarantula, yang juga dikenali sebagai "Mexican red-knee" tarantula. Selain daripada memiliki fizikal yang cantik, ia juga mudah dijaga dan mempunyai usia yang agak panjang. Ya, ada di antara pemelihara yang merasa teramat sedih apabila kematian haiwan kesayangan mereka - jadi usia yang panjang adalah satu kriteria penting sebagai binatang kesayangan.

"Mexican red-knee tarantula" atau juga dikenali sebagai Brachypelma smithi berasal dari kawasan pergunungan di Mexico, terutamanya di bahagian Sierra Madre Occidental dan Sierra Madre del Sur. Saiznya yang agak besar, memiliki ciri-ciri yang menarik serta usia yang agak panjang, menjadikan ia pilihan ramai untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Brachypelma smithi mempunyai fizikal yang cantik kerana, ia mempunyai bulu yang lebat disamping warna oren pada sekmen kakinya yang menyerlahkan lagi keunikan labah-labah ini. Warna dasarnya yang hitam menyerlahkan membangkitkan warna oren garang tersebut, disamping bulu-bulu di serata badannya manjadikan labah-labah ini sangat unik.




Saiz labah-labah red-knee tarantula ini boleh mencapai sehingga 4 inci (10 cm) dan panjang keseluruhan kaki adalah 6 inci (15 cm). Manakala beratnya mencapai sehingga 15 gram. Kedua-dua labah-labah jantan dan betina mempunyai ciri-ciri warna yang hampir sama hanya yang membezakannya adalah labah-labah jantan bersaiz lebih kecil disamping memiliki kaki yang agak panjang berbanding betina.

Dari segi usia pula labah-labah ini mempunyai usia yang agak panjang sehingga 30 tahun bagi yang betina, tetapi hanya 5 tahun sahaja bagi labah-labah jantan. Jadi semestinya labah-labah betina merupakan pilihan utama para peminat haiwan ini. Namun ia juga merupakan antara punca yang menyebabkan labah-labah ini semakin terancam di habitat asal mereka.

Labah-labah red-knee tinggal di dalam lubang yang sederhana dalam, di mana di dalam lubang tersebut membolehkan labah-labah bersembunyi dan adakalanya bersalin kulit dengan selamat. Labah-labah perlu bersalin kulit untuk membolehkan ianya terus membesar – sama juga seperti spesies serangga yang lain, malah kebanyakan reptilia juga melalui proses ini bagi tujuan pembesaran.

Lubang yang menjadi tempat persembunyian labah-labah ini mungkin juga menjadi tempat di mana labah-labah menunggu mangsa mereka yang melintasi kawasan tersebut. Mangsa yang berjaya ditangkap akan dibawa masuk ke dalam lubang bagi membolehkan labah-labah menikmati makanan tersebut. Tahukah anda bagaimana labah-labah makan? (mungkin ia kerja rumah para pembaca untuk mengungkapnya).

red knee full
Jumlah red knee semakin berkurangan di habitat asalnya.

Walaubagaimanapun spesies ini semakin berkurangan di habitat asal mereka, oleh kerana kegiatan memburunya untuk penjualan kepada pasaran gelap. Saiz mereka didapati semakin mengecil kerana tiada lagi labah-labah dewasa yang dilihat seperti mana dahulunya. Selain daripada diburu, adakalanya ia juga dibunuh oleh penduduk tempatan kerana takut akan labah-labah ini. Ya, mungkin bagi sesetengah orang ia merupakan haiwan yang menakutkan. Jadi ia mungkin dibunuh menggunakan racun serangga, menggunakan minyak tanah yang dicurah ke dalam sarang mereka atau pembunuhan labah-labah yang sedang melakukan penghijrahan. Itu juga amat menyedihkan.


Itu sahaja serba sedikit mengenai haiwan unik red-knee tarantula yang sememangnya menarik. Adalah diharap sekiranya haiwan ini menakutkan anda, ada baiknya sekiranya anda menjauhkan diri anda daripada habitat mereka. Sekiranya terpaksa, gunakan kayu panjang untuk mengalihkan perhatian mereka ke tempat yang lain. Ia adalah haiwan yang comel, dan mungkin mempunyai fungsi tersendiri di dalam alam yang kita sendiri tidak fahami.



Free Download



Khamis, 15 Mei 2014

Bahan Merbahaya Mungkin Menjadi Sebahagian Daripada Makanan Anda

MSG crystal
Kristal MSG atau Monosodium Glutamate bahan perasa makanan popular.

Bahan merbahaya mungkin bertindak dalam pelbagai cara dengan memberikan kesan buruk samada secara cepat ataupun perlahan. Bagi yang memberikan kesan cepat amat mudah untuk dikenal pasti manakala yang bertindak perlahan atau memberikan kesan sampingan jangka panjang mungkin agak sukar untuk dielakkan, apatah lagi sekiranya ia merupakan bahan utama yang menyedapkan lagi bahan makanan.

Bahan yang dikatakan lebih merbahaya daripada alkohol, nikotin dan mungkin juga sebahagian daripada dahah ini lebih dikenali sebagai monosodium glutamate (MSG) yang digunakan dalam banyak bahan perasa makanan malah menjadi salah satu bahan penting di dalam makanan ringan. Ini kerana ia akan membangkitkan rasa keseronokan menikmati makanan tersebut melebihi keperluan anda yang sepatutnya.

Hari ini MSG digunakan secara meluas hampir di dalam kesemua bahan makanan yang diproses termasuk makanan di dalam tin, biskut, bahan daging, bahan perasa seperti lada hitam, kiub perasa malah makanan bayi juga ada yang dicampurkan MSG. Seperti yang kita sedia maklum bahan yang paling popular dengan MSG adalah mee segera yang menjadi pilihan ramai sebagai makanan yang pantas serta menjimatkan.


Pek jumbo MSG
Pek jumbo MSG ini untuk masak apa ya?

Bahaya mengenai MSG telah dibangkitkan oleh banyak doktor yang berpengalaman antaranya adalah Dr. Russell Blaylock, yang merupakan salah seorang pakar di dalam bidang neurosurgeon (pakar saraf) serta penulis kepada “Excitotoxins: The Taste that Kills”. Antara lain beliau menegaskan MSG sebagai bahan excitotoxin – membuatkan sell menjadi tersangat terangsang sehingga mencapai ke tahap yang boleh mengakibatkan kerosakan atau kemusnahan yang boleh mengakibatkan kerosakan otak pada pelbagai tahap – ini boleh mengakibatkan pelbagai jenis kerosakan otak antaranya sukar belajar, Alzheimer, Parkinson, Lou Gehrig’s disease dan sebagainya.

Ini kerana glutamic acid adalah merupakan sebahagian daripada neurotransmitter yang digunakan oleh otak, sistem saraf, mata, pakreas serta organ-organ lain dalam mengaktifkan isyarat-isyarat di dalam badan anda. Antara lain MSG boleh mengganggu kesihatan jantung anda kerana terdapat saraf-saraf pada jantung yang bergantung kepada isyarat daripada glutamate ini. Kebarangkalian ia berkait dengan masalah mati mengejut adalah besar.

Masalah-masalah lain yang berkaitan dengan pengambilan MSG yang berterusan antaranya adalah;
  • Obesiti
  • Kerosakan mata
  • Sakit kepala
  • Kelesuan
  • Kemurungan

Malah FDA juga turut mengakui kesan jangka pendek atau juga dinamakan sebagai “MSG Symptom Complex” boleh berlaku pada sesetengah individu yang mengambil MDG pada kadar yang tinggi atau pada mereka yang mengidap masalah asthma.

Antara gejala “MSG Symptom Complex” adalah:
  • Kebas
  • Panas seperti terbakar
  • Menyucuk
  • Muka terasa terik
  • Sakit dada atau sukar bernafas
  • Sakit kepala
  • Mual dan muntah
  • Jantung bergedup pantas
  • Berpeluh
  • Kelesuan
instant ramen
Mee segera yang padat dengan MSG.

Ia bukanlah satu perkara yang pelik untuk difikirkan kerana MSG hanya sekadar penambah rasa yang sebenarnya tidak ada. Perasaan yang ditimbulkan oleh MSG ini hanyalah sekadar tanggapan yang dihasilkan otak apabila makanan menyentuh sel-sel saraf yang terdapat pada lidah.

Sedikit Mengenai MSG


Monosodium glutamate (MSG) juga dikenali sebagai sodium glutamte merupakan garam sodium bagi glutamic acid. Ianya adalah bahan yang ditemui oleh KikunaeIkeda dari Tokyo Imperial University pada tahun 1908 yang mengasingkan glutamic acid sebagai bahan perasa daripada rumpai laut Laminaria japonica, kombu (rumpai laut) melalui proses pengekstrakan cecair dan pengkristalan – rasa yang dihasilkan bahan ini dipanggil “umami”.

Semasa mengkaji mengenai rasa bahan makanan seperti masakan Jepun 'katsuobushi'  dan 'kombu', professor Ikeda mendapati rasanya adalah lebih dari sekadar manis, masin, masam atau pahit. Rasa inilah yang menyebabkan Professor Ikeda mencari bahan perasa tersebut dan mengasingkan beberapa jenis garam glutamate seperti calcium, potassium, ammonium dan magnesium glutamate. Daripada kesemua garam tersebut didapati sodium glutamate merupakan bahan yang paling mudah dicairkan dan dimakan serta menghablur. Ia kemudian dipatentkan untuk menghasilkan MSG. Syarikat Ajinomoto merupakan syarikat pertama yang menghasilkan MSG secara komersil antara lain Ajinomoto bermaksud “pati rasa” atau “essense of taste”.

Hari ini MSG dihasilkan melalui proses penapaian menggunakan ubi kayu sebagai bahan asas. Proses penapaian tentunya menggunakan mikrob untuk menghasilkan glutamic acid. Seperti juga proses-proses lain penghasilan bahan makanan seperti penghasilan wine, cuka, kicap, sos ikan, yoghurt, beer dan juga antibiotik. Tumbesaran mikorb memerlukan media yang mengandungi nutrient yang sesuai dan ini boleh dibekalkan oleh bahan semulajadi sebagai pembekal karbon seperti; tepung, gula perang dari tebu atau bit, larutan glukosa. Sumber nitrogen seperti; garam ammonium, garam nitrit, atau soya. Mineral seperti; magnesium, potassium dan vitamin seperti biotin.

Antara proses penghasilan MSG tersebut adalah;


MSG flowchart
Proses penghasilan MSG.

  1. Penukaran ke bentuk cecair di mana kanji daripada ubi kayu akan melalui proses hidrolisis oleh enzim. Enzim seperti maylase dan amyglucosidase digunakan pada suhu optimum untuk menghasilkan cecair glukosa.
  2. Proses penapaian glutamic acid: Mikrob dibiarkan di dalam larutan glukosa, pH dikawal pada kadar optimum pertumbuhan mikrob. Urea atau ammonia ditambah sebagai sumber nitrogen. Proses ini dijalankan sehingga glutamic acid dihasilkan secara penuh. Ia kemudiannya akan dikeringkan menggunakan stim vakum untuk melikatkan lagi larutan tersebut.
  3. Selepas proses penapaian tamat larutan glutamic acid akan diasingkan dengan menukar kadar pH yang sesuai. Ia akan diasingkan sebanyk 2 kali melalaui dan ditapis mengunakan sitem vakum dan lapisan penapis.
  4. Penutralan menggunakan Sodium Hydroxide (NaOH) dicampurkan bagi meneutralkan larutan glutamic acid dan menukarkan ia kepada larutan monosodium glutamate dalam pH yang normal.
  5. Penulenan dan pengkristalan dilakukan dengan cecair malalui panapi karbon aktif di dalam tangki bagi menyah warna diikuti dengan proses pengkristallan untuk penulenan yang menghasilkan kristal monosodium glutamate yang bersih.
  6. Proses pengeringan dan pembungkusan merupakan proses akhir di dalam penghasilan MSG. Dengan melalui proses pengeringan menggunakan udara panas yang ditapis kristal-kristal MSG ini kemudiannya diasingkan mengikut saiz dan pembungkusan yang bersesuaian.
MSG snackfood
Makanan ringan juga padat dengan MSG.

Itu adalah antara proses penghasilan Monosodium glutamate seperti yang dinyatakan oleh pembuat MSG yang tidak asing lagi iaitu Ajinomoto. Hari ini Ajinomoto bukanlah satu-satunya syarikat yang menghasilkan MSG malah antara syarikat yang mengeluarkan MSG secara besar-besaran termasuklah Ac’cent dan Ve-Tsin.

MSG sebenarnya terlalu mudah dihasilkan atau ia mungkin dihasilkan sekali oleh syarikat-syarikat pengeluar makanan. Antara lain syarikat pengeluar makanan adakalanya manggunakan nama-nama bahan yang mengelirukan pengguna dan menggantikannya menggunakan nama yang lain. Bagi langkah berhati-hati pastikan juga bahan makanan anda tidak mengandungi bahan-bahan di bawah antaranya:

Autolyzed Yeast
Calcium Caseinate
Gelatin
Glutamate
Glutamic Acid
Hydrolyzed Protein
Monopotassium Glutamate
Monosodium Glutamate
Sodium Caseinate
Textured Protein
Yeast Extract
Yeast Food
Yeast Nutrient



Sebagai langkah berhati-hati juga anda perlulah mengurangkan makanan yang diproses bagi mengurangkan pengambilan MSG. Adakalanya makanan yang dimasak di kedai-kedai makan juga menggunakan MSG bagi menambah lagi rasa makanan. Ada baiknya jika anda menyediakan makanan sendiri dan membawa bekal ke tempat kerja.

Mungkin perasa makanan seperti MSG dapat memberikan rasa yang enak kepada makanan anda. Tapi anda perlu memikirkan kesan jangka panjang yang boleh diakibatkan oleh bahan ini adalah jauh lebih merbahaya. Semoga dengan artikel ini dapat memberi sedikit sebanyak panduan bagi anda sebelum membeli sebarang bahan makanan yang diproses.

Bersama-sama kita menjaga kesihatan.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Rabu, 14 Mei 2014

Keunikan Jagung Biru (Blue Corn)

Blue Corn varieties
Blue Corn bukan sahaja cantik malah mengandungi khasiat yang lebih baik.

Jagung Biru mungkin agak janggal bagi kita yang tinggal di bahagian Asia kerana ia merupakan tanaman yang berasal daripada Benua Amerika dan ditanam oleh Masyarakat Hopi sebagai tanaman serta makanan asasi mereka. Seperti juga padi bagi orang-orang Melayu, jagung biru memainkan peranan penting dalam kehidupan selain menjadi sumber makanan Masyarakat Hopi.

Jagung biru atau Blue Corn ini mempunyai beberapa variety yang diberikan nama-nama khusus seperti “sakwaqa’o” bagi jenis yang biasa, “huruskwapu” atau juga dikenali sebagai jenis yang keras dan “maasiqa’o” atau kelabu-kebiruan (mempunyai warna campuran). Berbeza dengan jagung biasa jagung-jagung Blue Corn ini mempunyai warna campuran atau bewarna gelap pada keseluruhan buahnya.

Jagung Blue Corn mempunyai beberapa kelebihan berbanding jagung biasa kerana ia dikatakan mengandungi 20% lebih protein dan mempunyai glicemix index (GI) yang lebih rendah berbanding jagung biasa. Ia juga dikatakan menghasilkan makanan yang lebih enak dan manis apabila digunakan untuk tortila. Kaedah mengisar yang betul pula mebantu Blue Corn membebaskan niacin.

Blue Corn dari jenis yang berwarna gelap keseluruhannya.

Ia juga dikatakan mengandungi anti-oksidan xanthenes seperti zeozanthene. Bahan ini merupakan bahan anti-oksidan seperti juga yang terdapat di dalam buah-buahan yang berwarna biru yang lain seperti bluelerries, blackberries, anggur dan kismis (hitam). Selain itu ia juga turut mengandungi selenium yang mudah diserap oleh badan. Selenium juga boleh didapati daripada makanan seperti daging, kacang Brazil, yis dan makanan lain – tetapi ia agak sukar untuk digunakan oleh badan. Terdapat juga nutrient-nutrient lain di dalam Blue Corn dan ia sememangnya jauh lebih baik berbanding jagung biasa iaitu jagung kuning (yellow corn) atau jagung putih (white corn).

Blue Corn tortillas chips
Chip tortilla daripada Blue Corn.

Hari ini Blue Corn biasanya dijual dalam bentuk chip tortilla. Terdapat juga tepung yang dihasilkan daripada Blue Corn, blue corn tortilla atau taco yang dihasilkan daripada blue corn. Manakala di negara Mexico lebih banyak masakan yang menggunakan Blue Corn sebagai bahan asasnya.

Apa yang berbeza bahan makanan yang dihasilkan menggunakan Blue Corn ini perlu disimpan dengan cermat kerana ia tidak boleh disimpan lama. Namun ia mampu menghasilkan makanan yang jauh lebih sedap berbanding yang dihasilkan daripada jagung biasa.

Hopi
Masyarakat Hopi yang mendiami bahagian Barat Daya Amerika (Arizona).

Berbalik kita kepada Masyarakat Hopi tadi selain daripada menggunakan Blue Corn sebagai bahan makanan mereka turut menggunakannya semasa beberapa upacara-upacara penting. Mereka melambangkan jagung ini sebagai simbolik kepada kehidupan yang panjang. Warna-warna jagung Blue Corn melambangkan kesucian gabungan daripada alam pencipta dan juga makhluk yang dicipta. Bagi kaum lelaki Hopi yang ingin melakukan perjalanan jauh pula, Blue Corn merupakan makanan yang akan diambil, kerana dapat membantu membekalkan tenaga yang berpanjangan. Jadi bagi Masyarakat Hopi, Blue Corn dianggap sebagai sebahagian daripada kisah hidup masyarakat tesebut.


Begitulah serba sedikit kisah menarik disebalik Blue Corn yang unik. Anda tentu tertarik dengan warna buahnya yang cantik – saya juga begitu. Mungkin terdapat banyak lagi bahan menarik yang perlu kita selidiki. Mari! 



Free Download



Penyebaran Berita Palsu di Internet Mendapat Sambutan Hangat

fake news
Berita palsu yang mendapat sambutan hangat di media social.

Berita mengenai penemuan seorang pelombong China yang ditemui masih hidup setelah tertimbus selama 17 tahun mendapat sambutan meluas dan di kongsi oleh ramai pengguna di Facebook. Malah terdapat keseluruhan sebanyak 178,112 share melalui Facebook sahaja. Manakala 1,666 melalui Twitter, 180 melalui google+ dan komen-komen yang menyatakan simpati mereka (semasa artikel ini ditulis).

Apa yang menarik berita yang dikongsikan melalui lawan web worldnewsdailyreport.com ini adalah merupakan cerita yang direka sahaja dan perkara ini dinyatakan sendiri melalui penafian (disclaimer) laman web tersebut. Seperti biasa juga – berapa ramai pengguna yang akan membuat rujukan terhadap penafian tersebut sehingga ada para pembaca yang ingin membuat tuntutan bahan bukti daripada penulis.

Semasa ingin membuat rujukan lanjut mengenai berita tersebut saya mendapati tiada kejadian tersebut dilaporkan melalui laman-laman berita utama yang lain, melainkan berita tentang musibah yang melanda di Chile pada August, 2010. Oh ya, berita terkini mungkin anda akan mendengar mengenai berita tentang pelombong-pelombong di Turkey juga.

Chiliean miners
Kejadian terperangkap di dalam lombong di Chile pada August, 2010.

Apa yang penting di sini, peristiwa-peristiwa yang berlaku merupakan musibah kepada sebahagian yang lain tidak dipergunakan sewenang-wenangnya hanya untuk mengaut keuntungan semata. Mungkin ada yang hanya sekadar bergurau dan menyatakan dengan jelas tentang kepalsuan tersebut seperti dalam kes worldnewsdailyreport.com tetapi kebanyakan pembaca tidak mempunyai masa untuk membuat rujukan membuktikan kesahihan berita tersebut dan terus membuat perkongsian – sebagai berita yang hangat.

Mungkin kita juga sebagai pembaca tidak perlu terlalu ghairah untuk membuat perkongsian atau andaian. Berita-berita seperti ini mungkin ada di antaranya yang boleh membuatkan keadaan menjadi huru-hara, membangkitkan kemarahan sesetengah pihak dan lain-lain lagi kesan negatif kepada masyarakat.

Terdapat beberapa laman web di luar sana yang rata-rata menggunakan berita-berita palsu sebagai salah satu bahan untuk menarik minat lebih banyak pembaca. Adakalanya ia menjadi bahan ketawa dan adakalanya ia juga merosakkan reputasi mereka-mereka yang menyebarkan berita palsu tersebut. Anda mungkin boleh mendapat keuntungan segera dengan berita palsu namun ia tetap tidak akan bertahan lama.

Sebagai pembaca yang bijak ingin saya berkongsi satu daripada kata-kata yang amat baik untuk direnungkan bersama “minda yang hebat membincangkan idea, minda biasa membincangkan peristiwa, dan minda yang lemah menceritakan kisah orang lain”. Sama-samalah kita renung-renungkan kata-kata tersebut dan semoga kita sama-sama menuju ke arah kejayaan.


Berhati-hati semasa menggunakan internet. ;)

MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Mini Robotic Printer Yang Mendapat Sambutan Hangat

mini robotic printer
Mini robotic printer, amat kecil dan mudah dibawa.

Printer semakin jarang digunakan kerana adalah lebih mudah untuk membawa dokumen secara format digital yang disimpan ke dalam memori card. Namun begitu adakalanya ia masih diperlukan dalam beberapa hal apabila anda perlu menghantar dokumen tersebut secara salinan atau di dalam bentuk surat kepada orang lain (mungkin masih ada orang yang tidak membuka emailnya – atau apabila salinan asal diperlukan untuk tujuan simpanan).

Baiklah, printer (mesin pencetak) sememangnya sukar untuk dibawa kemana-mana kerana saiznya yang agak besar. Jadi adakalanya seseorang yang melakukan kerja-kerja di luar pejabat perlu menyimpan kerja-kerja mereka dan mencetak kerja-kerja tersebut hanya apabila mereka pulang semula ke pejabat ataupun rumah. Mungkin juga ada yang terpaksa menggunakan servis daripada cyber cafe bagi mempercepatkan lagi kerja-kerja mereka.

Namun begitu seperti yang kita tahu, hari ini ramai yang suka bekerja secara bebas di mana sahaja. Jadi keperluan untuk memiliki printer yang boleh dibawa kemana-mana adalah sama seperti keperluan memiliki sebuah telefon pintar, laptop ataupun tablet. Alangkah baik sekiranya printer juga dapat dibawa kemana-mana dan digunakan apabila perlu seperti peralatan-peralatan tersebut.

Kini printer mudah alih pertama yang sangat unik diperkenalkan melalui project ‘Kickstarter’ dan telah pun mencapai impian mereka untuk mendapat dana yang diperlukan bagi melancarkan produk tersebut secara besar-besaran. Melalui penyampaian tentang projek tersebut di dalam laman ‘Kickstater’ ia mendapat sokongan padu daripada orang ramai dan mengumpul sejumlah USD 511,662 berbanding nilai yang disasarkan sebanyak USD 400,000 sahaja. Dana ini dicapai lebih awal daripada masa yang ditetapkan oleh mereka.


printer choices
Terdapat 3 pilihan untuk program 'Kickstarter'.

Printer yang direka ini hanya bersaiz 10 centimeter tinggi dan 11.5 centimeter diameter dengan berat sekitar 300 gram sahaja. Saiz sebesar itu mungkin sebesar atau lebih sedikit daripada tapak tangan anda namun masih mudah dibawa kemana-mana kerana ia tidak menggunakan sebarang wayar untuk berfungsi.

Semasa beroperasi printer terebut akan berjalan di atas kertas yang dicetak sama seperti robot kecil dan menyiapkan segala kerja-kerja mencetak sehingga siap. Ia dilengkapi roda dibawahnya dan mencetak sebarang kerja-kerja sama seperti printer biasa. Mekanisma yang sama juga terdapat di dalam printer biasa. Bagi mereka yang mereka cipta printer ini menggunakan kreativiti untuk mengubahnya ke bentuk yang mungkin lebih praktikal untuk dibawa kemana-mana.

Apa yang lebih manarik printer ini turut boleh digunakan bersama dengan kebanyakan peralatan yang digunakan hari ini termasuk PC/Windows, iOS, Android, OSX dan Linux. Jadi anda boleh membuat kerja-kerja mencetak terus daripada telefon bimbit anda – ia mungkin dapat menjimatkan lagi masa dan mungkin juga wang ringgit.

Melihat kepada bagaimana printer ini bekerja sudah pasti akan menarik minat siapa sahaja. Ini kerana ia bukan sahaja praktikal malah comel sekali apabila melihat robot kecil ini melakukan kerja-kerja mencetak kertas demi kertas di lokasi yang berbeza-beza. Jadi anda mungkin boleh membuat salinan beberapa kertas kerja semasa anda menikmati minum petang di kafe kegemaran anda. Atau mencetak kad jemputan kepada kawan lama atau orang tersayang. Semuanya boleh berlaku!

Bagaimana Ia Dihasilkan?



Ia bermula daripada program yang diperkenalkan di Jerusalem College of Technology, melalui sebuah program yang dikenali sebagai Friedberg Entrepreneurship Program. Para pelajar yang mengikuti program ini perlu menyediakan sebuah idea berkaitan perniagaan jangka panjang. Setelah melalui pelbagai proses penyaringan akhirnya program ini diberikan kepercayaan untuk menggunakan peralatan di kolej tersebut dan khidmat nasihat daripada professor sebagai bimbingan. Dari situlah terhasilnya sebuah ‘prototype’ printer kecil ini. Program ini kemudiannya dibawa ke dalam ‘Kickstarter’ untuk mengumpul dana membolehkan proses penghasilan secara besar-besaran dimulakan.

Projeck ini dimulakan oleh dua orang pelajar dari Jeruselem College of Technology iaitu Matan Caspi dan Tuvia Elbaum. Namun begitu untuk merealisasikan keseluruhan projek mereka mendapat kerjasama dari Yonni Stein sebagai pereka produk daripada Bezalel, Leon Rosengarten dan Gilad Schurmacher (dari Hadassah dan JCT) dua orang engineer yang pakar di dalam bidang robotik dan Jack Gottesman yang mengetuai bahagian media sosial dan pemasaran. Malah ramai lagi yang membantu mereka termasuk para pelabur yang turut memberikan khidmat nasihat mengenai aspek-aspek perniagaan untuk memulakan projek tersebut.

Pemangkin Kejayaan “Mini Robotic Printer”

printing work
Ciri-ciri mudah guna merupakan kekuatan 'mini robotic printer'.

Seperti yang dapat dilihat, usaha dalam malakukan sesuatu kerja oleh kumpulan pelajar ini dilakukan dengan begitu teliti dan mendapat sokongan padu oleh semua pihak. Tiada sikap sambil lewa ditunjukkan. Malah jika dilihat daripada ruangan “Kickstarter” mereka dan juga video presentasi mereka amat memuaskan sekali. Mereka juga amat menitik beratkan kepuasan pengguna – apa yang menjadi titik tolak kepada sokongan yang diberikan oleh orang ramai.

Seperti yang diterangkan lebih awal tadi secara asasnya printer tersebut adalah sama dengan printer biasa. Namun mereka berjaya memberikan sedikit keistimewaan ciri-ciri tambahan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh para pengguna di luar sana – mungkin juga saya.

Sedikit Pengajaran


Kita tidak dapat menolak bahawa kita sememangnya menunggu produk yang sebegini inovatif. Usaha dan kegigihan sekumpulan pelajar yang kreatif di samping kerjasama, sokongan padu dan juga galakan masyarakat juga adalah penting. Sikap positif masyarakat sebeginilah yang memberikan kelebihan dalam memajukan banyak perniagaan sehingga berjaya.

Kita tidak memerlukan ramai pengkritik, tetapi ramai yang melibatkan diri dalam membantu memberikan bimbingan dan juga sokongan. Ini kerana seperti yang dapat dilihat, kejayaan projek ini adalah semata-mata penglibatan banyak pihak yang memberikan kerjasama yang kukuh.

Adakah anda akan memiliki printer ini nanti!

MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Selasa, 13 Mei 2014

10 Haiwan Terbesar Yang Pernah Menghuni Bumi

Paus biru
Paus biru spesis mamalia gergasi yang diketahui masih tinggal di lautan.

Kita sering mendengar kisah-kisah lama yang menceritakan tentang haiwan-haiwan yang bersaiz besar atau gergasi. Ia sukar dipercayai kerana kita juga tidak didedahkan dengan bukti-bukti yang kukuh mengenainya. Melalui kemudahan komunikasi hari ini seperti internet barulah kita boleh mendapatkan keterangan mengenai perkara-perkara ini dengan lebih mudah.

Bukanlah bermaksud kesemua informasi yang diterima dari internet boleh dipercayai 100% tetapi setidak-tidaknya ia dapat membantu kita untuk leih banyak mengumpulkan maklumat-maklumat penting dari pelbagai sumber yang boleh dipercayai.

Kisah-kisah mengenai rasaksa laut, burung garuda, gergasi di hutan mungkin adalah sebahagian perkara yang tidak dapat dinyatakan kepada kita oleh generasi terdahulu. Mungkin ia lebih mudah dikongsi bersama sekiranya terdapat teknologi seperti kamera pada masa itu. Namun kita juga masih boleh berusaha mencari bukti-bukti yang boleh membuktikan kewujudan mereka melalui pelbagai cara. Ya, teruskan mencuba.

Megalodon
Megalodon jerung gergasi.

1) Megalodon atau juga dikenali sebagai Carcharoclesmegalodon merupakan jerung gergasi berukuran 52 kaki (kira-kira 14 meter). Saiz badan serta mulutnya yang besar membolehkan ia menelan seekor badak sumbu. Hidup sekitar 25 ke 1.5 juta tahun dahulu dan sebahagian saintis beranggapan ia mungkin masih hidup di perairan laut dalam dunia – tetapi masih tiada sebarang bukti untuk menyatakan kenyataan ini.

Mungkin tidak ramai yang ingin Megalodon masih ada sehingga hari ini.

Jengking laut
Jengking laut bersaiz gergasi.

2) Oleh kerana haiwan-haiwan dahulu terdiri daripada saiz yang besar tentulah serangga dan haiwan lain juga mempunyai saiz yang besar juga. Kala jengking laut atau dikenali sebagai Jaekelopterusrhenaniae, berukuran 8 kaki panjang. Haiwan rasaksa ini menghuni bumi kira-kira 400 juta tahun dahulu. Tidak hairanlah sekiranya ia mempunyai saiz yang besar sekiranya haiwan-haiwan lain juga bersaiz besar (bagi membolehkan ianya bersaing). Kala jengking hari ini dikatakan berasal daripada spesis ini.

Arctodus
Arctodus kelihatan lebih besar apabila berdiri.

3) Beruang gergasi bermuka pendek (short-faced) juga dikenali sebagai Arctodus yang mempunyai saiz yang lebih besar berbanding beruang polar yang merupakan spesis beruang terbesar yang terdapat hari ini. Memiliki berat sehingga 3,500 lbs. dan ketinggian berdiri sehingga 11 kaki (hampir 4 meter) cukup untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang terserempak dengannya.

Arctodus merupakan beruang yang menghuni sekitar Amerika-Selatan dari 500,000  hingga 2 juta tahun dahulu. Tinggalan tulang-tulangnya ditemui di Argentina pada tahun 1935.

Argentavis magniticens
Argentavis magnificens, mungkinkah ia garuda yang dimaksudkan?

4) Mungkin ia adalah ‘burung garuda’ yang sering dikisahkan oleh orang-orang dahulu, atau adakah kemungkinan burung yang lebih besar daripada Argentavis magnificens yang mempunyai saiz yang besar dan menyerupai burung-burung lain yang mampu terbang pada hari ini. Saiz bukaan kepaknya mencapai sehingga 21 kaki (7 meter) atau hampir menyamai saiz pesawat Cessna 152. Bulu pelepahnya sahaja mempunyia saiz seperti pedang samurai setiap satunya.

Burung rasaksa ini tidak dinyatakan di dalam banyak buku-buku sains yang lain kecuali baru-baru ini sahaja walaupun ia telah ditemui lebih awal.

buaya gergasi
Sarcosuchuc imperator, merupakan buaya terbesar.

5) Begitu juga terdapat dari spesies buaya Sarcosuchuc imperator, yang juga bermaksud “flesh crocodile emperor” – (ia mungkin mempunyai bunyi yang agak janggal jika diterjemah secara terus ke Bahasa Melayu).

Mencapai saiz sehingga 40 kaki (13 meter) dan berat anggaran 8.75 ton (17,500 lbs.). Rahannya sahaja mencapai ukuran 6 kaki (hampir 2 meter) dan mengandungi 100 gigi. Ia pastinya berkemampuan untuk menangkap mangsa yang juga terdiri daripada pelbagai spesies dinasour.

Argentinosaurus
Argentinosaurus, merupakan dinasour daratan terbesar pernah diketahui.

6) Bagi dinasour yang besar pula ia mungkin boleh mencapai ketinggian seperti bangunan 6 tingkat hari ini antaranya ialah Argentinosaurus. Mencapai ketinggian 120 kaki (40 meter) dan berat hampir 100 ton ia merupakan dinasour terbesar yang pernah menghuni permukaan bumi (melalui data yang ada setakat ini).

Mempunyai ekor yang panjang begitu juga dengan lehernya. Manakala kepalanya agak kecil. Tiada banyak perkara yang diketahui mengenai dinasour ini melainkan anggaran bahawa ia hidup sekitar 100 juta tahun yang lalu. Rasaksa pemakan tumbuh-tumbuhan ini ditemui pada tahun 1988 di Argentina.

Spinosaurus
Spinosaurus, lebih besar berbanding T-rex.

7) Bagi pemakan daging pula Spinosaurus merupakan gergasi yang diketahui setakat ini merupakan dinasour tebesar. Mempunyai ukuran sehingga 60 kaki (20 meter) dan berat 10 ton. I juga dianggarkan hidup sekitar 100 ke 93 juta tahun dahulu di benua Africa.

Mempunyai layar dibelakangnya yang mempunyai ketinggian 7 kaki (2 meter) dikatakan turut menjadikan ikan sebagai sebahagian daripada makanannya. Antara keunikan lain mengenai dinasour ini ialah, ia mempunyai muncung yang sedikit agak panjang dan kepalanya sahaja berukuran 6 kaki.

Ular sawa
Ular sawa juga merupakan antara haiwan yang bersaiz gergasi.

8) Antara haiwan gergasi yang masih terdapat sehingga hari ini adalah ular sawa. Kebiasaannya ia boleh mencapai ukuran sehingga 20 kaki – walaupun terdapat rekod haiwan ini berukuran sehingga 33 kaki (11 meter). Namun begitu ia tidak mempunyai bisa seperti ular-ular yang lain, tetapi ia mampu membunuh seorang lelaki dewasa melalui jerutannya yang kuat.

Paus biru
Paus biru gergasi yang masih ada hingga ke hari ini.

9) Kita masih mampu melihat sebahagian spesies gergasi yang mempunyai saiz luar biasa hari ini, seperti Paus Biru yang mencapai saiz berukuran 100 kaki (33 meter) dengan berat 150 ton. Hari ini saiz-saiz paus biru ini adalah dalam lingkungan 75 hingga 80 kaki sahaja.

Suatu masa dahulu ikan-ikan paus ini turut diburu untuk mendapatkan daging dan lemaknya. Anak paus biru sendiri mempunyai saiz sebesar 25 kaki dan memerlukan 100 gallen susu daripada ibunya.  Ia dikatakan telah mencapai populasi yang sedikit di sekitar 1960-an lagi dan kini dianggarkan hanya terdapat sekitar 10,000 ekor sahaja yang mendiami perairan dunia.

Gajah Afrika
Gajah Afrika merupakan gergasi daratan yang ada hari ini.

10) Berbanding ikan paus biru yang masih mendiami lautan, Gajah Afrika merupakan haiwan gergasi yang masih mendiami bumi kita hari ini. Boleh mencapai saiz ketinggian sehingga 13 kaki (4 meter) dan berat sehingga 14,000 lbs. Gajah merupakan haiwan yang unik kerana ia hidup di dalam kumpulan yang saling bekerjasama dan menghiburkan antara satu sama lain.

Haiwan ini juga sering diancam oleh manusia melalui pemburuan haram yang memburu gadingnya untuk dijadikan barangan perhiasan dengan harga yang sangat tinggi. Ia juga hampir mengalami kepupusan disebabkan kawasan populasinya yang semakin sedikit.


Begitulah sebahagain daripada haiwan-haiwan gergasi yang pernah mendiami bumi dulu dan sekarang. Mungkin banyak lagi informasi yang perlu kita dapatkan untuk lebih mengenali bumi di mana kita tinggal. Semakin lama kita pelajari mengenainya semakin banyak perkara baru yang kita ketahui. Apa yang penting kita dapat sama-sama hidup dengan aman bersama makhluk-makhluk yang lain. Teruskan mengkaji.



Free Download



Arkib Blog